Kejahilan Yang Membawa Padah..Salah Siapa?




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Perasaan pilu menyelubungi kalbu tatkala membaca kisah wanita-wanita yang terperosok di penjara-penjara di luar negara akibat kesalahan mengedar dadah. Terpengaruh dengan janji pekerjaan dan tugas sebagai pembawa barang dengan gaji lumayan adalah antara puncanya. Kenaikan kos sara hidup, tekanan untuk hidup mewah menjadi pendorong utama. Jika Raja Munirah yang tampil dengan perwatakan seksi dan ‘vogue’ dianggap layak menerima hukuman yang dikenakan akan tetapi perwatakan naif Umi Azlim mengundang simpati masyarakat.

Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bersetuju membantu ibu-bapa Umi Azlim menguruskan tambang pergi dan balik kepada pasangan tersebut untuk berlepas ke Republik China. Laporan Utusan Malaysia bertarikh 27 hb Disember 2007 mengatakan bahawa keluarga Umi Azlim Mohamad Lazim memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 bagi mengendalikan proses rayuan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan terhadap gadis itu menggunakan khidmat sekumpulan peguam berkaliber di China. Menurut Pesuruhjaya PAS negeri yang juga Menteri Besar iaitu Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yakin mangsa (Umi Azlim) dianiaya atau difitnah, beliau sendiri akan melancarkan dana tersebut. Alangkah bagusnya jika dana sebesar itu yang dikumpul untuk membantu banduan akhir dengan no. 221 itu digunakan untuk membantu rakyat negeri Serambi Mekah yang berada dalam kategori miskin tegar!

Itu adalah antara banyak penyelesaian jangka-pendek yang diambil oleh sebahagian masyarakat untuk menyelesaikan masalah di atas yang hanya memerhatikan tindakan ke atas tanda atau gejala masalah. Fikratul Ummah edisi Jun 2008 ini akan mengemukakan dua artikel yang membincangkan masalah di atas secara mendalam termasuk perincian masalah akad pekerjaan yang kurang difahami oleh ramai umat Islam.

Semoga dengan memahami realiti masalah dan penyelesaian menurut hukum syarak akan dapat membangkitkan kesedaran dalam diri kita betapa hinanya umat Islam apabila sistem kufur bermaharajalela serta peri-pentingnya untuk keluar dari sistem yang terbit dari ideologi Kufur-Barat. Justeru, kewujudan Daulah Islamiyyah yang bakal melaksanakan seluruh hukum-hakam secara keseluruhan bukan sahaja menyelesaikan masalah yang terkait dengan sistem ekonomi, tetapi pelaksanaan sistem pendidikan Islam bakal melahirkan wanita-wanita Muslimah yang menjadikan taqwa sebagai sandaran perbuatannya dalam kehidupan sehari-hari dan bukan hanya dorongan dan kemewahan serta nikmat duniawi semata-mata.

Walallahu ‘alam bisshawab.

============================================================================




Persoalan mengenai wanita yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan dadah menjadi satu isu hangat mutakhir ini. Pelbagai ulasan, komen, cadangan, pendapat dan tak kurang juga cemuhan dipaparkan rentetan dari fenomena tersebut. Tidak dapat dinafikan perasaan marah, kesal, simpati dan seumpamanya pasti bermain-main di minda setiap orang yang mengikuti kisah malang wanita yang diperalatkan oleh sindiket tersebut. Perasaan ini bercampur aduk, berkecamuk, mencari-cari apa puncanya, tidakkah ada penyelesaian atau jalan keluarnya, kenapa, angkara siapa, salah siapa?? Justeru banyak yang menulis mengenainya, menganalisa kejadiannya, menjejaki modus operandinya dan bermacam lagi. Namun, kes seumpamanya tak kunjung reda, seolah-olah tiada apa-apa perubahan dari keadaan sebelumnya. Yang pasti, ia tetap dan masih menghantui fikiran kita semua.

Antara yang hangat diperkatakan, Umi Azlim yang dijatuhkan hukuman mati di Mahkamah di China, Raja Munirah Raja Iskandar yang dijatuhkan hukuman penjara 7 tahun di Jepun, dan yang terbaru Irene Manggi yang ditahan bersama bungkusan berisi dadah di Brazil. Lebih membimbangkan kita semua, RTM yang bersiaran pada 10/5/2008 mendedahkan bahawa lebih 200 wanita menjadi mangsa pengedaran dadah pada tahun 2007. Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen berkata, kementeriannya telah mengambil langkah drastik memulakan sesi kaunseling kepada ibu bapa untuk memberi kesedaran kepada gejala dan provokasi yang akan menjerumus anak-anak mereka kepada perbuatan jenayah.

Seorang penulis blog, saudari Nurhanum dari Universiti Putra Malaysia sna_nurh07@yahoo.com.my menganalisa faktor kepada masalah ini dan beliau berpendapat antara lain puncanya adalah kegawatan ekonomi dan kadar inflasi yang meningkat merupakan sebab utama di samping faktor kegoyahan institusi keluarga, menyebabkan golongan Hawa menjadi seorang pengedar. Pesanan beliau adalah menghindar lebih baik daripada mencegah, dan mencegah lebih baik daripada merawat.

Sementara itu, Pendedahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mengatakan antara punca yang menyebabkan pelajar tempatan terjebak dengan jerat sindiket berkenaan ialah bersembang dalam internet, berkawan rapat dengan rakyat asing, terpikat dengan janji pekerjaan, hubungan intim dengan warga asing, terpengaruh dengan janji kemewahan, melancong ke luar negara, kurang pendedahan kepada media massa dan tidak peka dengan undang-undang berkaitan dadah. Ekoran dari situasi yang sedang meruncing ini pelbagai saranan diberikan kepada semua pihak untuk berganding bahu dalam menangani masalah ini. Antaranya termasuklah:

1. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan sentiasa mengingatkan anak supaya tidak mudah terjebak.

2. Individu yang terbabit perlu lebih berhati-hati jangan terlalu cepat gelap mata dan mudah sangat diperdaya.

3. Mengambil endah bahawa setiap negara mempunyai undang-undang sendiri yang perlu dihormati kedaulatannya. Saranan ini penting kerana apabila gadis dan wanita tempatan ditangkap di luar negara atas kesalahan dadah, pihak berkuasa negara ini tidak boleh sesuka hati mencampuri urusan undang-undang negara berkenaan kerana mereka mempunyai kedaulatan sendiri.

4. Sentiasa berwaspada agar jangan mudah terpedaya dengan tawaran melancong ke luar negara secara percuma, selain tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan pulangan lumayan.

5. Kepada pengguna internet pula, lebih baik mengambil sikap prejudis dan kaji dengan mendalam sesuatu tawaran yang diterima. Jangan tamak dan mahu cepat kaya dengan cara mudah. Juga jangan mudah percaya pada orang asing hingga sanggup menyerahkan segala-galanya demi cinta, selain mahu menikmati kemewahan dengan mudah.

6. Akhir sekali, disarankan juga agar setiap individu sayang akan diri sendiri dan jangan biarkan diri diperalatkan.

Sememangnya amat wajar sekali saranan di atas diberikan dan diambil perhatian oleh setiap pihak dan individu. Namun apa yang cuba diketengahkan kepada para pembaca dalam edisi Fikratul Ummah kali ini ialah kefahaman secara menyeluruh tentang punca sebenar kepada permasalahan tersebut dan mencadangkan penyelesaian yang bukan bersifat furu’ (cabang) malah penyelesaian menyeluruh yang boleh dianggap sebagai ‘once and for all’. Dengan kata lain masalah ini merupakan salah satu dari cabang masalah umat, sama seperti masalah-masalah lain yang dihadapi oleh umat masa kini seperti kes kehilangan anak-anak di dalam jagaan ibubapa, kes wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket pelacuran, kes wanita ditipu oleh peraduan gores & menang dan banyak lagi masalah-masalah yang dihadapi oleh umat yang tak tersenaraikan di sini.

Jika sesuatu masalah itu dilihat secara terpencil (isolated) dan langkah-langkah penyelesaian yang diambil hanya tertumpu kepada masalah itu sahaja, maka inilah yang dimaksudkan dengan penyelesaian furu’ atau cabang itu tadi. Jika kita boleh bayangkan keadaan sebatang pokok bunga yang hidup segan mati tak mahu. Pandangan zahir yang terlihatkan oleh kita adalah keadaan daunnya semakin layu, kekuningan dan tidak segar. Pemiliknya tidak akan merawat daun pokok tersebut tetapi dia akan membeli baja, menambah baja kepada pokok bunga tersebut, tanahnya digemburkan, akarnya disiram setiap hari dan seumpamanya. Inilah gambaran yang boleh diberikan kepada masalah yang sedang dihadapi oleh umat masa kini. Masalah yang pelbagai itu tadi adalah daun-daun dari pokok bunga tersebut. Masalah tidak akan selesai sekiranya hanya daun yang layu itu sahaja yang diberikan penjagaan, melainkan pokok tersebut dirawat secara keseluruhannya iaitu dari akarnya.

Berbalik kepada persoalan penyelesaian secara menyeluruh, penting untuk kita semua sebagai seorang yang mengaku Islam dan mengucap dua kalimah syahadah untuk kembali kepada penyelesaian yang diberikan oleh Islam sebagai sebuah agama yang sempurna. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 3 yang bermaksud : “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu”.

Rasulullah Salallahu Alahi Wa Sallam bersabda: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi-Nya.” [Hadis riwayat Imam Malik, 1395, bersumber dari Umar bin Khaththab radiallahu anhu]

Bagaimana yang dimaksudkan dengan kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah? Para pembaca yang dimuliakan, tanyalah dengan diri kita sendiri, berapa kerapkah kita merujuk kepada Al-Qur’an dan Sunnah dalam tindakan kita sehari-hari? Berapa kerapkah kita mengingatkan diri kita sendiri tentang halal haramnya aktiviti yang kita lakukan saban hari? Mungkin kita semua terlupa untuk mengingatkan diri sendiri. Kenapa terlupa? Tidak lain jawapannya kerana kita sibuk mengejar dunia. Siapa yang menyibukkan kita dengan dunia? Tidak lain jawapannya adalah sistem yang diperkenalkan oleh musuh Islam yang menjadi amalan umat Islam seluruh dunia iaitu sistem Kapitalis. Sistem inilah yang telah berideologi dan berakar umbi dalam diri umat Islam, sehingga umat Islam sendiri lupa bahawa sistem Islam adalah jauh lebih mulia dan jauh lebih baik dari Sistem Kapitalis yang sarat dengan kepincangan dan kecacatannya.

Sekularisme-Kapitalisme seperti api dalam sekam telah memakan jiwa-jiwa umat Islam sehingga jauh dibawa arus dunia. Contohnya, sistem perundangan di negara yang diamalkan di kebanyakan negara di dunia adalah sistem undang-undang sivil yang sesetengah penulis menamakannya sebagai sistem undang-undang sekular. Dalam kes Raja Munirah Raja Iskandar yang dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun oleh sebuah mahkamah di Jepun, dilaporkan bahawa peguam yang membela beliau telah menasihatkan beliau untuk mengaku bersalah kerana sekiranya mengaku bersalah, hukuman yang dikenakan lebih ringan. Nasihat seperti ini adalah prosedur biasa bagi seorang peguam. Cuma harus diingat bahawa tidak semua kesalahan memperuntukkan hukuman yang lebih ringan sekiranya pengakuan bersalah dibuat oleh tertuduh, lebih-lebih lagi kes yang melibatkan dadah. Malang sekali di sini walaupun pengakuan bersalah dibuat oleh tertuduh, hukumannya bukanlah enam bulan sebagaimana diberitahu oleh peguam sebaliknya mahkamah menjatuhkan hukuman tujuh tahun. Bukan isu prosedur yang cuba diketengahkan di sini tetapi isu yang lebih penting dari itu iaitu apabila mana manusia tidak berhukum dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka manusia itu sendiri akan mengalami kehancuran. “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta". [TMQ Taaha (20) :124] Sistem undang-undang sivil mengguna pakai maksim yang menyebut bahawa seseorang yang ditangkap (dituduh) atas satu kesalahan dikira bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya. Perkara ini berlawanan dengan Islam, di mana di dalam Islam seseorang yang ditangkap (dituduh) atas satu-satu kesalahan akan dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan sebaliknya sebagaimana kaedah fiqqiyyah:. Asal (dalam tuduhan jenayah) adalah tiada bersalah (kecuali selepas dibuktikan).” [Asbah wa an-Nazair, Imam Jalaluddin as-Sayuti, hlm 74]

Mungkin ramai yang keliru dan tertanya-tanya kenapa tertuduh perlu mengaku bersalah walhal dia tidak bersalah. Salah satu faktor yang menyebabkan pengakuan bersalah dibuat adalah mengharapkan hukuman yang lebih ringan manakala faktor lain adalah menjimatkan masa dan kos. Namun itu semua ukuran dari sudut pandangan sistem undang-undang sekular yang jauh berbeza dari sudut pandangan sistem perundangan Islam. Rasulullah Sallallahu Alahi Wa Sallam menyarankan para hakim supaya berlaku adil dalam menghakimi pertelingkahan, dan berhukum dengan kitabullah dan as-sunnah. “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah” [TMQ Maidah (5):49]. Persoalannya bukanlah di negara mana tertuduh itu dibicarakan, baik di Jepun atau di Malaysia, hatta di mana-mana negara sekalipun, jika sistem sekular yang diguna pakai, keadaannya akan tetap sama. Ini hanyalah satu dari contoh kepincangan yang berlaku dalam sistem yang diguna pakai oleh seluruh dunia pada masa ini. Banyak lagi kepincangan lain yang berpunca dari kegagalan ideologi Kapitalis jika kita rungkaikan satu persatu.

Ideologi Sekuler-Kapitalis juga memperkenalkan satu lagi istilah yang tak kurang menariknya iaitu ‘globalisasi’. Arus yang dibawa oleh globalisasi terlalu deras dan tidak mampu dikekang. Disebabkan globalisasi trend kehidupan manusia berubah, konon mengejar kemajuan, walhal segala pegangan agama seolah tidak dipeduli langsung akibat dari mengejar kemajuan tersebut. Kos sara hidup meningkat, sekaligus memaksa wanita meninggalkan tugas hakiki mereka sebagai pengurus rumahtangga untuk sama-sama bekerja bagi mengukuhkan ekonomi keluarga. Tidak dapat dinafikan bahawa jumhur ulama’ berpendapat hukum bagi wanita bekerja adalah mubah (harus) atas izin suami atau walinya selagi tidak melakukan keharaman berdasarkan firman Allah dalam surah An-Nisa’ayat 34 yang bermaksud : “Bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh seseorang sama ada lelaki atau wanita berhak mendapat bahagian daripada apa yang diusahakan...” Akan tetapi, sistem ekonomi Kapitalis yang melingkari kehidupan kita menyebabkan bekerja menjadi satu kewajipan kepada wanita untuk lari dari kemiskinan dan tekanan kos sara hidup kerana hukum-hakam yang berkaitan dengan jaminan pemenuhan keperluan primer tidak terlaksana.

Penyelesaian Menurut Syarak

Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri dari makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan perumahan kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mengwujudkan mekanisma-mekanisma yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisma tersebut adalah:

a. Mewajibkan Lelaki Memberi Nafkah Kepada Diri dan Keluarganya.
Islam mewajibkan laki-laki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ”Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.”
[TMQ Al-Baqarah (2): 233].

b. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya
Realiti menunjukkan bahawa tidak semua lelaki berkemampuan untuk bekerja mencari nafkah. Ada dikalangan mereka yang cacat mental atau fizikal, sakit, lanjut usia dan lain-lain penyebab ketidakmampuannya untuk bekerja. Dalam situasi sebegini, pemenuhan nafkahnya adalah menjadi tanggungjawab kerabat terdekat yang memiliki hubungan darah untuk membantu mereka.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman yang bermaksud:
“…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].

Jika seseorang secara peribadi tidak mampu memenuhi keperluannya maka kewajiban memenuhi nafkah beralih ke kerabat terdekatnya sekiranya terdapat kelebihan harta.

“Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.” [HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].

c. Mewajibkan Negara untuk Membantu Rakyat Miskin
Jika seseorang yang miskin tidak memiliki saudara yang boleh membantunya, kewajiban memberi nafkah beralih ke Baitul Mal (kewangan negara). Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda: “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim].

d. Mewajibkan Kaum Muslim untuk Membantu Rakyat Miskin
Apabila di dalam Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih ke kaum Muslim secara kolektif. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ Adz-Dzariyat (51): 19].

Selain dari hukum-hakam yang dinyatakan di atas, sistem pendidikan yang mementingkan pemantapan akidah akan dapat membendung gejala tamakkan harta hingga terjerumus dalam pekerjaan yang haram.

Khatimah

Sesungguhnya masalah di atas akan selesai apabila Islam terlaksana secara kaffah (keseluruhan) dengan berdirinya sebuah Negara (Daulah Islamiyyah). Sekadar mengubati tanda atau gejala masalah, tidak akan menyelesaikan masalah apatah lagi jika tidak merujuk kepada sumber wahyu. “Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” [TMQ Al-An’am (6) : 38). Memahami realiti dan mencari jalan keluar menurut hukum syarak tidak hanya memberi ketenangan kepada kita, malah pematuhan kepada hukum syarak itu sendiri dalam seluruh aspek kehidupan adalah jalan menggapai redha-Nya.

Wallahu ‘alam bis ash-shawab
SHARE THIS

1 comments:

  1. Alahai! kaum hawa teman dan pelengkap kaum adam bagi mengembangbiakkan bani insan.adakah antunna lupa utk apa kita diciptakan?Allah berfirman:

    "وما خلقتُ الجنَ و الانسان الا ليعبدونِ "
    الذاريات:56
    "dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah akan Daku"
    sangat jelas apa tujuan kita diciptakan.semata-mata utk menyembah yg menciptakan kita,dgn mematuhi segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.Mula detik ini wahai kaum hawa sedarlah akan misi kita di dunia ini,jgn biar kita menjadi alat kpd syitan dari jenis jin dan manusia segeralah kepada keampunan dan keredhaan Allah.
    Semuga Fikratulummah sentiasa menjadi menjadi pelurus dan penjana pemikiran kita dan seluruh umat manusia.Syabas dan teruskan usaha.dari ummuathiyah.

    ReplyDelete