Thursday, July 24, 2008

Benarkah Wanita Punya 1 Akal Dan 9 Nafsu?




Status wanita dalam masyarakat sering menjadi topik yang hangat diperkatakan. Banyak isu yang dianggap baik dan buruk yang berkaitan dengan mereka sering dibahaskan. Sebelum kedatangan Junjungan Mulia Muhammad Salallahu Alayhi Wa Sallam untuk membawa manusia dari kegelapan kepada cahaya, wanita adalah antara spesis yang mana status sosial mereka amat menyedihkan. Dalam masyarakat Yunani, mereka boleh dijual-beli, tidak memiliki hak sivil dan hak pewarisan. Dalam peradaban Romawi, kekuasaan atas wanita diberikan kepada ayah tetapi berpindah tangan setelah berkahwin. Kekuasaan penuh ini memberi hak kepada ayah atau suami untuk menjadikan wanita bahan dagangan, mengusir, menganiaya dan membunuh mereka. Peradaban Cina dan Hindu juga amat zalim. Hak hidup seorang wanita hanya sepanjang hayat sang suami. Walaupun tradisi kejam ini dianggap berakhir di abad ke-17, di sesetengah tempat di India masih lagi diamalkan adat sati yang mana wanita dibakar hidup-hidup bersama dengan mayat suami. Orang Yahudi dan Nasrani pula menganggap wanita adalah punca Adam diusir dari syurga sehingga mencetuskan perdebatan di kalangan orang Nasrani pada abad ke-5 Masehi untuk menentukan adakah wanita mempunyai ruh suci. Mengapakah begini hina status wanita? Antaranya ialah wanita dikatakan mempunyai sembilan nafsu dan satu akal. Kurangnya akal seringkali dikaitakan dengan fikiran mereka yang dianggap mudah terpedaya, mudah dipengaruhi akibatnya banyaknya nafsu sehingga secara lazimnya mereka tidak berfikir panjang dan bersifat emosional.

Dalam kalangan umat Islam, pelbagai andaian dikemukakan untuk membenarkan pandangan umum bahawa wanita adalah kurang akal dan banyak nafsu. Seorang penulis dalam blog [http://khairolkhalid.blogspot.com/2005/12/lelaki-9akal-perempuan-1-akal.html] mengatakan bahawa tanggapan tentang wanita mempunyai satu akal dan sembilan nafsu ini bertitik tolak dari interaksi seorang tokoh sufi tersohor iaitu Rabi’ah Adawiyyah dengan Hassan Al-Basri, seorang ulama’ terkemuka yang lahir di zaman kekhilafahan Umar bin Al-Khattab. Suatu hari Hasan Al-Basri bersama dua orang sahabatnya bertandang ke rumah Rabi’ah Adawiyyah dengan tujuan meminangnya untuk salah seorang daripada mereka. Rabi’ah Adawiyah menyambut hasrat mereka itu dengan baik, tetapi dengan syarat mereka mestilah dapat menjawab soalan yang dikemukakan olehnya. Rabi’ah bertanya: “Berapa banyakkah nafsu lelaki dan berapa pula nafsu perempuan?” Lantas Hasan Basri menjawab: “Nafsu lelaki hanya satu, manakala nafsu perempuan sebanyak sembilan nafsu.” Lalu Rabi’ah pun menyambut jawapan itu dengan katanya: “Jika benar demikian, kenapa kamu yang bernafsu satu tidak mampu menahannya sedangkan aku yang mempunyai sembilan nafsu sanggup berbuat demikian?” Mendengar jawapan paku buah keras itu, Hasan Basri pun berlalu pergi bersama sahabatnya sambil menangis sehingga membasahi janggut mereka.

Selain daripada itu, sebahagian umat Islam juga punya anggapan yang sama melalui tafsiran mereka dari beberapa hadis tentang isu ini. Antaranya ialah hadis riwayat Muslim daripada Abdullah bin Umar Radiallahu Anhu. Katanya: Rasulullah Salallahu Alayhi Wa Sallam telah bersabda: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar iaitu memohon ampun. Kerana aku melihat kaum wanitalah yang lebih ramai menjadi penghuni neraka.” Seorang wanita yang cukup pintar di antara mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, kenapa kami kaum wanita yang lebih ramai menjadi penghuni neraka?” Rasulullah bersabda: “Kamu banyak mengutuk dan mengingkari suami. Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal, daripada golongan kamu. Wanita itu bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Apakah maksud kekurangan akal dan agama itu? “Rasulullah bersabda: “Maksud kekurangan akal ialah penyaksian dua orang wanita sama dengan penyaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mendirikan sembahyang pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama”

Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Wahai kaum perempuan, bersedekahlah, karena aku melihat kamu sekalian sebagai penghuni neraka paling banyak." Para perempuan bertanya, "Mengapa wahai Rasul?" Nabi Salallahu Alayhi Wa Sallam menjawab, "Kamu sering mengumpat dan melupakan kebaikan orang, aku sekali-kali tidak melihat orang yang (dikatakan) sempit akal dan kurang agama, tetapi bisa meruntuhkan keteguhan seorang lelaki, selain kamu." "Mengapa kami (dianggap) sempit akal dan kurang agama, wahai Rasul?" Nabi Salallahu Alayhi Wa Sallam menjawab, "Bukankah kesaksian perempuan dianggap setengah dari kesaksian laki-laki?" "Ya" jawab mereka. "Itulah yang dimaksud sempit akal; bukankah ketika sedang haid wanita tidak solat dan tidak puasa?" "Ya" jawab mereka. "Itulah yang dimaksud kurang agama" [HR Imam Bukhari].

Fikratul Ummah kali ini ingin menjelaskan kesalah-fahaman yang berleluasa dalam masyarakat berkenaan dengan isu ini.

Naluri dan Nafsu

Allah Subhanahu wa Taala menjadikan manusia dan haiwan dengan naluri-naluri (ghara’iz). Antara naluri-naluri itu adalah naluri untuk menyembah sesuatu yang dianggap suci (gharizah al-tadayyun), naluri ‘survival’ (gharizah al-baqa’) dan naluri untuk melestarikan keturunan (gharizal al-nau’). Manusia tidak dinafikan hak untuk memenuhi naluri-naluri yang disalah-tafsirkan sebagai nafsu semata-mata selagi ia dilakukan dengan jalan yang halal. Dalam hal ini, adalah tidak adil menganggap hanya wanita mempunyai banyak nafsu. Hakikatnya, ada hukum-hakam yang Allah turunkan kepada manusia untuk memastikan pemenuhan naluri-naluri yang disebut sebagai nafsu ini adalah berdasarkan perintah-Nya kelihatan bertentangan dengan tuduhan terhadap wanita itu sendiri. Contohnya, seandainya wanita secara umumnya dianggap memiliki naluri seksual yang lebih tinggi terhadap lawan jenis mereka, mengapakah kaum lelaki yang dibenarkan berpoligami? Dari nas, kita mendapati Surah An-Nisa 4:3 iaitu “Maka kawinilah wanita-wanita [lain] yang kamu senangi: dua, tiga atau empat” bukanlah nas untuk membolehkan poligami, sebaliknya ayat ini diturunkan untuk menghadkan poligami kepada empat wanita sahaja, dan bukannya lebih ramai dari itu yang telah menjadi tradisi dalam masyarakat Arab jahiliyyah dan lain-lain bangsa sejak zaman berzaman. Sebagai Muslim sejati, sungguhpun kita tidak boleh sama sekali mencari-cari sebab akan suatu hukum atau perintah selain dari illat syar’ie, akan tetapi perlu kita menyedari bahawa tujuan hukum syarak (maqasid syar’iyyah) itu sendiri adalah untuk menjaga kemaslahatan manusia yang mana hukum-hakam itu adalah sesuai dengan fitrah manusia yang mempunyai naluri-naluri tersebut.

Tolok-ukur Perbuatan (miqyas al-‘amal)

Selain dari memiliki naluri-naluri, manusia juga diciptakan Allah Azza wa Jalla dengan keperluan jasmani (hajat al-udhuwiyyah) yang mana jika tidak dipenuhi akan menjejaskan nyawa mereka. Maka, setiap perbuatan mereka adalah dalam rangka untuk memenuhi keperluan jasmani ataupun naluri. Dalam hal ini, ukuran perbuatan seseorang sama ada lelaki atau wanita bukanlah dengan stigma – “Ahhh wanita ni banyak nafsu, kurang akal sebab itu mereka sering terjebak maksiat” atau ‘Tengoklah orang lelaki. ‘Cool’ aje sebab mereka panjang akal”. Akan tetapi apa yang perlu diperhatikan oleh umat Islam ialah sama ada perbuatan manusia baik lelaki mahupun wanita selaras dengan syarak atau bertentangan dengan nas yang sahih sesuai dengan kaedah usul fiqh untuk perbuatan iaitu al-aslu fi al- afa’al taqayyudu bi hukmi syar’ie (hukum asal perbuatan seseorang itu adalah tertakluk pada hukum syarak). Hukum syarak ini adalah Al-Quran dan Sunnah dan yang terbit dari keduanya. Persepsi bahawa wanita punya satu akal dan sembilan nafsu yang disebut oleh seorang ulama’ tersohor bukanlah sumber hukum syarak yang menjadi tolok-ukur perbuatan kita.

Kesaksian wanita kurang berbanding lelaki

Dalam dua hadis yang disebutkan di atas, salah satu punca wanita dianggap kurang akal adalah disebabkan kesaksian mereka yang kurang berbanding lelaki. Berdasarkan kitab Ahkam Al-Bayyinat, jika kita melihat kepada nas-nas syarak daripada ayat-ayat Quran dan Hadis, dapat kita katakan bahawa kesaksian itu adalah 2 orang saksi lelaki. Ini berdasarkan firman Allah :

Dan persaksikanlah dengan 2 orang saksi laki-laki dari kalangan kamu [TMQ Al-Baqarah (2): 282]

Wahai orang-orang yang beriman, apabila salah seorang dari kamu menghadapi kematian sedangkan dia akan berwasiat, maka hendaklah (wasiat itu) disaksikan oleh 2 orang yang adil diantara kamu atau 2 orang yang berlainan agama daripada kamu [TMQ Al-Maidah (5): 106]

Dan persaksikanlah dengan 2 orang saksi yang adil diantara kamu [TMQ At-Talaq (65): 2]

Berdasarkan kepada hadis pula :

Hadis daripada Al Asy’ ath bin Qis yang berkata, `Aku dan seorang lelaki berbalah berkenaan dengan perigi. Maka kami membawa kes ini kepada Rasulullah Salallahu Alayhi Wa Sallam. Maka Rasulullah Salallahu Alayhi Wa Sallam bersabda, `Kemukakanlah 2 orang saksi atau sumpahnya’.

Ahmad meriwayatkan daripada Iyad bin Himar bahawa Nabi Salallahu Alayhi Wa Sallam bersabda, `Barangsiapa yang menemui barang temuan, maka hendaklah dia mengemukakan 2 orang saksi yang adil’.

Aishah berkata, `Tidak ada nikah kecuali dengan wali dan 2 saksi yang adil’
.


Berdasarkan nas-nas yang banyak ini, ianya menjelaskan bahawa saksi itu adalah 2 orang lelaki yang adil. Meskipun tidak ada nas yang menerangkan dengan lafaz umum dan nas-nas yang ada adalah khusus untuk kejadian-kejadian tertentu, tetapi sebenarnya meliputi kesemua aspek muamalat. Maka, nas-nas di atas menjelaskan bahawa saksi minima adalah 2 orang.

Maka, secara umumnya, kesaksian itu adalah dua lelaki yang adil atau satu lelaki sama dengan dua wanita. Jika kita membuat kesimpulan akan singkatnya akal wanita disebabkan hanya berdasarkan dalil di atas, kita akan terus membuat kesimpulan yang salah. Ini adalah kerana terdapat pengecualian keatas saksi iaitu tidak semestinya 2 orang lelaki iaitu:

1. Tidak cukup 2 saksi lelaki, maka boleh 1 lelaki dan 2 wanita. “Jika tak ada dua orang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu redhai, supaya jika seorang lupa maka seorang lagi mengingatkannya” [TMQ Al-Baqarah (2):282]. Selain surah 2:282 adalah Hadis Rasulullah daripada Ibnu Umar bahawa Nabi bersabda, `Dan saksi untuk 2 orang perempuan itu sama dengan 1 saksi lelaki’.

2. Kesaksian dengan sumpah pendakwa dan 1 saksi lain. Hadis daripada Ibnu Abas yang menerangkan kesaksian dengan sumpah orang yang mendakwa beserta 1 saksi. Sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alayhi Wa Sallam melakukan pemutusan perkara (qadha) dengan satu sumpah dan 1 saksi. Ini turut disahkan oleh Jabir yang meriwayatkan hal yang sama.

Pengecualian saksi 2 orang juga adalah bagi kes-kes khusus iaitu:

i) Kes zina yang perlukan empat orang saksi. “Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik [berbuat zina] dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka [yang menuduh itu] delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lamanya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik”[TMQ An-Nur (4):4] dan “Mengapa mereka [yang menuduh itu] tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? [TMQ An-Nur (24):13] dan

ii) Kes melihat hilal (anak bulan) iaitu satu orang. Diriwayatkan daripada Ibnu Abas bahawa seorang lelaki Arab telah mendatangi Rasulullah dan mengatakan, `Sesungguhnya aku telah melihat anak bulan’. Maka Rasulullah bertanya, `Adakah kamu ini bersaksi dengan La Ila Ha Ilallah ? Dia berkata, `Ya’. Kemudian Rasulullah bertanya lagi, `Adakah kamu mengaku bahawa Muhammad itu Rasul Allah?’ Dia menjawab, `Ya’. Baginda kemudiannya telah memerintahkan Bilal untuk bangun dan mengumumkan kepada orang ramai mengarahkan mereka untuk mula berpuasa pada hari keesokkannya.

3. Kes saksi perempuan yang mana pengakuan seorang wanita di zaman Rasulullah tentang penyusuan diterima oleh Rasulullah.

4. Kesaksian seorang wanita untuk kes-kes yang tidak dapat dijangkau oleh lelaki seperti kes penyusuan. At-Tawas Radiallahu Anhu berkata, Rasululullah bersabda, `Kesaksian seorang wanita adalah harus pada apa yang lelaki tidak boleh melihat/menjangkau kepadanya’. Ini diperkuatkan lagi oleh Hadis Hudzaifah, `Sesungguhnya Rasulullah Salallahu Alayhi Wa Sallam membolehkan saksi seorang wanita keatas kelahiran’ dan baginda Salallahu Alayhi Wa Sallam bersabda, `Kesaksian seorang wanita itu harus pada apa yang tidak dapat dijangkau oleh lelaki’.

Maka, kita mendapati sebenarnya ada kes-kes yang mana kesaksian satu orang wanita diiktiraf yang membuktikan bahawa jika wanita itu kurang akalnya, bagaimana mungkin kesaksiannya diterima. Berkenaan dengan kurangnya kesaksian wanita melainkan dalam kes-kes khusus yang melibatkan mereka seperti kes radha’ah (penyusuan) dan kelahiran, sebenarnya ianya adalah bersesuaian dengan fitrah wanita itu sendiri. Melalui cahaya Islam, status kaum wanita yang dizalimi dalam masyarakat jahiliyyah diangkat oleh Allah melalui hukum-hakam yang diturunkan untuk mengatur urusan mereka. “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [TMQ Al-Ahzab (33):33]

Sungguhpun wanita tidak dilarang untuk keluar dari rumah mereka jika perlu selagi diizinkan wali atau suami mereka, kita mendapati bahawa jika tanpa urusan mustahak, mereka diperintahkan untuk tinggal di rumah sahaja. Wanita yang dalam bahasa Arab disebut dengan istilah mar’ah, untha dan nisa’ ini diperintahkan untuk tinggal di rumah demi untuk menjaga keselamatan dan maruah mereka. Mengapakah keselamatan dan maruah mereka begitu penting sekali? Ini adalah kerana menurut kamus al-Munjid, maksud perkataan al-untha adalah pecahan dari kata kerja anutha yang bererti lembut dan tidak keras. Menurut Ibnu Al-Arabi, disebut al-untha sebagai perempuan kerana ia lebih lembut dari lelaki. Manakala perkataan al-mar’ah yang juga membawa erti perempuan atau wanita, menurut kamus al-Munjid ia bererti sedap dan enak. Sedap dan enak sama ada dari segi percakapan atau bentuk tubuh. Oleh kerana wanita adalah sesuatu yang lembut, sedap dan enak, amat wajar golongan yang lemah ini diperintahkan tinggal di rumah sahaja jika tiada keperluan, menjadi tanggungjawab suami atau wali dan ada hukum-hakam berkenaan safarnya mereka kerana lazimnya, sesuatu yang enak dipandang dan dinikmati mudah menarik perhatian dan sukar bebas dari gangguan. Justeru, golongan ini amat terjaga dan jauh dari tempat-tempat dimana berlaku jenayah. Selain itu, wanita juga tidak wajib bekerja yang mana perkara ini menjadikan mereka kurang arif dengan urusan berkenaan muamalat yang mana transaksi dan akad memerlukan saksi. Oleh kerana itulah kesaksian mereka kurang berbanding dengan lelaki kerana kurangnya maklumat atau informasi tentang kebanyakan aspek muamalat. Selain dari itu, jika hanya kerana kurang akal, mengapakah kesaksian mereka diterima dalam urusan yang diluar jangkauan lelaki? Ini bermakna kurang akal lahir dari kurang maklumat atau kurang informasi.

Khatimah

Allah Subhanahu wa Taala menjadikan lelaki dan wanita masing-masing dengan fungsi, tanggungjawab dan taklif syarak mereka tersendiri. “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain (kerana) bagi orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan., dan bagi para perempuan (pun) ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan” [TMQ An-Nisa (4):32]. Setiap Muslim sama ada lelaki atau wanita hendaklah berusaha semaksima kemampuan mereka untuk mematuhi perintah dan menjauhi larangan-Nya. Sebagai wanita, walaupun hadis Nabi menyebut bahawa kaum wanita paling ramai di neraka, ia sepatutnya dijadikan faktor motivasi untuk mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi salah seorang penghuni syurga Allah. “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu” [TMQ At-Thagabun (64):16]. Umat Islam juga hendaklah menilai sesuatu isu dengan merujuk kepada sumber wahyu dan bukannya logik akal manusia atau kisah-kisah sufi yang beranggapan bahawa membuang dunia akan mendekatkan seseorang itu kepada Allah (taqarrub ilallah). Amat penting memahami bahawa penilaian kepada seseorang itu samada lelaki atau wanita adalah berdasarkan sejauh mana mereka mematuhi hukum-hakam yang dibebankan kepada mereka dan adakah mereka memenuhi keperluan jasmani serta naluri-naluri mereka sesuai dengan hukum syarak. Sesungguhnya, mulia dan hinanya manusia itu sama ada lelaki atau wanita bukanlah berdasarkan tafsiran sempit dari logik akal manusia sebaliknya ketaqwaanlah yang menjadi kayu ukurnya. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu” [TMQ Al-Hujurat (49):13].

Wallahu a’lam bissawab.

No comments: