Friday, July 11, 2008

Krisis Makanan Sedunia: Kesan kepada kos sara hidup dan peranan wanita.






Muslimin Muslimat yang dimuliakan,

Kenaikan harga barang dan perkhidmatan semakin hari semakin meruncing. Antara faktor yang dianggap menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup adalah krisis makanan yang didakwa turut berpunca dari peralihan bidang pertanian untuk makanan kepada pertanian untuk bio-fuel yang lebih menguntungkan, peningkatan jumlah penduduk dunia dan kenaikan harga minyak dunia, jatuhnya nilai dolar Amerika, pertumbuhan pelaburan yang tinggi di China dan India serta spekulasi para pelabur yang menjejaskan bursa saham. Pelbagai jalan keluar dikemukakan untuk mengatasi masalah yang membimbangkan kaum wanita selaku pengatur rumah tangga.

Fikratul Ummah kali ini membentangkan satu artikel bertajuk Krisis Makanan Sedunia: Kesan kepada kos sara hidup dan peranan wanita. Dan juga satu petikan dari kitab sistem kewangan di Negara Khilafah. Selain menjelaskan faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan kesannya kepada kos sara hidup, adalah diharap agar pembaca akan dapat memahami lebih mendalam realiti berkisar isu ini, jalan penyelesaian yang diambil oleh pelbagai pihak sama ada umat Islam atau bukan Islam yang rata-ratanya masih dalam kerangka pemikiran sekuler-Kapitalis.

Selain dari memahami penyelesaian masalah ini menurut hukum syarak, adalah amat penting kepada umat Islam memahami bahawa satu aspek penting yang menyebabkan kos sara hidup meningkat adalah disebabkan kuasa membeli (purchasing power) yang semakin merudum disebabkan oleh kewujudan mata wang yang tidak lagi bersandarkan emas (fiat money) yang bermula pada tahun 1971 apabila Presiden Nixon membatalkan Perjanjian Bretton-Wood dengan mencetak banyak wang untuk membiayai ekonominya. Kewujudan fiat money ini diperkenalkan oleh negara kolonialis untuk memanipulasi pasaran wang dunia dan menjadi alat penjajahan. Sebagai bukti, terjadi perubahan ketara pada dolar Amerika. Nilainya terus susut sejak 2001. Ini menyebabkan ia semakin terdedah kepada jualan, sehingga defisit perdagangan Amerika mencapai USD1.25 bilion sehari. Ini akan mendorong Federal Reserve untuk mencetak lebih banyak lagi wang yang justeru akan semakin menurunkan nilai dolar (BH 18 Julai 2003).

Semua ini tidak akan berlaku jika mata wang yang beredar di pasaran adalah bersandarkan emas atau perak yang merupakan mata wang dunia paling stabil yang pernah diketahui. Antara kebaikannya ialah ia mempunyai nilai intrinsik, sehingga dikehendaki di mana pun; ianya universal, tersedia secara meluas dan diiktiraf sebagai barang berharga di mana jua; nilainya stabil, kebal terhadap inflasi dan deflasi; tidak boleh di manipulasi oleh spekulasi, keadaan sekitaran dll sehingga kos urus niaga boleh dikurangkan; tidak bergantung kepada penawaran dan permintaan; kenaikan/penurunan nilainya spesifik untuk kawasan tertentu; mata wang dinar dan dirham mustahil dipalsukan dan sukar dimusnahkan; membantu mengelakkan kezaliman, penipuan dan penjajahan, serta menjadi alat utama melaksanakan beberapa hukum syariat.

Sesungguhnya, dengan kewujudan semula Daulah Khilafah yang akan melaksanakan hukum-hakam Islam secara keseluruhan termasuk sistem ekonomi Islam, masalah yang melanda kehidupan manusia disebabkan kejahatan sistem ekonomi Sekuler-Kapitalis akan dapat diselesaikan dan Islam yang merupakan rahmatan lil alaamin akan menyinari kehidupan seluruh umat manusia.

Wallahu alam bisshawab


=============================================================================





Sekarang ini heboh diperkatakan tentang krisis makanan sedunia yang mana hampir setiap hari laporan di media membicarakan hal ini. Namun, bagaimana kesedaran umat untuk mengambil tahu apakah  sebenarnya krisis makanan sedunia, mengapa ia berlaku dan apakah ia memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada kita? Sepintas lalu, kita menyaksikan krisis makanan ini membawa kesan langsung kepada kenaikan harga barang, seterusnya peningkatan kos sara hidup.
 
Jika satu ketika dahulu RM50 yang dibawa ke pasar boleh menampung sehingga tiga hingga empat hari bekalan makanan basah, namun kini jika nilai mata wang yang sama di bawa, rosot nilai mata wang ini memberi kesan langsung terhadap barang yang dapat dimiliki kerana kuasa membeli (purchasing power) telah berkurang. Manakala harga bagi makanan asas seperti beras naik mendadak dari RM3 sehingga RM5 sekilogram. Sebungkus nasi ayam biasa yang dahulunya berharga RM3 – R3.50 akan  menjadi lebih mahal disebabkan kenaikan harga beras. Inilah antara kesan yang paling ketara hasil daripada krisis tersebut. Berdasarkan 'trend' masa kini, kemungkinan harga beras akan terus melambung adalah spekulasi yang amat membimbangkan. Ini berdasarkan teori asas ekonomi berkenaan permintaan dan penawaran yang popular iaitu "Apabila permintaan  melebihi penawaran, maka harga akan meningkat." Selain itu, kenaikan harga minyak dunia memburukkan lagi keadaan ini sehingga kesan limpahannya membawa kepada kenaikan kos sara hidup kerana fungsi pengangkutan yang menggunakan minyak dalam aktiviti ekonomi.
 
Laporan Bernama pada 2hb Mei 2008 mengatakan bahawa di Putrajaya, Kabinet yang bersidang pada hari yang sama telah meluluskan peruntukan RM2.49 bilion, di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan untuk menjamin bekalan makanan negara bagi tahun ini. Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed turut menjelaskan bahawa  peruntukan itu adalah sebahagian daripada RM4 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak lama dahulu, untuk menangani isu bekalan makanan dan harga makanan negara. Beliau berkata Kementerian itu telah mengenal pasti tujuh langkah pelaksanaan bagi peruntukan yang baru diluluskan itu. Langkah-langkah itu adalah:
 
(i)  Peningkatan pengeluaran beras.
(ii) Pewujudan stok penimbal beras. 
(iii)Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian.
(iv) Program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan
dan perikanan.
(v) Mengukuhkan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian.
(vi) Pelaksanaan program Bumi Hijau.
(vii)Pengurusan kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.
 
Walau bagaimanapun, amat perlu bagi kita memahami realiti dan menjawab persoalan-persoalan berikut: Benarkah krisis makanan seperti bekalan dan harga beras sahaja yang menyebabkan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup? Bagaimanakah kaum wanita yang terlibat dalam pengurusan kewangan keluarga menghadapi isu ini? Apakah peranan mereka sebatas mengikut arus atau sebenarnya mereka boleh melakukan sesuatu untuk mengatasi kemelut yang semakin meruncing ini?
 
Faktor-faktor berlakunya krisis makanan dan kesan
 
Kenaikan mendadak harga makanan kini telah mencapai tahap yang sangat membimbangkan terutama bagi negara-negara miskin. Pada 29 Februari 2008, demonstrasi besar-besaran diadakan di Mexico akibat dari kenaikan harga tepung tortilla. Di Senegal, Mauritania dan beberapa negara di Afrika berlaku tunjuk perasaan akibat dari kenaikan harga bijirin. Di Yemen pula, kanak-kanak melakukan demonstrasi untuk menarik perhatian pemerintah mengenai kebuluran kanak-kanak. Pada 13hb Februari yang lalu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) telah mengumumkan bahawa akibat dari harga makanan yang naik mendadak, 37 buah negara berada dalam krisis yang amat buruk. Di banyak negara lain, ia diburukkan lagi dengan konflik, banjir dan cuaca buruk seperti Taufan Nargis di Myanmar yang mengorbankan puluhan ribu nyawa.
 
Antara yang menjadi punca utama masalah ini adalah kenaikan harga minyak dan baja, permintaan yang tinggi ke atas tanaman makanan untuk tujuan penjanaan bahan api bio (biofuel) dan simpanan makanan dunia yang rendah di samping alasan yang menjadi isu lapuk adalah pertambahan penduduk dunia yang terlalu cepat berbanding pengeluaran makanan untuk menampung pertambahan ini. Namun, apa yang pelik adalah, tidak pula disebut mengenai masalah 'pengagihan', sedangkan kita sedia maklum bahawa sejak dahulu lagi, semasa sebahagian Afrika dalam kebuluran, terdapat lebihan makanan di bahagian utara dunia (Barat).
 
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Amerika Syarikat (FAO) menjangkakan 37 buah negara akan berdepan dengan krisis bekalan makanan terburuk pada abad ini. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pula dalam satu laporannya menyatakan harga beras dunia sejak lima tahun lalu meningkat sehingga tiga kali ganda. Jabatan Pertanian Amerika Syarikat pula dalam kenyataannya memberitahu kenaikan itu adalah tertinggi sejak dua dekad lalu, sedangkan produktivitinya semakin menurun sejak 1980-an.

  Kenyataan rasmi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini bahawa krisis makanan dunia berada pada tahap serius dan boleh mengancam kempen membasmi kemiskinan sejagat untuk jangka masa panjang. Pertubuhan itu turut menyeru agar masyarakat dunia bersatu bertindak secara bersepadu bagi mengelak implikasi politik dan keselamatan yang lebih besar daripada krisis ini. Situasi ini jika tidak dikawal akan mewujudkan ketegangan dan kekacauan dalam negara yang boleh membawa kepada masalah kebuluran kronik, demonstrasi, protes dan keganasan di serata dunia.

  Tindakan Thailand, Vietnam dan Myanmar yang menjadi periuk nasi utama dunia menghentikan eksport beras ke luar negara sehingga 50 peratus akan memburukkan lagi krisis yang sedang dihadapi ini. Walaupun tindakan mereka adalah bagi menjamin dasar makanan dan pertanian negara masing-masing akibatnya akan dihadapi oleh negara lain yang bergantung sepenuhnya kepada import beras seperti Singapura, beberapa negara Arab, Eropah dan sebagainya. Dalam isu yang sama, Bank Dunia dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Antarabangsa (FAO) baru-baru ini turut memberi amaran krisis pemakanan global akan berlanjutan terutama di Asia, Afrika dan Amerika Selatan, berikutan kekurangan bekalan dan kenaikan harga komoditi itu. Lebih menakutkan apabila Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran harga makanan yang melambung tinggi boleh membawa kepada kejatuhan kerajaan dan mencetus peperangan yang mana setakat ini telah berlaku rusuhan besar-besaran di Haiti, Mesir dan beberapa negara lain akibat krisis ini. Peperangan dan penjajahan dalam bentuk baru tidak mustahil berlaku sekiranya stok makanan dunia semakin berkurangan dan sukar diperoleh.

Dalam hal ini negara miskin dan membangun akan menjadi mangsa keadaan krisis terbaru ini yang boleh membawa kepada kancah peperangan. Demokrasi juga boleh tergugat dan disalah guna oleh pihak tertentu bagi memburukkan lagi keadaan di mana boleh mengancam sistem pemerintahan negara jika fenomena terbaru ini gagal ditangani segera.

  Peralihan kuasa secara drastik dan tidak terkawal yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah yang sedang dialami boleh berlaku pada bila-bila masa di kebanyakan negara apabila rakyat bangkit bertindak mengikut emosi dan ketika `perut lapar', apa saja sanggup dilakukan sebagai tanda protes dan balas dendam. Apabila politik tidak stabil dan tidak terurus, struktur ekonomi dan sosial juga akan terjejas dan mampu memberi impak negatif kepada landskap pembangunan negara.
 
Selain daripada sebab yang telah dinyatakan tadi ada pelbagai teori yang merangkumi menjadi punca kepada krisis makanan global ini, antaranya ialah pertambahan penduduk dunia yang terlalu cepat berbanding pengeluaran makanan untuk menampung pertambahan ini. Jika dikatakan pertambahan penduduk menjadi penyumbang utama krisis tersebut (iaitu penduduk ramai, makanan kurang) perlu dilihat tidak pernah terjadi dalam sejarah manusia krisis makanan satu dunia. Jika satu ketika dahulu, padi dituai hanya setahun sekali. Pada masa kini, dengan adanya teknologi moden, padi dapat dituai 2 kali setahun malah ada yang dituai 3 kali setahun. Menurut kajian dari UN yang bertajuk United Nations State of Food and Agriculture Reports, sejak Perang Dunia Kedua, makanan dunia telah bertambah sebanyak 30% bagi setiap penduduk dunia. Dan bagi sesetengah negara membangun, pertambahan pengeluaran makanan mencapai 38%. Ini termasuklah Arab Saudi, negara padang pasir yang berada di tempat ke sepuluh dalam pengeluaran gandum, mengeksport AS200 juta dolar gandum setiap tahun.
 
Namun negara-negara dunia ketiga dan membangun kerap dipersalahkan kerana mempunyai pertambahan populasi yang terlalu tinggi walaupun negara-negara industri Barat menggunakan 81% daripada jumlah barangan pengeluaran dunia. Walaupun negara dunia ketiga mempunyai jumlah kekayaan semula jadi yang lebih besar tetapi ia hanya menggunakan sejumlah 3.6% daripada kekayaan semula jadi dunia. Negara industri Barat menggunakan sejumlah 50% daripada simpanan minyak dunia, walaupun mereka hanya mengeluarkan sebanyak 25% daripadanya.
 
Jika dikatakan masalah bencana alam menyebabkan banyak tanaman musnah, mengapa pada tahun 2004, iaitu pada waktu terjadinya bencana tsunami tidak berlakunya krisis makanan padahal kebanyakan negara yang terlibat di dalam bencana tsunami ialah penyumbang kepada penghasilan padi dunia.
 
Adapun mengenai dakwaan bahawa kenaikan harga makanan adalah akibat dari permintaan tinggi terhadap makanan bagi penjanaan bahan api bio (biofuel), perlulah diperhatikan bahawa penghasilan bahan api bio hakikatnya tidaklah melibatkan makanan seperti beras dan gandum yang merupakan makanan utama bagi kebanyakan penduduk di dunia. Seharusnya, dengan meningkatnya keperluan untuk penghasilan bahan api bio,  maka sewajarnya harga minyak mentah menunjukkan penurunan. Namun, ini tidak berlaku – bahkan harga minyak kini telah mencecah USD107 setong! Bandingkanlah dengan harga minyak yang hanya menjangkau USD50 setong sebelum AS menceroboh Iraq lima tahun lepas.
 
Penyelesaian dari Perspektif Kapitalis Termasuk Peranan Wanita
 
Wanita selaku ibu menjadi pengurus rumah tangga sedar bahawa dalam apa jua keadaan, setiap keperluan isi rumah seboleh-bolehnya dipenuhi. Krisis makanan, kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang berlaku, secara tidak langsung menjejaskan keperluan isi rumah. Apabila berdepan dengan situasi ini, pelbagai saranan diajukan untuk menyelesaikannya. Antaranya, di peringkat nasional, MTUC mendesak kerajaan untuk setuju memberi gaji minimum RM1,200 [UM 3 Mei 2008].
 
Ada juga yang mencadangkan penyelesaian untuk isu-isu seperti di bawah ini sebagai jalan keluar:

i.   Hentikan pengkorporatan lebuh raya, penswastaan dan perjanjian yang berat sebelah. Contohnya kos pembinaan semua lebuh raya termasuk Guthrie ialah RM4.13 bilion, tetapi kerajaan telah membayar pampasan hingga (2006) berjumlah RM4.86 bilion, iaitu melebihi dari harga pembinaan lebuh raya. Sedangkan kutipan tol bagi kesemua 19 lebuh raya hingga tahun akhir 2006 adalah sebanyak RM23.65 bilion [BH, 21 Mac 2007].

ii.  Harta negara seperti Petronas tidak lagi menjadi hak milik syarikat kerana rakyat tidak mendapat manfaat dari keuntungan yang diraih Petronas.

iii. Elakkan pembaziran seperti pampasan sejumlah RM800 juta akibat pembatalan pembinaan jambatan bengkok.

iv.  Elakkan rasuah seperti pembinaan enam buah kapal PV yang harga asal hanya RM 2.875 bilion tetapi meningkat kepada RM5.35 bilion (dua buah sahaja yang siap tetapi lewat).
 
Manakala di peringkat individu, antara saranan yang diwar-warkan ialah:

i.  Berjimat cermat dengan menyusun semula belanjawan keluarga.

ii. Redha dengan ujian.

iii.Contohi sikap Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam yang biasa berlapar dan makan ala kadar.

iv.Penggunaan perancang kehamilan untuk mengurangkan ahli keluarga sedangkan pada hakikatnya Allah telah berjanji bahawa setiap anak Adam yang lahir, mereka itu ada rezekinya masing-masing.  Seperti Firman Allah :
 
"Kamu jangan membunuh anak-anak kamu kerana takut kelaparan. Kamilah Yang (menjamin) memberi rezeki mereka, juga rezeki kamu." [TMQ Al-Isra' (17) : 31]

Penyelesaian menurut hukum syarak
 
Krisis makanan yang berlarutan hingga menyebabkan kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini tidak mungkin selesai kerana punca masalah tidak dilihat dari sudut yang benar tetapi dikaji hanya berdasarkan kesan atau

gejala sahaja. Ada saranan yang bakal membuatkan umat Islam menjadi semakin mundur apabila isu ini dipandang sebagai ujian, malah takdir yang tidak mampu diubah.
 
Peranan yang boleh dimainkan oleh kaum wanita adalah memahami apakah masalah akar (root cause) agar peranan yang mampu mereka mainkan tidak sekadar berjimat cermat, mengurangkan makanan, redha dengan ujian yang dianggap tiada jalan keluar serta lain-lain penyelesaian yang diambil dalam kerangka pemikiran Sekuler-Kapitalis. Di sini, kita melihat bahawa punca utama yang berlaku adalah masalah pengagihan yang tidak seimbang antara manusia. Dengan kata lain masalah utamanya adalah sistem ekonomi Kapitalis yang mengatur sumber tersebut dan bagaimana sistem tersebut mengagihkan dengan cara yang tidak sepatutnya. Islam memiliki sistem yang dapat menjamin segala keperluan manusia itu akan terpelihara. Satu-satunya iaitu sistem ekonomi Islam yang merupakan salah satu sistem yang wujud dengan keberadaan sebuah negara (Daulah Islamiyyah) yang mana hanya Daulah Islam yang benar-benar akan melaksanakannya secara benar. Kewujudan Daulah yang dipimpin oleh seorang khalifah yang dilantik untuk mentadbir seluruh manusia berdasarkan Al-Quran dan Sunah akan menitik beratkan pengagihan keperluan asas, termasuk makanan dan kekayaan kepada 'setiap individu' dan mengharamkan kekayaan dan keperluan hidup dikuasai hanya oleh golongan tertentu dalam masyarakat seperti syarikat-syarikat multi-nasional dan golongan yang kaya-raya. Sememangnya dalam masyarakat akan terdapat golongan yang lemah dan tidak berkeupayaan untuk memiliki keperluan asas untuk hidup, namun Islam telah menggariskan tatacara penjagaan golongan tersebut agar hidup mereka tidak terabai dalam Daulah Islam.

"Dan janganlah harta kekayaan berputar pada golongan yang kaya di antara kamu" [TMQ Al-Hashr (59):7]

Setiap manusia mempunyai hak terhadap keperluan hidup seperti makanan, tempat perlindungan dan pakaian dan setiap manusia juga berkongsi dalam ke pemilikan mereka ke atas air, bahan api dan tanah pertanian. Pada masa yang sama setiap manusia juga berhak mendapatkan hak-hak mereka secara percuma dalam bidang pendidikan, perubatan dan apa-apa sahaja perkara yang menyentuh hak manusia yang hidup sebagai sebuah masyarakat. Semua ini iaitu penerapan sistem ekonomi Islam tidak sekadar menyelesaikan krisis makanan, kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup, malah akan menjanjikan kesejahteraan seluruh umat manusia sama ada Muslim atau bukan Muslim sesuai dengan statusnya selaku rahmatan lil alamin.

Wallahu a’lam bi ash-shawab

No comments: