Ramadhan, Penyucian Diri Dan Muslimah Sejati




Ramadhan datang lagi. Bulan penuh rahmat ini pastinya menjadi momentum untuk umat Islam melakukan muhasabah diri, seterusnya melakukan perbaikan yang diharapkan akan kekal sepanjang tahun. Rasulullah Salallahu Alaihi Wa Sallam bersabda:

“Hai manusia! Telah datang kepada kamu satu bulan yang mulia, bulan rahmat....dimana bulan ini mewajibkan kamu berpuasa di siang hari dan sukarela bersolat pada malamnya. Barangsiapa yang mendekati Allah dengan melakukan segala amalan sunat di bulan ini akan menerima ganjaran seperti melakukan amalan wajib di lain hari. Ini merupakan bulan kesabaran dan kesabaran itu imbuhannya syurga. Ini juga bulan sedekah dan bulan dimana rezeki orang beriman bertambah...” [HR Ibnu Khuzaimah]


Dalam kalangan Muslimah pula, kedatangan Ramadhan ini akan menjadi titik-tolak perjalanan menjadi Muslimah sejati.
Tidak lain dan bukan, muslimah sejati iaitu muslimah solehah ibarat mutiara bersinar yang dapat dilihat dari kejauhan oleh penghuni langit. Muslimah sejati ini menjadi perhiasan hakiki di dunia yang memperindahkan bumi dan mendamaikan segala keadaan. Persoalannya ialah apakah

Ciri-ciri Muslimah sejati itu?

Ada pihak yang mengatakan bahawa muslimah sejati terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai sifat pemalu yang digunakan untuk menjaga kewanitaan mereka. Ada yang mengatakan Muslimah ini dari kalangan yang sentiasa menghiasi bibirnya dengan perkataan yang mulia serta berzikir. Muslimah yang dianggap seperti bunga-bunga mekar menguntum yang menceriakan taman-taman ini dikatakan bukan dilihat dari kecantikan dan keayuan wajah semata-mata sebaliknya ia dilihat dari kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi. Muslimah sejati juga bukan dilihat dari banyaknya kebaikan yang dilakukan sebaliknya bergantung kepada keikhlasannya.

Siapakah sebenarnya Muslimah Sejati?

Muslimah sejati bukanlah hanya menjurus kepada sosok-sosok atau ‘figure’ tertentu sebagaimana yang difaham oleh sebahagian umat Islam yang mana mereka menganggap muslimah sejati adalah mereka yang menampilkan diri dengan pakaian yang Islamik atau yang dianggap ‘ekstrim’ seperti memakai jubah dan bertudung labuh, bercakap lemah-lembut, rajin melakukan amalan sunat seperti banyak melakukan solat sunat dan membaca Quran. Wanita yang tampil dengan ciri-ciri ini dianggap lebih “alim” atau “lebih bertaqwa”.

Apa yang perlu difahami oleh seseorang Muslim itu adalah semua perbuatan mereka adalah tertakluk kepada hukum syarak sebagaimana kaedah usul fiqh untuk perbuatan iaitu ‘al-aslu fii af’al attaqoyyudu bi hukmi syar’ie’ yang bermakna “hukum asal perbuatan tertakluk pada hukum syarak”. Dalam hal ini, kita hendaklah memahami makna taqwa sebenar sebelum kita membuat kesimpulan bahawa muslimah yang tampil begini adalah lebih baik, lebih alim atau lebih warak dari orang lain.

Bulan Ramadhan yang penuh rahmat ini wajar menjadi momentum pada kita memahami makna taqwa dalam erti kata sebenar. Firman Allah Subhanahu Wa Taala: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu beroleh taqwa” [TMQ Al-Baqarah (2): 183]

Kata ‘taqwa’ datang dari kata ‘waqiya’, maknanya memelihara. Iaitu memelihara diri dari kemurkaan Allah dan hukuman-Nya. Kerana itulah kata taqwa digunakan untuk menjelaskan perbuatan melakukan apa yang diredhai Allah (halal) dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya (haram).

Taqwa secara dasarnya bermaksud kesedaran tentang Tuhan iaitu menyedari akan kewujudan Allah dalam semua perbuatan dan urusan kita. Berpuasa sewajarnya dapat membantu kita memperoleh taqwa kerana ia meletakkan kita dalam suasana ketaatan kepada Allah. Setiap kali kita berasa lapar atau penat semasa berpuasa, kita tahu bahawa kita melakukannya kerana taatkan Allah. Inilah yang membantu kita menyedari hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wa Taala.

Umar bin Al-Khattab pernah melihat orang-orang yang sedang bersembahyang lalu berkata, “Banyaknya bilangan kamu menaikkan dan menundukkan kepalamu tidak dapat memperdayakanku. Deen yang sebenar ialah bersikap berhati-hati dan tepat dalam Deen Allah, menjauhi larangan Allah, dan berkelakuan dengan berpandukan kebenaran dan larangan Allah.”

Anak kepada ‘Ali radiallahu anhu, Al-Hassan radiallahu anhu pernah berkata, “Orang-orang yang bertaqwa (al-Muttaqun) adalah mereka yang menjauhi apa saja yang dilarang Allah dan melakukan apa saja yang Allah perintahkan.”

‘Umar bin Abdul Aziz radiallahu anhu pula pernah berkata, “Taqwa bukanlah dengan berpuasa pada siang hari, dan bukan juga dengan solat pada malam hari, dan bukan juga dengan kedua-duanya sekali. Tetapi taqwa ialah meninggalkan apa yang telah diharamkan Allah dan melakukan apa yang difardukan Allah. Setelah ini dapat dilakukan, Allah Subhanahu Wa Taala akan memberikan perkara-perkara baik kepada orang itu”.

Ibnu Juzayy dalam kamus istilahnya berkata dari pengenalan kepada tafsirnya: “Makna taqwa ialah takut, berpegang teguh kepada ketaatan terhadap Allah dan meninggalkan derhaka terhadap-Nya. Inilah sekalian kebaikan.”

Apabila kita memerhatikan makna taqwa di atas, maka kita dapat membuat kesimpulan bahawa ciri-ciri Muslimah sejati itu bukanlah sekadar penampilan fizikal semata-mata sebaliknya Muslimah Sejati itu adalah wanita yang melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah dan menjauhi larangan-Nya. Bulan Ramadhan yang dianggap oleh ramai umat Islam sebagai bulan yang sakral ini sememangnya sering dianggap bulan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wa Taala seperti dalam firmanNya:

”Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" [TMQ Al-Baqarah (2): 183]

Taqwa yang dimaksudkan ini tidaklah cukup dengan hanya mengaku beriman kepada Allah, tetapi juga mesti di buktikan dengan berbagai macam amalan yang menunjukkan bahawa kita mematuhi perintah dan laranganNya. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawa dengan adanya taqwa dalam dirinya, setiap Muslim memiliki perasaan takut yang amat sangat kepada Allah Subhanahu Wa Taala, hanya berbakti dan tunduk kepadaNya, serta membersihkan hati dan perbuatan dari segala dosa [Minhajul 'Abidin, halaman 121].

Meningkatkan ketaqwaan kita dengan melakukan pensucian diri khususnya di bulan Ramadan tidaklah terfokus dengan hanya menjalankan hukum-hakam Allah yang mengatur hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wa Taala sahaja, tetapi juga menjalankan hukum-hakam yang mengatur hubungan diantara sesama manusia dan juga aturan-aturan Allah Subhanahu Wa Taala yang mengatur hubungan manusia dengan dirinya sendiri. Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya [TMQ Al-Baqarah (2): 208]

Ayat inilah yang menyedarkan kita bahawa ketaqwaan yang akan menghantarkan kita kepada keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala adalah ketaqwaan yang bersifat mutlak sama ada lelaki atau wanita. Ramainya umat Islam yang hanya memfokuskan diri pada ibadah ritual terutamanya di bulan Ramadan ini sebenarnya disebabkan karena mereka memahami dengan sempit arti tazkiyatu an-nafs (pensucian diri). Mereka memahami bahwa tazkiyatu an-nafs adalah aktiviti jiwa yang menenangkan hati. Sehingga wajar sahaja jika ramai dari mereka yang hanya menjalankan ibadah dengan tujuan untuk memperbaiki diri sendiri seperti solat tarawih, puasa, tidak berbohong, membaca Al-Quran, berzikir dan bersabar. Sebenarnya makna tazkiyatu an nafs tidak sesempit yang selama ini kita fahami. Tazkiyatu an-nafs bererti beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Taala dengan menerapkan seluruh hukum Allah Subhanahu Wa Taala apakah itu solat atau menghindari riba, membaca Al-quran atau menegakkan khilafah dan berzikir ataupun berjihad. Semua ini adalah aktiviti-aktiviti yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Sehingga jiwa kita dengan sendirinya akan menjadi suci bersih. Sebenarnya, kesucian jiwa akan kita dapat jika kita selalu menjadikan Allah dan rasul lebih kita cintai daripada diri, keluarga dan harta kita dan menjadikan halal dan haram sebagai tolak ukur perbuatan kita.

Selain dari itu, Muslimah sejati bukan hanya wanita yang menutup aurat sempurna sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah dalam Al-Quran:

“Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya” [TMQ An-Nur (24) :3]

“Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka" [TMQ Al-Ahzab(33):59]

Muslimah sejati juga bukan hanya memfokuskan pada amalan mahdhah semata-mata kerana hadis: Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan ramadhan ,menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya,maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya[riwayat Al Bazzar].

Ini adalah kerana banyak taklif syarak yang dibebankan kepada umat Islam lelaki dan wanita seperti kewajipan berdakwah berusaha semaksima kemampuan mereka untuk memartabatkan deen yang mulia ini sebagaimana yang dilakukan oleh Junjungan mulia Muhammad Salallahu Alayhi Wa Sallam, para sahabat dan generasi sesudah mereka. Taklif syarak yang dibebankan ini telah menjadikan mereka pejuang yang bukan sahaja istiqamah di bulan-bulan biasa tetapi juga hebat melakar kejayaan walaupun semasa menjalani ibadah puasa.

Telah tercatat dalam lipatan sejarah bahawa terjadi peristiwa-peristiwa besar pada bulan Ramadan seperti Perang Badar, pembukaan kota Mekah, pembukaan Baitul Maqdis, pembukaan Konstantinople dan Perang 'Ain Jalut. Ternyata, para sahabat dan generasi Islam sebelumnya menghabiskan waktu di bulan Ramadan dengan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Mengagungkan deen Allah Subhanahu Wa Taala. Mereka mengorbankan jiwa dan harta mereka demi tertegaknya Islam. Dilihat dari segi pengorbanan harta Abu Bakar dapat kita jadikan teladan di mana beliau menginfakkan seluruh hartanya hanya untuk jihad fisabilillah sehingga Rasul bersabda: "Sesungguhnya yang paling besar jasanya padaku dalam persahabatan dan hartanya adalah Abu Bakar." [HR. Bukhari dan Muslim]

Selain itu, mereka juga sanggup melakukan pengorbanan jiwa seperti ketsiqahan kaum Anshar untuk membela hingga mati agama yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Kisah ini terjadi ketika Perang Badar yang berlaku pada 17 Ramadhan. Ketika Rasulullah masih merasa ragu dengan ketsiqahan kaum Anshar untuk menolong baginda, Sa'ad bin Mu'az yang mewakili golongan Ansar berkata "Tidak seorang pun diantara kami yang akan berundur. Kami tidak takut apa pun yang akan dilakukan musuh terhadap diri kami, kami adalah orang-orang yang tabah dalam perang ….kami akan senang pula dengan berkat dari Allah". Keteguhan kaum Anshar ini telah mendorong menghantarkan mereka menyerang 1,000 pasukan kafir Quraisy dengan hanya bermodalkan kekuatan 313 pasukan tentera Muslim.

Muslimah sejati juga adalah mereka yang mengambil tahu permasalahan umat Islam dan tidak hanya mengambil berat isu-isu umat Islam dengan hanya menghulurkan sedekah semata-mata yang amat digalakkan di bulan Ramadhan. Mereka hendaklah menyedari bahawa ketika hukum Allah tidak diterapkan dengan sempurna, kehidupan umat Islam akan penuh dengan kesengsaraan, penghinaan dan ketakutan.

Ternyata, setelah 84 tahun kita melewati Ramadan tanpa tegaknya Khilafah dan tidak menjadikan Al-Quran sebagai pedoman hidup, umat Islam sekarang menghadapi berbagai permasalahan yang tak kunjung padam. Contohnya dalam masalah akidah, kita mendapati bilangan orang yang murtad telah mencapai 250,000 orang [www.malaysiakini.com/8 julai 2006]. Selain itu, bilangan penagih dadah telah mencapai 260,000 di tahun 2006 [www.utusan Malaysia.com] dan pada bulan Januari hingga Julai 2007 telah terjadi hampir satu kes rogol setiap empat jam [Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Fu Ah Kiow, dalam Dewan Rakyat pada 29 November 2007]. Dalam bidang ekonomi pula, telah diterapkan sistem riba yang mengakibatkan seramai 15,868 pemegang kad kredit yang terdiri daripada individu dan pengarah syarikat dikenakan tindakan muflis pada tahun 2005 dan hutang kad kredit rakyat Malaysia telah berjumlah hampir RM20 bilion pada Disember 2006 [www.putri.net.my]. Muslimah sejati mesti menyedari bahawa antara punca pelbagai masalah ini adalah kerana Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sumber utama undang-undang negara ini (supreme law of the land) yang dinukil hasil buah fikiran Sang Kafir (Lord Reid) sebagai sumber hukum dan bukannya Al-Quran yang telah diturunkan di bulan yang mulia ini.

Khatimah

Sesungguhnya setiap Muslimah yang merindukan syurga Allah pasti berusaha keras untuk menjadi Muslimah sejati. Walaubagaimanapun, untuk mencapai tujuan ini, apa yang penting bukanlah hanya penampilan fizikal dan memberi penekanan dan fokus pada ibadah ritual semata-mata khususnya di bulan Ramadhan sahaja. Sebaliknya mereka sebenarnya hendaklah memahami dengan benar maksud tazkiyah an-nafs (penyucian) diri yang mana ia bukan satu usaha sebulan dalam setahun sebaliknya mereka mesti melakukan penyucian diri ini sepanjang tahun dan dalam semua aspek kehidupan seperti mu’amalat. Memahami dengan jitu dan tepat maksud taqwa sebenar juga amat penting kerana alim, warak dan hebatnya seseorang bukan diukur dari kayu ukur atau perspektif manusia yang selalunya berat sebelah. Sebaliknya pematuhan pada hukum syarak iaitu memenuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya itulah yang bakal membawa seseorang Muslimah itu ke arah mencapai status Muslimah Sejati.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment