Ramadhan Penyucian Diri










Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh,


Bulan Ramadhan yang penuh keberkahan ini datang lagi. Bulan yang mulia ini seringkali menjadi pemangkin kepada umat Islam untuk bertaqarrub ilallah iaitu mendekatkan diri kepada Allah. Nuansa Islamik dapat disaksikan dimana-mana dengan alunan merdu ayat suci berkumandang di majlis-majlis tadarrus al-Quran, juga di majlis-majlis tazkirah yang berleluasa. Begitu juga dengan majlis-majlis iftar yang mana para tetamu terdiri dari anak-anak yatim dan golongan kurang berkemampuan yang seringkali diadakan syarikat korporat, badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan disamping solat sunat terawih. Golongan kaya memeriahkan bulan Ramadhan dengan melakukan ibadah umrah di Tanah Suci. Kaunter-kaunter zakat juga dibuka di banyak tempat umum termasuk di pusat-pusat membei belah. Atmosfera Islamik yang menyaksikan manusia bertambah ketaqwaannya ini diharapkan akan dapat diteruskan walaupun setelah fajar Syawal menyinsing.

Walaubagaimanapun, sesuatu yang perlu difikirkan umat Islam ialah adalah adakah kita hanya perlu fokus kepada ibadah mahdhah sahaja seperti solat, puasa, zakat dan haji/umrah serta fokus pada masalah akhlak sahaja dalam rangka untuk meningkatkan ketaqwaan? Ibnu Taimiyyah didalam as-siyasah as-syar’iyyah mengatakan bahawa kewajipan melantik ketua negara (khalifah/imam) dimana dengan itu manusia bisa taat kepada Allah dan Rasulullah merupakan afdhulul qurubaat (sebaik-baik mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala) kerana ketika khalifah menerapkan syariat Islam dalam seluruh kehidupan ia bererti bahawa setiap aspek kehidupan yang kita lakukan adalah sebahagian dari ketaatan kepada Allah.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini akan mengemukakan dua artikel yang mana para Muslimah khususnya diharap akan menyedari tanggungjawab mereka mendidik anak-anak supaya taat kepada hukum syarak. Muslimah juga diharapkan agar memahami makna muslimah sejati bukan dengan ciri-ciri klise yang difahami masyarakat. Dua artikel terjemahan juga menyusul yang mana intipatinya ialah untuk merenung kembali kejayaan yang pernah dilakar umat Islam di bulan yang mula ini. Adalah diharapkan disamping melakukan ibadah wajib dan sunnah di bulan ini, kita juga berusaha mengembalikan kehidupan Islam dalam kapasiti dan taklif syarak yang dibebankan ke atas Muslimah sehingga membawa kepada tertegaknya negara Daulah Khilafah bukan sahaja untuk memenuhi pra-syarat afdhulul qurubaat, sebaliknya kerana ia adalah satu kewajipan dan bukannya pilihan.

Walllahu a’lam.

============================================================================



Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, Ramadhan Al-Mubarak yang penuh rahmat, keberkatan dan pengampunan. Bulan Ramadhan juga yang di dalamnya terdapat satu malam (Lailatul Qadar) yang lebih baik daripada seribu bulan telah muncul kembali dan tahun ini sekali lagi kita diberi kesempatan oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk menjalani ibadah puasa dan meraih sebanyak-banyaknya pahala yang berlipat ganda sekiranya kita mengerjakan amal ibadah sepanjang bulan yang penuh dengan kemuliaan ini dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan hanya kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Sesungguhnya pada bulan Ramadhan ini Allah Subhanahu Wa Taala akan menaungi kaum Muslim dengan segala keagungan dan keberkatan. Pahala amalan sunat pada bulan Ramadhan setara dengan pahala amalan fardhu pada bulan lain, manakala pahala amalan fardhu pada bulan Ramadhan setara dengan pahala melaksanakan tujuh puluh amalan fardhu. Rasulullah telah bersabda:“Telah datang kepada kalian Ramadhan, bulan penuh berkat. Pada bulan itu, Allah Subhanahu Wa Taala mewajibkan atas kalian shaum (puasa).

Pada bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.” [HR Ahmad dan an-Nasai]

Kehebatan bulan Ramadhan di jelaskan oleh Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam di penghujung bulan Sya’ban melalui khutbahnya di hadapan umat manusia dengan menjelaskan berbagai-bagai keutamaannya:-

Wahai sekalian manusia…

Akan datang menaungi kalian bulan yang agung dan penuh berkat; bulan yang di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang di dalamnya Allah Subhanahu Wa Taala wajibkan berpuasa dan melaksanakan qiyam tathawwu’ (solat sunat tarawih). Siapa saja pada bulan itu mendekatkan diri dengan sebuah amal kebajikan, ia seperti telah melaksanakan kewajiban….siapa saja yang mengerjakan kewajiban, ia seperti melaksanakan tujuh puluh kewajiban…

Ramadhan adalah bulan sabar. Sabar itu pahalanya syurga. Ramadhan adalah bulan memberi pertolongan dan bulan Allah Subhanahu Wa Taala memberikan rezeki kepada kaum Mukmin. Siapa saja yang memberi makan berbuka seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan keselamatan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang berpuasa tanpa sedikitpun berkurang…Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu.

Itulah bulan permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya nescaya Allah Subhanahu Wa Taala mengampuni dosanya dan menyelamatkannya dari neraka. Kerana itu, perbanyakkanlah empat perkara di bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian dan dua perkara lagi yang sangat kalian perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah Subhanahu Wa Taala dan memohon ampuna-Nya. Dua perkara yang sangat kalian perlukan ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka… [HR Ibnu Huzaimah]

Ketika umat Islam telah mulai sampai ke bulan Ramadhan ini, maka para ibu terutamanya sudah sinonim dikaitkan dengan kerenah anak-anak dalam melatih mereka menjalani ibadah puasa agar apabila mereka telah menginjak remaja dan dewasa, menjalani ibadah puasa bukan lagi masalah atau asing bagi mereka. Dalam bulan ini, memandangkan gharizah at-tadayyun (naluri beragama) para ibu mulai meningkat, kebanyakan mereka tidak melepaskan peluang mengajak anak-anak menunaikan solat sunat tarawih bersama-sama di surau-surau atau di masjid-masjid untuk mengajar anak-anak supaya mendekatkan diri ke masjid untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Taala. Para ibu juga mula mengajar dan mengingatkan anak-anak supaya menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang baik seperti sentiasa bersabar, tidak melihat dan mendengar perkara keji dan buruk, tidak menipu, tidak mengumpat, sentiasa membantu orang yang memerlukan, memberi sedekah dan sebagainya seolah-olah pada bulan Ramadhan ini sahajalah anak-anak ini wajib melakukan kebaikan serta didedahkan dengan pelbagai bentuk ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan juga hanya pada bulan Ramadhan ini sahajalah anak-anak ini wajib melakukan perkara-perkara yang baik dan bukannya pada bulan-bulan lain.

Para ibu wajib menjadikan bulan Ramadhan ini suatu permulaan dan titik tolak untuk mendidik anak-anak supaya taat kepada perintah dan larangan Allah Subhanahu Wa Taala sehingga ke bulan-bulan seterusnya, tahun-tahun seterusnya dan akhirnya sehingga ke akhir hayat. Sekiranya para ibu hanya mendidik anak-anak supaya melaksanakan segala kebaikan hanya pada bulan Ramadhan sahaja maka anak-anak akan mulai keliru dan salah faham bahawa hanya bulan Ramadhan sahaja mereka perlu melakukan kebaikan dan bukannya pada sebelas bulan yang lain dan perkara ini akan menjadi pegangan mereka sehingga dewasa. Para ibu dan juga seluruh umat Islam perlu mengamati dan merenung kembali

firman Allah Subhanahu Wa Taala:“Hai orang-orang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa sebagaimana puasa itu diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertaqwa.” [TMQ Al-Baqarah [2]: 183]

Setelah kita mengamati dan merenung ayat ini, tanpa perlu melalui pengkajian yang lebih mendalam kita akan dapat memahami dan membuat kesimpulan bahawa target akhir yang perlu kita capai daripada perlaksanaan kewajiban puasa (shaum) ini adalah taqwa. Ini bermaksud bahawa puasa adalah merupakan medium yang juga menjadi momentum perubahan untuk mewujudkan individu dan masyarakat yang bertaqwa. Ayat tersebut juga menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wa Taala menyeru kepada orang-orang yang beriman supaya memahami maksud puasa dalam erti kata yang sebenarnya iaitu mengisyaratkan bahawa puasa akan membawa mereka yang berpuasa kepada ketaqwaan kepada Allah Subhanahu Wa Taala sekiranya dilakukan atas dorongan keimanan. Dengan demikian, segala amalan yang dilaksanakan pada bulan Ramadhan samada yang fardhu atau sunat akan lebih bermakna dan berkesan kepada setiap individu sekiranya didasari oleh keimanan.

Namun begitu, inilah yang menjadi kelemahan selama ini setelah bertahun-tahun lamanya umat Islam menjalani ibadah puasa. Aktiviti-aktiviti yang bersifat ritual sepanjang bulan Ramadhan ini tidak didasari oleh keimanan. Puasa yang dikerjakan adalah kerana ia telah menjadi tradisi bukan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan-Nya. Majlis-majlis yang berunsur keagamaan menjadi aktiviti rutin sempena bulan Ramadhan dan bukannya didasari oleh keyakinan bahawa semua itu adalah sebahagian dari kewajipan mengkaji Islam, dakwah serta amar makruf nahi mungkar. Program-program yang berunsur keagamaan juga diadakan mungkin lebih kepada kepentingan perniagaan dan bukannya kerana keyakinan bahawa semua itu adalah sebahagian daripada kewajiban mewujudkan kehidupan yang Islami. Selain itu, penutupan tempat-tempat maksiat dan penghentian kemaksiatan pun dilakukan untuk menghormati kesucian Ramadhan kerana toleransi dan bukannya didasari oleh keyakinan bahawa segala bentuk kemaksiatan besar ataupun kecil akan mendapatkan azab Allah Subhanahu Wa Taala di akhirat kelak.

Kebarangkalian boleh berlaku, apabila Ramadhan selama ini menjadi kurang bermakna dan tidak memberi kesan kepada umat Islam sendiri kerana realiti taqwa yang menjadi hikmah puasa itu sendiri belum dihayati sepenuhnya. Ketaqwaan adalah hikmah daripada puasa. Mereka yang berpuasa mesti sentiasa memperhatikan dan berusaha semaksima yang mungkin agar ketaqwaan terwujud dalam dirinya. Ketaqwaan adalah darjah yang paling mulia bagi hamba yang beriman.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah Subhanahu Wa Taala adalah orang yang palig bertaqwa.” [TMQ Al-Hujurat [49]: 13]

Namun begitu, setelah sebulan mereka menjalani ibadah puasa dengan menahan lapar dan dahaga serta meninggalkan segala perkara yang membatalkan puasa, menunaikan solat sunat tarawih dan sebagainya, tetapi di akhir bulan Ramadhan, mereka tidak nampak apa-apa perubahan yang menjadi momentum dalam diri mereka. Mereka akan menjalani kehidupan seperti biasa dan semuanya akan kembali kepada kehidupan yang normal pada bulan-bulan yang seterusnya, tiada lagi ibadah-ibadah sunat yang dilakukan bahkan ibadah-ibadah fardhu juga jarang dilakukan, tingkah laku juga sudah berubah, iaitu daripada sebelum ini mereka melakukan pelbagai bentuk kebaikan dan kini setelah bulan Ramadhan melabuhkan tirai, mereka melakukan semula perkara-perkara yang menjadi kebiasaan mereka sebelum ini yang tiada lagi kebaikan padanya. Kefahaman-kefahaman umat Islam seperti inilah yang kita sebut sebagai wadah penyucian diri (tazkiyah an-nafs) yang akan menjadi satu fenomena terhadap seluruh umat Islam secara serentak di seluruh dunia.

Maka aktiviti tazkiyah an-nafs ini tidak terkecuali juga dialami oleh kanak-kanak hasil asuhan dan didikan para ibu yang menzahirkan tazkiyah an-nafs ini hanya pada bulan Ramadhan sahaja. Maka perkara ini akan membuat anak-anak keliru dengan apa yang diajarkan oleh ibunya, malah apa yang membimbangkan anak-anak ini sehingga dewasa akan menetapkan dalam mindanya bahawa untuk beribadah dan melakukan perkara-perkara kebaikan hanya pada bulan Ramadhan sahaja atau sekiranya mereka ingin beribadah kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan berperilaku baik, maka mereka perlu menunggu ketibaan bulan Ramadhan. Padahal aktiviti tazkiyah an-nafs ini wajib wujud bukan sahaja pada bulan Ramadhan tetapi pada bulan-bulan lain malahan sepanjang masa. Justeru amat penting umat Islam memahami dengan jelas berkenaan aktiviti tazkiyah an-nafs dalam erti kata yang sebenarnya. Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa pengertian daripada tazkiyah an-nafs. Di antaranya adalah:

Pertama, menyucikan diri daripada kemusyrikan dan kekufuran.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang ummi seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” [TMQ al-Jumuah (62): 2]

Kedua, menyucikan diri dari keburukan-keburukan amal perbuatan dengan melakukan amal-amal soleh.

Sesungguhnya siapa sahaja yang beramal soleh maka manfaatnya akan kembali kepada dirinya sendiri. Sepertimana Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:“Siapa sahaja yang menyucikan dirinya sesungguhnya ia menyucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri.” [TMQ Fathir (35): 18]

Ketiga, menjalankan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:“Jiwa dan penyempurnaan (ciptaan)-Nya. Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya.” [TMQ asy-Syam (91): 6-9]

Keempat, tidak memiliki dosa sedikitpun atau orang yang berdosa kemudian ia bertaubat dari dosa-dosanya.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman:“Lalu berjalanlah kedua-duanya (Khidr dan Nabi Musa a.s.) hingga tatkala kedua-duanya berjumpa dengan seorang anak, maka Khidr membunuhnya. Musa berkata, “Mengapa kamu membunuh jiwa yang suci?” [TMQ Al-Kahfi (18): 74]

Kelima, keimanan secara total dan ketaatan kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman: “(Iaitu) syurga ‘Adn yang mengalir sungai-sungai di bawahnya: mereka kekal di dalamnya. Itu adalah balasan bagi orang yang menyucikan diri.” [TMQ Thaha (20): 76]

Apabila diperhatikan dan diteliti daripada penjelasan pengertian konsep tazkiyah an-nafs di atas, maka dapat disimpulkan bahawa konsep tazkiyah an-nafs sesungguhnya mencakupi dua perkara utama sahaja, iaitu memurnikan keimanan kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan menjalankan ketaatan secara total kepada-Nya.

Sepertimana firman Allah Subhanahu Wa Taala:“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan diriya.” [TMQ Al-A’la (87): 14]


Dengan demikian, telah jelas sekali bahawa tazkiyah an-nafs (penyucian diri) mencakupi aktiviti akal, hati dan anggota tubuh kita, mencakupi keimanan dan amal soleh serta mencakupi seluruh ketaatan kita dalam menjalankan syariat Allah Subhanahu Wa Taala secara total dalam seluruh aspek kehidupan kita.

Maka jelas sekali mendidik anak-anak bukan sahaja hanya pada bulan Ramadhan Al-Mubarak tetapi sepanjang tahun dan sepanjang masa. Mendidik anak-anak juga mestilah dengan cara yang betul iaitu perkara yang paling penting adalah menanamkan akidah pada anak-anak sejak kecil lagi dan tujuan menanamkan akidah pada anak-anak adalah supaya anak-anak ini mengenal Allah Subhanahu Wa Taala dengan sejelas-jelasnya. Setelah anak-anak telah jelas dan kukuh aqidahnya, maka lebih mudah para ibu untuk mendidiknya dan mengajarnya untuk selalu beribadah dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala serta sentiasa mengingatkan anak-anak bahawa apa sahaja perbuatan yang dilakukan semata-mata hanya untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala. Anak-anak akan mudah mengikut arahan atau ajaran para ibu untuk taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala, melaksanakan perintah dan meninggalkan larangan-Nya tanpa banyak persoalan. Ini kerana mereka telah memahami bahawa dirinya, ibu bapanya, seluruh keluarganya, manusia, dunia dan seluruh isinya diciptakan oleh Allah Subhanahu Wa Taala. Oleh kerana itulah mengapa manusia wajib beribadah dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala.

Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Ibu dan bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” [HR al-Bukhari]

Oleh yang demikian, untuk lebih memudahkan para ibu untuk mendidik anak-anaknya untuk sentiasa taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala, para ibu perlu mengambilkira beberapa perkara yang sememangnya amat penting untuk dijadikan panduan mereka.

Pertama, para ibu perlu memberikan maklumat yang benar kepada anak-anak, iaitu yang bersumber dari ajaran Islam semata-mata dan maklumat-maklumat yang diberikan mesti lah meliputi semua perkara yang mencakupi rukun iman, rukun Islam dan hukum-hukum syarak dan bukan yang selain daripadanya. Apa yang penting adalah menggalakkan anak-anak untuk menggunakan akalnya untuk berfikir dengan benar. Para ibu perlu lebih bersabar dalam mendidik anak-anak pada tahap ini kerana bukan suatu yang mudah untuk mereka menerima semua yang kita sampaikan kepada mereka secara sekaligus. Ianya memerlukan sedikit masa dan kita perlu terus-menerus menyampaikan maklumat-maklumat yang benar kepada mereka secara istiqamah. InsyaAllah, mereka akan menerimanya dan akan menjadi kebiasaannya dengan maklumat-maklumat yang benar berlandaskan ketiga-tiganya tadi. Seterusnya mereka akan nampak dengan jelas tujuan perbuatan-perbuatan yang kita suruh mereka lakukan. Contohnya solat dan puasa yang mana kedua-duanya adalah kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wa Taala dan kita wajib melaksanakannya untuk meraih redha-Nya dan bukannya seperti yang dikatakan oleh sebilangan orang bahawa solat dan puasa itu memberi kesan yang baik untuk kesihatan kita dan sebagainya. Apabila anak-anak telah dilatih untuk berpegang kepada maklumat yang benar dan terbiasa dengan setiap perkara yang dihadapinya, ia merupakan cara untuk mengasah ketajaman mereka menggunakan akalnya. Oleh itu, apabila mereka telah melangkah ke alam remaja dan dewasa atau telah sempurna akalnya, maka mereka akan mempunyai prinsip yang tegas dan benar dalam menegakkan kebenaran dengan prinsip yang berlandaskan syariat Islam dan tidak akan mudah terpengaruh dengan faktor-faktor luar termasuk dalam pergaulan dengan rakan sebaya yang kebanyakannya sekarang akan mengundang perkara yang negatif.

Kedua, kita sebagai para ibu sudah semestinya menjadikan diri kita sebagai teladan yang pertama kepada anak-anak untuk diikuti. Ini adalah untuk menjaga kepercayaan anak-anak bahawa ibu mereka seorang yang taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan mereka perlu menjadi sepertimana ibu mereka. Para ibu bukan sahaja hanya seorang ibu tetapi guru pertama yang akan menjadi pendidik dan contoh teladan kepada anak-anak sepanjang tempoh tumbesaran mereka.

Khatimah

Sesungguhnya telah jelas betapa pentingnya peranan ibu dalam mencorakkan anak-anak menjadi generasi yang soleh dan taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan hukum-hakam-Nya. Para ibu tidak seharusnya membuat minda anak-anak menjadi keliru dan berfikiran sempit yang hanya memfokuskan didikan anak-anak untuk taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan syariat-Nya hanya pada bulan Ramadhan Al-Mubarak sahaja. Mendidik anak-anak untuk taat kepada Allah Subhanahu Wa Taala mestilah sentiasa berterusan dan dimulai ketika anak-anak masih kecil lagi.

Peranan dan tugas sebagai ibu hendaklah dimanfaatkan memandangkan kebiasaannya anak-anak akan mengikuti apa sahaja yang biasa nampak pada diri ibunya dan itulah yang akan menjadi pegangan dan kebiasaannya. Oleh itu, biasakan anak-anak untuk melihat betapa ketaatan kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan syariat-Nya sepanjang masa samada dalam bentuk pemikiran atau perbuatan kita di samping menjadikan aktiviti tazkiyah an-nafs sebagai aktiviti harian sepanjang masa bukannya aktiviti bermusim.

Oleh itu, bagi para ibu yang telah pun memulai mendidik anak-anak dalam erti kata yang sebenarnya seperti yang telah dijelaskan di atas, maka teruskan didikan itu dan bagi para ibu yang masih belum memulai langkah tersebut, ayuh mulai sekarang. Semoga dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak yang penuh dengan rahmat-Nya akan menjadi titik tolak untuk mendidik anak-anak dengan aqidah Islamiyyah agar mereka lebih memahami hakikat kehidupan ini yang mana setiap perbuatan yang kita lakukan hanya untuk meraih keredhaan Allah Subhanahu Wa Taala semata-mata, InsyaAllah. Wassalam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment