Pengorbanan Dan Perjuangan



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh


Bulan haji telah tiba lagi. Menunaikan ibadah panggilan Baitullah. Tanah Suci Mekah. Ya Makkatul Mukarramah…. Bulan haji ini amat sinonim dengan ibadah korban. Pasti terbayang di benak kita binatang-binatang ternakan yang bakal disembelih untuk melaksanakan ibadat yang diilham dari peristiwa korban Nabi Ismail alaihissalam. Dinamakan Hari Raya Korban kerana pada hari tersebut umat Islam disunatkan mengerjakan ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan sebagai membesarkan hari tersebut. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajjayat 36: "Dan Kami jadikan unta yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu, pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah semasa menyembelihnya ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Maka apabila ia tumbang serta putus nyawanya, makanlah sebahagian daripadanya dan berilah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikian Kami mudahkan dia untuk kamu menguasainya dan menyembelihnya supaya kamu bersyukur."

Walaubagaimanapun, kebanyakan umat Islam menganggap pengorbanan yang perlu dilakukan hanya sebatas mengorbankan binatang. Masih ramai dalam kalangan umat Islam yang memikirkan maksud pengorbanan dengan pemahaman yang biasa difahami ini. Jauh sekali mengaitkannya dengan kewajipan berdakwah yang merupakan satu kewajipan kepada lelaki dan wanita, yang juga perlukan pengorbanan dan keikhlasan yang tinggi untuk melaksanakannya.

Bersempena dengan musim cuti sekolah juga, selain mengangkat isu pengorbanan, Fikratul Ummah kali ini juga ingin menyajikan suatu artikel bertajuk ’Peranan Ibu Muslimah dalam Memanfaatkan Cuti Sekolah’ agar kaum ibu akan terbuka mindanya dan menyedari bahawa musim cuti sekolah bukan bermakna anak-anak ’cuti’ dari menerima didikan dan bimbingan dari ibu-bapa khususnya dalam bidang agama. Fikratul Ummah juga menyajikan sebuah artikel terjemahan bertajuk ’Adakah Islam Menindas Wanita’ yang merupakan bahagian pertama dari keseluruhan dua buah artikel. Semuga ia dapat mencetuskan dalam minda wanita bahawa agama suci ini benar-benar menjaga kemaslahatan dan mengangkat martabat kaum Hawa melalui pelaksanaan hukum-hakam Islam yang diterapkan secara kaffah dalam sebuah negara iaitu Daulah Islamiyyah.

=======================================================================================




Labbaikallahummalabbaik Labbaikalla syarika laka labbaik... Innalhamda wanni’mata Laka walmulk La syarikalak….

Seruan ini bergema lagi. Seruan lambaian Ka’abah, meminta sang hamba menyahut seruan untuk menjadi tetamu Allah. Berakhirnya Syawal disambut dengan Zulqaedah. Bermulanya Zulqaedah maka bermulalah persiapan untuk menjadi tetamu Allah di bulan Zulhijjah. Zulhijjah akan menjelma lagi. Bagi yang akan menunaikan fardhu Haji, perasaan sedih dan gembira bercampur-baur di dada. Bagi yang sudah bergelar Haji dan Hajjah kedatangan Zulhijjah, pastinya mengundang seribu nostalgia. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sewaktu di Tanah Suci. Ada yang berbangga dengan gelaran yang diperolehi. Golongan yang ikhlas iaitu para mukhlisin merasakan gelaran itu bukan ukurannya melainkan ianya satu martabat yang perlu dijaga dengan begitu teliti agar status haji mabrurnya tidak tercemar.

Itulah sepintas lalu gambaran perasaan umat Islam tatkala menyambut kedatangan Zulhijjah. Ironinya tidak kurang yang menganggap status haji dan hajjah itu adalah segala-galanya. Lengkap sudah dirinya bergelar Islam kerana kesemua rukun Islam telah dipenuhi. Tuntutan setelah gelaran itu diperoleh tidak dijaga. Apa yang dijaja ke sana sini hanyalah status, pengertiannya tinggal kosong. Walaupun ada golongan yang benar-benar mengerti tetapi golongan ini tidak ramai. Golongan yang lebih ramai adalah golongan yang mengejar status dan nama. Bagi yang berkemampuan, setiap tahun pergi haji dan umrah tetapi perangai masih tak berubah. Inilah stigma dalam masyarakat kita hari ini.

Tidak ketinggalan sesuatu yang paling sinonim dengan bulan Zulhijjah ialah “pengorbanan”. Di saat inilah pengorbanan tiga insan agung dalam Islam akan dikenang. Dalam mana-mana ceramah yang dihadiri, maka akan diceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihissalam dan isterinya Hajar serta anak mereka Nabi Ismail alahissalam. Jiwa-jiwa yang tulus-mulus akan merasakan betapa agungnya pengorbanan yang telah mereka lakukan demi Islam yang mana kisahnya dirakam dalam al-Qur’an, manfaatnya dikecapi oleh seluruh manusia sehingga ke hari kiamat.

Itulah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan anak dan isterinya di padang pasir yang tandus sehingga wujudnya telaga zam-zam dan kisah bagaimana Nabi Ibrahim diuji oleh Allah untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail. Sememangnya kisah ini perlu menjadi iktibar kepada seluruh umat Islam. Dihayati sepenuhnya untuk mencapai tahap keimanan yang tinggi di sisi Allah subhanahu wa Ta’ala. Persoalannya berapa ramaikah umat Islam hari ini yang sanggup berkorban demi agama Allah?

Ramai juga yang membayangkan pengorbanan seumpama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail itu tidak wujud lagi di zaman ini. Justeru pengorbanan yang bagaimana yang perlu dilakukan? Jika ditelusuri kisah-kisah para anbiya’, antara intipati penting peristiwa pengorbanan seorang nabi yang menyandang status ‘ulul azmi’ adalah sebagaimana berikut. Sebaik sahaja Nabi Ibrahim alaihissalam merebahkan Nabi Ismail untuk disembelih, Allah telah mengakui bahawa Nabi Ibrahim telah menyempurnakan apa yang dilihat dalam mimpi baginda dan telah menukarkan sembelihan itu dengan seekor kibas.

Maka, terjawab sudah persoalan pengorbanan itu tadi iaitu apa yang perlu dikorbankan adalah haiwan ternakan. Lazimnya, tatkala menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban, kariah-kariah masjid di seluruh Malaysia dan masyarakat secara umumnya melaksanakan ibadah qurban yang mana dagingnya akan diagih-agihkan kepada golongan miskin.

Itulah pengertian pengorbanan yang difahami oleh umat. Rata-ratnya hanya memberi fokus kepada acara kemuncak sambutan Hari Raya Qurban iaitu mengorbankan haiwan ternakan dan kemudian mengagih-agihkan daging sembelihan itu kepada yang memerlukan. Ironinya tidak kurang yang melakukan ibadah qurban untuk menunjuk-nunjuk atau hanya mengikut ‘trend’ sahaja. Untuk golongan ini, Allah memberi peringatan di mana Dia Subhanahu wa Taala berfirman yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketakwaan kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang itu bagi kamu, supaya kamu mengagungkan Allah atas apa yang Dia beri petunjuk kepada kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang melakukan kebaikan." [Surah Al-Haj: 37]

Bagaimana pula golongan wanita melihat pengorbanan yang dilakukan oleh Hajar? Mungkin sahaja ramai yang bertanya kepada diri sendiri: apa yang akan dilakukan sekiranya ditinggalkan sendirian oleh suami bersama anak yang masih memerlukan belaian dan kasih sayang seorang ayah? Di padang pasir yang kering kontang, tiada berpenghuni baik haiwan mahupun tumbuhan, sanggupkah membiarkan suami pergi tanpa sebarang bekalan yang ditinggalkan?

Mungkin ramai yang akan menyatakan kesanggupan bergantung kepada kemampuan diri seseorang wanita itu. Justeru ramai yang menganggap bahawa masing-masing telah melakukan pengorbanan mengikut kemampuan diri mereka. Ada yang berpendapat pengorbanan wanita yang paling tinggi ialah mendidik anak-anak, menjaga rumah tangga, melayan suami dengan baik dan seumpamanya. Persoalannya apakah itu sudah memadai? Adakah wanita hanya dituntut untuk mendidik anak dan menjaga rumah tangga sebagai jalan melayakkannya menjadi penghuni Syurga Allah?

Untuk menjawab persoalan mengenai pengorbanan yang dituntut dari seseorang wanita, seorang penulis Hasbi Ashshiddieqy dalam bukunya Lapangan Perjuangan Wanita Islam, memulakan penerangan dengan memperincikan mengenai kewajipan kaum wanita, iaitu ia tediri dari 5 perkara:

i. Kewajiban meninggikan Islam (wajibat diniyah) dengan memiliki perilaku yang baik, ilmu dan kecerdasan, dan amal usaha dalam gerak perjuangan.

ii. Kewajiban kepada diri sendiri sebagai manusia (wajibat syahsiyyah) dengan menjaga keyakinan/keimanan terhadap Islam dan memelihara jasmani.

iii. Kewajiban terhadap keluarga dan rumahtangga.

iv. Kewajiban terhadap masyarakat dan pergaulan umum, serta

v. Kewajiban terhadap pembangunan pemerintahan dan Negara Islam iaitu Daulah Islamiyah.

Secara ringkas, ia boleh dikategorikan kepada dua kategori utama iaitu kewajiban berdakwah (seringkali di luar rumah) dan kewajiban rumahtangga. Dengan kata lain, pengorbanan yang perlu dilakukan oleh wanita adalah tidak lain, melainkan dalam rangka melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Muslimah.

Sebagai misalnya kewajipan berdakwah, ia sering disalahertikan sebagai tidak terkena kepada wanita, sedangkan di dalam Al Quran dan hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wassallam, banyak seruan kepada kaum Mukminin baik laki-laki maupun perempuan untuk berdakwah dan mengubah realiti yang jauh dari hukum Islam. Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman:

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang ada pada suatu kaum (qaumun) sampai mereka mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka”
[Surah Ar Ra’d 13:11].

Dalam bahasa Arab, kata qaumun dalam ayat tadi mencakup laki-laki mahupun perempuan.

Begitu juga di dalam firmanNya:

Dan hendaklah ada diantara kamu sekelian suatu umat (ummatun) yang menyerukan al-khair (Islam) dan menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari segala kemungkaran. [Surah Ali Imran 3:104].

Dalam ayat ini, terdapat juga petunjuk bahawa yang wajib melakukan dakwah kepada Islam dan amar ma’ruf nahi mungkar adalah laki-laki dan juga perempuan. Hal ini dapat difahami dari kata ummatun yang terdapat dalam ayat tersebut. Kata ummatun dalam bahasa Arab bukanlah milik spesifik laki-laki melainkan ia juga ditrujukan kepada perempuan samada yang masih bujang mahupun yang sudah bersuami.

Banyak lagi hadis dan ayat-ayat lain yang seumpama dengan yang dimaksudkan di atas. Malah ianya mengandungi ancaman keras kepada siapa sahaja yang tidak melakukan dakwah dalam usaha untuk mengubah keadaan kekufuran dalam masyarakat dan mengembalikan kehidupan Islam (isti’nafi hayat islamiah). Allah Subhanahu wa Taala berfirman:

Dan peliharalah diri kamu sekelian dari pada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim diantara kamu sekelian saja. Dan ketahuilah Allah Maha Keras siksa-Nya. [Surah Al Anfal 8:25].

Di dalam satu hadis Rasulullah mengesahkan hal ini dengan bersabda:

Demi zat yang diriku ada dalam genggaman tangan-Nya, sungguh-sungguh kalian (mempunyai dua pilihan, iaitu) melakukan amar ma’ruf nahi mungkar, ataupun Allah akan mendatangkan siksa dari sisi-Nya yang akan menimpa kalian. Kemudian setelah itu, kalian berdoa, maka (doa itu) tidak akan dikabulkan [Hadis riwayat Imam Tirmidzi].

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan di atas, jelas bahawa dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam itu bukan hanya wajib bagi golongan lelaki tetapi juga bagi perempuan. Sesiapa saja yang tidak menunaikannya akan merasakan balasannya kelak di Akhirat. Dan sesiapa saja yang berusaha untuk menghalang dakwah tersebut bererti dia berusaha untuk melarang seseorang dari mentaati Allah Subhanahu wa Taala dan Rasul-Nya.

Perhatikanlah dan renunglah sejenak. Akibat dari kealpaan kita kepada tuntutan dakwah, banyak permasalahan sosial yang dihadapi. Statistik bayi yang dibuang semakin meningkat, statistik bayi yang baru lahir tanpa butiran bapa semakin bertambah, kes-kes sumbang mahram semakin berleluasa dan bermacam lagi permasalahan lain yang tidak disenaraikan, yang kita semua tahu kewujudannya. Maka, tidakkah itu semua memanggil kita untuk menghayati semula kehidupan Islam yang syumul? Tidakkah itu semua membuat kita merasa rindu untuk bernaung di bawah kepimpinan Islam yang sebenar-benarnya agar semua masalah itu dapat diatasi dengan pelaksanaan Islam secara kaffah, secara keseluruhan?

Kembali kepada kehidupan Islam bukanlah perkara yang berlaku secara tiba-tiba melainkan ianya memerlukan pengorbanan. Memenuhi tuntutan kewajipan yang disebut di atas juga memerlukan pengorbanan. Bagi seorang wanita, sedarlah bahawa pengorbanan yang dituntut dari seorang wanita itu bukan hanya mencakup tugas sebagai pendidik kepada anak-anak dan pengatur rumah tangga malah tugas dan tanggung jawab dakwah juga dituntut dari setiap Muslimah.

Wahai Muslimah,
Bangkitlah untuk berjuang menegakkan agama Allah di muka bumi ini. Hayatilah pengorbanan yang telah dilakukan oleh empat wanita Islam yang agung, yang mana hasil pengorbanan mereka kita dapat mengecap nikmat Islam hari ini. Mereka itulah yang disebut dalam satu hadis Rasulullah di mana diriwayatkan pada suatu hari Baginda membuat garis di atas tanah, Baginda pun bertanya kepada sahabat: “Adakah kamu sekalian mengetahui mengenai ini?” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.” Baginda pun bersabda: “Sebaik-baik wanita di dunia ini ada empat orang iaitu Maryam Binti Imran, Asiyah puteri Muzahim (isteri Firaun), Khadijah Binti Khuwailid dan Fatimah Binti Muhammad.”

Inilah ibu, para wanita yang kita sanjung-sanjungi. Perjuangan mereka dicatit dan diingati sehingga hari Kiamat. Mereka patut dicontohi sebagai tauladan kepada seluruh Muslimah terutamanya untuk ibu ibu yang ingin mendapat kejayaan seperti yang mereka perolehi di Akhirat. Ingatlah bahawa janji Allah itu benar, Allah akan menolong hambanya yang menolong agama Allah. Allah berfirman:

Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” [TMQ Muhammad (47):7].

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment