Busana Muslimah: Di manakah Identiti Islamnya?




Sejak zaman berzaman, pakaian memiliki pelbagai fungsi dalam sejarah peradaban manusia. Bukan sekadar penutup anggota badan tertentu, tetapi ia juga menjadi penghias tubuh sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala "Wahai anak Adam (manusia), sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada mu pakaian untuk menutupi (aurat) tubuh mu dan untuk perhiasan." [TMQ Al-A’raf:26]. Secara umumnya, dari tatacara, bentuk dan fesyen, pakaian dianggap mencerminkan keperibadian seseorang. Sebagai Muslimah, antara perintah Allah yang terbeban ke atas bahu mereka adalah mengenakan pakaian untuk menutup seluruh aurat yang tidak layak ditunjukkan kepada selain mahram mereka. Dari sini, muncul apa yang disebut sebagai ‘Busana Muslimah’. Umumnya, busana Muslimah adalah pakaian yang mematuhi hukum syarak dan memakainya mencerminkan seorang Muslimah yang taat atas ajaran agama dalam tatacara berbusana. Bukan sekadar simbol atau lambang sebaliknya mengenakan busana Muslimah bermakna seorang perempuan itu membuat pengisytiharaan kepada makhluk Allah akan keyakinan dan keimanannya, pandangannya terhadap dunia dan jalan hidup yang dia tempuh di mana semua itu berdasarkan kepada keyakinan mendalam terhadap Allah Yang Maha Esa.

Kecenderungan terhadap Islam dan stigma ‘kembali kepada deen yang mulia ini’ sedikit sebanyak meluaskan peranan busana Muslimah dalam kehidupan wanita Islam. Di Barat misalnya, seorang produser filem Kanada bernama Jawad Jafry sebagaimana laporan Arab News pada 29 September 2007 telah menerbitkan satu dokumentari bertajuk “Hijab: An Act of Faith” menerangkan bahawa penggunaan hijab merupakan suatu identiti khas Islam yang mampu menyatukan kaum Muslimin menjadi satu tubuh. “Hijab bukan sahaja sebagai identiti Muslim, tetapi lebih dari itu, sebagai alat penyatu, sebagai pembeza,antara kaum Muslimin dengan yang lainnya,”tambahnya. [http://akar03.multiply.com/journal/item/23/Jawad_Jafry_Lawan_Stigma_Jilbab_di_Barat_dengan_Film]. Di Malaysia, kita mendapati tudung (khimar) yang perintah memakainya termaktub di dalam Surah An-Nur (24):31 “Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” dianggap oleh sebahagian umat Islam sebagai satu-satunya bukti pematuhan seorang Muslimah kepada hukum syarak. Akibatnya, walaupun tiada sehelai rambut kelihatan, akan tetapi sebahagian Muslimah tampil di khalayak ramai dengan pelbagai bentuk, fesyen dan rupa kerana membuat andaian bahawa perintah menutup aurat telah mereka patuhi sekiranya rambut telah ditutup sebahagian atau keseluruhannya. Terbaru, bekas isteri pengacara Akademi Fantasia musim ke enam sebagaimana yang dilaporkan dalam akhbar Harian Metro 19 Disember 2008 telah ditegur oleh hakim kerana memakai baju ‘ala-ala perang’ iaitu memakai baju kemeja putih berjalur hitam dan vest kelabu serta seluar hitam. Teguran hakim adalah kerana ia pakaian yang tidak sesuai untuk menghadiri prosiding di mahkamah, seolah-olah di luar mahkamah, ia adalah pakaian yang sah dan syarie.

Festival Busana Muslim (Islamic Fashion Festival) Kuala Lumpur yang julung-julung kalinya diperkenalkan lima tahun lalu telah berlangsung di Hotel JW Marriot Kuala Lumpur pada 22 hingga 30 November 2008 yang lalu dengan penyertaan 44 pereka dari lima negara termasuk Malaysia. Festival yang dimeriahkan dengan rekaan ikon-ikon fesyen seperti Bernard Chandran, Tom Abang Saufi, Melinda Looi, Michael Ong, Khoon Hooi and Albert King turut mempamerkan label dan jenama seperti Jendela Batik, ETRO, Aktif Bistari, Khadani dan lain-lain. Selain daripada pereka fesyen tempatan, pereka-pereka dari luar negara juga turut dijemput untuk memeriahkan lagi acara dan menambah warna serta hasil reka cipta.

Perkembangan ini menjadikan fesyen ataupun model pakaian Islam berubah menjadi satu ikon perniagaan yang berjaya. Butik Busana Muslimah tumbuh bak cendawan selepas hujan. Malah Ekin, isteri “Raja SMS” pernah menyatakan akan membuka sebuah butik selepas perkahwinannya nanti. Selain itu, artis-artis yang berbusana Muslim dengan pelbagai fesyen menjadi idola kepada masyarakat setempat yang mana fesyen tersebut menjadi ikutan malah kegilaan segelintir umat yang amat ‘dahagakan’ cara berpakaian Islam yang sebenar.

Malangnya, jika diperhatikan Muslimah yang mengaku Islam ramai yang telah hilang identiti dan jati dirinya sebagai seorang Muslimah sebenar. Kebanyakan dari mereka terus hanyut mengikut arus semasa, sedangkan ada sebahagiannya lagi sesat tanpa disedari. Dengan menutup kepala, berbaju senteng dan berseluar ketat juga dianggap sebagai busana Muslimah. Malah pelbagai fesyen busana Muslimah yang ranggi, nampak “up-to-date” dan glamor juga mudah kita dapati di mana-mana. Tempias kepada aliran fesyen busana Muslim ‘masakini’ juga bukan sedikit, malah sekarang ini kita dapat lihat dimana-mana kaum Muslimah kita ayu berbusana Muslim dengan gaya moden.

Persoalan yang hendak dikemukakan di sini ialah sejauh mana fesyen busana Muslim ini bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan Syariat? Ini kerana sebagai Muslimah yang mengakui ke-Esaan Allah Subhanahu wa Taala dan mengagumi Muhammad Sallallahu alaihi wa Salam sebagai RasulNya, perlu kita ketahui bahawa segala aturan hidup kita ini telah ditentukan oleh-Nya. ISLAM yang kita anuti bukan sekadar satu agama semata. Akan tetapi Islam itu juga adalah sebuah ideologi (satu pemikiran yang dijadikan sebagai cara hidup). Islam adalah; “Satu agama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya, hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan hubungan manusia dengan orang lain”. Islam adalah satu aqidah yang dijanjikan Allah akan kesempurnaannya. Sama ada disedari atau tidak, aqidah Islam ‘memaksa’ penganutnya untuk terikat dan tunduk kepada ajarannya iaitu perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Taala yang menciptakan manusia , alam dan kehidupan dengan nama lain terikat dengan Hukum Syarak. Sebagai seorang Muslim, hukum syarak hendaklah dijadikan landasan dalam setiap aspek perbuatannya sebagaimana kaedah usul fiqh yang menyatakan:“Asal/dasar bagi setiap perbuatan itu adalah terikat dengan hukum syarak.”

Persoalan yang kemudian mungkin timbul adalah mengapa mesti dengan hukum syarak’? Ini adalah kerana hukum syarak’ merupakan peraturan yang telah dicipta oleh Al-Khaliq, Tuhan yang Maha Esa, yang telah menciptakan manusia, alam dan kehidupan yang diagungkan serta memiliki segala kemuliaan di langit dan di bumi. Inilah Tuhan yang disembah oleh setiap manusia yang mengaku dirinya Muslim. Sebagai Pencipta yang menciptakan manusia, alam dan kehidupan maka selayaknya Dia menurunkan aturan bagi mengatur makhluk-makhluk Nya dengan peraturan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Ini kerana hanya pencipta yang dapat memahami dan mengetahui segala kehendak dan tabiat makhluk ciptaan-Nya. Manakala sebagai Muslim yang beriman dengan segala kekuasaan-Nya secara fitrah juga sepatutnya dia mengetahui akan kewajipannya untuk terikat dengan segala perintah dan larangan-Nya.

Tulisan ini ingin memberikan satu panduan bagaimanakah yang dinyatakan sebagai seorang wanita yang memenuhi kriteria sebagai wanita Muslimah yang sejati dari aspek pakaian (malbusat).
Seorang Muslimah telah diperintahkan/diwajibkan menutup auratnya, namun demikian apakah syarat-syarat untuk menyatakan bahawa seorang wanita itu telah menutup aurat dengan makna yang sebenar?

Dalil yang berkaitan dengan menutup aurat.

Firman Allah Subhanahu wa Taala : Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31].
Hadis Nabi: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan)”

Batasan Aurat

Pelbagai pentafsiran dibuat oleh pelbagai golongan, namun sebagai seorang Muslim yang mengaku Allah adalah yang Maha Esa dan Nabi Muhammad adalah pesuruh-Nya. Oleh yang demikian sudah pasti kita wajib menerima dan mengambil pakai perintah yang didasari dengan syariat Nabi Muhammad dan bukannya syariat yang dibuat oleh akal manusia.
Dari sini cuba kita fahamkan maksud firman Allah Subhanahu wa Taala dalam surah An-Nur secara teliti; “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Dari ayat di atas kita dapati ianya menjelaskan tentang bahagian anggota badan wanita mana yang boleh dilihat. “illa mazhahara minha” adalah merujuk kepada muka dan kedua belah tapak tangan, kerana hanya dua anggota ini sahaja yang biasa nampak pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam, dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam membiarkannya sahaja sedangkan pada masa itulah perintah ini diturunkan. Selain itu juga, kedua anggota ini sahaja yang biasanya terlihat sewaktu melakukan ibadah, seperti solat dan haji.
Selain dari dalil-dalil yang telah dinyatakan di atas, ada alasan lain yang boleh menyokong penyataan yang menyatakan bahawa seluruh anggota badan wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangan. Sebagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam telah bersabda: “Wanita adalah Aurat”
“Jika seorang wanita telah sampai usia baligh, maka dia tidak boleh menampakkan anggota tubuhnya,kecuali mukanya dan ini. (Rasulullah menggenggam pergelangannya sendiri, lalu membiarkan telapak tangannya saling menggenggam satu sama lain.)”
Bagaimana pula etika pakaian yang dikatakan menutup aurat? Dalil syariat telah menetapkan kewajiban ke atas wanita untuk menutupi kulitnya sehingga tidak diketahui warnanya. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Aisyah radiallahu anha. Telah dinyatakan bahawa Asma’ binti Abu Bakar telah memasuki kawasan Nabi SAW dengan berpakaian nipis (jarang).

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam segera memalingkan mukanya dan bersabda: “Wahai Asma’ sesungguhnya apabila seorang perempuan itu telah baligh (datang haid), tidak sepatutnya dia menampakkan anggota tubuh badannya kecuali ini dan ini (sambil Rasulullah mengisyaratkan muka dan kedua telapak tangan”
Hadis di atas jelas menerangkan bahawa kain yang nipis/jarang tidak memenuhi etika menutup aurat, bahkan ia dianggap telah membuka aurat sekiranya seorang wanita memakai pakaian yang nipis. Ini ditegaskan dengan keadaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memalingkan mukanya sewaktu Asma’ masuk.

Dalil lain yang mengukuhkan lagi perkara ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan dari Usamah. Dinyatakan bahawa beliau pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tentang kain yang nipis (al-qabtiyah) kerana beliau telah memberikan kepada isterinya untuk dipakai. Mendengarkan tentang perkara yang disampaikan itu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Suruhlah isterimu untuk mengenakan kain nipis (al-ghilalah) lagi di bahagian dalamnya, kerana aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya.”
Frasa kata qabtiyah bermaksud sehelai kain nipis, sebaik sahaja Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam mengetahui Usamah telah memberikan kain nipis kepada isterinya untuk dipakai, baginda segera memerintahkan agar Usamah menyuruh isterinya memakai pakaian lapisan kain yang lain agar tidak kelihatan warna kulitnya di sebalik kain itu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memberikan alasan (‘illat) dalam perkara di atas sebagaimana sabdanya: “aku khuatir kalau sampai nampak warna tubuhnya”, sebagaimana kaca yang terlihat apa yang ada di sebaliknya.
Adalah di harapkan agar penjelasan tentang aurat tadi dapat difahami. Tiada pakaian khas untuk menunjukkan tentang kesempurnaan menutup aurat. Seluar panjang, skirt labuh dan apa jua pakaian yang dapat menutup seluruh anggota, maka ia telah menutup aurat. Namun demikian apakah dengan pakaian menutup aurat sahaja telah mencukupi bagi seorang wanita? Tidak! Ini kerana Islam telah menyediakan satu pakaian yang bercirikan khusus bagi wanita apabila seorang wanita itu keluar dari kawasan khususnya. Ciri-ciri pakaian yang khusus untuk wanita ini adalah dalam rangka Allah Subhanahu wa Taala memelihara martabat dan kehormatan setiap Muslimah. Sebab itulah bab menutup aurat dan pakaian khusus ini tidak boleh di campur-adukkan. Ini kerana setiap bab memiliki dalil dan hujah yang berbeza.


Pakaian khusus untuk wanita di kawasan umum


Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan bahawa ada pakaian yang khusus bagi seorang wanita sewaktu wanita tersebut keluar dari kehidupan peribadi atau kehidupan khususnya (hayat al-khassah); seperti pergi ke pasar, pejabat dan sebagainya. Setiap wanita ini wajib memakai jilbab (satu pakaian yang terus bersambung, tidak terpotong-potong. Pakaian ini lebih mirip dikatakan jubah). Ini merupakan pakaian di bahagian bawah iaitu pakaian wanita yang menutupi bahagian tubuhnya dari leher hingga menutupi kakinya. Manakala pakaian di bahagian atas pula adalah yang menutupi kepala, leher dan dada. Allah Subhanahu wa Taala telah menetapkan ciri-cirinya; iaitu sehelai kain lain iaitu tudung yang dapat menutupi seluruh kepala leher dan kawasan dadanya (dada depan dan dada belakang) ataupun di sebut sebagai khimar.
Dalil yang menyatakan tentang dua jenis pakaian ini telah diterangkan sebagaimana firman Allah yang berikut:

Pakaian Atas (Khimar)

“Hendaklah mereka menutupkan tudung (khimar) ke dadanya, dan janganlah dia menampakkan perhiasannya…..” [TMQ An-Nur (24): 31]

Dalam ayat di atas jelas menyatakan tentang bentuk pakaian bahagian atas, yang mana setiap wanita Muslimah wajib memakai kain tudung yang dapat menutup kepala, kawasan leher serta kawasan sekitar dada.

Pakaian Bawah (Jubah@Jilbab)

“Wahai Nabi, katakanlah kepada para isterimu, anak-anak perempuan kamu dan para perempuan mukmin hendaklah mereka mengulurkan (melabuhkan/memanjangkan) jilbab mereka.” [TMQ Al-Ahzab (33): 59].


Apa yang dimaksudkan dalam ayat di atas adalah jelas menunjukkan bahawa setiap wanita Muslimah wajib mengulurkan (melabuhkan) pakaian untuk menutup pakaian sehariannya (mihnah/tsaub iaitu pakaian basahan yang biasa dipakai dalam kawasan khususnya iaitu sewaktu bersama mahramnya) sewaktu dia mahu keluar rumah. Jilbab adalah kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah), yang mirip jubah sebab berdasarkan makna yang telah dinyatakan tadi hanya jubah yang memenuhi kriteria jilbab. Ciri-ciri lain bagi pakaian luar ini ataupun jilbab adalah sebagaimana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka, kecuali yang biasa nampak pada dirinya.” [TMQ An-Nur (24): 31]

Tempat perhiasan yang dimaksudkan pada ayat di atas adalah seperti dada, dua lengan dan dengan kata lain mencakupi sebagaimana syarat-syarat menutup aurat. Selain ayat di atas kewajiban memakai jilbab ini telah diperkukuhkan lagi berdasarkan hadis berikut:

Ummu ‘Atiyyah pernah menyatakan: “Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memerintahkan kami (setiap wanita, tiada yang terkecuali sama ada merdeka atau tidak, berkahwin atau belum) untuk keluar pada hari raya (sama ada Fitri atau Adha)-untuk keluar ke dataran (kawasan lapang). Bagi wanita yang sedang haid diperintahkan menjauhi tempat solat, namun tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum Muslimin. Aku bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam: ‘Wahai Rasulullah salah seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menjawab: ‘Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya.’”

Hadis di atas ini jelas menunjukkan bahawa pemakaian jilbab menjadi kewajiban setiap wanita Muslimat, ini kerana frasa kata “Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbab kepadanya” menunjukkan bahawa perintah memakai jilbab adalah wajib kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tidak memberikan pilihan lain kepada wanita itu untuk keluar sebagaimana yang diperintahkan. Apa yang jelas penegasan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam itu adalah jika tiada sesiapa yang dapat meminjamkan wanita tersebut jilbab kepadanya, maka wanita itu tidak boleh keluar. Selain daripada itu sehelai jilbab mestilah longgar dan tidak menampakkan bentuk badan sebagai mana apa yang di katakan sebagai kain yang panjang (milhafah) atau semacam selimut (mula’ah). Apabila segala ciri jilbab dipenuhi, Insyaallah, jaminan Allah sebagaimana yang telah dijanjikan iaitu akan terpeliharanya kehormatan dan martabat seorang wanita akan dapat dilihat.

Khatimah

Melihat dari fenomena keragaman budaya berpakaian atau berbusana kepada kaum Muslimah yang ada di dunia ini, ada kalanya wujud pertentangan antara satu budaya dengan yang lain. Maka, sangat perlu wujud parameter khusus yang menjadi tolok ukur untuk menentukan adakah tatacara berpakaian itu selaras dengan hukum syarak atau tidak. Di sini, tolok ukur adalah ‘standard perbuatan’ (miqyas al-amal) iaitu dalil-dalil yang digali dari sumber wahyu. Apa yang pasti, berbusana hendaklah dilakukan dengan niat untuk menutup aurat, bukan kerana mahu tampil anggun di mata lawan jenis, dipandang hebat, lebih Islamik atau kerana hak asasi, sebaliknya menutup aurat dengan busana muslimah adalah dalam rangka untuk meraih keredaan Illahi.



Wallahu ‘alam bisshawab.
SHARE THIS

3 comments:

  1. persoalan susulan. gimana ttg pakaian wanita jika memakai 2 elemen. Yang dikatakan jilbab itu kan yg harus seakan-akan 'menyelimuti' tubuh wanita itu. Tapi gimana dgn trend budaya masyarakat melayu yg memakai baju kurung.

    Masyarakat saat kini terkadang keliru dgn hal tersebut. disangkakan sudah menepati syara', padahal tidak. disangka benar, namun salah.

    Satu persoalan kpd penulis/admin:

    1) gimana dgn wanita yg memakai seakan-akan jilbab. Maksudnya, jilbabnya itu meliputi tubuhnya tetapi hanya sampai separuh betis, lalu di bawahnya ada kain lagi yang menutupi. Mohon diperjelas

    Wassalam...

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum,

    Merujuk kepada persoalan pertama: trend berbaju kurung di kalangan masy Melayu.

    Baju Kurung jika dipakai dengan tudung yang memenuhi syarat memakai khimar(ruj: surah 24:31) adalah pakaian yang memenuhi syarat untuk menutup aurat. Akan tetapi, satu perkara perlu kita fahami iaitu Muslimah wajib mengenakan jilbab iaitu pakaian yang di luar pakaian sehari2 di rumah (tsaub) jika dia berada dalam kehidupan umum (public life) iaitu di luar rumahnya sptdi pasar, tempat keja dsb. Pendek kata, muslimah kena pakai DUA LAPIS. Pengecualian menanggalkan pakaian (iaitu pakaian luar ie jilbab) hanya diberikan kepada muslimat yang telah putus haid dan tidak ada keinginan berumahtangga sebagaimana firman ALlah dalam surah annur ayat60. Baju kurung telah mematuhi perintah menutup aurat tetapi ia hanya syar'ie kepada wanita yang telah menopause dan tidak berkeinginan berkahwin. Bermakna, baju kurung tidak memenuhi syarat menutup aurat di dalam kehidupan umum yang diwajibkan keatas Muslimah yang belum menopause atau dah menopause tetapi masih ada keinginan berkahwin.

    Berkenaan dengan fesyen seakan jilbab yang sampai ke betis tapi kat bawah dia ada kain lain, kita kena faham realiti (waqi') jilbab. Jilbab jika diteliti maknanya adalah mula'ah dan milhafah - panjang lurus ke bawah dan longgar. ia bermakna, jilbab mesti pakaian yang sekeping (one piece). Jika jilbab dah sampai ke betis kemudian ada mcm sambung di bawah, ia tetap syar'ie sebab syaratnya mesti sekeping, iaitu kain yang sampai betis dan kain lain yang dibawah betis adalah bersambung menjadikannya ONE PIECE (sekeping). {Jika baju kurung ia dua keping}.

    Apapun, dalam memahami pakaian wanita, pemahaman tentang semua dalil yang terlibat spt dalil wajib pakai khimar (24:31), wajib berjilbab (33:59), dalil boleh tanggalkan jilbab (24:60) berserta hadis2 berkaitan - hadis dari asma, hadis riwayat ummu athiyah dsb mesti difahami, dihalusi, dijiwai bersama-sama dengan keharaman bertabarruj. Sudah tentu tabarruj memerlukan penjelasan lain yang lebih panjang lebar.

    Jika masih perlu penjelasan, sila kemukakan.

    Wassalam.

    ReplyDelete
  3. salam,

    jazakallahu khoir katsir di atas penerangannya. Jelas dan mantap. Moga difahami oleh semua...

    Wassalam...

    ReplyDelete