Renungan Akhir Tahun Buat Muslimah




Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh,

Kita bakal mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1429 Hijrah dan 2008 Masihi. Di penghujung tahun ini, sementara menanti fajar 1429H/2009M menyinsing, marilah kita merenungkan kembali peristiwa pahit manis yang berlaku sepanjang tahun. Tujuannya tidak lain adalah untuk memuhasabah diri agar setiap langkah yang kita ambil adalah demi melakukan perbaikan, juga meneladani bala dan musibah yang telah ditimpakan Allah kepada umat Islam sama ada di dalam dan di luar negara.

Syukur Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua isu iaitu Renungan Akhir Tahun Buat Muslimah dan sebuah artikel yang mengungkap isu malar segar iaitu aurat dengan tajuk Busana Muslimah: Dimana Identiti Islamnya? Artikel tentang tatacara berpakaian atau berbusana ini diharap akan memberi pencerahan apakah busana-busana Muslimah sebagaimana yang difahami sebahagian kaum Muslimah memenuhi syarat-syarat menutup aurat menurut Syarak.

Sebuah artikel terjemahan iaitu Pengajaran dari Eidul Adha turut dimuatkan dengan harapan ia akan mencetuskan dalam diri Muslimah sejauh mana kesanggupan mereka untuk berkorban demi agama Allah ini.

Semoga sinar tahun baru akan menumbuhkan benih-benih keinsafan dalam diri kita untuk mencetuskan semangat juang yang lebih tinggi, memiliki kesabaran dan kesanggupan berkorban bukan hanya untuk menikmati kesenangan duniawi semata-mata, sebaliknya untuk melaksanakan dakwah, melaksanakan amal makruf nahi mungkar demi menggapai mardhatillah.

Wallahu alam bisshawab.





Tahun 2008 bakal menutup tirainya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Sepanjang tahun ini, pelbagai isu berlaku dalam negara. Kematian adik Nurin Jazlin Jazimin yang selamat disemadikan pada tanggal 22 September 2007 masih lagi menghantui rakyat Malaysia memandangkan kes kehilangan adik Sharlinie dan adik Asmawi yang mendapat liputan meluas dari pihak media masih lagi menemui jalan buntu. Kenaikan mendadak harga petrol dari RM1.92 sen se liter kepada RM2.70 se liter pada kadar 78 sen atau 41% dan minyak diesel RM1 atau 63% dari RM1.58 sen se liter kepada RM2.58 se liter pada 5 Jun 2008 telah memberi pukulan hebat kepada kebanyakan rakyat Malaysia. Kuasa membeli rakyat Malaysia yang telah menurun sebanyak 40% telah menimbulkan bantahan dan protes dari kalangan rakyat. Sebahagian mereka beranggapan bahawa barisan kepimpinan sedia ada iaitu Barisan Nasional (BN) hendaklah digantikan dan pihak pembangkang diberi peluang untuk menyelesaikan kemelut yang menyebabkan kenaikan harga barang, utiliti dan perkhidmatan. Impak kenaikan harga minyak juga telah menenggelamkan banyak isu besar seperti gejala sosial dan kes pembuangan bayi yang tidak pernah surut dari dilaporkan oleh pihak media. Negara dikejutkan sekali lagi dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 4 nyawa serta merosakkan 14 buah banglo di keheningan pagi 6 Disember 2008. Kejadian tanah runtuh kali kedua di lokasi sama ini mengimbau kenangan pahit rakyat Malaysia apabila kondominium Highland Tower runtuh dan mengorbankan 48 nyawa 15 tahun silam.

Di sebalik peristiwa pahit di atas, negara terpaksa berdepan dengan kesan limpahan akibat krisis kewangan yang bersifat global kesan isu pinjaman sub-prima Amerika Syarikat. Krisis yang secara purata menyebabkan pasaran saham global merudum sehingga 40% dalam tempoh kurang dari setahun telah mencemaskan banyak pihak termasuk kaum wanita. Cemasnya wanita bukanlah kerana krisis ini akan menyebabkan mereka menghadapi kesulitan untuk melaksanakan kewajipan pada agama, sebaliknya golongan suri rumah dan ibu-ibu bimbang krisis ini menyebabkan mereka terpaksa mengkaji semula belanjawan rumah tangga.

Di sisi lain, penghujung tahun ini menyaksikan media-media cetak, elektronik termasuk Internet memberi pendedahan kisah-kisah perkahwinan dan perceraian golongan artis dan selebriti sehingga menenggelamkan isu-isu penting seperti harga barangan dan perkhidmatan yang tidak turun sungguhpun harga petrol telah menyusut kepada RM1.80 se liter. Bicara tentang kisah pernikahan artis yang digambarkan seperti kisah pari-pari menjadi topik utama. Ke gemerlapan dunia seakan terus membuai keinginan menyemarakkan budaya hedonisme. Maka, lupalah mereka akan nasihat seorang insan mulia bukan Nabi yang namanya tercatat di dalam Kitab Suci iaitu Lukman Hakim yang pernah berpesan kepada anaknya dengan berkata, "Anak ku, ikutlah engkau pada orang-orang yang sedang mengusung jenazah, jangan kau ikut orang-orang yang hendak pergi ke pesta pernikahan. Kerana jenazah akan mengingatkan engkau pada kehidupan yang akan datang. Sedangkan pesta pernikahan akan membangkitkan nafsu dunia mu."

Pelbagai musibah dan gejala menimpa manusia. Malangnya, belitan pemikiran assobiyah yang memisahkan umat Islam dengan sempadan geografi menjadikan pemikiran sebahagian umat Islam hanya mengambil tahu kisah-kisah yang berlaku dalam negara sahaja. Selain membaca dengan perasaan ngeri, apakah yang tergambar dalam minda seorang Muslimah apabila membaca nasib seorang Muslimah yang merupakan saudara seagamanya? Nama Dr Afia Siddiqui, seorang pakar saraf warganegara Pakistan lulusan Massachusetts Institute of Technology (MIT) tiba-tiba hebat diperkatakan. Agence France-Presse (AFP) melaporkan pada 5 Ogos 2008 bahawa Dr Siddiqui yang menghilang dari bandar Karachi, Pakistan pada tahun 2003 telah dimasukkan ke dalam senarai suspek pengganas yang ada hubungkait dengan Al-Qaeda pada 2004. Tuduhan bersekongkol dengan pihak pengganas bukan hanya menyebabkan beliau terpenjara sebaliknya laporan mengatakan bahawa pakar saraf yang juga ibu kepada tiga anak yang diberi gelaran “Tahanan 650” ini telah diseksa secara fizikal, mental dan seksual di penjara lelaki di Bagram [www.defence.pk/forums/national-political-issues/13057-dr-afia-siddiqui-
grey-ghost-lady-bagram.html].
Keadaan beliau juga dilaporkan sangat parah disebabkan oleh luka akibat peluru dan pembedahan membuang salah satu buah pinggangnya[http://alaiwah.wordpress.com/where-is-dr-afia-siddiqui-asks-ahrc/].



Membaca kisah yang menyedihkan ini, dapatkah kita mengatakan bahawa kasih sayang dan mengambil berat sesama Muslim telah sempurna seandainya kesedihan kita hanya diakhiri dengan sebuah keluhan panjang? Adakah insiden seumpama ini boleh dihindari dan nasib beliau dibela? Adakah ujud jaminan hal seperti ini tidak akan menimpa diri kita sendiri atau Muslimah lain?

Memahami Bala, Musibah dan Azab

Secara harfiah, al-bala’ bermakna al-ikhtibar (ujian). Istilah bala’ sendiri digunakan untuk menggambarkan ujian yang baik mahupun yang buruk (Imam ar-Razi, Mukhtâr al-Shihâh, hal. 65). Dalam kitab al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an dinyatakan, bahawa bala’ itu memiliki tiga bentuk; nikmat (kenikmatan), ikhtibaar (cubaan atau ujian), dan makruh (sesuatu yang dibenci) (Syihâb al-Dîn Ahmad, al-Tibyân fi Tafsîr Gharîb al-Qur’an, juz 1, hal. 85). Di dalam al-Quran, kata bala’ disebutkan di enam tempat, dengan makna yang berbeza-beza; (Qs. al-Baqarah [2]: 49; Qs. al-A’râf [7]: 141; Qs. al-Anfâl [8]: 17; Qs. Ibrahim [14]: 6; Qs. ash-Shafât [37]: 106; Qs. ad-Dukhân [44]: 33). Ada yang bermakna cobaan dan ujian yang dibenci manusia. Ada pula yang bererti kemenangan atau kenikmatan (bala’ hasanan). Bala’ dalam konteks ujian yang buruk, misalnya terdapat di dalam firman Allah Subhanahu wa Taala berikut ini: “Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan yang besar dari Tuhanmu.” (Qs. al-Baqarah [2]: 49).

Ayat ini bercerita tentang Bani Israel yang diselamatkan dari penyembelihan dan kekejaman Fir’aun. Menurut Ali ash-Shabuni, bala’ dalam ayat ini adalah al-mihnah wa al-ikhtibâr (ujian dan cubaan) yang ditimpakan oleh Fir’aun kepada Bani Israil; yakni penyembelihan anak laki-laki (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 1, hal. 57).

Adapun bala’ dalam konteks ujian yang baik terdapat dalam firman Allah Subhanahu wa Taala berikut ini: “Maka sebenarnya, bukan kamu yang membunuh mereka. Akan tetapi Allahlah yang membunuh mereka, dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar. Allah berbuat demikian untuk membinasakan mereka) dan untuk memberi kemenangan kepada orang-orang mukmin, dengan kemenangan yang baik (bala’an hasanan). Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Qs. al-Anfâl [8]: 17).

Menurut Imam al-Baidhawi dalam Tafsir al-Baidhawi, perkataan bala’ pada ayat di atas adalah kenikmatan yang diberikan Allah kepada orang-orang beriman, dalam bentuk pertolongan Allah (al-nashr), al-ghanimah (harta rampasan perang), dan al-musyahadah (mati syahid) (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 3, hal. 97).

Musibah adalah al-baliyyah (ujian) dan semua perkara yang dibenci oleh manusia. Imam Ibnu Mandzur, dalam Lisân al-‘Arab menyatakan, bahawa musibah adalah al-dahr (kemalangan, musibah dan bencana) (Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 535). Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini didasarkan pada sabda Rasulullah Sallallahu alaihi Wasallam, “Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah.” (Imam al-Baidhawi, Tafsir al-Baidhawi, juz 1, hal. 431).

Perkataan musibah disebut dalam sepuluh ayat dan semuanya bermakna kemalangan, musibah dan bencana yang dibenci manusia. Namun demikian, Allah Subhanahu wa Taala memerintahkan kaum Muslim untuk meyakini bahawa semua musibah itu datang dari Allah Subhanahu wa Taala, dan atas izinnya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Qs. al-Taghâbun [64]: 11).


‘Azab secara harfiah adalah al-nakâl wa al-‘uqûbah (peringatan bagi yang lain, dan seksaan [hukuman]) (Imam Ibnu Mandzur, Lisân al-‘Arab, juz 1, hal. 585). Al-nakâl adalah peringatan yang berupa seksaan atau hukuman kepada yang lain. Perkataan al-‘azab biasanya digunakan untuk merujuk kepada hukuman atau seksaan di hari akhirat kelak. Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Qs. al-Baqarah [2]: 7). “Sesungguhnya, orang-orang yang tidak beriman kepada kehidupan akhirat, Kami sediakan bagi mereka azab yang pedih.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 10), dan lain sebagainya. Namun demikian, kata ‘azab juga digunakan dalam konteks hukuman di kehidupan dunia.

Allah Subhanahu wa Taala juga berfirman:“Tak ada suatu negeri pun yang durhaka penduduknya, melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab Lauh al-Mahfuz.” (Qs. al-Isrâ’ [17]: 58).

Menurut Ali ash-Shabuni, jika penduduk suatu kota ingkar atau bermaksiat kepada perintah Allah Subhanahu wa Taala, mendustakan Rasul-rasulNya, nescaya Allah akan menghancurkan mereka, sama ada dengan kehancuran secara total (pemusnahan), mahupun ditimpa dengan hukuman yang amat keras (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 2, hal. 165). Di ayat yang lain, Allah Subhanahu wa Taala berfirman: “Sekiranya mereka tidak bercampur baur, tentulah Kami akan mengazab orang-orang kafir di antara mereka dengan azab yang pedih.” (Qs. al-Fath [48]: 25).

Tatkala mentafsirkan ayat ini, Ali ash-Shabuni mengatakan, “Seandainya orang-orang kafir itu dipisahkan satu dengan yang lain, kemudian dipisahkan antara yang mukmin dengan yang kafir, tentulah Allah akan mengazab orang-orang kafir dengan azab yang sangat keras, berupa pembunuhan, penawanan, mahupun pengusiran dari negeri mereka-negeri mereka.” (Ali ash-Shabuni, Shafwât at-Tafâsîr, juz 3, hal. 48). Keterangan ini diperkuat dengan firman Allah Subhanahu wa Taala yang lain, yakni: “Dan jikalau tidaklah kerana Allah telah menetapkan pengusiran terhadap mereka, benar-benar Allah mengazab mereka di dunia. Dan bagi mereka di akhirat azab neraka.” (Qs. al-Hasyr [59]: 3).



Ayat ini bercerita tentang pengusiran Bani Nadir, sekali gus mengisahkan, bahawa jikalau Allah Subhanahu wa Taala tidak menetapkan hukuman pengusiran terhadap Bani Nadir, nescaya mereka akan diazab dengan pembunuhan (al-qatl). Hukuman bagi mereka cukup dengan pengusiran, bukan pembunuhan seperti halnya hukuman bagi Yahudi Bani Quraizah. Ayat di atas juga menunjukkan, bahawa ‘azab tidak hanya berasal dari Allah Subhanahu wa Taala saja, akan tetapi juga bersumber dari manusia sendiri, yakni berupa hukuman atau sanksi di kehidupan dunia.

Penyebab Datangnya ‘Azab Allah

Pada dasarnya, penyebab datangnya ‘azab Allah Subhanahu wa Taala adalah kezaliman, kemaksiatan, dan kefasiqan. Allah Subhanahu wa Taala telah menyatakan hal ini di beberapa ayat; di antaranya adalah firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Dan tidak pernah Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman.” (Qs. al-Qashash [28]: 59).
“Maka tidak dibinasakan kecuali kaum yang fasik.” (Qs. al-Ahqâf [46]: 35).

“Kami telah membinasakan mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berbuat dosa (al-mujrimun).” (Qs. ad-Dukhân [44]: 37).


Ayat-ayat di atas menunjukkan, bahawa ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan kepada penduduk negeri yang melakukan kezaliman, kemaksiatan, dan kefasiqan. Dengan kata lain, ‘azab Allah hanya akan dijatuhkan, tatkala peringatan-peringatan Allah Subhanahu wa Taala melalui lisan RasulNya telah diabaikan dan didustakan.

Akan tetapi, ada beberapa riwayat yang menunjukkan, bahawa ‘azab Allah boleh menimpa orang-orang Mukmin tatkala mereka enggan mencegah kemungkaran padahal mereka mampu melakukannya. Dari Adi bin Umairah dituturkan, bahawa sanya ia pernah mendengar Rasulullah bersabda:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab orang-orang secara keseluruhan akibat perbuatan mungkar yang dilakukan oleh seseorang, kecuali mereka melihat kemungkaran itu di depannya, dan mereka sanggup menolaknya, akan tetapi mereka tidak menolaknya. Apabila mereka melakukannya, nescaya Allah akan mengazab orang yang melakukan kemungkaran tadi dan semua orang secara menyeluruh.” [HR. Imam Ahmad].

Muslimah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya dari dalil-dalil yang dikemukakan di atas, kita melihat bahawasanya musibah yang menimpa manusia tidak lain adalah sebagai peringatan dari Allah Subhanahu wa Taala. Pada masa kini kita menyaksikan Islam tidak menjadi ikutan dan panduan hidup kecuali dalam juzuk tertentu seperti ibadah khusus. Dewasa ini kita menyaksikan wanita-wanita Islam bebas membuka aurat mereka di khalayak ramai tanpa dikenakan hukuman. Wanita Islam tidak mengendahkan perintah Allah untuk menutup aurat dan tidak bertabarruj. Wanita-wanita Islam terlibat dalam gejala sosial seperti pelacuran. Hubungan luar nikah hingga memaksa mereka membuang bayi yang dilahirkan atau digugurkan telah menjadi fenomena biasa. Adakah senario yang menyakitkan ini boleh diubah atau kita hanya mampu berdoa supaya segala bentuk maksiat akan segera lenyap?

Justeru, marilah kita berusaha dengan lebih gigih untuk menggiatkan aktiviti dakwah untuk melanjutkan kehidupan Islam (isti’naf al-hayat al-Islam) sesuai dengan status umat Islam selaku khaira ummah. Telah terbukti di hadapan mata kita bahawa sanya musibah melanda manusia disebabkan keengganan mereka mematuhi perintah Allah sedangkan Dia Subhanahu wa Taala telah berfirman dalam surat Thaha ayat 124 : “Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” Janganlah kita menanti datangnya bala dan musibah untuk kita insaf seterusnya memperjuangkan agama ini kerana dikhuatiri dosa-dosa umat Islam ini akan semakin menghancurkan umat yang mulia ini. Umar bin Khattab berwasiat ketika melepaskan tenteranya berperang: ”Dosa yang dilakukan tentera (Islam) lebih aku takuti dari musuh mereka. Sesungguhnya umat Islam dimenangkan karena maksiat musuh mereka kepada Allah. Kalau tidak demikian kita tidak mempunyai kekuatan, kerana jumlah kita tidak sepadan dengan jumlah mereka, kelengkapan kita tidaklah dapat menandingi dengan kelengkapan mereka. Jika kita sama dalam berbuat maksiat, maka mereka lebih memiliki kekuatan. Jika kita tidak dimenangkan dengan keutamaan kita, maka kita tidak dapat mengalahkan mereka dengan kekuatan kita.”

Wallahu a’lam bisshabawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment