Propaganda Yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Muslimah

BAHAGIAN 1




Muqaddimah

Wanita Muslimah telah menjadi subjek propaganda yang dilakukan dengan hebatnya oleh negara-negara Kapitalis Barat. Mereka bermaksud hendak mengeluarkan wanita Muslimah ini dari cara hidup mereka yang murni dan hubungan suci di antara mereka agar menjadi barang dagangan dan objek untuk melampiaskan nafsu syahwat semata-mata. Propaganda ini telah bermula sejak awal ia dilancarkan ke atas umat, tetapi langkah dan gayanya kian bertambah akhir-akhir ini terutamanya selepas peristiwa 11/9. Bagaimanakah pandangan dunia terhadap wanita pada masa sebelum Islam dan pada zaman moden? Apakah rancangan Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam masalah ini….Inilah yang akan kami perjelaskan insyaAllah Ta’ala.

Sejak Allah Ta’ala mengutuskan Nabi Muhammad sa.w. dengan risalah Islam kepada seluruh manusia, bermulalah pertentangan antara kaum Muslim dan kafir. Ia berterusan dalam pelbagai bidang dan dalam semua tingkat kehidupan. Orang kafir sentiasa melemparkan tuduhan berbahaya dan pembohongan keji kepada Islam. Namun agama ini dengan kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala dan juga melalui tangan-tangan kaum Muslimin yang ikhlas dan sedar tetap jua menang dan mengatasi sebahagian besar agama-agama yang lain sejak beberapa kurun lamanya.

Dalam kurun ke-19 masehi, ketika keupayaan berfikir umat mulai lemah dan tahap kemunduran mereka mencecah tahap yang tidak selayaknya, serangan kafir terhadap Islam mulai gencar. Sumbernya adalah Kapitalis Eropah. Api konflik secara ketenteraan, politik dan pemikiran antara umat Islam dan kuffar mula menyala sehingga lah Daulah Khilafah diruntuhkan pada tahun 1924 masehi. Para kapitalis telah memperoleh kemenangan dari segi politik dan ketenteraan ke atas kaum Muslim. Penentangan terhadap pemikiran umat tetap mereka teruskan. Idea-idea Islam dan hukum-hakamnya diserang; jihad, hukum uqubat dan hudud, hukum sistem sosial dalam Islam “pada hari ini mereka menamakannya sebagai urusan individu” termasuk isu poligami, talak, warisan, pakaian serta hukum-hukum yang lain yang berkaitan dengan wanita. Mereka menyeru kepada percampuran antara lelaki dan wanita. Dek kerana kelemahan dari sudut politik dan rendahnya tahap berfikir mereka, mereka telah membahagikan kepada tiga bahagian dalam rangka menjawab tuduhan-tuduhan tersebut. Pertama, mereka yang menolak serangan ini dan bersenjatakan idea Islam. Mereka ini bilangannya sedikit. Kedua, mereka yang redha Islam menjadi pihak tertuduh lalu mempertahankan Islam dengan cara yang salah. Mereka amat memberikan perhatian terhadap usaha penyesuaian Islam dengan hadharah kapitalis. Ketiga, mereka yang merasa cukup dan berpuashati dengan seruan hadharah Barat yang rosak itu lalu menyeru agar mengambilnya dan membuang hukum Islam dengan alasan bahawa ia tidak lagi sesuai dengan zaman sekarang dan peranannya telah pun berakhir.

Selepas Tentera Salib Barat musuh pertama bagi Islam dapat melenyapkan Daulah Khilafah pada awal kurun yang lalu, negeri-negeri kaum Muslimin telah dibahagi-bahagikan kepada beberapa negara kecil yang miskin. Di setiap negeri tersebut dilantik pemerintah yang bersekutu dengan umat secara nama sahaja. Sedangkan kepada umat diterapkan hukum-hukum kufur dalam segenap aspek kehidupan sehingga kaum kuffar dan boneka-bonekanya berani menikam setiap bahagian agama ini dan bahkan dalam kebanyakan perkara agama yang telah diterima pakai oleh umat ini.

Pertembungan budaya kapitalis yang menyerbu secara tiba-tiba ke dalam pemikiran sebahagian umat Islam menyebabkan berlaku pula kekusutan dalam memahami dalil-dalil syarak dan berlaku penyimpangan. Sepatutnya mereka menghadkan pengambilan madaniyyah Barat sebatas bentuk-bentuk materinya sahaja, yang sebenarnya boleh sahaja untuk diambil dengan menganggapnya sebagai wasilah dan uslub yang diharuskan. Sebaliknya mereka mula menyeru agar mengambil hadharah Barat serta konsep-konsepnya seperti sistem demokrasi yang sangat bertentangan dengan hadharah Islam serta konsep-konsep Islam itu sendiri. Semuanya itu disebabkan mereka telah tertawan dengan madaniyyah Barat. Ia juga disebabkan oleh kepimpinan berfikir dan politik hasil didikan Barat dan disusup masuk dalam barisan kaum Muslimin. Ia dipakaikan dengan pakaian ilmu syarak dengan alasan perbaikan (islah) terhadap umat yang teruk dan mundur ini. Antara yang mereka serukan adalah memberikan hak-hak dan persamaan dengan kaum lelaki kepada kaum wanita seolah-olah dalam Islam wanita tidak mempunyai hak dan berada pada tahap dan keadaan yang lebih rendah dari lelaki.

Mereka mahu wanita Muslimah menjadi seperti wanita Barat yang keluar dari rumahnya dan menjadi sebahagian daripada barang yang bermanfaat dalam hadharah mereka. Mereka ini hanya dilihat sebagai barang dagangan atau tempat untuk melampiaskan hawa nafsu. Jika keadaan kaum wanita mereka adalah seperti ini, yang menjadi tidak berkeluarga dan tidak mempunyai sebarang hak yang sesuai, maka bagaimana pula keadaan wanita Muslimah dalam hal demikian. Khususnya bahawa Islam telah menempatkannya pada posisi yang sesuai untuknya?! Adakah benar bahawa wanita Muslimah dizalimi seperti yang mereka dakwa? Adakah juga benar mereka tidak mempunyai hak hingga datang musuh umat dan agama ini meminta supaya mereka ini diberikan hak yang telah dirampas, untuk menyamakannya dengan wanita di Barat seperti yang mereka tuduh itu?! Dan adakah benar bahawa wanita di Barat menikmati hak yang terbaik?! Ataupun ada udang di sebalik batu?! Mereka ini sebenarnya mahu keluarga Muslim dihancurkan yang mereka tahu ia tidak akan terjadi melainkan dengan merosakkan wanita Muslimah, tiang asasnya terlebih dahulu.

Di bawah seruan-seruan yang keji dan penuh tipu daya ini, kafir Barat berusaha memusuhi umat untuk meruntuh dan membinasakan aspek sosial kaum Muslimin dengan segenap kekuatan. Perkara tersebut mereka usahakan selepas menghancurkan Daulah Khilafah dan memecah-belahkan negeri-negeri mereka dan menjadikan mereka berada di bawah bangsa yang lain.

Inilah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini. Di tambah pula propaganda ketenteraan yang diketuai oleh Amerika sehingga kepada propaganda pemikiran kapitalis, antaranya kempen menuntut persamaan hak dengan kaum lelaki, lebih jauh lagi persamaannya dengan wanita di Barat. Adakah benar ada isu wanita Muslimah yang tidak dapat diselesaikan oleh Islam?! Mengapakah semua isu yang diperbesarkan ini berkisar tentang wanita Muslimah?! Mengapa isu ini dijadikan bentuk rasmi dalam pertubuhan negara-negara Islam yang diambil pula oleh pihak sistem pemerintah. Media-media massa rasmi memperkatakannya pagi dan petang dan kemudiannya seminar-seminar pun diadakan untuk membincangkan isu tersebut di samping dana-dana pun dibelanjakan untuknya.

Sesungguhnya keraguan terhadap aqidah Islam dan hukum-hakam syarak yang terpancar daripadanya merupakan satu cara perang yang diumumkan terhadap Islam. Barat berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menanggalkan umat ini dari agamanya secara pemikiran dan aqidah selepas pengikut-pengikutnya daripada kalangan para pemerintah Islam sendiri dan yang seumpamanya tidak mampu melakukan hal tersebut.

Topik ini tidak meliputi semua jenis serangan pemikiran Barat. Ia dibataskan hanya kepada apa yang dikehendaki terhadap wanita Muslimah khususnya seruan dusta mereka mengenai persamaan hak. Ia merupakan seruan bias yang menginginkan agar wanita Muslimah keluar dari rumahnya dengan alasan persamaan hak itu tadi. Supaya wanita tersebut menjadi seperti wanita Barat yang menjadi barang dagangan murahan yang dimanfaatkan. Mereka bermaksud mempengaruhi kehidupan bermasyarakat umat Islam demi merobohkan struktur kekeluargaan yang masih tinggal pada mereka, dan mengisytiharkan kemenangan sempurna mereka.

Barat telah menyedari dengan yakin bahawa ia tidak akan dapat dikalahkan dalam kehidupan dan pertentangan ini melainkan oleh umat Islam dan kaum Muslimin kerana tidak terdapat dalam dunia ini suatu umat yang memiliki pilar-pilar kebangkitan berupa pemikiran yang lengkap mengenai seluruh aspek kehidupan seperti yang dimiliki oleh umat Islam. Sesungguhnya umat ini, dengan Islam, bukan sahaja layak untuk berhadapan dengan pemikiran-pemikiran kapitalis Barat, bahkan ia juga layak untuk mengalahkan mereka dan mencabut mereka daripada akar-akarnya daripada setiap penjuru dunia.

Sementara isu mengenai hak-hak kaum wanita dan persamaannya dengan kaum lelaki serta seminar-seminar yang telah dan sedang diadakan untuk tujuan tersebut tidak lain adalah sebahagian dari peperangan yang diumumkan terhadap Islam. Mereka tidak menujukannya kepada wanita Muslimah semata bahkan terhadap Islam dan kaum Muslimin juga. Hanya perasaan kebangkitan yang mula merayap dalam diri umat ini dan perasaan untuk segera kembali kepada pemikiran Islam yang benar, diambil dan didakwahkan akan menolak tipu daya mereka kembali kepada mereka semula dan segala rancangan mereka akan rosak. Allah Ta’ala berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُواْ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّواْ عَن سَبِيلِ اللّهِ فَسَيُنفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ وَالَّذِينَ كَفَرُواْ إِلَى جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang kafir itu, menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (orang) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan.” (TQS: Al-Anfaal:36).

Wanita Dalam Dunia Sebelum Islam

Manusia secara semulajadinya adalah makhluk yang hidup secara bermasyarakat, iaitu bersosial. Ia tidak suka hidup sendiri dan melakukan kerja-kerja mereka seorang diri. Ia suka untuk hidup dalam sebuah masyarakat atau dalam satu kelompok. Sunatullah Ta’ala telah menentukan bahawa mereka ini terdiri daripada lelaki dan wanita. Setiap daripada mereka cenderung secara fitrahnya kepada jenis yang lain untuk memelihara kelestarian jenis manusia. Melalui percampuran antara lelaki dan wanita timbullah beberapa perkara dan permasalahan umpamanya: institusi keluarga, penyusuan, penjagaan anak, wasiat, wali, talak, hak-hak seorang bapa dan anak dan sebagainya. Sejak Allah Subhanahu wa Ta’ala menciptakan manusia dan diturunkannya ke muka bumi, diwakilkan untuk mengimarahkan bumi ini, hiduplah masyarakat manusia di tempat-tempat yang berbeza di atas dunia ini. Mereka mendirikan tamadun masing-masing. Tamadun ini dikenali dengan nama-nama tempat dan negara yang ada kerana ia bukanlah tamadun berdasarkan ideologi. Di negeri sebelah Timur wujud tamadun Cina, India, Farsi, Jepun, Turki dan Arab (sebelum Islam). Di sebelah Barat pula muncul beberapa tamadun yang lain dan antara yang penting adalah tamadun Yunani dan Rom. Demikian juga lahir tamadun antara dua sungai; di Mesir wujud dua jenis tamadun yang dikenali sebagai tamadun antara dua sungai dan tamadun lembah Nil.
Berdasarkan perbezaan tamadun ini maka berbeza pula lah pandangan mereka terhadap wanita. Begitu juga kedudukan wanita di sisi mereka saling berbeza. Hal ini juga terjadi kepada cara pergaulan mereka dengan wanita dari satu tamadun ke tamadun yang lain dan dari satu masyarakat kepada masyarakat yang lain. Cuma, secara umumnya wanita tidak memperolehi pemeliharaan yang sesuai selain tidak memperolehi hak-hak melainkan sedikit sekali. Kebanyakan mereka memandang rendah pada wanita.

Wanita Dalam Tamadun Yunani


Dalam tamadun Yunani, pemikiran yang mendominasi tentang wanita dalam masyarakat Yunani adalah mereka itu rendah dan akal mereka cetek, dikuasai oleh emosi dan syahwat. Aristotle telah menggelar wanita sebagai “unsur tidak berakal dalam jiwa kemanusiaan.” Ia melihat bahawa wanita wajib tunduk kepada lelaki yang memiliki unsur akal. Wanita merupakan bahagian negatif dalam kehidupan lalu dia mesti mendengar dan taat kepada lelaki. Mereka berada pada martabat pertengahan antara lelaki Yunani merdeka dan hamba yang dibebaskan. Mereka tidak dibenarkan untuk memilih calon suami ketika telah sampai usia untuk berkahwin. Keluarganya lah yang akan memaksanya untuk berkahwin dengan sesiapa yang mereka kehendaki. Mereka hidup tersingkir dari medan politik dan pemerintahan. Siapa lah mereka di sisi lelaki Athens melainkan ketua khadam dan tempat untuk melahirkan anak serta wasilah untuk merealisasikan kenikmatan dan juga kebahagiaan bagi lelaki.

Wanita Dalam Tamadun Rom


Dalam tamadun Rom, wanita dianggap sebagai orang yang kurang akalnya. Mereka tiada keahlian untuk memiliki harta atau melakukan akad atau tugas pewasiatan atau melaksanakan kesaksian atau pun memegang jawatan. Undang-undang Rom menukilkan perkara tersebut. Kewanitaan bagi mereka bermaksud tiadanya kelayakan. Menurut undang-undang, amanat wasiat untuk kaum wanita dalam pandangan tamadun ini adalah untuk kaum kerabatnya dari kalangan adik-beradik kemudian kepada anggota keluarganya. Kaum lelaki sahaja yang memiliki hak kekuasaan serta hak mengelola wanita yang dimilikinya. Dia boleh menjual wanita yang berada dalam rumah mereka, menyiksa atau bahkan membunuh mereka.

[Bersambung]


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment