Penceraian : Berakhirkah Sebuah Kehidupan?



Kata orang, sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula suami isteri. Walau ikhlas menganyam benih-benih harapan untuk bersama ke akhir usia, apakan daya jika panas yang diimpikan, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Mutakhir ini, kadar penceraian naik mendadak khususnya di kalangan pasangan beragama Islam. Sepanjang tempoh 12 bulan yakni setahun dalam tahun 2008, kita dapat menyaksikan pelbagai kes pergolakan dan masalah rumah tangga dari masalah kecil sehinggalah ke tahap yang paling kemuncak iaitu penceraian sering dipaparkan di dalam surat khabar, majalah dan media massa. Perkara yang dulunya dianggap ‘kiamat kecil’ bagi sebuah keluarga kini bukan lagi sebuah paparan dalam sinetron dan tele-novela. Apabila ada pasangan artis melakonkan watak hidup kisah perceraian di alam nyata, seluruh negara gamat memperkatakannya. Seolah-olah iklim ekonomi dunia yang kian merudum tidak lagi relevan untuk dibincangkan.


Antara penyebabnya ialah industri media dan hiburan yang tidak akan melepaskan peluang mengaut keuntungan hasil “menjual” dan “menjaja” cerita-cerita sensasi golongan artis dan selebriti. “Bila tengok rancangan Melodi di TV3, rasa meluat juga dengan segmen Terjah yang kononnya memaparkan kehebatan para wartawan hiburan ini membongkar rahsia artis walaupun dengan cara yang agak kurang ajar. Lagak mereka sama seperti lagak Paparazi di Barat malah mereka jugalah yang sering menjadi punca sesuatu masalah itu menjadi lebih besar dan heboh diperkatakan orang. Dari orang tidak tahu akhirnya mereka tahu. Dengan pengaruh media, masalah rumah tangga yang boleh selesai cara baik akhirnya menjadi lebih buruk [http://syukran.wordpress.com/2008/11/11/media-massa-punca-kes-perceraian-artis-malaysia-meningkatdan-ini-memalukan-islam/]. Penulis di laman web ini juga melahirkan kebimbangan tentang isu perceraian artis yang perlu di muhasabah supaya tidak terus menjadi modal hidup kepada wartawan hiburan. Dipihak artis dan selebriti pula, ada di kalangan mereka yang sengaja mendedahkan keaiban sendiri untuk mengekalkan glamor dan populariti. Maka, pakatan strategik (strategic alliance) atau perkongsian bijak (smart partnership) antara media dan artis turut menyebabkan kisah-kisah perceraian menjadi isu sensasi yang menutup pemikiran sebahagian umat Islam untuk merenungkan isu-isu kritikal yang sedang melanda umat Islam masa kini.

Dalam tempoh lima tahun antara 1999 hingga 2004, kadar perceraian pasangan Islam nyata jauh lebih tinggi dari bukan Islam di negara ini. Mengikut statistik yang disebut oleh Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen, seramai 69,000 pasangan Islam bercerai dalam tempoh itu manakala bukan Islam sebanyak 13,000 kes. Pada tahun 2005 sahaja seramai 16,500 pasangan Islam yang bercerai berbanding dengan penceraian di kalangan pasangan bukan Islam yang mencatat sejumlah 3,000 pasangan yang bercerai [http://www.yadim.com.my/Keluarga/KeluargaFull.asp?Id=157].

Perceraian adalah suatu perkara yang digeruni khususnya dalam kalangan wanita kerana status ‘janda’ dianggap pembawa sial dan nasib malang. Melalui penceraian, pelbagai kesan buruk di semua pihak akan dapat dilihat. Ia ibarat mimpi buruk bagi setiap anak, menyebabkan kecelaruan dan perasaan rendah diri, tekanan malahan kebencian pada jantina tertentu. Bagaimana pula penjagaan dan perlindungan anak-anak setelah ikatan kasih terlerai? Dipihak ibu bapa sendiri, penceraian dapat menimbulkan gangguan emosi dan hilang keyakinan kepada orang lain. Kerenah birokrasi turut menambah derita penceraian kerana mengambil masa yang lama untuk menguruskan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak. Demi menghindari status yang dianggap hina ini, kaum wanita khususnya berusaha sedaya upaya mengelakkan perceraian sungguhpun mereka terpaksa menanggung penderitaan zahir batin apabila bahtera yang dilayari tidak lagi membenihkan sakinah, mawaddah wa rahmah.

Sebab-sebab Perceraian

1) Suka cara yang termudah (tinggalkan pasangan) ketika timbul masalah dalam perkahwinan
2) Gangguan perhubungan (walaupun lama bercinta sebelum berkahwin) misalnya kerana jarang berjumpa.
3) Wujudnya pihak ketiga yang merenggangkan hubungan suami isteri.
4) Longgarnya pergaulan dengan bukan mahram sehingga berlaku perbuatan curang dan syak wasangka.
5) Masalah tanggungjawab nafkah.
6) Tidak ujud lagi persefahaman, berbeza prinsip dalam kehidupan.
7) Memandang remeh penceraian, mudah lafaz talak secara main-main atau ketika marah.


Apakah itu Talaq (perceraian)?

Perceraian yang dikenali dalam bahasa Arab dengan istilah talaq. Menurut istilah bahasa Arab ia bererti: melepaskan ikatan. Manakala dari istilah syarak: melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau sebagainya. Talaq disebut dalam Al-Quran dan Sunah dengan perkara berikut:

“Talaq itu dua kali, sesudah itu suami diberi kelonggaran untuk rujuk semula dengan baik atau (kalau tidak ingin rujuk semula) hendaklah dilepaskan dengan baik” [TMQ Surah Al-Baqarah [2]: 229]

“Tidak ada sesuatu perkara yang halal yang paling dibenci oleh Allah selain dari talaq.” [Hadis Riwayat Abu Daud]

Benarkah Talaq Boleh Dielak?

Hasil kajian peringkat kebangsaan pada tahun 2006 menyimpulkan bahawa alasan utama penceraian ialah kegagalan memahami hak dan tanggungjawab sebagai pasangan yang berkahwin serta kegagalan berkomunikasi secara sihat antara kedua-dua pasangan [Berita Harian, 15 Disember 2006]. Memahami hakikat perkahwinan dengan memerhatikan perkara-perkara di bawah boleh membantu menyelamatkan perahu yang hampir karam.

i-Jadilah Sahabat yang Menyenangkan
Pernikahan pada dasarnya merupakan akad antara lelaki dan perempuan untuk membangun rumah tangga sebagai suami-isteri sesuai dengan ketentuan syariat Islam. Sesungguhnya kehidupan rumah tangga dalam Islam adalah kehidupan persahabatan. Suami adalah sahabat karib bagi isterinya, begitu juga sebaliknya. Keduanya benar-benar seperti dua sahabat karib yang bersedia bersama ketika suka dan duka dalam menjalani kehidupan pernikahan mereka demi meraih tujuan yang diredai Allah Subhanahu wa Taala. Isteri bukanlah sekadar pasangan kerja bagi suami, tidak juga orang bawahan atau pegawai yang bekerja pada suami. Isteri adalah sahabat, belahan jiwa, dan tempat curahan hati suaminya. Islam telah menjadikan isteri sebagai tempat yang penuh ketenteraman bagi suaminya. Allah Subhanahu wa Taala. berfirman: “Di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk kalian isteri-isteri dari jenis kalian sendiri supaya kalian cenderung dan merasa tenteram kepadanya”. [TMQ Surah ar-Rum (30): 21].

Maka dari itu, sewajarnya suami akan merasa tenteram dan damai jika ada isteri di sisinya, demikian pula sebaliknya. Suami akan selalu cenderung dan ingin dekat dengan isterinya. Di sisi isterinya, suami akan selalu disuntik dengan semangat baru untuk terus bergiat di jalan dakwah, begitu juga sebaliknya. Keduanya akan saling tertarik dan cenderung kepada pasangannya, bukan saling menjauh. Keduanya akan saling menasihati, bukan mencela; saling menguatkan, bukan melemahkan; saling membantu, bukan bersaing. Keduanya pun selalu sedia bersama meningkatkan kualiti ketakwaannya demi meraih kemuliaan di sisi-Nya. Kedua mereka berharap, Allah Subhanahu wa Taala. akan menemukan keduanya di syurga kelak. Ini bererti, tabiat asli kehidupan rumah tangga dalam Islam adalah ithmi’nân/tuma’ninah (ketenangan dan ketenteraman). Walhasil, kehidupan pernikahan yang ideal adalah terjalinnya kehidupan persahabatan antara suami dan isteri yang mampu memberikan ketenangan dan ketenteraman bagi keduanya.

Untuk menjamin teraihnya ketenangan dan ketenteraman tersebut, Islam telah menetapkan serangkaian aturan tentang hak dan kewajiban suami-isteri. Jika seluruh hak dan kewajiban itu dijalankan secara benar, Insyallah akan ujud keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah.


ii-Bersabar atas Kekurangan Pasangan


Keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah bukan bererti tidak pernah menghadapi onak dan duri kehidupan. Apa yang penting ialah keluarga yang dibangunkan atas landasan Islam, iaitu suami-isteri sama-sama menyedari bahawa mereka menikah sebagai satu ibadah dan untuk menjadi tunggak yang mengukuhkan perjuangan Islam. Mereka bersedia menghadapi apa jua masalah yang menimpa rumah tangga mereka kerana memahami jalan keluar yang mesti ditempuh adalah menurut hukum Islam.
Islam telah mengajarkan bahawa manusia bukanlah malaikat yang selalu taat kepada Allah, tidak pula maksum (terpelihara dari melakukan maksiat iaitu sebarang bentuk pelanggaran hukum) seperti halnya para nabi dan para rasul. Manusia adalah hamba Allah yang memiliki peluang untuk melakukan kesalahan dan menjadi tempat berkumpulnya banyak kekurangan. Pasangan kita sama ada suami atau isteri juga memiliki banyak kekurangan. Kerana itu, kadangkala apa yang dilakukan dan dizahirkan oleh pasangan kita tidak seperti gambaran ideal yang kita harapkan. Dalam keadaan begini, maka sikap yang mesti diambil adalah bersabar!

Sabar adalah salah satu akhlak yang mulia, iaitu wujud ketaatan hamba terhadap perintah dan larangan Allah Subhanahu wa Taala. Sabar adalah sebahagian daripada hukum syariat yang diperintahkan oleh Islam. Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan [kepada Allah] dengan sabar dan [mengerjakan] solat, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. [TMQ Surah al-Baqarah (2): 153];

Katakanlah: "Hai hamba-hamba-Ku yang beriman, bertakwalah kepada Tuhanmu". Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini memperoleh kebaikan. Dan bumi Allah itu adalah luas. Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas [TMQ Surah az-Zumar (39): 10]. Makna kesabaran yang dimaksudkan adalah kesabaran seorang Mukmin dalam rangka ketaatan kepada Allah; dalam menjalankan seluruh perintah-Nya; dalam usaha menjauhi seluruh larangan-Nya; serta dalam menghadapi ujian dan cubaan, termasuk pula pada masa kita berhadapan dengan ‘kekurangan’ pasangan (suami atau isteri) kita.

Namun demikian, kesabaran dalam menghadapi ‘kekurangan’ pasangan kita mesti dicermati dahulu faktanya. Pertama: Jika kekurangan itu berkaitan dengan kemaksiatan yang menunjukkan adanya pelalaian terhadap kewajipan atau justeru melanggar larangan Allah Subhanahu wa Taala. Dalam hal ini, wujud kesabaran kita adalah dengan menasihatinya secara makruf serta mengingatkannya untuk tidak melalaikan kewajipannya dan agar segera meninggalkan larangan-Nya. Contoh pada suami: suami tidak melayani isterinya secara makruf, tidak menghargai isterinya, bukannya memuji tetapi justeru suka mencela, tidak menafkahi isteri dan anak-anaknya, enggan melaksanakan solat fardu, enggan menuntut ilmu, atau malas dalam berdakwah. Contoh pada isteri: isteri tidak taat pada suami, melalaikan pengasuhan anaknya, melalaikan tugasnya sebagai pengurus rumah tangga (robbatul bayt), sibuk bekerja, atau mengabaikan kewajipan menuntut ilmu dan melaksanakan aktiviti amar makruf nahi mungkar. Sabar dalam hal ini tidak cukup dengan berdiam diri sahaja atau menerima apa jua yang dilakukan oleh pasangan kita, tetapi kita mesti ada usaha maksimum menasihatinya dan mendakwahinya. Satu hal yang tidak boleh dilupakan, kita sentiasa mendoakan pasangan kita kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Kedua: Jika kekurangan itu berkaitan dengan hal-hal yang harus (mubah) maka hendaklah berkomunikasi secara makruf di antara suami-isteri. Contoh: suami tidak terlalu romantik; miskin akan pujian terhadap isteri, padahal sang isteri mengharapkan itu; isteri kurang pandai mengurus rumah, walaupun sudah berusaha maksimum tetapi tetap kurang estetikanya, sementara sang suami adalah orang yang teliti dan rapi; isteri kurang pandai memasak walaupun dia sudah berusaha sedaya upaya menghasilkan yang terbaik; suami “tutur katanya” kurang lembut dan cenderung bernada tinggi sehingga kerap menyinggung perasaan isteri; isteri tidak biasa berdandan untuk suami, fesyen rambutnya tidak cantik, hasil cucian dan seterikaannya kurang rapi; dan sebagainya. Dalam hal ini kita dituntut bersabar untuk berkomunikasi dengan memberikan masukan (input), serta mencari jalan keluar bersama pasangan kita. Jika usaha maksimum telah dilakukan tetapi belum juga ada perubahan, maka terimalah dengan lapang dada seraya terus mendoakannya kepada Allah Subhanahu wa Taala. Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka kerana hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, [maka bersabarlah] kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak. [TMQ Surah an-Nisa’ (4): 19].

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Janganlah seorang suami membenci isterinya. Jika dia tidak menyukai satu perangainya maka dia akan menyenangi perangainya yang lain. [HR Muslim].

Khatimah

Perceraian sebagaimana pernikahan dan poligami adalah jalan keluar atau jalan penyelesaian akan masalah yang menimpa manusia. Perceraian ada hukum-hakam di dalamnya yang mesti dipatuhi setiap pihak yang terlibat. Perceraian sebagaimana status janda atau duda yang dianggap ‘taboo’ oleh sebahagian anggota masyarakat tidak menjadikan seseorang hina, kerana mulia atau hina seseorang tidak dinilai oleh status perkahwinannya, melainkan ketaqwaannya semata-mata sebagaimana firman Allah: Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa di kalangan kamu [TMQ Surah Hujurat:13].

Sebuah pernikahan yang membahagiakan adalah impian semua manusia. Akan tetapi, jika perceraian tidak mampu dielak, ia bukan berakhirnya sebuah kehidupan kerana manusia boleh berusaha serta memanjatkan doa agar dapat melayari bahtera rumah tangga hingga ke akhir hayat. Hakikatnya, hanya di tangan Allah sahajalah kuasa untuk menentukan kesejahteraan berpanjangan di kala rumah tangga di tiup ombak dan badai. Selain dari itu, tujuan manusia dijadikan Allah bukanlah untuk meraih kasih-sayang manusia semata-mata.

Justeru, perceraian yang tidak dapat dielak bukanlah suatu musibah jika seorang Islam itu memahami bahawasanya, apa jua ujian yang menimpanya, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui hikmah di sebaliknya. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi mu, dan boleh jadi [pula] kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi mu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. [TMQ Surah Al-Baqarah (2):216].

Wallahu alam bisshawab.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment