Mencari Cinta Sejati



Sekuntum mawar merah….sebuah puisi ….untuk gadis pilihan….di bulan Febuari….” Pastinya ramai yang pernah mendengar bait-bait merdu lirik lagu nyanyian kumpulan Alleycats yang digubah oleh penggubah tersohor negara, M.Nasir. Lagu malar segar ini seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan kedatangan bulan Febuari yang di dalamnya ada sambutan satu hari khas yang dinamakan hari kekasih. Umum telah mengetahui hari kekasih disambut sempena memperingati pengorbanan cinta Saint Valentine. Maka, ungkapan lazimnya diucapkan pada hari tersebut ialah “Happy Valentine’s Day”.

Dalam keghairahan stesyen-stesyen televisyen menyajikan program dan rancangan yang menonjolkan manifestasi cinta sesama manusia, kita mendapati cinta kepada manusia yang tidak dilandasi dengan ketaqwaan kepada Allah bakal mengundang binasa. Akbar Harian Metro pada 17hb Februari 2009 melaporkan bahawa akibat tertekan dengan khabar angin kononnya suami akan berkahwin lagi, seorang wanita sanggup minum cecair pencuci lantai hingga meragut nyawanya. Alangkah malangnya mengorbankan nyawa sendiri kerana dorongan cinta yang tidak dilandasi taqwa.

Secara umumnya walaupun sambutan dan kemeriahan hari kekasih lebih sinonim dalam kalangan remaja, kita bersyukur kerana sentiasa ada golongan yang tidak jemu untuk memperingatkan kepada semua tentang hukum sambutan hari tersebut. Sudah jelas bagi golongan yang berfikir dengan akal yang waras bahawa hukum menyambutnya adalah haram kerana unsur tasyabuh bil kuffar – menyerupai orang kafir. Ianya adalah budaya orang-orang Nasrani yang langsung tidak ada kena mengena dengan agama Islam yang syumul. Ibnu Umar berkata: “Rasulullah Sallalahu alaihi wasallam bersabda: Barang siapa menyerupai suatu kaum maka dia termasuk golongan mereka “ [HR. Abu Dawud]. Justeru mengapa masih ada golongan yang terus menyambut hari kekasih? Tidakkah mereka sedar bahawa cinta yang sejati lagi hakiki, malah boleh dikatakan cinta yang agung ialah kepada Allah subhanahu wa taala?
Sejenak kita renungkan firman Allah: “Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahawa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal).” [TMQ Al-Baqarah (2):165]



Mencari cinta Allah

Sungguh Allah telah golongkan orang-orang yang mencintai Allah dalam golongan orang-orang yang beriman. Justeru, cuba kita tanyakan beberapa persoalan kepada diri kita sendiri: sejauh manakah cinta kita sebagai hamba kepada Allah? Jika kita mengatakan bahawa cinta kita kepada Yang Maha Esa ini mengatasi segalanya, apakah bukti cinta kita itu? Atau adakah kita sebenarnya lebih cinta kepada pasangan hidup kita, harta, anak-anak dan segala kemewahan dunia? Untuk menilai cinta dan kasih kita kepada Allah, elok sekiranya kita perincikan satu persatu persoalan tadi sekaligus bertindak sebagai penunjuk aras di manakah sebenarnya diri kita. Layakkah kita mengaku kita telah kasih dan telah cinta kepada Allah?




Sejauh mana cinta hamba kepada Allah dan Rasul-Nya?

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, mereka sentiasa patuh dengan perintah Allah, mereka mengerjakan apa yang Allah wajibkan ke atas mereka dan mereka tinggalkan apa yang dilarang Allah. Kepatuhan ini didorong oleh kesedaran yang tinggi akan amaran yang diberikan Allah supaya tidak meninggalkan ajaran Islam kerana jika mereka melakukannya, Allah Subhanahu wa Taala akan memusnahkan mereka seluruhnya dan menggantikan mereka dengan suatu kaum yang dicintai Allah dan Allah juga mencintai mereka. Allah berfirman yang maksudnya ”Hai orang-orang yang beriman, barangsiapa diantara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang Kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberiannya), lagi Maha Mengetahui” [TMQ Al-Maidah (5):54].

Rata-rata masyarakat hari ini mengatakan mereka cinta kepada Rasul, tetapi bagaimana? Paling jelas, setiap tahun tatkala 12 Rabiul Awal menjelma mereka menunjukkan cinta kepada Rasul dengan menyambut Maulidurrasul. Persoalannya cukupkah bukti cinta kita hanya dengan sambutan itu semata-mata? Ironinya semasa hayat Rasulullah tidak pernah seorang pun dari para sahabat menyambut tarikh kelahiran Nabi. Justeru di manakah relevannya sambutan itu jika tidak disertai dengan penghayatan kepada pahit getirnya perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Deen Allah di muka bum ini?.

Dalam ayat lain Allah berfirman: “Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”[TMQ Ali-Imran:31]
Sesiapa yang mencintai Allah, maka hendaklah dia mengikut apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah. Antaranya, yang paling relevan dengan kedudukan Islam yang sentiasa ditindas mutakhir ini ialah contoh bagaimana perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam. Pengorbanan yang Rasulullah lakukan di jalan Allah sehingga tertegaknya kalimah Allah di muka bumi, sehingga Islam menguasai satu pertiga dunia, sehingga Islam digeruni oleh semua musuh-musuhnya. Semua itu menuntut satu pengorbanan yang besar.

Berkorban di jalan Allah

Allah berfirman: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” [TMQ At-Taubah (9):111].

Persoalannya setakat manakah kesanggupan kita sebagai hamba untuk berkorban jiwa dan harta kita di jalan Allah? Sangupkah kita menegur pemimpin yang telah leka dibuai oleh arus sekularis-kapitalis yang hanya mementingkan diri dan kepentingan mereka? Sanggupkah kita menyeru sekelian umat untuk kembali menghayati kehidupan Islam dengan menerapkan syariat Islam dalam kehidupan? Sanggupkah kita membetulkan segala sistem yang telah rosak ini dan menggantikannya dengan sistem Islam? Kesemua ini menuntut kita untuk melakukan sesuatu dan bukan hanya berdiam diri dan terus menunggu dengan mengatakan “..itu bukan tugas aku...”, “...itu tugas orang-orang yang berilmu...”.

Sebenarnya apa yang membuat kita tidak sanggup? Apakah sebenarnya yang lebih kita cintai? Allah berfirman: “dan kamu mencintai harta benda dengan kecintaan yang berlebihan.”[TMQ Al-Fajr: 20].

Renungkanlah firman Allah: “Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.”[TMQ Muhammad (47):7].

Cinta Allah vs Cinta Manusia.


Di dalam satu ayat, Allah berfirman: “Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.”[TMQ At-Taubah: 24].

Ramai antara kita yang lebih cinta kepada pasangannya jika dibandingkan dengan cinta kepada Allah. Jika kita cinta kepada manusia, manusia akan mati, sebaliknya jika cinta kepada Allah, Allah tetap ada, cinta itu adalah cinta hakiki. Dari Anas bin Malik radiallahu anhu., dia berkata: Saya mendengar Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda: Allah berfirman : “Wahai anak Adam (manusia), sesungguhnya selama kamu berdoa dan mengharap kepadaKu, Aku memberi ampunan kepadamu terhadap apa (dosa) yang ada padamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam seandainya dosamu sampai ke langit kemudian kamu minta ampun kepadaKu maka Aku memberi ampunan kepadamu dan Aku tidak memperdulikannya. Wahai anak Adam, sesungguhnya apabila kamu datang kepadaKu dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian kamu menjumpai Aku dengan tidak mensekutukan Aku dengan sesuatu niscaya Aku datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi” [Hadits ditakhrij oleh Tirmidzi].



Cinta sesama manusia bersifat rapuh dan sementara. Misalnya dalam sebuah perkahwinan, walau dipupuk dengan penuh cinta dan kasih sayang, tidak mustahil cinta itu akan sirna. Sisuami misalnya akan cinta kepada isteri selagi kulit masih gebu. Bila sudah berkedut, maka dia akan mencari isteri muda. Di sini si isteri akan melakukan apa saja untuk mendapatkan cinta yang kian padam itu tadi hingga sanggup melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Itulah hakikat cinta manusia.

Paling parah jika isteri tadi memberontak dengan si suami dan cuba mencari kepuasan di luar. Fenomena ini semakin lazim dalam dunia metropolitan hari ini. Kalau dulu berpantun, bunyinya santun...nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan....ibarat sekali air bah, pantai turut berubah. Kini, nasi lemak nasi kerabu, abang tak nak, saya pun tak mahu.... Akhirnya keluarga porak peranda, rumah tangga entah ke mana.

Bagi suami yang suka menjalin kasih sayang berangkai, satu isteri belum berpada. Paling tidak, akan ditambah dua atau tiga. Isteri yang meyedari cinta manusia bersifat rapuh, tidak akan mudah tertekan menghadapi keadaan tersebut kerana cintanya telah disalurkan kepada cinta hakiki, iaitu cintanya hanya kepada Allah dan semata-mata kerana Allah. Manusia datang dan pergi tapi Allah tetap abadi. Justeru soal poligami bukanlah satu perkara yang mematahkan semangat mereka untuk hidup. Bagi si suami pula, jika mereka benar-benar memahami tugas dan tanggungjawab yang besar bakal menanti mereka, mereka tidak akan dengan mudahnya membuat keputusan untuk berkahwin lebih dari satu.

Khatimah

Kesimpulannya, cinta dan kasih manusia yang sebenarnya hendaklah kepada al-Khaliq, Tuhan yang Maha Berkuasa. Dengan cinta dan kasih sayangnya kita wujud di dunia ini, demikian juga halnya dengan perasaan cinta dan kasih sayang, ianya dipinjamkan oleh Allah kepada kita untuk menguji sejauh mana keimanan kita kepadaNya. Cinta dan kasih kepada makhluk hendaklah didasari rasa taqwa, bukan emosi dan nafsu semata. Apa yang penting, seorang Muslim itu memahami bahawa cinta kepada Allah dan Rasul-Nya tidak cukup sekadar mematuhi perintah dan meninggalkan larangan-Nya dalam urusan ibadah khusus semata-mata sebaliknya manifestasi kecintaan kepada Allah dan RasulNya itu ditunjukkan dengan usaha untuk mengembalikan kehidupan Islam (isti’naf fil al-hayait al-Islam) sehingga pada akhirnya, sebuah negara (Islam) tertegak dan seluruh hukum-hakam terlaksanakan secara kaffah. Manifestasi cinta itu juga dizahirkan tidak hanya dengan membenci perayaan orang-orang Kafir, tetapi dia juga menunjukkan penentangan dan kebencian kepada ideologi dan pemikiran Kuffar-Barat termasuk sistem politik, pemerintahan dan cara hidup yang terbit dari undang-undang Barat dan undang-undang buatan manusia (man-made laws). Manifestasi kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya melalui perjuangan kearah penegakkan sebuah negara (daulah khilafah) ini memerlukan pengorbanan yang amat tinggi, maka perasaan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang amat mendalam, yang melebihi cinta kepada selain keduanya akan menjadi pemangkin kepada seorang Muslim itu untuk menzahirkan tujuan penciptaanNya dimuka bumi ini bukan hanya untuk beribadat kepada-Nya tetapi dia juga menunjukkan cintanya itu dengan kesanggupan dan kesediaan untuk diuji.

”Dia lah yang telah mentakdirkan mati dan hidup (kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah diantara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun” ( [TMQ Al-Mulk (67):2].


Wallahu’alam.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment