Happy Women's Day






Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Jika 3hb Mac diingati oleh umat Islam sebagai detik hitam runtuhnya Daulah Khilafah Uthmaniyyah setelah dimakamkan secara rasminya oleh Mustafa Kamal Atarturk laknatullah 85 tahun silam, 8hb Mac pula adalah hari yang dianggap agung kepada kaum wanita di seluruh dunia melalui sambutan Hari Wanita Sedunia yang didakwa suatu hari penting terhadap perjuangan meraih kesetaraan atau kesaksamaan, keadilan, keamanan dan kemajuan kepada kaum wanita. Ironinya, di bulan ini juga, sebahagian kaum wanita yang menyanjungi dan turut sama meraikan Hari Wanita Sedunia adalah kalangan yang turut sama meraikan Maulidur Rasul pada tanggal 12hb Rabi ul Awwal. Kedatangan Utusan Allah sebagai pembawa peringatan dan khabar gembira tidak dikaitkan langsung dengan kesejahteraan dan ketinggian darjat dan martabat kaum wanita yang diangkat dengan Islam selaku rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi sekelian alam).

Syukur Alhamdulillah. Fikratul Ummah bulan ini mengangkat dua isu: Sempena 8 Mac: Ada Apa dengan Hari Wanita Sedunia dan Istimewa Maulidur Rasul: Potret Kemuliaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam Junjungan Mulia. Tema Hari Wanita Sedunia diangkat untuk menunjukkan kepada umat Islam sejarah Hari Wanita, juga untuk menjelaskan bahawasanya pelaksanaan Islam secara kaffah akan memastikan kaum wanita yang dianggap warga kelas kedua mendapat layanan istimewa, malah sebahagian hukum hakam Islam itu sendiri sebenarnya ‘memanjakan’ wanita. Manakala artikel berjudul Istimewa Maulidur Rasul: Potret Kemuliaan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam Junjungan Mulia diangkat untuk menerangkan hakikat mencintai Utusan Allah ini dan menjelaskan peranan Muslimat untuk membuktikan kecintaan mereka. Selain dua artikel di atas, Fikratul Ummah turut menyajikan Bahagian Ketiga artikel terjemahan “Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah”.

Adalah diharapkan agar artikel-artikel yang dipaparkan pada Fikratul Ummah edisi Mac 2009 ini akan memberikan kefahaman kepada Muslimat khususnya, perancangan keji puak Kuffar-Barat untuk menyesatkan umat Islam melalui solusi dangkal mereka. Selain itu, harapan kami agar Muslimat akan dapat melihat bagaimana keindahan Islam dapat mengangkat darjat dan kemuliaan mereka melalui hukum-hakam terkait dengan kaum Hawa dan juga melalui kecintaan kepada Rasulullah Sallalahu Alahi Wa Sallam yang dibuktikan dengan pemahaman peranan mereka sebagai ummu wa rabatul bait seiring dengan kewajipan melakukan kerja dakwah.

Wallahu ‘alam bisshawab.

============================================================================



hb Mac adalah Hari Wanita Sedunia yang diiktiraf oleh kelompok-kelompok wanita di seluruh dunia. Tarikh ini turut diperingati oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mana ia adalah cuti umum di sesetengah Negara. Apabila wanita di seluruh benua yang seringkali dipisahkan oleh sempadan negara, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan perbezaan politik bersatu untuk menyambut hari ‘mereka’, mereka dapat mengimbas kembali suatu tradisi yang mewakili sekurang-kurangnya 9 dekad perjuangan untuk meraih kesaksamaan atau kesetaraan (equality), keadilan (justice), keamanan (peace) dan kemajuan (development).

Sejarah

Hari Wanita Sedunia adalah kisah wanita biasa yang berjaya melakar sejarah. Ia berakar umbi pada perjuangan selama berabad-abad untuk kaum Hawa ini turut serta dalam masyarakat setaraf dengan kaum Adam. Dalam zaman Greek Kuno, Lysistrata mengadakan mogok seks untuk mengakhiri peperangan semasa Revolusi Perancis, wanita-wanita Paris menyeru pembebasan (liberty), kesaksamaan (equality) dan persaudaraan (fraternity) yang mana mereka telah berarak untuk memaksa Versailles memenuhi keinginan mereka untuk mendapat hak mengundi (suffrage).

1909: Bersempena dengan pengisytiharan yang dilakukan oleh Parti Sosialis Amerika, Hari Wanita Kebangsaan pertama telah diraikan di seluruh Amerika Syarikat pada 29hb Februari. Para wanita terus meraikannya pada hari Ahad terakhir bulan Februari 1913.

1910: Sosialis Antarabangsa telah mengadakan mesyuarat di Copenhagen dan mengisytiharkan Hari Wanita di peringkat antarabangsa sebagai penghargaan terhadap gerakan yang memperjuangkan hak-hak wanita dan membantu mencapai women suffrage sejagat. Usul itu telah diterima sebulat suara oleh persidangan yang dihadiri oleh 100 wanita dari 17 buah Negara peserta, termasuk 3 orang pertama yang dilantik sebagai ahli Parlimen wanita Finland. Tiada tarikh tertentu untuk meraikannya.

1911:
Natijah dari resolusi di Copenhagen pada tahun sebelumnya, Hari Wanita Sedunia telah diraikan untuk pertama kalinya di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland pada 19hb Mac dengan penyertaan lebih dari sejuta wanita dan lelaki dalam perarakan. Selain hak untuk mengundi dan memegang jawatan kerajaan, mereka meminta hak untuk bekerja, menjalani latihan vokasional dan mengakhiri diskriminasi. Kurang dari seminggu kemudian, pada 25hb Mac berlaku insiden penuh tragik Kebakaran Tiga Segi (Triange Fire) di kota New York yang mengorbankan lebih 140 nyawa pekerja wanita, majoriti dari kalangan mereka adalah imigran Itali dan Yahudi. Kejadian ini memberi impak besar terhadap undang-undang buruh di Amerika Syarikat, dan kondisi pekerjaan yang menyebabkan musibah yang berlaku sejurus selepas sambutan Hari Wanita Sedunia.

1913-1914: Sebagai sebahagian gerakan keamanan yang tercetus di ambang Perang Dunia Pertama, wanita-wanita Russia meraikan Hari Wanita Sedunia pada hari Ahad terakhir dalam bulan Februari 1913. Di lain-lain tempat di Eropah, lebih kurang pada 8hb Mac tahun berikutnya, kaum wanita mengadakan perarakan dan bantahan menentang peperangan atau untuk menyatakan solidariti terhadap kaum sejenis mereka.

1917: Kematian dua juta askar Russia dalam peperangan menyebabkan wanita Russia sekali lagi memilih hari Ahad terakhir dalam bulan Februari untuk melancarkan mogok bagi mendapatkan ‘roti dan keamanan’.
Pemimpin-pemimpin politik menentang waktu yang dipilih untuk melakukan mogok tetapi tidak diendahkan oleh para wanita. 4 hari kemudian Kaisar telah menyerahkan takhta pemerintahan dan kaum wanita diberikan hak mengundi. Hari Ahad bersejarah itu jatuh pada 23hb Februari menurut kalender Julian yang pada masa itu diguna-pakai di Russia, tetapi ia jatuh pada 8hb Mac menurut kalendar Gregorian yang diguna-pakai di lain-lain tempat.

Semenjak tahun-tahun terawal itu, Hari Wanita Sedunia telah memainkan peranan dalam membentuk sebuah dimensi global terbaru kepada wanita di negara-negara membangun dan di negara-negara maju. Gerakan-gerakan wanita antarabangsa yang semakin bertambah telah diperkukuhkan dengan empat persidangan wanita-wanita dari negara-negara anggota PBB di peringkat global yang bertujuan untuk melakukan usaha-usaha secara sistematik untuk mendapatkan hak-hak wanita serta penyertaan kaum Hawa ini dalam kemajuan ekonomi dan politik. Semenjak itu, Hari Wanita Sedunia juga telah dijadikan momentum untuk meneliti pencapaian yang diraih, menyeru kearah perubahan dan meraikan tindakan berani dan keazaman yang ditunjukkan oleh wanita biasa yang memainkan peranan luarbiasa dalam sejarah hak-hak wanita.

[Sumber:http://www.kelantan.uitm.edu.my/prostar/index.php/nukilan/64-hariwanitasedunia]

Di tanah air, menurut laporan Suara Keadilan Online di laman web www.suarakeadilan.com pada 8hb Mac 2009, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Kebudayaan, Sains, Inovasi & Teknologi Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail telah menyampaikan perutusan Barisan Kepimpinan Wanita Pakatan Rakyat sempena sambutan Hari Wanita Sedunia 2009. Perhimpunan yang dilakukan sempena hari yang dianggap bersejarah kepada kaum wanita ini serentak dengan sambutan setahun Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran 5 buah negeri iaitu pada 8hb Mac 2008 adalah bertemakan ‘Kembalikan kepada wanita nikmat rasa selamat dan aman di Malaysia’. Tema yang diutarakan ini bertitik tolak dari realiti ngeri yang mewarnai kehidupan wanita Malaysia. “Setiap hari di Malaysia berlaku sebanyak 8.2 kes keganasan rumahtangga, 6.7 kes rogol, kes-kes gangguan seksual yang tidak dilaporkan, keperluan wanita Orang Asli yang tidak dipenuhi dan keperluan wanita kurang upaya yang masih tidak difahami,” jelas Rodziah.

Malangnya, pemimpin wanita dari Pakatan Rakyat ini mendakwa kemelut meruncing yang melanda wanita ini turut berpunca dari kegagalan parti pemerintah. “Mengarusperdanakan gender (Gender Mainstreaming) yang menjadi asas kepada kejayaan Dasar Wanita Negara dan pencapaian cita-cita Millenium (the Millennium Goals) masih belum berjaya sepenuhnya dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional,” katanya. Sebagai penutup kepada perutusan ini, beliau menyatakan kebersamaan pakatan Rakyat hari ini adalah pernyataan bahawa PR akan terus memberikan komitmen terhadap memenuhi hak-hak wanita dan kesetaraan gender (women’s rights and gender equality).

Apakah kesediaan ‘memberikan komitmen terhadap hak-hak wanita dan kesetaraan gender’ akan dapat mengubah nasib wanita yang dizalimi?
Sejarah kelahiran Hari Wanita Sedunia yang turut diraikan oleh wanita Malaysia ini menunjukkan peri pentingnya meraikan dan menyambut satu hari yang dianggap ‘agung’ demi untuk meraih kesaksamaan atau kesetaraan (equality), keadilan (justice), keamanan (peace) dan kemajuan (development). Malangnya, solusi yang diambil masih dalam kerangka pemikiran Sekuler-Kapitalis.

Penyelesaian menurut Sekuler-Kapitalis

Dalam kalangan umat Islam yang menganut fahaman liberal, ada pihak yang mendakwa bahawa wujudnya ketidakadilan dan ketidaksetaraan gender dianggap berpunca dari ajaran Islam. Dari kacamata mereka, pelbagai permasalahan yang menimpa wanita pada masa kini disebabkan wujudnya diskriminasi dan ajaran Islam yang mendiskredit kaum Hawa seperti hukum pewarisan, poligami, batasan aurat dan kepimpinan lelaki. Antara usaha ke arah ini adalah penganjuran Musawah Global Meeting 2009 yang diadakan pada 13-17hb Februari 2009 dan telah berlangsung di Hotel Prince, Kuala Lumpur. Objektif Musawah yang diilhamkan oleh Sisters In Islam (SIS) sejak tahun 2007 adalah seperti berikut: Musawah is designed to bring together scholars and activists who wish to work within a holistic framework to ensure that Muslim women are treated as human beings of equal worth and dignity in the law, in the family and the community. Since so much of the injustice against Muslim women and the resistance to law reform are justified in the name of Islam, we feel that it is important that Musawah’s key focus as a knowledge building movement be on acquiring knowledge and understanding why equality and change are possible and necessary within Islam (Musawah disusunatur sedemikian rupa untuk menyatukan para cendekiawan dan aktivis yang mahu berusaha dalam kerangka holistic untuk memastikan wanita-wanita Islam dilayani seperti manusia yang punya harga diri dan maruah setara di sisi undang-undang, dalam keluarga dan masyarakat. Memandangkan berlaku terlalu banyak ketidakadilan terhadap wanita dan tekanan untuk melakukan reformasi undang-undang tidak bertentangan dengan Islam, kami merasakan bahawa sangat penting bahawa fokus utama Musawah sebagai sebuah gerakan untuk membina pengetahuan mencari ilmu pengetahuan dan pemahaman mengapakah kesetaraan dan perubahan tidak mustahil dan sangat perlu dari dalam Islam [Sumber: Wanted:Equality and Justice in the Muslim Family, www.musawah.org]

Islam ‘memanjakan’ Wanita

Sebahagian umat Islam yang mempunyai tanggapan bahawa Islam menyebabkan wanita dianggap warga kelas kedua sebenarnya tidak mengkaji agama ini dengan mendalam. Banyak dalil yang menunjukkan bahawa agama Islam sangat memanjakan kaum Hawa ini.
Pertama: Hukum Pewarisan. Islam menetapkan hukum waris dalam Surah An-Nisa: Bahagian untuk seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua anak perempuan iaitu perempuan mendapat setengah bahagian dari lelaki. Ayat berkenaan dengan waris ini adalah qat’ie. Pemahaman yang salah akan menyebabkan seseorang beranggapan bahawa anak lelaki mendapat lebih bahagian, manakala anak perempuan yang mendapat bahagian yang kurang dianggap menjadi mangsa diskriminasi. Apa yang sering menjadi punca salah faham ini adalah kurangnya penjelasan tentang tanggungjawab dan kewajipan anak lelaki yang mana dia tidak hanya bertanggungjawab menafkahi isteri, tetapi juga kaum kerabat sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al-Baqarah(2) ayat 215: Mereka bertanya kepadamu tentang apa yang mereka nafkahkan. Jawablah:

"Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu-bapak, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan." Dan apa saja kebajikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya”.


Maka, bahagian warisan lebih besar kerana tanggungjawab juga lebih besar. Anak perempuan juga, walaupun hanya menerima separuh dari bahagian yang diterima anak lelaki, akan tetapi, bahagian yang diterima adalah untuk dirinya sendiri. Alangkah hebatnya Islam kerana memanjakan kaum wanita. Sudahlah bahagian yang diterima untuk dirinya sahaja, nafkah dirinya turut ditanggung oleh saudara laki-laki yang menerima dua bahagian itu tadi. Jika dikira secara matematik, sudah tentu kaum wanita yang paling beruntung !

Kedua: Hukum Poligami. Poligami adalah satu hukum berstatus mubah (harus) yang sering dianggap menganiaya atau menzalimi kaum wanita. Pandangan masyarakat yang menganggap wanita yang berkongsi suami sebagai berstatus rendah menyebabkan pelaku poligami sering dipandang serong. Jika mereka kelihatan bahagia, sang suami dituduh memakai minyak guna-guna. Jika mereka kelihatan sengsara, bukan bantuan yang dihulurkan sebaliknya sumpah seranah yang dihamburkan. Hakikatnya, poligami mampu menyelesaikan banyak permasalahan yang melanda masyarakat. Berbanding status mistress atau perempuan simpanan yang dianggap hina, poligami mengangkat status wanita kerana semua isteri-isteri dan anak-anak mendapat hak yang sama. Poligami juga adalah jalan keluar kepada lelaki yang memiliki keinginan syahwat yang tinggi terutamanya apabila sang isteri sakit yang mana ia akan dapat mengelakkan lelaki dari terjerumus ke lembah perzinaan. Justeru kasih sayang tidak perlu dileraikan kerana masalah kesihatan dan lelaki dapat memenuhi nalurinya dengan jalan yang diredhai Allah.

Ketiga: Allah menetapkan kaum lelaki sebagai pemimpin atas kaum wanita sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah An-Nisa ayat 34: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka [laki-laki] atas sebahagian yang lain [wanita], dan kerana mereka [laki-laki] telah menafkahkan sebagian dari harta mereka”. Ia ditunjukkan dengan kedudukan saf wanita di belakang saf lelaki. Rasulullah bersabda: 'Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir, manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.' [HR Muslim]

Kaum lelaki menjadi qawwam (pemimpin) atas kaum wanita bukan bermakna mereka lebih hebat (superior). Sebagai seorang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, kita tidak sepatutnya mempertikaikan hukum Allah atas alasan yang direka-cipta dari logik akal manusia yang mengatakan bahawa kesetaraan (equality) bermakna lelaki dan wanita mesti diatur dengan hukum yang sama dalam semua aspek kehidupan. Sebaliknya, sebagai Mukminat, kita hendaklah menerima suatu hukum seadanya sebagaimana yang dilakukan oleh para Sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam.

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. [Kerana] bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita [pun] ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu” [TMQ An-Nisa (4):32]

“Sesiapa yang beramal soleh, sama ada lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.” [TMQ An-Nahl (16): 97]

“Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal di antara kamu, baik lelaki atau perempuan, (kerana) sebahagian kamu(adalah keturunan) sebahagian yang lain." [TMQ Ali Imran(3):195]

Kesimpulan

Allah menciptakan manusia semata-mata untuk beribadah kepada-Nya sebagaimana maksud firman Allah:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”[TMQ Az-Zariyat(51):56].

Penyembahan di sini bukan sekadar melaksanakan ibadah khusus semata-mata sebaliknya berusaha melaksanakan seluruh hukum hakam dalam sebuah negara sebagaimana perintah-Nya:

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya” [TMQ Al-Baqarah (2):208].

Penerapan seluruh hukum-hakam ini akan memastikan keadilan diberikan kepada semua gender sama ada lelaki atau wanita, bangsa, orang dewasa, kanak-kanak, bayi, orang yang berakal waras serta yang kurang siuman. Realiti masa kini yang mana kaum wanita dianggap mangsa diskriminasi sehingga mereka perlukan satu hari khusus untuk menzahirkan perjuangan mereka adalah natijah dari penerapan sistem Kufur yang bermaharajalela di seluruh dunia setelah keruntuhan Daulah Khilafah Ustmaniyyah yang telah dimakamkan oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah ‘alahi pada tanggal 3hb Mac 1924. Realiti masa kini yang mana hanya sebahagian hukum-hakam Islam dilaksanakan tidak boleh dijadikan alasan bahawa hukum-hakam Islam hendaklah dikaji dan ditafsirkan semula supaya ia tidak lagi dianggap menindas kaum wanita. Justeru, kewujudan Islam dalam sebuah negara (Daulah Islamiyyah) sahajalah yang akan dapat memberi kesejahteraan kepada seluruh ras manusia sama ada lelaki atau wanita, sama ada yang beragama Islam mahupun yang bukan Islam. Kewujudan negara Khilafah ini bukan sahaja membawa kebahagiaan kepada umat Islam di dunia, malah usaha ke arah mendirikannya semula Insyallah akan menjadi amal soleh yang akan memberi kebahagiaan berkekalan di Akhirat kelak.

Wallahu ‘alam.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment