Istimewa Maulidur Rasul : Potret Kemuliaan Rasulullah saw Junjungan Mulia




Tiada siapa yang mampu menyangkal bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah watak utama yang membentuk peradaban umat ini. Melalui manusia agung ini, sebuah masyarakat baru dilahirkan. Kerananya, umat manusia terselamat dari kehancuran dan mengeluarkan mereka dari sisi kegelapan jahiliyyah menuju cahaya keimanan. Di tangan baginda, ketamadunan manusia dicorakkan; di mana akidahnya yang benar telah terbukti mampu melahirkan revolusi ke arah kebangkitan sebuah negara Islam yang jauh lebih manusiawi dibandingkan tamadun lain yang terbit sebelumnya.

Peranan baginda bukan sekadar seorang Rasul penyampai wahyu dari langit, tetapi juga sebagai ahli politik, pemimpin negara dan Amirul Jihad. Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah pemimpin segala bidang. Baginda pemimpin umat di masjid, di dalam pemerintahan, juga di dalam medan pertempuran. Baginda mengubah jiwa manusia yang biadab menjadi beradab. Beliau juga seorang politikus yang berhasil menyatukan suku-suku bangsa hanya dalam waktu kurang dari seperempat abad. Baginda juga merupakan pemimpin rohani yang mana aktiviti peribadatannya telah menghantarkan jiwa pengikutnya ke alam kelazatan samawiyyah dan keindahan suasana Ilahiyyah.

Betapa watak ini terlalu istimewa di mata umat Islam sehinggakan para sahabat sendiri tidak mampu menggambarkan kemuliaan peribadi baginda Rasul. Ketika seorang Yahudi bertanyakan kepada Khalifah Umar bin al-Khattab radiallahu anhu tentang akhlak Rasulullah, beliau tidak mampu menjawabnya dan menyuruh pemuda tersebut hadir kepada Bilal radiallahu anhu. Soalan yang sama diajukan kepada Bilal, namun persoalannya masih tidak mampu untuk dirungkaikan. Pemuda tersebut segera mendatangi Saidina Ali karamallahu wajhah yang merupakan sepupu, sahabat dan menantu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Soalan yang sama dikemukakan, namun Ali malah bertanya semula kepada pemuda tersebut




"Lukiskan keindahan dunia ini, akan aku gambarkan kepadamu, akhlak Rasulullah!” Pemuda Yahudi menyatakan bahawa beliau tidak mampu untuk melakukannya. Ali kemudiannya menjelaskan, “Kamu tidak mampu melukiskan keindahan dunia ini, padahal Allah Subhanahu wa Taala telah menyaksikan betapa dunia ini sangat kecil melalui firmanNya,
“Katakanlah: Keindahan dunia ini sangat kecil” [TMQ An-Nisa’ (4):77].

Ertinya, untuk menggambarkan keindahan dunia yang sangat kecil ini sahaja telah sedemikian sulit, apatah lagi untuk menggambarkan kemuliaan dan keluhuran peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Hal yang sama turut diakui oleh Thomas Carlyle melalui tulisan beliau di dalam “On Heroes and Hero Workshop” sebagai berkata, ”Dia (Rasulullah) datang seperti sepercik sinar dari langit yang jatuh ke padang pasir yang tandus, dan kemudiannya meledakkan butir-butir debu menjadi percikan yang membakar angkasa dari Delhi (timur) ke Granada (barat)”. Bahkan Michael Hart menempatkan Rasulullah sebagai manusia paling berpengaruh sepanjang sejarah kehidupan manusia, mengatasi nama-nama hebat seperti Isaac Newton dan Jesus.

Lantaran kedudukan baginda sebagai manusia teragung, maka tidak hairanlah jika kecintaan kepada Baginda merupakan suatu kepastian dan kewajipan kepada setiap umat Muhammad. Ini dijelaskan melalui firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan” [TMQ An-Nisa (4): 65]

Perkara yang sama turut dilisankan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri: “Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian sehingga dia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada orang tua, anak, bahkan manusia seluruhnya” [HR Bukhari bab Hubbur Rasul sallallahu ‘alaihi wasallam minal iimaan]

Dalil-dalil di atas jelas menunjukkan kepentingan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sehingga dia dijadikan parameter untuk mengukur kadar keimanan seorang Muslim. Kecintaan ini pula hendaklah melebihi kecintaan seseorang kepada sesiapapun, hatta ahli keluarga, malah dirinya sendiri. Hal ini disebutkan dalam firman Allah Subhanahu wa Taala:

“Katakanlah: ‘Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya.’Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” [TMQ At-Taubah: 24]

Kesungguhan untuk mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini terpateri kuat dalam peribadi para sahabat. Antara buktinya, adalah suatu kisah yang terakam kemas dalam sejarah sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat, Anas bin Malik radiallahu anhu dalam sebuah riwayat.

“Di tengah-tengah berkecamuknya peperangan Uhud, tersebar desas-desus di antara penduduk Madinah bahwa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam terbunuh, sehingga terdengarlah esak tangis di setiap penjuru kota Madinah. Maka keluarlah seorang wanita dari kalangan kaum Ansar dari rumahnya, di tengah-tengah jalan dia telah dikhabarkan bahawa ayahnya, anaknya, suaminya dan saudara kandungnya telah terbunuh di medan perang. Ketika wanita ini meredahi sisa-sisa kancah peperangan, dia melewati beberapa jasad yang bergelimpangan, “Siapakah ini?” tanya beliau “Mereka ialah ayahmu, saudaramu, suamimu dan anakmu!”, jawab orang-orang yang ada di situ. Beliau malah segera menyahut, “Apa yang terjadi kepada Rasulullah?” Mereka menjawab, “Itu ada di depanmu.” Segera beliau bergegas menuju Rasulullah dan menarik bajunya seraya berkata, “Demi Allah wahai Rasulullah, aku tidak akan mempedulikan (apapun yang menimpa diriku) selama engkau selamat!” [Disebutkan oleh al-Haitsami dalam Majma’ az-Zawaid (VI/115)], dan dia berkata, “Diriwayatkan oleh ath-Thabrani dalam al-Ausath dari syaikhnya Muhammad bin Su’aib dan aku tidak mengenalnya, sedangkan perawi yang lain adalah terpercaya.” [Diriwayatkan pula oleh Abu Nu’aim dalam al-Hilyah (II/72, 33)].



Subhanallah! Inilah kisah salah seorang ibu kaum Muslimin, Ummu Saad bin Muadz sehingga membuatkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menadah tangan berdoa buatnya, “Ya Allah, singkirkanlah kesedihan hati mereka, hiburkanlah mereka kerana musibah yang menimpa mereka dan baguskanlah pengganti bagi orang-orang yang mereka tinggalkan”

Hakikat Mencintai Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam


Di dalam kitab Min Muqawwimat An-Nafsiyyah Al-Islamiyyah, Al-Azhari menyebutkan, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan RasulNya adalah dengan mentaati dan mengikut perintah Allah dan RasulNya”. Cinta di dalam ertikata ini ialah kewajipan yang terikat dengan pengamalan syariat yang telah diwajibkan oleh keduanya. Maksudnya, ketika seorang Muslim menyatakan bahawa kecintaannya yang tertinggi adalah terhadap Allah dan RasulNya, dia wajib untuk menzahirkan kecintaannya dengan mentaati seluruh perintah dan menjauhi seluruh larangan keduanya. Hal ini antaranya didasarkan pada firman Allah Subhanahu wa Taala: “Katakanlah, jika kalian mencintai Allah, ikutilah aku (Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam)” [TMQ Ali-Imran (3) :31].

Apa saja yang telah dibawa oleh Rasul untuk kalian, ambillah, dan apa saja yang dilarangnya atas kalian, maka tinggalkanlah” [TMQ Al-Hasyr (59): 7].
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, ada pilihan (yang lain) bagi mereka tentang urusan mereka.” [TMQ Al-Ahzab(33): 36].

Saidatina A’isyah radiallahu anha ketika ditanya oleh Sa’ad bin Hisyam mengenai peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam menjawab, “Sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah Al-Quran” [HR Ahmad]. Perkataan ini berkait rapat dengan ayat 4, Surah Al-Qalam. (“Sesungguhnya, engkau berada di atas khuluq yang agung”). Di dalam Tafsir Jalalayn (1/758) Imam Jalalain menyebutkan bahawa perkataan khuluq di dalam ayat tersebut sebagai deen (agama, jalan hidup). Maka, ayat tersebut membawa maksud, Sesungguhnya engkau (Rasulullah) berada di atas agama/jalan hidup yang agung, iaitu Islam. (Lihat juga, Ibn Katsir, Tafsir Ibn Katsir, 4/403). Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa meneladani Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah dengan cara mengamalkan keseluruhan isi Al-Quran, yang tidak hanya menyangkut aspek ritual dan akhlak semata, tetapi mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia.

Persoalannya kini, bagaimana mungkin ‘kita’ dikatakan mencontohi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, tetapi dalam masa yang sama kehidupan kita dipenuhi ajaran yang dibawa oleh kaum Kuffar? Dalam berekonomi ‘kita’ masih meneladani Adam Smith dan David Richardo; dalam politik ‘kita’ merujuk Machievelli dan Mountesque; dalam kehidupan sosial dan perubahan masyarakat, ‘kita’ mencontohi konsep Karl Marx, Lenin dan Stalin; dalam aspek pendidikan dan psikologi ‘kita’ bercermin pada hukum dan prinsip yang diperkenalkan oleh Sigmund Freud! Atau setidak-tidaknya, disebabkan ketidakpedulian terhadap sistem dan aturan Kufur yang diterapkan hari ini, ramai yang tidak menyedari bahawa kehidupan sehari-harinya tidak dipandu oleh perintah Allah dan RasulNya. Maka, jadilah dia kelompok yang ‘redha’ dengan kekufuran dan hidup hanya untuk memikirkan dirinya sendiri!



Bukankah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda, “Barangsiapa yang bangkit di pagi hari tetapi tidak memikirkan keadaan umat ini, maka dia bukanlah sebahagian dari umatku” [Riwayat Al-Baihaqi dalam “Shuab Al-iman”, At-Thabari, Abu Nuaim dalam hilyah dan Al-hakim]. Bukankah Rasulullah tidak sekadar mengajari kita cara untuk mengucapkan syahadatain serta melaksanakan solat, puasa, zakat dan haji secara benar; tetapi baginda juga mengajarkan bagaimana sepatutnya kita mencari nafkah, melakukan transaksi ekonomi, menjalani kehidupan sosial, pendidikan serta melaksanakan aktiviti politik dan pengaturan masyarakat di samping menerapkan hukum-hukum uqubat kepada pelaku jenayah berdasarkan apa yang disyariatkan oleh Al-Khaliq?

Peranan Muslimat

Kepungan teknologi moden telah mencorakkan gaya baru yang sebati dalam diri anak-anak pada hari ini tanpa mengira tingkat usia. Kita mendapati terlalu banyak watak idola yang dilahirkan melalui rahim media elektronik dan media cetak yang bercorak hiburan semata. Wabak hedonisme dan wahn telah merasuk umat Islam sehingga tanpa disedari, akidah, pemikiran, perasaan dan gaya hidup mereka lebih condong dipengaruhi oleh masyarakat Sekular-Kapitalis. Di sini, timbul satu persoalan; yang manakah yang lebih melapangkan dada ibu bapa; si anak (i) mencontohi tokoh pujaannya yang memiliki segudang kekurangan, kelemahan dan bergelumang kemaksiatan, atau (ii) apabila si anak meneladani peribadi mulia yang sempurna dan layak menjadi teladan, malah menghimpunkan segala sisi kebaikan?

Suatu realiti yang sangat menyedihkan iaitu apabila manusia yang sepatutnya dijadikan model ikutan bagi umat Islam telah dilupakan atau sekadar dianggap tokoh yang mana kebanyakan ajaran yang dibawanya semata-mata terhad dalam lembaran sejarah. Betapa mereka sudah tidak mengenali satu-satunya manusia yang layak menjadi contoh ikutan dalam seluruh aspek kehidupan iaitu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Betapa sirah Junjungan Besar ini hanya dijadikan sebagai bahan bacaan di sekolah-sekolah, yang hanya sekadar nama atau sekilas biografi baginda sahaja. Malah, jika pun diambil sebagai pedoman, hanya sekadar mencontohi aspek-aspek ibadah dan akhlak baginda Rasul.

Justeru, seorang ibu yang beriman sentiasa mengharapkan kebaikan bagi anak-anaknya. Bukan hanya sebatas kehidupan di dunia, tetapi sehinggalah mereka kembali di hadapan Rabbnya kelak. Dari rahim ibu-ibu yang bertakwa inilah, lahirnya benih-benih khaira ummah yang mendepankan kecintaan kepada Allah dan RasulNya. Ibu yang prihatin akan membekalkan anak-anaknya dengan benteng pertahanan iaitu akidah dan keimanan yang mendalam kepada Allah dan RasulNya.

Seorang ibu yang bijaksana akan sentiasa memerhatikan kecenderungan dan menjaga anak-anaknya agar peribadi dan syakhsiah mereka terbentuk sesuai dengan syariat Islamiyyah. Mereka tidak akan sanggup menyaksikan anak-anaknya bergaya dan berperilaku sebebasnya. Mereka tidak akan sanggup membiarkan generasi muda ini tenggelam dalam arus Sekularisme yang mana segala sisi kehidupannya diatur oleh akal manusia semata-mata dan mengenepikan aturan agamanya sebatas ritual ibadah dan akhlaq yang sempit.

Ibu yang bertanggungjawab akan menyedari tentang peranan mereka sebagai guru pertama dan utama bagi sang anak. Merekalah yang berperanan untuk mendidik dan membimbing anak-anak mereka, bak ranting muda yang mudah ditiup angin ini dengan didikan agama yang terbaik.

Sementara itu, tiada bimbingan dan contoh terbaik untuk diteladani selain dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Maka, ibulah insan terpenting yang berperanan untuk memperkenalkan kepada sang anak terhadap huswatun hasanah ini, sehingga timbullah rasa kecintaan yang mendalam terhadap baginda Rasul. Dari sini jugalah, mereka akan terdorong untuk meneladani baginda, sama ada melalui ucapan, perilaku dan segala hal yang diajarkan oleh baginda Rasul. Sesungguhnya, anak-anak kecil ini perlu didedahkan tentang kewajipan mencintai dan mencontohi peribadi Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, sepertimana firman Allah Subhanahu wa Taala dalam al-Quran: “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suri teladan yang baik bagimu, iaitu bagi mereka yang mengharapkan Allah dan hari akhir serta banyak berzikir kepada Allah” [TMQ Al-Ahzab (33) : 21].

Tanggungjawab mendidik generasi muda agar mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini bukanlah persoalan yang boleh dipandang remeh. Ini kerana, kecintaan kepada Baginda merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam mengingatkan tentang hal ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Anas bin Malik radiallahu anhu: “Tidak sempurna keimanan seseorang di antara kalian sehingga diriku menjadi seorang yang lebih dia cintai daripada ayahnya, anaknya dan seluruh manusia” [HR Bukhari, No 15, dan Muslim No 44]

Jika kita renung sejenak tentang kehidupan anak para sahabat, kita bakal menyaksikan kecintaan mereka yang begitu besar terhadap Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Ini semua terjadi kerana didikan para ibu terbaik ketika itu yang memahami dengan sangat jelas tentang hal tersebut. Baginda menjadi seorang manusia yang paling mereka utamakan dan paling berharga dalam kehidupan mereka. Mereka memiliki izzah dengan mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Anas bin Malik menuturkan kisah mengenai dirinya: “Seseorang pernah datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam lalu bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bilakah hari Kiamat terjadi?’ Beliau pun bertanya kepadanya, ‘Apa yang telah engkau persiapkan untuk menghadapi Hari Kiamat?’ Dia menjawab, ‘Kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya.’ Maka beliau bersabda, ‘Engkau bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata, ‘Tidak ada sesuatu pun yang menggembirakan kami setelah Islam lebih dari ucapan Nabi: ‘Engkau bersama orang yang engkau cintai’. Aku mencintai Allah, Rasul-Nya, Abu Bakr dan Umar, maka aku pun berharap akan bersama mereka walaupun aku belum beramal seperti amalan mereka.” [HR Al-Bukhari no. 6171 dan Muslim no. 2639]

Perhatikan juga sebuah kisah yang tercatat dalam Ash-Shahihain tentang dua pemuda yang sangat mendalam kecintaannya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Dengan kecintaan itulah yang membangkitkan keberanian mereka dalam Perang Badar untuk membunuh musuh-musuh Allah dan RasulNya yang sebelumnya telah mengganggu dan menyakiti Rasulullah. Kisah ini dituturkan oleh Abdurrahman bin Auf radiallahu anhu yang menyaksikan sendiri perilaku kedua pemuda tersebut: “Ketika aku berdiri di tengah-tengah barisan pasukan dalam Perang Badar, aku melihat ke kiri dan kananku. Ternyata aku berada di antara dua pemuda Ansar yang masih belia umurnya. Aku pun berangan-angan aku lebih kuat daripada keduanya.



Lalu salah seorang di antara mereka menggamitku sambil bertanya, “Wahai pakcik, apakah engkau mengenal Abu Jahal?” Aku menjawab, “Ya! Apa perlumu dengan Abu Jahal, wahai anak saudaraku?” Dia berkata, “Aku pernah diberi tahu bahwa dia selalu mencela Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Demi Zat yang jiwaku ada di tangan-Nya, tidak akan berpisah diriku dengannya sehingga mati salah seorang di antara kami yang paling cepat ajalnya.” Aku pun merasa kagum akan hal itu. Kemudian pemuda yang seorang lagi turut menggamitku dan mengatakan padaku hal yang serupa. Tidak lama setelah mereka bertanya padaku, aku melihat Abu Jahal sedang bergerak ke sana ke mari di antara pasukan. Aku pun berkata pada mereka berdua, “Lihat! Itulah orang yang kalian tanyakan padaku tadi.” Keduanya pun bergegas menyerang Abu Jahal dengan pedang mereka lalu menebasnya hingga berhasil membunuhnya. Setelah itu mereka pergi menghadap Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan memberitakan peristiwa itu pada beliau. “Siapa di antara kalian yang membunuhnya?” tanya beliau. Masing-masing dari keduanya menjawab, “Saya yang membunuhnya!” “Apakah kalian sudah membersihkan pedang kalian?” tanya beliau lagi. “Belum,” jawab mereka. Beliau lalu mengamati kedua pedang mereka, kemudian berkata, “Kalian berdua telah membunuhnya. Sementara barang-barang yang digeledah dari Abu Jahal menjadi milik Mu’adz bin ‘Amr ibnul Jamuh.” Kedua pemuda itu adalah Mu’adz bin ‘Afra` dan Mu’adz bin ‘Amr ibnul Jamuh. [HR. Al-Bukhari no. 3141 dan Muslim no. 1752]

Subhanallah! Betapa hebatnya kecintaan anak-anak muda Islam yang dididik dengan kecintaan yang sangat hebat kepada Nabinya. Ini hanyalah sebahagian kecil dari sekian banyaknya kisah anak para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Mereka mencintai Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam tidak terbatas dengan melindungi fizikal baginda, malah yang lebih penting dari itu ialah kepatuhan mereka kepada ajaran dan perintah Allah dan RasulNya. Ajaran deen inilah yang diwarisi dan diamalkan walaupun setelah kewafatan Rasulullah. Tiada siapapun yang mampu menafikan peranan Muslimat di sebalik kegemilangan generasi terdahulu. Ibu-ibu seperti Asma binti Abu Bakar, Ummu Sulaim radiallahu anha, Ummu Ruman radiallahu anha, Asma’ binti Yazid dan puluhan lagi sahabiyyah agung telah melakarkan kegemilangan dan anak-anak mereka menjadi bukti betapa tangan-tangan lembut yang menghayun buaian, mampu menggegarkan dunia !

Di sinilah peranan Muslimat sangat vital dalam memastikan syariat Allah dan RasulNya kembali tertegak. Menjalankan peranan sebagai ibu dan pengurus rumahtangga adalah aktiviti yang sangat mulia kerana inilah yang akan menentukan keberhasilan rumah sebagai institusi umat yang pertama dan utama yang melahirkan anak-anak yang berkualiti sebagai penerus generasi. Peranan ini akan dituntut pertanggungjawabannya di hadapan Allah kelak. Tanggungjawab Muslimat bukan terbatas sebagai ummu wa rabbatul bait semata-mata. Di sisi lain, kewajiban dakwah adalah sama, tidak mengira lelaki atau wanita. Keduanya wajib untuk menyampaikan, menyebarkan dan memperjuangkan Islam agar semakin ramai umat Islam yang menyedari kewajiban menerapkan hukum-hukum Islam.

Dalam keadaan masyarakat yang terperangkap dalam sistem Kufur Sekular-Kapitalis hari ini, Muslimat wajib untuk terjun ke medan dakwah dengan menjawab persoalan-persoalan masyarakat dan memperjuangkan tertegaknya syariat dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dakwah ini ialah dakwah yang bersifat siyasah (politik). Muslimat perlu digerakkan agar dakwah sesama Muslimat mampu membangkitkan pemikiran golongan ini serta sedar dan lebih memahami syariat Islam.

Khatimah

Peringatan Maulidur Rasul yang baru berlalu sewajarnya dijadikan momentum kepada umat Islam untuk terus berusaha melahirkan kembali sebuah masyarakat baru. Fakta yang perlu disedari dari kelahiran manusia agung ini ialah peranan baginda dalam membidani kelahiran peradaban dan tamadun terbaik sepanjang sejarah umat manusia. Kegemilangan Islam dirasai di segenap penjuru alam dan ia benar-benar terbukti sebagai rahmatan lil ‘alamin. Aturan-aturan Islam ‘hidup’ dan dibumikan melalui Daulah Khilafah Islamiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Semenjak awal perjuangan dakwah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, kaum Muslimat telah mempersembahkan sumbangan yang sangat besar dalam mencetak generasi sahabat yang terbaik. Mereka menukilkan kisah-kisah tersendiri yang kekal terpahat dengan tinta emas sepanjang zaman. Mudah-mudahan kita mampu untuk meneladani wanita-wanita terbaik ini, sehinggalah janji Allah Subhanahu wa Taala terhadap umat ini akan kita nikmati.

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka berada dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan barang siapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik [TMQ An-Nur (24):55].

Wallahu a’lam bishawab.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment