Adakah Islam Menindas Wanita (Bahagian Akhir)




Undang–undang dan hak-hak lain yang membezakan lelaki dan wanita di dalam Islam perlu juga dibincangkan dan difahami dengan lebih lanjut. Walaupun proses perceraian di antara lelaki dan wanita berbeza di dalam Islam, perundangan Syari’ah tidak membiarkan wanita untuk terus hidup dalam perkahwinan yang tidak gembira atau ganas, sebaliknya membenarkan suami atau isteri untuk memulakan proses perceraian. Pada hari ini, ramai wanita terpaksa hidup di dalam perkahwinan yang sengsara, tetapi bukan kerana Islam, sebaliknya adalah kerana tradisi budaya timur dan ketiadaan sistem pentadbiran Islam yang menjamin hak-hak Islami mereka. Berhubung dengan kod pakaian bagi lelaki dan wanita di dalam masyarakat adalah merupakan salah satu undang –undang yang menjamin akhlak dan kesucian masyarakat. Bukan sahaja kod berpakaian berbeza di antara jantina tetapi juga keadaan fizikal kedua-dua jantina. Berkenaan undang-undang testimoni, memang benar di dalam sesetengah kes, dua saksi wanita diperlukan berbanding satu saksi lelaki. Ini bukan bererti Islam melihat kecerdikan wanita kurang separuh daripada kecerdikan lelaki sepertimana yang dicanangkan oleh Barat, tetapi ia hanyalah undang–undang Islam yang termaktub di dalam kitab-kitab Islam tanpa sebarang alasan. Sesungguhnya, wanita boleh menjadi seorang hakim dan membuat keputusan ke atas keterangan yang diberi oleh saksi lelaki di dalam sesuatu kes atau wanita juga adalah perawi hadis yang menjadi sebahagian daripada sunnah dan sumber perundangan, telah menyangkal dakwaan ini.

Satu lagi perundangan Islam yang selalu digunakan untuk melabelkan Islam mendiskriminasi wanita adalah wanita tidak dibenarkan untuk memegang jawatan sebagai pemerintah seperti yang termaktub dalam kitab-kitab Islam. Mereka yang gagal untuk mengkaji kitab–kitab Islam dengan mendalam, mendakwa ini terjadi kerana Islam mempunyai pandangan bahawa wanita adalah kurang cerdik daripada lelaki dan oleh kerana itu wanita dilarang untuk menjawat tugas sebagai pemerintah. Islam tidak pernah menjadikan ini satu alasan tetapi memang melarang perbuatan ini kepada wanita. Di dalam hukum Islam, ini bukanlah satu jawatan yang berprestij tetapi satu tanggungjawab. Seorang pemerintah tidak bererti lebih tinggi tarafnya daripada seorang ibu - kedua-duanya mempunyai tugas yang mesti dipenuhi untuk memastikan masyarakat berkembang maju. Oleh itu, adalah sukar untuk memahami mengapa wanita yang diringankan daripada bebanan yang besar ini kepada masyarakat dan kebertanggungjawaban yang besar kepada Sang Pencipta yang membuat peraturan ini dianggap satu pandangan yang tidak adil melainkan ia adalah satu kerelaan. Tambahan pula, di dalam masyarakat Sekular-Barat, wanita sering bersaing untuk memiliki kedudukan dalam pemerintahan supaya dapat menjamin dan memelihara hak asas wanita sebagai warganegara melalui penglibatan di dalam proses penggubalan undang–undang Negara. Walau bagaimanapun, di dalam Islam, pemerintah tidak menggubal undang–undang, tetapi hanya menerapkan perundangan Islam ke atas masyarakat. Oleh itu, hak-hak wanita sebagai warganegara di dalam Islam telah ditentukan dengan jelas di dalam kitab–kitab Islam, yang mana wanita tidak perlu mempunyai kedudukan di dalam pemerintahan bagi menjamin hak-haknya tetapi hanya perlu mempunyai keupayaan untuk memuhasabah pemerintah di dalam penerapan undang-undang Islam – melalui beberapa mekanisme negara. Oleh itu, idea wanita perlu berjuang untuk mendapatkan kedudukan dalam pemerintahan adalah sebenarnya indikmen ke atas sistem demokrasi – satu sistem di mana wanita telah dipaksa berlumba dengan lelaki untuk menjamin atau memelihara hak-hak asas, yang seharusnya diperolehi secara percuma daripada negara.

(1) Impak berbahaya “Kesetaraan Gender“ keatas peranan sebagai ibu dan kehidupan berkeluarga.

Dari segi sejarah, perjuangan Barat untuk “Kesetaraan Gender” (Gender Equality) dan kebangkitan feminisme telah menjadikan kehidupan umum dan peranan tradisi lelaki sebagai pencari nafkah melebihi peranan dalam kehidupan peribadi, peranan sebagai ibu dan pengurus rumahtangga. Ramai feminis berhujah bahawa penghargaan dan kebebasan terhadap wanita tidak setaraf dengan kebergantungan ekonomi terhadap suami atau tanggungjawab terhadap rumahtangga. Oleh yang demikian, ia bukanlah satu perkara yang mudah bagi wanita memiliki hak bekerja tetapi keperluan untuk bekerja. Christabel Pankhurst, seorang feminis radikal dan ahli kumpulan wanita yang pada awal abad ke 20 berkempen di Britain untuk mendapat hak mengundi untuk wanita, berkata bahawa tanggungjawab kehidupan berumah tangga adalah satu bebanan yang terlalu berat untuk ditanggung oleh wanita yang telah berkahwin, membuang masa dan tenaga daripada aspek ekonomi, percuma dan tidak diiktiraf. Sesungguhnya peranan sebagai ibu dan kehidupan berumahtangga sering dilihat sebagai halangan kepada wanita untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam urusan kehidupan umum dan satu rintangan kepada keupayaan wanita untuk berlumba dengan lelaki di dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan politik.

Sebenarnya, meletakkan peranan sebagai pencari nafkah keluarga atau mengejar kerjaya lebih utama daripada peranan sebagai pengurus rumahtangga akan merendahkan nilai keibuan dan ia memberi satu kesan yang berbahaya kepada kehidupan berkeluarga. Hari ini, satu daripada konsekuensi “Kesetaraan Gender” adalah terciptanya masyarakat di mana wanita bukan sahaja mempunyai hak untuk bekerja tetapi juga diharapkan untuk bekerja – termasuk ibu–ibu tunggal yang bersendirian untuk memelihara dan membesarkan anak-anak. Ibu-ibu tunggal atau kedua-dua ibubapa di dalam sebuah keluarga yang bersedia untuk berkongsi memainkan peranan sebagai pencari nafkah keluarga akan sentiasa bergelut mencari masa untuk anak-anak atau untuk menjadikan perkahwinan bertambah kukuh. Dalam banyak kes, suasana sebegini telah membawa kepada pengabaian anak-anak di dalam masyarakat, juga menyumbang kepada masalah tabiat anti-sosial di kalangan remaja dan hilangnya fungsi hubungan ibubapa dan anak. Asas kesetaraan gender itu menyatakan bahawa tanggungjawab di antara lelaki dan wanita di dalam masyarakat adalah sama atau melihat daripada segi apakah yang lebih baik bagi wanita berlawanan dengan apakah yang lebih baik bagi lelaki, juga boleh menyebabkan apakah yang lebih baik untuk satu perkahwinan yang kukuh, anak-anak, keluarga dan keseluruhan masyarakat amnya akan terlepas pandang.

Seterusnya, merendahkan nilai keibuan juga telah membawa kepada situasi di mana seorang wanita yang hamil atau mempunyai anak-anak yang masih kecil, sering dilihat sebagai satu bebanan kepada syarikat, bukannya sebagai satu aset kepada masyarakat. Satu kajiselidik yang dilakukan ke atas 98 buah syarikat pada tahun 2005 oleh the Recruitment and Employment Confederation mendapati tiga per empat daripada syarikat–syarikat tersebut lebih rela melanggar undang-undang daripada mengambil wanita hamil atau seseorang yang berada di tahap usia yamg membolehkan kehamilan – satu fakta yang diketahui oleh ramai wanita dan sehinggakan wanita lebih memilih untuk menangguhkan kehamilan atau kekal tidak mempunyai anak daripada menghadapi “penalti kesuburan” (fertility penalty) ke atas pendapatan atau kerjaya mereka.

Pandangan Islam.

Berbanding dengan kebanyakan masyarakat Sekular-Barat yang merendahkan martabat keibuan di mana ramai ibu-ibu yang duduk di rumah merasa direndahkan oleh masyarakat, manakala ibu-ibu yang bekerja pula menghadapi diskriminasi kerana mempunyai anak akibat perbezaan konsep kesetaraan gender, Islam pula mencari jalan untuk membina cara berfikir tentang hebatnya status keibuan di dalam kehidupan umum, tempat kerja dan masyarakat keseluruhannya. “Syurga dibawah tapak kaki ibu” adalah sabda Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wa Sallam) yang sering menjadi sebutan. Seorang lelaki pada zaman Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wa Sallam) datang kepada baginda dan berkata, “Aku telah mengendong ibuku bersendirian menggelilingi Kaabah sebanyak 7 kali dan adakah ini dapat membalas kebaikan yang ditunjukkan olehnya ketika aku masih kecil?” Rasulullah ((Sallallahu Alaihi Wa Sallam) menjawab, “ Itu tidak akan dapat membalas satu kesakitan pun ketika melahirkan anak”. Juga telah diriwayatkan pada satu majlis, seorang wanita yang bernama Salamah berkata kepada Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wa Sallam), “Wahai Pesuruh Allah, engkau membawa berita gembira kepada lelaki tetapi tidak kepada perempuan.” Baginda bersabda, “ Adakah teman-teman wanita kamu menyuruh kamu bertanyakan aku soalan itu? Dia berkata, “Ya, benar.” Baginda (Sallallahu Alaihi Wa Sallam) bersabda, “Adakah di antara kamu yang tidak gembira jika kamu dihamilkan oleh suami kamu dan dia berpuashati dengan kamu dan kamu menerima pahala seperti seorang yang berpuasa dan solat kerana Allah? Dan, apabila kesakitan untuk bersalin datang, tidak ada satu pun yang di syurga dan di dunia mengetahui apa yang tersembunyi di dalam rahimnya dapat menenangkannya. Dan apabila dia melahirkan, tidak seteguk air susu yang mengalir darinya dan tidak ada dari setiap hisapan anaknya tetapi dia menerima, untuk setiap teguk dan hisapan, ganjarannya satu pahala. Dan, jika dia berjaga malam kerana anaknya, dia menerima ganjaran seperti seorang yang memerdekakan tujuh puluh hamba kerana Allah.(Tabarani)

Kesemua sabda Rasulullah (Sallallahu Alaihi Wa Sallam) malah banyak lagi yang memberikan peranan ibu dan pengurus rumah –tangga status yang hebat dan oleh sebab itu, wanita Muslimah yang memegang tanggungjawab ini tidak perlu merasa direndahkan berbanding dengan lelaki yang telah diberi peranan untuk mencari nafkah. Ini tidak bermakna bahawa seorang ibu tidak boleh bekerja atau tidak boleh mempunyai kehidupan umum yang aktif tetapi Islam menegaskan bahawa apa jua tanggungjawab yang digalas oleh wanita dalam kehidupan, dia tidak harus berkompromi dengan peranan yang penting ini. Seorang penyair pernah berkata, “Ibu adalah sekolah: jika kamu menyediakannya dengan sempurna, kamu akan menyediakan keseluruhan manusia denagan keperibadian yang baik; ibu adalah guru yang pertama, kedudukan paling utama di antaranya, dan guru yang terbaik.” Ini pemahaman yang Islam tegaskan bahawa ibu terletak di tengah-tengah jantung keluarga dan oleh yang demikian, ia merupakan tonggak kepada masyarakat. Satu impak dari pandangan ini adalah walaupun di tempat kerja, pemahaman, nilai dan fleksibiliti untuk tanggungjawab berkeluarga seharusnya menjadi penghargaan yang lazim di antara majikan dibandingkan jika dipaksa oleh undang–undang. Ringkasnya, Islam tidak melihat peranan sebagai seorang ibu atau tanggungjawab berumahtangga sebagai halangan kepada kehidupan umum tetapi sebagai peranan yang mustahak dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan sehingga dapat menyediakan satu tulang belakang yang kuat kepada masyarakat.

Kesimpulan

Persepsi Islam menindas wanita timbul akibat sebahagian daripada hukum-hakamnya bertentangan dengan idea “kesetaraan gender”. Walau bagaimanapun, konsep kesetaraan gender adalah satu konsep yang lahir daripada sejarah Barat dan ia telah dibuktikan mempunyai banyak kesilapan daripada aspek intelektual dan daripada segi impaknya ke atas masyarakat. Tambahan pula, pandangan Islam biasanya berdasarkan kepada pemerhatian yang teliti terhadap perundangan Syari’ah secara individu, berasingan daripada kerangka perundangan Islam secara keseluruhannya untuk kehidupan berkeluarga dan masyarakat keseluruhannya. Di dalam Islam, peranan dan hak lelaki mahu pun wanita tidak berdasarkan kepada kesetaraan gender. Mereka saling melengkapi berbanding saling kompetitif dan berdasarkan kepada yang terbaik untuk komuniti, bukan pandangan lelaki yang sempit berlawanan dengan perspektif wanita. Ia yakin kepada kerjasama di antara satu sama lain, berbanding saling bersaing daripada segi gender di mana lelaki dan wanita saling berasa iri hati dengan hak, tanggungjawab dan peranan satu sama lain dalam masyarakat. Allah (Subhanahu wa taala) berfirman,

“Dan janganlah kamu irihati terhadap apa yang Allah kurniakan kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain.(Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan…” [Surah An-Nisa : 32]

Pandangan terhadap lelaki dan wanita boleh diillustrasikan dengan cantik dengan sebuah analogi yang disampaikan dalam Surah Al-Yasin dimana Allah (Subhanahu wa taala) berfirman,
“Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing –masing beredar pada garis edarnya.” [Surah Yasin : 40]

Tanpa ragu-ragu, perdebatan yang perlu diadakan bukanlah bererti apakah Islam menindas wanita tetapi apakah sistem dan undang-undang yang berharga yang boleh menjamin kesejahteraan di dalam hubungan lelaki dan wanita dalam masyarakat, menjadikan struktur keluarga kukuh dan memberi status penghargaan yang sewajarnya bagi setiap wanita. Kekuatan perdebatan ini oleh komuniti Muslim bergantung kepada persembahan model Islami yang unik dan cantik mengenai peranan dan hak–hak sebenar lelaki dan wanita dalam masyarakat tanpa menyerah kepada tekanan yang meminta penggubalan undang- undang Islam, hanya untuk menuruti idea sekular Barat yang bathil seperti “Kesetaraan Gender”.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment