Masih Adakah Keamanan Dan Kesejahteraan Buatmu Wanita..?








Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Disaat negara sedang dilanda pandemik Influenza A (H1N1), nampaknya serangan ke atas wanita masih tak kunjung padam. Jenayah ragut yang melibatkan wanita semakin menjadi-jadi sungguhpun rakyat dan pihak berwajib mengesyorkan pelbagai cara untuk mengatasinya. Jika jenayah ragut dan lain-lain gejala sosial dianggap sebagai serangan fizikal, serangan pemikiran yang lebih ‘halus’ turut rancak mengatur strategi memperdayakan wanita dengan fikrah Kufur supaya Muslimah semakin jauh tersasar.

Syukur alhamdulillah, Fikratul Ummah bulan ini mengemukakan dua artikel dan satu artikel terjemahan dari Majalah Al-Waie versi bahasa Arab. Masih adakah kesejahteraaan buatmu wanita mengungkap kisah-kisah duka mangsa-mangsa ragut yang mana 98% dari kalangan wanita. Harapan kami supaya para Muslimah khususnya menyedari bahawa Sistem Sekular-Kapitalis-Demokrasi yang menjadi tunjang pemerintahan negara tidak pernah memberi penyelesaian tuntas untuk membenterasnya dan ia bakal berterusan selagi tidak diterapkan perundangan Islam. Artikel berjudul Awas! Feminisme & Kesetaraan Gender Musuh Umat Islam pula cuba mengupas serba sedikit tentang perjuangan golongan feminis ‘Islam’ untuk mengangkat martabat kaum Hawa setaraf dengan kaum Adam. Artikel ini berama-sama dengan bahagian ke 4 artikel terjemahan bertajuk Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah diharapkan akan dapat menjelaskan kepada Muslimah khususnya bahawa serangan pemikiran oleh puak Kuffar melalui idea-idea kesetaraan gender itu lebih dahsyat impaknya kepada nasib Muslimah yang dianggap sebagai makhluk kelas kedua.

Adalah menjadi harapan kami semoga artikel-artikel di atas menjadi pencetus dan pemangkin kepada kaum Muslimah untuk berusaha mengembalikan sistem Islam dalam kehidupan sehingga pada akhirnya, kesejahteraan diraih bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Wallahu ‘alam bisshawab.

===============================================================================




Saban hari, masyarakat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai ‘genre’ kisah jenayah yang kejam dan menggerunkan. Kes-kes rogol, bunuh, samun, culik dan ragut yang tidak kunjung usai, menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen. Salah satu isu panas yang hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini ialah jenayah berkaitan isu ragut. Awal dekad ini, kes ragut dilaporkan masih terkawal. Walaubagaimanapun, menjelang tahun 2002 pernah dilaporkan bahawa jenayah ragut telah meningkat daripada 14,640 ke 15,798 kes pada 2003 . Perutusan Ketua Polis Negara sempena Peringatan Hari Polis ke 199 pada 25 Mac 2006 menyatakan bahawa jenayah ragut telah mengalami penurunan tertinggi pada tahun 2005 iaitu -16.63%. Ironinya, baru-baru ini, laporan daripada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah pula mendedahkan bahawa jenayah ragut meningkat kepada 99 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu. Kes jenayah yang dulunya dianggap kurang ‘popular’ seperti ragut, samun berkumpulan dan perseorangan tanpa senjata tapi kini menyumbang hampir 31 peratus dari keseluruhan indeks jenayah di Kuala Lumpur sahaja. [UM 16/4/2009]

Hakikatnya, umum mengetahui angka-angka statistik yang dilaporkan belum cukup untuk melegakan kebimbangan masyarakat, apatahlagi meyakinkan kita bahawa negara ini adalah negara yang aman dan selamat didiami. Mana tidaknya, jika dulu, kes-kes jenayah ini masih dikategorikan sebagai terpencil dan hanya melibatkan kehilangan sejumlah kecil wang, tetapi kini peragut seolah-olah telah hilang sifat kemanusiaannya sehingga tergamak mencederakan malah membunuh mangsa!. Kes-kes ini bukanlah kes yang pertama, kedua atau ketiga pernah berlaku di dalam masyarakat. Malah kes-kes seumpama ini sebenarnya telah banyak kali berlaku. Seperti biasa, sikap hangat-hangat tahi ayam yang diamalkan oleh pihak berkuasa sering menjadikan isu seperti ini ‘dilupakan’ setelah sekian waktu. Sudah terhantuk, baru terngadah. Jika bukan kerana desakan dari masyarakat umum atas faktor keselamatan ahli keluarga mereka, isu ini tidak mustahil akan diabaikan begitu saja.

Kita pernah dikejutkan dengan berita kematian Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut yang merampas beg tangan beliau di Brickfields. Begitu juga, kes kematian seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau, Chong See Cheng, 37 turut berlaku pada tahun yang sama (2004). Kes jenayah ragut yang berakhir dengan kematian turut menimpa mendiang Chang Shu Then, 18 yang ditemui orang awam terbaring kaku di tepi jalan Persisiran Perling Satu, Taman Perling, Johor Bahru pada Ogos 2006, dipercayai mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala. Seorang jurujual wanita yang mati akibat terjatuh dan koma 16 jam kerana diragut di Kompleks Berjaya Megamall menambahkan lagi ketakutan dalam kalangan masyarakat ketika itu. Lebih tragis lagi, baru-baru ini negara dikejutkan dengan insiden dua ibu hamil yang terkorban setelah menjadi mangsa jenayah ragut ketika menunggang motosikal. Pada 5 Mei, Jamilah Selamat, 31, yang hamil dua bulan meninggal dunia selepas koma dua hari akibat terjatuh dari motosikal dalam kejadian ragut di Batu Pahat, Johor. Sehari selepas itu, Saripah Mohd. Noor, 34, yang hamil empat bulan meninggal dunia apabila dirempuh kereta setelah diragut ketika menunggang motosikal di Kota Bharu, Kelantan (9/5/2009). Di Pulau Pinang pula dua lelaki bermotosikal di Kampung Besar, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara telah menyebabkan kematian seorang nenek berusia 86 tahun yang ditumbuk ketika cuba menyelamatkan anak perempuannya yang berusia 58 tahun dari diragut. Kes-kes terbaru ini mendapat liputan meluas dari pihak media serta menerima maklumbalas yang pelbagai dari segenap lapisan masyarakat. Kerajaan turut didesak untuk mewujudkan akta khusus berkaitan jenayah ragut, dengan harapan dapat membendung masalah ini daripada berleluasa [UM 9/5/2009].
PENYELESAIAN AKAL

Umum sedia maklum, kes-kes seperti ini sering dikaitkan dengan wanita memandangkan lebih daripada 98 peratus kejadian menjadikan wanita sebagai kelompok sasaran. Akibatnya, wanita dihujani kebimbangan untuk keluar dari rumah bagi menunaikan aktiviti-aktiviti harian mereka, termasuklah bekerja. Masalah ini mendapat perhatian dari pelbagai pihak yang cuba untuk mencadangkan pelbagai solusi jangka pendek kepada kelompok ini. Ironinya, ‘mangsa’ adalah pihak pertama yang disongsong ke ‘kandang pesalah’. Sama ada kerana keluar berseorangan, berpakaian kurang sesuai atau akibat tidak menjaga harta peribadi mereka sebaik mungkin.

Maka, timbullah saranan agar para wanita menggunapakai tips-tips keselamatan yang dicadangkan oleh pihak berkuasa seperti berpakaian sesuai agar mudah untuk menyelamatkan diri ketika berada dalam situasi berbahaya, tidak menggunakan beg tangan bertali nipis atau mengelakkan penggunaan beg tangan biasa yang memudahkan mangsa diragut, berjalan di lorong yang bertentangan dengan arus lalulintas, keluar secara berkumpulan atau jika menaiki motosikal, perlu memastikan beg tersebut diletakkan di tempat yang tersembunyi dan tidak mudah dicapai oleh peragut. Isu yang sama turut dibincangkan oleh pihak kerajaan, khasnya melalui Mesyuarat EXCO Puteri UMNO pada Mei lepas di mana salah satu program yang cuba dilaksanakan ialah dengan menggalakkan wanita untuk mendalami ilmu mempertahankan diri untuk memastikan mereka mampu berhadapan dengan situasi
kecemasan seperti jenayah ragut ini.
[http://www.puteri.net.my/modules.php?name=News&file=print&sid=2418]

Persoalannya kini, haruskah penyelesaian masalah yang kronik seperti jenayah ragut ini dibataskan pada skop individu semata-mata?. Memang benar, mencegah lebih baik dari mengubati. Tetapi, bagaimanakah kaedah pencegahan yang perlu dilakukan? Satu fakta yang sangat jelas jika diperhatikan secara mendalam adalah masyarakat kita saban hari ‘disuapkan’ dengan anggapan bahawa masalah-masalah jenayah berlaku kerana kesalahan individu (baca; mangsa), keluarga atau masyarakat semata-mata, sedangkan pihak kerajaan pula adalah pihak yang telah ‘sedaya upaya’ menjaga keselamatan masyarakat dengan mengeluarkan statistik-statistik terbaru bagi membuktikan keberkesanan dan kesungguhan pihak berkuasa membasmi masalah-masalah jenayah hari ini. Maka, tidak hairanlah jika kes-kes jenayah yang membawa kepada kematian sering berakhir dengan adegan ‘tuding menuding jari’ sesama sendiri di kalangan manusia-manusia penggubal hukum di dewan parlimen sana. Akhirnya, penyelesaiannya dikembalikan kepada individu atau masyarakat dan mereka berlepas tangan begitu saja!.. Pandai-pandailah kalian (baca: rakyat) menjaga diri sendiri!. Formula yang sama turut digunakan ketika mereka (pihak berkuasa dan kerajaan) menyelesaikan masalah kes rogol, culik dan bunuh yang pernah menggegarkan negara beberapa tahun lepas. Perhatikan saja kes Nurin Jazlin, si cilik kecil yang menjadi mangsa kekejaman penjenayah yang masih gagal dikesan sehingga ke hari ini. Kesalahan akan dikembalikan kepada individu, ibubapa, keluarga atau guru sekolah. Di mana pula peranan pemimpin dan pihak berkuasa dalam menangani masalah ini?

Dari segi perundangan pula, ternyata undang-undang yang dicipta, digubal dan diterapkan hasil dari akal manusia semata-mata tidak akan mampu menyelesaikan masalah yang berlaku selama ini. Undang-undang ini bukan saja gagal mencegah kes-kes jenayah dari terus berleluasa, malah sedikit pun tidak menggetarkan dan mengecutkan hati para penjenayah ini. Ini malah menyebabkan mereka tidak teragak-agak untuk bertindak nekad mencederakan dan membunuh mangsa sekiranya kehendak mereka tidak dituruti. Kenyataan ini diakui sendiri oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang berkata, sudah sampai waktunya kerajaan menggunakan pendekatan perundangan yang serius bagi membendung jenayah ragut. Menurutnya, sebelum ini, peragut akan didakwa di bawah kesalahan merompak mengikut Seksyen 390 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau kedua-duanya. ''Sekiranya melibatkan kematian mereka akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan sekiranya bersalah akan dihukum mati''. Jadi, tiada pendekatan perundangan khusus untuk jenayah ragut dan ia perlu diwujudkan untuk memberikan penerangan jelas mengenai kesalahan dan bentuk hukuman akibat ragut,'' katanya. [UM 7 Mei 2009].

Inilah padah dari sistem Sekular Kapitalisme yang menjadikan akal sebagai satu-satunya timbangan dalam menentukan hukum yang patut diterapkan dalam masyarakat. Perlembagaan Kufur yang lahir dari rahim peradaban Barat yang ditinggalkan penjajah barat masih dipuja-puja. Realiti pula dijadikan ‘indikator’ untuk menilai sama ada undang-undang akal buatan manusia itu sesuai atau tidak untuk tetap diimplementasikan. Jika keadaan semakin meruncing, undang-undang baru pula akan digubal, akta dipinda, hukuman ditukar ganti. Hakikatnya, dewan parlimen yang bersidang saban tahun dan memperdebatkan isu ini tidak pernah mampu menyelesaikan permasalahan ini dengan sekadar retorik belaka. Hasilnya, pi mai, pi mai tang tu juga!

Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita perlu kembali

Dari sini, kita perlu memahami bahawa setiap pihak ditaklifkan oleh Allah dengan kewajiban masing-masing. Walaupun ibu bapa, sekolah, jiran-jiran dan masyarakat berperanan untuk mencegah dan menghapuskan jenayah ini, tetapi kita perlu sedar setakat manakah taklif dan ‘kuasa’ yang ada pada mereka? Jadi soalnya sekarang ialah, apakah lagi daya seseorang itu jika ia telah melakukan sebaiknya, tetapi jenayah tetap berlaku dalam masyarakat? Jawabnya, kita hanya melakukan apa yang Allah taklifkan kepada kita dan kita telah lepas dari dosa jika berbuat demikian. Jadi, jika berlaku lagi maksiat, maka Negara (kerajaan)lah pula yang sewajibnya memainkan peranan untuk menghukum pelaku maksiat tersebut. Di sinilah tugas Negara. Peranan mereka adalah untuk mencegah maksiat dengan menerapkan sistem Islam (bukan sistem akal), dan jika maksiat tetap berlaku, maka mereka wajib pula menghukum mengikut hukum Islam (uqubat), bukan hukum akal. Malangnya, inilah apa yang tidak dilakukan oleh kerajaan.

“Dan hendaklah engkau memutuskan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, bahawasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sebahagian dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.” [TMQ Al- Maidah:49].

Berdasarkan ayat di atas, kita sebagai hamba yang diciptakan olehNya wajib juga mengatur segala paksi hidup kita berlandaskan kepada aturan dan sistemNya. Sistem Islam yang telah disampaikan oleh insan mulia Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam melalui Al-Quran dan sunnahnya. Sistem ini telah dilegalisasikan selama lebih 14 abad; bermula sejak berdirinya Daulah Islam pertama di Madinah dan disambung oleh generasi sesudahnya melalui Daulah Khilafah. Sejarah menyaksikan sistem ini telah melalui satu fasa yang cemerlang dalam ‘menterjemahkan’ Islam bukan sekadar pengatur kepada hubungan manusia dengan Al-Khaliq (berkaitan dengan hal akidah dan ibadah), malah mengatur juga hubungan manusia dengan dirinya sendiri dan dengan manusia sesamanya. Sistem kehidupan Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan, termasuklah politik, sosial, pendidikan, uqubat, ekonomi, dan politik luar negeri.

Berbalik kepada kes jenayah ragut, sistem perundangan dan hukuman dalam Islam menawarkan kaedah penyelesaian yang bersifat penebus dan pencegah. Kes ragut tidak akan dihukum seperti pencuri ‘biasa’ yang dikenakan hukuman hudud (jika cukup syarat) atau hukuman ta’zir (jika tidak cukup syarmutuskanat). Ragut dikategorikan sebagai qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan). Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang berkaitan dengan kes diatas adalah seperti berikut:

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan berbuat kerosakkan dimuka bumi, mereka hanya akan dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilangan, atau mereka akan dibuang negeri.” [TMQ Al Maidah:33].

Imam Syafi’ie rahimahullah meriwayatkan dalam musnadnya, dari Ibnu Abbas yang berkaitan dengan masalah qutha’i ath-thurq (pencuri/perompak jalanan) maksudnya: “Jika mereka membunuh dan merampas harta benda mereka akan dihukum bunuh dan disalib. Jika mereka membunuh tetapi tidak merampas harta, mereka akan dihukum bunuh tetapi tidak disalib. Jika mereka mengambil harta benda tanpa membunuh mereka akan dihukum potong tangan dan kaki secara bersilangan. Dan jika mereka sekadar menakut-nakutkan orang dijalanan tanpa merampas harta benda maka usirlah (hukuman buang negeri).”

Wahai Muslimat yang dirahmati Allah,

Bagi Negara (pemerintah), mereka adalah qiyan tanfizi (institusi pelaksana) yang wajib menerapkan hukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah. Mereka wajib menjaga dan memelihara rakyat, sesuai dengan kehendak Allah Subhanahu wa Taala, bukan mengikut kehendak dan kepentingan sendiri. Jika berlaku apa jua kemaksiatan (pelanggaran hukum Allah) dalam Negara, maka Negara wajib menyelesaikannya mengikut hukum syara’. Ini adalah kerana taklif hukum yang Allah letakkan ke atas Negara adalah memerintah dengan hukum-hakam Allah, bukannya hukum British atau hukum akal sendiri! Jadi, usaha kerajaan dalam meletakkan bebanan kesalahan kepada pihak lain ternyata merupakan suatu ‘escapism’ dari taklif hukum yang Allah telah letakkan di bahu mereka. Setiap kali berlaku kekecohan, kerajaan tidak pernah mengaku salah, namun dalam masa yang sama cuba mencadangkan langkah-langkah penyelesaian. Jika adapun ‘cadangan’ (bukan pengakuan) oleh kerajaan, ia adalah pengulangan-pengulangan cadangan yang membosankan seperti, ‘perkasakan institusi keluarga, pulihkan Rukun Tetangga, pasang CCTV, tebas semak-samun, beratkan lagi hukuman’ dan pelbagai cadangan dangkal lainnya. Persoalannya, apakah ini semua merupakan penyelesaian Islam, penyelesaian yang datangnya dari al-Quran dan Sunnah? Adakah jika diberatkan lagi hukuman bermaksud kerajaan telah terlepas dari taklif yang telah Allah letakkan? Contohnya, jika hukuman maksima bagi penzina sekarang ialah denda RM5,000, 3 tahun penjara dan 6 kali sebatan, diberatkan kepada RM50,000, 10 tahun penjara dan 50 kali rotan? Adakah ini satu cadangan yang sesuai dan lebih baik? Yang lebih penting, adakah ini hukum Allah? Wahai para pemimpin! Ingatlah bahawa kekuasaan yang Allah letakkan atas bahu kalian adalah satu amanah. Amanah untuk apa? Amanah untuk menjalankan hukum Allah, bukan hukum sendiri

Kesimpulan

Sekiranya umat mahu keselamatan dan keamanan mereka terjamin dengan utuh dan berpanjangan sentosanya, umat perlu bangkit dari pemikiran dan sistem yang ketika ini umpama hidup dalam sistem dan zaman ‘jahilliyyah’ versi moden. Keamanan dan keselamatan kita tiada jaminan sepadu. Marilah umat.. kita bangunkan kembali satu era yang amat gemilang, terbilang dan cemerlang dengan mengembalikan serta melaksanakan Islam sebagai agama malah sebagai satu sistem yang mengatur segala aspek kehidupan melalui system khilafah yang agung, Sistem yang telah diwariskan oleh Junjungan Mulia kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam.

Sabda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam:

“Islam itu tinggi, dan tiada yang lebih tinggi darinya...” [Muttafaqun Alaih]
Jadi, apa yang kita tunggu lagi wahai umat... Kembalilah.. Kembalilah kita kepada Islam yang mulia. Hanya itu satu-satunya penyelesaian ampuh yang kita miliki....


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment