Saturday, July 25, 2009

Isu Penderaan Pembantu Rumah: Siapakan yang Patut dipersalahkan?


Malaysia merupakan salah satu destinasi utama kepada sebahagian besar tenaga kerja Indonesia (TKI) sejak dua dekad yang lalu. Jarak geografi yang dekat, persamaan adat, bahasa dan terbukanya pelbagai peluang pekerjaan di pelbagai sektor telah mendorong TKI untuk datang ke Malaysia. Menurut Sidney Jones [2000: 3] TKI telah berebut untuk mencari peluang pekerjaan di dalam sektor pekerjaan yang tidak mahir atau dikenali sebagai pekerjaan 3 D (dirty, difficult and dangerous). Ia selari dengan laporan yang memetik bahawa “Bayaran gaji yang terlalu rendah dan laporan media mengenai penderaan pembantu rumah asing merupakan antara faktor pembantu rumah asing yang berkemahiran tinggi kurang berminat datang ke Malaysia”, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini [Bernama, 11hb Julai 2009].

Lanjutan dari isu penderaan terhadap pembantu rumah yang hangat mendapat liputan media, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28hb Jun 2009 melaporkan bahawa Indonesia kekal dengan keputusannya untuk menghentikan sementara penghantaran pembantu rumah ke Malaysia sehingga satu kata putus dibuat menerusi perbincangan khas kedua-dua pihak minggu depan. Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar berkata, pihaknya belum yakin bahawa Malaysia boleh menjaga kebajikan pembantu rumahnya sehingga satu jaminan keselamatan termeterai dalam perbincangan khas itu.


Sehubungan itu, katanya, semua agensi pekerjaan di republik tersebut telah diarah untuk menghentikan sebarang aktiviti merekrut tenaga buruh baru khususnya pembantu rumah untuk dibekalkan ke negara ini. “Bagaimanapun bagi bakal pembantu rumah yang sudah melalui proses pemilihan, kursus dan latihan yang dikendalikan agensi pekerjaan di Indonesia, mereka masih dibenarkan untuk di bawa masuk ke negara ini.

“Ini kerana mereka telah pun membayar wang kursus dan latihan pembantu rumah malah telah menghabiskan banyak masa untuk tujuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Keluarga Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia di sini hari ini.

Tindakan ini diambil ekoran kemarahan rakyat negara itu dengan kes-kes majikan tempatan mendera pembantu rumah Indonesia. Antara kes yang mendapat liputan yang meluas oleh media massa baru-baru ini adalah kes Siti Hajar yang didera oleh majikannya. Siti Hajar, 33 adalah penganut agama Islam yang didera dan disiksa sehingga dipaksa memakan babi. Beliau bahkan tidak pernah menerima gaji sebanyak RM500 sebulan. Bayangkan pada kes Siti Hajar ini, majikannya sendiri mengakui tidak pernah membayar gaji sejak tiga tahun lalu!!

Sedikit masa lalu negara dikejutkan dengan kes penderaan yang menimpa Nirmala Bonat, 19, warga Indonesia yang tiba di negara ini dengan harapan mencari nafkah halal, akhirnya terpaksa melarikan diri meminta pertolongan. Gadis berasal dari Nusa Tenggara Timur, Kupang, Indonesia itu dipercayai didera teruk oleh majikan wanitanya selama lima bulan lalu sewaktu bekerja di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur. Mangsa, antara lain, melecur pada kedua-dua buah dadanya akibat ditekap dengan seterika panas. Bahagian belakang badan mangsa melecur teruk disiram air panas. Begitu juga kedua-dua belah tangannya melecur akibat direndam dalam air panas.``Saya terpaksa melarikan diri selepas tidak tahan dipukul setiap hari oleh majikan sejak lima bulan lalu,'' katanya kepada wartawan setelah menerima perlindungan di Kedutaan Indonesia di sini.

Begitulah antara kisah-kisah yang menyayat hati, menyentuh perasaan bagi makhluk yang bergelar manusia. Namun penderaan ini juga dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Mengapa ini boleh terjadi?

Adakah si majikan ini sudah tidak mempunyai hati dan perasaan lagi? Ataukah si pembantu yang tidak pernah mengenang budi? Apakah si pembantu ini tidak pandai membuat kerja rumah? Atau si majikan yang terlalu cerewet dalam urusan rumah tangga? Semua persoalan ini bermain dibenak setiap pembaca yang membaca kisah penderaan pembantu rumah tersebut.

Fikratul Ummah kali ini ingin mengupas serba sedikit berkenaan isu penderaan pembantu rumah, mengapa dan punca keadaan-keadaan seperti ini boleh terjadi dan apakah peranan negara dalam menyingkap permasaalahan tersebut.

Mengapa keadaan seperti ini boleh terjadi?

Dari kisah-kisah yang hebat dipaparkan oleh media, kebanyakan majikan yang mendera pembantu rumah adalah daripada kalangan majikan yang bukan Islam mendera pembantu rumah yang beragama Islam. Adakah ini disebabkan oleh kebencian mereka terhadap agama Islam ataukah mereka sememangnya sudah tidak mempunyai perasaan terhadap manusia yang bergelar pembantu? Jika kebencian terhadap Islam merupakan penyebabnya, pasti ada banyak cara untuk menzahirkan kebencian itu dan bukan hanya dengan mendera pembantu. Mangsa penderaan seperti Nirmala Bonat juga bukan seorang Islam! Adakah semangat assobiyah atau nasionalisme yang sering dilaungkan oleh kerajaan menyebabkan mereka merasakan bahawa warga asing tidak layak menerima layanan yang baik? Apakah desakan hidup, masalah rumah tangga, bebanan kerja yang saban hari semakin membebankan menyebabkan majikan ini hilang pertimbangan sehingga menjadikan pembantu rumah sebagai mangsa?

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fatimah Yusoff berkata, masalah personaliti majikan serta sikap sesetengah pembantu rumah adalah antara faktor yang mengakibatkan terjadinya kes-kes penderaan.Katanya, sikap majikan yang terlalu garang serta pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka, boleh mewujudkan ketegangan sehingga majikan cenderung mendera pekerja mereka itu. Ketua Kaunselor, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Asmawati Baharuddin berkata, harapan majikan yang terlalu tinggi menyebabkan mereka cenderung mendera pembantu rumah apabila pekerja mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik. [Utusan Malaysia, 12 Februari 2000]. Menurut Dr. Nazarudin Zainun yang merupakan pensyarah Sejarah Asia Tenggara (Indonesia), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, majikan menaruh harapan yang sangat tinggi kepada pembantu rumah Indonesia kerana mereka telah membelanjakan hampir RM5,000 untuk mendapatkan pembantu rumah. Malangnya, terjadi apabila pembantu rumah Indonesia ialah seorang yang tahap pendidikannya rendah, berasal dari kampung yang mundur dan miskin. Tahap pendidikan yang rendah menyebabkan mereka tidak dapat memahami sesuatu arahan dengan tepat dan cepat. Tambahan pula pembantu rumah yang datang dari desa juga kurang fasih berbahasa Indonesia. Kebanyakan mereka menggunakan bahasa daerah sebagai bahasa utama. Untuk memahami bahasa ibunda mereka saja susah apatah lagi memahami bahasa orang lain [Utusan Malaysia, 1hb Jun 2004]. Bayangkan bagaimana Nirmala Bonat dapat berkomunikasi dengan majikannya yang berbangsa Cina!

Menerusi wawancara pada 21hb Mei 2007, Dato’ Raja Zulkiflie, Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mendakwa hampir sebahagian besar atau lebih daripada 70 peratus daripada seluruh pembantu rumah daripada Indonesia di Malaysia pada ketika ini bekerja dengan orang bukan Islam khususnya majikan berbangsa Cina. Faktor agensi juga memainkan peranan penting mengapa pembantu rumah Indonesia lebih ramai bekerja dengan orang bukan Melayu khususnya bangsa Cina. Ini adalah kerana agensi pembantu rumah asing di Malaysia pada ketika ini sudah di dominasi oleh orang Cina. Daripada lebih 100 buah agensi yang berdaftar dengan PAPA lebih 90 peratus dimiliki oleh syarikat berbangsa Cina. Syarikat agensi yang dimiliki orang Cina mempunyai modal yang banyak untuk mendatangkan pembantu rumah dari Indonesia yang akhirnya syarikat agensi bangsa Cina secara terus menerus akan mendapat bekalan pembantu rumah dari pembekal di Indonesia. Apalagi syarikat atau agensi berbangsa Cina berani untuk membayar wang pendahuluan kepada syarikat pembekal pembantu rumah dari Indonesia. Oleh sebab itu, syarikat agensi pembantu rumah bangsa Cina tersebut telah berjaya mengawal aliran jumlah kemasukan pembantu rumah dari Indonesia. Sedangkan syarikat yang dimiliki orang Melayu pada ketika ini sangat sukar untuk mendapatkan bekalan pembantu rumah daripada Indonesia. Salah satu faktornya adalah kerana syarikat orang Melayu kekurangan modal kerja dan tidak berani menanggung risiko dengan mengeluarkan pembayaran pendahuluan kepada pembekal pembantu rumah yang berada di Indonesia. [Darul Iman Abdul Munaf, “Perlindungan Pembantu Rumah Indonesia Di Malaysia: Antara Impian Dan Realiti”, Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya]. Pada masa yang sama, menurut Jeffrey Foo, Naib Presiden PAPA permintaan terhadap pembantu rumah dari Indonesia semakin hari semakin tinggi dan faktor ini sekaligus telah mendorong syarikat agensi pembantu rumah berbangsa Cina mulai terfokus kepada pembantu dari Indonesia. Sedangkan permintaan untuk pembantu rumah semakin kecil kerana permintaan terhadap pembantu Filipina hanya daripada kelompok majikan yang berada [Dewi Anggraeni, 2006: 166]. Fakta di atas menjelaskan mengapa penderaan terhadap pembantu rumah lebih menonjol dalam kalangan majikan berbangsa Cina.

Penyelesaian Sekular-Kapitalis

Apabila timbul permasalah seumpama ini, selaras dengan pengurusan negara melalui krisis (management by crisis), pelbagai pihak mengemukakan kaedah untuk menyelesaikan kemelut ini sebagaimana laporan Berita Minggu pada 19hb Julai 2009:

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam berkata, mesyuarat antara beliau dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Erman Suparno, bakal membincangkan isu yang dipersetujui Malaysia membabitkan pembantu rumah warga Indonesia iaitu, soal cuti sehari dalam seminggu, liputan insurans, membaiki tahap kontrak dan soal bayaran gaji tetap atau bulanan.

Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, bagi mengatasi masalah ini (baca: pergantungan kepada pembantu rumah) apa yang boleh dilakukan adalah memperbanyakkan pusat penjagaan kanak-kanak dan orang tua di kawasan kejiranan kerana antara alasan utama kepada masyarakat negara ini menggunakan pembantu rumah adalah untuk menjaga anak dan juga ibu bapa mereka yang sudah tua. Sebagai galakan, kerajaan juga boleh mengurangkan kadar cukai tahunan kepada pengguna yang menggunakan khidmat rumah asuhan ini.

Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim, kerajaan telah pun mengambil beberapa langkah penguatkuasaan untuk menangani masalah penderaan pembantu rumah asing, termasuk mewujudkan “hotline” aduan di bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia untuk pembantu rumah asing, majikan dan orang ramai membuat aduan [Bernama, 11hb Julai 2009].

Peranan Negara (Islam) di Dalam Memenuhi Keperluan Rakyat.

Untuk memahami bagaimanakah Islam menyelesaikan isu penderaan kepada pembantu rumah dan pergantungan terhadap tenaga kerja asing ini, kita hendaklah melihat apakah punca permasalahan kepada isu ini. Kita menyaksikan bahawa banyak keluarga bergantung pada pembantu rumah untuk menjaga anak dan melakukan kerja-kerja domestik disebabkan oleh kaum wanita yang menyertai tenaga kerja. Ada kalangan wanita yang terpaksa bekerja bukan kerana untuk mengejar kemewahan dan pangkat tetapi atas faktor ‘survival’ terutamanya yang berstatus ibu tunggal. Dalam keadaan negara diperintah dengan sistem pemerintahan berasaskan perundangan Barat dan akal manusia, tiada jaminan keperluan asas untuk seluruh warga negara menyebabkan wanita terpaksa bekerja dan meletakkan tanggungjawab pengasuhan kepada pembantu rumah. Mendera manusia lain dan memperlakukan mereka seperti haiwan adalah satu kesalahan. Akan tetapi, sekadar usaha menyelesaikan ‘gejala’ atau ‘symptoms’ masalah, tidak akan menghentikan kes penderaan ini. Buktinya, Yim Pek Ha, bekas majikan Nirmala Bonat telah dijatuhi hukuman 18 tahun penjara di bawah Seksyen 326, Kanun Keseksaan akan tetapi ia tidak menyebabkan individu seperti bekas majikan Siti Hajar meneladaninya.

Justeru kita melihat peri pentingnya negara di pimpin oleh seorang imam/khalifah yang akan memastikan kesejahteraan seluruh warga negara tanpa mengira kaum dan agama terbela. Ini adalah kerana setiap individu dalam Islam adalah tanggungjawab pemimpin dalam Negara Islam (Daulah Islamiyah). Tugas pemimpin adalah memastikan bahawa individu di dalam negaranya dipenuhi setiap keperluan asas.

Ini kerana Islam bertolak dari akidah yang tinggi dalam memandang manusia, kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, dan menegakkan hukum-hukum syariat Allah di muka bumi. Allah berfirman: “Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi” [TMQ al-An’am [6]:165].

Oleh itu, Islam memandang bahawa manusia adalah objek penghormatan dari Allah Subhanahu Wa Taala yang telah menganugerahkan penghormatan itu dan memberikannya kepada manusia. Setiap manusia dengan sifatnya sebagai manusia, adalah sama-mendapat penghormatan ini, meskipun berbeza-beza warna kulit tempat tinggal dan keturunannya. Begitu juga antara laki-laki dengan perempuan semuanya mendapat penghormatan dari Allah sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 70 yang berbunyi “Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan, Kami beri mereka rezeki yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakkan makhluk yang telah kami ciptakan.”

Sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin dalam negara Islam, dia dipertanggung jawabkan ke atas setiap individu dalam pimpinannya. Ini kerana Negara dibebani untuk memelihara pelbagai urusan dan kemaslahatan manusia. Negara juga dibebani untuk menjamin hidup dan kehidupan yang mulia bagi manusia. Islam menegaskan penjagaan dan perlindungan atas peribadi manusia dengan mengharamkan pelanggaran terhadapnya, kezaliman dan serangan (siksaan) yang tidak dibenarkan.

Dalil-dalil syara telah mewajibkan penjaminan hak-hak manusia, iaitu dengan menempatkan negara sebagai pihak yang bertanggungjawab atas seluruh urusan rakyat. Syara mewajibkan negara melindungi hak-hak rakyat, bersikap adil terhadap mereka, baik antara kaum muslim maupun kaum Kafir Zimmi. Syarak mengharamkan negara melakukan diskriminasi kepada rakyat atas dasar agama, kelompok, warna kulit, keturunan atau sebagainya. Antara dalil-dalil di mana Allah Subhanahu Wa Taala memerintahkan supaya manusia berlaku adil ialah “Dan (Allah menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” [TMQ An-Nisa’ (4): 58].

Dalil tersebut disyariatkan untuk umum. Allah tidak mengkhususkan bagi sesuatu kaum lalu mengecualikan kaum yang lain. Ini adalah kerana hukum Allah tidak lain disyariatkan untuk seluruh umat manusia. Allah berfirman “Dan kami tidak mengutus kamu, melainkan kepada umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.” [TMQ Saba’ (34): 28].

Selain kewajipan berbuat adil dan wajibnya pemelihara atas seluruh urusan rakyat itu ditetapkan dalam al-Quran, kewajiban-kewajiban tersebut juga ditetapkan dalam as-sunnah seperti sabda Rasulullah “Siapa saja yang mati meninggalkan warisan, maka itu bagi ahli warisnya. Dan siapa saja mati meninggalkan orang yang terlantar, maka tanggungjawabnya bagi kami, dan kadang-kadang baginda bersabda - bagi Allah dan Rasul-Nya” [HR Ibn Majah]. Dalam riwayat Imam Muslim, dari Nafi’ dari Ibn Umar, Nabi saw pernah bersabda: “Ingatlah, masing-masing dari kalian adalah pemimpin (pemelihara), dan masing-masing akan bertanggung jawab atas pemeliharaannya. Seorang amir (penguasa) adalah orang yang memelihara urusan manusia, dan ia wajib bertanggungjawab atas pemeliharaan urusan rakyatnya [HR Muslim].

Begitu juga Nabi saw telah melarang dengan larangan yang bersifat tegas agar tidak menipu rakyat, dan terhadap pengabaian pemeliharaan urusan rakyat. Nabi bersabda “Tidak seorang hambapun yang diamanahi untuk mengurus urusan rakyat, lalu ia mati, sementara ia menipu rakyatnya, melainkan Allah mengharamkan baginya syurga.” [HR Bukhari].

Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan diatas ternyata negara bertanggungjawab penuh terhadap urusan rakyatnya. Negara wajib menyediakan segala keperluan asas bagi menjamin kehidupan rakyat dalam negara cukup. Setiap negara umat Islam telah Allah cukupkan dengan kekayaan alam di mana rakyatnya tidak perlu merantau mencari pekerjaan di negara asing bagi mencari sesuap nasi. Jika berlaku keadaan sedemikian, ini bermakna pemimpin negara tersebut tidak cekap mengatur urusan rakyatnya ataupun pemimpin tersebut sengaja membiarkan rakyatnya berdikari mencari kehidupannya sendiri. Apakah mereka mampu berdepan dengan Allah atas kecurangan yang mereka lakukan terhadap rakyatnya?


No comments: