Negara Perlu Khidmat Wanita atau Wanita Perlu Khidmat Negara



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Ketika ini di seluruh dunia, pandemik Inlfuenza A (H1N1) masih belum dapat dibendung. Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 22 hb Julai 2009 melaporkan bahawa dua orang warga Singapura mati akibat jangkitan virus Selesema Babi ini. Manakala laporan Yahoo News mencatitkan kematian ke 31 di United Kingdom atas sebab yang sama. Sama seperti mana-mana musibah yang menimpa umat manusia di seluruh dunia, walaupun permasalahannya masih belum pulih, akan tetapi semakin lama ia semakin kurang diberi perhatian apabila laporan tentangnya dianggap sebagai sesuatu yang biasa. Begitu juga dengan permasalahan yang melanda kaum wanita. Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan insiden kejam pembunuhan Dr Marwa al-Sharbini semata-mata mempertahankan khimar (tudung kepala). Malangnya, berita dan rentetan peristiwa selepas kematian Raja Pop lebih mendapat perhatian media kerana lebih tinggi nilai komersilnya menjadikan kisah sedih perjuangan seorang Muslimah di Jerman mempertahankan khimarnya lenyap tanpa desakan untuk pembelaan dan balasan setimpal ke atas pelakunya.

Syukur Alhamdulillah. Fikratul Ummah kali ini membawakan dua buah artikel. Artikel Negara Perlu Khidmat Wanita atau Wanita Perlu Khidmat Negara ingin menjelaskan tentang kemelut yang melanda iaitu samada wanita perlu lebih berkhidmat untuk Negara dengan menyertai pasaran buruh serta menjadi pembuat keputusan atau wanita perlu memainkan lebih peranan untuk menangani gejala sosial. Manakala artikel Isu Penderaan Pembantu Rumah: Siapakah yang Patut Dipersalahkan serba sedikit menjelaskan tentang insiden penderaan ke atas pembantu rumah Indonesia dan langkah ‘jangka-pendek’ Sekular untuk menyelesaikannya.

Artikel ini berama-sama dengan bahagian akhir artikel terjemahan bertajuk Propaganda yang Dilancarkan Oleh Kapitalisme Ke Atas Wanita Muslimah diharapkan akan dapat menjelaskan kepada Muslimah khususnya Islam telah datang dengan meninggikan taraf wanita dan memuliakannya dengan hukum-hukum syarak yang benar.

Semoga artikel-artikel yang dikemukakan ini dapat memberi input bermanfaat kepada Muslimat khususnya bahawasanya apabila Al-Quran dan Sunnah dipinggirkan dalam pemerintahan Negara, seluruh warganegara akan merasai bahang akibat lari dari perintah Rabbnya. Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta [TMQ Taha:124].
Wallahu ‘alam bisshawab.





Negara Perlu Khidmat Wanita…itulah tajuk artikel yang ditulis oleh Sri Ayu Kartikawati Amri [kartika@hmetro.com.my] di akhbar Harian Metro pada 7 Julai 2009. Beliau membuat ulasan dalam artikel tersebut setelah menghadiri Seminar Kepekaan Gender yang diadakan di Kuala Lumpur sehari sebelumnya. Seminar ini dirasmikan oleh Tan Sri Faizah Mohd Tahir selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Dalam artikel tersebut, Tan Sri Faizah yang mewakili Menteri KPWKM, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dipetik sebagai berkata “Negara masih memerlukan lebih ramai wanita menyertai pasaran pekerjaan berikutan kini hanya 45.7 peratus wanita bekerja berbanding lelaki, 79.5 peratus”. Menurutnya lagi “Kita belum mencapai walaupun 50 peratus wanita yang bekerja di negara ini, apatah lagi penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan juga masih rendah.” Seterusnya beliau menambah “Sebagai contoh dalam bidang politik, hanya 10.4 peratus wanita berjaya menduduki kerusi dewan rakyat dan 8.0 peratus dipilih sebagai ahli dewan undangan negeri.”

Seterusnya artikel tersebut memetik kenyataan daripada Tan Sri Faizah berkenaan dengan pelan tindakan KPWKM di mana menurut beliau KPWKM akan melaksanakan satu pelan tindakan khas bagi meningkatkan peratusan wanita menyertai pasaran pekerjaan selain mencapai dasar minimum 30 peratus yang ditetapkan kerajaan di mana pelan tindakan itu turut merangkumi pembabitan wanita di lima sektor utama iaitu sektor awam, swasta, kehakiman, legislatif dan badan berkanun.

Dalam keghairahan KPWKM yang baru diterajui semula oleh Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyusun semula pelan tindakan untuk menambah jumlah tenaga kerja wanita di segenap sektor, kementerian ini didesak agar berbuat sesuatu untuk menangani kemelut gejala sosial yang melanda negara. Hal ini disuarakan oleh Muslimat PAS di mana KPWKM diminta memberi tumpuan serius dalam menyelesaikan isu kekeluargaan yang semakin meruncing-statistik yang terkini yang dikemukakan membabitkan lebih 250,000 kes anak luar nikah[www.muslimatpas.org ,13hb Julai 2009].

Seterusnya Ustazah Nuridah Mohd Salleh, selaku Ketua Dewan Muslimat PAS menyatakan sudah tiba masanya Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilantik semula mengetuai kementerian tersebut bertindak tegas dan mengemukakan strategi khusus untuk menangani isu-isu yang boleh meruntuhkan jati diri dan institusi kekeluargaan di negara ini. Beliau menegaskan, masalah gejala sosial dalam negara ini sebenarnya bermula daripada masalah dalam sesebuah keluarga. Jika keluarga terbabit menghadapi pelbagai kecamukan dari sudut penghayatan agama, masalah ekonomi, didikan dan gaya hidup, maka akan berlakulah keruntuhan serius terhadap institusi keluarga.

Ustazah Nuridah dipetik sebagai berkata "Keluarga merupakan unit paling kecil dalam sesebuah masyarakat. Kalau keluarga kita baik, masyarakat akan baik, tetapi kalau keluarga kita sendiri bermasalah, maka ia boleh menyumbang masalah kepada masyarakat dan negara.” Seterusnya beliau mahu agar Shahrizat dan kementeriannya berperanan dan mengambil tahu tentang isu sebenar keruntuhan akhlak remaja dan kerapuhan institusi keluarga di negara ini agar ia boleh diselamatkan dan diperkasa sebagai unit kecil yang mahu membangunkan peradaban negara.

Jika diperhatikan dari satu sudut, nampaknya KPWKM mempunyai strategi yang cukup mantap dalam usahanya meningkatkan jumlah pekerja wanita dalam negara, seruan kerajaan disambut baik oleh kementerian tersebut dan langkah pro aktif terus dilaksanakan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan. Di satu sudut yang lain pula, kementerian yang sama dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memulihkan institusi kekeluargaan yang kian rosak dan diminta agar diatasi dengan segera masalah sosial yang melanda negara yang seolah-olah berpunca dari keruntuhan institusi keluarga. KPWKM diletakkan dalam keadaan yang boleh diibaratkan seumpama si lumpuh mengejar pelangi, pelangi yang dikejar terlalu tinggi, sengsara berterusan memakan diri.

Memang sukar untuk seseorang mengejar cita-cita yang tinggi apabila pada masa yang sama terpaksa berhadapan dengan masalah yang semakin meruncing yang belum pernah dapat diselesaikan. Kemelut melanda, mana yang perlu didahulukan? Selesaikan masalah atau mengejar cita-cita? Atau mampukah kedua-duanya dilakukan serentak dalam satu masa? Kelihatan seolah-olah KPWKM sekarang perlu dengan segera menyahut seruan “Negara Perlukan Khidmat Wanita” dan pada masa yang sama perlu menjaga dan membenteras segala permasalahan keluarga yang mana khidmat kementeriannya diperlukan layaknya seperti “Wanita Perlukan Khidmat Negara”. Lalu apa kesudahannya kepada kemelut ini?

Di sinilah sebenarnya yang perlu dijelaskan kerana seorang pemikir yang diasuh ilmu dan tsaqafah Islam yang benar akan mampu menghuraikan permasalahan ini. Ini kerana agama Islam yang syumul telah mengajar kita melihat apa punca masalah yang sebenarnya? Setelah dapat dikenal pasti apa punca masalahnya, soalan kedua ialah kenapa masalah seumpama ini berlaku? Seterusya mencari jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan permasalahan ini dan penyelesaiannya mestilah dikembalikan kepada Islam iaitu bersumberkan al-Quran dan Sunnah yang mana ia tidak boleh dijadikan alternatif melainkan satu penyelesaian yang perlu diambil secara hak kerana Islam adalah satu Deen yang mengatur kehidupan manusia. Islam sebagai cara hidup. “Islam is Way of Life”.

Punca Permasalahan dan Kenapa Ia Berlaku

Secara ringkasnya di sini ada dua pertembungan masalah yang boleh diterjemahkan iaitu: Pertama, wanita bersungguh-sungguh ingin memantapkan diri dalam kerjaya dan perlu dipandang setanding dengan lelaki, menyahut cabaran untuk sama-sama tampil ke hadapan, berdaya saing, hebat, diberi hak dan pengiktirafan yang selayaknya. Kedua, wanita dibelenggu dalam permasalahan sosial yang tiada kesudahan malah makin meruncing dan kian parah seolah-olah tiada penyelesaiannya.

Untuk masalah pertama, wanita disibukkan dengan mengejar kerjaya dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Satu sasaran penunjuk aras telah diletakkan agar wanita mencapai sasaran ini. Kenapa perkara seumpama ini berlaku? Apa yang ingin dikejar sebenarnya kalau bukan kepuasan diri dan keuntungan (manfaat) yang menjadi tunjang kepada sistem Sekular-Kapitalis? Wanita seolah-olah dipaksa agar melupakan tugas hakiki mereka sebagai pengurus rumahtangga dan pendidik kepada anak-anak mereka. Dari Ibnu Umar disebutkan bahwa Nabi Sallalahu Alaihi Wa Sallam pernah bersabda “Setiap diri kalian adalah pemimpin….Seorang wanita adalah pemimpin (pengurus) rumah suaminya dan anak-anaknya, dia bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya"[HR Bukhari dan Muslim]. Dari hadis di atas jelas bahwa hukum asal seorang wanita adalah sebagai Umm(un) wa rabbah al bayt (ibu dan pengatur rumah tangga). Jika hujah ini dikemukakan, maka akan ada yang mengatakan itu wanita zaman dulu sedangkan sekarang wanita zaman moden. Wanita perlu tonjolkan kelebihan yang ada pada mereka, wanita perlu lebih berketerampilan, wanita perlu mempunyai daya saing dan banyak lagi hujah yang akan dikemukakan. Sesungguhnya, di zaman mana pun manusia berada, fitrah manusia tetap sama. Adakah mereka ini lupa yang secara fitrahnya Allah telah melebihkan kaum lelaki dari kaum perempuan? Kaum lelaki adalah pemimpin (qawwamuna) ke atas kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan (faddala) sebahagian mereka atas sebahagian yang lain dan kerana mereka telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka (untuk menanggung wanita)[TMQ an-Nisa (4):34].

Ledakan globalisasi telah memaksa wanita untuk keluar bekerja, kesempitan hidup dalam sistem Sekular-Kapitalis menyebabkan hak-hak wanita terabai, wanita dibiarkan menanggung dirinya sendiri untuk sesuap nasi. Walhal dalam Islam, wanita dijaga oleh wali atau suami masing-masing. Ada juga yang keluar bekerja semata-mata kerana inginkan gaya hidup mewah dan menjaga prestasi sosial masing-masing. Apabila penyakit wahn menyelubungi diri, wanita Islam hilang hala tuju dan terumbang-ambing dilambung ombak Sekular-Kapitalis dan menderita setelah dijangkiti virus penyakit wahn. Rasulullah Sallalahu Alaihi Wa Sallam bersabda: “Di perkirakan bahawa orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu hidangannya.” Seseorang berkata, “Apakah kerana jumlah kami sedikit di waktu itu (hingga orang-orang kafir boleh menyerbu)?” Baginda bersabda, “Bahkan jumlah kalian di saat itu ramai sekali, tetapi kalian seperti buih air bah (tidak berguna). Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuh kalian terhadap kalian serta memasukkan di dalam hati kalian (penyakit) wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah (penyakit) wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati” [HR Abu Dawud].

Wanita Islam juga dimomok-momokkan dengan isu kesetaraan gender yang merupakan sekadar tipu daya musuh Islam semata-mata untuk melihat wanita Islam jatuh tersungkur dan membiarkan pegangan agama terpinggir dan lebur. Telah jelas kepada kita bahawa perjuangan feminisme dan perjuangan kesetaraan gender adalah satu pembohongan yang diada-adakan oleh musuh Islam. Ia langsung tidak berasal dari Islam, malah Islam sebagai Deen yang syumul telah lebih awal mengangkat darjat wanita dan memberi penghormatan kepada golongan Hawa ini. Hanya saja wanita Islam hari ini telah dirabunkan matanya kalaupun belum dibutakan dengan isu-isu feminisme dan kesetaraan gender yang menyebabkannya hanyut jauh dalam perjuangan yang batil lagi menyesatkan. Sesungguhnya apabila pemikiran umat Islam telah lemah maka amat mudah untuk pihak musuh menggunakan tipu daya mereka dengan apa cara sekalipun. Dan ingatlah firman Allah bahawa “ Orang-orang Yahudi dan Nasara tidak sekali-kali akan redha kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)” [TMQ Al-Baqarah (2):120].

Apabila wanita yang sepatutnya mengurus rumahtangga disibukkan dengan isu-isu perjuangan kesetaraan gender, mendahulukan kerjaya yang statusnya mubah (harus), maka ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pengurus dan pengatur rumahtangga yang mana sekaligus akan mengakibatkan pengabaian kepada didikan anak-anak. Di sini akan bermula gejala sosial yang melanda negara. Akibat kurangnya perhatian dan didikan agama dalam sesebuah keluarga, keluarga tersebut hancur. Berlakulah sumbang mahram, penzinaan di kalangan remaja, kes buang bayi, mat rempit, penagihan dadah, budaya “black metal” dan seumpamanya. Justeru di mana tanggungjawab negara dalam menangani masalah ini? Kenapa gejala sosial semakin parah? Jawapannya akan dikembalikan semula kepada pengabaian tugas oleh wanita dalam menjaga dan mendidik anak-anak mereka.

Satu persoalan, adakah benar, wanita tidak akan cemerlang jika mereka hanya duduk di rumah dan mendidik anak sepenuhnya? Ini satu mitos sebenarnya. Faktanya adalah, kenyataan tersebut tidak benar sama sekali! Lihat saja imam-imam besar dan ulama-ulama termasuk pengasas mazhab-mazhab dalam Islam. Siapa yang melahirkan mereka, membesarkan mereka, mendidik mereka dengan didikan agama yang sempurna kalau bukan ibu mereka yang sememangnya wanita? Hanya saja wanita hari ini tidak mahu kembali kepada kehidupan Islam yang benar. Maka natijahnya adalah masyarakat ditimpa penyakit sosial yang amat parah.

Apa penyelesaiannya dalam Islam?

Dalam Islam, wanita adalah sebahagian anggota masyarakat yang merupakan sebahagian warganegara Negara (Daulah Islamiyyah) yang layak mendapat perlindungan harta, nyawa dan kehormatan serta jaminan keperluan asas. Justeru untuk memahami penyelesaiannya menurut syarak, kita mesti memahami bahawa perlindungan kepada wanita termasuk jaminan keperluan asasnya terpenuh hanya dalam sebuah negara yang melaksanakan Islam secara kaffah, secara keseluruhan. Negara (Daulah) ini akan melaksanakan sistem ekonomi Islam yang mana dengannya, pengagihan kekayaan kepada seluruh warganegara menyebabkan wanita tidak perlu bekerja demi untuk ‘survival’ sebagaimana senario ramai wanita hari ini. Negara (Daulah) ini juga akan melaksanakan sistem uqubat yang mana dengannya, hukuman hudud, qisas, takzir dan mukhalafah dilaksanakan oleh imam atau khalifah untuk mencegah dan menghukum pesalah yang terlibat dalam semua aspek pelanggaran hukum termasuk terlibat dalam gejala sosial. Di sini, negara (Daulah)lah yang akan menguatkuasakannya sehingga gejala sosial dapat dihapuskan dan bukannya hanya memfokuskan kepada kaum wanita untuk membendungnya. Sesungguhnya, dengan berdirinya semula Negara Khilafah sahajalah pemimpin dan kaum wanita melaksanakan tanggungjawabnya sesuai syarak sehingga Islam terpancar sebagai rahmatan lil ‘alaamin.

Wallahu ‘alam bisshawab.


SHARE THIS

1 comments:

  1. Assalamualaikum

    be aware at this new portal. some irresponsible parties try to manipulate and misused the word Khilafah for their democratic and electoral gains.

    here's the link

    http://khalifah.forum.st/

    they creating a portal using the Khilafah as the title but in reality its content is no more than the likes of tranungkite, detikdaily or utaraonline. what i can see its laiden with Fitnah of democracy, nationalism and secularism. interestingly most of their moderators were in fact the same person of TT, DD or UO.

    and also i'm began to see some quarter of democratic 'Islamic' party begin to used term synonymous to Khilafah fighters in wrongly and twisted concept. maybe to synchronized with their democracy believed and electoral interest.

    i'm not telling the Khilafah struggle is exclusive to any particular Harakah or Hizb. in fact its inclusive to all Muslims worldwide as its a Fard to re-established the Khilafah back. its a great news if Muslims begin to realized the important of the Khilafah.

    but what i'm concern is what they depiction the Khilafah. from what they doing they already depicting the Khilafah wrongly and begin deceiving Muslims oblivious to what the truth of Khilafah is all about. this will lead to another fitnah.

    please spread this word to all whom righteously struggle the Khilafah 'al Manhaj An-Nubuwwah. let us be aware and make some effort to distinguished this fitnah.

    Wasalam

    ReplyDelete