Kemerdekaan Hakiki Buat Wanita





Ulang tahun kemerdekaan Malaysia menjelang lagi, yang ke-52 iaitu tanggal 31 Ogos 2009. Kempen mengibarkan Jalur Gemilang setiap hari kita saksikan di kaca televisyen dan juga di dada-dada akhbar. Pelbagai program bertemakan kemerdekaan juga bakal ditayangkan di hampir semua stesyen televisyen di Malaysia sempena sambutan hari kemerdekaan. Ini kerana media massa merupakan sarana yang paling berkesan dalam memainkan peranan ini. Namun begitu, kelihatannya sambutan rakyat Malaysia dari setahun ke setahun semakin suram dan hilang serinya kerana kian tidak mendapat perhatian rakyat Malaysia. Jika dahulu rakyat secara sukarela mengibarkan bendera Malaysia setiap kali tiba bulan kemerdekaan, tetapi sekarang rakyat perlu ‘dipaksa’ untuk berbuat demikian. Jika dulu Jalur Gemilang kelihatan terpacak di cermin hadapan hampir setiap kenderaan, tetapi sekarang bilangan mereka yang berbuat demikian boleh dikira dengan jari. Pastinya yang masih ‘setia’ mengibarkannya hingga sekarang hanyalah pejabat-pejabat kerajaan, itupun ‘atas arahan’ dari pihak atasan.

Tetapi tidak seperti tahun-tahun yang lepas, sambutan kemerdekaan pada tahun ini hanya akan disambut di Bangunan Parlimen memandangkan ketika itu, umat Islam berada di dalam bulan Ramadhan di samping usaha kerajaan mengurangkan aktiviti luar untuk mengurangkan jangkitan virus selesema babi. Di dalam suasana bulan kemerdekaan ini, para pemimpin Malaysia sedaya upaya cuba menanamkan perasaan bangga dan patriotisme kepada seluruh rakyat Malaysia dengan memperjuangkan konsep 1Malaysia kerana dengan kemerdekaan ini seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat mengecapi kebebasan dan kehidupan aman serta harmoni. Memang tidak dinafikan terdapat segelintir rakyat Malaysia yang sangat berbangga dengan kemerdekaan dan teruja menyambutnya tetapi ramai lagi rakyat Malaysia yang perlu dipaksa mempunyai perasaan seperti itu. Pelbagai persoalan yang bermain di fikiran kita. Mengapakah semakin pudar keterujaan rakyat Malaysia untuk menyambut kemerdekaan? Perlukah umat Islam membanggakan sebuah kemerdekaan yang ‘dihadiahkan’ oleh British 52 tahun yang lalu yang semuanya itu diperolehi dengan pelbagai syarat yang mesti dipenuhi?

Apa yang hendak dibanggakan dengan kemerdekaan?

Dalam suasana rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan yang kononnya bukti Malaysia telah mengecapi kebebasan, rakyat Malaysia dapat hidup aman dan harmoni tetapi pernahkah kita berfikir, adakah cukup mendefinisikan kemerdekaan sebagai sebuah negara yang telah bebas daripada cengkaman penjajah secara fizikal dan seterusnya dapat mengemudi pemerintahan sendiri? Pada hakikatnya semua itu belum cukup untuk mengatakan bahawa Malaysia sudah merdeka. Sebenarnya Malaysia masih dalam cengkaman penjajah, Malaysia masih terikat dengan sistem pemerintahan British, pemikiran rakyat Malaysia masih dibelenggu pemikiran sekular sang penjajah, tatacara hidup rakyat Malaysia masih bersandarkan sistem ekonomi kapitalis. Pernahkah juga kita berfikir, apa lah ertinya sebuah kemerdekaan jika Malaysia masih dibelenggu pelbagai masalah yang tiada bernoktah. Permasalahan sosial semakin hari semakin meningkat, pelbagai kes yang melibatkan sumbang mahram, rogol, cabul, zina, hamil luar nikah, buang bayi dan sebagainya yang sudah acapkali dilaporkan hampir setiap hari di media cetak mahupun elektronik. Statistik menunjukkan kes jenayah seksual terhadap wanita dan kanak-kanak di negara ini didapati meningkat setiap tahun. Pada 2005, kes rogol paling banyak diterima iaitu sebanyak 1,931 dan diikuti kes cabul, 973 dan liwat, 71 kes. Pada 2006, kes rogol meningkat kepada 2,041, manakala cabul (1,066) dan liwat (71 kes). Pada tahun 2007 pula, sebanyak 3,098 kes rogol dilaporkan, cabul (2,228) dan liwat, 101 kes. Angka itu terus meningkat pada 2008 iaitu 3,405 bagi kes rogol dan cabul (2,107) dan 130 kes liwat. Statistik PDRM bagi 2008 pula mencatatkan 10 peratus peningkatan kes rogol jika dibandingkan dengan 2007 [Berita Harian, 12/5/2009]. Manakala menurut kajian Saodah Elias (2007) kaum Melayu merupakan kaum yang tertinggi dalam masyarakat yang menyumbang kepada kes-kes sumbang mahram ini [www.jais.gov.my/index.php.]. Selain itu, pelbagai jenayah berat dan ringan masih tetap menghantui masyarakat, kes-kes rompakan, samun, pembunuhan, penipuan, kecurian, ragut dan sebagainya tetap berlaku malah semakin membimbangkan. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan kes jenayah daripada 209,388 pada tahun 2006 kepada 224,298 pada 2007. Daripada jumlah tersebut, jenayah kekerasan meningkat dari 44,016 kes pada 2006 kepada 49,897 kes pada 2007 (meningkat 5,881 kes atau 13.36 peratus); jenayah harta benda meningkat dari 165,372 pada 2006 kepada 174,401 pada 2007 (meningkat 9,029 atau 5.46 peratus); Kes samun berkumpulan tanpa senjata api meningkat 4,344 atau 159.53 peratus sepanjang tahun lalu, berbanding dalam tempoh yang sama tahun 2006. Sebanyak 7,067 kes tersebut dilaporkan pada 2007 berbanding 2,723 pada 2006. Kes ugutan jenayah pula meningkat dari 6,699 (2006) kepada 8,119 (2007) - meningkat 1,420 atau 21.20 peratus. Kes mencederakan (seksyen 324/326) meningkat dari 5,843 (2006) kepada 6,806 (2007) - meningkat 963 atau 16.48 peratus. Kes samun berkumpulan bersenjatapi meningkat dari 67 (2006) kepada 77 (2007) - meningkat 10 kes atau 14.93 peratus [Utusan Malaysia, 26/8/2008].

Kes yang melibatkan penyalahgunaan dadah di kalangan remaja dan dewasa samada penagih dadah baru atau penagih dadah tegar juga kian meningkat yang majoritinya adalah di kalangan umat Islam. Keadaan ekonomi rakyat Malaysia juga khususnya umat Islam masih di takuk lama sepertimana sebelum merdeka lagi. Kebanyakan orang Melayu-Islam masih dibelenggu kemiskinan terutamanya di luar bandar. Ekonomi rata-ratanya dipelopori oleh orang bukan Melayu-Islam. Bukankah keadaan ini sama sahaja jika dibandingkan dengan keadaan sebelum kemerdekaan lagi? Ketika pemerintahan British, umat Islam dipinggirkan dengan menempatkan mereka di kampung-kampung yang hidup penuh dengan kedhaifan. Namun berbeza pula dengan orang bukan Islam yang ditempatkan di bandar-bandar dengan diberikan pekerjaan yang lebih baik. Ini semua dek kerana kebencian dan kejahatan British terhadap umat Islam.

Melihat kemerdekaan dari perspektif wanita, adakah kaum Hawa ini telah mengecapinya? Jika statistik di atas menunjukkan gejala sosial seperti sumbang mahram yang melibatkan wanita, kita menyaksikan saban hari jenayah dan keganasan terhadap wanita belum menemui jalan penghujung. Terkini krisis dan keganasan rumahtangga yang berlaku juga menyumbang kepada permasalah ini. Kes terbaru melibatkan seorang suami memukul dan mencederakan si isteri sehingga menyebabkan kematian. Kejadian berlaku di Hotel Kepong, Kuala Lumpur yang berpunca daripada perasaan cemburu si suami terhadap isterinya [Utusan Malaysia, 11/8/2009]. Jika diperhatikan kesemua masalah yang berlaku ini melibatkan wanita yang telah menjadi mangsa kepada keadaan ini. Jadi sudah tentu persoalan yang perlu dilontarkan kepada setiap individu khususnya Muslimah: adakah Muslimah hari ini telah benar-benar merdeka jika dilihat dari sudut pandangan Islam?

Adakah wanita Muslimah benar-benar telah merdeka kini?

Pada hakikatnya pada hari ini wanita Muslimah telah dijadikan sebagai objek utama kepada Barat untuk menyerang Islam. Barat mendakwa bahawa Islam telah menyekat dan mengongkong kehidupan wanita Muslimah dari pelbagai aspek terutamanya aspek sosial disebabkan oleh hukum hakam seperti larangan bersunyi-sunyian dengan lelaki asing tanpa ditemani mahram, keharaman bagi wanita bermusafir untuk perjalanan melebihi satu hari satu malam tanpa disertai mahramnya, dsb. Oleh itu, ini memberi peluang kepada Barat untuk mempengaruhi pemikiran wanita Muslimah dengan menyuntik pelbagai tipu daya dan propaganda yang mungkin selama ini tidak disedari oleh wanita Muslimah bahawa ini semua adalah rancangan jahat dan kotor pihak Kuffar Barat. Selama ini wanita Muslimah ini menyangka bahawa Barat sangat mengambil berat permasalahan mereka padahal itu semua adalah sebaliknya. Barat telah menggunakan agen-agen mereka yang sebenarnya di kalangan wanita Muslimah sendiri. Pemikiran wanita Muslimah dicemari oleh pemikiran-pemikiran Barat yang kononnya lebih sesuai dengan arus kemodenan dan sesuai dengan wanita Muslimah hari ini agar setanding dengan wanita Barat. Wanita Muslimah yang telah termakan kata-kata Barat tanpa berfikir terlebih dahulu konsekuensinya terus menerima pemikiran-pemikiran dan idea-idea jahat Barat malah mereka menjadi bangga mempunyai pemikiran-pemikiran setaraf dengan wanita Barat yang kononnya sentiasa mengikut arus kemodenan. Wanita Muslimah dijadikan bahan ekploitasi oleh pelbagai pihak yang kebanyakan ingin meraih keuntungan dan dalam pada masa yang sama ingin merosakkan kemuliaan wanita Muslimah itu sendiri. Wanita Muslimah dijadikan objek eksploitasi dalam mempromosikan produk-produk seperti menjadi model, ’sales promotion girl’, ’public relation’ dan sebagainya. Anehnya, wanita Muslimah ini rela dirinya diekploitasi malah bangga dengannya. Selain itu, pejuang feminisme iaitu agen-agen Barat mengusung idea dan pemikiran menghendaki agar kaum perempuan diberi hak-hak setara dengan lelaki (gender equality). Golongan ini mengatakan wanita Muslimah seharusnya dibebaskan dari diskriminasi, dari beban-beban yang menghalang kebebasan dalam kehidupan, walaupun terpaksa mengenepikan hukum-hukum Islam. Beban-beban yang menjadi penghalang antara lainnya adalah peranan sebagai seorang ibu yang hamil, menyusui, mendidik anak dan mengatur rumahtangga. Lalu wanita Muslimah pun berlumba-lumba untuk setanding dengan lelaki dalam apa jua bidang terutamanya bidang pekerjaan atau kerjaya dan meninggalkan tugas asal dan paling utama sebagai ibu pengurus rumahtangga. Justeru itu, sedar atau tidak sedar sebenarnya tenaga dan fikiran wanita Muslimah ini di manfaatkan habis-habisan dalam menggerakkan sistem ekonomi kapitalis ini. Idea gender equality ini sebenarnya menjadi pendorong dan penyumbang kepada terjadinya masalah-masalah lain bagi wanita dan masyarakat umumya seperti meningkatnya angka perceraian, ’single parent’, kebebasan hubungan sosial antara lelaki dan perempuan dan sebagainya.

Dasar Wanita Negara 2009

Berdasarkan tanggapan bahawa nasib wanita di negara ini masih lagi terbelakang dan dizalimi dan menjadi mangsa diskriminasi, Pelan tindakan Dasar Wanita Negara 2009 telah dilancarkan. Akhbar Utusan Malaysia pada 26hb Ogos 2009 melaporkan bahawa menurut pelan yang digubal berteraskan Perlembagaan Persekutuan, prinsip Rukun Negara dan Dasar Sosial Negara, dasar ini mendukung cita-cita untuk mencapai kesaksamaan gender dan pembangunan seimbang merangkumi 13 sektor iaitu ekonomi; kemiskinan; undang-undang; keganasan terhadap wanita; kesihatan; pendidikan dan latihan; sains dan teknologi; dan wanita dalam pembuat keputusan. Ini adalah satu langkah yang diambil oleh pemerintah sekular untuk ‘membantu’ wanita. Akan tetapi apakah jaminan Dasar Wanita Negara ini akan dapat menyelesaikan kemelut yang melanda wanita?

Islam memerdeka dan mengangkat darjat wanita

Sesungguhnya apabila hukum-hakam Islam tidak dipelihara malah ditinggalkan, maka semakin jauh dan mundurnya pemikiran dan kehidupan umat Islam. Sejak Allah Subhanahu wa Ta’ala menurunkan Islam kepada Rasul-Nya, maka sejak itu lah Islam telah menyelamatkan kaum wanita dari rosak oleh peradaban manusia yang sama sekali tidak menghargai kaum wanita. Membunuh anak perempuan kerana rasa malu, menjadikan wanita sebagai barang warisan, memperlakukan wanita hanya sebagai pemuas nafsu lelaki dan sasaran pelampiasan kekerasan dan sebagainya adalah budaya yang ada hampir di seluruh dunia sebelum kedatangan Islam. Tetapi setelah kedatangan Islam, hak-hak dan kemulian wanita terbela dan terjamin kerana Islam sangat menjaga kemuliaan wanita dan agar wanita dipandang tinggi bukan sebaliknya. Islam telah menjaga wanita daripada apa jua bentuk kerosakan samada eksploitasi atau kekerasan. Sememangnya Islam tidak mengekang mahupun melarang wanita Muslimah untuk beraktiviti dalam kehidupan umum selagi mereka tetap menjaga diri dan kehormatannya. Sirah kehidupan isteri-isteri Rasulullah pun mengindikasikan aktiviti aktif. Ummul Mukminin Khadijah r.a. adalah salah satu contoh usahawan wanita berjaya pada masa itu. Aisyah r.a. adalah perawi hadis dan banyak memberikan fatwa kerana kecerdasannya. Ini kerana Islam tetap mendorong wanita untuk memajukan diri dalam apa jua bidang yang ingin mereka ceburi tanpa mengambil kesempatan dengan mengeksploitasi tenaga dan tubuhnya malah menjaga dan menghormati wanita. Wanita wajib menuntut ilmu sama seperti lelaki seterusnya mengaplikasikan ilmunya dalam apa jua bidang yang mereka inginkan selagi tetap menjaga martabatnya sebagai wanita Muslimah. Namun begitu, apa yang penting dan perlu diingat oleh setiap wanita Muslimah adalah tanggungjawab utama sebagai ibu pengatur rumahtangga tetap menjadi tugas utama kerana itu adalah ketetapan Allah Subhanahu wa Taala.

Khatimah

Sesungguhnya setiap permasalahan yang terkait dengan wanita sebenarnya sangat mudah untuk diselesaikan iaitu apabila melaksanakan Islam secara total dalam kehidupan iaitu mengambil Islam secara kaffah (keseluruhan). Islam bukan hanya perlu diimplementasi dalam ibadah atau spritual semata-mata tetapi Islam mesti diimplementasi dalam seluruh kehidupan. Sekiranya Islam tidak diterapkan secara kaffah, maka sampai bila-bila pun wanita Muslimah khususnya dan umat Islam umumnya akan tetap di takuk yang lama, wanita akan terus-menerus dieksloitasi tenaga dan tubuhnya, menjadi pelampias nafsu dan kekerasan lelaki manakala umat Islam sendiri akan terus menerus diracuni pemikirannya oleh pemikiran-pemikiran rosak Barat malah akan terus diperbodoh-bodohkan dan dipandang rendah oleh Barat. Taraf pemikiran umat Islam juga akan menjadi mundur. Pendek kata umat Islam keseluruhannya akan terus lena dan hanyut oleh tipu daya si kufar Barat yang sememangnya menginginkan Islam dan umat Islam terus hancur terkubur supaya matlamat mereka untuk menguasai dunia akan menjadi kenyataan. Sedar lah wahai Muslimah dan umat Islam, tegakkan kembali hukum syariat Islam dan seterusnya melaksanakan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah agar nasib seluruh umat Islam akan terbela dan terjamin tanpa gangguan si kufar Barat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

”Hai orang-orang beriman, masuk lah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”. [TMQ Al-Baqarah [2]: 208]

”Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan amal-amal yang soleh dari kegelapan kepada cahaya”. [TMQ At-Talaq [65]: 11]

”Siapa saja yang mengikuti petunjuk-Ku, ia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Siapa saja yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaha [20]: 123-126]

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam:

”Aku telah meninggalkan untuk kalian dua perkara: kalian tidak akan tersesat selama kalian berpegang teguh pada keduanya, iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi-Nya” [HR Malik]

Wallahu a’lam bisshawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment