Muhasabah untuk Wanita Di Aidil Fitri




Ramadhan yang penuh keberkatan ditangisi pemergiannya oleh umat Islam yang berusaha mencari keredaan Allah Subhanahu Wa Taala. Tatkala senja Ramadan mula berlabuh, lazimnya kaum wanitalah yang paling sibuk sekali apabila Syawal membuka tirai. Dendangan lagu-lagu klasik hari raya yang berkumandang di corong radio dan di pusat-pusat membeli belah menggamit perasaan sayu dan rindu untuk menyambut hari raya di kampung halaman. Pertemuan dengan kerabat dan sahabat handai dimanfaatkan untuk saling bermaafan sambil menikmati juadah lazat. Umumnya, ramai dalam kalangan umat Islam berpendapat begitulah hebatnya sambutan Hari Raya Aidilfitri yang merupakan saat yang sememangnya disunatkan untuk umat bergembira dengan penuh rasa kesyukuran setelah berjaya menempuh fasa latihan kerohanian (spiritual) dan penyucian jiwa (tazkiah an-nafs) di sepanjang bulan Ramadan.

Wanita dan Penyucian Jiwa (Tazkiyah an-Nafs)

Sebahagian umat Islam termasuk kaum wanita beranggapan bahawa aktiviti penyucian diri yang sinonim dengan bulan Ramadan hanya bersifat ritual, spiritual dan individual sahaja. Selaras dengan pemikiran Sekular-Barat yang memisahkan agama dari kehidupan (fasludeen anil hayah) Muslimah hanyut dalam gelombang sekularisme hingga sebahagian mereka hanya memberi fokus kepada aktiviti memperbanyakkan ibadah-ibadah ritual seperti solat dan puasa sunat, zikir/wirid, dan lain-lain. Semua ini sesuai dengan kata-kata Gibb (tokoh missionaris Britain, Profesor di Universiti Hartford, AS):“Islam telah kehilangan dominasinya atas kehidupan sosial kaum Muslim. Sementara, wilayah kekuasaannya semakin menyempit sedikit demi sedikit hingga tinggal ritual-ritual yang amat sempit. Semua ini semakin beranjak sempurna tanpa adanya sebuah kesedaran sedikitpun. Perkembangan itu kini telah benar-benar jauh dan tidak mungkin akan kembali lagi. Akan tetapi, kejayaan perkembangan ini sangat bergantung dengan para tokoh dan pemimpin kaum Muslim, terutama para pemudanya. Semua itu tak lain adalah hasil kegiatan pendidikan dan tsaqafah liberal”. Hal ini menyebabkan sebahagian Muslimah merasakan bahawa ketakwaan hanya perlu dikejar setahun sekali iaitu selama sebulan. Mereka juga merasakan kerugian yang amat sangat apabila tidak dapat menghidupkan Ramadan apabila datang haid. Anehnya, hanya dibulan Ramadan sahaja mereka merasakan kekurangan pahala disebabkan haid yang menyekat peluangnya untuk beramal, berpuasa dan mengerjakan solat. Akibatnya, apabila fajar Syawal menyinsing, mereka seolah-olah memperoleh ‘kebebasan’ untuk kembali kepada kehidupan di luar bulan Ramadan. Aidil Fitri diraikan untuk menikmati semaksima kemeriahannya. Apakah Syawal hanya menjanjikan seribu kenikmatan dan kemeriahan semata-mata? Adakah wanita hanya perlu disibukkan dengan penyediaan hidangan, menerima tetamu.{,} menziarahi rakan taulan semata dan menyusun sepuluh jari memohon kemaafan? Fikratul Ummah kali ini ingin memuhasabah kaum wanita supaya kemeriahan Aidil Fitri tidak sedikit pun menjauhkan kaum Muslimah dari ajaran agamanya.

Sambutan Hari Raya & Muhasabah untuk Wanita

Berbeza dengan sambutan Hari Raya yang menjadi kelaziman rakyat Malaysia, sambutan Eid (hari raya) pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam memberi kesan yang berbeza kerana aktivitinya merangkumi muhasabah kepada wanita.

Daripada Ummu 'Atiyah Radhiallahu Anha. Ujarnya: "Rasulullah memerintahkan kami, sama ada dia hamba wanita, wanita sedang haid atau wanita perawan, agar keluar pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Bagi wanita yang sedang haid diperintahkan untuk menjauh dari tempat solat, tetapi tetap menyaksikan kebaikan dan seruan atas kaum Muslim. Aku lantas berkata, “Ya Rasulullah, salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab(jubah).” Rasulullah Menjawab,“Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbabnya (jubah) kepadanya.” [Muttaqafaq 'alaih].

Pada masa kini, Muslimah turut sama melakukan solat sunat Aidil Fitri dan mendengar khutbah adalah fenomena biasa. Akan tetapi, berapa ramai dari kalangan Muslimah menyedari tentang perintah Rasulullah supaya wanita yang hendak keluar ke tempat umum mengenakan jilbab yang mana kewajipan ini dinyatakan dalam Surah Al-Ahzab (33):59: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang”.

Sering kali, apabila memperkatakan tentang aurat wanita, sebahagian Muslimah memahami bahawa aurat wanita hanyalah tudung penutup kepala yang mana perintah melaksanakannya disebutkan dalam Surah An-Nur (24):31:‟Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya”. Akan tetapi tahukah Muslimah sekalian bahawa bukan hanya mengenakan khimar (tudung) dan berjilbab sahaja yang diwajibkan ke atas mereka? Lazimnya, di hari raya, kaum wanita mengenakan pakaian paling cantik, bersolek dan berwangi-wangian ketika menerima tetamu yang bukan mahramnya, juga ketika menziarahi sahabat handai, rakan serta taulan. Fenomena ini mungkin disebabkan kesalahfahaman memahami saranan Rasulullah: "Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian." [Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327]. Hakikatnya, ada larangan bertabarruj kepada wanita iaitu sebarang kelakuan, penampilan atau perhiasan yang menarik perhatian laki-laki ajnabi. “Wanita apabila memakai wangi-wangian kemudian berjalan melalui majlis (laki-laki) maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur” [HR Abu Dawud dan Tirmizi].

Dalam suasana hari raya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pernah mengajarkan satu amalan yang dapat menyelamatkan kaum wanita dari azab neraka. Ketika baginda selesai khutbah hari raya yang berisikan perintah untuk bertakwa kepada Allah Subhanahu Wa Taala dan anjuran untuk mentaatiNya, baginda pun bangkit mendatangi kaum wanita, baginda menasihati mereka dan mengingatkan mereka tentang akhirat kemudian baginda bersabda: “Bersedekahlah kalian! Kerana kebanyakan kalian adalah kayu bakarnya Jahanam!” Maka berdirilah seorang wanita yang duduk di antara wanita-wanita lainnya yang berubah kehitaman kedua pipinya, iapun bertanya: “Mengapa demikian, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Kerana kalian banyak mengeluh dan kalian kufur terhadap suami!” [HR. Bukhari].

Dari hadis di atas, salah satu penyebab saranan untuk wanita bersedekah adalah kerana ramainya dari kalangan mereka yang menjadi bahan bakar neraka Jahanam disebabkan oleh perilaku buruk mereka terhadap suami. Akan tetapi, banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan wanita dihumban ke neraka sebagaimana hadis
riwayatkan Sayyidina Ali Karam Allahu Wajhah: “Saya dengan Fatimah pergi mengadap Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam kami dapati baginda sedang menangis lalu kami bertanya kepadanya: “Apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab: “Aku lihat ada perempuan rambutnya tergantung, otaknya menggelegak. Aku lihat perempuan yang digantung lidahnya, tangannya terikat ke belakang dan Qathran (air yang menggelegak) dicurahkan ke dalam halkumnya. Aku lihat perempuan tergantung, kedua kakinya diikat, tangannya terikat di umbun-umbunnya dan disuakan dengan ular dan kala. Aku lihat perempuan yang memakan badannya sendiri, di bawahnya dinyalakan api. Aku melihat perempuan yang memotong tubuhnya dengan gunting daripada api neraka. Aku lihat perempuan yang bermuka hitam, memakan tali perutnya sendiri. Aku lihat perempuan yang telinganya pekak dan matanya buta, diisi ke dalam sebuah peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar dari lubang hidungnya, badannya berbau busuk, kerana berpenyakit sopak dan kusta. Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti khinzir, badannya seperti badan keldai, beribu-ribu kesengsaraan yang dirasainya. Aku lihat perempuan, rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, atau ke mulutnya dan keluar dari duburnya. Malaikat memukul kepalanya dengan corong daripada api neraka”.

Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya: “Ayahanda yang dikasihi, ceritakanlah kepada anakanda; apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?”.

Rasulullah menjawab: “Fatimah, adapun perempuan yang tergantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup rambutnya daripada lelaki yang bukan mahramnya. Perempuan yang lidahnya tergantung itu ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki hamun dan menyakiti hati suaminya. Perempuan yang kedua-dua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya dengan tidak mendapat keizinan daripada suaminya dan tidak mahu mandi suci daripada haid dan nifas. Perempuan yang memakan badannya sendiri itu ialah kerana ia berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat-ngumpat orang. Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, ia memperkenalkan dirinya kepda orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya itu dilihat oleh lelaki lain. Perempuan yang diikat kedua-dua kakinya, tangannya diikat ke arah umbun-umbun dan disuakan dengan ular dan kala, ianya boleh bersembahyang dan berpuasa, tetapi tidak mahu mengambil air sembahyang dan tidak mahu mandi janabah (junub). Perempuan yang kepalanya itu seperti khinzir dan badannya berupa badan keldai ialah perempuan ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang seperti anjing itu adalah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya”.

Selain itu, apa yang perlu difahami oleh Muslimah adalah syurga yang didambakan bukanlah semata-mata disebabkan akhlak terpujinya terhadap sang suami. Sebaliknya fokus utamanya adalah mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Mematuhi perintah Allah mestilah menjadi keutamaannya sehingga ketaatan kepada suami hanyalah dalam rangka mencari keredhaan Allah. Seorang wanita tidak boleh menumpahkan ketaatan mutlak atau membabi buta sehingga darjat sang suami lebih tinggi dari status Yang Maha Berkuasa seolah-olah suami lebih layak ditaati daripada Sang Pencipta Azza wa Jalla.

“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam hal bermaksiat kepada Al-Khaliq (Allah)” [Misykatul Mashbih dan dishahihkan Al-Albani dalam At-Tahqiq 3969].

“Tiada ketaatan dalam bermaksiat kepada Allah, ketaatan itu hanya dalam hal yang makruf” [Muttafaqun'alaih].

Muslimah juga hendaklah memahami bahawa masuknya seseorang manusia ke dalam syurga Allah adalah atas rahmat Allah dengan usahanya memaksimakan ketakwaan dan bukan hanya memberi fokus kepada urusan rumah tangga, diri dan keluarganya sahaja. Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu [TMQ At-Taghabun (64):16]. Justeru walaupun ada hadis yang memberi isyarat mudahnya seorang wanita masuk syurga seperti hadis-hadis ini:

Bagi isteri hanya 4 syarat untuk mereka ke syurga “Apabila seorang isteri mengerjakan solat 5 waktu, mengerjakan puasa sebulan, memelihara kehormatannya (aurat) serta mentaati suaminya, nescaya dia akan masuk syurga” [HR Imam Bazzar melalui Anas r.a.].

Daripada Anas, Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” [Hadis Riwayat Ahmad].

Ia bukan bermakna segala tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim telah terlaksana dengan sempurna hingga tumpuan diberikan semata-mata kepada amalan dan kefarduan yang bersifat individu yang dinyatakan di atas sahaja. Ada kewajipan lain yang dibebankan di atas batu jemala kaum Muslim yang datang dalam bentuk umum seperti kewajipan berdakwah, melakukan amar makruf nahi mungkar yang mana perintah datang dalam bentuk umum yang menyangkut seruan kepada laki-laki dan wanita Muslimah sebagai prasyarat untuk menjadi orang-orang yang beruntung (al-muflihun) dan menjadi umat terbaik (khayru ummah).

Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. [TMQ Ali Imran (3):104]

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyeru kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3): 110]

Selain perintah melaksanakan dakwah melalui ayat di atas, Allah juga meletakkan status istimewa dan darjat yang tinggi kepada hamilud dakwah (pemikul dakwah) sebagaimana firman-Nya: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan mengerjakan amal soleh dan berkata aku adalah daripada orang-orang yang menyerah diri(muslimin)". [TMQ Al-Fussilat (41): 33].

Allah juga menurunkan ancaman kepada manusia yang lalai mematuhi perintahNya sebagaimana hadis Rasulullah riwayat Thabrani dari Abu Dzar al-Ghifari: “Siapa saja yang bangun di pagi hari dan dia hanya memperhatikan urusan dunianya, maka orang tersebut tidak berguna apa-apa di sisi Allah; dan barang siapa yang tidak memperhatikan urusan kaum Muslimin, maka dia tidak termasuk golongan mereka (iaitu kaum Muslim).

Hadis ini berbentuk umum, bermakna ancaman Allah itu bukan hanya kepada kaum lelaki sahaja sebaliknya ia juga ditujukan kepada kaum Hawa yang tidak mahu mengambil tahu urusan kaum Muslim. Justeru, kaum wanita perlulah sentiasa mengambil kira isu-isu semasa yang berlaku, lebih–lebih lagi isu-isu politik dunia Islam. Mereka tidak sepatutnya ketinggalan dalam kancah dunia politik sekarang yang amat sinonim dengan pilihan raya dalam sistem demokrasi sebagaimana yang difahami oleh banyak pihak. Mereka tidak perlu merasa jijik dan kotor apabila terlibat dalam kancah politik kerana makna politik sebenar adalah mengambil tahu urusan umat (ri’ayah shu’unil ummah) bukan memahami politik dari kaca mata penganut fahaman sekular-kapitalis-demokrasi. Oleh yang demikian amat penting untuk kaum wanita itu turut memahami permasalahan umat Islam yang berlaku di dalam dan luar negara sama ada laki-laki atau wanita.

Ketika menikmati ketupat, rendang dan kuih-muih, apakah kita sedar bahawa di negara-negara lain umat Islam memerlukan pembelaan dan bantuan daripada kita? Kita telah biasa mendengar dan melihat penderitaan umat Islam di Iraq, Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Bosnia. Adakah kita hanya mendengar dan mengucapkan rasa syukur kerana kita dilindungi Allah di bumi Malaysia? Adakah cukup sekadar mendoakan mereka dan mengecam serta mengutuk mereka yang melakukan kezaliman? Sudah tiba masanya kita melakukan perubahan untuk memastikan umat Islam berusaha melaksanakan sistem Islam yang sebenar. Adakah kita sedar bahawa mengapa umat Islam yang teraniaya di luar sana tidak mendapat pembelaan sewajarnya walaupun bantuan kemanusian dihulurkan oleh pelbagai pihak? Kenapa wanita Islam diluar sana sentiasa dinafikan haknya seperti yang berlaku di kebanyakan negara Eropah yang menjadikan tudung sebagai alasan tidak dibenarkan ke sekolah? Dan yang paling menyedihkan, wanita Islam yang tidak bersalah ditikam sehingga mati begitu sahaja dihadapan orang ramai tanpa mendapat bantuan daripada sesiapapun? Pasti masih terbayang dibenak kita insiden yang menimpa Dr Marwa Al-Sharbini yang berasal dari Mesir, seorang ibu beranak satu yang sedang mengandung 3 bulan yang meninggal dunia akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman keturunan Rusia yang anti Islam dan anti Muslim kerana dia (Marwa) memakai tudung.

Adakah kita sebagai wanita hanya dapat mengeluarkan airmata tanpa melakukan sesuatu agar umat Islam itu tidak ditindas sehingga sedemikian rupa? Ingatlah bahawa menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk memastikan nasib umat Islam ini terbela di bawah satu sistem yang adil dan mengikut fitrah manusia iaitu sistem Islam yang berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara kaffah (keseluruhannya) [TMQ Al-Baqarah (2):208].

Muslimah yang dirahmati Allah,

Pada hari raya, Rasulullah menyarankan kita untuk mengucapkan kepada sesama Muslim kalimat “Taqabballahu minna wa minkum" yang bermaksud "Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu". Marilah kita mengorak langkah mendalami agama Allah ini untuk kita mengetahui seluruh tanggungjawab dan kewajipan sebagai Muslim sama ada kefarduan dengan taklif khusus kepada wanita ataupun taklif umum sebagai umat Islam. Sesungguhnya hanya dengan ilmu sahaja kita akan mengetahui bahawasanya doa yang kita panjatkan agar amalan dan ibadat diterima oleh Allah Subhanahu Wa Taala itu bukanlah hanya ibadat ritual semata-mata yang hanya akan terhenti apabila fajar Syawal mula menyinsing. “Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna. [TMQ:Az-Zumar(39):9].


Wallahu ‘alam bisshawab.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment