Bila 'A' yang Dikejar, Matlamat Hakiki Tersasar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Syukur Alhmadulillah. Fikratul Ummah kali ini membawakan dua buah artikel. Bersempena dengan penggal persekolahan yang baru dibuka awal tahun 2010, artikel “Pendidikan: Bila ‘A’ yang Dikejar, Matlamat Pendidikan Hakiki Tersasar” diharap akan dapat membuka minda para ibu Muslimah selaku guru di ‘madrasatul ula’ khususnya tentang belenggu ideologi Sekular-Kapitalis keatas sistem pendidikan masa kini sehingga ramai dari kalangan umat Islam yang mensasarkan kecemerlangan akademik lebih dari pembentukan syahsiyah seseorang individu. Manakala artikel “Pengharaman Niqab: Kronologi, Propaganda Dan Khilafiyah Hukum” menjelaskan tentang isu pengharaman niqab di banyak tempat di seluruh dunia, tembelang Barat yang menafikan hak asasi yang diperjuangkannya serta hukum-hakam. Artikel terjemahan “Adakah Berpakaian Menurut Islam Menindas Wanita?” menerangkan tentang kekejian Barat menggunakan isu pakaian sebagai senjata untuk menyerang Islam dengan mendakwa ia sebagai alat menindas dan merendahkan martabat kaum Hawa.

Semoga artikel-artikel yang dipaparkan akan menyuntik kesedaran dalam diri Muslimah khususnya bahawa tiadanya Islam dalam kehidupan sebagai satu cara hidup memberi kesengsaraan berpanjangan. Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta [TMQ Taaha: 124]. Justeru, kesulitan dan fitnah yang melanda Muslimah khususnya akibat tangan keji Barat sewajarnya menjadi pencetus semangat kepada Muslimah untuk berganding bahu bersama-sama dengan kaum Muslimin untuk menggencarkan dakwah sehingga hukum-hakam Islam terlaksana secara kaffah dalam sebuah Daulah Khilafah. Wallahu ‘alam bisshawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Penggal persekolahan bagi sesi 2010 telah bermula pada 4 Januari 2010 yang lalu. Manakala bagi negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu, mereka memulakan sesi persekolahan sehari lebih awal. Cuti akhir tahun yang lalu pastinya menyimpan pelbagai kenangan pahit manis bagi anak-anak yang telah ‛penat’ belajar sepanjang setahun. Mereka mengambil peluang untuk merehatkan diri dan bersantai sepenuh masa bersama keluarga tersayang dengan aktiviti-aktiviti yang beraneka macam. Sekolah-sekolah yang selama itu sunyi sepi dari keriuhan pelajar-pelajar, kembali ceria dengan suara mereka tidak kira sama ada pelajar baru mahupun lama. Di mana-mana sekolah sekalipun sama ada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah jenis kebangsaan, sekolah swasta, sekolah aliran agama atau sekolah berasrama penuh, semuanya mengalami suasana yang sama. Insan yang paling sibuk ketika awal persekolah, sudah semestinya, guru. Mereka dengan sabar dan penuh dedikasi mengurusi karenah anak didik mereka. Bagi guru-guru yang terlibat dengan murid tahun satu, sentiasa mengalami pengalaman yang pelbagai. Ragam anak-anak comel yang bermacam jenis itu, ditambah dengan gelagat ibubapa yang seumpama murid sekolah, merupakan pahit manis yang mereka lalui. Ternyata, dari detik permulaan persekolahan itu, ibubapa mahukan anak-anak mereka belajar sehingga berjaya ke menara gading. Itulah harapan menggunung daripada ibu bapa agar zuriat yang mereka lahirkan satu hari nanti menjadi insan yang berguna di sisi agama, bangsa mahupun negara.

Ibu bapa juga tak kurang sibuknya menjelang sesi persekolahan. Bermula daripada persiapan sebelum sekolah dibuka hinggalah ke minggu pertama persekolahan. Bagi yang sibuk dengan tugas harian, mereka terpaksa membuat persiapan di saat-saat akhir. Ini adalah perkara biasa kepada kebanyakan ibubapa yang bekerja. Sementara itu, ibubapa yang mempunyai bilangan anak yang ramai, sudah semestinya menggusarkan mereka untuk menyediakan keperluan persekolahn anak-anak. Kadar harga barangan yang semakin meningkat memaksa mereka untuk berjimat cermat ketika berbelanja.Segolongannya mengambil inisiatif untuk melakukan persiapan di peringkat awal secara sedikit demi sedikit. Namun, sistem pembelajaran kini yang semakin meningkat mengikut perubahan zaman, menyebabkan masih ada lagi keperluan yang belum disediakan. Itulah luahan hati seorang ibu, Puan Yuhaida Yusof dari Ayer Hitam: "Memang dah beli dari awal, tapi di saat-saat akhir, ada pula barang yang nak kena tambah sebab macam-macam barang kena beli untuk budak-budak sekolah zaman sekarang ini,"

Persediaan Pelajar IPT/IPTA
Bagi golongan ibubapa, sudah semestinya mereka mahukan anak mereka berjaya dalam pelajaran dan meneruskan pengajian sehingga ke menara gading. Pelbagai usaha dan pengorbanan dilakukan bagi menjamin anak-anak mereka berjaya untuk memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT) sama ada tempatan mahupun di luar negara. Malah, belajar di luar negara adalah sesuatu yang amat diimpikan oleh ibubapa hatta pelajar itu sendiri kerana dengan bangga dapat menjadi ‛wira’ dan sekaligus mengharumkan nama negara tercinta

Sebagaimana yang telah kita sedia maklum, untuk melayakkan diri menjejakkan kaki ke IPT memerlukan pelajar memperolehi keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan di peringkat sekolah menengah. Oleh yang demikian, pelajar perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mengejar keputusan ‛A’ dalam setiap matapelajaran. Pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, Nur Amalina Che Bakri merupakan ikon pelajar cemerlang suatu ketika dahulu. Kejayaan beliau mendapat liputan yang meluas dan diberi perhatian yang serius sehingga isu beliau pernah dibicara di parlimen suatu ketika dahulu. Usaha gigih dan sokongan daripada ibubapa terbalas dengan segala imbuhan yang diterima daripada pelbagai pihak yang terlibat. Segala rahsia kejayaannya telah dikongsi bersama untuk tauladan kepada pelajar-pelajar yang lain. Nur Amalina kini menuntut di Universiti Edinburgh, United Kingdom (UK), melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah berganda dalam jurusan Farmakologi dengan Pengalaman Industri (Pharmacology with Industrial Experience). Terbaru, khabar angin tersebar tentang kegagalan beliau dalam pengajiannya. Nur Amalina walaubagaimanapun tidak cepat melatah dan mengambil segala tohmahan tersebut sebagai cabaran dan dorongan untuk beliau berusaha lebih gigih.[UM:21/12/9]

Bagi yang menuntut di universiti-universiti, panggilan mahasiswa, mahasiswi dan graduan bagi yang telah menamatkan pengajian begitu sinonim dengan mereka. Panggilan ini membuktikan bahawa mereka adalah seorang cendiakawan dan harus dibuktikan bahawa mereka bakal dilahirkan sebagai barisan pelapis di masa hadapan. Harapan yang menggunung tinggi oleh pihak keluarga dan negara tidak harus disia-siakan. Mereka akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana kecemerlangan mereka dalam pemikiran. Inilah cabaran yang harus dipikul oleh para mahasiswa dan kesungguhan mereka untuk membuktikan kepada dunia perlu diberi perhatian. Namun usaha tersebut tidak hanya terbeban di atas bahu graduan itu sendiri, ianya turut dirasai oleh tenaga pengajar (pensyarah) yang pastinya akan mendidik dan mengasah bakat mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berinspirasi, mempunyai perasaan cintakan negara yang tinggi dan berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang untuk menghadapi era masa depan. Begitulah sistem pendidikan sekular yang telah diterapkan oleh pihak pemimpin dari dulu, kini dan mungkin menjadi selamanya jika tidak ada pihak yang mengubahnya.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika merasmikan program Kepimpinan Global Rakan Muda Malaysia, Kebudayaan, Idea dan Nilai (CIV) anjuran Yayasan Strategi Masa Depan (F3 Strategi) sedikit masa dahulu dipetik sebagai berkata: ''Antara cabaran masa depan ialah negara memerlukan pemimpin yang berpengetahuan, sikap cintakan budaya dan tanah air, senang menyesuaikan diri, mempunyai pandangan yang fleksibel dan bermoral tinggi”.''Sehubungan itu, kementerian kini berusaha keras untuk melaksanakan program-program bersifat kepimpinan untuk para pelajar,'' [UM: 15/9/2009]

Pelbagai usaha dan strategi yang dijalankan oleh pihak Kerajaan untuk menjadikan pelajar di pusat pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara sebagai golongan pelapis yang bakal memimpin negara. Pelajar hendaklah memberikan penumpuan yang sepenuhnya terhadap penguasaan pelbagai bidang terutama bidang ekonomi, politik dan sosial. Ini merupakan pendedahan awal kepada kriteria kepimpinan yang perlu di beri perhatian serius.

Matlamat Pendidikan Hari Ini
Sudah menjadi tanggungjawab negara untuk menyediakan dan memberikan pendidikan kepada rakyatnya. Adakah pendidikan yang diterima oleh para pelajar hari ini benar-benar melahirkan insan yang menjadikan Islam sebagai landasan pemikiran mereka?

Kesukaran segelintir pelajar untuk mendapatkan tawaran melanjutkan pelajaran di samping pembatasan orang-orang tertentu untuk menerima pendidikan amatlah dikesali. Begitu juga dengan kurikulum yang sentiasa berubah-ubah, berlaku pemisahan antara ilmu agama dengan ilmu-ilmu umum juga kesan daripada sistem pendidikan yang diterapkan sekarang. Yuran yang terlalu tinggi dengan yuran pengajian, yuran perpustakaan, yuran kesihatan, yuran sukan, bayaran nota, yuran peperiksaan dan pelbagai lagi. Masyarakat yang berpendapatan rendah (akibat dihisap habis-habisan oleh sistem kapitalis) terpaksa menyerah diri dan menerima bahawa mereka tidak mampu memberikan pendidikan sempurna kepada anak mereka kerana tingginya perbelanjaan pendidikan pada hari ini. Memang sudah menjadi kelaziman sebuah negara kapitalis akan wujud dua golongan iaitu antara yang berkemampuan mendapatkan pendidikan dan ada yang akan tewas serta tidak mampu mendapatkan pendidikan akibat dari tingginya kos hidup, golongan miskin gagal untuk bersaing di pasaran. Justeru akan terwujudnya golongan yang mundur pendidikannya akibat dari kurikulum pendidikan moden yang dilaksanakan di sekolah-sekolah, institut-institut pengajian tinggi, dan lembaga-lembaga pendidikan yang ada di seluruh negeri-negeri umat Islam.
Syariat Islam dalam Dunia Pendidikan

Dalam pendidikan, Islam diletakkan sebagai asasnya. Aqidah Islam inilah yang menjadi penentu arah dan tujuan pendidikan, kurikulum yang diajarkan, dan kaedah (methode) pengajaran; termasuk penentuan guru dan budaya sekolah dalam semua bidang pendidikan. Aqidah Islam adalah asas dalam konteks mengambil dan meyakininya. Dengan kata lain, aqidah Islam harus dijadikan sebagai miqyas (standard) untuk menilai sama ada pengetahuan yang diambil itu bertentangan dengannya atau tidak.

Natijahnya, pendidikan dalam Islam dapat membezakan di antara tsaqâfah dan ilmu-ilmu pengkajian. Dalam hal tsaqâfah (pemikiran), umat Islam hanya diperbolehkan mengambil dan meyakini pemikiran yang berasal daripada Islam; tidak boleh mengambil tsaqâfah lainnya. Ini kerana tsaqâfah terkait erat dengan aqidah dan sistem kehidupan. Sebaliknya, dalam hal ilmu-ilmu pengkajian dan teknologi seperti fizik, kimia, perubatan, astronomi, matematik, dan sebagainya, kita boleh belajar dan mengambilnya daripada pelbagai sumber kerana semua jenis pengetahuan tersebut bersifat universal yang tidak terkait dengan ideologi tertentu.

Islam mewajibkan para penguasa untuk membiayai pendidikan rakyatnya. Ini tidak lain kerana dalam pandangan syariat, penguasa berkewajipan memelihara, mengatur, dan melindungi urusan rakyat, termasuk dalam bidang pendidikan. Semua warganegara tanpa mengira bangsa dan agama berhak menikmati pendidikan secara percuma. Mereka juga diberi peluang seluas-luasnya untuk belajar dan melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dengan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan terkini.

Kurikulum pendidikan yang dilaksanakan di negeri-negeri Islam sekarang ini sebenarnya bersandarkan konsep-konsep pemikiran Kapitalisme, yang memisahkan agama daripada kehidupan. Lebih parah lagi, ia telah menjauhkan umat Islam daripada tsaqafahnya dan membuang ruh/daya cipta daripada jiwa umat Islam, sehingga keadaannya sama seperti di zaman Jahiliyah. Keadaan seperti ini memerlukan suatu pemikiran dan penyelesaian secara menyeluruh (taghyir) yang akan terlaksana dari Khilafah Islamiyah pada ketika ia muncul kembali di dunia. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam sejak awalnya telah berusaha membuang taraf yang hina (kejahilan) ini daripada umat Islam yang mulia ini, dengan cara memastikan setiap Muslim menuntut ilmu dan belajar. Rasulullah telah menerapkan suatu sistem yang terbaik dalam menangani hal ini. Baginda mendorong umat Islam supaya menuntut ilmu dan membanteras buta huruf pada permulaan berdirinya Daulah Islam di Madinah, iaitu setiap tawanan Perang Badar dimestikan mengajar sepuluh orang kaum Muslimin sebagai tebusannya.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam bersabda: "Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim" [HR Ibnu Majah]

Dalam sebuah hadis lain dikatakan: ‟Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi daripada golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” [HR al-Bazzar]

Peri pentingnya ilmu dalam Islam disandarkan kepada sebuah hadis antaranya, Rasulullah bersabda sebagaimana diceritakan dalam Shahih Bukhari & Muslim bahawa Anas r.a. berkata, Nabi Bersabda bahawa ‟Sungguh di antara tanda-tanda datangnya kiamat itu adalah hilangnya ilmu (agama), dipertahankannya kebodohan (dalam beragama), dan tersebar luasnya minuman keras, serta pelacuran.”

Hadis ini menunjukkan bahawa dengan hilangnya ilmu pengetahuan, umur dunia semakin mendekati akhirnya. Ini merupakan isyarat bahawa ilmu itu suatu yang penting, kerana ilmu adalah keperluan asas manusia. Ilmu yang dimaksudkan dalam hadits ini adalah ilmu Islam. Ilmu Islam mempunyai kedudukan yang penting untuk memahami agama. Begitu juga ilmu pengetahuan yang lain kerana ada persamaan iaitu diperlukan dalam kehidupan. Atas dasar ini, negara wajib menyempurnakan bahagian pendidikannya melalui sistem pendidikan yang percuma untuk semua rakyatnya. Pendidikan termasuk hak-hak asas (basic rights) rakyat dalam negara Islam. Oleh yang demikian negaralah yang perlu memastikan hak asas ini diperolehi oleh setiap warganya.

Dalil yang menunjukkan bahawa pendidikan adalah percuma menjadi tanggungjawab Khilafah Islamiyyah adalah berdasarkan Ijma' Sahabat yang memberikan gaji kepada para pengajar dari Baitul Mal dengan jumlah yang tertentu. Diriwayatkan daripada Ibnu Abi Syaibah, dari Sadaqoh ad-Dimasyqi, dari al-Wadl-iah bin Atha; bahawasanya ada tiga orang guru di Madinah yang mengajar anak-anak, dan Khalifah Umar bin al-Khathab memberi gaji lima belas dinar (~63.75g emas) setiap bulan.

Apabila Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam menentukan hukum tebusan tawanan Perang Badar adalah berbentuk kemestian mengajarkan sepuluh orang Muslim, ini membuktikan bahawa masalah pendidikan adalah tanggungjawab negara, kerana ia menyangkut perkara yang menjadi hajat hidup rakyat yang utama (vital), berbentuk menangani masalah kebodohan dan pembenterasan buta huruf. Adapun dalil syara' yang menjadi dasar bahawa negara mempunyai kewajiban memelihara, mengatur dan melindungi urusan rakyat, adalah berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam : ‟Seorang imam(pemimpin) adalah bagaikan pengembala, dan ia akan dipertanggungjawabkan atas gembalaannya." [H.R. Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Dawud, dari Ibnu Umar]

Pendidikan adalah keperluan asas bagi umat. Pendidikan bukan hanya sebagai keperluan sampingan, kerana tanpa pendidikan martabat manusia tidak akan mulia. Dengan demikian negara wajib memenuhi keperluan asas rakyatnya melalui pendidikan ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh setiap individu dalam setiap bidang kehidupan. Negara wajib membuka dan membangunkan sekolah rendah, sekolah menengah ataupun pengajian tinggi dalam jumlah yang mencukupi sesuai dengan jumlah rakyat yang akan belajar, tidak kira kanak-kanak ataupun orang dewasa yang buta huruf. Kesemuanya bertujuan untuk meningkatkan martabat umat serta mewujudkan kemajuan madani dan moral.

Dalam pengajian peringkat tinggi, hendaklah dibezakan antara pengetahuan asas (daruriyyat) dan pengetahuan pelengkap (kamaliyyat). Pengetahuan dasar mesti diadakan dan diajarkan di peringkat tinggi sama seperti di peringkat rendah dan menengah. Pengetahuan ini amat bermanfaat dan dapat menghindarkan manusia daripada kesulitan dan kepayahan. Pengetahuan dasar itu termasuklah ilmu perubatan, kejuruteraan(mekanikal, elektrik, awam), astronomi, sosial politik, teknologi dan sejenisnya yang mutlak diperlukan dalam kehidupan. Oleh kerana itu Islam mewajibkan (fardhu kifayah) pembelajaran ilmu-ilmu seperti ini, yang mempunyai tujuan yang suci murni. Manakala pengetahuan yang bersifat pelengkap, boleh diadakan apabila negara mempunyai peralatan dan kemampuan untuk melakukannya.

Jelaslah bahawa Khilafah Islamiyyah membuka pintu pendidikan seluas-luasnya bagi seluruh rakyat tanpa perlu dibayar sesen pun, menurut kemampuan dan kelengkapan yang dimiliki negara ketika itu.Mengajarkan ilmu pengetahuan yang menjadi keperluan dalam kehidupan manusia termasuk masalah mashalih asasiyah (keperluan asas). Wajib hukumnya bagi negara membina, membangun dan melengkapkan segala sarana dan prasarana untuk melicinkan pengajaran ilmu-ilmu tersebut di setiap peringkat pendidikan.

Allah Subhanahu wa Taala telah menentukan sistem pemerintahan dalam Islam. Syariat menuntut adanya wadah yang berupa Daulah. Daulah ini adalah Khilafah yang merupakan sistem pemerintahan yang memiliki satu pemimpin sahaja di seluruh dunia, iaitu seorang Khalifah. Ia memimpin umat Islam di seluruh muka bumi ini tanpa batasan sempadan, bangsa, bahasa, dan suku kaum. Pemerintahannya ditaati oleh kaum muslimin seluruh dunia. Tugasnya adalah menjalankan syariat Islam, memelihara kesejahteraan rakyatnya termasuk di dalamnya melayan keperluan rakyatnya terhadap pendidikan sehingga peringkat tertinggi. Tanpa membezakan tua ataupun muda, rakyat diberi peluang mendapatkan pendidikan setingi-tingginya tanpa bayaran sedikit pun kerana pembiayaan yuran dan kemudahan ditanggung oleh negara. Pengajar diberi gaji yang cukup besar. Kemudahan makmal dan bengkel pengkajian sains dan teknologi dilengkapkan. Perpustakaan di setiap tempat didirikan. Asrama bagi pelajar disediakan sehingga semua keperluannya dipenuhi dengan selesa. Kemudahan apa sahaja yang diperlukan oleh pelajar akan disediakan oleh negara Khilafah.

Itulah sebahagian daripada rahsia kejayaan Daulah Khilafah Islamiyyah selama berabad-abad. Pendidikan yang sangat ditekankan oleh pemerintahan Khilafah terhadap rakyatnya bukan hanya sekadar melaung-laungkan slogan tetapi dimudahkan dengan sistem pendidikan dan cukup kelengkapannya. Dalam keadaan seperti ini, rakyat akan beramai-ramai pergi belajar mencari ilmu setinggi-tingginya tanpa adanya keluhan tidak boleh mendapatkan pendidikan yang sempurna kerana tidak mampu membayar perbelanjaan yang tinggi. Wallahua’lam.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment