Pengharaman Niqab:Kronologi, Propaganda dan Khilafiyah Hukum

Peristiwa-Peristiwa Pengharaman Niqab Di Negara-Negara Barat

Isu pengharaman niqab di beberapa negara seluruh dunia menjadi isu yang mendapat perhatian ramai sepanjang suku terakhir tahun 2009. Pada hakikatnya isu berkaitan niqab bukanlah isu baru, malah telah diperdebatkan seawal tahun 2001. Kes terawal yang menjadi perhatian masyarakat Muslim pernah berlaku di Mesir, salah sebuah negara majoriti umat Islam, apabila seorang pengkaji Muslimah telah dilarang memasuki perpustakaan American University di Kaherah kerana enggan menanggalkan niqabnya. Beliau telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan mahkamah memutuskan larangan itu tidak sah. Kesudahannya, wanita tersebut menang di dalam kes berkenaan. Di negara Sekular, isu pemakaian hijab dan niqab turut menarik perhatian. Belanda merupakan negara terawal yang mengharamkan pemakaian niqab di sekolah-sekolah, malah di dalam pengangkutan awam. Menjelang tahun 2006, negara tersebut mula merangka undang-undang untuk mengharamkan penggunaan niqab secara total di negara tersebut. [http://www.guardian.co.uk/world/2006/nov/11/religion.uk]

Di UK, pelajar sekolah dibenarkan untuk memakai tudung (khimar), tetapi tetap dilarang memakai niqab. Pada tahun 2007, seorang pelajar di Buckinghamshire telah kalah kes mahkamah ketika menyaman pihak pengurusan sekolah yang melarang beliau memakai niqab, sedangkan kakaknya sebelum ini dibenarkan berbuat demikian [http://news.bbc.co.uk/2/hi/uk_news/education/6341815.stm].

Walaupun peguam pelajar berkenaan berhujjah yang larangan pihak sekolah tersebut bercanggah dengan Artikel 9 Konvensyen Hak Asasi Eropah, akan tetapi keputusan hakim tidak menyebelahi beliau. [http://www.guardian.co.uk/uk/2007/feb/22/religion.schools]. Ada juga cendikiawan Islam di UK, seperti Dr Zaki Badawi yang mengeluarkan fatwa meminta wanita Muslim tidak memakai hijab dan niqab sekiranya menimbulkan permusuhan di kalangan penduduk tempatan [http://news.bbc.co.uk/2/hi/uk_news/4742869.stm]. Pendapat beliau ini menimbulkan perdebatan. Walaubagaimanapun, pandangan tersebut tidak diterima oleh Muslim tempatan. Sekurang-kurangnya di UK, pelajar Islam masih dibenarkan memakai tudung. Berbeza dengan pelajar Islam Perancis dan Turki (sekadar memberikan dua contoh negara Eropah) yang mengeluarkan larangan secara mutlak kepada para pelajar memakai tudung di sekolah dan universiti. Turki, walaupun negara yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, akan tetapi wanita berhijab, termasuklah pelancong, dilarang daripada memasuki kawasan universiti!

Sekitar bulan Jun 2009, isu ini sekali lagi menaikkan api kemarahan umat Islam ketika ada usaha untuk mengharamkannya secara total di Perancis. Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengisytiharkan niqab yang dipakai oleh wanita Islam sebagai pakaian yang tidak diingini di negara tersebut. Bukan itu saja, malah sebarang simbol keagamaan yang ‘menonjol’ telah diharamkan di sekolah-sekolah negeri dalam tahun 2004. Tetapi setelah membuat kajian mengenai isu tersebut, agensi berita telah melaporkan pada bulan lepas, Parlimen Perancis telah memutuskan untuk tidak mengharamkan niqab secara formal, walaupun begitu, ia mungkin akan mencadangkan pengharamannya di beberapa tempat awam. Baru-baru ini pula, terdapat cadangan dari pemimpin majoriti Parlimen Perancis untuk menggubal undang-undang bagi mengenakan denda 750 Euro (RM3,500) kepada wanita-wanita yang mengenakan niqab atas alasan keselamatan. Cope yang ketika ini berkempen untuk menggantikan Nicolas Sarkozy sebagai calon berhaluan kanan untuk jawatan Presiden pada 2007 berkata niqab atau burqa mesti diharamkan sebagai mempertahankan hak wanita. “Kita boleh mengukur kemodenan masyarakat menerusi caranya melayan dan menghormati wanita,” katanya. Pada masa ini, kalangan politik Perancis berbelah bagi sama ada mengharamkan burqa dengan parti Sosialis menentangnya tetapi pada masa sama tidak menggalakkan wanita Muslim menutup anggota badan sepenuhnya. [Berita Harian Online, 9hb Januari 2010]. Laporan akhbar Utusan Malaysia pada 18 Januari 2010 mengatakan bahawa Parti berhaluan kanan Britain, Parti Bebas United Kingdom (UKIP) mengesa supaya pemakaian purdah di kalangan wanita Islam di tempat awam di negara tersebut diharamkan.

Di negara-negara Barat, niqab telah menjadi satu masalah kerana berbagai alasan. Paling menonjol adalah kerana aspek keselamatan di mana polis, agen tiket penerbangan, para hakim dan guru-guru di bilik-bilik darjah perlu untuk mengenalpasti siapakah yang berada di hadapan mereka. Malah, ia juga merupakan satu cabaran kepada Barat yang mempunyai andaian bahawa penutup muka melambangkan penipuan atau menyembunyikan sesuatu. Didalam masyarakat yang menekankan komunikasi secara dekat serta memandang mata, penutup muka (purdah) boleh menjadi satu halangan yang besar untuk integrasi dan juga menyebabkan kegelisahan. Mantan Menteri Luar British, Jack Straw pernah melabelkan niqab sebagai satu “penyataan yang dapat dilihat sebagai pemisahan dan perbezaan” dan juga akan “membuatkan hubungan yang baik dan positif diantara dua komuniti lebih sukar.”

Barat Ibarat Ketam Mengajar Anaknya Berjalan Lurus

Kenyataannya, isu ini seolah-olah membuka ‘mata dunia’ bahawa hak asasi manusia, yang salah satunya ialah kebebasan bertingkahlaku (termasuk dalam aspek pemakaian) hanyalah sekadar retorik dan muslihat pemimpin-pemimpin sekular barat. ‘Kebebasan’ tersebut ternyata tidak ‘sah’ digunakan untuk hal-hal yang bernuansa Islami.

Pada masa yang sama, negara-negara Barat seakan-akan tidak sedar diri dengan menempelak hukum Islam yang kononnya merendahkan dan mengekang kebebasan wanita atas alasan sehelai kain tudung yang digunakan untuk menutup aurat atau kerana secebis kain penutup wajah (niqab). Tidakkah mereka sedar, bahawa keruntuhan akhlak dan masalah-masalah sosial yang berlaku di negara Barat adalah jauh lebih menjelikkan, sekaligus membuktikan wanita-wanita mereka lebih rendah dan hina dibandingkan dengan wanita-wanita Muslimah! Menurut data statistik, tingkat perkahwinan sah (legal marriage) di Barat semakin menurun. Ertinya, masyarakat lebih cenderung melakukan hubungan di luar perkahwinan. American Newsweek edisi bulan Januari tahun 2003 menulis: lebih dari separuh anak yang dilahirkan di Sweden, dimiliki oleh pasangan yang tidak pernah bernikah. Di Perancis dan UK, angka ini menjangkau 30%. Sedangkan di Amerika, tingkat kehamilan di luar perkawinan lebih dari dua kali ganda berbanding negara-negara Barat lainnya. Berdasarkan data dari News And World Report, lebih dari sejuta anak gadis Amerika yang mengandung, 75% adalah tanpa nikah. Dari jumlah tersebut, 80% adalah ibu-ibu muda yang miskin dan memerlukan bantuan dari pemerintah. Pusat penelitian ini juga menemukan data bahawa ketika ini, setiap dua anak Amerika, satu di antaranya adalah anak hasil hubungan zina. Itu belum termasuk dengan jumlah anak yang digugurkan.

Meningkatnya kefasadan moral di Barat diiringi pula dengan berkembangnya kekerasan yang telah meningkatkan angka kes-kes rogol. Di Amerika sahaja, setiap tahunnya lebih dari 700 ribu wanita telah dirogol. Lembaga penelitian RAINN dalam laporannya menulis: Dari setiap enam wanita di barat, seorang darinya adalah mangsa rogol. Lembaga ini juga menyingkapkan realiti yang lebih pahit, iaitu bahwa 40% dari pemerkosaan tersebut dilakukan di dalam rumah dan sebagian besarnya oleh orang yang mereka kenali dan keluarga terdekat, 20% di rumah jiran, rakan atau saudara, dan 25% lagi di lokasi umum. Data bahawa kebanyakan dari kes-kes rogol terjadi di dalam rumah dan dilakukan oleh keluarga terdekat, menunjukkan betapa kroniknya keruntuhan akhlak di Barat.

Dewasa ini, barat yang sering mendabik dada dengan prinsip-prinsip kebebasan dan hak asasi manusianya, justeru merupakan negara yang paling parah menderita bahana masalah kebebasan tanpa batas dan sedang berjalan di atas lorong keruntuhan akhlak. Berlandaskan kepada polling majalah American Newsweek, 76% dari rakyat negara ini percaya bahawa negara mereka sedang mengalami keruntuhan moral. Proses kefasadan dalam masyarakat Amerika ini juga menjadi pelopor dalam penyimpangan di peradaban Barat pada umumnya.

Pengharaman Niqab Di Universiti Al-Azhar & Pandangan Pelbagai Pihak

Isu ini semakin mendapat perhatian apabila tindakan pengharaman niqab turut diumumkan di salah sebuah universiti berimej Islam tersohor iaitu Universiti Al-Azhar. Malah, ia diumumkan sendiri oleh Majlis Tertinggi Al-Azhar yang dipengerusikan oleh Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi. Pada 5 Oktober 2009, Sheikh Al-Azhar telah mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah-sekolah rendah dan menengah serta kolej-kolej milik Universiti Al-Azhar, supaya pelajar wanita tidak dibenarkan memakai purdah semasa dalam kelas atau dewan kuliah. Antara alasan beliau, semua kelas dan dewan kuliah pelajar wanita adalah berasingan dari kelas dan dewan kulliah pelajar lelaki. Justeru, tiada keperluan bagi pelajar wanita memakai purdah. Ini berbeza semasa berada di luar kelas atau di luar dewan kuliah. Selain itu,beliau juga menyebutkan bahawa "pemakaian purdah" adalah adat dan bukannya ibadat, malah ia merupakan isu khilafiyah dalam bidang "fiqh".
[http://www.alarabiya.net/articles/2009/10/05/87044.html]

Kenyataan ini dikeluarkan hasil dari mesyuarat tergempar oleh Majlis Tertinggi Al-Azhar selepas Syeikh Tantawi melawat salah satu maahad khas untuk Muslimah (Maahad Fatayat Ahmad Allibi). Di dalam lawatan tersebut, Syeikh Tantawi mendapati salah seorang pelajarnya (Alaq, berusia 13 tahun) mengenakan niqab walaupun dikelilingi oleh pelajar-pelajar Muslimah, guru Muslimah dan di dalam kelas tertutup. Beliau menegur Alaq dan mengarahkan beliau untuk menanggalkan niqab tersebut. Al-Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi selepas itu telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan pelajar perempuan memakai purdah di dalam kelas-kelas mereka. Hasil dari mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Al-Azhar akhirnya memutuskan:

1) Para pelajar perempuan dibenarkan untuk memasuki premis al-Azhar al-Syarif secara berniqab. Wanita yang berniqab tidak boleh dihalang daripada memasuki perkarangan al-Azhar al-Syarif.

2) Pelajar perempuan dibenarkan memakai niqab apabila ada orang lelaki bersama mereka di dalam premis al-Azhar.

3) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan memakai niqab di dalam bilik-bilik kelas kerana semua pelajar adalah perempuan. Larangan ini berkuatkuasa apabila guru yang mengajar juga adalah perempuan.

4) Para pelajar perempuan tidak dibenarkan untuk memakai niqab sewaktu peperiksaan berlangsung. Maka para pengawal semasa peperiksaan berlangsung hendaklah dari kalangan wanita.

5) Majlis Tertinggi al-Azhar bukanlah menghalang wanita daripada memakai niqab dalam kehidupan seharian mereka sebaliknya Majlis tidak bersetuju niqab dipakai pada tempat-tempat yang tidak sepatutnya yang akan memberikan kesan yang negatif pada pemikiran kanak-kanak lebih-lebih lagi pandangan yang mengatakan bahawa wajah wanita wajib untuk ditutup adalah pandangan minoriti fuqaha Islam.

Beliau menegaskan bahawa tujuan ketetapan Majlis Tertinggi Al-Azhar tersebut dibuat adalah kerana untuk menjaga kehormatan para pelajar perempuan. Ini kerana berlaku pencerobohan beberapa orang lelaki ke dalam premis al-Azhar yang khusus untuk pelajar perempuan. Selain itu ketetapan ini juga dibuat demi untuk mengelakkan berlakunya penipuan di dalam peperiksaan. Beliau menegaskan bahawa tahun lepas menyaksikan 12 kes penipuan semasa peperiksaan apabila para pelajar wanita yang berniqab yang terbabit telah meletakkan alat rakaman di sebalik niqab yang dipakai. [ al-Liwa’al-Islami bertarikh 15 Oktober 2009, bil. 1447, m/s 1; Majalah al-Musowwar bertarikh 14 Oktober 2009, bil 4436, m/s 15 – 16; http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?c=ArticleA_C&cid=1254573447321&pagename=Zone-Arabic-News/NWALayout].

Arahan terkini Tantawi tersebut telah mendapat pelbagai respon dalam masyarakat Islam. Hamdi Hassan, ahli Parlimen Mesir yang mewakili kumpulan Ikhwanul Muslimin telah menyatakan bantahan keras kumpulan fundamentalis tersebut terhadap arahan Tantawi. Ujar beliau, Tantawi perlu meninggalkan jawatan beliau kerana sudah beberapa kali menyinggung perasaan institusi agama terunggul tersebut, dengan merujuk kepada beberapa fatwa kontroversi sebelum ini seperti mengharuskan transaksi riba di dalam perbankan atas nama faedah (riba) yang dibenarkan. Hamdi Hassan walaupun berpegang kepada pendapat niqab itu bukanlah wajib, membantah arahan Tantawi tersebut kerana al-Azhar bagi beliau ialah institusi agama yang perlu meraikan pandangan semua mazhab muktabar. Pendapat beliau turut disokong oleh tokoh ulamak terkemuka Mesir yang merupakan bekas Ketua Majlis Fatwa dan Kajian Universiti al-Azhar, Syeikh Ali Abu al-Hasan. Menurut beliau, pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk melarang mana-mana Muslimah daripada memakai niqab, melainkan untuk sebab-sebab sekuriti. Ujar beliau lagi, pemakaian niqab tidak bercanggah dengan syariat Islam serta undang-undang Mesir, justeru pengharamannya tidak dapat diterima sama sekali.

Di Malaysia, isu ini turut mendapat respon yang pelbagai dari segenap lapisan masyarakat. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut membuat kenyataan menyokong pandangan Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi tersebut. Ketika diminta mengulas cadangan ulama tertinggi universiti itu, beliau berkata, “Atas dasar keselamatan negara, Tantawi mengambil keputusan tersebut sebagai langkah awal pencegahan jenayah dan keganasan, menangani taktik penjahat menggunakan purdah melindungi aktiviti haram mereka” Beliau bersetuju bahawa iklim sejagat hari ini tegang dengan ancaman pengganas dan jenayah, dan menambah larangan yang sama akan dikuatkuasakan di Kelantan sekiranya negeri Serambi Mekah itu menjadi mangsa pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Kenyataan Mursyidul Am PAS ini disokong sepenuhnya oleh Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin di dalam kenyataan berasingan [http://www.tvantara.com/v1/newsdetails?news=2296%29]

Analisis

Meneliti isu pengharaman niqab di Universiti Al-Azhar ini, terdapat beberapa isu yang perlu dikaji sedalam-dalamnya. Dari segi politik, pengharaman itu boleh dimanipulasikan oleh negara sekular, pertubuhan-pertubuhan yang memusuhi Islam serta pertubuhan musuh dalam selimut Islam. Ianya bakal dijadikan prima-facie di dalam negara Eropah untuk mengharamkan secara total pemakaian niqab oleh wanita Muslim. Tidak mustahil juga, suatu hari nanti mereka akan menggunakan hujjah pandangan syaz oleh segelintir ‘cendekiawan’ Islam yang menyatakan tidak wajib memakai tudung, lalu pemakaian hijab, skarf dan tudung pun bakal diharamkan. Malah tidaklah mustahil juga, suatu hari nanti lelaki Muslim pun turut dilarang daripada memakai kopiah, songkok atau serban kerana ianya juga boleh dikatakan tiada kaitan dengan nas agama. Ketika itu, kita akan perhatikan yang Syeikhul Azhar terpaksa membuka serban al-Azharnya sekiranya ingin melawat negara Eropah!

Mengulas tentang bahaya ini, Dr. Nazreen Nawaz, wakil Media Muslimat Hizbut-Tahrir Britain memberi kenyataan tegas mengkritik tindakan Syeikh Muhammad Tantawi: “Sheikh Tantawi bukanlah orang yang asing dalam memukul gendang mengikut irama kerajaan Sekular Barat. Antara perkara yang telah dilakukan termasuklah menyokong pengharaman tudung di Perancis, menasihati perempuan-perempuan Muslim untuk membuka tudung mereka dalam memenuhi kehendak undang-undang) [http://www.islamonline.net/English/News/2003-12/30/article09.shtml], serta bersalaman dengan Presiden Israel Shimon Peres – seorang penyembelih yang mana tangannya berlumuran dengan darah ribuan rakyat Palestin. Berlatarbelakangkan kerajaan Eropah yang sedang berusaha untuk mencantas kebangkitan Islam dalam masyarakat mereka dan memaksa untuk menerapkan nilai-nilai Barat melalui undang-undang seperti pengharaman tudung dan purdah, kata-katanya telah dijadikan sebagai hujah dalam agenda mereka. Tambahan pula, kenyataannya yang mutakhir ini telah menyediakan bantuan kepada propaganda peperangan kerajaan Barat terhadap Islam dan pakaian wanita Muslim. Oleh itu, daripada dia menyuruh para remaja Muslim untuk menanggalkan tudung mereka, adalah lebih baik dia menyorokkan wajahnya yang memalukan. Dia menunjukkan kemarahan terhadap wanita yang berpurdah tetapi langsung tidak menghiraukan tindakan kerajaan membenarkan para pengunjung wanita untuk berarak separuh bogel di dalam pusat percutian di Mesir. Dia mempergunakan Islam untuk berhujah bahawa wanita Muslim mestilah membuka wajah mereka tetapi mendiamkan diri terhadap pemerintahan rejim Sekular Mubarak yang zalim yang cuba sedaya upaya dalam menyingkirkan Islam dari masyarakat, termasuk memenjara dan menyeksa sesiapa yang menyeru kepada pemerintahan Islam”.

Selain itu, berdasarkan laporan media, Syeikhul Azhar hanya menyatakan salah satu sebab pengharaman tersebut kerana niqab merupakan pakaian tradisi Arab (adat) serta tiada kaitan dengan agama. Hal ini perlu diteliti sedalam-dalamnya kerana ia berkaitan dengan perbahasan hukum menutup wajah yang telah diijtihadkan oleh segolongan fuqaha' dan para mujtahid silam. Pemakaian purdah adalah termasuk di dalam perkara cabang (furu’) di dalam fiqh.

Pandangan yang menyebutkan bahawa wanita Muslimah wajib mengenakan hijab / purdah / niqab untuk menutup seluruh wajahnya kecuali kedua matanya adalah pandangan yang Islami kerana hukum tersebut diistinbath dari sumber-sumber hukum Islam yang benar, iaitu Al-Quran dan hadis Nabawi. Demikian juga dengan pandangan bahawa menutup wajah bagi wanita adalah mubah semata-mata, bukannya wajib, masih lagi merupakan pandangan yang Islami. Kedua-dua pandangan tersebut dikeluarkan oleh para ulama dan mujtahid yang mengistinbath hukum-hukum berdasarkan kaedah ijtihad masing-masing. Khilaf ini bertitik tolak daripada tafsiran yang pelbagai terhadap ayat ke-31 daripada surah al-Nur dan beberapa nas yang akan diterangkan di dalam tajuk seterusnya.

Walaubagaimanapun, kaum Muslimin sepatutnya mengkaji perbahasan ini dari aspek dalil-dalil yang dibawakan oleh para ulama terdahulu dan menerimapakai pandangan yang diyakini paling rajih dan tepat. Kesalahfahaman tentang perkara khilafiyah seperti ini hendaklah dijernihkan agar umat Islam melakukan sesuatu perbuatan hanya berlandaskan hukum syara' yang jelas.

Fikih Muslimah: Adakah Wajah Wanita Termasuk Aurat?


Artikel ini ditulis dalam rangka untuk menjernihkan semula pemahaman umat Islam berkenaan hukum menutup wajah bagi wanita dan penggunaan niqab(purdah).

Batasan aurat wanita di dalam Islam telah diterangkan dengan terperinci di dalam Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Di antara dalil-dalil yang menyebutkan hal ini adalah:

Al-Quran (TMQ An-Nur: 31)
Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau hamba-hamba yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

Apa yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah"wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa", maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316]. Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani,2001:66]. Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan. Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani,1990:45].

Selain itu, dari firman Allah di dalam ayat yang sama, “Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada (dan leher) mereka.” [TMQ An Nur: 31], Ibnu Hazm rahimahullah berkata, "Allah ta'ala memerintahkan para wanita menutupkan khimar (kerudung) pada belahan-belahan baju (dada dan lehernya), maka ini merupakan nash menutupi aurat, leher dan dada. Dalam firman Allah ini juga terdapat nash bolehnya membuka wajah, tidak mungkin selain itu." [Al Muhalla III/216-217, Lihat Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 73].

Ini kerana memang makna khimar (tudung) adalah penutup kepala, sedangkan perkataan juyub bermaksud kerah baju (bentuk jamak dari perkataan jayb iaitu sehelai kain penutup). Allah SWT hanya memerintahkan untuk menghulurkan tudung menutupi belahan baju dan dadanya dan tidak ada perintah di dalamnya untuk menutup wajah. Demikian diterangkan oleh para ulama, seperti tersebut dalam An Nihayah karya Imam Ibnul Atsir, Tafsir Al Qur'an Al 'Azhim karya Al Hafizh Ibnu Katsir, Tafsir Fathu Al Qadir karya Asy Syaukani, dan lainnya [Lihat Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 72-73)].

Hadis

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar. Diriwayatkan dari 'Aisyah radhiallahu ‘anha, dia berkata: “Bahawa Asma' bintu Abi Bakar menemui Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dengan memakai pakaian tipis. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berpaling darinya dan berkata, "Wahai Asma', sesungguhnya seorang wanita itu, jika telah datang haid, tidak wajar terlihat daripada dirinya kecuali ini dan ini", beliau menunjuk wajahnya dan kedua telapak tangannya. (HR. Abu Dawud, Thabarani, Ibnu 'Adi, dari jalan Sa'id bin Basyir dari Qatadah dari Khalid bin Duraik dari 'Aisyah. Ibnu 'Adi berkata, "Terkadang Khalid mengatakan dari Ummu Salamah, sebagai ganti dari 'Aisyah." Sanad hadits ini lemah, sebagaimana Abu Dawud berkata setelah meriwayatkannya, "Hadits ini mursal, Khalid bin Duraik tidak bertemu 'Aisyah radhiallahu ‘anha. Demikian juga perawi bernama Sa'id bin Basyir lemah.”) Hadits ini sesungguhnya lemah, tetapi Syaikh Al Albani menyatakan bahawa hadits ini dikuatkan dengan beberapa penguat [Lihat Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 58].

(1) Riwayat mursal shahih dari Qatadah dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda. "Jika seorang gadis kecil telah haidh, maka tidak patut terlihat sesuatu darinya kecuali wajahnya dan tangannya sampai pergelangan." (Tetapi kemungkinan riwayat ini sama sanadnya dengan riwayat di atas, iaitu Qatadah mendapatkan hadits ini dari Khalid bin Duraik, sehingga tidak dapat menguatkan. Wallahu a'lam).
(2) Diriwayatkan oleh Thabrani dan Al Baihaqi dari jalan Ibnu Luhai'ah, dari 'Iyadh bin Abdullah, bahawa dia mendengar Ibrahim bin 'Ubaid bin Rifa'ah Al Anshari menceritakan dari bapaknya, aku menyangka dari Asma' binti 'Umais yang berkata, "Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam masuk menemui 'Aisyah, dan di dekat 'Aisyah ada saudarinya, iaitu Asma bintu Abi Bakar. Asma memakai pakaian buatan Syam yang longgar lengan bajunya. Ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melihatnya, beliau bangkit lalu keluar. Maka 'Aisyah berkata kepada Asma, "Pergilah engkau, sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah melihat perkara yang tidak beliau sukai. Maka Asma beredar. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam masuk, lalu Aisyah bertanya kenapa beliau shallallahu ‘alaihi wa sallam bangkit (dan keluar). Maka beliau menjawab, "Tidakkah engkau melihat keadaan Asma, sesungguhnya seorang wanita Muslimah itu tidak boleh tampak darinya kecuali ini dan ini", lalu beliau memegangi kedua lengan bajunya dan menutupkan pada kedua telapak tangannya, sehingga yang nampak hanyalah jari-jarinya, kemudian meletakkan kedua telapak tangannya pada kedua pelipisnya sehingga yang nampak hanyalah wajahnya."
Al-Baihaqi menyatakan, "Sanadnya dha'if." Kelemahan hadits ini kerana perawi yang bernama Ibnu Luhai'ah sering keliru setelah menceritakan dengan hafalannya, yang sebelumnya dia seorang yang utama dan terpercaya ketika menceritakan dengan bukunya. Syaikh Al Albani menyatakan bahawa haditsnya ini dapat dijadikan penguat. (Lihat Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 59).

Selain itu, para imam madzhab juga bersepakat bahawa wajah dan tapak tangan wanita bukanlah termasuk aurat sehingga wajib untuk ditutup

Pendapat Imam Mazhab

Al-Hanafiyah mengatakan tidak dibenarkan melihat wanita ajnabi yang merdeka kecuali wajah dan tapak tangan. (lihat Kitab Al-Ikhtiyar). Al-Malikiyah di dalam kitab `Asy-Syarhu As-Shaghir` atau sering disebutkitab Aqrabul Masalik ilaa Mazhabi Maalik, susunan Ad-Dardiri berpendapat bahawa batas aurat wanita merdeka dengan lelaki ajnabi (yang bukan mahram) adalah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Keduanya itu bukan termasuk aurat. Asy-Syafi`iyyah menerusi pendapat As-Syairazi dalam kitabnya`al-Muhazzab` mengatakan bahawa wanita merdeka itu seluruh badannya adalah aurat kecuali wajah dan tapak tangan. Dalam mazhab Al-Hanbaliyah didapati Ibnu Qudamah berkata di dalam kitab Al-Mughni 1: 1-6, “Mazhab tidak berbeza pendapat bahawa seorang wanita boleh membuka wajah dan tapak tangannya di dalam solat” Imam Daud yang mewakili kalangan zahiri pun sepakat bahawa batas aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan, sebagaimana yang disebutkannya dalam Nailur Authar. Begitu juga dengan Ibnu Hazm mengecualikan wajah dan tapak tangan sebagaiman tertulis dalam kitab Al-Muhalla.

Kesimpulannya, wajah wanita bukanlah aurat yang mewajibkan wanita Muslimah untuk menutupi wajah mereka di hadapan lelaki-lelaki ajnabi, apatahlagi di kalangan Muslimah sendiri.
Walaubagaimanapun, terdapat segolongan para ulama dan kaum Muslimin berbeza pandangan tentang hal tersebut kerana mengaitkan hukum menutup wajah wanita Muslimah dengan beberapa dalil dari Al-Quran dan hadis Rasulullah.
Perbezaan Pandangan Di Dalam Hukum Menutup Wajah Bagi Wanita Muslimah

Pandangan yang menyebutkan bahawa wanita Muslimah wajib mengenakan hijab / purdah / niqab untuk menutup seluruh wajahnya kecuali kedua matanya adalah pandangan yang islami kerana hukum tersebut diistinbath dari sumber-sumber hukum Islam yang benar, iaitu Al-Quran dan hadis Nabawi. Demikian juga dengan pandangan bahawa menutup wajah bagi wanita adalah mubah semata-mata, bukannya wajib, masih lagi merupakan pandangan yang islami. Kedua-dua pandangan tersebut dikeluarkan oleh para ulama dan mujtahid yang mengistinbath hukum-hukum berdasarkan kaedah ijtihad masing-masing. Walaubagaimanapun, kaum Muslimin seharusnya mengkaji perbahasan ini dari aspek dalil-dalil yang dibawakan oleh para ulama terdahulu dan menerimapakai pandangan yang diyakini paling rajih dan tepat. Berikut dihuraikan beberapa dalil berkaitan dengan hukum menutup wajah bagi wanita Muslimah dan pandangan-pandangan berbeza yang dibawa oleh para mujtahid dan ulama Islam.

1.Al-Quran - TMQ Al-Ahzab: 53
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali bila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan bila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu ke luar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar.Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir. Cara yang demikian itu lebih suci bagi hatimu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu menyakiti (hati) Rasulullah dan tidak (pula) mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudah baginda wafat. Sesungguhnya perbuatan itu adalah amat besar (dosanya) di sisi Allah.

Menurut pihak yang mewajibkan wanita menutup aurat, frasa “Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir” menunjukkan adanya qarinah (indikasi) kewajiban menutup aurat, yang termasuk juga wajah dan tapak tangan. Ini dicontohi dari perbuatan isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang tidak memperlihatkan diri (wajah) ketika menghulurkan barang keperluan para sahabat dari kalangan Muslimin.

Menurut Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani di dalam bab ‘Wanita Muslimah tidak wajib menutup wajah’ dalam kitab Nizhamul Ijtimaei fil Islam (Sistem Pergaulan di dalam Islam), dalil ini tidak sewajarnya digunakan dalam membincangkan hukum wanita Muslimah menutup wajah. Ini kerana, dalil tersebut hanya ditujukan kepada isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Ayat TMQ Al-Ahzab: 53 di atas adalah kewajiban khusus hanya kepada isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Di dalam Al-Quran, memang terdapat beberapa ayat yang menyentuh hukum-hukum khusus berkaitan kehidupan rumahtangga Rasulullah dan para isteri baginda.

Salah satunya ialah ayat TMQ Al-Ahzab:33 yang mengandungi frasa “waqarna fi buyutikunna”(Hendaklah kamu tetap di rumah-rumahmu) “dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.” Ayat ini menerangkan bahawa isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam diperintahkan untuk menjalankan apa yang dititahkan kepada mereka (tetap di rumah mereka) agar mereka dibersihkan daripada kotoran dan disucikan, kerana mereka adalah termasuk ahlul bayt (keluarga) Rasulullah.

Inti ayat di atas secara jelas ditujukan khusus kepada isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Seruannya juga hanyalah kepada mereka, kerana kalimat awal yang tercantum di dalam ayat sebelumnya (TMQ Al-Ahzab: 32) ialah“Ya nisa’ an-nabi, lastunna ka’ahadin min an-nisa” (wahai isteri-isteri nabi, kamu sekalian tidaklah sama dengan wanita-wanita yang lain). Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah sama dengan wanita-wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan ucapkanlah perkataan yang baik. Kedua-dua ayat di atas (TMQ Al-Ahzab 32 dan 33) dengan jelas ditujukan khusus kepada isteri-isteri Rasulullah dan tidak ada qarinah (indikasi atau petunjuk) di dalamnya yang mewajibkan hal yang sama ke atas para wanita Muslimah yang lain selain dari isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam.

Begitu juga dengan ayat TMQ Al-Ahzab: 53 yang digunakan sebagai dalil untuk mewajibkan wanita Muslimah menutupi wajah mereka. Di dalam ayat tersebut, terdapat seruan serupa yang menunjukkan ayat tersebut khusus berkaitan dengan para isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Pada frasa, “wala tankihu azwajahu min ba’dihi abada” (Tidak pula kalian, berhak untuk mengahwini isteri-isterinya (Rasulullah) setelah ia wafat). Menerusi ayat ini, Allah SWT melarang para sahabat atau mana-mana kaum Muslimin untuk menikahi isteri-isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. Ini merupakan salah satu kekhususan yang jelas ke atas Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam dan isteri-isteri baginda yang mana perkara dan hukum serupa tidak terkena (not applicable) ke atas wanita Muslimah lainnya.

Kesimpulannya, di dalam perbahasan kewajiban menutup wajah ini, ia tidak termasuk di dalam kaedah “al-Ibratu bi `umumil lafzi laa bi khushushil sabab” (Jatuhnya hukum ditentukan oleh umumnya lafadz, bukan oleh khususnya sebab) seperti yang dianggap oleh segolongan kaum Muslimin. Di dalam konteks perbahasan ini, hukum tersebut turun sebagai nas khusus untuk orang-orang tertentu dan bukannya turun kerana sesuatu ‘peristiwa’ (seperti kebiasaan di dalam ayat-ayat Al-Quran yang dikaitkan dengan peristiwa asbabun nuzul). Selain itu, seruan khusus kepada para isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam bukanlah bermakna hukum yang sama ditaklifkan kepada wanita Muslimah lain. Seruan kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam adalah hukum syara’ yang wajib diikuti oleh kaum Muslimin (kecuali di dalam hal-hal yang ditentukan kekhususannya kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam sahaja seperti boleh berpuasa sehari semalam, boleh mengahwini wanita Muslimah lebih dari empat orang dan lain-lain). Sementara, hukum khusus kepada isteri-isteri baginda bukanlah hukum syara’ kepada seluruh wanita. Ini kerana yang wajib menjadi ikutan kaum Muslimin, lelaki atau wanita ialah Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam semata-mata, dan bukannya isteri- isteri Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. ‘Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah’ [TMQ Al-Ahzab:21]

2. AL-QURAN - TMQ Al-Ahzab: 59
Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka". Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha pengampun lagi Maha penyayang.

Terdapat pandangan bahawa kalimah “yudnina ‘alayhinna min jalabibihinna” (menghulurkan jilbab ke seluruh tubuh mereka), adalah bermaksud menutupi keseluruhan tubuh, termasuklah wajah dan tapak tangan. Jika diteliti ayat di atas dari sudut kontekstual (manthuqan) atau konseptual (mafhuman), sebenarnya tidak ditemukan sebarang hujah yang mewajibkan seorang wanita Muslimah untuk menutup wajahnya dengan alasan ia adalah sebahagian dari kewajiban berjilbab. Dari sudut kontekstual, frasa“yudnina ‘alayhinna min jalabibihinna” bermaksud menghulurkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Kata ‘min’ di dalam ayat tersebut bukan menunjukkan maksud sebahagian (li at-tabidh), tetapi menunjukkan maksud penjelasan (li al-bayan), iaitu untuk menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh dari atas ke bawah. Secara etimologis, kata ‘adna’ (kata akar bagi yudnina yang terdapat di dalam ayat TMQ Al-Ahzab: 59) bermakna ‘arkha’ (menghulurkan hingga ke bawah). Maka, ‘yudnina’ adalah sama maksudnya dengan ‘yurkhina’ sepertimana hadis yang diriwayatkan dari Ibnu Umar: Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam telah bersabda, “Siapa saja yang menghulurkan (yurkhina) pakaiannya kerana sombong, Allah tidak akan memandangnya pada hari Kiamat”. Ummu Salamah bertanya, “Lantas, bagaimana dengan hujung pakaian yang dibuat oleh para wanita”? Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. menjawab, “Hendaklah dihulurkan sejengkal”. Ummu Salamah berkata lagi, “Kalau begitu, akan tampak kedua kakinya”, Rasulullah menjawab lagi, “Hendaklah dihulurkan sehasta dan jangan ditambah”

Sementara itu, yang dimaksud dengan jilbab ialah milhafah (baju seumpama jubah atau abaya yang longgar dan tidak tipis), kain (kisa’) apa sahaja yang dapat menutupi, atau pakaian (tsawb) yang dapat menutupi seluruh bahagian tubuh. Di dalam kamus al Muhith dinyatakan: Jilbab itu laksana sirdab (terowongan) atau sinmar (lorong), iaitu baju atau pakaian yang longgar bagi wanita selain baju kurung atau kain apa saja yang dapat menutupi pakaian sehariannya seperti halnya baju kurung. Sedangkan di dalam kamus ash Shahah, al Jawhari menyatakan: Jilbab adalah kain panjang dan longgar (milhafah) yang sering disebut mula’ah (baju kurung). Di dalam hadits disebutkan bahawa, jilbab adalah baju kurung yang dikenakan oleh wanita pada bahagian luar pakaian sehariannya yang lazim digunakan di dalam rumah. Ummu Athiyah pernah meriwayatkan sebuah hadis: “Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam. memerintahkan kami (hamba wanita, wanita haid, ataupun wanita perawan- agar keluar (menuju lapangan) pada hari raya Aidl Fitri dan Aidil Adha. Bagi para wanita yang sedang haid, diperintahkan untuk menjauhkan diri dari tempat solat, namun tetap menyaksikan kebaikan dan seruan ke atas kaum Muslimin. Aku lantas berkata, “Ya Rasulullah salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab”. Rasulullah pun menjawab, “Hendaklah saudaranya meminjamkan jilbabnya kepadanya”.

Hadis di atas dengan jelas menunjukkan bahawa jilbab yang dimaksudkan di dalam ayat TMQ Al-Ahzab ialah ‘pakaian luar’ yang dihulurkan untuk menutupi pakaian seharian wanita Muslimah di rumah. Jika diteliti perkara ini, maka jelaslah bahawa kalimah yudnina ‘alayhinna min jalabibihinna tidak berkaitan dengan kewajiban untuk menutup wajah dengan pakaian luar (jilbab), sebaliknya bermaksud ‘irkha ats-siyab’ iaitu menghulurkan pakaian luar ke bawah dan bukannya ke atas (untuk menutupi wajah).

3. Hadis Kewajiban Menundukkan Pandangan
Selain itu, ada juga di kalangan Muslimin yang menggunakan hadis-hadis berikut sebagai hujjah untuk mewajibkan para wanita Muslimah menutup wajah mereka. “Suatu ketika, Fadhl Ibn Abbas menaiki tunggangan bersama Nabi saw.. Tiba-tiba, datanglah seorang wanita bernama Khats’amiyah hendak meminta pendapat. Fadhl lantas memandang wanita tersebut dan wanita itupun memandangnya. Kerana itu, Rasulullah kemudian memalingkan wajah Fadhl dari wanita itu” (HR. Abu Dawud). Di dalam riwayat dari Ali bin Abi Talib, terdapat tambahan “Abbas ra kemudian bertanya kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam, ‘Ya Rasulullah, mengapakah engkau memalingkan wajah Fadhl?’ Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam kemudian menjawab, ‘Kerana aku melihat seorang pemuda dan seorang wanita tidak aman dari gangguan syaitan”

Di kalangan kaum Muslimin, ada yang menggunakan hadis di atas sebagai dalil keharaman memandang wajah wanita dan seterusnya mewajibkan wanita Muslimah untuk menutup wajah mereka. Jika ditelusuri dengan teliti, hadis ini sebenarnya bukanlah dalil untuk mewajibkan pemakaian hijab wajah, tetapi justeru sebaliknya. Ini kerana, Khuts’amiyah sendiri bertanyakan soalan kepada Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam dengan kehadiran Fadhl, dalam keadaan menampakkan wajahnya. Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam pula memalingkan wajah Fadhl ketika menyedari pemuda dan wanita itu ‘tidak aman dari gangguan syaitan’. Jika pemakaian penutup wajah bagi wanita adalah wajib, maka sudah tentu Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam mengarahkan wanita itu untuk menutup wajah, dan bukannya memalingkan wajah Fadhl. Hadis ini sebenarnya adalah hadis yang berkaitan dengan perintah menundukkan pandangan sepertimana firman Allah SWT: Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". [TMQ An-Nur: 30]. Juga sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam kepada Ali radhiallahu ‘anhu: “Wahai Ali, janganlah engkau turutkan pandangan (pertama) dengan pandangan (kedua), kerana engkau berhak (yakni, tidak berdosa) pada pandangan (pertama), tetapi tidak berhak pada pandangan (kedua).” (HR. Abu Dawud, at-Tirmidzi, dan lainnya. Dihasankan oleh Syaikh Al Albani dalam Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 77). Jarir bin Abdullah berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam tentang pandangan tiba-tiba (tidak sengaja), maka beliau bersabda, "Palingkan pandanganmu." [HR. Muslim, Abu Dawud, Tirmidzi, dan lainnya. Lihat Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 78].

Al Qadhi 'Iyadh berkata, "Para ulama berkata, di sini terdapat hujjah (argument) bahawa wanita tidak wajib menutupi wajahnya di jalan, tetapi hal itu adalah sunah yang disukai. Dan yang wajib bagi lelaki ialah menahan pandangan dari wanita dalam segala keadaan, kecuali untuk tujuan yang syar'i (dibenarkan agama). Hal itu disebutkan oleh Muhyiddin An Nawawi, dan beliau tidak menambahinya." (Adab Asy Syar'iyyah I/187, karya Ibnu Muflih. Lihat: Jilbab Al Mar'ah Al Muslimah, hal. 77)



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment