Hari Wanita dan Feminisme: Adakah Sinar di Penghujung Terowong?







Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Tragedi pembuangan bayi masih lagi menjadi berita hangat yang tak kunjung padam. Banyak pihak mengemukakan pelbagai idea untuk menyelesaikannya. Akhbar Utusan Malaysia (UM) bertarikh 23hb Mac 2010 memetik bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyatakan kekesalannya: “Ke mana ghaibnya semua bapa bayi ini?” Sebagai satu usaha menyokong kempen “Kami Prihatin” yang dilancarkan oleh akhbar UM itu, Shahrizat menegaskan tumpuan kes pembuangan bayi tidak patut difokuskan kepada si ibu semata-mata bahkan perlu menjejaki si bapa yang enggan bertanggungjawab terhadap kelahiran bayi malang itu.

Sepintas lalu kita menyaksikan bahawa apabila berlaku isu seperti pembuangan bayi, wanitalah yang menjadi mangsanya. Menyulam cinta bersama tetapi penderitaan dan beban mengandung dan melahirkan anak, wanita sahaja yang menanggung sengsara. Ketidakadilan ini sudah pasti menyemarakkan lagi api feminisme; seolah-olah perjuangan feminisme bakal memartabatkan wanita yang sering dianggap warga kelas kedua.

Syukur Alhamdulillah, Fikratul Ummah kali ini mengemukakan dua artikel iaitu “Hari Wanita dan Feminisme: Adakah Sinar di Penghujung Terowong?” dan “Khilafah Janji Yang Pasti, Teruskan Berjuang Wahai Serikandi!”. Semoga ia memberi pencerahan kepada kaum wanita khususnya bahawa Islam yang diturunkan kepada Junjungan Mulia Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memberi jalan penyelesaian kepada semua permasalahan manusia sehingga memberi ketenangan kepada lelaki dan wanita. “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam” [TMQ Al Anbiya (21): 107].

Wallahu ‘alam bisshawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


“Lelaki kecil, lelaki kecil, bebaskan burung kenarimu yang ingin terbang. Akulah burung kenari itu, lelaki kecil, lelaki kecil, biarkan aku terbang. Dulu aku ada dalam sangkarmu, lelaki kecil, kau yang mengurungku di dalamnya. Aku berulang-kali mengatakan “kecil, kecil” kerana kau tak memahamiku, sebagaimana kau tak akan pernah” [Alfonsina Storni 29 Mei 1892 – 25 Oktober 1938].

Puisi nukilan Alfonsina Storni, penyair feminis Argentina yang paling berpengaruh di Amerika Latin membayangkan karya-karyanya yang sarat dengan protes akan penindasan lelaki terhadap wanita dan rasa kekecewaannya terhadap stereotaip wanita. Tema yang selalu jelas dalam karya-karyanya adalah tentang pergelutan perempuan dalam sebuah struktur sosial yang tidak memberikan persamaan hak. [http://sosbud.kompasiana.com/2010/03/08/mengenang-alfonsina-storni-di-hari-wanita-sedunia/] Justeru tidak menghairankan apabila peringatan tentang Hari Wanita Sedunia yang disambut setiap 8hb Mac menyebut tentang perjuangan penyair yang menghasilkan karya seperti Mascarilla y trébol (“Mask and trefoil”) yang dianggap sumbangan paling penting Alfonsina terhadap sastera Amerika Latin.

Sejak zaman berzaman, wanita dianggap warga kelas kedua, malah statusnya amat hina. “Wanita adalah sumber kebohongan, penunggu neraka, musuh keselamatan dan kerana wanita Adam terusir dari syurga.” [John Damascene]. “Wanita itu kala jengking, tiap saat menyepit, mereka itu tombak syaitan.” [Bonaventure], “Wanita itu makhluk berambut panjang dan berfikiran pendek.” [Schopenhaeur], “Wanita asal mulanya tangan syaitan, suaranya adalah siulan ular.” [Anthony], “Wanita hendaklah dijauhkan dari pelajaran, kerana tidak berguna bagi manusia, walaupun diberikan pendidikan.” [Marthin Luther]. [http://www.hanan.com.my/] Kejahatan tangan-tangan Barat yang memusuhi Islam mendorong mereka “membuktikan” bahawa Islam dan hukum-hakamnya menindas wanita seperti paparan filem “Not Without My Daughter” lakonan Sally Field dan Alfred Molina. Filem yang diadaptasi daripada buku tulisan Betty Mahmoody keluaran 1991 itu seolah-olah menunjukkan kepada umum bahawa sang suami berlaku kejam kepada isterinya dengan mempergunakan hukum Islam. [http://en.wikipedia.org/wiki/Not_Without_My_Daughter] Buku tulisan Tehmina Durrani berjodol “My Feudal Lord” yang bertujuan membongkar kekejaman bekas suami juga boleh ditafsirkan sebagai satu bentuk penindasan terhadap seorang Muslimah, walaupun pada hakikatnya, kekejaman bekas suami adalah disebabkan kelemahannya sebagai individu, dan tidak ada kena mengena dengan Islam [http://www.libertybooks.com/books/biography-amp;-autobiography/political/my-feudal-lord.html]

Feminisme adalah sebuah keyakinan tentang kesamaan bagi lelaki-wanita dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Walaupun idea feminisme muncul di Barat, namun idea ini telah tersebar luas ke seluruh dunia dalam pelbagai bentuk aktiviti perjuangan hak dan kepentingan wanita.

Lebih jauh lagi, feminisme menggabungkan doktrin persamaan hak dan sebuah ideologi transformasi sosial yang bertujuan untuk menciptakan dunia bagi perempuan. Feminisme adalah ideologi pembebasan perempuan, karena yang melekat dalam semua pendekatannya ialah keyakinan bahwa perempuan mengalami ketidakadilan kerana jenis kelaminnya. [http://khilafahku.wordpress.com/2008/03/20/feminisme-dalam-timbangan-syariat/#more-3]

Apabila ditelusuri sejarah, idea feminisme, pada mulanya lahir akibat daripada “kekecewaan” dan “dendam” terhadap sejarah (Barat) yang dianggap tidak memihak kepada wanita. Masyarakat feudal di Eropah (sehingga abad ke-18) didominasi oleh mitologi falsafah dan teologi gereja yang cenderung meremehkan wanita sehingga menempatkan kaum hawa ini secara struktur dan budaya dalam posisi yang sangat rendah. Revolusi Perancis yang mana inti patinya merupakan proses liberalisasi dan demokrasi sistem kehidupan tidak hanya mempengaruhi aspek politik semata-mata. Sebaliknya ia turut memberi inspirasi bangkitnya kesedaran tentang kewujudan wanita untuk memperjuangkan hak-haknya [Revisi Politik Perempuan, CV IdeA Pustaka Utama, 2003, ms 32].

Feminisme yang muncul di awal abad ke-20 di Iran dan Mesir menyaksikan Shirin Abadi dan Huda Sha’rawi yang hanya ingin agar kaum wanita mendapat pendidikan yang sama dengan lelaki. Akibat tersebar luasnya fahaman sekularisme dan liberalisme dalam kalangan umat Islam melahirkan golongan yang dipelopori oleh Fatima Mernissi, yang menganggap tudung atau hijab sebagai satu penindasan, dan Amina Wadud, yang melihat bahawa pemahaman terhadap al-Quran telah didominasi oleh kaum lelaki untuk kepentingan lelaki [Dr Khalif Muammar, http://www.khairaummah.com/]. Kejatuhan Daulah Khilafah yang pernah memayungi dan memberi kesejahteraan kepada umat manusia di dua pertiga dunia setelah dimakamkan secara rasmi oleh Mustafa Kamal Attarturk laknatullah ‘alaihi pada 3hb Mac 1924 bukan hanya menukarkan azan ke dalam bahasa Turki sebaliknya sang pengkhianat dunia Islam ini juga melarang pemakaian tudung dan hijab dengan mengatasnamakan pembebasan wanita, yang dianggap sejalan dengan perjuangan feminis.

Hari ini, di sebalik ledakan ICT di era millenium, idea feminisme seolah-olah masih lagi ‘relevan’ disebabkan oleh isu malar segar seperti keganasan rumah tangga, perceraian, keibubapaan, kanak-kanak, penderaan seksual, rogol, khasiat makanan, pornografi, ibu tunggal, kanser buah dada dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada isu-isu yang melingkari dunia wanita. Justeru, pelbagai pihak cuba menunjukkan kepada dunia bahawa mereka berusaha memartabatkan kaum wanita.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memilih tema “Kesaksamaan Hak, Kesaksamaan Peluang Kemajuan Untuk Semua” sempena sambutan ``. Tema sambutan yang dirai di seluruh dunia setiap 8 Mac itu, dianggap sebagai perjuangan wanita sejagat yang masih tidak selesai dalam meletakkan hak-hak mereka pada kedudukan sepatutnya. Daripada tema itu sahaja sudah membuktikan wanita di seluruh dunia berhadapan dengan dilema yang sama iaitu mahu hak dan sumbangan mereka diiktiraf untuk kemajuan serta kesejahteraan bersama. [www.utusan.com.my, 8hb Mac 2010]. Menurut Rodziah Ismail, Exco Hal Ehwal Wanita, Sains dan Teknologi dan Inovasi negeri Selangor dalam satu majlis sambutan Hari Wanita Sedunia di Foyer Bangunan SSAAS, "Lebih 49 peratus daripada penduduk Selangor terdiri daripada kaum wanita, maka kerajaan negeri telah meletakkan kepimpinan tertinggi negeri lebih 30 peratus adalah wanita untuk terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan negeri”
[www.harakahdaily.net, 9hb Mac 2010]. Anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (Anugerah CSR Perdana Menteri 2009) yang dimenangi oleh Petronas pada 8hb Mac 2010 turut memberi penghargaan kepada Rampai-Niaga Sdn Bhd dalam kategori “Pemerkasaan Wanita” (Women Empowerment) yang menunjukkan bahawa perlu diwujudkan satu anugerah khusus untuk “memartabatkan” kaum wanita kerana seolah-olah kaum Hawa ini “terpinggir” [http://www.anugerahcsrmalaysia.org/2010/03/10/pm-presents-awards-to-2009-winners/]

Feminisme, Kesetaran Gender dan Islam
Sejarah munculnya feminisme menjelaskan asal usul fahaman ini dan bagaimana ia merebak dalam banyak negara. Dari asal usulnya kita mendapati bahawa fahaman ini lahir dari ideologi Kapitalis-Sekular-Liberal Barat yang menjauhkan agama daripada kehidupan. Ertinya, pemahaman dan pemikiran seperti ini bertentangan dengan Islam yang pada dasarnya telah mengatur segala urusan dan permasalahan hidup manusia dalam Al-Quran yang memberikan kemaslahatan kepada semua umat manusia.

Sebagai deen yang sempurna, Islam memiliki cara pandang yang sangat adil dan objektif terhadap persoalan keberadaan lelaki dan perempuan dalam masyarakat. Tujuan penciptaan manusia adalah sebagai hamba Allah yang wajib beribadah kepada-Nya dan tujuan penciptaan jenis kelamin lelaki dan perempuan adalah untuk melangsungkan keturunan.

Islam memandang posisi lelaki dan perempuan setara, sekalipun dalam kadar tertentu dilayani berbeza. Manusia sama ada lelaki atau wanita adalah sama dipandang dari sisi insaniahnya iaitu memiliki akal, naluri, dan keperluan jasmani. Tetapi, perbezaan jantina memerlukan mereka diberi aturan yang berbeza juga. Ini bukan bererti tidak adil, kerana pada dasarnya ditetapkan oleh Allah sebagai Pencipta manusia, semata-mata demi kemaslahatan, kelangsungan, dan kesucian hidup manusia dengan cara saling melengkapi dan bekerja sama sesuai dengan aturan-aturanNya. Kemuliaan manusia tidak dilihat dari jenis kelamin atau kedudukan seseorang tetapi dari kadar ketakwaannya.

Idea kesetaraan gender yang diperjuangkan oleh golongan feminis adalah satu bentuk pengingkaran terhadap realiti yang ada, sekaligus pengingkaran terhadap keadilan dan kesempurnaan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai Pencipta dan Pengatur manusia. Tugas, peranan dan tanggungjawab tidak meletakkan seorang lelaki lebih istimewa di sisi Allah.
Perbezaan biologi dan fisiologi kedua jantina ini menyebabkan kekhususan yang dimiliki kaum lelaki tidak dimiliki wanita, dan apa yang dimiliki wanita tidak dimiliki lelaki. Kewajiban mencari nafkah (bekerja) hanya dibebankan kepada lelaki dan hukumnya wajib bagi mereka, sementara bagi wanita tidak wajib (mubah), kerana hal ini berkaitan dengan fungsi lelaki sebagai ketua rumah tangga sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebagian daripada harta mereka. [TMQ An-Nisa (4): 34]. Pemimpin (qawwam) adalah selaras dengan prinsip kepimpinan dalam Islam iaitu apabila terdapat satu ikatan yang melibatkan lebih dari satu orang, seorang dari mereka perlu menjadi pemimpin [Al-Mawardi (1978), Al-Ahkam Al-Sultaniyyah]. Di sini, kita perlu memahami tugas dan tanggungjawab lelaki selaku qawwam dan wanita selaku orang yang dipimpin sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. Dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.” [TMQ At-Thalaaq (65): 6].
Rasulullah juga berpesan kepada kaum lelaki dalam khutbah terakhir baginda: Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Baginda juga menegaskan hak lelaki ke atas wanita dengan sabda baginda: Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina. Manakala Surah Al Baqarah (2): 233 menjelaskan tanggungjawab kedua lelaki dan wanita: “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan. Dan kewajipan ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya dan seorang ayah kerana anaknya, dan warispun berkewajiban demikian. Apabila keduanya ingin berhenti dari menyusukan anak (sebelum dua tahun) dengan kerelaan keduanya dan permusyawaratan, maka tidak ada dosa atas keduanya. Dan jika kamu ingin anakmu disusukan oleh orang lain, maka tidak ada dosa bagimu apabila kamu memberikan pembayaran menurut yang patut. Bertakwalah kamu kepada Allah dan ketahuilah bahwa Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].
Keduanya juga bertanggungjawab dan memiliki kewajiban yang sama dalam mendidik anak-anak. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahrim (66): 6].

Walaupun tugas dan tanggungjawab asas wanita adalah sebagai ibu dan pengurus rumah tangga, ia tidak bermakna perempuan tidak boleh bekerja dan memiliki harta sendiri. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang lelaki ada bahagian dari pada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian dari kurnia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” [TMQ An-Nisa (4): 32].

Jika diteliti sirah, isteri pertama Baginda Rasulullah iaitu Saidatina Khadijah telah pun muncul sebagai seorang ahli perniagaan, yang menjadi pemilik hartanya sendiri. Ini juga mengambil masa ratusan tahun sebelum menjadi realiti di Barat. Ketika zaman kegemilangan empayar Islam di Timur Tengah, wanita di Barat masih belum lagi dibenarkan memiliki harta, apatah lagi menguruskan perniagaan sendiri. Satu contoh menarik untuk diperhatikan ialah, wanita Inggeris hanya dapat memiliki harta sendiri sepenuhnya bermula pada tahun 1870, melalui kelulusan Akta Harta Wanita Berkahwin, sedangkan wanita Muslim sudah pun menikmati hak itu sejak kurun ke–7. Dalam satu peristiwa pada tahun 1716, Lady Mary Wortley Montagu, isteri Duta British ke Turki yang ketika itu dibawah pemerintahan Kesultanan (Khilafah) Uthmaniyyah kagum dan terkejut melihat bagaimana wanita di negara Muslim itu bebas memiliki harta dan perniagaan sendiri. [http://wanitacj.blogspot.com/2006/01/barat-membela-atau-melacurkan-wanita.html]

Walaupun Islam mensyariatkan wanita dengan pelbagai hukum di atas, ia bukan bermakna wanita tidak dibenarkan keluar dari rumah sebagaimana pengakuan Tehmina Durrani, seorang wanita elit Pakistan dalam buku “My Feudal Lord” sehingga hukum Islam seolah-olah “menindas” wanita. Sebenarnya, dalam kehidupan umum atau ditengah-tengah masyarakat, kaum lelaki dan perempuan memiliki peranan yang sama terutama dalam urusan dakwah dan amar makruf nahi mungkar.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104]. “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali Imran (3): 110]. “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma'ruf, mencegah dari yang munkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat pada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ At-Taubah (9): 71]

Dalam dalil-dalil yang dikemukakan di atas berkenaan dengan perintah amar makruf nahi mungkar dan sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alahi wa Sallam dari Hudzaifah Radiallahu ‘Anhu: “Siapa saja yang bangun pagi tetapi tidak memperhatikan urusan kaum Muslim, dia bukanlah golongan mereka” [HR Ath-Thabari], kita memahami bahawa aktiviti politik bukan hanya merupakan kewajiban kaum lelaki saja, tetapi juga kewajiban kaum perempuan. Menurut al-Rubayyi [Al-‘Asqalani (1991)], para wanita yang menyertai Rasulullah dalam peperangan telah bekerjasama rapat dengan kaum lelaki melalui pelbagai khidmat kepada tentera termasuk menyediakan minuman. Mereka juga membawa pulang tentera yang cedera dan mati. Manakala, apa yang dilarang adalah memegang jawatan dalam posisi pemerintahan berdasarkan pada hadis Nabi yang dituturkan Abu Bakrah Radiallahu Anhu: “Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan mereka (dalam kekuasaan) kepada para wanita.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Walau bagaimanapun, sebelum melakukan yang mubah (harus), maka keutamaan paling tinggi adalah berkaitan dengan peranan yang wajib dilaksanakan sebagai perempuan, ibu ataupun isteri. Wanita lebih mengutamakan tugasnya di rumah tangga, sementara lelaki mencari nafkah di luar rumah. Wanita juga mesti memahami jika berlaku pertembungan kewajiban berpolitik dengan kewajiban lain, Islam mengaturnya dalam fikih awlawiyat yang mana ia dilihat dari perspektif wanita yang memiliki 3 posisi iaitu sebagai: i) hamba Allah (menunaikan aktiviti yang sama dengan kaum lelaki seperti dakwah, solat, puasa, amar makruf nahi mungkar); ii) suri rumahtangga (melahirkan anak, menyusukan, taat suami); dan iii) anggota masyarakat (mengambil tahu permasalahan-permasalahan sosial atau kemasyarakatan).
Khatimah

Umat manusia yang terdiri daripada lelaki dan wanita yang diciptakan untuk hidup berdampingan, saling melengkapi dan saling membantu dalam mengharungi liku-liku kehidupan kerana dengan kerukunan dan saling bekerjasama inilah kelangsungan umat manusia akan terjamin. Apa yang kita perlukan pada masa ini bukanlah polisi atau dasar yang hanya akan melahirkan kelompok manusia yang terpisah menjadi ‘golongan lelaki’ dan ‘golongan wanita’ kerana hal itu hanya akan menimbulkan persaingan yang tidak sihat antara kedua jantina sehingga keduanya akan sulit hidup berdampingan secara harmoni dan damai hingga melahirkan sifat saling bersaing dan memusuhi. Seandainya keduanya memandang dari sisinya masing-masing iaitu “kelelakiannya” dan “kewanitaannya” sahaja, maka kelangsungan generasi mendatang akan terganggu. Menurut Qurtubi, dalam Surah Al-Hujurat ayat 13: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal” Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan bahawa perbezaan jantina dan bangsa bukan untuk dijadikan asas diskriminasi tetapi untuk memudahkan kenal mengenal satu sama lain. Ada juga diriwayatkan penegasan Rasulullah bahawa semua manusia itu sama sahaja ibarat gigi sikat [Al-Tarmizi(1985), al-Jami’ al-Sahih]. Adil, saksama, setara atau apa jua istilah yang digunakan untuk menunjukkan bahawa wanita setaraf dengan lelaki tidak boleh diukur dari perspektif manusia dan logik akal, apatah lagi dari kaca mata Barat. Sebagai seorang Islam, mulia atau hinanya manusia bukanlah dari status jantinanya. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu” [TMQ Al-Hujurat (49): 13].

Sebaliknya, sebagai umat Islam yang beriman kepada Allah dan RasulNya dan menjadikan Al-Quran yang tidak ada keraguan di dalamnya sebagai panduan kepada orang-orang yang bertakwa, kita menerima ketentuan, ketetapan dan Qadha Allah seadanya kerana Dia ‘Azza wa Jalla adalah Tuhan Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu. Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak [pula] bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan [yang lain] tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguhlah dia telah sesat, sesat yang nyata. [TMQ Ahzab (33): 36].
Wallahu alam bisshawab.



SHARE THIS

1 comments: