Perihal Saint Valentine dan Manifestasi Cinta



Sejak zaman berzaman, cinta diungkapkan dengan pelbagai bentuk dan lambang. Hebatnya cinta Adam dan Hawa bukan hanya kerana ia menyatukan dua jiwa sebaliknya ia menyebabkan kejatuhan Empayar hebat dunia. Tiba hari Valentine yang disambut oleh sebahagian umat Islam, suasana kemeriahannya disaksikan dalam media cetak dan elektronik yang mana filem-filem romantik disajikan untuk menghangatkan dan mengujakan lagi gelora cinta terutamanya dalam kalangan muda-mudi. “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala” [TMQ Faathir (35): 6]

Demi keagungan cinta, sebahagian manusia dinilai dengan status perkahwinan. Golongan janda dan anak dara lanjut usia (andalusia) sering menjadi bahan usikan. Seolah-olah demi cinta, walau apa jua cara, yang penting mesti ada pasangan. Tidak sulit memahami senario yang ‘biasa’ berlaku seperti contoh ini: Seorang guru bertanya kepada para pelajar satu persoalan “Siapa tahu bilakah Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Salam dilahirkan?...”. Kelas yang tadi keriuhan pasti senyap sepi umpama garuda datang melanda, kerana ‘terkasima’ dengan soalan guru tadi. “Baiklah, soalan kedua pula, bilakah sambutan hari kekasih diadakan?...” Umpama gempita kedengaran tatkala pelajar berebut-rebut untuk menjawab soalan yang ‘hebat’ tadi. Ini adalah seumpama suatu kebiasaan, menjadi ‘trend’ yang sangat-sangat mencemaskan dan menakutkan.

Bila cinta sedang berbunga, semua indah sahaja. Dek kerana nasi lemak buah bidara, halal-haram tidak diambil kira. Akibatnya amat menyedihkan dan menyebakkan dada. Akhbar Harian Metro bertarikh 1 Julai 2009 memetik laporan berikut: Johor Bahru: Sedih dan menyayat hati! Itulah nasib malang seorang bekas pelajar wanita berusia 26 tahun yang ditemui mati dipercayai akibat pendarahan serius selepas melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan di sebuah bilik asrama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dekat sini, petang kelmarin. Lebih malang lagi, bekas pelajar tahun empat itu dipercayai menderita keseorangan ketika melahirkan anak dan hanya ditemui kira-kira jam 5 petang, selepas lebih dua hari Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

Jika kes di atas melibatkan seorang bekas pelajar yang mati selepas melahirkan anak luar nikahnya yang turut kembali mengadap Sang Pencipta bersamanya, bagaimana pula dengan nasib bayi-bayi luar nikah yang selamat dilahirkan?

Kuala Krai: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir bukan saja dibuang ke dalam tong sampah, malah mayatnya dibakar sehingga melecur seluruh tubuh [Harian Metro 13 Februari 2010].

Kes pembuangan bayi yang semakin berleluasa ini sudah pasti menakutkan kaum wanita khususnya golongan ibu yang mempunyai anak gadis yang menginjak usia dewasa. Fikratul Ummah yang merupakan satu wadah khusus untuk Muslimah ingin membicarakan perihal cinta kerana tajuk ini amat dekat dengan kaum wanita. Seringkali kita dihidangkan dengan pelbagai kes dan peristiwa yang terkait dengan cinta yang ‘mangsa’nya adalah wanita. Sebagai contoh, peningkatan kes jenayah seperti keldai dadah yang mana mengikut analogi kes kebanyakannya menjadi mangsa yang juga dimulai dengan cinta [http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=442091].

Konsep Pendidikan Seks Kini

Memandangkan kes-kes gejala seks songsang semakin berleluasa seperti kelahiran anak-anak luar nikah sebagaimana rekod dari pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara melaporkan
257 411 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak tahun 2000 hingga pada bulan Julai 2008 [Kosmo 30 Oktober 2008]. Pelbagai mekanisme penyelesaian dicadangkan yang mana antaranya ialah pendidikan seks. Menurut Wikipedia, pendidikan seks adalah suatu istilah yang digunakan untuk menjelaskan pendidikan mengenai anatomi seksual, pembiakan seksual, perhubungan seks, dan aspek-aspek lain kelakuan seksual manusia. Lebih umum untuk pendidikan seks adalah ibu bapa atau wali, atur cara sekolah, dan kempen kesihatan awam [http://ms.wikipedia.org/wiki/Pendidikan_seks].

Menurut Pensyarah Program Kaunseling, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Sapora Sipon yang dipetik oleh akhbar Harian Metro bertarikh 1hb Februari 2010, pendidikan seks wajar dilaksanakan dalam PLKN daripada langsung tidak diajar kepada pelajar dengan mekanisme berikut:

Subjek itu perlu disampaikan dengan cara yang betul supaya tidak memberi kesan yang negatif kepada pelajar. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan terutama masa dan individu yang mengajarnya.

Pendidikan seks sangat meluas dan mempunyai peringkat-peringkat selain seharusnya dimulakan daripada awal. Pendidikan seks perlu diajar di peringkat sekolah lagi kerana elemen pendidikan seks ada pelbagai peringkat selain mempunyai enam tunjang penting iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan keluarga, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku seksual masyarakat serta budaya.

Dalam kertas kerja “Pendidikan Seks Menurut Pendekatan Islam: Satu Tinjauan”, pemakalahnya Prof Madya Hasbullah Abdul Rahman, Azhar Abdul Aziz dan Mohd Yadman Sarwan (UiTM Perak) Pendidikan seks boleh ditakrifkan sebagai satu proses memberi pengajaran, kesedaran serta penerangan mengenai masalah seksual kepada anak dari kecil hingga dewasa.

Muhamad Zahiri Awang Mat (UIAM) dan Rahimi Md Saad (UM) dalam kertas kerja bertajuk “Konsep dan Objektif Pendidikan Seks Menurut Perspektif al-Quran” menggariskan empat perspektif Islam mengenai konsep pendidikan seks iaitu:

Dilihat secara menyeluruh kerana pelaksanaannya mahukan sebuah sistem kehidupan insan yang harmoni dan sejahtera.

Mengelakkan salah faham yang boleh mengganggu akibat salah guna maklumat yang diperoleh.

Mementingkan keselamatan dan kesejahteraan umat dalam pelaksanaan pendidikan seks.

Mengikut rangka matlamat syariat - menjaga agama, maruah dan keturunan agar pelaksanaannya mencapai objektif yang diharapkan.

Azhar Muhammad (UTM, Johor) dalam kertas kerjanya, “Etika dan Nilai Akhlak Islam sebagai Asas Pembentukan Kurikulum Pendidikan Seks” pula berkata muslim perlu memiliki nilai dan etika dalam setiap sudut kehidupan, termasuk bidang pendidikan seks.

Justeru, tegasnya, kurikulum pendidikan seks untuk pelajar juga tertakluk kepada nilai akhlak dan etika yang telah ditetapkan Islam. Bentuk pendedahan mengenai seks yang tidak disusuli nilai akhlak dan etika Islam akan mengundang masalah. Pendidikan seks perlu didedahkan kepada anak atau pelajar bagi memperlihatkan nilai akhlak yang terkandung di dalamnya dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah. Institusi yang boleh menerapkan nilai ini ialah keluarga dan sekolah [http://tutor.layar.net/mod/forum/discuss.php?d=17]

Apa yang boleh dibahaskan tentang pendapat Azhar Muhammad ialah sejauh mana dan apakah penanda aras yang digunakan untuk mengukur kejayaan institusi yang menerapkan nilai ini iaitu keluarga dan sekolah? Hal ini kerana Subjek pendidikan seks yang dulunya mahu dilaksanakan di sekolah tiba-tiba senyap tanpa sebarang keputusan [hmetro.com.my 1hb Februari 2010] yang menunjukkan bahawa usaha melaksanakan pendidikan seks sebagai satu strategi untuk membendung seks songsang hanyalah “hangat hangat tahi ayam” semata. Walaupun akhbar yang sama memetik bahawa pendidikan seks ini akan dilaksanakan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan diubah menjadi pendidikan gender, sehingga kini tiada kepastian adakah perubahan istilah akan dapat mencapai matlamat yang diharapkan iaitu membendung gejala seks songsang.

Pendidikan Seks Gagal Cegah Kehamilan Remaja

British Medical Journal yang mengatakan bahawa pendidikan seks sebaiknya dimulakan secepat mungkin, selagi anak masih sangat muda, misalnya seawal usia lima tahun. Walaubagaimanapun pendidikan seks sebenarnya gagal mencegah kehamilan remaja. Laman web www.isekolah.org/file/h_1090923237.doc menyebut bahawa pendidikan seks tidak mengurangi kadar kehamilan remaja atau meningkatkan pemakaian alat kontrasepsi sebagaimana hasil kajian berbeza yang dilakukan di Britain dan Kanada. Menurut pengkaji Kanada, program pendidikan seks gagal untuk menahan kadar hubungan seks, gagal untuk meningkatkan pemakaian alat pelindung kehamilan ataupun mengurangi kadar kehamilan remaja.

Hal yang sama turut dikemukakan oleh pengkaji dari Scotland. Menurutnya, pendidikan
seks memang meningkatkan kualiti hubungan antara anak muda dan juga pengetahuan seks yang sihat, tetapi pendidikan seks tetap tidak mempengaruhi kadar penggunaan alat kontrasepsi.

Dalam artikel berjudul “Compulsory Sex Education for Primary Schools” pelajar sekolah rendah hendaklah diberikan pendidikan seks asas yang akan diwajibkan pelaksanaannya di semua sekolah. Walaubagaimanapun, kumpulan yang menggelar diri mereka “The Family Education Trust” membangkitkan bahawa tiada bukti bahawa kadar kehamilan dalam kalangan remaja akan dapat dikurangkan dengan memperkenalkan pendidikan seks diusia muda. [http://www.guardian.co.uk/education/2008/oct/23/sexeducation-primaryschools]

Cinta yang hakiki

Cinta yang sebenar adalah kepada Allah dan Rasulnya, mengikut Al Azhari, “Erti cinta seorang hamba kepada Allah dan Rasulnya adalah dengan mentaati dan mengikuti perintah Allah dan RasulNya” [Pilar-pilar pengukuh Nafsiyyah Islamiyyah, Taqiuddin an-Nabhani]

Walaubagaimanapun, Allah Subhanahu wa Taala menciptakan manusia dengan keinginan terhadap lawan jenis sebagai satu mekanisme untuk memanjangkan zuriat dan keturunan. Sabda Rasulullah, 'Wahai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang mampu memikul tanggungjawab perkahwinan, hendaklah dia kahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menahan pandangan dan memelihara kemaluan (kesucian). Bagi sesiapa yang tidak mampu (berkahwin) maka hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat menahan nafsunya'. [HR Bukhari & Muslim]

Daripada hadis di atas, kita memahami bahawa satu-satunya jalan untuk memenuhi keinginan yang lahir dari rasa cinta ialah dengan perkahwinan untuk memelihara kesucian dan ketakwaan. Kita juga diterangkan bahawa seandainya seseorang belum mampu untuk bernikah, maka dia disarankan untuk berpuasa sebagai satu mekanisme membendung nafsunya. Alangkah indahnya hukum yang Allah turunkan kepada manusia selaku Sang Pencipta yang mana apabila kita memahami hakikat dan tujuan penciptaan kita di dunia ini, sebagai hambanya kita langsung tidak berhak untuk mengatur hidup kita mengikut acuan akal yang terbatas ini. Sebagaimana yang telah jelas lagi terang Allah Subhanahu wa Taala menyatakan: “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”: dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.” [TMQ An Nur: 51-52].

“Dan tidaklah patut bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah boleh bagi mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.” [TMQ Al Ahzab: 36]

Khatimah

Mengalami cinta bukanlah satu keadaan yang mesti dinafikan. Apa yang perlu difahami oleh umat Islam ialah bagaimana menyalurkan perasaan cinta menurut syarak sama ada menikah yang mesti dipermudahkan - sama ada menikah seorang atau melakukan poligami tanpa perlu majlis ala “wedding of the year”, tanpa hantaran tinggi dan sebagainya atau membendung keinginan kepada lawan jenis dengan menumpukan kepada naluri beragama seperti berpuasa. Realiti masyarakat hari ini yang merasakan bahawa pendidikan seks akan dapat membendung gejala seks songsang pada hakikatnya hanya penyelesaian kepada simptom masalah, manakala masalah akar (root cause) adalah ketiadaan sistem pendidikan Islam yang melahirkan insan bertakwa disebabkan sistem Sekular-Kapitalis yang menyelesaikan masalah seksual menurut akal semata-mata. Bahayanya pemikiran bahawa pendidikan seks dapat menyelesaikan gejala sosial pada hari ini adalah seseorang Muslim itu berkemungkinan mengambil langkah-langkah pencegahan dan memakai alat kontrasepsi untuk mengelak kehamilan luar nikah. Akan tetapi ia tidak dapat membendung perzinaan yang membawa kepada kesengsaraan di dunia dan azab pedih di akhirat. Wallahu a’lam bisshawab.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment