Buang Bayi...Kesan Umat Membuang Syariat


Ketika ini, sebahagian daripada kalangan kita mengeluh kerana bahang cuaca panas yang kadang-kala diselang-selikan dengan hujan gerimis. Ada yang mengatakan bahawa inilah kesan bumi kita semakin panas sehingga rakyat Malaysia disibukkan dengan kempen “Earth Hour” yang mana kemuncaknya adalah memadamkan lampu selama satu jam pada 27hb Mac 2010 yang lepas. Namun begitu, adakah kita sedar bahawa permasalahan umat ketika ini lebih hebat bahang kepanasannya? Jawapannya ya, bagi mereka yang memang sentiasa memikirkan bermacam-macam permasalahan yang membelenggu umat-yang kita lihat seakan tiada penghujungnya malah semakin menjadi-jadi, terutamanya masalah sosial yang terlalu banyak untuk disebutkan di sini. Tetapi jika kita sebut mengenai gejala buang bayi yang semakin menjadi ‘trend’ terkini di kalangan pelakunya di Malaysia, maka itu bukan sesuatu yang asing atau luar biasa bagi setiap daripada kita. Apa tidaknya, hampir setiap hari berita itulah yang menghiasi dada-dada akhbar, televisyen, corong-corong radio dan lain-lain media cetak dan elektronik. Pelbagai respon diterima daripada masyarakat apabila kita mengutarakan masalah ini. Ada yang meluahkan perasaan marah, sedih, kesal dan tidak puas hati. Tetapi ada juga yang memberi respon bersahaja, seolah-olah tidak ambil endah dengan apa yang berlaku. Begitulah umat kini. Apabila diutarakan permasalahan ini, mereka meluahkan berdasarkan emosi semata-mata. Apa yang dapat kita saksikan ialah setiap individu mempunyai emosi yang berbeza-beza yang seringkali bersifat sementara. Sekiranya satu tempoh masa nanti masalah buang bayi ini kurang diperkatakan dan tidak lagi menjadi fokus utama media arus perdana, maka emosi umat pun kembali seperti sediakala. Jika suatu masa berlaku pula masalah lain yang melanda umat, maka umat pun mula bercerita mengenainya, apatah lagi apabila mendapat liputan meluas daripada pihak media. Di kala masalah kelihatan begitu meruncing, pelbagai mekanisme penyelesaian dikemukakan yang mana antaranya ialah saranan agar kembali kepada ajaran Islam tanpa perincian yang jelas. Akibatnya, apabila masalah seakan reda, ia akan dilupakan. Lumrah manusia. Sewaktu ditimpa kesusahan, dia mencari Tuhannya. “Dan apabila manusia itu ditimpa kemudaratan, dia memohon (pertolongan) kepada Tuhannya dengan kembali kepada-Nya; kemudian apabila Tuhan memberikan nikmat-Nya kepadanya lupalah dia akan kemudaratan yang pernah dia berdoa (kepada Allah) untuk (menghilangkannya) sebelum itu” [TMQ Az-Zumar (39): 8]. Di sebalik kepiluan ini, adakah umat pernah memikirkan penyelesaian yang terbaik untuk melenyapkan masalah ini daripada terus membelenggu dan menjadi mimpi ngeri berpanjangan? Adakah umat mengetahui bahawa di sebalik masalah buang bayi ini, ada satu masalah utama yang menjadi punca semua ini? Bagaimana perkara ini boleh berlaku di zaman serba moden dan era globalisasi ini? Ikutilah kupasan Fikratul Ummah seterusnya yang bakal menyajikan penyelesaian tuntas berkenaan kes buang bayi ini.

Sekilas Realiti dan Statistik Pembuangan Bayi

Jika diperhatikan, hampir setiap hari kes-kes baru yang dilaporkan di media cetak dan elektronik yang meruntun hati dan perasaaan kita. Kesulitan yang dialami sang ibu sepanjang proses kehamilan yang dipicu oleh peningkatan kadar hormon HCG (hormon chorionic gonadothropin) serta lain-lain alahan dan kesengsaraan seperti mabuk atau “morning sickness” tanpa mengira waktu, keletihan, sembelit dan lain-lain dugaan sepanjang tempoh kehamilan seakan tiada makna. Seolah-olah dosa yang membelit sang pelaku zina menyebabkan Allah ‘Azza wa Jalla mencabut perasaan kasih dan belas hingga nyawa si manja yang tidak berdosa diperlakukan sebegitu rupa tanpa perikemanusiaan. Mungkin pelampiasan nafsu syahwat yang sebentar berakibat kesedihan yang lama [HR Al Baihaqi]. Jika amalan masyarakat jahiliyyah berlaku sebelum kedatangan Islam sebagai penyelamat, tetapi kini Islam telah lama sampai kepada kita lebih 14 abad lamanya. “Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka bahawa dia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang dia menahan perasaan marahnya dalam hati. (58) Dia bersembunyi daripada orang ramai kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya (tentang dia beroleh anak perempuan; sambil dia berfikir): Adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan yang hina atau dia akan menanamnya hidup-hidup dalam tanah? Ketahuilah! Sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu”(59). [TMQ An-Nahl:58-59] Jika masyarakat jahiliyah menguburkan bayi perempuan kerana perasaan malu, bagaimana pula keadaannya apabila bayi tanpa mengira jantina dibuang??

Sebenarnya kes-kes pembuangan bayi yang berlaku ini adalah rentetan daripada masalah sosial dalam kalangan remaja dan anak muda yang terjebak dengan zina iaitu hubungan lawan jenis tanpa nikah atau ikatan perkahwinan yang sah. Kes pertama, membabitkan penemuan dua bayi iaitu seorang bayi lelaki ditinggalkan dalam sebuah kebun sayur di Cameron Highlands dan seorang lagi dianggarkan berusia tidak sampai seminggu berjaya diselamatkan ketika dihanyutkan arus sungai di Bentong dalam tempoh dua hari lalu [Sinar Harian, 10/1/2010]. Kes kedua, mayat seorang bayi yang masih terlekat dengan uri dan bertali pusat ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila dibuang sebelum dibakar di dalam sebuah tong sampah di Jalan Tengku Zainal Abidin, Kuala Krai, Kelantan. [Kosmo, 14/2/2010]. Kes ketiga, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis berhubung kes pembuangan bayi di dalam longkang berdekatan dengan Pasar Komuniti Stutong, Kuching. [Utusan Borneo, 8/3/2010]. Kes keempat, janin lelaki dipercayai berusia empat bulan dan masih bertali pusat ditemui disumbat dalam balang plastik gula-gula yang ditinggalkan di hadapan Tokong Foo Yan, Jinjang Utara di sini, malam kelmarin [Berita Harian, 31/3/2010]. Terbaru, mayat bayi lelaki berbalut empat beg plastik dijumpai oleh seorang pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor jam 8 pagi di dalam tong sampah di Kampung Tanjung dekat Sungai Choh, Rawang. [Harian Metro, 12/4/2010].

Dalam kehidupan hari ini, apabila kejayaan akademik anak-anak lebih dititikberatkan berbanding ilmu akhirat, apa yang dinyatakan dalam sabda Junjungan Mulia Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam seumpama mimpi ngeri menjadi realiti yang menakutkan: “Antara tanda hari kiamat ialah ilmu semakin sedikit dan kejahilan semakin banyak, zina akan berleluasa” [HR Bukhari dan Muslim]. Akibatnya, muncul pengakuan-pengakuan yang mengejutkan daripada remaja-remaja belasan tahun yang masih bersekolah melakukan zina dan menganggap perlakuan itu sebagai perkara biasa di usia sebegitu. Akhirnya mereka hamil di luar nikah dan apabila perkara itu diketahui keluarga, bayi yang dilahirkan dapat diselamatkan dengan diserahkan kepada keluarga angkat. Jika diperhatikan, pelaku-pelaku bagi kes-kes pembuangan bayi ini adalah daripada kalangan pelajar iaitu peringkat sekolah menengah dan juga institusi pengajian tinggi (IPT). Selain itu, majoriti pelaku-pelakunya adalah daripada kalangan bangsa Melayu beragama Islam sepertimana statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sejumlah 50 kes buang bayi dicatatkan sepanjang Januari hingga September 2008 dengan pasangan Melayu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 36 kes. Merujuk kepada statistik pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006-menurut laporan PDRM, sebanyak 580 orang bayi telah dibuang, majoriti 92% (532 kes) adalah bayi baru lahir, sementara 8% (48) adalah janin. Manakala menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula, terdapat peningkatan ketara dalam kes pembuangan bayi yang dilaporkan iaitu 53 kes pada tahun 2006, 76 kes pada tahun 2007, 102 kes pada tahun 2008 dan 33 kes pada tahun 2009 (sehingga Mei) dan pastinya angka tersebut telah meningkat di penghujung tahun. [sumber: http://laman-seri.blogspot.com/2010/03/akibat-cinta-bersandarkan-nafsu.html]. Adakah kita hanya menunggu kes-kes baru berlaku setiap hari dan juga meneliti statistik yang semakin meningkat tanpa berbuat apa-apa?

Kaedah Penyelesaian Yang Tidak Menyelesaikan

Apabila kejadian pembuangan bayi ini berlaku dan semakin menjadi-jadi, rakyat Malaysia mula menyuarakan respon mereka yang rata-rata menyatakan perasaan kesal, sedih dan marah dengan tindakan individu-individu yang tidak bertanggungjawab melakukan amalan yang lebih hina daripada amalan masyarakat jahiliyyah. Justeru, pelbagai pihak daripada kalangan individu-individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta tampil menghulurkan bantuan atau penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi ini. Antaranya ialah kewujudan pusat-pusat perlindungan wanita seperti Raudhatus Sakinah, Rumah Perlindungan Wanita Gombak, Kem Modal Insan Kewaja dan lain-lain. Selain itu, kerajaan juga tidak terkecuali mewujudkan dan membina pusat-pusat perlindungan yang sama seperti Majlis Agama Islam Selangor yang sudah pun menyediakan Pusat Pemulihan Akidah dan Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mempunyai Pusat Perlindungan Wanita Taman Seri Puteri, Cheras. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan telah meminta ibu pejabat polis daerah (IPD) menubuhkan pasukan khas jika berlaku kejadian pembuangan bayi bagi mengesan segera individu yang terlibat dan jika suspek dapat ditangkap, hukuman yang berat akan dikenakan terhadapnya. Individu yang membuang bayi dan menyembunyikan kelahiran boleh dihukum mengikut Seksyen 317 dan 318, Kanun Keseksaan. Manakala membunuh bayi boleh dihukum mengikut Seksyen 309B, Kanun Keseksaan. Namun begitu, terdapat pihak-pihak yang tidak berpuashati apabila hanya wanita atau si ibu kepada bayi yang dibuang sahaja yang akan disabitkan dengan hukuman manakala si ayah dibiarkan terlepas begitu sahaja. Seandainya selepas ini terdapat peruntukan undang-undang di Malaysia mengambilkira perkara ini, besar kemungkinan kedua-dua pelaku tidak akan terlepas daripada hukuman. Akan tetapi, dapatkah gejala yang semakin meruncing ini dibendung?

Selain peruntukan undang-undang di atas, pelbagai kempen telah dilancarkan oleh pihak-pihak tertentu seperti kempen "Kami Prihatin" anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) serta Astro dan kempen “Hidup Amat Berharga” yang bertemakan “1Malaysia 1Jiwa 1Cinta” yang telah dilancarkan oleh Pergerakan Puteri UMNO. Kempen ini bertujuan untuk mendidik rakyat Malaysia supaya tidak melakukan perbuatan membuang bayi dengan menyemai perasaan kasih kepada kanak-kanak dan juga menunjukkan kepada rakyat bahawa bagi mereka yang telah terlanjur atau berzina sehingga melahirkan anak luar nikah, masih ada yang prihatin dan masih ada tempat untuk mereka tuju iaitu pusat-pusat perlindungan wanita. YB Senator Dato’ Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, "Ibu bapa diingatkan supaya jangan membuang bayi merata-rata kerana kerajaan menyediakan pelbagai tempat bagi mereka menempatkan bayi dengan selamat" [Utusan Malaysia, 13/2/2010]. Sebagai seorang Muslim, apa yang menakutkan ialah sebahagian anggota masyarakat akan beranggapan bahawa perbuatan zina itu “tidak apa” asalkan jangan membuang bayi hasil hubungan songsang itu merata-rata.

Dalam kes pembuangan bayi, di samping memperkenalkan pendidikan seks di sekolah, negara-negara Barat seperti Jerman memperkenalkan “Baby’s Craddle” untuk mereka yang tidak tahu ke mana hendak membuang bayi yang baru lahir. Kaedah ini dipraktikkan di tempat terpilih khususnya hospital dan dipantau oleh kamera litar tertutup sepanjang masa. Sasaran utama ialah ibu muda yang ketakutan dan panik supaya anak yang dilahirkan akan diberi penjagaan kesihatan yang sewajarnya. Bayi yang diletakkan di “Baby’s Craddle” akan diambil oleh jururawat bertugas dalam masa dua minit. Ibu muda berkenaan diberi tempoh lapan minggu untuk menuntut anaknya dan tempoh ini cukup untuk menstabilkan emosi dan fizikalnya. Manakala di Amerika Syarikat pula, kerajaan membantu ibu muda untuk meletakkan bayi yang baru dilahirkan di tempat-tempat terpilih seperti hospital, balai bomba, agensi kebajikan swasta, agensi anak angkat dan gereja. Ibu atau orang yang meninggalkan bayi tersebut tidak perlu memberi butir terperinci. Penjagaan seterusnya diambil alih oleh kerajaan. Jika ibu atau bapa tidak menuntut bayi berkenaan dalam tempoh tiga bulan, hak ibu bapa boleh ditamatkan dan anak tersebut boleh diberi kepada keluarga angkat. Selain itu, melalui undang-undang “Safe Haven” yang diperkenalkan di Amerika pada Julai 2008, ibu muda dibenarkan untuk meningggalkan bayi mereka tanpa dikenakan tuduhan jenayah. Pada masa yang sama mendidik masyarakat untuk menghargai nyawa dan kehidupan tanpa mengira siapa dan di mana jua. Kesedaran masyarakat terhadap undang-undang “Safe Haven” ini turut dibantu oleh jaringan ibu bapa yang menyedari keperluan memberi bantuan dan sokongan kepada remaja yang terlibat. [sumber: http://zahirzainudin.blogspot.com/2007/03/pembuangan-bayi-mencari-punca-dan.html]. Di Malaysia, sebuah pertubuhan bukan berorientasikan keuntungan yang diberi nama OrphanCare yang fungsinya hampir sama seperti “Baby Hatch” yang dipraktikkan di Jerman dan Jepun diwujudkan bertujuan untuk memberikan kasih sayang sebuah keluarga kepada anak-anak yatim dan juga bayi-bayi yang terbuang [sumber: www.orphancare.org.my]. Ini membuktikan pendekatan-pendekatan yang diambil Barat telah mula dipraktikkan di Malaysia. Persoalannya ialah adakah ianya benar-benar akan menyelesaikan masalah pembuangan bayi di negara ini?

Apakah penyelesaian hakiki dalam Islam?

Jika kita perhatikan kaedah-kaedah penyelesaian di atas, maka telah jelas dan terang bahawa semua itu bukanlah kaedah penyelesaian yang menyelesaikan masalah. Tetapi itulah jalan yang dipilih oleh umat sekarang. Umat Islam lebih cenderung memilih penyelesaian yang bersumber daripada akal fikiran mereka semata-mata sedangkan itulah penyelesaian yang digunapakai oleh kafir Barat. Kita sebagai umat Islam yang telah diberikan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebuah manual iaitu Al-Quran sebagai pegangan hidup kita yang mana Junjungan Besar Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah berwasiat bahawa kita tidak akan sesat selagi berpegang teguh padanya. Malangnya umat Islam memilih sebuah manual lain iaitu sistem kufur Barat yang jelas-jelas akan menyesatkan mereka malah lebih buruk lagi, mereka akan menerima azab Allah Subhanahu wa Ta’ala di akhirat kelak. Walau sekian lama mereka dibelenggu oleh pelbagai permasalahan, sebahagian umat Islam masih tidak menyedari bahawa ianya memerlukan penyelesaian menyeluruh dari akar umbi, bukan hanya memilih untuk mengubati simptomnya sahaja. Ibarat atap rumah yang bocor menyebabkan air menitis setiap kali hujan melanda, umat Islam sibuk mencari penyelesaian melalui kempen, forum, seminar dan sesi percambahan fikiran sama ada untuk menggunakan baldi atau bekas lain yang lebih sesuai untuk menakung air yang menitis disebabkan atap yang bocor tadi. Mereka mungkin sibuk memikirkan untuk menyediakan baldi atau kolah yang dibina dengan teknologi terkini dengan peralatan “state-of-the-art” dan menimbangkan untuk melantik perunding dan kontraktor ternama untuk memastikan baldi atau kolah adalah mesra alam dan mencapai piawaian tertentu. Persoalannya, apakah selesai masalah dengan pendekatan sebegini? Sedar dan berfikirlah wahai umat Islam, satu-satunya jalan penyelesaian yang dapat menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan membaiki atap yang bocor tadi. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.[TMQ Al-A’raaf (7): 179].

“Apakah hukum jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ Al-Mai'dah (5): 50].

Pernahkah umat terfikir tentang punca sebenar di sebalik isu pembuangan bayi hasil zina ini? Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada gejala ini. Pertama, prosedur yang menyusahkan perkahwinan dan penceraian; tetapi memudahkan penzinaan. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah berpesan agar memudahkan pernikahan dengan pemberian mas kahwin walaupun hanya dengan sebentuk cincin besi atau mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Malangnya, prosedur perkahwinan dan perceraian di Malaysia banyak halangannya yang bukan bersumberkan hukum melainkan adat serta kerenah birokrasi pihak pemerintah. Demi keinginan mencipta sejarah di hari bahagia, seringkali suatu perkahwinan hanya akan dilangsungkan apabila pengantin dan keluarga dapat mengadakan kenduri ala “Wedding of the Year” walaupun terpaksa berhutang dan bergolok-gadai. Sementara menunggu hari pernikahan, ada pasangan yang tidak mampu menahan keinginan terhadap lawan jenis hingga terjerumus ke lembah hina. Manakala kes-kes perceraian juga bermasalah untuk diselesaikan sehingga pihak-pihak yang terlibat terpaksa turun naik Mahkamah Syariah bertahun-tahun lamanya hanya untuk mengesahkan status perceraian yang menyebabkan ramai isteri yang digantung tak bertali. Kedua, tohmahan yang dilemparkan oleh pejuang feminisme terhadap pelaku kasih sayang berangkai menyebabkan hukum-hakam tentang poligami dipandang negatif, malah wajar dihindarkan kerana kononnya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja manakala sebelah pihak lagi akan sengsara. Seolah-olah memiliki perempuan simpanan dan berzina itu lebih baik daripada bermadu. Ketiga, terlalu banyak rangsangan di sekeliling kita kerana ada wanita yang tidak menghiraukan auratnya, malah berbangga mendedahkan auratnya semaksima yang mungkin tanpa ada perasaan malu dan takut dengan azab Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sementelah di Malaysia, tiada hukuman bagi mereka yang tidak menjaga auratnya. Kurangnya kesedaran kepada kaum lelaki akan perintah dalam Surah An Nur ayat 30: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya” yang diburukkan lagi dengan kewujudan pelbagai rangsangan yang lain seperti bahan-bahan pornografi yang dengan mudah diperolehi di mana-mana tanpa dapat dikawal oleh pihak-pihak bertanggungjawab. Apabila naluri meneruskan keturunan (gharizatul an-nau’) yang secara fitrah wujud dalam diri manusia tidak dipandu dengan hukum syarak, maka manusia akan memenuhi naluri tersebut seiring dengan kemahuan nalurinya tanpa mengambilkira standard/ukuran perbuatan tersebut sama ada halal atau haram. Keempat, umat hanya bergantung sepenuhnya kepada ketakwaan individu semata-mata; sedangkan Islam telah menggariskan bahawa hukum Islam akan terlaksana secara sempurna (kaffah) melalui 3 komponan yang dilaksanakan secara serentak iaitu i) ketakwaan individu, ii) kawalan masyarakat dan iii) negara yang melaksanakan hukum syara’. Ini berakibat daripada tiadanya Khilafah Islam yang mana melaksanakan hukum syara’ secara keseluruhan. Keenam, sistem pendidikan yang ada sekarang hanya bertujuan untuk melahirkan pelajar yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented student) semata-mata tanpa menitikberatkan pembentukan syakhsiyah Islam dalam diri setiap pelajar. Para pelajar banya ditekankan supaya mencapai keputusan yang terbaik dalam peperiksaan untuk memastikan tempat di menara gading. Walhal dalam Islam, sistem pendidikan yang diterapkan kepada para pelajar hendaklah berteraskan aqidah Islam yang akan mencerminkan syakhsiyah Islam kepada setiap pelajar.
Oleh itu, sistem pendidikan lebih berkesan dan seimbang kerana para pelajar akan cemerlang dari segi akademik dan juga syakhsiyah Islamiyah.

Disamping itu, di Malaysia juga hukuman yang dikenakan dalam masalah ini hanya tertumpu kepada pesalah yang membuang bayi tetapi tidak kepada pesalah yang melakukan zina. Sedangkan di dalam Islam, perbuatan zina adalah merupakan dosa besar dan termasuk di bawah hukum hudud yang mana pesalah zina lelaki dan wanita yang telah berkahwin (muhsan) dikenakan hukuman rejam manakala yang belum berkahwin (ghaira muhsan) dikenakan sebatan sebanyak 100 kali. Kalau ada pun hukuman untuk pesalah zina di Malaysia, hukumannya terlalu ringan dan tidak terkesan kepada pesalah zina sehingga perbuatan zina semakin berleluasa. Maka, penyelesaian yang hakiki kepada permasalahan ini adalah dengan mengambil Islam sebagai pegangan hidup. Permasalahan ini berlaku kerana umat Islam telah meninggalkan Islam jauh di belakang, hukum Islam tidak diterapkan di tengah-tengah umat dan kehidupan tetapi memilih hukum kufur untuk dijadikan pegangan. Sekiranya, umat Islam kembali kepada Islam dalam menyelesaikan permasalahan umat, pastinya dengan setiap permasalahan dapat dituntaskan dengan mudah dan sempurna. Sesungguhnya, Islam mestilah diterapkan secara keseluruhan dan bukannya hanya sebahagian mengikut manfaat yang akan diperolehi. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Belumkah datang kepada mereka berita penting tentang orang-orang yang sebelum mereka, (iaitu) kaum Nuh, ‘Aad, Tsamud, kaum Ibrahim, penduduk Madyan, dan (penduduk) negeri-negeri yang telah musnah? Telah datang kepada mereka Rasul-Rasul dengan membawa keterangan yang nyata; maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” [TMQ at-Taubah (9) : 70 -71].

Justeru, kewujudan sebuah negara iaitu Daulah Islamiyyah yang akan menerapkan seluruh hukum hakam secara kaffah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 208: “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan.” Yang mana dengannya, sistem hukuman dalam Islam iaitu sistem uqubat akan dapat melaksanakan hukuman kepada pesalah zina sebagai jawabir (penebus) dan zawajir (pencegah) sebagaimana firman Allah: “Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan.” [TMQ An-Nur (24): 2]. Juga sabda Rasulullah: “Ambillah dari aku! Sesungguhnya Allah memberi jalan kepada mereka (perempuan yang berzina), jikalau teruna dengan dara hendaklah disebat seratus kali sebatan, dan dibuang negeri setahun, dan jika yang telah berkahwin dengan yang telah berkahwin hendaklah disebat dengan seratus kali sebatan dan direjam dengan batu sampai mati.” [HR Muslim]. Sesungguhnya dengan berdirinya kali kedua Daulah Khilafah Islamiyyah bukan sahaja masalah zina akan selesai, masalah buang bayi juga akan dapat dielakkan yang mana hal ini pastinya memberi seribu harapan dan khabar gembira kepada golongan wanita khususnya, yang selama ini menanggung sengsara akibat terjebak dalam noda. Wallahu ‘alam bisshawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment