Sunday, May 2, 2010

Kahwin Lari: Isu Lombok VS Isu Lapuk



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Para pembaca budiman,

Nampaknya virus Influenza A H1N1 menyerang lagi. Sehingga 20hb April 2010, sejumlah 75 kes disahkan Influenza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah kes terkumpul adalah 13,274 [Sumber:http://h1n1.moh.gov.my/]. Walaupun Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa negara masih belum mengalami gelombang kedua, rakyat diminta prihatin dan mengambil langkah-langkah pencegahan terutama kumpulan berisiko tinggi. Malangnya, sebahagian umat Islam begitu peka dengan kesihatan fizikal, tetapi tidak memikirkan bahawa ada virus merbahaya yang merebak dengan senyap dan memberi kesan fatal iaitu Sekularisme yang merupakan pemisahan agama dari kehidupan. Virus ini menyebabkan sebahagian umat Islam mencari jalan penyelesaian bukan dari al-Quran dan Sunnah, sebaliknya menggunakan logik akal semata-mata dan lebih fokus kepada menangani gejala atau simptom, dan bukan mengubati penyakit sebenar. Justeru, apabila dihadapkan dengan pelbagai permasalahan seperti kahwin lari dan kes buang bayi yang semakin meningkat kebelakangan ini, mekanisme penyelesaian yang dicadangkan oleh para penguasa beragama Islam tidak memiliki unsur pencegahan, bukan untuk mencari redha Allah Subhanahu wa Taala sebaliknya menggalakkan lagi kemaksiatan dan pelanggaran hukum.

Alhamdulillah, Fikratul Ummah edisi April 2010 menyajikan dua buah artikel iaitu Kahwin Lari: Isu Lombok vs Isu Lapuk dan Buang Bayi kesan Buang Syariat Allah. Disamping dua artikel yang mengupas permasalahan yang sedang hangat diperkatakan di Negara ketika ini, sebuah artikel terjemahan bertajuk Hak-hak Wanita: Antara Islam dan Pembaratan diharap akan dapat mengingatkan kaum Muslimah bahawasanya, puak Kuffar Barat berusaha menjauhkan umat yang mulia ini dari agamanya secara istiqamah, secara konsisten. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka [TMQ Al Baqarah (2): 120].

Wallahu ‘alam bisshawab.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~






Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan,
Tinggal emak, tinggal saudara, kerana kasih hamba turutkan.

Tanam pinang rapat-rapat, biar senang puyuh berlari,
ku pinang-pinang tak dapat-dapat, ku pujuk-pujuk, ku bawa lari.

Pastinya para pembaca selalu terdengar dan pernah terbaca dua buah pantun Melayu klasik ini. Siapakah yang dapat memastikan bilakah pantun klasik ini dicipta? Mungkin ramai yang kurang berminat untuk mengetahui sejarah kewujudan pantun klasik Melayu ini. Sebenarnya, kupasan ini juga bukan bertujuan untuk membicarakan sejak berapa lama pantun ini wujud sebaliknya apa yang lebih penting ialah latar belakang budaya yang mewarnai masyarakat Melayu itu sendiri. Pastinya ramai yang bersetuju apabila dikatakan bahawa pantun itu melambangkan budaya masyarakat. Justeru, kewujudan kedua-dua buah pantun ini sangat sinonim dengan unsur-unsur percintaan dalam masyarakat Melayu antara teruna dan dara dan wujud pula elemen cinta tanpa restu daripada kedua orang tua. Si dara, bersetuju meninggalkan sanak saudara demi mengikut kekasih hatinya. Manakala si teruna pula, setelah berusaha untuk berkahwin dan pinangannya ditolak, jalan terakhir ialah dipujuknya si dara untuk dibawa lari atau kahwin lari.

Pantun ini sebenarnya menceritakan budaya setempat yang mana tidak keterlaluan jika dikatakan ini adalah bukti kewujudan budaya kahwin lari dalam masyarakat Melayu. Bagi pasangan yang asyik memadu kasih tetapi cinta mereka terhalang, kahwin lari ialah penyelesaian masalah mereka. Barangkali juga batasan sempadan negara kurang menonjol dalam masyarakat Melayu lama, dek keterbatasan prasarana dan seumpamanya. Hari ini, isu kahwin lari kembali popular dan semakin hangat diperkatakan. Isu ini mendapat liputan luas di media, baik di akhbar, laman-laman web, televisyen dan sebagainya. Paling sinonim dengan isu kahwin lari mutakhir ini ialah isu Jejak Lombok. Untuk mendapat maklumat ini di internet misalnya, taip perkataan “Lombok” atau “Jejaka Lombok”, deretan berita mengenainya akan muncul…. “Anak dilarikan ke Lombok”, “Lagi mangsa cinta lelaki Lombok”, “Jejaka Lombok punca kami bercerai”, “Ayah tak boleh terima menantu Lombok”, “Keramat cinta Lombok” dan bermacam-macam lagi. Terbaru, akhbar Utusan Online bertarikh 23 Mac 2010 melalui program Sembang Utusan Online telah menjemput Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia yang juga Penganalisis Jenayah yang tidak asing lagi iaitu Encik Kamal Affandi Hashim dan Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd Khairun Aseh untuk ditemubual berkenaan isu “Kahwin di Lombok”.

Menurut sumber berita ini, dianggarkan sejak lima tahun belakangan ini, sekurang-kurangnya 600 gadis Malaysia yang kebanyakannya berusia di bawah umur 18 tahun menjadi suri rumah di Lombok. Lombok adalah nama sebuah tempat yang terletak di Indonesia. Kedudukannya di Kepulauan Nusa Tenggara Barat, Indonesia, jauh ke selatan Pulau Borneo dan berada di kedudukan Barat daya dari Kepulauan Sulawesi. Antara bandarnya yang ternama ialah Mataram. Menurut Kamal Affandi, sosio budaya masyarakat Lombok ialah mengiktiraf dan mengangkat sesiapa juga yang boleh melarikan gadis-gadis dari daerah-daerah berlainan, iaitu mereka akan diiktiraf sebagai ‘orang jantan’ atas kejayaan tersebut. Namun beliau juga mengakui bahawa senario yang mengaitkan kahwin lari dengan “Jejaka Lombok” ini sebagai kebetulan kerana hakikatnya ada banyak kes seperti ini yang melibatkan jejaka-jejaka dari pelbagai negara dan pelbagai benua. Seterusnya beliau menambah, secara kebetulan, di sektor ladang di Malaysia kini, sejumlah besar pekerjanya adalah dari Lombok. Justeru, senario kahwin lari menjadi amat sinonim dengan jejaka Lombok.

Dalam sesi temubual itu juga, Kamal antara lain menerangkan tentang isu gadis bawah umur dan Akta Perlindungan Gadis dan Wanita 1973 yang mana umur dewasa didefinisikan mengikut peruntukan di dalam Akta Umur Dewasa 1971 di mana Seksyen 2 Akta tersebut memperuntukkan “… umur belum dewasa bagi semua lelaki dan perempuan adalah terhad kepada lapan belas tahun…” . Oleh yang demikian gadis yang berumur di bawah 18 tahun dianggap kanak-kanak. Berhubung dengan perkara ini, Kamal selanjutnya menerangkan apa yang dimaksudkan pedofilia dari sudut ilmu jenayah. Menurut beliau, pedofilia ialah suatu klasifikasi lelaki di bawah forensik psikiatrik di mana mereka adalah orang yang mendapat kepuasan apabila melakukan hubungan, sama ada intim atau tidak dengan kanak-kanak. Kamal seterusnya menambah, keadaan ini menjadi bahaya apabila ia melibatkan keadaan melangkau sempadan di mana menurut beliau sekiranya masalah ini berlaku di Malaysia, ia mungkin boleh dianggap sebagai isu kecil. Tetapi apabila ia melangkaui sempadan, maka impaknya menjadi besar, baik kepada keluarga itu sendiri mahupun kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Daripada apa yang dibicarakan dalam temubual yang diringkaskan di atas, beberapa isu penting dapat dikupas. Isu-isu ini sememangnya penting kerana setiap permasalahan yang berlaku pasti ada jalan keluarnya dan sebagai orang Islam yang beriman sepenuhnya kepada Allah dan Rasul, penyelesaian hakiki yang perlu diambil dalam setiap permasalahan ialah dengan kembali kepada Al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah; di sana, kita akan temui penyelesaian yang memuaskan akal dan selari dengan fitrah penciptaan manusia itu sendiri. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Maka jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara maka kembalikan ia kepada Allah (Al-Quran) dan ar-Rasul (As-Sunnah) jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhir.” [TMQ An-Nisa’ (4): 59]

Isu penting yang akan dikupas boleh dibahagikan kepada tiga isu yang besar dan isu-isu sampingan yang lain akan dikupas di bawah isu besar ini. Antara isu yang perlu diperjelas agar pencerahan yang sebenar dapat sama-sama dikongsi dengan umat Islam umumnya dan kaum wanita khususnya ialah isu berkenaan dengan apakah had umur dewasa yang ditetapkan dalam syariat Islam; hak gadis dan hak wali di dalam Islam; dan batasan sempadan negara mengikut syariat Islam.

Umur dewasa dalam Islam

Pedofilia yang dirujuk oleh En Kamal Affandy di atas adalah keadaan di mana lelaki dewasa mempunyai minat terhadap perempuan di bawah umur yang mana umur dewasa yang dimaksudkan oleh beliau ialah 18 tahun. Persoalannya ialah adakah sebarang had umur dewasa dalam Islam?

Umur dewasa atau ‘baligh’ dalam Islam merujuk kepada satu had umur di mana seseorang itu bukan lagi kanak-kanak dan sebaik mencapai umur baligh, seseorang Muslim itu adalah seorang mukallaf yang akan terbeban dengan bebanan hukum yang telah digariskan dalam syariat Islam. Dengan kata lain persoalan mengenai dosa dan pahala akan diambilkira. Umur baligh meletakkan seseorang individu Islam itu bertanggungjawab ke atas bahunya terhadap segala amal perbuatannya. Jika dia melakukan perkara yang baik, dia akan mendapat pahala sebaliknya jika dia melakukan perkara yang berlawanan dengan syariat Islam, maka dia akan berdosa. Tahap umur baligh dalam Islam, berbeza antara kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Ia juga tidak sama antara satu individu dengan individu yang lain. Umum mengetahui tanda baligh bagi kanak-kanak perempuan ialah bilamana dia kedatangan haid. Biasanya seseorang perempuan akan mengalami haid di usia sembilan hingga empat belas tahun. Sekiranya kanak-kanak perempuan itu tidak mengalami haid, di sini Imam Mazhab ada perbezaan pendapat, di mana Imam Abu Hanifah berpendapat umur balighnya ialah 16 tahun manakala dalam mazhab Syafi’e, Imam Ahmad berpendapat, umur baligh ialah 15 tahun. Manakala bagi kanak-kanak lelaki, umur baligh mereka ialah bilamana mereka mengalami ‘mimpi basah’. Bagi yang tidak mengalami ‘mimpi basah’ mazhab Hanafi berpendapat umur balighnya ialah 18 tahun manakala Mazhab Syafi’e berpendapat di usia 15 tahun.

Justeru di mana relevannya umur dewasa di bawah Akta Umur Dewasa 1971 yang mendefinisikan umur dewasa sebagai 18 tahun? Menurut undang-undang yang digunapakai di negara kita hari ini, sesiapa yang berumur di bawah 18 tahun dikira sebagai kanak-kanak dan mereka tidak boleh dikenakan hukuman sekalipun mereka melakukan kesalahan jenayah. Mereka juga perlu dilindungi sebagaimana peruntukan dalam Akta Perlindungan Gadis dan Wanita 1973 yang disebutkan di atas. Jelas di sini bahawa definisi yang digunapakai dalam Akta Umur Dewasa bukanlah definisi yang syar’ie dan tidak melambangkan umur baligh sebagaimana yang disyariatkan dalam Islam.

Seterusnya wajar juga diambil tahu bilakah seseorang itu layak berkahwin menurut pandangan Islam? Untuk tujuan berkahwin, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Wahai genarasi muda, siapa saja di antara kalian yang telah mampu serta berkeinginan untuk menikah, maka hendaklah ia menikah. Sesungguhnya pernikahan itu dapat menundukkan pandangan mata dan memelihara kemaluan.” [HR Muttafaq ‘alaih].

Satu persoalan penting yang juga untuk dikupas di sini ialah berapakah umur gadis yang layak untuk berkahwin? Jika bawah 18 tahun dikira sebagai kanak-kanak, maka adakah ianya suatu kesalahan untuk seseorang perempuan itu berkahwin sekiranya umur mereka belum mencapai 18 tahun? Untuk perkahwinan Islam, undang-undang di setiap negeri menggunapakai enakmen undang-undang negeri masing-masing dalam menangani persoalan tentang undang-undang kekeluargaan. Di Wilayah Persekutuan misalnya, hal ini dirujuk kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 [Islamic Family Law (Federal Territory) Act atau IFLA]. Seksyen 8 IFLA memperuntukkan “Tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu”.

Jelas di sini, seorang perempuan boleh berkahwin sekiranya dia berumur 16 tahun ke atas dan perkahwinan di bawah dari umur ini bagi seorang perempuan juga dibolehkan jika telah mendapat kebenaran daripada Hakim Mahkamah Syariah secara bertulis. Maka, jika kita menggunapakai peruntukan ini, di mana justifikasi kepada persoalan pedofilia yang diutarakan oleh penganalis jenayah dalam temubual di atas tadi? Ini baru mengambilkira dari sudut penggunaan IFLA. Bagaimana pula dari sudut pandang syariat Islam yang sebenar? Bagaimana dengan perkahwinan Junjugan Mulia, Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam dengan Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha? Tidak keterlaluan jika disimpulkan pedofilia hanya rekaan dan ciptaan akal manusia semata-mata tanpa mengambilkira apa yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta "ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung." [TMQ An Nahl (16): 116].

Hak Gadis dan Hak Wali dalam Islam

“Ayah tak boleh terima menantu Lombok” itulah salah satu tajuk berita dalam arkib Utusan Online bertarikh 25hb Februari 2010. Bapa kepada gadis berusia 15 tahun bernama Salsabila yang dibawa lari ke Lombok ini mendakwa bahawa perkahwinan anak gadisnya dengan lelaki Lombok tidak sah kerana mengecualikan dirinya sebagai wali yang masih hidup. Beliau seterusnya menyatakan kekhuatiran kalau-kalau anaknya terkena sihir kerana sejak dibawa pulang ke Malaysia, anaknya asyik teringat kepada lelaki Lombok dan keadaannya seperti orang yang sakit. Persoalannya adakah si ayah mempunyai hak untuk tidak mengizinkan anak gadisnya berkahwin?

Dalam Islam, wali dilarang menghalangi wanita yang hendak menikah berdasarkan dalil daripada sebuah hadis Rasulullah I: “Seorang janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya. Sedangkan seorang gadis hendaklah diminta izinnya. Izinnya adalah diamnya.” [HR Muslim, Abu Dawud, Ibn Majah, dan at-Tirmidzi].

Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha meriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: ‘“Perkahwinan seorang wanita yang menikahkah dirinya sendiri tanpa persetujuan wali adalah batil.’ Baginda menyebutkan hal ini sebanyak tiga kali. “Sekiranya mereka telah melakukan hubungan suami isteri, dia layak menerima mahar atas hubungan suami isteri itu tadi. Sekiranya berlaku perselisihan, qadhi atau hakim adalah wali bagi orang yang tidak memiliki wali.”’ [Sunan Abu Dawud].

Saidatina Aisyah Radiallahu ‘Anha juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Salallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Tiada anak nikah kecuali dengan wali dan seseorang yang tidak memiliki wali, maka dia akan berwalikan hakim.” [HR Ibnu Majah].

Ibnu Abbas Radiallahu ‘Anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Seorang gadis telah datang kepada Rasulullah dan memberitahu baginda bahawa ayahnya menikahkannya tanpa persetujuan dirinya. Rasulullah telah memberi kebenaran kepada gadis itu untuk membuat pilihan.” [Sunan Abu Dawud].
Ibnu Abbas juga meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Seorang wanita yang pernah berkahwin (thayyib) lebih berhak ke atas dirinya dari walinya. Dan seorang gadis hendaklah diajak berbincang (untuk menikahkannya) dan diam tanda setuju” [Sahih Muslim].

Diriwayatkan dari Khansa bt Khidam bahawa bapanya telah menikahnya setelah dia menjanda dan dia tidak menyukai perkahwinan itu. Beliau telah menemui Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam dan baginda membatalkan pernikahan itu [Sahih Muslim].

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “... Janganlah kalian (para wali) menghalangi mereka kahwin semula dengan calon suaminya apabila telah dapat kerelaan diantara mereka dengan cara yang makruf ...” [TMQ al-Baqarah (2): 232]

Isu Sempadan Negara dalam Syariat Islam

Dalam tajuk berita “Ayah tak boleh terima menantu Lombok” itu juga, si ayah telah menggesa kerajaan agar mengharamkan kemasukan pekerja warga Indonesia dari Lombok supaya kejadian menimpa keluarganya tidak berulang lagi. Sementara itu, Felo Penyelidikan Utama, Institut Tamadun Alam Melayu (Atma) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Noriah Mohamed, yang membuat kajian di Lombok dipetik oleh Harian Metro Online sebagai berkata, adat istiadat perkahwinan dalam budaya masyarakat Lombok agak pelik kerana bakal penganitn perlu dibawa lari. Menurut beliau, “Melarikan gadis yang disukai adalah perkara biasa bagi masyarakat di pulau itu dan ia menjadi tradisi berkurun-kurun lamanya. Tindakan pemuda Lombok melarikan gadis yang mereka cintai adalah bagi menunjukkan sikap kelelakian dan keperkasaan mereka”. Beliau seterusnya menambah “Bagaimanapun gadis yang mereka larikan tidak akan ‘dirosakkan’. Masa minimum bakal pengantin perempuan dilarikan ialah tiga hari. Selepas itu, pemuda berkenaan perlu menghantar rombongan meminang pengantin perempuan”.

Jika ditelusuri sejarah, sedangkan Hang Tuah pahlawan Melaka tersohor itu pun melarikan Tun Teja untuk dianugerahkan kepada Sultan, apa lagi jejaka Lombok yang sememangnya menjadi tradisi bagi masyarakat mereka untuk melarikan gadis-gadis yang bakal dikahwininya. Persoalannya yang perlu diteliti di sini ialah berkenaan dengan sempadan negara. Di mana batasan sempadan Negara yang sebenar dalam Islam? Umum mengetahui, lakaran sempadan geografi yang ada hari ini sebenarnya hasil persetujuan penjajah-penjajah imperialis Barat demi kepentingan mereka. Sesuai dengan peringatan Baginda Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tentang nasib umat Islam setelah dijangkiti penyakit wahan melalui hadis riwayat Abu Dawud: "Daripada Tsauban Radiallahu ‘Anhu berkata: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'”. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". Dari lipatan sejarah, Belanda telah mengadakan perjanjian dengan British dengan meletakkan sempadan Indonesia menjadi milik Belanda dan Tanah Melayu menjadi milik British. Dahulunya wilayah ini adalah satu, dikenali dengan nama Wilayah Nusantara yang merupakan salah satu wilayah di bawah naugan Daulah Islamiyyah yang berpusat di Turki. Bukti-bukti sejarah banyak telah dihilangkan, dihapuskan terus agar generasi kemudian tidak mengenali sejarah mereka sendiri. Wali Songo (Wali Sembilan) yang dihantar ke wilayah Nusantara untuk mengembangkan ajaran Islam langsung tidak dikaitkan dengan keberadaan Khilafah Islam yang berpusat di Turki.

Sebenarnya amat penting untuk dikongsikan bersama bahawa sesungguhnya sempadan negara dalam Islam cuma dua iaitu Darul Islam dan Darul Kuffar. Umat Islam bersatu di bawah naungan pemimpin sama yang bergelar Khalifah. Jika umat Islam hari ini sedar akan hakikat ini, nescaya sentimen rumpun bangsa dan elemen-elemen seperti evolusi rentas budaya atau ‘cross culture evolution’ ini bukanlah satu isu yang besar sebenarnya. Malah ia tidak timbul langsung kerana umat Islam sebenarnya umat yang satu, Negara Islam juga negara yang satu. Telah terbukti dalam sejarah Nusantara bahawa penghijrahan, pelayaran dan seumpamanya adalah perkara yang biasa baik untuk masyarakat Nusantara khasnya mahupun masyarakat Islam umumnya. Mereka membuka kawasan-kawasan baru dengan misi yang satu iaitu dakwah Islam. Justeru perkahwinan melangkaui sempadan bukanlah satu masalah selama mana kedua-dua mereka adalah Islam.

Khatimah

Isu “Jejak Lombok” bukanlah isu besar yang sukar dicari jalan penyelesaiannya melainkan ianya sengaja disensasikan agar semakin jauh jurang pemisah antara warga tempatan dan warga asing yang mencari rezeki di negara ini. Hal ini sudah tentu dipicu oleh suntikan jarum assobiyah yang merupakan agenda pihak Kuffar untuk menghancurkan umat Islam. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang atas dasar assabiyyah dan mati kerana (mempertahankan) assabiyyah”.Virus assabiyah ini akan menghalangi sebarang usaha untuk menyatukan umat Islam di bawah ikatan bahawa kaum Muslimin adalah umpama tubuh yang satu: jika salah satu bahagian sakit maka keseluruhan tubuh akan terasa sakit. Ini bermakna setiap Muslim tidak kira Arab, Melayu, Cina, Turki, Kurdis, Pakistan dan sebagainya adalah “ummatan wahidah” dan kita tidak boleh dibezakan antara satu sama lain berdasarkan bangsa mahupun tanahair. Selain itu, kesimpulan yang hendak kita buat terhadap suatu insiden atau peristiwa seperti perbuatan melarikan anak gadis atau menikahi gadis di bawah umur bukanlah dinilai melalui latar belakang pelaku itu sendiri atau berdasarkan undang-undang buatan manusia yang membelakangkan hukum yang digali dari sumber wahyu. Dalam hal ini, kita hendaklah memahami bahawasanya standard perbuatan (miqyas al-‘amal) adalah hukum syarak. Sebagai kaum Muslimin, demi membuktikan kepatuhan kepada Pencipta dan RasulNya, setelah hukum ditetapkan, siapalah manusia untuk membuat pilihan. “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” [TMQ An Nisa (4): 65].






Wallahu’alam bisshawab.

No comments: