KOC Merah Jambu, Penyelamat Maruahku !!



Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,

Pembaca budiman yang dirahmati Allah,

Laporan Kaji Selidik Dunia berkenaan dengan Peranan Wanita dalam Pembangunan tahun 2009 (2009 World Survey on the Role of Women in Development) yang dilakukan oleh Bahagian Kemajuan Wanita, Jabatan Ekonomi dan Hal Ehwal Sosial, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyentuh peri pentingnya akses kaum wanita terhadap sumber ekonomi, sumber kewangan termasuk kewangan mikro demi memastikan pertumbuhan ekonomi, pembasmian kemiskinan serta kebajikan keluarga dan masyarakat. Ia memberi konotasi seolah-olah akses setara terhadap sumber-sumber tersebut akan memastikan kaum wanita yang sering dianggap sebagai kaum yang lemah ini akan terbela. Hakikatnya, kukuhnya ekonomi sesebuah negara yang diukur dengan Keluaran Negara Kasar (KNK), pendapatan perkapita dan sebagainya tidak pernah menjamin sejahteranya wanita daripada cengkaman dan menjadi mangsa gejala sosial.

Syukur Alhamdulillah Fikratul Ummah edisi Mei 2010 menyajikan dua buah artikel. Artikel bertajuk Koc Merah Jambu Penyelamat Maruahku?’ mengupas tentang usaha murni yang dilakukan KTMB dengan menyediakan koc khas untuk kaum wanita. Manakala artikel ‘Wahai Bonda, kalian bukan Ibu si Kucing! Ayuh, Berdakwahlah!’ bertujuan untuk menyuntik semangat dalam kalangan ibu-ibu muslimah khususnya untuk terjun dalam dunia dakwah dan melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Adalah menjadi harapan kami semoga apa yang dipaparkan akan menyedarkan ibu-ibu muslimah bahawa melakukan dakwah adalah satu kewajipan dan bukannya satu pilihan. Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri [TMQ Al Fussilat (41): 33].




Wallahu a’lam bisshawab.



~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~








Bayangkan betapa tenangnya hati dan minda seorang wanita ketika hendak berpergian atau ketika kembali ke rumah dengan menaiki kenderaan awam yang menenteramkan hati. Jika hendak terlelap, tak perlu risau akan ada “garpu merayap” dari lelaki-lelaki nakal yang mungkin mengambil kesempatan terutamanya ketika kenderaan penuh sesak dengan penumpang. Kesesakan lalu lintas di waktu puncak terutamanya di bandar-bandar besar menyebabkan sebahagian rakyat termasuk kaum wanita memilih untuk menaiki kenderaan awam seperti kereta api dan sistem transit aliran ringan (LRT).

Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul - Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula 27 April 2010. Perlaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan komuter adalah terdiri daripada kaum wanita. Demikian petikan dari laman web rasmi Keretapi Tanah Melayu Berhad KTMB yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, KTMB [http://www.ktmb.com.my/Story.aspx?Id=3351]. Menggunakan tema ‘wanita sahaja sepanjang masa’ atau ‘Ladies Only At All Times’ koc wanita ini berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink). Menurut sumber itu lagi para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.

Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut: Koc Hadapan - Koc Biasa (lelaki dan wanita) - Koc Tengah - Koc Wanita (wanita sahaja) - Koc Belakang - Koc Biasa (lelaki dan wanita)

Pengenalan Koc Wanita ini adalah bertujuan untuk memberi lebih keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual dan bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. Walau bagaimanapun, kanak-kanak lelaki yang berumur kurang dari 12 tahun yang membuat perjalanan bersama pengiring/saudara wanita, mereka dibenarkan menaiki koc ini. Selain menyeru orang ramai agar menghebahkan kemunculan gerabak “pink”, sumber tersebut turut menyatakan bahawa pengguna wanita tidak diwajibkan menggunakan Koc Wanita sahaja ketika menggunakan perkhidmatan KTM Komuter. Mereka boleh memilih sama ada untuk menggunakan Koc Wanita atau koc biasa. Walau bagaimanapun, memandangkan kemudahan telah disediakan, KTM Berhad menggalakkan pengguna wanita untuk mencuba kemudahan Koc Wanita ini.

Berbagai pandangan mengenai Koc Wanita

Rencana bertajuk “Koc wanita beri keselesaan”, oleh Mazlina Abdul Majid yang disiarkan di Kosmo pada 16 Mei 2010, [mazlina@kosmo.com.my], antara lain memetik kata-kata Pemangku Pengerusi Kanan Komunikasi Korporat Keretapi KTMB, Encik Mohd Fazil Ismail di mana beliau menegaskan bahawa koc wanita diwujudkan bukanlah petanda bahawa kegiatan jenayah seperti gangguan seksual ataupun kes si penyeluk saku berlaku secara berleluasa. Menurut beliau: “Aduan berbentuk gangguan ke atas kaum wanita tidak di tahap serius, tetapi kita tidak mahu pepatah sudah terhantuk baru nak tengadah. Ini kerana kita percaya, kes ada berlaku tapi orang ramai tidak buat aduan, jadi lebih baik kita bergerak ke hadapan”.

Matlamat koc berasaskan gender ujar beliau adalah untuk memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan dalam keadaan bersesak-sesak. Beliau seterusnya menambah, Malaysia bukanlah negara tunggal yang mengimplementasikan kemudahan itu kerana ia dimulakan oleh negara Jepun dengan koc wanita pertamanya beroperasi di Tokyo kemudian diperluaskan ke bandar raya Osaka, Nagoya dan lain-lain. [http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0504&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm]. Sementara itu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Bin Noordin, melalui blognya pada hari Jumaat 2 April 2010, [http://zul4kulim.blogspot.com/2010/04/koc-wanita.html], menegaskan bahawa usul mewujudkan koc wanita bukan bermaksud mendiskriminasikan kaum wanita tetapi bertujuan untuk memberi keselesaan kepada mereka. Wanita boleh memilih untuk menggunakan koc khas “wanita”, ataupun menaiki koc bercampur, itu hak mereka dan terpulanglah kepada mereka. Melalui artikel bertajuk “Gerabak asing KTM OK, tapi jangan paksa”, G. Manimaran dan Syed Mu’az Syed Putra mengutarakan beberapa pendapat daripada kalangan pemimpin wanita, antaranya mereka memetik Dr. Hamidah Marican selaku Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS) dipetik sebagai berkata, “Saya menyambut baik tetapi pilihan harus diberikan sama ada mahu menggunakan gerabak lelaki atau wanita”. Hamidah berpendapat perkara-perkara seperti ini perlu diperhalusi supaya tidak mencetuskan suasana tidak senang dalam kalangan pengguna.
Dalam pada itu, Ketua Wanita parti komponen Pakatan Rakyat juga menerima baik cadangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mewujudkan gerabak berasingan untuk wanita kerana hal ini akan memberi keselesaan perjalanan kepada golongan hawa dan menjamin persekitaran yang lebih selamat. Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat, Zuraida Kamaruddin berkata, pengasingan yang dimaksudkan akan memberi lebih keselesaan kepada golongan wanita selain melindungi mereka daripada gangguan seksual. “Cadangan mewujudkan gerabak berasingan ini bagus kepada golongan wanita kerana selain memberikan keselesaan sepanjang perjalanan, mereka juga selamat daripada masalah gangguan seksual”. Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh juga berpendapat pengasingan akan meningkatkan keselamatan kepada golongan tersebut apabila menggunakan pengangkutan awam. “Apabila ada gerabak berasingan ini, wanita akan berasa lebih selamat dan selesa semasa menggunakan perkhidmatan komuter. Apa yang penting mereka tidak akan lagi mengalami masalah gangguan seksual apabila berada dalam komuter.”[http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/58959-gerabak-asing-ktm-ok-tapi-jangan-paksa]

Ada juga yang mempersoalkan mampukah koc pink ini menjaga maruah wanita atau sekadar menyediakan keselesaan kepada wanita semasa menaiki kenderaan awam? Pendapat oleh Marina Chin Abdullah ini mungkin mampu mengetuk minda kita, beliau menyatakan “Pengasingan seks bukanlah penyelesaian mutlak. Ianya seperti menampalkan plaster yang merupakan sementara, namun isu sebenar kepada keganasan masih belum diatasi. Disamping itu, langkah ini juga memberikan persepsi bahawa lelaki tidak boleh dipercayai manakala wanita sememangnya terdedah kepada risiko yang tinggi dan memerlukan perlindungan”. http://web1.themalaysianinsider.net/index.php/opinion/breaking-views/58989-pengasingan-gerabak-kereta-api--maria-chin-abdullah. Presiden Persatuan Pergerakan Wanita (Awam), Haslinah Ya’cob berkata cadangan tersebut mesti dikaji dengan lebih teliti. Beliau menambah “Kalau untuk meningkatkan keselesaan golongan warga emas, wanita, keluarga dan sebagainya, penyelesaian yang lebih baik adalah menambah gerabak dan menambah frekuensi perjalanan untuk mengelakkan keadaan penuh sesak”. http://web1.themalaysianinsider.net/index.php/bahasa/58361-gangguan-seksual-gerabak-gender-ktm-bukan-idea-logic

Begitulah antara berbagai-bagai pendapat, daripada kalangan lelaki mahupun wanita di Negara 1Malaysia ini. Ada yang bersikap positif dan ada juga yang bersikap negatif. Namun Fikratul Ummah (FU) kali ini bukanlah hendak mempertikaikan kewujudan Koc Wanita kepada pengguna kenderaan awam. Apa yang hendak dikupas ialah isu sosial terkait wanita, peranan individu, masyarakat dan Negara dalam menangani isu sosial itu tadi berdasarkan hukum hakam yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam.

Hukum Syara' berkaitan ikhtilath (percampuran antara lawan jenis)

Sebenarnya apa yang perlu difahami oleh umat Islam adalah tentang hukum syarak berkaitan dengan ikhtilath iaitu percampuran antara lawan jenis supaya kita memahami bahawa isu yang hendak diselesaikan bukanlah terfokus kepada koc berwarna merah jambu yang diperkenalkan oleh KTMB. Secara umumnya menurut ajaran Islam, prinsip asas interaksi antara lelaki dan perempuan adalah terpisah. Ini bermakna, dalam seluruh aspek kehidupan dan di semua tempat sama ada di tempat khusus ataupun di tempat umum, interaksi antara lelaki dan perempuan secara umumnya adalah dilarang. Banyak dalil yang menunjukkan hukum pemisahan antara dua jantina ini, dan banyak hadis yang menjelaskan hukum berkaitan hal ini sama ada di tempat umum mahupun khusus (seperti di rumah dsb):

Abu Dawud telah meriwayatkan hadis-hadis seperti di bawah: Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, "Barisan yang terbaik untuk lelaki adalah barisan hadapan, (yang paling jauh dari barisan wanita) dan barisan yang paling baik untuk wanita adalah di barisan belakang dan yang terburuk adalah di hadapan (paling hampir dengan barisan lelaki)." [HR Abu Dawud]

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melihat kaum lelaki dan perempuan di luar masjid bergerak bersebelahan antara satu sama lain. Beliau (Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam) menahan kaum perempuan lalu berkata, "Adalah tidak elok untuk kalian berjalan di tengah-tengah laluan ini, adalah lebih baik bagi kalian untuk berjalan mengikuti tepi-tepi dinding." [HR Abu Dawud]

Dalam Sunan Abu Dawud, muka surat 284, Hadis No 4931, diriwayatkan dengan kebenaran Saidatina Aishah Radiallahu Anha, beliau berkata: "Aku selalu bermain dengan teman-temanku dan tatkala Rasulullah masuk, mereka(teman-temanku) akan pergi dan apabila beliau (Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam) keluar, mereka akan kembali semula."

Dalam Sunan Abu Dawud , Hadis No. 4933, diriwayatkan bahawa Aishah Radiallahu Anha berkata: "Rasulullah mengahwiniku pada usia tujuh tahun dan kami mengadakan hubungan di usia sembilan tahun dan apabila aku berpindah ke Madinah, segolongan wanita mempersiapkan ku untuk majlis perkahwinan ku dan tidak pernah sekali-kali mereka mahupun aku, bercampur dengan lelaki di dalam rumah yang dipenuhi wanita. Pihak wanita menyambutku dan pihak lelaki menyambut Rasulullah dan kemudian kami masuk ke rumah."

Dalam Sunan Abu Dawud Vol. 4, muka surat 370, Hadis No. 5273, diriwayatkan dengan kebenaran Nafih bahawa Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, "Usah berjalan di antara dua lelaki ataupun di antara dua wanita di satu lorong." [HR Abu Dawud]
Ini bermakna lelaki dan wanita perlu mengelak daripada membuat sebarang hubungan dengan lawan jenis sama ada sesama muslim atau bukan muslim kecuali dalam hal-hal tertentu seperti melakukan dakwah. Sungguhpun begitu, jenis pergaulan yang dibenarkan pada keadaan ini, bukanlah bebas, dan ianya terhad mengikut aturan dan batasan-batasan tertentu yang dibenarkan oleh Syarak seperti tempat pertemuan sama ada dalam rumah atau kenderaan persendirian, dalam kehidupan umum seperti di pusat beli-belah, sekolah, universiti, dsb. Justeru, kewujudan koc terpisah antara lelaki dan wanita adalah satu langkah terpuji untuk memastikan wanita berasa tenang berada di tempat umum.
Apa yang mesti difahami oleh umat Islam khususnya muslimah ialah Allah Subhanahu wa Ta’ala yang menjadikan lelaki dan wanita menurunkan Islam ini bersama-sama dengan aturan iaitu hukum-hakam untuk memastikan interaksi antara kedua jantina ini tidak menyalahi hukum syarak. Dalam hal ini, memandangkan tidak wujudnya Islam dalam kehidupan dalam sebuah Negara (Daulah Islamiyyah) gangguan seksual yang melanda wanita termasuk muslimah dapat dielakkan melalui kewujudan dua daripada tiga unsur perlaksanaan Islam Kaffah iaitu i) Ketaqwaan individu dan ii) Kawalan masyarakat.

Ketaqwaan individu

Selain daripada hukum-hakam melarang interaksi antara lawan jenis kecuali dalam hal-hal tertentu, antara beberapa hukum-hakam yang ditetapkan Allah ‘Azza wa Jalla selaku AsSyari’ (Pembuat Hukum) adalah perintah menundukkan pandangan, hukum menutup aurat iaitu memakai khimar (tudung) dan mengenakan jilbab serta larangan bertabarruj.
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." [ TMQ: al-Nur (24): 30-31]

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya.” [TMQ Al-Ahzab (33): 59]

Larangan bertabarruj dirakamkan dalam al-Qur’an, firman Allah yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian(luar) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan (tabaruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [TMQ An Nur(24):60]

“Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: [1] Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan [2] para wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggak-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.” [HR. Muslim no. 2128]

Kawalan Masyarakat

Kawalan masyarakat adalah dalam rangka untuk melaksanakan perintah amar makruf nahi mungkar. Apa yang dilakukan oleh KTMB sebagai sebuah organisasi adalah salah satu langkah kawalan oleh masyarakat. Ini bermakna, bukan KTMB sahaja yang perlu “turun padang” sebaliknya organisasi, kelompok-kelompok dalam masyarakat seperti badan bukan kerajaan (NGO), parti dan gerakan Islam juga hendaklah melaksanakan amar makruf nahi mungkar yang mana pematuhannya adalah prasyarat menjadi umat terbaik (khairu ummah).
Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah. [TMQ Ali-Imran(3): 110]. Selain itu, penyedia pengangkutan awam yang lain seperti bas awam, sistem transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya dan Ampang juga hendaklah mengambil langkah-langkah yang serupa.

Khatimah

Kedua unsur (i) ketaqwaan individu dan ii) kawalan masyarakat adalah mekanisme yang wujud pada hari ini yang dilakukan oleh individu serta anggota masyakat dalam usaha mencegah kemungkaran seperti gangguan seksual dan sebagainya yang sering kali menjadi kebimbangan wanita apabila berada di tempat umum dan bukan hanya dalam pengangkutan awam sahaja. Walau bagaimanapun, ketiadaan sebuah Negara (Daulah Islam) yang mana dengannya seluruh hukum hakam terlaksana secara kaffah menyebabkan tidak adanya penguatkuasaan ke atas hukum hakam yang mesti dipatuhi oleh anggota masyarakat termasuk menyediakan ruangan khusus seperti koc berwarna merah jambu yang dilakukan oleh KTMB. Selain itu, ketiadaan penguasa yang menerapkan sistem perundangan Islam juga menyebabkan kaum wanita berasa selamat berada di dalam koc-koc ini tetapi sebaik sahaja kaki melangkah keluar dari stesyen kereta api, hati mereka mula diulit kebimbangan kerana ancaman gangguan seksual menunggu mereka setiap kali mereka berada di tempat umum.

Hal ini berbeza apabila hukum Islam diterapkan. Institusi negara atau khalifah akan benar-benar menjaga keselamatan golongan wanita. Sebagai contoh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah mengisytiharkan jihad ke atas Yahudi Bani Qainuqa’ hanya kerana tersingkapnya aurat seorang Muslimah. Khalifah al-Mu'tasim Billah tanpa berlengah terus membela seorang Muslimah yang dicabul oleh orang Romawi di kota Amuria. Hanya kerana membela seorang rakyatnya yang dinodai, Khalifah yang memimpin umat Islam mengirimkan ratusan ribu pasukan kaum Muslimin hingga berhasil menakluki kota tersebut. Para Khalifah memahami bahawa menjaga rakyatnya adalah tanggungjawab dan amanah yang Allah telah pikulkan ke atas bahu mereka. Mereka sentiasa ingat dan mematuhi perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam: “Imam (Khalifah) adalah laksana perisai (pelindung) di mana orang-orang berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya”. [HR Muslim].

Sesungguhnya setiap permasalahan yang terkait dengan wanita sebenarnya sangat mudah untuk diselesaikan iaitu apabila melaksanakan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan. Islam bukan hanya perlu diimplementasi dalam ibadah spiritual (amalan ruhiyyah) semata-mata tetapi Islam mesti diterapkan secara keseluruhan dalam seluruh kehidupan. Sekiranya Islam tidak diterapkan secara kaffah, maka sampai bila-bila pun wanita Muslimah khususnya dan umat Islam umumnya hidup dalam ketakutan. Wanita akan terus-menerus dieksploitasi tenaga dan tubuhnya, menjadi pelampias nafsu dan kekerasan lelaki manakala umat Islam sendiri akan terus menerus diracuni pemikirannya oleh pemikiran-pemikiran rosak Barat malah akan terus diperbodoh-bodohkan dan dipandang rendah oleh Barat. Taraf pemikiran umat Islam juga akan menjadi mundur.
Pendek kata umat Islam keseluruhannya akan terus lena dan hanyut oleh tipu daya si Kuffar Barat yang sememangnya menginginkan Islam dan umat Islam terus hancur terkubur supaya matlamat mereka untuk menguasai dunia akan menjadi kenyataan. Sedarlah wahai Muslimah dan umat Islam, tegakkan kembali hukum syariat Islam dan seterusnya melaksanakan Islam secara kaffah di bawah naungan Daulah Khilafah agar nasib seluruh umat Islam akan terbela dan terjamin tanpa gangguan si Kuffar Barat. Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya”. [TMQ Al-Baqarah (2): 208]

“Dan mengutus seorang Rasul yang membacakan kepadamu ayat-ayat Allah yang menerangkan (bermacam-macam hukum) supaya Dia mengeluarkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal yang soleh dari kegelapan kepada cahaya”. [TMQ At-Talaq (65): 11]

Wallahu a’lam bisshawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment