OH AMAH CAN LIVE WITH YOU BUT CAN'T LIVE WITHOUT YOU


Rutin kehidupan bagi seorang wanita yang berkerjaya; keluar dari rumah di pagi hari, seharian di pejabat dengan tugasan yang tiada penghujungnya, menghadapi kesesakan lalulintas yang memeningkan kepala dan terdedah kepada segala bahaya yang semakin berleluasa hari ini. Natijahnya, beliau terpaksa meninggalkan anak-anak dan urusan rumahtangga yang menjadi kewajiban mendasar bagi seorang isteri dan ibu. Tugasan ini hanya digalas semula apabila beliau pulang ke rumah menjelang dinihari; bertukar karektor dari seorang wanita kerjaya menjadi suri di dapur, bertungkus-lumus menyediakan makan malam untuk suami dan anak-anak, sambil membasuh dan menyidai pakaian, seterusnya menyelesaikan segala urusan rumahtangga yang terbengkalai. Kehendak suami dan anak-anak yang inginkan layanan sempurna perlu dipenuhi sebelum melelapkan mata dan kembali menjalankan rutin harian yang sama apabila celik mata pada keesokan harinya. Begitulah diari seorang ibu dan isteri yang bekerja.

Persoalannya, wajarkah senario ini berlaku? Apakah punca utama seorang wanita yang juga isteri dan ibu, keluar bekerja sehingga menomborduakan tanggungjawabnya di rumah? Apabila diteliti dengan mendalam, kita akan menyedari bahawa terdapat desakan tertentu yang memaksa wanita untuk hidup seperti layaknya seorang ‘superwomen’. Desakan yang dimaksudkan di sini sebenarnya lahir akibat keperluan untuk memenuhi tuntutan ekonomi rumahtangga yang kian membebankan di dalam sistem kehidupan sekular-kapitalisme hari ini. Contohnya, perbelanjaan pendidikan anak-anak yang semakin mencengkam, keinginan untuk memiliki keperluan sekunder seperti kereta, rumah yang selesa dan lain-lain, serta impian untuk memastikan sebuah kehidupan berkeluarga yang sentiasa bahagia tanpa belenggu bebanan kewangan. Maka, bagi yang berkemampuan, anak-anak dan urusan rumahtangga terpaksa diserahkan sepenuhnya kepada pembantu rumah. Alternatif lainnya, ada dikalangan ibu berkerjaya ini meletakkan tugas mengurusi anak-anak mereka kepada pusat asuhan ataupun menggunakan perkhidmatan ‘baby sitter’. Manakala bagi yang kurang berkemampuan untuk menggaji seorang pembantu, perkhidmatan pembantu rumah ‘on call’ juga turut disediakan. Mereka hanya perlu menghubungi agen-agen yang menguruskan perkhidmatan tersebut yang semakin mudah didapati sama ada di ruangan internet, melalui iklan-iklan yang diedarkan ataupun melalui kenalan-kenalan yang juga menggunakan perkhidmatan ini. Apapun pilihan yang dibuat, tujuannya hanya satu, iaitu untuk mengurangkan dan meringankan beban urusan rumahtangga yang agak sukar diselesaikan oleh kudrat seorang wanita berkerjaya.

Realiti ini membawa kepada kemasukan pekerja warga asing ke dalam negara. Statistik terbaru melaporkan 1.92 juta pekerja asing yang sah setakat Disember 2009. [Utusan Malaysia, 3 Mac 2010]. Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 991,940 orang dan daripada jumlah tersebut hampir 280, 000 bekerja di dalam sektor pembantu rumah. Jumlah ini menyumbang kepada bekalan 80% pembantu rumah warga asing Negara.[Utusan Malaysia, 16 Februari 2010]. Di antara faktor yang menyumbang kepada jumlah terbesar warga Indonesia yang bekerja di Malaysia adalah kerana kesediaan untuk menerima tawaran gaji yang lebih rendah berbanding dengan pembantu rumah asing dari negara lain, kedudukan geografi yang lebih hampir dan persamaan sosio-budaya, bahasa serta rumpun bangsa. [Laporan pembentangan Dewan Rakyat, Sidang kedua, berkaitan isu pembantu rumah, Kementerian Sumber Manusia].

REALITI
Kusangkakan cerah hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari; begitulah diibaratkan realiti yang berlaku sama ada dipihak pembantu rumah atau majikan tempatan sendiri. Hal ini dibuktikan daripada kes-kes yang melibatkan penderaan fizikal dan mental yang dilakukan oleh pihak majikan kepada pembantu mereka. Walaupun masih boleh dikategorikan sebagai kes terpencil, kes-kes ini menimbulkan suasana tegang bukan saja di antara majikan dengan pembantu rumah mereka, malah turut mengeruhkan hubungan di antara dua negara berjiran.

Kisah malang pembantu rumah dari Indonesia, Nirmala Bonat beberapa tahun lepas masih segar di dalam ingatan. Kes penderaan ini disifatkan sebagai kezaliman seorang majikan terhadap pekerjanya. Cerita mengenainya tersebar luas selama dua tahun sehingga mencetuskan tunjuk perasaaan anti Malaysia di Indonesia. Presiden Susilo Bambang Yudiyono juga turut memberi perhatian serius sehingga mengambil peluang untuk bertemu Nirmala ketika sesi lawatan presiden itu ke Malaysia. Majikan kejam tersebut, Pek Hua telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun atas tiga pertuduhan di bawah seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata. [Utusan Malaysia, 28 Oktober 2009].

Nasib yang sama juga menimpa pembantu rumah warga Indonesia bernama Siti Hajar yang berusia 33 tahun. Beliau telah disimbah dengan air panas oleh majikannya sehingga menyebabkan kecederaan yang serius pada muka dan tubuh badannya. Selama 3 tahun tinggal bersama-sama majikannya, gaji sebanyak RM500 sebulan tidak pernah dibayar, malah beliau diseksa dan didera dengan pelbagai cara malah yang lebih menyakitkan apabila beliau diberi makan nasi berlauk daging babi! Sungguh biadap perbuatan yang dilakukan oleh majikan ini kerana ia seolah-olah mencabar hukum Islam yang jelas dan telah pun diketahui umum.

Inilah di antara kes-kes penderaan yang pernah dilaporkan dan mendapat perhatian masyarakat umumnya. Sungguh memalukan dan memberi impak negatif kepada negara sehinggakan pada 25 Jun 2009, kerajaan Indonesia melalui kedutaannya di Kuala Lumpur telah membuat pengumuman untuk membekukan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia berkuatkuasa serta merta. Walaubagaimanapun, pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah Indonesia ke negara ini telah ditarik semula berikutan rundingan tahunan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada 18 Mei 2010 yang lalu.[Utusan Malaysia, 28 Mei 2010].

Ironinya, isu penderaan pembantu rumah yang seringkali dihidangkan oleh media massa selama ini seolah-olah meletakkan majikan sebagai satu-satunya pihak yang dipersalahkan di dalam kemelut ini, sedangkan perlu juga ditekankan di sini bahawa ada juga kes-kes di mana pihak majikan pula yang menjadi mangsa tindakan pembantu rumah mereka. Tindakan seperti sanggup menendang anak kecil majikan berkali-kali sehingga terpelosok, malah memijak-mijak tubuh anak kecil tersebut sehingga menangis kesakitan semata-mata kerana pembantu rumah kepenatan melayan kerenahnya pernah dilaporkan sebelum ini. Ini dirakamkan melalui litar rakaman tertutup (CCTV) dari sebuah keluarga mangsa melalui laman You-Tube di internet yang menunjukkan penderaan seorang bayi berusia 18 bulan oleh pembantu rumah ketika ibu bapanya keluar bekerja. Penderaan tersebut hanya disedari oleh doktor yang merawati anak kecil tersebut dan kemudiannya membuat laporan polis setelah mendapati kesan darah, lebam dan calar pada tubuh anak kecil itu. Pembantu rumah tersebut telah mengaku bersalah dan sedang menerima hukuman sejak 11 Mac yang lalu.

Begitu juga yang berlaku di Desa Subang Permai apabila empat orang anak-anak majikan telah didera oleh pembantu rumahnya sehingga lebam-lebam di seluruh badan. Tambah menyedihkan apabila amah tersebut melarikan diri dengan membawa wang tunai sebanyak RM200.00 serta komputer riba milik majikannya.

Berbeza dengan kejadian yang berlaku di Kuala Terengganu, seorang pembantu rumah bertindak berani dengan membakar rumah majikannya serta melarikan diri bersama-sama wang sebanyak RM500.00 dan dua buah komputer riba serta mengakibatkan kerugian yang dianggarkan sebanyak RM115,000.00 bagi pihak majikan tersebut. Perlakuan ini disifatkan sebagai tidak mengenang budi kerana kehadiran pembantu rumah itu di dalam keluarga malang tersebut dianggap seperti anaknya sendiri dan dilayan dengan baik seperti menatang minyak yang penuh. [BERNAMA, 7 Januari 2010].

PENYELESAIAN HARI INI

Kemelut yang berlaku pastinya mengundang keresahan kepada kedua-dua pihak; majikan tempatan dan pembantu rumah warga asing. Di saat wanita dihimpit kesibukan mengurusi karier dan rumahtangga, mereka akhirnya terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah. Pada masa yang sama, ruang dan peluang ini digunakan oleh warga asing yang berniat untuk memperbaiki tahap sosio-ekonomi masing-masing. Isu ini juga menuntut perhatian serius dari pihak kerajaan kedua-dua negara kerana ia terkait dengan kepentingan ekonomi serta pembelaan terhadap nasib warganegara masing-masing.

Kemelut yang melanda Malaysia khususnya, dan kepada majikan tempatan umumnya mengenai isu pembantu rumah Indonesia ini dikatakan menemui ‘jalan penyelesaiannya’ apabila Memorandum Persefahaman [Memorandum of Understanding (MOU)] ditandatangani di antara Indonesia dan Malaysia. MOU ini antara lain menyepakati bahawa pihak majikan perlu memberi kebenaran untuk memberi cuti satu hari seminggu kepada pembantu rumahnya. Perdana Menteri berkata, “Kalau kedua-dua pihak (majikan dan pembantu rumah) tidak mengambil cuti maka pekerja berkenaan boleh dibayar pampasan kepada cuti berkenaan dan dibayar bersesuaian dengan gaji mereka”. [Utusan Malaysia, 28 Mei 2010]. Selain itu, pembantu rumah juga dibenarkan untuk memegang sendiri passport masing-masing tidak sepertimana hari ini, passport tersebut berada di dalam simpanan pihak majikan. Datuk Seri Najib Tun Razak juga menjelaskan bahawa, “Bagi pasport pula, ia juga boleh dipegang majikan atas persetujuan bersama manakala soal gaji minimum akan terus dibincangkan antara kedua-dua Negara”.

Sesetengah pihak menyatakan persetujuan dengan rancangan kerajaan ini dengan pandangan bahawa mereka (baca: pembantu rumah) juga manusia yang perlukan rehat setelah seharian menjaga anak-anak majikan dan mengurusi rumahtangga. Walaubagaimanapun, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan menyatakan bahawa kebenaran tersebut (cuti seminggu dan memegang passport sendiri) adalah satu peluang terbaik untuk pembantu rumah terbabit bertindak untuk melarikan diri. Beliau juga melahirkan rasa bimbang terhadap implikasi daripada pelaksanaan rancangan tersebut. Maka, beliau mencadangkan perlunya pemantauan lebih ketat terhadap mereka. Walaubagaimanapun, beliau tidak membantah pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri. [Utusan Malaysa, 18 Mei 2010].

Pelbagai pandangan diperolehi setelah MOU ini ditandatangani. Hal ini menimbulkan polemik tidak berkesudahan tentang kewajaran pelaksanaan pelbagai cadangan di dalam MOU tersebut. Ada pihak yang mendakwa bahawa perjanjian ini seperti memihak dan seolah-olah memanjakan pekerja Indonesia. Ada pula yang bimbang dengan pelbagai kemungkinan buruk sekiranya cuti sehari yang diberikan itu disalahgunakan oleh pembantu rumah seperti dengan melarikan diri dan mencari peluang pekerjaan lain kerana dipengaruhi oleh PATI senegara. Selain itu, timbul juga kemungkinan mereka menjadikan majikan sebagai batu loncatan untuk masuk ke Malaysia sebelum bertindak lari daripada majikan tersebut. Akibatnya, majikan tetap akan didenda di kemudian hari walaupun telah membayar ribuan ringgit bagi kos pengambilan pembantu rumah melalui agen sah. Tidak kurang juga yang mula mempersoalkan pihak manakah yang sanggup memberi jaminan bahawa pembantu rumah ini tidak akan melarikan diri atau melakukan sesuatu di luar batasan seperti penderaan anak-anak majikan, kecurian dan sebagainya sekiranya passport diberikan kepada mereka untuk disimpan. Begitulah keluhan dari segelintir masyarakat kita yang mungkin pernah melalui pengalaman pahit berurusan dengan pembantu warga asing ini.

Selain itu, langkah-langkah yang pernah diimplementasikan untuk mengatasi kebergantungan para majikan tempatan terhadap pembantu rumah warga asing ini masih menampakkan kepincangan dalam pelaksanaannya. Sebelum ini, agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat swasta disyorkan untuk mendirikan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja. Pihak ini ditawarkan insentif dengan pengurangan cukai sebanyak 10% setahun atas kos penubuhan pusat bagi tempoh 10 tahun serta diberikan geran RM80,000 untuk renovasi dan kelengkapan perabot.[BERNAMA, 14 April 2009].

Ahli Parlimen PAS-Rantau Panjang, Siti Zailah Yusof pernah mengajukan cadangan agar kerajaan mempergiatkan usaha untuk menggalakkan rakyat negara ini mengambil pembantu rumah di kalangan warga tempatan. Beliau juga berkata, kerajaan tidak seharusnya memikirkan soal kewangan semata-mata tetapi perlu juga menitiberatkan soal akhlak dan moral anak-anak bangsa pada masa hadapan. Beliau juga turut melahirkan kebimbangan terutama soal pengaliran wang negara ke negara asing jika kerajaan terus menggalakkan pengambilan pembantu warga asing ke negara ini. Ujar beliau:- “Jadi apakah penyelesaian jangka panjang pihak kerajaan supaya menggalakkan pembantu rumah warga tempatan diberi peluang dan jangan kita hanya fikirkan soal kewangan tetapi ini penting untuk masa depan anak-anak kita”. [http://www.harakahdaily.net/, 13 Mei 2008].

PENYELESAIAN SEBENAR DALAM ISLAM

Hukum asal bagi wanita bekerja adalah mubah (harus) bukannya wajib seperti yang dianggap oleh segelintir masyarakat; khasnya apabila melibatkan golongan yang berpendidikan tinggi. Malah, bukanlah tanggungjawab wanita untuk memastikan ekonomi rumahtangganya kukuh serta segala keperluan di dalamnya mewah, yang akhirnya memaksa beliau untuk keluar bekerja bersama-sama suami. Tanggungjawab utama seorang wanita apabila bergelar isteri ialah ummu wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumahtangga). Maka, adalah sangat tidak wajar apabila wanita dipaksa untuk meletakkan bebanan kerjaya sebagai keutamaan melebihi tanggungjawabnya kepada keluarga.

“Setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoalkan atas apa yang dipimpinnya. Seorang amir adalah pemimpin (kepada rakyatnya), seorang lelaki adalah pemimpin ke atas ahli keluarganya dan seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya dan anak-anaknya. Maka setiap daripada kalian adalah pemimpin dan setiap daripada kalian akan dipersoal akan apa yang dipimpinnya”. [Hadis Hadis Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya – hadis no: 5200 (Kitab al-Nikah, Bab seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya)].

Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna wanita tidak diperlukan langsung di dalam industri pekerjaan. Contohnya, Saidatina Khadijah menjadi usahanita dan kekayaannya digunakan untuk mendukung Islam. Di dalam sejarah Islam, wanita juga pernah memberikan sumbangan mereka ketika perang dengan menjadi perawat kepada mangsa perang, menjadi qadi nisbah dan sebagainya. Bezanya, penglibatan wanita di dalam bidang pekerjaan ketika itu tidak pernah mendahului peranan utama mereka di rumah sebagai ibu dan isteri yang terbaik. Hal ini sekaligus memastikan pembinaan generasi muda Islam yang cemerlang dari segi syakhsiyyahnya.

Islam lahir sebagai mualajah lil masyakil insan (penyelesaian kepada permasalahan manusia) melalui penerapan pelbagai hukum-hakam bagi memastikan kemaslahatan manusia dipenuhi. Isu kedatangan warga Indonesia ke Malaysia untuk menjadi pembantu rumah sebenarnya berpunca dari desakan hidup dan masalah kemiskinan yang memaksa mereka untuk mencari rezeki di negara jiran. Penerapan sistem ekonomi Islam mengatur agar harta dan kekayaan beredar secara teratur dan adil kepada semua pihak. Hal ini seterusnya akan memastikan seluruh warganegara memperolehi hak mereka sewajarnya. Antaranya dijelaskan seperti berikut:-

1. Jaminan Pemenuhan Keperluan Pokok (Primary Needs)
Islam telah menetapkan keperluan pokok manusia terdiri daripada makanan, pakaian dan tempat tinggal. Walaubagaimanapun, jaminan pemenuhan keperluan pokok bagi setiap individu tidak bererti negara akan membahagi-bahagikan makanan, pakaian, dan rumah kepada sesiapa sahaja sehingga menjadikan rakyatnya malas, sebaliknya, ia dilakukan dengan mewujudkan mekanisme-mekanisme yang dapat menangani masalah kemiskinan. Mekanisme tersebut adalah:
A. Mewajibkan lelaki memberi nafkah kepada diri dan keluarganya.
Islam mewajibkan lelaki yang mampu dan memerlukan nafkah untuk bekerja dalam rangka memenuhi keperluannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma’ruf.” [TMQ Al-Baqarah (2): 233].

B. Mewajibkan saudara terdekat untuk membantu saudaranya
Sekiranya pihak lelaki terbabit tidak mampu untuk bekerja mencari nafkah, maka tanggungjawab tersebut beralih kepada kerabat terdekat yang mempunyai hubungan darah dan terdapat kelebihan harta. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“…Dan kewajiban ayah memberikan makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma’ruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kesengsaraan kerana anaknya, dan seorang ayah kerana anaknya. Dan warispun berkewajipan sedemikian…” [TMQ al-Baqarah (2): 233]. “Sebaik-baik sedekah adalah harta yang berasal dari selebihnya keperluan.” [HR. Imam Bukhari dari Abu Hurairah].

C. Mewajibkan negara untuk membantu rakyat miskin
Kewajiban memberi nafkah akan beralih ke Baitul Mal (kewangan negara) sekiranya lelaki tersebut miskin dan tidak memiliki saudara yang boleh membantunya. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Siapa saja yang meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya, dan siapa saja yang meninggalkan ‘kalla’ (sebatang kara iaitu orang yang lemah, tidak mempunyai anak dan ibu-bapa), maka dia menjadi kewajiban kami.” [HR. Imam Muslim].

D. Mewajibkan kaum muslim untuk membantu rakyat miskin
Sekiranya Baitul Mal tidak ada harta sama sekali, maka kewajiban menafkahi orang miskin beralih kepada umat Islam secara kolektif. Allah SWT berfirman: “Di dalam harta mereka, terdapat hak bagi orang miskin yang meminta-minta yang tidak mendapatkan bahagian.” [TMQ adz-Dzariyat (51): 19].
Mekanisme ini dilakukan dengan dua cara. Pertama: Umat Islam secara individu membantu orang-orang yang miskin. Kedua: Negara mewajibkan dharibah (cukai) kepada orang-orang kaya, hingga mencukupi keperluan untuk membantu orang miskin. Cukai ini hanya diwajibkan ketika Baitul Mal benar-benar kehabisan sumber kewangan. 2. Pengaturan Pemilikan

Pengaturan pemilikan yang dimaksudkan di sini mencakupi tiga aspek pemilikan iaitu pemilikan individu, pemilikan umum dan pemilikan negara. Negara/penguasa bertanggungjawab dari segi pengelolaan pemilikan dan pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat mengikut hukum syarak. Pemilikan umum menjadikan aset-aset milik masyarakat seperti emas, perak, pertrolium tidak boleh dimonopoli oleh individu atau syarikat tertentu seperti apa yang telah berlaku hari ini. Sebaliknya ia menjadi milik seluruh manusia untuk sama-sama memanfaatkannya. Pengelolaan aset ini akan dapat digunakan oleh penguasa untuk keperluan rakyat, sehingga kesannya menyebabkan wanita tidak perlu bekerja kerana telah ada penguasa untuk mencukupi keperluannya melalui pengagihan kekayaan (distribution of wealth) kepada seluruh anggota masyarakat.

Khatimah

Sistem ekonomi Islam hanya mampu diterapkan melalui sistem pemerintahan Islam secara kaffah. Sistem ekonomi di dalam Islam ini akan menghasilkan pengagihan kekayaan yang seimbang, tidak sebagaimana berlaku ketika ini, yang natijahnya, tiada keseimbangan di dalam pengagihan kekayaan mengakibatkan sebahagian besar wanita terpaksa bekerja demi untuk mencari sesuap nasi. Pemerintahan yang adil adalah sepertimana pemerintahan negara Islam (Daulah Islamiyyah), yang telah terbukti kejayaannya bertahan selama 13 abad lamanya. Umat hidup sejahtera di bawah naungan Daulah Islamiyyah ini. Pelbagai kebajikan dapat diperolehi oleh umat yang berada di bawah pemerintahannya. InsyaAllah, negara Islam yang telah dikuburkan oleh agen-agen kafir laknatullah ini, akan pasti muncul kembali sesuai dengan janji Allah Subhanahu wa Taala.
Wallahualam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment