TUDUNG MUSLIMAH, PERINTAH ILAHI ATAU KEHENDAK PERIBADI

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Syukur Alhamdulillah, sekali lagi Fikratul Ummah edisi Julai 2010 hadir ke tengah umat dengan menyajikan dua lagi artikel yang diharapkan dapat memberikan pencerahan kepada umat Islam, khasnya para muslimah dalam mendepani krisis kehidupan hari ini.

Menjelang Ramadhan Al-mubarak yang bakal tiba tidak lama lagi, ada segelintir muslimah yang diuji lagi hanya disebabkan mempertahankan identiti muslimah mereka. Julai ini, isu pemakaian muslimah sekali lagi menjadi isu hangat yang diperdebatkan di seluruh dunia. Tindakan Perancis mengharamkan pemakaian niqab di khalayak umum, telah menyingkap wajah buruk islamofobia mereka. Lebih memeritkan, Syria sebagai sebuah negara majoriti Muslim pula telah turut sama dalam pakatan tersebut; mengharamkan pemakaian niqab di kawasan universiti, sekaligus telah membenarkan sabda Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lepas,

“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah mereka masuk ke lubang biawak pun, kamu akan mengikutinya. Sahabat bertanya: Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani? Rasulullah SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka?”
(Hadis riwayat Muslim)

Di saat para muslimah di pelbagai belahan dunia tetap tegar dan sabar mempertahankan identiti muslimah mereka, sayangnya, ada juga kalangan muslimah yang masih lagi bertarik-tali, berkompromi, dan mengambil mudah akan hukum-hukum Allah ke atas mereka. Permasalahan ini dikupas di dalam artikel pertama bertajuk “Tudung muslimah, perintah dari Ilahi atau kehendak peribadi”. Semoga artikel ini bakal menyuntik kesedaran kepada kita tentang kewajiban syara’ sebagai semata-mata tuntutan dari Al-khaliq dan bukannya kerana motivasi keduniaan lainnya.

Artikel kedua pula mengupas krisis sosial yang semakin parah membarah di dalam masyarakat kita hari ini. Kes-kes keruntuhan moral khasnya di kalangan generasi muda semakin ketara dan menimbulkan kerisauan berasas yang wajar menjadi perhatian umat. Artikel bertajuk, “Isu Pendidikan Kesihatan Reproduksi; di mana perananmu ibu?”, bukan saja membentangkan realiti-realiti yang berlaku di sekeliling kita, malah menerangkan peranan ibu bapa di dalam aspek pendidikan anak-anak dari perspektif Islam.

Semoga artikel-artikel ini akan membuka dimensi baru dalam pemikiran muslimah sekaligus menjadi pedoman yang membawa kepada kebaikan, kesejahteraan dan rahmat sekelian alam.



Wassalam


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~





Tudung cukup sinonim dengan adat Melayu yang suka mempromosikan kesopanan, kecantikan dan keayuan. Ini berkait rapat dengan prinsip yang mengatakan rambut itu mahkota wanita. Maka, rambut perlulah dipelihara sebaiknya bermula daripada rutin membasuhnya menggunakan syampu yang sesuai sehinggalah cara pemakaian tudung yang akan menjamin kesegaran dan kesuburan rambut walaupun kepala sentiasa tertutup. Kupasan ini bukan bertujuan untuk memperkenalkan cara penjagaan rambut atau cara pemakaian tudung mengikut Islam, sebaliknya akan mengutarakan isu utama sekaligus merupakan isu pokok yang perlu difahami oleh setiap muslimah.

Masyarakat melayu umumnya berpendapat pemakaian tudung dalam kalangan wanita adalah satu perkara biasa kerana ini adalah budaya setempat. Sementara wanita Islam yang tidak memakai tudung juga dianggap perkara yang tidak perlu diambil berat kerana tegar dengan falsafah Melayu, “jangan jaga tepi kain orang”. Justru, Fikratul Ummah kali ini ingin membongkar realiti semasa yang terkait dengan isu pemakaian tudung; kesalahfahaman yang timbul dari isu ini; dan bagaimana pandangan syariat Islam mengenai pemakaian tudung.

Realiti semasa

Barangkali ramai yang pernah terbaca isu artis dan pemakaian tudung. Antaranya, seorang pelakon wanita yang dikenali ramai, Anne Ngasri, pulang dari menunaikan ibadah umrah tahun lalu dengan penghijrahan untuk memakai tudung. Namun tidak lama selepas itu, Anne mengakui dia memang membuka tudung ketika berlakon dalam drama Mayang Mengurai baru-baru ini demi memenuhi kehendak produksi itu. Ujar ibu anak dua ini, niatnya hanyalah untuk mencari rezeki kerana punca rezekinya dari dunia lakonan.“Saya bukan sesuka hati pakai dan buka tudung saya. Di luar, saya sebagai Anne Ngasri memang sudah bertudung. Tetapi apabila berlakon, ada sesetengah drama memerlukan watak saya untuk tidak bertudung, jadi saya akan buka tudung ketika penggambaran. Namun ia masih ada batasnya kerana saya tak akan sesekali berpakaian seksi atau ‘buka’ sana sini malah dari dulu lagi saya bukanlah seorang yang seksi.” [Utusan Malaysia 11/1/2010]

Lain pula alasan untuk memakai tudung bagi pelakon dan penyanyi Umie Aida. Pada majlis resepsi perkahwinannya 28 Mac lalu, Datin Paduka Umie Aida mengumumkan bahawa dia sudah bersedia untuk melakukan transformasi penampilan diri dengan memakai tudung secara perlahan-lahan selepas menempuh alam perkahwinan. Umie bagaimanapun menyatakan niat bertudung itu tidak akan dilakukan secara mendadak. Semua itu akan dilakukan secara bertatih. Ujar Umie, “Memang saya sudah mahu melangkah ke arah itu. Itu niat saya dan disokong oleh suami saya. Setiap manusia ada niat dan ini adalah antara saya dengan Tuhan. Lagipun saya mahu melakukan selangkah demi selangkah. Seperti yang dikatakan sebelum ini, saya tidak boleh tergesa-gesa memakai tudung kerana terikat dengan komitmen kerja. Menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap Marie France Bodyline ini adalah salah satu daripadanya.” [Berita Malaysia online 23/5/2010]

Tidak jauh berbeza daripada artis-artis lain, penyanyi Liza Hanim yang telah bertudung sejak bulan April lalu, mengaku dia mula memakai tudung setelah mendapat keizinan dari suaminya. Dua tahun lamanya dia menanam azam namun, baru tiga bulan lalu hasrat tersebut dimakbulkan Tuhan. Bagi Liza, rezekinya dalam bidang hiburan semakin melimpah ruah sejak perubahan imej yang dibawanya. "Alhamdulillah, sepanjang tempoh bertudung tawaran nyanyian tidak pernah lekang saya terima", katanya yang mengakui berdebar membuat penampilan pertama bertudung di khalayak pada separuh akhir pertama Mentor baru-baru ini. [Utusan online 23 Jun 2010].

Itu antara kisah ikon masyarakat Malaysia berkenaan keputusan dalam hidup mereka untuk memakai tudung. Jika diperhati dan diteliti, dapat disimpulkan bahawa mereka memakai tudung bukannya kerana memenuhi tuntutan syariat Allah dan bukannya untuk menjalankan kewajipan mereka sebagai muslimah. Hukum syara’ bukanlah pertimbangan utama mereka malah hasrat peribadi dan kepentingan dunia dijadikan landasan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Persoalannya, adakah seorang mukallaf itu hanya perlu melaksanakan suruhan dan meninggalkan kewajipan mengikut kesesuaian masa, atau setelah mendapat izin individu tertentu atau setelah merasakan doanya dimakbulkan? Dimanakah mereka meletakkan kewujudan Allah sebagai pembuat hukum dan sebagai pencipta kita ? Dimana mereka meletakkan janji setiap kali solat dan melafazkan ”hanya Engkau kami sembah dan hanya Engkau kami minta pertolongan [TMQ Al-fatihah :4] Tidak pernahkah kalian mendengar atau membaca ayat-ayat Allah yang menyeru kalian untuk menutup aurat? Atau kalian hanya membutakan mata dan memekakkan telinga?

Menyingkap kembali sejarah isu tudung di Malaysia, banyak peristiwa telah berlaku mengenai status tudung dalam kehidupan umat Islam. Tidak cukup dengan dipandang rendah sebagai amal wajib dari Yang Maha Pencipta, malah muslimah yang ikhlas menjalankan kewajipannya pula dihalang dan diancam. Di Pahang, seorang guru di sebuah sekolah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mereka [Utusan Malaysia 25 Februari 2006]. Kes lain, seorang pegawai akaun, Habsah Jaafar dibuang kerja kerana majikannya, Hotel Renaissance tidak membenarkan beliau memakai tudung semasa bekerja. [Utusan Malaysia 27 Februari 2006].

Pertama, propaganda Barat menakluk pemikiran umat Islam.

Sejarah pemakaian tudung kepala sebenarnya sudah bermula berkurun lamanya sebelum kedatangan Islam. Sejarah Judeo-Kristian membuktikan pemakaian tudung kepala diamalkan oleh rahib wanita mereka. Dengan kedatangan Islam wanita diperintahkan Allah untuk melabuhkan tudung kepala mereka menutupi belahan dada. Oleh kerana berlakunya kemerosotan iman dan penghayatan Islam dikalangan umat hari ini, ditambah lagi Pihak kuffar Barat dan Yahudi berserta sekutunya bertungkus-lumus menjajah pemikiran umat Islam dengan menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Di antara usaha mereka adalah menanggalkan tudung dari kepala wanita Islam. Pihak kuffar terus menerus berusaha dan melakukan apa saja untuk meyakinkan wanita bahawa mereka harus mengikut budaya Barat dan bebas daripada keterikatan cara berpakaian untuk maju dalam hidup. Wayang hidup sekular dan propaganda pembebasan wanita pun dimulakan. Idea-idea asing inilah yang melahirkan perjuangan menuntut hak wanita di Malaysia, iaitu dalam bentuk pemikiran Islam Liberal yang mempersoalkan status tudung. Tidak sedikit kekeliruan dan persoalan yang mereka timbulkan dalam masyarakat berasaskan hak kebebasan individu untuk mengamalkan agama dan memelihara hak asasi manusia.

Contohnya, isu pemakaian tudung pelajar MRSM dan Universiti Islam Antarabangsa telah pun mencetuskan kontroversi. Mereka menentang penguatkuasaan tudung sebagai pakaian seragam sama ada di sekolah mahupun dalam pasukan beragam kerana ia kononnya salah satu pencabulan hak kebebasan individu dan mereka berpendapat terdapat khilaf ulama’ berhubung bentuk pakaian wanita Islam khususnya dalam pentafsiran Surah An-Nur ayat 31. Lebih teruk, mereka juga mahukan ayat ini ditafsir semula mengikut citarasa dan kehendak nafsu mereka. Sedangkan jumhur ulama sebenarnya sudah sepakat berhubung dengan maksud ayat ini dan meletakkan garis panduan cara berpakaian bagi wanita menurut syariat Islam.

Pada peringkat antarabangsa pula, isu tudung bagi wanita Islam terus mencetuskan polemik agama. Di Turki, Merve Safa Kavakci, seorang ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Turki dipecat kerana bertudung. Pelajar London, Shabina Begum yang berumur 17 tahun dan empat pelajar Singapura yang dinafikan persekolahan juga kerana bertudung menjadi bukti pertembungan antara sekularisme dengan Islam. Selain itu, Perancis telah menguatkuasakan pengharaman pemakaian tudung di sekolah awam. Undang-undang ini telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Eropah untuk menentang tindakan yang tidak bertamadun ini. Ribuan wanita yang turun membanjiri jalan raya London membawa sepanduk menegaskan bahawa hijab adalah satu kewajiban dan menjadi pilihan wanita Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Hijab juga melambangkan kebebasan, bukan penindasan terhadap kaum wanita. Dengan berhijab, wanita menuntut supaya mereka dinilai dan dilihat atas dasar keimanan dan kebijaksanaan serta budi pekerti dan bukan hanya bahan tontonan objek seks semata-mata.

Inilah jalan kesesatan yang dipandu oleh musuh Islam dan hakikat yang menyedihkan dan ramai umat Islam telah mengikutinya. Mereka bukan sahaja telah memutarbelitkan ayat Allah malah telah mendustakannya. Sesungguhnya rugilah mereka atas apa yang mereka perbuat.

“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta ‘ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengadakan kebohongan terhadap Allah tiadalah beruntung” [TMQ an-Nahl (16):116].

Kedua, idea kapitalis yang menjadikan manfaat sebagai asas perbuatan

Walaupun penafian terhadap syariat Islam dalam isu pemakaian tudung ini amat hebat, ironinya sesetengah pihak berpegang pada pendapat bahawa ia tetap menepati ciri fitrah manusia yang semulajadi, membantu mengurangkan masalah gejala sosial, memperbaiki akhlak dan kesihatan. Tudung mempunyai impak yang besar pada kesihatan badan. Ini dilaporkan dalam artikel The Science Behind The Veil di Islam Online.net tulisan Karima Burns yang mengatakan:

Ujian menunjukkan 40-60 % daripada tahap kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala justeru menutupnya terutama ketika musim sejuk dapat mengawal suhu badan seseorang berbanding mereka yang lain. Menutup kepala juga bermanfaat bagi kesihatan ketika musim panas. Pakar otak, V.G Rocine mengatakan fosforus otak akan mencair pada suhu 108° F. Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada panas terik tanpa menutup kepala. Pencairan fosforus boleh menyebabkan fungsi otak menurun dan akan memberi beberapa kesan negatif kepada otak.

Artikel Highest Phosphorus Foods di Canadian Neuro-Optic Research Institute Online juga menyatakan bahawa :

Sekiranya suhu badan seseorang mencecah lebih daripada 105° F ia amat berbahaya kerana fosforus otak akan cair dan menjejaskan kesihatan otak. Oleh yang demikian, kepala hendaklah ditutup dalam keadaan cuaca panas.

Bukan itu sahaja alasan yang diambil oleh umat Islam sebagai sebab (‘illat) dalam menjalankan perintah Allah. Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam, mereka tidak melakukan sesuatu suruhan itu kecuali diketahui sebab tuntutannya yang malah direka-reka sendiri (‘illat ‘aqliyyah) yang disebabkan oleh kepimpinan berfikir acuan Barat yang mementingkan manfaat dan keuntungan. Padahal, seorang Muslim bukan memakai sesuatu pakaian disebabkan faktor cuaca, atau kelebihan yang dia akan perolehi (contoh: rezekinya bertambah) tetapi ia adalah perintah Allah yang menuntut Muslim itu menutup auratnya.

Ingatlah firman Allah Subhanahu wa Taala “Mereka (Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. [TMQ An-Nisaa’ 4:165]

Ketiga, salah faham mengenai hukum Islam.

Golongan artis sibuk mempertahankan pendirian mereka bahawa apa yang mereka lakukan (membuka tudung atau berpakaian seksi) semasa berlakon atau menyanyi semata-mata kerana niat mereka yang baik iaitu ingin mencari rezeki. Konsep dan pemahaman “Matlamat Menghalalkan Cara” telah mendarah daging dalam tubuh umat Islam. Teori yang dibawa oleh Machavelli adalah-dalam tindakan setiap manusia kita mesti melihat kepada penyudahnya (matlamat yang ingin dicapai). Jadi biarlah seorang putera (raja) mendapat kemenangan dan mempertahankan negaranya; kaedah yang diambilnya akan sentiasa dianggap berbaloi, maka timbullah pernyataan, “matlamat menghalalkan cara”. [Niccolo Machiavelli, The Prince]. Kesannya, umat Islam telah salah faham sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun cara tersebut jelas salah di sisi syara’ semata-mata untuk mencapai tujuannya.

Islam mengajar umatnya bahawa yang menjadikan sesuatu perbuatan itu halal atau haram adalah dalil syara’, bukannya ‘natijah’ yang terhasil atau matlamat yang ingin diraih. Umat Islam tidak berhukum dengan ‘natijah’ sesuatu perbuatan ataupun dengan tujuan yang ingin dicapai daripada perbuatannya. Oleh itu, hukum ‘cara’ mestilah diambil sebagaimana hukum ‘matlamat’ - iaitu dari syara’. Dalil syara’lah yang menetapkan kewajiban suatu matlamat atau keharamannya. Setiap perbuatan Muslim wajib berjalan mengikut syara’, iaitu mengikut nas yang telah ditetapkan. Definisi hukum syara’ itu sendiri adalah seruan pembuat hukum (Allah) yang berkaitan dengan perbuatan hamba - adalah satu perkara yang wajib untuk memastikan bahawa setiap perbuatan Muslim terikat dengan hukum Islam. Sistem Islam juga tidak pernah mengajar penganutnya untuk bertolak ansur dengan kebatilan atau kemungkaran dalam apa jua keadaan sekali pun.

Daripada Abu Abdullah al-Nu’man ibn Basyer radiallahuanhu beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:

“Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barang siapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”.

Salah satu lagi kesalahfahaman dalam kalangan umat Islam apabila mereka melakukan sesuatu amal secara berperingkat-peringkat atau tidak tergesa-gesa. Mereka sebenarnya takut pada bayang-bayang sendiri kerana khuatir dikatakan melakukan perubahan secara drastik atau yang lebih teruk lagi tidak mahu dikatakan ekstremis agama. Jika kita mengambil konsep tadarruj (beransur-ansur) dalam amal berpuasa sebagai contoh maka, adakah kita boleh berpuasa 10 hari pada bulan Ramadhan pada tahun ini, 20 hari pada tahun hadapan dan kemudian baru cukupkan 30 hari berpuasa pada tahun berikutnya? Sudah tentu tidak! Ini kerana sesuatu yang wajib itu akan tetap wajib hukumnya tanpa ada konsep tadarruj dalam perlaksanaannya. Begitu juga bagi sesuatu keharaman itu akan tetap haram hukumnya tanpa ada konsep beransur-ansur dalam meninggalkannya. Lihatlah, dengarlah dan bacalah peringatan daripada Allah Subhanahu wa Taala dalam firmannya:

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa” [TMQ Ali 'Imran (3) :133].

Khimar hukumnya WAJIB!

Dalam Islam, seorang wanita diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada. Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah:

“Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [TMQ An-Nur (24):31].

Pakaian jenis ini (khimar) berserta dengan jilbab wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan umum tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti. Na’uzubillahi min zalik.
Allah berfirman, “Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman dan tidak (pula) perempuan mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sungguh dia telah sesat, sesat yang nyata.” [TMQ. Al Ahzab [33]: 36]

Bersegera melaksanakan Syariat Allah SWT juga WAJIB!

Menurut hadis yang diriwayatkan Bukhari, Aisyah radiallahuanha menceritakan kisah ketika Surah An-Nur ayat 31 diturunkan di Madinah, wanita mukmin Ansar dan Muhajirin terus melaksanakan perintah ini serta-merta tanpa banyak soal dengan mencari apa sahaja kain di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah perintahkan. Petanda keimanan mereka terserlah dengan sikap Sami’na Wa’ato’na (Kami mendengar dan kami taat) terhadap apa jua perintah dan ketetapan Allah tanpa perlu melihat rasional dan hikmah yang terselindung di sebalik perintah tersebut.


Maka para suami segera mendatangi isteri-isteri mereka dan membacakan apa yang diturunkan Allah kepada mereka. Mereka membacakan ayat itu kepada isteri, anak wanita, saudara wanita dan kaum kerabatnya. Dan tidak seorang pun di antara wanita itu melainkan segera berdiri mengambil kain (tirai) dan menutupi kepala dan wajahnya, kerana yakin dan percaya kepada apa yang diturunkan oleh Allah di dalam kitabNya. Sehingga mereka (berjalan) di belakang Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dengan kain penutup seakan-akan di atas kepalanya terdapat burung gagak. Jelaslah bahawa pelaksanaan kewajipan itu tidak boleh ditunda-tunda atau berpaling daripada melaksanakannya kerana Allah telah menegaskan dalam firman-Nya:

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, apabila mereka dipanggil kepada Allah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka maka mereka menjawab: “Kami mendengar dan kami patuh.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan rasulNya dan takut kepada Allah dan bertaqwa kepadaNya, maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan”. [TMQ An-Nur[24]: 51-52].

Hukuman bagi wanita yang tidak memakai khimar.

Hilanglah ketaqwaan sesorang individu muslim itu, apabila dia mengabaikan perintah dan larangan Allah serta Rasul-Nya. Pada tahap ini, masyarakat wajib mengawal persekitaran hidup mereka dengan saling menasihati dan menegur kesalahan untuk memastikan setiap individu terjaga imannya dan mencegah pelanggaran hukum. Dalam masa yang sama, Islam juga mensyariatkan pemerintah umat Islam wajib mengenakan satu bentuk hukuman kepada mereka yang melanggar hukum syara’. Dalam isu tudung ini, hukuman takzir hendaklah dilaksanakan oleh negara kepada sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan busana Islam yang sah di sisi syara’. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda wanita yang tidak memakai tudung. Sesungguhnya wanita Islam yang melanggar hukum syara’, mereka patut dikenakan denda serta hukuman oleh pemerintah dan bukannya mengancam, memboikot atau menghukum wanita yang ikhlas melaksanakan kewajipannya untuk menutup aurat dalam rangka menyahut seruan Allah.

Kesimpulan

Wahai muslimah yang berselimutkan cadar kebebasan!
Tudung bukan semata-mata budaya wanita dalam masyarakat Melayu. Tudung bukannya boleh dipakai dan dibuka sesuka hati kalian, kerana kalian tidak boleh memilih untuk masuk ke syurga, kemudian ke neraka dan mahu kembali semula ke syurga. Pemakaian tudung adalah tuntutan Ilahi dan bukannya pilihan peribadi. Setiap tuntutan menutup aurat hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan kerana mengharapkan manfaat duniawi. Setiap suruhan dari Allah dan Rasul-Nya itu hendaklah dilaksanakan dengan segera tanpa sebarang alasan dan tanpa menunggu izin dari sesiapa kerana Allahlah yang menghidupkan kita di atas muka bumi ini. Memenuhi tuntutan Allah adalah merupakan ibadah yang akan dibalas dengan pahala dan dihari akhirat akan dijanjikan syurga . Amin.

“Bersegeralah beramal sebelum datang pelbagai fitnah laksana potongan-potongan dari hari yang gelap. (Saat itu) di waktu pagi seorang manusia beriman tapi di petang harinya ia menjadi kafir. Di petang hari seorang manusia beriman tapi di pagi harinya ia kafir. Ia menjual agamanya dengan harta dunia.” [HR Muslim dari Abi Hurairah]

Sesungguhnya musuh-musuh Islam tidak mempunyai hujah yang kuat untuk mempertahankan kebatilan mereka. Kerana itulah tindakan mereka terhadap dakwah adalah dengan mengada-adakan pelbagai propaganda dan fitnah terhadap ajaran Islam itu sendiri di samping menimpakan cabaran dan siksaan kepada para pemikul dakwah Islam. Inilah usaha mereka yang paling canggih dan selalu mereka gunakan ketika mereka kehabisan idea untuk menghalang kebenaran.

Ingatlah peristiwa bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dimikrajkan ke langit, dan baginda diperlihatkan kebesaran Allah Subhanhu wa Taala, yang salah satunya berkenaan wanita yang suka mendedahkan auratnya kepada khalayak ramai.

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam melihat para wanita yang mereka itu diikat dengan payu daranya sendiri. Aku bertanya: “Mereka itu siapa wahai Jibril? Jibril menjawab: “Mereka adalah para wanita yang suka menampakkan auratnya kepada kaum lelaki yang bukan mahramnya.” [Sirah Nabawiyyah, Prof. Dr Rawwas Qol’ahji]

“Siapa saja yang menjadikan selain Islam sebagai Deen (agama dan peraturan hidup),maka tidak akan diterima apapun darinya, dan di akhirat dia termasuk orang yang merugi.” [ TMQ Ali-Imran 3: 85]

Walaubagaimanapun, ingatlah wahai srikandi Islam!

Hukum syarak mengenai tudung ini hanyalah secebis dari hukum Islam yang telah diabaikan dan dipermainkan. Walhal, Islam wajib diamalkan secara keseluruhan dan kita terikat dengannya. Tuntutan berpakaian dengan khimar dan jilbab wajib dilaksanakan bersama-sama dengan hukum-hukum, peraturan dan sistem Islam yang lain seperti sistem ekonomi, pemerintahan, pendidikan, penghukuman dan sistem sosial. Terimalah hakikat bahawa keseluruhan sistem ini tidak akan berjalan mengikut Islam kecuali dengan tertegaknya Daulah Khilafah yang menuntut peranan dan usaha dakwah dari kalian. Wallahua’lam.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment