CINTA...Ada Apa dengan Cinta?




Hukuman berat ikhtiar terbaik atasi buang bayi. Begitulah bunyi tulisan dalam sebuah akhkbar tempatan dalam menangani kemelut pembuangan bayi yang saban hari, waktu, ketika dan saat berlaku tanpa henti. Peningkatan statistik menunjukkan sejumlah 257 411 sijil pendahtaran kelahiran anak tidak sah taraf, dicatatkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari tempoh 2000 sehingga Julai 2008, dimana sebahagian besarnya Melayu dan sudah tentu beragama Islam. Bagi tempoh 2008 hingga 2009 sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun ini sehingga kabinet memutuskan untuk mengenakan hukuman yang berat.

Walau apa pun hukuman yang dikenakan terhadap pesalah kes buang bayi diputuskan untuk dilaksanakan, FU Ogos kali ini ingin berkongsi pandangan dan menyambung perbahasan berkaitan Pendidikan Kesihatan Reproduksi: Dimana Perananmu Ibu (FU Julai 2010) menunjukkan bahawa peranan sebagai ibu bermula dari anak dilahirkan sehinggalah mereka dewasa (baligh). Artikel ini memberikan sedikit panduan berhadapan dengan anak remaja agar mereka sentiasa dalam pimpinan dan jauh dari masalah gejala sosial .

Cinta… Sejahterakah Hidup ini Hanya dengan Cinta?

Cinta kepada lawan jenis merupakan hal yang bersifat naluri pada manusia. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang terkumpul dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah tempat kembali yang baik. [TMQ Ali-Imran (3): 14].


Allah menjelaskan berkenaan maksud dari penciptaan naluri ini :



Hai sekelian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kalian yang telah menciptakan kalian dari satu diri serta menciptakan darinya isteri-isteri dan memperkembangbiakkan dari keduanya lelaki dan perempuan yang banyak. [TMQ An-Nisa’(4):1]. Makna yang sama juga ditemui di dalam QS Al A’raf: 189, An Nahl: 72, Ar Rum: 21 dan lain-lain. Ayat-ayat tersebut mengisyaratkan bahawa penciptaan lelaki dan perempuan adalah dalam rangka meneruskan keturunan. Oleh itu, ungkapan cinta dengan segala ekspresinya tentu hanya dibolehkan di dalam sebuah ikatan perkahwinan yang sah. Selain itu, tidak dibenarkan sama sekali lelaki dan perempuan yang bukan mahram untuk saling berhubungan dalam masalah peribadi hingga mengarah kepada hubungan fizikal. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:

Tidak berkhalwat seorang lelaki dengan seorang perempuan kecuali bersamanya seorang mahram. [HR Muslim]. Sehubungan dengan itu, rasa cinta kepada lawan jenis merupakan salah satu dari penzahiran naluri mempertahankan keturunan , disamping penzahiran lainnya seperti rasa sayang terhadap anak, ibu bapa dan saudara. Naluri ini hanya akan muncul jika ada rangsangan dari luar. Apabila telah muncul dan tidak terpenuhi, keadaan ini tidak mengakibatkan kematian. Bahkan kemunculan naluri ini boleh dielakkan dengan cara menghindari hal-hal yang dapat merangsangnya, baik dalam bentuk sesuatu yang bersifat lucah atau khayalan-khayalan yang tidak senonoh.


Naluri ini dapat dialihkan kepada kegiatan yang menuntut tumpuan dan aktiviti yang menyibukkan atau dialihkan ke naluri lainnya seperti naluri beragama. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda “Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang mampu untuk bernikah, nikahlah, kerana pernikahan itu dapat menundukkan mata dan menjaga kehormatan. Siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah dia berpuasa, sebab berpuasa dapat menjadi perisai baginya [HR al Bukhari dan Muslim]. Satu-satunya jalan yang dibenarkan hanyalah dengan pernikahan yang sah, sebab dengan pernikahan bererti seseorang telah dapat menyalurkan nalurinya dengan cara yang halal dan terselamatlah separuh agamanya. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda , “ Siapa sahaja yang telah diberi Allah rezeki berupa isteri yang solehah, ia sesungguhnya telah ditolong separuh agamanya. Kerana itu, hendaklah ia bertakwa kepada Allah pada separuh yang lainnya [HR at-Tabrani dan al-Hakim].





Mengendali Naluri Seksual

Di tengah arus kehidupan yang liberal, tidak boleh dihindari adanya rangsangan terhadap naluri seksual yang sedemikian subur. Tayangan lucah kita temui di mana-mana. VCD dan DVD porno laris terjual di jalanan dan tempat-tempat yang mudah diperolehi. Perempuan-perempuan biasa menampakkan aurat di depan umum tanpa ada segan silu, malah menampakkan susuk tubuh yang dikatakan cantik sebagai suatu kebanggaan tanpa rasa bersalah dan dosa.

Ketika ini, para pemuda mesti menghadapi kenyataan bahawa tenaga yang semestinya mereka fokuskan untuk berkarya dan berprestasi sebagai hamba Allah terpaksa mesti dialihkan untuk menahan gejolak syahwat yang berpeluang muncul pada bila-bila masa. Kecanggihan teknologi memberi kemudahan untuk berkomunikasi dengan sesiapapun, termasuk dalam mengungkapkan rasa dan gejolak ini kepada lawan jenis. Komunikasi menerusi telefon bimbit atau dunia maya diikuti dengan pertemuan hingga mengarah kepada pertemuan secara fizikal dan penyaluran keperluan seksual. Inilah yang sering dikaitkan oleh masyarakat dengan istilah “kekasih”.

Saat ini, telah dimaklumi bahawa para ibubapa menghadapi waktu yang kritikal dalam mendidik anak dengan situasi persekitaran begini. Seorang ibu dituntut untuk memahami karektor dari setiap naluri, termasuk naluri seksual; kemunculannya dalam diri anak dan cara pengendaliannya menurut Islam.


Seorang ibu juga mesti dapat mengikuti perkembangan zaman dan teknologi agar dapat mengawal ruang lingkup pergaulan anak hingga dapat mengesan seawal mungkin jika si anak mulai berkomunikasi dengan lawan jenis seperti melalui telefon bimbit atau facebook.

Perkara yang paling penting adalah menanam nilai-nilai agama yang kuat dalam keluarga serta komunikasi yang lancar antara anak dan ibubapa hingga tiada masalah anak yang tidak diketahui oleh ibunya. Anak juga harus menanamkan rasa kepercayaan yang tinggi dan selesa semasa mencurahkan isi hati terhadap ibu bapa, tidak malu ataupun takut saat mengungkapkan setiap gejolak yang dialaminya terhadap lawan jenis. Si anak percaya bahawa ibunya mampu menjawab segala masalah dan memberikan penyelesaian yang bijak dan sesuai dengan tuntutan Islam. Inilah yang akan menumbuhkan keperibadian Islam anak; perkembangan naluri-nalurinya senantiasa seiring dengan perkembangan pemikirannya. Ibunyalah yang paling berperanan dalam hal ini.

Berikut adalah antara tips-tips atau langkah-langkah yang boleh dilakukan dalam mengawal perkembangan naluri seksual anak, terutama agar anak boleh dicegah dari ‘berkasih-kasihan’.
Pertama. Kuatkanlah akidah anak dengan mengajak berfikir tentang kehidupan, tujuan Allah menciptakan manusia, maklumat tentang sifat manusia, cara pemenuhan potensi hidup manusia menurut Islam serta akibat pemenuhan yang tidak sesuai dengan aturan Allah Subhanahu wa Ta’ala, batasan pergaulan di dalam Islam seperti kewajiban menundukkan pandangan, menjaga aurat, tidak berkhalwat, dan lain-lain. Ini dalam rangka membentuk piawaian Islam dan membina pemikiran anak dalam menghadapi kemunculan naluri seksual.

Kedua. Wujudkan suasana rumah dalam persekitaran ibadah yang kuat dan saling beramar ma’ruf nahi mungkar antara ahli keluarga. Biasakan melakukan qiyamul lail, tadarus al-Quran dan puasa sunat bersama-sama bagi memperkuatkan hubungan dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala hingga muncul rasa hubungan yang dekat dengan Allah sedekat leher dengan urat ‘nyawa’ dan merasakan Allah sentiasa mengawasi kita.

Ketiga. Ajaklah anak berkomunikasi dan berfikir tentang masa hadapan dan cita-citanya dan mengatur strategi serta matlamat-matlamat untuk mencapai cita-cita tersebut. Dengan cara ini, kita akan dapat mengesan lebih awal, apa sahaja cara yang dapat mengesan perkara-perkara yang boleh mendukung atau perkara-perkara yang boleh membuat menghambat cita-citanya, termasuk dapat mengenalpasti kemunculan naluri berkaitan naluri seksual

Keempat. Motivasi dan tanamkan jiwa kepimpinan dengan aktif berorganisasi, beri motivasi untuk selalu meningkatkan prestasi diri, berkarya dan maju. Juga dapat dilakukan dengan memberi contoh apa yang telah diusahakan dan dihasilkan oleh para sahabat Rasulullah Sallallahu ’Alaihi wa Sallam, ulama dan ilmuwan Islam dalam usia muda. Harapannya, anak akan memiliki idola yang selalu menjadi ikutannya.

Kelima. Penuhi anak dengan kasih sayang dan perhatian dari kedua ibu bapa dan saudara sebagai bentuk lain dari penyaluran naluri seksual sehingga dapat mengurangkan kemunculan naluri terhadap lawan jenis pada usia yang lebih cepat.

Keenam. Amalkan dan biasakan untuk sentiasa berkomunikasi dengan anak, tidak menganggap tabu untuk membahas isu sekitar masalah naluri jenis ini. Apabila perlu, berilah contoh langsung bagaimana secara praktik pengalaman-pengalaman mengendalikan naluri seksual dalam usia yang relevan dengan batas-batas syariat.

Ini adalah di antara perkara yang boleh dilakukan oleh kaum ibu dalam menjalankan kewajiban membentuk keperibadian Islami dalam diri anak dan menghindari diri anak dari dikendalikan oleh selain aturan Islam. Seterusnya dapat menyalurkan naluri yang dianugerahkan Allah pada jalan yang hak dan menghindari diri dari gejala sosial yang melanda umat hari ini.


Oleh itu, setiap perkembangan nalurinya (nafsiyah) akan selalu dapat diselesaikan sesuai dengan taraf pemikiran Islamnya (aqliyah). Semoga perkongsian maklumat ini akan dapat meningkatkan kreativiti ibu dalam usaha membentuk keperibadian anak sesuai dengan perintah yang telah disyariatkan. Amin.

Insyallah semua ini akan terlaksana apabila Khilafah Islam tertegak, di mana setiap lapisan masyarakat berperanan mengikut landasan Hukum Syarak. Pihak penguasa menerapkan undang-undang mengikut aturan Al-Quran dan Hadis Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Bahkan ia sentiasa sedar dan ingat akan firman Allah ini, “Barang siapa tidak memutuskan dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang yang kafir, zalim dan fasik.” [TMQ al-Maidah (5): 44, 45 dan 47]. Semoga tulisan ini dapat dijadikan sebagai renungan kepada kita semua.




Wallahua’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment