Tarikan antara Adam dan Hawa: Perlu di rangsang atau dikekang?




Allah Subhanahu wa Taala menjadikan setiap kehidupan di alam semesta ini berpasang-pasangan. Gelap dan terang, sihat dan sakit, suka dan duka, tua dan muda. Hatta, atom juga mempunyai pasangan iaitu elektron dan proton. Hanya Allah Azza wa Jalla sahaja yang tidak mempunyai sekutu.

Keinginan untuk berteman, bercanda, mencurahkan isi hati dan menumpahkan kasih sayang mendorong manusia untuk mempunyai pasangan. Justeru, Allah Subhanahu wa Taala menggariskan pelbagai saranan untuk memenuhi keinginan manusia untuk berpasang-pasangan yang disebut di dalam al-Quran dengan istilah “zawaj”. “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu…” [TMQ An-Nur (24):32]

Namun apabila kita tidak mampu, kita dianjurkan oleh Allah Subhanahu wa Taala untuk menunda perkahwinan. “Dan orang-orang yang tidak mampu kahwin hendaklah menjaga kesucian (diri)nya, sehingga Allah memampukan mereka dengan kurnia-Nya.” [TMQ An-Nur (24):33].

“Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai” [HR Ibnu Mas’ud].

Perkara yang menjadi persoalan adalah sama ada naluri yang lahir daripada tarikan kepada lawan jenis ini mesti dipenuhi atau tidak? Untuk menentukan hal ini, terdapat pelbagai pendapat yang dikemukakan oleh banyak pihak.

Pandangan Barat tentang Hubungan Jenis antara Lelaki dan Wanita
Teori Motivasi Maslow
Berdasarkan Atan Long ( 1976 : 131 ), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Sesuatu peringkat keperluan yang lebih tinggi tidak mungkin diperolehi sebelum keperluan yang lebih rendah peringkatnya dipenuhi terlebih dahulu. Pada peringkat yang paling asas terdapat keperluan hayat ataupun keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi baharulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri dan peringkat tertinggi atau puncak bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. Teori Maslow mendakwa bahawa seks adalah satu keperluan yang mana kekurangan seks menyebabkan seseorang individu tidak dapat melakukan tugasan lain kerana keperluan ini adalah keperluan utama yang mesti dipenuhi terlebih dahulu.

Teori Seksual Sigmund Freud
Sigmund Freud (1856- 1939) yang merupakan seorang pakar neurologi Austria berbangsa Yahudi pula berpandangan bahawa realiti psikologi bermula dengan organisme yang bertindak dan berperilaku demi untuk kelangsungan hidup (survival) dan untuk berkembang-biak. Hal ini mendorong manusia untuk memenuhi tuntutan tubuh apabila lapar, dahaga, mengelak kesakitan dan memenuhi kehendak seksual. Freud melihat bahawa perilaku manusia didorong oleh rangsangan atau naluri yang mana ia mewakili tuntutan saraf terhadap keperluan manusia. Pengalaman klinikal yang dilalui oleh Freud menyebabkan beliau beranggapan bahawa seks sebagai sesuatu yang sangat penting untuk mencapai ketenangan “jiwa” (pysche) yang dinamik lebih dari lain-lain keperluan kerana sebagai makhluk sosial, seks adalah keperluan sosial yang sangat penting.

Ini menunjukkan bahawa orang-orang Barat yang merupakan penganut ideologi Kapitalis dan orang-orang Timur yang menganut ideologi Komunis beranggapan bahawa hubungan lelaki dan wanita dipandang sebagai bersifat seksual, semata-mata untuk mencari pemuasan. Hal ini menyebabkan mereka sengaja menciptakan fakta-fakta yang dapat dijangkau oleh pancaindera berserta pemikiran-pemikiran yang merangsang syahwat di hadapan lelaki dan wanita yang kemudiannya perlu dipuaskan kerana berdasarkan kepada dua pendapat di atas iaitu Teori Motivasi Maslow dan teori seksual Sigmund Freud, naluri seksual yang tidak dipenuhi akan membahayakan fizikal dan minda, seolah-olah manusia hanya akan dapat beraktiviti dan menjadi individu cemerlang seandainya naluri seksualnya dipenuhi. Manakala individu yang tidak dapat memenuhi naluri seksualnya akan sentiasa dirundung kegelisahan dan tidak dapat menjalani kehidupan yang produktif.

Pandangan berat sebelah yang turut menjangkiti minda sebahagian umat Islam menyebabkan seseorang manusia itu dipandang dari status perkahwinannya. Kejayaan atau kegagalan dalam hidup menurut perspektif masyarakat seolah-olah ditentukan dari status ini, walhal Islam telah menyatakan dengan jelas bahawa mulia dan hinanya manusia hanya diukur dengan taqwa. “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [TMQ Al Hujurat (49):13].

Pandangan Islam tentang Hubungan Jenis untuk Melanjutkan Keturunan
Islam memandang bahawa hubungan jenis antara lelaki dan wanita adalah semata-mata untuk melanjutkan keturunan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan beranak-pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada Hari Akhirat nanti” [HR Abu Daud].

Perkahwinan merupakan suatu institusi sosial yang akan membentuk anak-anak dan zuriat keturunan dalam sesebuah kelompok keluarga. Keadaan ini seterusnya akan membentuk masyarakat dan berkembang membentuk sebuah negara sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud: “Dan tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami)” [Surah Al-Zariyat (51) : 49].

Justeru, Islam menggariskan landasan yang terperinci agar perkembangan manusia di muka bumi ini berlaku dengan baik dan mengikut kaedah syariat Islam, seperti menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan supaya terjalin kasih-sayang yang harmoni. Contohnya kasih-mengasihi dan bertanggungjawab terhadap rumahtangga yang sama-sama mereka bina sesuai dengan saranan Al-Quran.

“Dan diantara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir” [TMQ Ar-Rum (30) : 21]

Memandangkan hubungan jenis antara lelaki dan wanita dalam Islam adalah semata-mata untuk melanjutkan keturunan, ini bermakna naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) bukanlah suatu perkara yang akan muncul secara automatik. Naluri ini hanya akan muncul dalam dua keadaan; i) Adanya realiti atau fakta yang boleh diindera seperti mata melihat sosok tubuh yang menggiurkan, dan ii) Pemikiran yang membayangkan hal-hal sehingga mengundang berahi dan ghairah terhadap seks.

Naluri melanjutkan keturunan ini sama seperti lain-lain naluri seperti naluri beragama yang akan dapat dirangsang dan dibangkitkan bila adanya fakta atau realiti seperti ketika mendengar laungan azan, berada dalam majlis ilmu, menziarahi jenazah dan sebagainya. Memandangkan gejolak berlaku hasil daripada rangsangan luaran dan bukan aktiviti dalaman organ seperti rasa lapar dan sejuk, ini bermakna bangkitnya naluri ini adalah dalam kawalan manusia. Manusia itu sendiri yang membuat pilihan sama ada untuk merangsang atau mengekang gejolak nalurinya. Perkara yang mesti difahami oleh umat Islam adalah tentang pandangan masyarakat tentang hubungan lelaki dan wanita. Adakah Sang Pencipta menciptakan naluri ini untuk melanjutkan keturunan, atau hanya fokus kepada pemuasan naluri seksual semata-mata? Apabila kelompok masyarakat memandang bahawa hubungan antara lelaki dan wanita diatur berdasarkan tujuan penciptaan naluri seksual iaitu melanjutkan keturunan, maka perlu dilakukan usaha untuk menjauhkan realiti, pemikiran dan khayalan-khayalan seksual daripada kedua-dua kaum Adam dan Hawa. Tujuannya adalah untuk memastikan naluri ini tidak bergejolak melainkan dalam kehidupan suami isteri atau dengan pemilikan hamba sahaya (milku al-yamin).

Antara usaha memastikan tidak munculnya gejolak syahwat ini adalah melalui pelbagai hukum-hakam yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Taala seperti di bawah:

i) Perintah menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat” [TMQ An Nur (24):30]

ii) Larangan berkhalwat. “Mana-mana lelaki tidak akan berdua-duaan (berkhalwat) dengan perempuan, melainkan pasti syaitan akan menjadi yang ketiga.” [HR At Tirmizi],

iii) Larangan bertabarruj, berhias dan berwang-wangian di hadapan lelaki bukan mahram. “Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu” [TMQ Al Ahzab (33):33] dan hadis riwayat Abu Dawud dan Tirmizi: “Wanita apabila memakai wangi-wangian kemudian berjalan melalui majlis (laki-laki) maka dia itu begini dan begini iaitu pelacur”.

Naluri bukan Keperluan Jasmani yang mesti Dipenuhi
Allah Subhanahu wa Taala sebagai Zat Yang Maha Tinggi menjadikan manusia iaitu lelaki dan wanita dengan sebab tersendiri. “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal[TMQ Al Hujurat(49):13]. Sungguhpun matlamat penciptaan manusia iaitu lelaki dan wanita sesuai dengan matlamat penciptaan makhluk itu sendiri iaitu untuk beribadah kepadaNya sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Az-Zariyat: 56, “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. Akan tetapi penciptaan Allah Azza wa Jalla ini datang dengan pakej lengkap iaitu naluri-naluri (ghara’iz) dan keperluan jasmani (hajatul udhuwiyyah). Allah juga telah menetapkan perundangan dan hukum-hakam untuk mengatur naluri-naluri dan keperluan jasmani ini tadi agar tidak menyimpang dari jalan yang diredhai Sang Pencipta hingga menimbulkan kekeliruan, kekacauan dan kesengsaraan.

Keperluan jasmani seperti makan, minum, tidur dan membuang air akan memberi kesan kepada fizikal dan organ tubuh, malah, boleh menyebabkan kematian apabila tidak dipenuhi. Manakala naluri-naluri seperti naluri melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) yang telah disebutkan di atas dan lain-lain naluri seperti naluri beragama (gharizah at-tadayyun) dan naluri mempertahankan diri (gharizah al-baqa’) apabila tidak dipenuhi akan menyebabkan kegelisahan, kesedihan atau kemurungan, tetapi tidak menyebabkan kerosakan organ tubuh dan membawa kematian.

Pandangan Barat seperti dakwaan Sigmund Freud bahawa pemenuhan naluri seksual adalah sangat penting terbukti salah kerana ada manusia yang tidak memenuhi naluri seksual sepanjang hayatnya. Begitu juga dengan pandangan Abraham Maslow yang mengatakan seolah-olah keperluan seks mesti dipenuhi sebelum seseorang mampu melakukan tugasan lain Ini ternyata tidak benar kerana masih ramai yang mampu melakukan tugasan dengan baik walaupun naluri ini tidak dipenuhi, tetapi dialihkan kepada perkara lain.

Khatimah

Sesungguhnya sangat jelas pandangan Islam tentang hubungan lelaki dan wanita dengan menjelaskan bahawa pemuasan naluri untuk melanjutkan keturunan (gharizah an-nau’) adalah melalui pernikahan atau pemilikan hamba sahaya sahaja. Sekiranya bukan dengan jalan yang dihalalkan syarak ini, maka segala usaha akan dilakukan untuk mengalihkan realiti dan pemikiran-pemikiran yang membawa kepada gejolak asmara. Hanya dengan Islamlah kerosakan dan gejala sosial yang melanda masyarakat dapat diselesaikan dan akhirnya, pemuasan naluri melanjutkan keturunan menurut syarak ini tadi akan melahirkan manfaat, kedamaian dan ketenangan di tengah-tengah masyarakat. Wallauhu ‘alam bisshawab.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment