Terjemahan:Surat Dari Ayah


Bismillahirrahmanirrahim

Anakku yang tercinta,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ucapan terbaik dan ucap selamat yang terindah serta kerinduan yang terhangat ayah kirimkan buatmu melalui cairan wangi dengan memohon kepada Yang Maha Kuasa agar kiriman ini sampai kepadamu dalam keadaan dirimu sihat serta tenang dan berbahagia. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan permohonan.

Pengantin kami yang dikasihi,
Suratmu telah sampai kepada ayah semalam, sayang. Ketika ayah membacanya, bergenanglah mata ayah dengan limpahan air mata yang tidak ayah ketahui sebabnya. Ayah tidak biasa menangis ketika membaca surat. Ayah juga tidak pernah rasa menderita sebegini. Namun, surat ini menjadi surat pertama yang menggoncang perasaan ayah, mengalirkan air mata ayah serta menggerakkan jiwa sanubari ayah. Namun, ayah tidak tahu adakah perasaan ini disebabkan oleh kamu, anak ayah tersayang yang akan bermula kehidupan baru yang terpisah dari ayah? Atau perasaan ini disebabkan oleh kamu, kekasih ayah yang amat berharga di hati ayah, malah ayah sering khuatir, hembusan bayu akan menyakitimu.

Bagaimanalah tidak kerana ayah melihatmu akan menempuh gerbang kehidupan barumu. Ayah berharap daripada segenap jiwa raga ayah dan ayah berdoa kepada Allah SWT setiap pagi dan petang agar Allah melimpahkan kebahagiaan dan keharmonian meneduhi alam barumu itu.
Ayah jua berdoa kepada Allah SWT agar teman usia dan kehidupanmu adalah sebaik-baik suami dan teman. Semoga dia diliputi rasa simpati, kasih sayang, belas dan cinta sepertimana ia peroleh di rumah tempat tumbuhnya, sangkar tempat asal dan tempat membesarnya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengabulkan doa.

Anakku yang dihargai,

Ayah berasa bangga menuliskan kepadamu surat ini tatkala dirimu sedang di ambang kehidupan baru. Jikalah bukan kerana berpisah dari rumah kedua orang tua ke rumah suami merupakan sunnatullah pada makhluk ciptaan-Nya, dan sunnah yang telah ditentukan ke atas semua, tidaklah ayah benarkan seorang pun di dunia ini untuk memisahkan kita. Tetapi apalah helah ayah sedangkan Allah SWT telah menghendaki hal ini sejak dari azali lagi dan sunatullah ini akan tinggal kekal pada makhluk-Nya sehingga Allah mewariskan bumi ini dan mereka yang ada di atasnya. Hanya dengan sebab itu sahaja ayah membenarkan orang lain untuk membawamu ke rumahnya dan menyimpanmu dalam sangkarnya.

Meski apa pun yang ayah katakan dan tuliskan…ayah tidak akan mampu untuk menyingkap segalanya yang tersembunyi di hati ayah.Oleh itu, ayah menuliskan kepadamu surat ini yang mengandungi beberapa nasihat yang ayah peroleh daripada kehidupan ini sementara dirimu sedang memasuki alam tugasmu yang asal, iaitu untuk menjadi ibu dan pengatur rumah tangga dan beroleh kemerdekaan dalam hidup.

Anakku yang disayangi,

Ayah ingin menulis kepadamu beberapa nasihat untuk kau amalkan dan kau lakukan sebaik mungkin terhadap pasangan hidupmu. Sesungguhnya ayah impikan kebahagiaan, ketenangan dan keharmonian memayungi sangkar kecilmu yang ayah harap akan menjadi besar dengan adanya anak-anak yang soleh dan solehah.

Ketika kau membaca surat ini, janganlah kau tergesa-gesa dan janganlah kau tanggapi topik-topik pembicaraan ayah dengan pandangan pertamamu, bahkan berulangkalilah membacanya. Perhatikannya berkali-kali sebelum dan selepas perkahwinanmu. Masa akan menyingkapkan kepadamu banyak perkara yang akan ayah nyatakan nanti. Ayah telah memahami pemerhatian ini dari berita-berita yang ayah dengar dari orang ramai secara umum. Dan jua apa yang ayah telah hadapi, perhatikan dan lalui dalam kehidupan berumahtangga ayah dalam tempoh masa hampir lapan belas tahun.

Pada masa yang sama, ayah sesungguhnya tidak menyatakan bahawa ayah telah sangat arif dengan semua permasalahan yang kadang terjadi dalam kehidupan berumahtangga, antara suami dan isteri, kerana mengetahui semua perkara itu hanyalah sifat Allah Tuhan sekelian alam. Tetapi ayah katakan bahawa ayah hampir mengetahui perkara yang penting dan tampak menonjol dan yang kadangkala nampak seolah-olah kecil dan remeh tetapi memiliki pengaruh yang besar terhadap perjalanan hidup berumahtangga dan hampir memusnahkan mereka jika tidak ada beberapa hikmah, sikap sabar serta tabah dan panjang fikiran.

Demikian juga, sesungguhnya kehidupan sentiasa berubah dan dipengaruhi oleh situasi di dalamnya dengan begitu jelas dan nyata sekali. Kadangkala situasi ini berbeza antara satu keluarga dan keluarga yang lain dan dari satu lingkungan kehidupan dengan yang lain, juga dari satu negara dari negara yang lain dan seterusnya.

Namun, masih ada di sana beberapa perkara yang jelas masih kekal. Berdasarkan muqaddimah atau pengantar yang sederhana ini, ayah ringkaskan kepadamu perkara-perkara penting ini yang ayah harap kau dapat fikir dan perhatikan dengan sepenuh-penuh perhatian:

1. Kehidupan berumahtangga yang kau dirikan haruslah didasarkan pada sifat saling faham-memahami dan berkasih sayang. Oleh itu, wanita hendaklah menghulurkan keramahan, cinta dan kasih sayang sejati buat suaminya. Kata-kata ini bukan semata omong kosong yang sering diulang oleh suami atau isteri. Bahkan ia adalah payung yang bernaung di bawah bayangnya kedua-dua pasangan itu.

Hendaklah setiap daripada suami dan isteri merasai kehangatan, kejujuran dan dalamnya cinta mereka. Jauhilah dan jauhilah dari menggambarkan bahawa kehidupan berumahtangga ditegakkan atas kalimah-kalimah kosong dan bisu yang kehilangan maknanya seiring berlalunya masa. Konsepnya juga musnah dengan diulang-ulang sebutannya sempena ada atau tidak acara tertentu. Kedalaman, kejujuran dan kehangatan cinta itulah asal bagi kehidupan berumahtangga.

2. Setiap daripada pasangan, suami dan isteri, lelaki dan wanita, wahai anakku yang mulia.. ada batasan…yang masing-masing wajib patuhi. Apabila setiap orang mengetahui batasannya dan dipatuhinya, semua urusan akan berjalan lancar dan semua kesusahan akan dapat diatasi secara automatik.

Perkara pertama yang perlu diketahui oleh isteri adalah bahawa suaminya merupakan pemilik kepimpinan di rumah. Solahiyyah sepatutnya diagihkan secara adil sebagaimana perintah Allah SWT. Wanita adalah ibu dan pengatur rumahtangga. Rumahnya adalah kerajaan kecilnya yang dia kendalikan dan dia bersemayam di situ. Sementara suami, kerajaannya adalah di luar rumahnya, tempat dia melaksanakan semua tugasnya.

Demikianlah Rasulullah Sallahu wa Sallam menentukan kepada Fatimah dan Ali r.a. Bahawa Fatimah wajib melaksanakan semua tugas di dalam rumah sementara Ali menjalankan semua tugas di luar rumah.

3. Wahai sayangku, ketika dirimu di ambang kehidupan baru, jauhilah dari menyangkakan bahawa suami atau rumahtangga adalah seperti ayah atau rumah ayah. Dalam rumah ayah, kau boleh meminta apa sahaja yang kau inginkan tanpa susah payah dan adakalanya kau marah dan gelisah. Tetapi di rumah suamimu, kau tidak boleh melakukan hal itu sama sekali. Oleh yang demikian, jauhilah dari banyak meminta, bahkan permintaanmu itu wajiblah dalam batas yang masuk di akal dan perkara yang kau benar-benar perlukan. Kemudian, ada sebabnya bagi sesuatu permintaanmu itu, tidak semua masa sesuai untuk kau meminta. Oleh itu kau mestilah cerdik supaya kau mengerti masa-masa yang paling sesuai untuk permintaanmu itu, seterusnya permintaanmu itu perlulah dalam batas yang logik, yang pendapatan atau gaji suamimu boleh menampungnya.

Banyak meminta dari suami akan membawa kepada kebosanan dan kejemuan serta perasaan tidak dihargai terhadap tanggungjawab atau situasi-situasi umum.

4. Sesungguhnya ketaatan kepada suami termasuk ketaatan kepada Allah. Oleh itu, hendaklah kau taati semua yang dipinta oleh seorang suami terhadap isterinya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat akan melaknatnya hingga ia kembali semula ke rumah.” Dari hadith ini jelaslah bahawa ketaatan adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan berumahtangga.

Sesungguhnya ketika ayah menceritakan tentang ketaatan, ayah tidak bermaksud kau harus taat pada semua perkara, tetapi hanya terhad pada perkara yang halal, yang telah dihalalkan oleh Allah SWT. Jangan kau taat pada perkara yang haram selama-lamanya kerana Rasulullah SAW bersabda: “Tiada ketaatan terhadap makhluk pada perkara maksiat kepada al-Khaliq.” Oleh itu, kau wajib berlaku taat dalam batasan yang halal dan tidak melampaui pada yang haram. Jika seorang suami, atau makhluk lain memerintahkan kepada perkara yang haram, janganlah langsung kamu taatinya.

5. Sentiasalah kau beri perhatian terhadap suamimu. Perlihatkan penjagaanmu dan kepedulianmu yang ikhlas padanya. Tidak seharusnya seorang wanita itu mengabaikan perhatian, penjagaan dan keprihatinan terhadap suaminya meski bagaimana keadaannya.

6. Jauhilah dirimu dari menampakkan keluhan dan kebosanan dengan jelas dan berulang kali. Jauhilah anakku, jauhilah. Bahkan kau sepatutnya sentiasa dilihat tersenyum malu, berseri wajah, ceria dan gembira. Penuhilah wajahmu dengan senyuman meski bagaimana teruk keadaan hari yang kau lalui.

Banyak mengeluh dan menunjukkan bosan akan seterusnya menyebabkan suamimu akan mengeluh sendiri dengan keluhanmu itu dan bosan dari rasa bosanmu itu, yang membawa kepada natijah yang negatif dan buruk yang tiada siapa mengetahuinya melainkan Allah. Hal itu bergantung kepada bagaimana dia dapat mengelola dan mengekang perasaannya dengan baik.

7. Anakku yang dicintai, jauhilah dari dilihat tidur atau masuk tidur sebelum suamimu. Tetapi jadikan tidurmu selepas ia berasa tenang dan naik ke tempat tidurnya. Jangan tidur lebih awal darinya, tetapi tunggulah suamimu walaupun dia lewat sampai ke rumah. Barangkali dia memerlukan sesuatu darimu seperti menghidangkan makanan untuknya atau melayannya.

8. Jauhilah wahai anakku dari menggesa suamimu agar memberikanmu laporan terperinci mengenai apa yang terjadi padanya pada siang hari dalam pekerjaannya dan hubungannya dengan orang lain. Kehidupan berumahtangga bukanlah laporan-laporan yang perlu dikemukakan kepada di penghujung siang dan di awal malam, bukan juga menyingkap akaun oleh suami untuk dikemukakan kepada isterinya.

Sekiranya suamimu membuka sesuatu hal kepadamu, terimalah dan tenangkanlah dia. Jika tidak jangan kau bertanya-tanya. Ramai lelaki bahkan sebahagian besar mereka tidak suka dilihat-lihat rahsianya oleh orang terdekatnya walaupun isterinya. Jika kau melakukan hal itu dan kau menggesanya, dia akan merasa lelah terhadapmu atau mula menjauh dan menghindar diri darimu. Maka janganlah asyik menggesanya kepada situasi seumpama ini selama-lamanya.

9. Janganlah wahai anakku, kau duduk bersamanya sekembalinya ke rumah, kau kemukakan kepadanya laporan terperinci mengenai apa yang berlaku padamu pada siang hari, apa yang dikatakan oleh si fulanah ini dan si fulanah itu. Ataupun pakaian apa yang dipakai oleh si fulanah jiranmu, apa yang dibelinya atau barang apa saja yang dibawanya dari pasar. Ramai lelaki tidak suka mendengar perkara-perkara ini. Jika dia mendengarkan darimu buat pertama kalinya, sebenarnya dia mendengarnya dengan rasa enggan. Jika dia menanyakan lebih lanjut kepadamu, barangkali dia cuba memahamkanmu tetapi dia selanjutnya akan berkata kepada dirinya sesungguhnya dia ini manusia remeh, bicaranya tidak lebih dari bercerita mengenai jiran-jiran. Perkataan manusia yang lebih dari ini termasuk mengumpat, memfitnah dan membuka aib (rahsia) orang lain.

Jika kau wahai anakku mendengar sesuatu atau seseorang berkata sesuatu kepadamu, hendaklah kena pada masanya kemudian letaknya di sudut-sudut lupa pada otakmu.

10. Sesungguhnya kehidupan berumahtangga ini wahai anakku, kadangkala dipenuhi oleh pelbagai perkara. Janganlah kau terlalu ambil peduli. Jika suamimu marah dan bercakap dengan kata-kata yang kadangkala tidak kena tempatnya, berdiam dirilah sehingga dia berasa tenang. Dan ketika dia telah tenang, dia akan mula memuhasabah dirinya sendiri dan akan kembali kepada kebenaran meski bagaimana degil pun dia.

Sementara jika dia berbicara dan kau pun berbicara, bertambah rumitlah masalah. Tali tidak boleh ditarik kuat dari kedua-dua belah pihak. Jika dia marah, jauhilah diri darinya. Pergi ke dapur dan buatlah secangkir kopi, hidangkan padanya dengan
senyuman manis dan kemaafan yang lembut. Demikianlah kau akan menjadi hebat pada matanya, dan bertambah kukuh kedudukanmu di hatinya.

11. Jika dia menyertakanmu dalam satu pembicaraan dan dia sedang berkata, janganlah kau memotong kata-katanya, atau bercakap mewakilinya kerana hal ini akan menyebabkannya berasa marah. Diamlah sahaja sehingga dia selesai berbicara. Jika kau ada perkara yang ingin ditambah pada bicaranya, katakanlah. Jika tidak, maka berkata itu adalah perak sedangkan diam itu adalah emas.

Akhirnya, harapan dari lubuk hati ayah dan juga doa-doa ayah kepada Allah agar Alalh membantumu dan melimpahi kebahagiaan ke dalam rumah barumu. Sehingga bertemu lagi insyaAllah dalam surat selepas perkahwinan.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment