Kelahiran Rasulullah Memimpin Manusia Kepada Kegemilangan Hidup




Mukaddimah

Sebut saja bulan Februari, majoriti akan terus mengingatkan Hari Valentine seolah-olah sambutannya cukup sinonim dikalangan masyarakat dunia termasuklah maysarakat Islam. Dalam keseronokan sebahagian besar umat Islam yang tidak tahu atau enggan mengakui keharaman meraikan hari kekasih ini, mungkin ada yang tidak perasan atau mungkin tidak cakna tentang satu peristiwa penting bagi umat Islam.

Pada tahun ini tarikh kelahiran kekasih Allah Subhanallah Taala yang juga merupakan junjungan mulia umat Islam, Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, iaitu 12 Rabiulawal akan jatuh pada 15 Februari 2011, sehari selepas sambutan hari Valentine. Sambutan hari Valentine dikalangan umat Islam merupakan salah satu bukti bahawa pada akhir zaman ini umat Islam sebenarnya telah berpaling daripada hukum Allah yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Jikalau dahulu manusia hidup dalam masyarakat jahiliyyah yang tidak beriman kepada Allah, pada hari ini pula umat Islam sendiri memilih untuk hidup dalam kehidupan jahiliyyah. Hal ini kerana, pada hari ini segolongan umat menganggap bahawa Islam hanya relevan untuk dipraktikkan dalam amalan individu dan amalan yang berunsur ibadah sahaja. Persoalannya, adakah Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini hanya untuk masyarakat Arab Jahiliyyah di zaman 1500 tahun dahulu sahaja, sehinggakan menyebabkan umat Islam hari ini mengabaikan pengamalan syariatnya secara kaffah? Inilah persoalan yang akan dikupas dalam tulisan ini.

Amalan Jahiliyyah terkubur

Lahirnya Muhammad ke dunia ini dan diutuskannya menjadi Rasul Allah, penyebar risalah Allah dan membawa rahmat ke sekalian alam merupakan anugerah terbesar Allah untuk umat manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: “Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam” [TMQ al-Anbiyaa’ (21):107]. “(Mereka Kami utus) selaku rasul-rasul pembawa berita gembira dan pemberi peringatan agar tidak ada alasan bagi manusia membantah Allah sesudah diutusnya rasul-rasul itu. Dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” [TMQ an-Nisa’ (4):165].

Perutusan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam kepada masyarakat Arab jahiliyyah telah membawa impak perubahan yang sangat besar. Daripada aspek agama dan kepercayaan, penyembahan kepada berhala ditentang dan baginda menawarkan penyembahan kepada Tuhan Yang Maha Esa yang menciptakan manusia. Budaya menipu dalam timbangan semasa jual beli dihapuskan. Begitu juga dengan tabiat meminum arak, membunuh anak perempuan hidup-hidup kerana takut miskin dan demi menjaga harga diri, menjadikan wanita sebagai hamba seks dan banyak lagi amalan jahiliyyah lainnya telah terkubur dengan kedatangan Islam.

Serentak dengan itu, bermulanya pembinaan individu dengan aqidah Islam sehingga lahirnya Muslim yang bersyakhsiyah (jati diri) Islam. Tanpa bertangguh, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga berjaya mengumpulkan mereka, lalu membentuk satu kelompok yang berjuang mengamalkan Islam di tengah-tengah kerosakan masyarakat kuffar. Kelompok ini teguh mempertahankan bahawa Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan Rasulullah itu pesuruh Allah. Bagi mengubah sistem kehidupan kuffar yang membelenggu mereka, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para sahabat juga berusaha menegakkan sebuah negara Islam untuk diterapkan di dalamnya hukum Allah secara kaffah. Rasulullah dan para sahabat juga melakukan berdakwah ke beberapa tempat dilalui oleh mereka sehinggalah masyarakat Yathrib (Madinah) menerima baginda. Seterusnya mengangkat Rasulullah sebagai pemimpin negara sejurus selepas penghijrahan Rasulullah dan sekelompok umat Islam ke sana. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah memimpin umat dalam segenap aspek kehidupan termasuklah sistem ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan lain-lain.

Menurut Zeeneth Kausar (1995) dalam kertas kerjanya Women’s Issues: Women’s Perspectives, Islam meletakkan wanita dalam tiga kategori penting mengikut keupayaannya iaitu sebagai ibu, isteri dan anak perempuan. Ibu diletakkan di tempat paling tinggi selepas Allah dan RasulNya. Bagi wanita Islam yang berkahwin, mereka mempunyai hak-hak tersendiri sepanjang perkahwinannya sama seperti lelaki serta masing-masing mempunyai tanggungjawab dan peranan terhadap keluarga (ibu, isteri, anak perempuan) dan masyarakat (guru, pengasuh, pemimpin , penasihat, perawat dan lain-lain dalam semua sektor). Sebagai seorang Islam, wanita perlu mempunyai penghayatan Islam yang jelas dan keimanan yang kukuh supaya dapat dimanifestasikan keimanan dan jiwa Islam dalam ibadah, akhlak, pergaulan, pekerjaan dan segala aktiviti dalam kehidupannya. Ini penting supaya wanita tetap menjaga maruah dan kehormatan dirinya berdasarkan prinsip Islam. Misalnya, sentiasa menjaga aurat, menjaga tutur kata dalam pergaulan, menjauhkan segala yang mendekatkan diri kepada zina, bersikap positif dan berdaya saing sesuai dengan kesucian dan kemuliaan agama Islam.

Ironinya, kehidupan umat Islam pada masa kini kelihatan telah jauh melintasi sejarah dan merentang zaman kegemilangan pemerintahan Islam. Masyarakat Islam telah kembali kepada kehidupan masyarakat jahiliyyah yang tiada pegangan hidup.

Penganiayaan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Bila diimbas kembali rentetan tragedi yang melibatkan penderaan dan penganiyaan ke atas wanita, kita akan dapati bahawa trauma ini tidak pernah lenyap daripada kehidupan masyarakat. Antara isu yang nampaknya semakin meruncing saban tahun adalah kes simbahan asid yang bukan sahaja menyebabkan mangsanya menanggung kesakitan yang amat sangat tetapi juga terpaksa menjalani kehidupan dengan kecacatan kekal. Pada 27 Januari 2007, seorang suami bertindak nekad menyimbah asid ke belakang badan isterinya, Ramlah Mohamad, 26, kerana mengesyaki wanita itu mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Pada 9 April 2010, seorang peneroka bertindak diluar batasan apabila tergamak menyimbah asid ke muka dan tubuh isterinya, Zarina Wahab, selepas wanita itu menolak untuk melakukan hubungan seks. Manakala pada 10 Januari 2011, seorang lelaki disabitkan kesalahan cuba membunuh isterinya yang sedang hamil, Nor Shamila, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, mendedahkan purata 10 wanita negara ini dilaporkan menjadi mangsa kes keganasan setiap hari, mencakupi keganasan seksual, fizikal dan emosi berdasarkan statistik yang diberikan oleh Polis Diraja Malaysia dan jumlah sebenar (mangsa) lebih dari itu, cuma tidak dilaporkan. Di peringkat global pula, sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia dipukul, dipaksa melakukan aktiviti seksual atau didera sepanjang hayatnya [Berita Harian, 28/11/2010].

Awal tahun 2011 juga disambut dengan beberapa kes dera ke atas kanak-kanak. Pada 9 Januari 2011, Nordiana Qistina Nurafizan, 3 tahun, disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dalaman yang serius akibat dari 73 kesan penderaan di seluruh tubuhnya. Bukan hanya Nordiana malah adiknya, Danish Irsyad berusia setahun turut menjadi mangsa kekejaman yang dipercayai dilakukan oleh bapa dan ibu tirinya [Utusan Malaysia Online, 11/1/2011]. Tidak dilupakan juga kes bualan orang ramai yang melibatkan kanak-kanak berusia 18 bulan, K Haresvarran yang mati dipukul dan dipijak jiran yang menjaganya serta Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati ditendang dan dipijak teman lelaki ibunya pada tahun lalu.

Statistik di negara kita menunjukkan kes penderaan fizikal yang dilaporkan di Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dari 1999 hingga 2006 ialah sekitar 100 kes setahun. Selain itu, 42 peratus daripada pendera terdiri dikalangan ibu bapa sendiri, iaitu bapa 22 peratus dan 16 peratus dikalangan ahli keluarga. Di Amerika Syarikat (AS), negara berkenaan menyediakan peruntukan RM384.8 bilion (AS$104 bilion) setahun bagi menangani isu penderaan kanak-kanak. Berdasarkan hasil laporan, empat kanak-kanak dilaporkan mati setiap hari kerana didera serta diabaikan dari pelbagai aspek misalnya psikologi, emosi dan seksual. Secara purata, 31 peratus wanita di dalam penjara di AS disabitkan dengan kesalahan melakukan penderaan ke atas kanak-kanak. Manakala di United Kingdom (UK) satu hingga dua peratus kanak-kanak mengalami penderaan fizikal sejak peringkat kanak-kanak. Malah, lebih tiga juta orang dewasa, iaitu satu dari 12 orang dewasa menyatakan mengalami tanda lebam akibat penderaan fizikal ketika kanak-kanak dan sembilan peratus menderita dengan kesan jangka panjang. [Berita Harian, 9/3/2010]

Dalam Islam, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam sendiri sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi. Sabdanya yang bermaksud: "Tidakkah seseorang dari kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula". [HR Ahmad].

Seruan Islam yang telah lama sampai kepada kita dari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mengharamkan suami/bapa memukul apatah lagi mendera isteri atau anak-anak mengikut hawa nafsu. Islam hanya membenarkan pukulan dalam rangka untuk mendidik isteri dan anak-anak. Salah satu dalil tentang kebolehan bagi para suami untuk memukul ketika menta’dib (mendidik) isterinya adalah sepertimana ayat berikut:“Laki-laki adalah pemimpin kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (perempuan), kerana mereka telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. Maka wanita solehah adalah yang taat kepada Allah dan memelihara diri ketika suaminya tidak ada kerana Allah telah memelihara mereka. Isteri-isteri yang kalian khuatiri melakukan nusyuz maka nasihatilah mereka, dan pisahkanlah mereka daripada tempat tidur dan pukullah mereka”. [TMQ an-Nisa’ (4): 34].

Islam juga membolehkan melakukan pukulan sebagai ta’dîb terhadap anak. Ibnu Amr bin al-’Ash meriwayatkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam pernah bersabda: “Perintahkanlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Dan pukullah mereka jika berusia sepuluh tahun (jika tetap enggan mengerjakan solat)”. [HR Abu Dawud dan al-Hakim].

Di dalam hukum fikih, pukulan dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, Dharb mubarrih iaitu pukulan yang kuat/keras sehingga dikhuatiri boleh mematahkan tulang, menghilangkan nyawa atau mencacatkan anggota tubuh badan. Pukulan seperti ini adalah dilarang dalam syariah dan termasuk sebagai perkara yang diharamkan. Kedua, Dharb ghairu mubarrih ialah pukulan ringan yang tidak mengalirkan darah serta tidak dikhuatiri akan menimbulkan kebinasaan jiwa atau kecacatan pada tubuh badan, patah tulang dan sebagainya. Pukulan jenis kedua ini menurut syariah boleh dilakukan kepada isteri yang berbuat nusyuz, bermaksiat dan melakukan pelanggaran syariah, iaitu setelah dilakukan maw’izhah dan hajr (nasihat dan pemisahan tempat tidur). (An-Nusyuz, Asy-Syaikh Shalih bin Ghanim As-Sadlan).

Para fuqaha mengatakan bahawa dharb ghairu mubarrih adalah pukulan yang tidak melukakan isteri, tidak mematahkan tulangnya, tidak meninggalkan parut pada tubuh badannya dan tidak boleh dilakukan pada wajah. Pukulan tersebut juga tidak harus berpusat pada tubuhnya (tidak diarahkan hanya pada satu tempat). Tidak boleh satu tempat dipukul secara terus-menerus agar tidak menimbulkan bahaya yang besar pada bahagian tubuh tersebut. Di antara fuqaha, ada yang menyatakan bahawa, “Sebaiknya pukulan dilakukan dengan menggunakan sapu tangan yang dililit atau dengan tangan si suami, tidak boleh dengan cemeti (cambuk/rotan) dan tongkat.”

Begitulah sedikit penerangan mengenai bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam ini begitu melindungi wanita dan anak-anak daripada perbuatan ganas suami dan bapa. Sebagai suami atau bapa, pukulan hanya dibenarkan bagi tujuan ta’dib (mendidik) isteri atau anak dan bukannya untuk melampiaskan kemarahan atau membalas dendam. Namun, apa yang dikisahkan daripada peristiwa-peristiwa di atas menunjukkan bahawa para suami dan bapa tidak lagi mengikut syariat Allah dan contoh tauladan yang ditunjukkan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Tidak cukup dengan isu penderaan wanita di dalam negara oleh ahli keluarga sendiri, sejenak kita telusuri nasib wanita di belahan dunia yang sentíasa ditindas oleh musuh Islam.

Nasib Muslimah Seluruh Dunia

Pada 31 Disember 2011, berdasarkan keterangan dari pihak media yang dilaporkan Maan, seorang wanita Palestin meninggal dunia akibat menghirup gas pemedih mata yang ditembak oleh tentera Israel ke arah mereka ketika melakukan demonstrasi damai mingguan di desa Bil'in. Pasukan Israel menembak bertin-tin gas pemedih mata ke arah mereka yang selalu melakukan demonstrasi secara damai. Sekitar 250 orang cedera, termasuk seorang remaja yang ditembak wajahnya dengan tabung gas pemedih mata. Kekejaman Israel jelas ketara kerana mereka menggunakan gas pemedih mata yang dilarang di Eropah pada tahun 60-an dan 70-an. Ini kerana bahan terbabit boleh menyebabkan kematian. Namun mereka terus menggunakannya di Palestin tanpa mempedulikan kesan dan akibatnya. [Buletinonliner.com, 3/1/2011].

Yayasan Solidariti Hak Asasi Manusia Antarabangsa menyatakan bahawa seorang tahanan wanita Palestin, Kifah Auni Qutsy yang berasal dari kota Birah, terperosok di penjara Israel menderita kekurangan immunisasi badan yang menyebabkan penyempitan pembuluh darah seperti mengalami Gangrene, penyakit yang menggugurkan jari tangan disebabkan tidak sampainya darah ke jari [iLuvislam.com, 20/10/2010]. Tidak jauh bezanya dengan insiden di atas, pada 10 Januari 2011, Yayasan Perlindungan Tahanan “Yusuf ash Shidiq” melaporkan bahawa para tahanan wanita Palestin terpaksa menanggung kenaikan harga yang tinggi di kantin penjara Israel dan mereka dipaksa membeli dari sana, terutama pakaian dan alas kaki (selipar/kasut). Lebih teruk lagi, keluarga tahanan tidak dibenarkan untuk membawakan alas kaki untuk tahanan penjara. Akhirnya mereka dipaksa untuk membelinya dengan harganya yang mencapai 80 dolar. Selain itu kantin tahanan juga tidak memiliki banyak barang yang diperlukan oleh para wanita. Pihak penjara pula tetap menolak barang keperluan kiriman daripada keluarga tahanan. Kebelakangan ini juga, pihak penjara menghadkan jumlah pakaian yang masuk ke penjara. Laporan ini menyebutkan bahawa para tahanan wanita, khususnya di penjara Damon, mengalami kekurangan air minuman yang bersih. Hal ini juga memaksa para tahanan membeli air bersih daripada kantin penjara dengan harga yang sangat mahal [Republikan Online, 10/1/2011].

Di pelosok bumi yang lain yang mana Islam turut dihina, nasib muslimah seperti hidup terpenjara di tanah air sendiri. Mereka dinafikan hak untuk menjalankan kewajipannya dalam berpakaian menurut Islam. Sebagai contoh dalam sebuah artikel menyatakan,“burqa dan niqab merupakan tradisi yang memandang bahawa perempuan sebagai objek seksual, seorang penggoda, yang mana dengan gerakan pergelangan kaki mereka dapat membawa lelaki (makhluk yang lemah yang tidak mampu menahan godaan ini) untuk bertekuk lutut di hadapan mereka. Ini adalah sistem nilai yang menjijikkan dan saya menolaknya. Begitu juga dengan semua warga Kanada yang menganut feminisme sekular. Jadi marilah kita mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan hijab.” Itulah artikel yang telah diterbitkan oleh sebuah akhbar online Canada, Toronto Star, pada 18 Disember 2011 yang mengesyorkan supaya pengharaman bukan hanya dibuat terhadap niqab (penutup wajah/purdah) dan burqa (penutup seluruh tubuh), tetapi juga terhadap hijab (tudung kepala).

Sungguh sakit mata yang memandang dan pedih hati yang merasakan penderitaan yang dialami oleh umat Islam di seluruh dunia ini akibat penindasan yang didalangi musuh-musuh Islam. Oleh yang demikian, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memikirkan cara sebagai solusi yang konkrit bagi menyelesaikannnya masalah ini secara menyeluruh. Usaha yang diambil mestilah bukan setakat membantu mengisi perut-perut mereka yang kemudian akan tembus terburai dengan tembakan peluru, bukan juga sekadar membekalkan selimut dan pakaian membaluti tubuh-tubuh mereka yang kemudian akan terbakar dengan serangan bom dan basah berdarah. Bahkan bukan juga sekadar menyediakan khidmat perubatan merawat luka-luka mereka yang kemudian akan diseksa dengan senjata kimia. Sebaliknya apa yang diperlukan ialah usaha yang dapat menyingkirkan akar kepada kezaliman tersebut. Hal ini kerana permasalahan Palestin dan negara-negara umat Islam lain adalah berpunca daripada masalah penjajahan, fizikal dan mental. Bukannya masalah kemiskinan dan kebajikan semata-mata. Pencabulan terhadap hak umat Islam dalam melaksanakan kewajipannya bukanlah masalah kelemahan ketaqwaan individu tetapi masalah yang berpunca daripada tekanan undang-undang kuffar yang dipaksakan ke atas mereka.

Tindakan Pemimpin Islam ke atas kezaliman Musuh Islam

Pada zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, seorang wanita Muslimah tersingkap auratnya apabila seorang tukang emas Yahudi Bani Qainuqa’ telah mengikat hujung kain yang dipakainya pada kerusi. Ketika itu, seorang lelaki Muslim telah bangun membela dengan membunuh Yahudi tadi. Sebagai membalas dendam, puak Yahudi membunuh pula lelaki Muslim itu. Kaum Muslim yang lain telah membantu kaum keluarga lelaki Muslim itu, dan Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menghantar pasukan tentera Muslim untuk menyerang Yahudi Bani Qainuqa’. Selepas lima belas hari, kaum Muslim telah berjaya menghapuskan seluruh Bani Qainuqa’ dari tanah Madinah.

Khalifah Islam yang memerintah selepas para Sahabat juga mengambil Sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dalam menyelesaikan masalah yang sama. Imam Ibnu Athir mencatatkan dalam “Al-Kamil fi Tarikh”, sebuah kisah yang terkenal mengenai seorang wanita Muslimah yang telah ditangkap oleh puak Rom dan ditahan di satu tempat bernama ’Amuriyyah. Tidak puas dengan menahan beliau, mereka juga cuba untuk mencabul kehormatan wanita Muslimah itu. Bersendirian dan ketakutan, wanita itu memanggil nama Khalifah pada ketika itu “Oh Mu’tasim”. Seorang lelaki menyaksikan kejadian ini, lantas bertemu dengan Khalifah Mu’tasim dan memaklumkan beliau tentang kejadian itu. Tatkala Mu’tasim mendengar tentang rintihan wanita itu, beliau menyahutnya dengan penuh keberanian, “Labbaik (Aku datang menyahut seruanmu).” Mu’tasim mempersiapkan sepasukan bala tenteranya dan melancarkan serangan untuk menyelamatkan wanita itu. Pasukan tentera beliau telah menawan pihak musuh dan memasuki ‘Amuriyyah. Selepas menghancurkan kubu kuat musuh, mereka sampai kepada wanita itu serta berjaya membebaskannya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz pula telah mengirim sepucuk surat kepada Tahanan Perang Muslimin di Konstantinopel. Beliau memberitahu mereka:

“Kalian mengatakan dirimu adalah Tahanan Perang. Sebenarnya, kalian bukanlah begitu. Kalian telah dipenjarakan kerana berjihad untuk Allah. Aku ingin memberitahukan kalian semua, apabila aku memberi sesuatu kepada semua kaum Muslimin, aku akan memberikan lebih kepada kaum keluarga kalian dan aku mengirimkan si polan dan si polan membawakan 5 dinar untuk setiap seorang dari kalian. Seandainya bukan kerana aku risaukan penguasa diktator Roman yang akan merampasnya dari kalian, sudah pasti aku akan mengirim lebih lagi. Aku juga telah mengutus si polan bin si polan untuk memastikan pembebasan setiap dari kalian, tanpa mengira berapa pun wang tebusan yang perlu dibayar. Maka bergembiralah kalian! Salam Sejahtera.”

Begitulah usaha-usaha yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan pemimpin umat Islam demi membela nyawa dan maruah umat Islam. Sesungguhnya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda:“Seorang Muslim adalah bersaudara dengan Muslim yang lainnya, maka janganlah dia menindas saudaranya dan jangan sekali-kali dia menyerahkan saudaranya yang lain kepada pihak yang menindas”.[HR Bukhari].




Kembalilah kepada sirah perjuangan Rasulullah

Wahai muslimah yang berfikir!

Sejak terpadamnya cahaya kegemilangan Islam di Turki pada tahun 1924, pemimpin umat Islam yang manakah sanggup melakukan seperti apa yang telah Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan para Khalifah lakukan untuk melindungi kalian? Jawapannya TIADA! Para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini adalah pemimpin khianat. Tatkala nyawa dan maruah umat Islam berada di hujung tanduk dengan ancaman pelbagai jenis jenayah, kekejaman dan penindasan di seluruh penjuru dunia, para pemimpin hina ini sibuk mengatur lawatan kepada musuh. Mereka sibuk mencari keuntungan berunding urusan perdagangan, bermanis muka dan berlembut lidah atas nama kesepakatan damai dan toleransi. Inilah hakikat pemimpin umat Islam!

Sepatutnya dengan kuasa yang ada, mereka wajib memerintah dengan hukum Islam seperti Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintah. Diterapkannya sistem pendidikan Islam yang mendidik insan bertaqwa sehingga tiada yang berani menganiayai wanita khususnya dan umat Islam amnya kerana takutkan yang mewujudkan masyarakat amar ma’ruf nahi mungkar. Diamalkannya pula sistem politik Islam yang mewajibkan penguasa-penguasa umat Islam memimpin mereka dengan tali Allah. Sebaliknya, pemimpin hari ini, mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengeluarkan umat Islam daripada segala penderitaan dan ketakutan. Bahkan mereka juga tidak mempedulikan kebajikan dan kehidupan umat Islam. Apalagi untuk mereka menegakkan syariat Islam. Yang sering dilakukan, tiada lain selain terus asyik dengan kenikmatan dunia dan berbaik-baik dengan musuh yang tidak akan henti-henti meratah umat Islam. Umat Islam yang beriman, semestinya tidak mahukan pemimpin yang telah berpaling dari hukum Allah ini!

Sesungguhnya Allah telah menjelaskan bahawa siapa sahaja yang tidak mengimani Al Qur’an, membenarkan berita yang disebutkan di dalamnya, tidak meyakini perintah yang diwajibkan di dalamnya, dialah yang dikatakan berpaling daripada zikir pada Allah. Bahkan Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengancam orang yang berpaling dari zikir ini iaitu Al-Qur’an dan Sunnah. Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda bahwa orang tersebut akan diberikan penghidupan yang sempit di dunia dan akhirat. Allah berfirman: “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. Berkatalah ia: Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan.” [TMQ Thaaha (20):124-126]. Oleh itu, sanggupkah kita membiarkan pemimpin-pemimpin yang diancam Allah ini mengheret kita ke dalam kemurkaan Allah di dunia dan di akhirat?

Maka, ayuh kita telusuri dan hayati semula sirah perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Kelahiran Baginda adalah umpama cahaya bulan yang menyinari kegelapan malam. Kebangkitan Baginda sebagai utusan Allah telah berjaya memimpin dan memandu umat manusia ke jalan yang lurus iaitu Islam. Firman Allah: "Dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus maka ikutilah ia dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan ini mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa". [TMQ al-An’am (6): 153] Sememangnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah mencerminkan keperibadian Islam yang dikehendaki oleh Allah untuk dicontohi oleh umat manusia lam segala tingkah laku, percakapan dan sikap baginda. Firman Allah Subhanallah `Taala: "Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah" [TMQ al-Ahzab (33): 21].

Hakikatnya lagi, Rasulullah bukan sahaja menunjukkan contoh peribadi yang baik sebagai suami, bapa, sahabat dan peniaga, bahkan baginda juga memetakan jalan bagi umat Islam dalam membentuk individu yang bertaqwa, menyampaikan Islam ditengah-tengah masyarakat kuffar, berjuang bersama kelompok sahabat mendirikan sebuah negara Islam dan seterusnya menerapkan segala syariat Allah di Mekah dan Madinah, serta ke seluruh wilayah-wilayahyang lain.

Muslimah yang dikasihi Allah, pemimpin yang sebeginilah yang kita perlukan. Dia adalah Khalifah yang akan memerintah Daulah Islam suatu masa nanti. Sepertimana yang dijanjikan oleh Allah dan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Dan semestinya janjiNya menuntut usaha kita. Untuk merealisasikannya. Sesungguhnya, Inilah amanah yang telah diwariskan oleh baginda kepada kita. Sedarlah wahai umat Islam, jalan-jalan yang dipetakan oleh Rasulullah tidak akan pudar daripada sirah kerana ia wajib untuk terus ditelusuri oleh umatnya.


Khatimah

Sirah kehidupan dan perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah menghidupkan Islam di tengah-tengah masyarakat Arab Jahiliyyah bukanlah semata-mata sejarah yang perlu ulang ceritakan untuk memperingati baginda ketika sambutan kelahiran baginda setiap tahun. Ia sebenarnya adalah hukum yang tertaklif pada umat Muhammad untuk terus diamalkan - mengingati baginda, mencintai baginda, meneladani baginda dan meneruskan perjuangan baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam.

Bagaimana Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berjaya menyelamatkan malah melindungi maruah dan martabat wanita serta umat Islam amnya dari lembah jahiliyyah, begitulah juga kita sebagai umat Islam hari ini wajib lakukan. Daripada tahap pembinaan individu, penyatuan dalam kelompok dakwah, sehinggalah kepada mendirikan daulah Islam. Sesungguhnya, itulah jalan yang wajib dilalui oleh setiap individu untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah.

Ayuh muslimah, bangkitlah menyeru seruan Islam kaffah dan marilah sama-sama meneruskan perjuangan baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam! Mudah-mudahan ingatan dan kecintaan pada Rasul Allah ini bukanlah retorika semata-mata. Allahu akbar!

Wallahu a’lam bisshawab.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment