APA ADA PADA PENDIDIKAN SEKS?



Mukaddimah

Isu gejala sosial yang melibatkan seks bebas, kelahiran anak di luar nikah, pembuangan bayi, penularan penyakit kelamin di usia remaja, AIDS dan sebagainya sudah menjadi semakin parah apabila statistik menunjukkan berlakunya peningkatan dari tahun ke tahun. Malah, yang lebih membimbangkan, jumlah yang berada di carta teratas adalah terdiri dalam kalangan remaja melayu yang beragama Islam!

Hampir setiap minggu kita mendengar melalui televisyen, akhbar dan majalah tentang kes-kes sosial yang menyesakkan nafas umat. Kes pembuangan bayi yang kebanyakannya ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan, malah ada yang tidak dapat dikenalpasti jantinanya berikutan keadaan bayi tersebut yang telah reput atau digigit anjing menjadi fenomena yang biasa. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan sebagainya antara lokasi biasa di mana bayi-bayi malang ini ditemui. Namun, bayi yang tidak berdosa ini ada juga yang bernasib baik apabila ditemui dalam keadaan masih hidup.

Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan dan pihak-pihak lain yang terlibat bagi membendung gejala yang kian meruncing ini. Pihak kerajaan, pembangkang dan NGO (non-governmental organization) serta masyarakat sendiri masing-masing memberi perhatian serius dalam menangani gejala yang jauh menyimpang dari ajaran Islam ini. Tidak kurang juga cadangan dan penyelesaian yang cuba diketengahkan agar kerosakan yang dihadapi golongan remaja ini dapat dibenteras.

Salah satu langkah kerajaan yang sedang dilaksanakan kononnya bagi menyelesaikan masalah sosial yang berlaku terutama isu buang bayi dalam kalangan remaja adalah melalui pembelajaran di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), iaitu pengenalan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di peringkat sekolah-sekolah termasuk sekolah rendah dan sekolah menengah. Sebelum ini pendidikan seksualiti diterapkan secara menumpang mata pelajaran lain, namun bermula tahun ini pendidikan seks telah diajar secara berasingan dengan mengekalkan penggunaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS). Persoalannya, adakah melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini berjaya membendung masalah sosial remaja atau sebaliknya lebih menggalakkan lagi remaja melakukan seks secara bebas di usia muda dek kerana pendedahan yang diberikan di sekolah-sekolah mereka?

Realiti Kes Buang Bayi Hari Ini
Jika dilihat peratusan kes pembuangan bayi bagi tempoh tiga bulan pertama pada tahun 2011 mencecah jumlah sebanyak 29 kes. Suatu pencapaian drastik yang amat memeranjatkan dan semakin membimbangkan kerana ianya berlaku dalam tempoh suku pertama yang masih belum berakhir bagi tahun ini.

Kes buang bayi yang terbaru berlaku di Pulau Pinang apabila mayat bayi ditemui mati dalam keadaan yang menyayat hati pada 18 Mac yang lalu. Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mumtaz Begum Mohd. Sultan telah memaklumkan berkenaan berita ini ketika ditemubual di forum anjuran Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Menurutnya, kebimbangan itu berasas jika melihat rekod yang dicatatkan dan dibuat perbandingan dengan tahun lalu. Beliau dipetik sebagai berkata:

“Sepanjang 2010, jumlah kes buang bayi yang diperolehi daripada Polis Diraja Malaysia adalah 43 kes”. “Bagi tahun ini pula, sepanjang tiga bulan pertama sahaja, sudah 29 kes termasuk kes terbaru di Pulau Pinang semalam di mana mayat bayi ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati,” [Utusan 20/3/2011].

Antara kes terbaru juga ialah kes yang melibatkan seorang janda di Ipoh yang melakukan zina bersama kekasih hatinya telah mengandung anak luar nikah. Apa yang amat menyedihkan apabila ibu muda yang telah mempunyai anak hasil perkahwinannya yang sah ini sanggup menggugurkan kandungan haramnya sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh empat tahun. “Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.

“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya. [Harian Metro Mac 2011].

Banyak lagi sebenarnya kes pembuangan bayi yang berlaku di negara kita, melalui pelbagai cara dan lokasi pilihan yang dijadikan tempat untuk mereka membuang bayi hasil hubungan haramnya dengan si lelaki durjana yang juga tidak mahu bertanggungjawab. Akibatnya, si ibu yang malu akan cemuhan masyarakat ke atas dirinya bertindak di luar batasan kemanusiaan dan nyata sekali menyalahi ajaran Islam. Tidakkah mereka yang membuang bayi ini sedar bahawa Allah Subhanahu Wa Taala telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud;

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)”[TMQ al-Isra’ (17):32]

“Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka, kerana kebodohan lagi tidak mengetahui, dan mereka telah mengharamkan apa yang Allah telah rezekikan kepada mereka dengan semata-mata mengada-adakan terhadap Allah. Sesungguhnya mereka telah sesat dan tidaklah mendapat petunjuk” [TMQ al-An’am (6): 140]

Dari Hadis Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Salam yang bermaksud;

“Daripada Ibnu Mas’ud Radiallahu Anhu, beliau bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam : Apakah dosa yang paling besar? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu menjadikan tuhan yang setanding dengan Allah, sedangkan Dialah yang mencipta kamu. Aku bertanya lagi : Kemudian dosa apa lagi? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu membunuh anak kamu kerana takut dia berkongsi makanan bersama kamu (kemiskinan). Aku bertanya lagi : Kemudian? Baginda Sallallahu Alaihi Wa Salam menjawab : Sekiranya kamu berzina dengan jiran kamu.” [Imam Bukhari, Shahih Bukhari bahagian. 13, ms 394 no. 4117].

Sebagaimana peringatan Allah Subhanahu Wa Taala di dalam Al-Quran serta Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam, bahawa setiap makhluk ciptaanNya di mukabumi ini adalah amat berharga. Tumbuh-tumbuhan dan haiwan-haiwan juga harus dipelihara dengan sebaiknya, inikan pula makhluk Allah Subhanahu Wa Taala yang bergelar manusia. Walau sekecil mana pun anak itu, walau apapun status kelahiran anak malang itu, namun dia tetap berhak untuk merasai kehidupan di dunia ini. Sungguh tiada langsung rasa belas seorang ‘ibu’ itu yang telah bersusah payah menyembunyikan kandungannya yang berat dari diketahui orang, bertarung nyawa antara hidup dan mati demi untuk melahirkan zuriat yang lahir dari rahimnya sendiri, akhirnya dibuang bagaikan sampah!

Inilah yang telah berlaku dalam masyarakat kita dewasa ini. Maksiat dan aktiviti seksual bebas berlaku di mana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada di antara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan merupakan mahasiswa di IPT. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan keji inilah lahirnya satu janin yang bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah yang mementingkan diri sendiri.

Justru, tanyakan kepada diri sendiri apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi pada zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam? Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup semata-mata untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga.

Amat memualkan malah fakta ini yang tidak dapat dinafikan, kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membasmi gejala ini. Dari usaha pencegahan sehinggalah kepada usaha pelaksanaan hukuman.Antaranya termasuklah kempen-kempen kesedaran di kalangan remaja, ceramah-ceramah beserta pameran dari badan kerajaan yang tertentu seperti Polis Diraja Malysia (PDRM) dan seumpamanya sehinggalah kepada pelaksanaan hukuman penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini. Ironinya usaha ini seolah-olah tidak memberi kesan dan tidak menampakkan hasil. Jenayah keji ini malah semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi.

Akal yang waras akan bertanya di mana silapnya? Naluri yang penuh keimanan akan bermuhasabah apakah kepincangannya? Hakikatnya ramai yang prihatin malah isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Namun cukupkah hanya sekadar menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa? Cukupkah sekadar manifestasi emosi yang cuak dengan isu pembuangan bayi yang tidak berdosa ini kerana dia adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan?

Statistik Dahulu, Kini Dan Selamanya Jika Tiada Penyelesaian Tuntas

Jika dilihat dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mumtaz Begum Mohd Sultan di atas, jumlah buang bayi sepanjang tiga bulan pertama ini mencecah 29 kes.

Sementara statistik kes pembuangan bayi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula menunjukkan satu trend peningkatan apabila kes yang dilaporkan sentiasa menunjukkan graf menaik dari tahun 2005 – 2011.

Dilaporkan sejak tahun 2005 hingga Januari tahun ini sebanyak 517 kes pembuangan bayi dijumpai. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, jumlah itu merangkumi 203 orang bayi lelaki, 164 orang bayi perempuan dan 150 orang bayi yang tidak diketahui jantinanya. Dari jumlah 517 bayi itu, sebanyak 230 merupakan bayi yang hidup manakala selebihnya telah meninggal dunia. [Bernama 9/2/2011].

Perkara ini dapat disimpulkan sebagai sentiasa meningkat walaupun ada penurunan pada 2007. Sebanyak 67 kes dilaporkan pada 2005, 83 kes (2006) dan menurun kepada 65 kes pada 2007, 102 kes (2008) dan 79 kes (2009). [Berita Harian 14/8/2010]. Pada tahun 2010, kes buang bayi menunjukkan penurunan kerana hanya mencecah 43 kes, namun sepanjang tiga bulan pertama di tahun 2011 jumlah kes sudah mencapai 29 kes.

Bagaimana pula sehingga penghujung tahun? Nauzubillah!
Sementara itu, statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati purata tiga bayi dibuang setiap dua minggu di negara ini sepanjang 2007 hingga April tahun lalu, membabitkan 312 kes.

Pengarah Institut Sosial Malaysia (ISM), Mohamed Fadzil Che Din, berkata perangkaan itu mungkin lebih tinggi kerana yang disenaraikan itu hanyalah kes yang dilaporkan kepada JKM.

Sejauh mana ‘kejayaan’ Pendidikan Seks?

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, bahawa “hasrat murni” kerajaan melaksanakan pendidikan seks ini adalah bertujuan untuk memberi maklumat kepada pelajar dan mengelakkan mereka dari terjebak dalam gejala sosial. Sebaliknya, melalui laporan-laporan dan statistik-statistik yang dikeluarkan, menunjukkan masih ramai dalam kalangan remaja yang terjebak dalam gejala sosial ini. Tidak cukup dengan kes buang bayi, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula berhadapan dengan situasi peningkatan pendaftaran kelahiran bayi-bayi yang tidak sah taraf. Dengan kata lain, anak luar nikah.

Berdasarkan statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi 2000 hingga 2008, sebanyak 257,000 kanak-kanak didaftarkan tidak mempunyai nama bapa. Lebih menyedihkan, bagi tempoh 1999 hingga 2003 sahaja, 44 peratus anak yang tidak mempunyai nama bapa adalah anak orang Islam iaitu 30,978 daripada 70,430 kanak-kanak yang didaftarkan.

Dalam perkembangan berkaitan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan Pakar Runding Kanan HKL, Datuk Dr J Ravindran, berkata kes wanita melahirkan anak luar nikah di hospital terbabit mencatatkan peningkatan pada tahun 2010 berbanding tahun 2009. [Berita Harian 14/8/2010].

Namun apa sebenarnya faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama daripada ibu bapa yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan?

Apa pun ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada antara ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa dilupakan sedikit demi sedikit.

Mungkin juga ianya berpunca daripada kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja.

Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah di dalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat.

Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Kegagalan pendidikan seks dalam menyekat masalah zina dan pembuangan bayi telah terbukti. Di negara Barat sendiri yang merupakan pencipta idea dan mengamalkan pendidikan seks juga menemui kegagalan apabila melahirkan ramai remaja yang terjebak dengan gejala seks sehingga kadar penyakit kelamin dan kematian meningkat secara mendadak.

Khatimah

Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang diperkenalkan di Malaysia walaupun disokong oleh banyak pihak dan ramai yang memandang dari sudut positif, namun hakikatnya tidak mampu mengatasi secara keseluruhan, jauh sama sekali secara tuntas sehingga ke akar umbi. Apabila ajaran Islam diketepikan dari kehidupan hatta dalam membuat penyelesaian walau sekecil mana sekalipun, ianya akan menjadi penyelesaian yang bersifat sementara sahaja.




Oleh itu kembalilah kepada Deen yang menyeluruh kerana dengan merujuk kepada penyelesaian yang berasal dari selain Islam hanya akan menimbulkan kerosakan kehidupan manusia. Firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud: “Tidakkah kamu melihat orang-orang yang mengira beriman kepada apa sahaja yang diturunkan kepadamu serta apa sahaja yang diturunkan sebelummu? Mereka ingin berhukum kepada ‘Taghut’, sedangkan mereka diperintahkan agar menolaknya. Dan sesungguhnya syaitan ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya” [TMQ an-Nisa (4): 60].

Wallahu a’lam bisshawab.


SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment