Sunday, April 24, 2011

Warna-Warni Sejarah Silibus Pendidikan Seks di Malaysia



Muqaddimah

Dalam kurikulum persekolahan Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial (seksualiti) diberi penekanan memandangkan gejala sosial yang semakin meningkat dalam kalangan remaja masa kini. Realiti yang dibentangkan dalam artikel sebelumnya setidaknya telah cukup menggambarkan kebenaran fakta tersebut. Peningkatan kadar berlakunya jenayah buang bayi, merebaknya penyakit berjangkit kelamin (sexual-transmitted disease) dan pelbagai lagi masalah gejala sosial menjadi faktor utama pendidikan seks diperkenalkan di Malaysia seperti juga di negara-negara Barat yang telah melaksanakannya. Ini kerana, para pemerhati remaja berpendapat seks bebas dan gejala sosial yang berleluasa berlaku dalam kalangan remaja disebabkan oleh kurangnya pengetahuan tentang seksualiti. Seorang pakar pendidikan, Musgrave (1978) dalam bukunya The Moral Curriculum : A Sociological Analysis menegaskan bahawa agenda penting pendidikan dalam sesebuah negara haruslah merangkumi usaha membangunkan aspek-aspek moral individu dan masyarakat [www.informaworld.com].

Sehubungan itu mereka berpendapat pentingnya pendidikan yang betul mengenai seks diajar di sekolah.

Sejarah Pendidikan Seks Di Malaysia

Pendidikan seks di sekolah-sekolah di Malaysia bukannya suatu silibus yang baru, malah ia telah melalui peringkat pengenalan, pindaan, pengenalan semula disertai dengan pelbagai respon sokongan dan tidak terkecuali bantahan. Pendidikan seks mula diperkenalkan di sekolah menengah pada tahun 1989. Pembelajaran sosial dan kajian kesihatan reproduktif diajarkan dalam pendidikan kesihatan merangkumi kurikulum pelbagai mata pelajaran seperti biologi, sains, sains tambahan, kajian moral dan pendidikan agama. [Malaysia says no to sex education 28 April 2010, News Straits Times]

Pada Januari 1991, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menyatakan bantahannya dengan cadangan untuk membenarkan filem dan video yang menggambarkan adegan seksual digunakan untuk tujuan pendidikan. Pada September 1992, Jawatankuasa Kabinet tentang AIDS pula mencadangkan pendidikan seks diajar kepada pelajar tingkatan dua dengan penekanan pada pencegahan AIDS. Sebagai langkah penjenamaan semula, pada Oktober tahun yang sama, Kementerian Pelajaran memutuskan untuk tidak menggunakan istilah "pendidikan seks" bagi subjek berkenaan seks kerana ia boleh disalahfahami oleh orang awam. Tetapi ia akan dikenali sebagai "pendidikan kesihatan keluarga" dan hanya diajarkan kepada pelajar sekolah menengah.

Dalam merealisasikan hasrat Kementerian itu, pada Disember 1994, pendidikan seks diperkenalkan sebagai subjek yang disebut "pendidikan kehidupan keluarga" untuk pelajar tingkatan dua hingga lima bermula pada penggal persekolahan 1995/1996. Tambahan pula, terdapat cadangan untuk memperkenalkannya di sekolah rendah. [mpbn.kbs.gov.my]. Seterusnya, silibus pendidikan seks ini mula mendapat bantahan secara terang-terangan apabila pada September 1998, Persekutuan Persatuan Perancangan Keluarga melaporkan bahawa kertas kerja untuk memasukkan pendidikan seks di sekolah-sekolah telah dianggap negatif oleh golongan ibu bapa dan kelompok masyarakat.

Namun, pada April 2000, pendidikan seks tidak dihentikan dan mula diajarkan di Pulau Pinang di bawah projek perintis yang melibatkan pelajar tingkatan tiga di 15 buah sekolah. Untuk memastikan pengenalan silibus ini berjaya, kerajaan mencadangkan untuk memberikan panduan tentang pendekatan mengajar mata pelajaran seksualiti pada awal tahun 2004 kepada guru-guru.

Seterusnya, pada Disember 2006, Menteri Pendidikan melaporkan kabinet telah memberi lampu hijau untuk memperkenalkan pendidikan seks ke dalam sukatan sekolah di semua peringkat. Malah, sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan untuk memberikan latihan, kempen dan bahan promosi untuk pendidikan seks.

Justeru, satu persoalan boleh ditimbulkan, setakat tahun 2006, adakah silibus Pendidikan Seks tersebut telah berjaya menyelesaikan masalah muda mudi sekarang yang semakin sukar dikawal? Muda-mudi yang meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal dan akhirnya berlaku kes-kes pembunuhan, pembuangan bayi oleh wanita-wanita muda yang mengandung dek kerana terdorong dengan nafsu? Nampaknya jawapan kepada soalan ini adalah negatif dan buktinya adalah realiti dan fakta-fakta yang telah terpampang di hadapan mata kita saban hari dan saban tahun.

Pada Ogos 2010, Kementerian Pelajaran menyatakan kesediaannya untuk mengkaji cadangan memasukkan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam kurikulum sekolah atau sebagai mata pelajaran teras. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata, sebuah jawatankuasa teknikal terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pakar-pakar berkaitan masalah sosial, akan meneliti cadangan itu sebelum keputusan mengenainya dibuat [Cadangan pendidikan reproduktif sebagai mata pelajaran dikaji, Utusan online, 4/8/2010].

Yang terbaru, bermula tahun 2011, Pendidikan Kesihatan akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mana-mana mata pelajaran lain di bawah transformasi Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Pendidikan Kesihatan diberi peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun 2011. [Berita Harian Online, 28/12/2010]. Selain itu, PKRS juga akan diperkenalkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula Mei tahun ini [Utusan Online, 2/1/2011].

Kesimpulannya, kerajaan Malaysia masih mengamalkan cara lama iaitu try and error (kaedah cuba jaya) dalam usaha mereka untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dalam masyarakat. Pelik tetapi benar, saban tahun, isu nama yang sesuai untuk dilabelkan pada pendidikan seks ini diperdebatkan. Malah, pihak kementerian masih lagi dalam peringkat berfikir dan meneliti sama ada PKRS ini kekal sebagai kokurikulum atau diserapkan dalam silibus akademik (kurikulum) sedia ada, misalnya dalam mata pelajaran biologi atau sains. Hakikatnya program perintis PKRS telah dilaksanakan di lima sekolah menengah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan serta Pahang sebagai kokurikulum sekolah.

Kementerian pelajaran seperti tidak pernah bersedia dengan rangka kurikulum pendidikan yang terbaik yang mampu menyelesaikan setiap permasalahan rakyatnya apatah lagi mencegahnya. Muhyiddin berkata, dalam membuat keputusan mengenai status PKRS dalam pendidikan sekolah, pelbagai faktor akan diambil kira termasuk latar belakang pelajar yang terdiri daripada berbilang bangsa dan agama serta kandungan buku teks kerana pada masa ini tidak ada bahan mengenai PKRS.

Beliau juga berkata guru-guru yang akan mengajar program PKRS juga perlu dilatih supaya mereka dapat menyampaikan pembelajaran berkenaan secara berkesan. Badan-badan kerajaan yang lain pula memainkan peranan yang sangat pasif dalam bekerjasama menyelesaikan masalah berkaitan seks ini padahal punca masalah ini bersumber dari pelbagai cabang kehidupan seperti sosio-budaya, perundangan dan kehakiman, media massa dan elektronik dan lain-lain.

Kurikulum Pendidikan Kesihatan terdiri daripada elemen PKRS (75%), pemakanan (15%) dan pertolongan cemas (10%). Kandungan PKRS dalam Pendidikan Kesihatan digubal berdasarkan kepada tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran. Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab dalam menangani situasi berisiko.

PKRS merangkumi enam tunjang iaitu perkembangan manusia, perhubungan, perkahwinan dan kekeluargaan, kemahiran kendiri, kesihatan dan tingkah laku serta masyarakat dan budaya. Kesemua enam aspek ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula tahun satu hingga enam.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, antara skop yang akan dimasukkan bagi murid tahap satu ialah perbezaan aspek fizikal lelaki dan perempuan, tanggungjawab menjaga kebersihan diri, kemahiran berkata ‘tidak’ kepada sentuhan yang tidak selamat, kepentingan memelihara kehormatan diri serta pengurusan perasaan. Bagi tahap dua yang membabitkan murid tahun empat, tahun lima dan tahun enam, skopnya ialah bagaimana mengurus konflik, perubahan fizikal, akil baligh, sistem reproduktif, kemahiran memelihara kehormatan diri, risiko hubungan seks sebelum nikah, jangkitan penyakit seksual dan kemahiran berkata tidak kepada rokok, alkohol dan dadah. [Berita Harian Online, 6/12/2010].
Sukatan baru ini juga merangkumi modul mengenai pentingnya membuat keputusan yang tepat sama ada mahu melakukan seks atau tidak. [Malaysia says no to sex education, News Straits Times, 28/4/2010].

Skop silibus pendidikan seks ini sebenarnya menggambarkan bahawa dasar kerajaan tentang pendidikan seks masih jauh dari jelas. Ini kerana persekitaran kehidupan pelajar tidak membantu mereka untuk mengimplementasikan apa yang mereka belajar di sekolah. Sebagai contoh, bagaimana seorang pelajar lelaki itu akan mampu mengawal gejolak naluri seksualnya padahal perempuan-perempuan di sekelilingnya berpakaian mendedahkan tubuh badan?

Bagaimana seorang pelajar perempuan mampu menjaga kehormatan dirinya padahal wanita itu sering diiklankan sebagai simbol seks?

Bagaimana seorang remaja itu mampu membuat keputusan untuk berkahwin padahal ibu bapa menghalang perkahwinan sebelum tamat belajar dan prosedur-prosedur perundangan merumitkan seseorang yang di bawah umur untukberkahwin?

Usaha mengajarkan pendidikan seks ini hanya seperti melepas batuk di tangga kerana cuma sekadar teori yang digembar-gemburkan sebagai cara yang sesuai untuk dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang telah Barat mulakan.

Asal Usul Pendidikan Seks

Di negara Barat, memang ada subjek pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah tetapi penekanannya adalah lebih kepada aspek teknikal seperti bagaimana mengelakkan kehamilan di kalangan wanita, contohnya, penggunaan kondom ketika melalukan seks.

Di Belanda misalnya, seks adalah topik perbualan harian masyarakatnya, namun negara ini mempunyai tahap kehamilan remaja paling rendah di Barat dan kadar penyakit berjangkit terendah dalam kalangan remaja. Sekarang Britain dengan tahap tertinggi kehamilan remaja di Eropah, iaitu lima kali lebih tinggi dari Belanda, ingin meniru kejayaan Belanda. Kerajaan Britain telah memilih model Belanda kerana Belanda, tidak seperti negara-negara Scandinavia, juga dapat mengawal kadar pengguguran terendah di Eropah. Di Britain, jumlah kes pengguguran anak oleh remaja berumur bawah 16 tahun meningkat sepuluh peratus dari tahun 2007 kepada 4,376 [The Times Online, 24/11/2008].

Negara Barat mula menyedari pentingnya pendidikan seks selepas melalui zaman kegelapan pada abad pertengahan. Selepas tempoh pengenalan pendidikan seks, Barat telah berlebihan dalam pendekatan dan sikapnya terhadap pendidikan seks dan seks itu sendiri.

Barat, melalui pandangan rosaknya mengenai seks, memberikan kesan yang sangat mengerikan dengan prinsip seks bebas. Kadar penghidap AIDS dan jangkitan HIV yang terus meningkat dapat dikaitkan secara langsung dengan sikap liberal Barat terhadap budaya seks bebas itu. Masalah ini sebenarnya telah memaksa Barat untuk mengubah pandangan mereka terhadap seks bebas, namun, hakikatnya tidak. Malah Barat tanpa segan silu terus mempromosikan kerosakan nilai-nilai seks mereka dengan mengatasnamakan ‘seks selamat’.

Barat telah melakukan sedaya upayanya untuk mempromosikan budaya kebebasan ke atas bangsa-bangsa di dunia. Untuk tujuan itu, mereka menggunakan semua sumber daya yang mereka miliki.

Melalui sistem pendidikan sekular, Barat memperkenalkan konsep pendidikan seks sebagai elemen penting dari kurikulum pendidikan. Melalui cara ini juga, mereka berharap untuk melahirkan generasi yang rosak sejak dari usia muda lagi. Nilai-nilai seks yang telah rosak akan tumbuh dalam pemikiran mangsa-mangsanya dengan mengatasnamakan pendidikan seks. Kanak-kanak dan remaja akan dipengaruhi secara perlahan-lahan dengan nilai-nilai seks Barat di institusi-institusi sekular dengan alasan pendidikan.

Budaya ‘katakan tidak kepada seks sebelum nikah’ mewujudkan dorongan terhadap seks secara eksperimentasi dalam bentuk masturbasi, berpasang-pasangan (coupling), melihat bahan-bahan lucah dan amalan-amalan lain yang songsang. Umat Islam juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa sistem pendidikan seks ciptaan Barat ini. Namun banyak pihak tidak sedar akan kesan buruknya melaksanakan sistem pendidikan sekular Barat ini yang jelas jauh menyimpang dari ajaran Islam.

Khatimah

Lihatlah muslimah sekalian!

Pendidikan seks yang diajarkan di Malaysia ini tidak lain dan tidak bukan adalah hasil tiruan daripada Barat yang telah terbukti kegagalannya dalam menyelesaikan masalah secara keseluruhan. Kita tidak dapat menafikan langkah yang diambil oleh Barat itu kerana ideologi mereka memang meletakkan akal manusia sebagai sumber hukum.

Maknanya, penyelesaian sesuatu masalah itu terletak pada pendapat orang-orang tertentu yang mempunyai hak bersuara dalam kepimpinan mereka. Mereka memandang bahawa kes buang bayi dan penyakit berjangkit kelamin adalah terpisah daripada masalah kehidupan sosial masyarakatnya.

Justeru, mereka menganggap mereka telah berjaya apabila kadar kes buang bayi di kalangan ibu-ibu muda telah berkurangan. Padahal, masalah itu berpunca daripada pelbagai cabang kehidupan termasuk senario politik negara, keadaan ekonomi semasa, teras sistem pendidikan dan lain-lain.

Oleh yang demikian persoalan seterusnya yang patut dibincangkan mengenai penyelesaian masalah ini ialah apakah jalan penyelesaian yang dapat merungkaikan permasalahan ini dari akar umbi? Apakah sebenarnya kayu ukur untuk menentukan kejayaan sesuatu sistem dalam sesebuah negara?

Persoalan-persoalan ini akan terus dibincangkan dalam artikel-artikel Fikratul Ummah keluaran bulan-bulan mendatang.

Wallahua’alam.

No comments: