KONFERENCE KEBANGKITAN KHILAFAH





WAHAI PARA MUSLIMAH
PENCETAK GENERASI PEJUANG KHILAFAH!
Kini kita berada dalam bulan Rejab iaitu bulan yang sering diingati oleh seluruh umat Islam sebagai bulan berlakunya peristiwa Israk Mikraj iaitu suatu peristiwa besar yang berlaku kepada junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Sallam. Peristiwa Isra’ Mi’raj ini dikatakan berlaku selepas tahun dukacita kepada Rasulullah Salallahu Alaihi wa Sallam.

Tahun dukacita ini adalah ketika berlakunya kematian dua orang yang banyak membantu perjuangan dakwah baginda Salallahu Alaihi wa Sallam di Mekah iaitu isterinya Saidatina Khadijah Radiallahu Anhu dan bapa saudaranya Abi Talib. Berkata Ibnu Saad dalam Thabaqat-nya: Selisih waktu antara kematian Khadijah dan kematian Abu Thalib hanyalah satu bulan lima hari.

Di sini, kita dapat melihat bagaimana besarnya peranan dan pengorbanan ummul mukminin Saidatina Khadijah dalam membantu perjuangan yang dibawa oleh suaminya Nabi Muhammad Salallahu Alaihi wa Sallam. Tercatat dalam lembaran sejarah perjuangan Islam yang diawali oleh Rasulullah, sumbangan yang telah dicurahkan oleh para wanita dan para isteri sebagaimana yang telah dicontohkan dan yang telah ditunjukkan oleh Khadijah sendiri ketika beliau memposisikan dirinya sebagai pendokong dan pembantu dalam menegakkan agama Allah Subhanuhu wa Taala ini.

Penglibatan para muslimah dalam menegakkan deen Allah Subhanahu wa Taala ini adalah sesuatu yang tidak dapat diketepikan. Kerana itu mana mungkin sejarah perjuangan Islam dapat menyembunyikan kisah syahidnya Sumayyah. Wanita pertama yang syahid kerana mempertahankan keislamannya.
Selain daripada peristiwa Isra’ Mi’raj ini, terdapat juga satu peristiwa penting yang berlaku dalam catatan sejarah dunia umat Islam. Peristiwa itu adalah kejatuhan daulah Khilafah. Tepatnya pada tanggal 28 Rejab 1342H. Daulah Khilafah merupakan suatu institusi politik dan pemerintahan yang memayungi dan menjaga umat Islam selama lebih 1300 tahun.

Terlalu banyak catatan tinta emas yang melatarbelakangi kehidupan umat Islam semasa entiti politik ini wujud di tengah-tengah umat. Selepas lenyapnya entiti politik itu, bermulalah detik hitam bagi umat Islam termasuklah para muslimah. Apabila institusi penjaga dan pemelihara ini hilang dari kehidupan umat Islam, maka kita dapat menyaksikan bagaimana suasana sedih dan pilu menyelubungi kehidupan umat Islam hari ini.

Lihatlah nasib yang menimpa para muslimah di Palestin, Iraq, Afghanistan dan di seluruh dunia pada hari ini. Para wanita menjadi golongan yang paling banyak menjadi mangsa kepada kekejaman dan kerakusan sistem kapitalisme yang mendominasi dunia saat ini. Dalam dunia kapitalis hari ini juga kita dapat menyaksikan bagaimana golongan wanita menjadi mangsa eksploitasi untuk dimanipulasi oleh pihak-pihak yang mementingkan keuntungan semaksima mungkin.

Justeru, sebagai umat yang terbaik yang dikeluarkan oleh Allah Subhanahu
wa Taala untuk manusia, sudah sewajarnya semua pihak tidak terkecuali juga para muslimah untuk sama-sama bangkit bagi melakukan usaha dalam kedudukannya sebagai ’agen perubahan’ yang bergerak untuk merubah corak dan warna kehidupan umat Islam amnya dan khususnya kepada para wanita.

SIAPAKAH YANG PERLU HADIR?

Para muslimah! Aktivis wanita gerakan Islam! Para isteri! Dan para surirumahtanggalah yang perlu hadir ke konferens ini! Kenapa? Kerana hakikatnya seluruh daripada kita adalah sebahagian dari umat Islam yang mempunyai hak dan tanggungjawab untuk memikul tugas yang mulia ini. Tugas itu adalah menegakkan kembali Khilafah Islam yang menjadi suatu tuntutan dan kewajipan kepada seluruh umat Islam hari ini termasuk para muslimah.


Konferens Kebangkitan Khilafah 2011 ini adalah kesempatan terbaik untuk kita semua mengetahui apakah peranan dan tugas yang wajib kita pikul untuk menjadi sebahagian daripada mata rantai perjuangan Islam.

Ayuh! Jadikanlah diri kita semuanya agar sentiasa bersedia untuk menghadiri konferens ini. Semoga kehadiran kita ke perhimpunan ini akan dapat menyuntik semangat yang tinggi ke dalam diri kita bagi sama-sama menyumbang tenaga untuk meninggikan deen Allah Subhanahu wa Taala. Amin.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment