MUSLIMAH Berprestasi Tinggi



Meraih prestasi tinggi dan berjaya dalam kehidupan adalah suatu hal yang fitrah dalam diri setiap manusia termasuk para Muslimah. Berdasarkan fakta pada masa kini, ia bukan suatu yang menghairankan apabila para Muslimah turut berlumba-lumba menumpahkan segenap usaha untuk meraih kejayaan yang diidam-idamkan. Dorongan untuk melakar kejayaan pada masa kini seolah-olah disambut dengan pelbagai peristiwa yang dijadikan landasan untuk meraih kejayaan tersebut.

Di samping itu, merebaknya fahaman sekularisme di tengah-tengah kehidupan umat Islam menyebabkan lahirnya kebebasan dan gaya hidup individu-individu yang mengejar kebendaan rupa-rupanya telah memberikan impak yang besar kepada Muslimah sehingga mereka rela meletakkan diri mereka dalam apa jua keadaan demi untuk meraih kejayaan dalam hidup. Menurut fahaman Sekular-Kapitalis yang menjadikan manfaat sebagai tolok-ukur (standard/miqyas), kebahagiaan diukur dengan nilai-nilai yang bersifat duniawi seperti memenuhi keperluan jasmani secara maksima atau mengumpul harta benda sebanyak mungkin. Akhirnya, para Muslimah bersaing dengan kaum lelaki untuk merebut jawatan tertinggi dalam suatu bidang pekerjaan, organisasi, bahkan dalam pemerintahan tanpa diperhalusi terlebih dahulu adakah ia dibolehkan oleh hukum syarak atau sebaliknya. Mereka bangga memberi sumbangan kebendaan yang paling besar kepada keluarga. Walhal apa yang mereka lakukan nyaris menanggalkan kebanggaannya sebagai seorang Muslimah serta kemuliaannya sebagai isteri dan ibu, pengasuh dan pendidik kepada anak-anaknya serta masyarakat.

Islam – Persepsi yang Sahih

Sebelum meletakkan sosok Muslimah yang berprestasi tinggi menurut pandangan Islam, apa yang mesti dijelaskan terlebih dahulu adalah mengapakah perspektif Islam perlu diambil kira dalam menetapkan prestasi seorang Muslimah.

Satu-satunya persepsi yang sahih tentang kehidupan dan apa jua dalam kehidupan termasuk definisi kebaikan hanyalah Islam. Hal ini adalah disebabkan hanya Islamlah deen yang berasal dari Zat Yang Maha Sempurna, Maha Benar dan Maha Mengetahui hakikat manusia, Sang Pencipta alam semesta iaitu Allah Subhanahu wa Taala. Islam juga merupakan satu-satunya deen yang sempurna kerana berasal dari Zat yang Maha Sempurna.

Kesempurnaan Islam itu dapat dilihat dari lengkapnya ia kerana Islam bukan hanya memiliki pemahaman tentang akidah (konsep keimanan) dan ibadah mahdhah (ritual/ruhiyah), akan tetapi Islam juga memiliki pengaturan tentang kemasyarakatan dan kenegaraan; sistem pergaulan (sistem sosial), sistem pendidikan, sistem pembuktian (bayyinat) dan sistem hukuman/perundangan, sistem ekonomi, sistem pemerintahan serta gambaran utuh tentang negara. Banyak ayat al-Quran dan hadis yang menunjukkan bahawa Islam mencakup seluruh aspek kehidupan manusia: hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan dengan dirinya sendiri dan hubungan dengan orang lain.

“Pada hari ini telah Kusempurnakan bagimu agamamu dan telah kucukupkan ni’mat-Ku dan telah Kuredhai Islam menjadi agama bagimu” [TMQ. Al-Maaidah(5):3]

Kesempurnaan Islam juga dapat dilihat dari keupayaannya menyelesaikan seluruh permasalahan manusia – siapapun dia, bila dan dimana pun dia berada. Keupayaannya telah terbukti dalam sejarah iaitu ketika kaum muslimin menerapkan Islam secara kaaffah dalam kehidupannya, ternyata mereka menjadi suatu kaum yang memiliki ketinggian peradaban, kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, serta keluasan wilayah, yang mampu bertahan selama lebih 13 abad dan tiada bandingannya hingga sekarang. Selama itu, bukan hanya kaum muslimin yang merasakan kemaslahatan, sebaliknya ia juga dinikmati oleh golongan bukan Muslim, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Ini sesuai dengan janji Allah SWT:

“Dan tidaklah Kami utus engkau (Muhammad) kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam” [TMQ al Anbiyaa’ (21):107]

“Dan Kami turunkan Kitab ini kepadamu sebagai penjelasan atas segala sesuatu, petunjuk, rahmat dan kabar gembira bagi orang-orang muslim” [TMQ an-Nahl (16):89]

Dengan demikian, hanya Islam-lah yang wajib diambil dalam menjalani kehidupan, dalam menyelesaikan persoalan dan dalam menentukan: baik-buruk, benar-salah. Lebih jauh, bagi seorang muslim, iaitu yang telah mengikrarkan syahadat, keterikatan dan ketundukan kepada Islam adalah bukti keimanannya, sebagaimana firman Allah SWT:

“Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim (pemutus perkara) terhadap apa saja yang mereka perselisihkan. Kemudian tidak terdapat dalam jiwa mereka, keberatan sedikitpun terhadap apapun yang engkau putuskan dan mereka menerima dengan sepenuh kepasrahan” [TMQ an-Nisaa’ (4):65]

“Sesungguhnya perkataan (jawaban) orang-orang mu’min jika mereka diseru kepada Allah dan Rasul-Nya agar (Allah dan Rasul-Nya) menjadi hakim (pemutus perkara) di antara mereka, mereka mengatakan “Kami mendengar dan kami taat”. [TMQ an-Nuur (24):51]








Pandangan Islam Terhadap Perempuan.

Keinginan wanita muslimah untuk meraih prestasi tinggi dalam kehidupan perlukan pengaturan dan pandangan yang benar berdasarkan pemahaman terhadap pandangan dan aturan Islam terhadap perempuan. Dengan pemahaman tersebut, seorang wanita muslimah akan dapat berjalan di dunia ini secara benar dan mencapai kemuliaan dan prestasi yang hakiki.

Islam memandang darjat kemuliaan manusia samada lelaki ataupun perempuan adalah ditentukan oleh ketaqwaannya.

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” [TMQ al-Hujurat (49):13]

Ayat di atas menjelaskan dengan terang lagi bersuluh bahawa kemuliaan seseorang bukanlah ditentukan oleh status sosial dalam masyarakat, jenis pekerjaan ataupun jenis jantinanya.

Islam juga memandang perempuan dan lelaki adalah sama-sama manusia, yang memiliki akal, keperluan jasmani dan naluri. Oleh kerana persamaan tersebut, Allah SWT memberikan peranan dan tanggungjawab yang sama antara lelaki dan perempuan. Ia ditunjukkan dengan adanya kewajipan solat, zakat, puasa, berdakwah, bermuamalah secara Islam iaitu tanggungjawab ke atas kaum lelaki dan wanita.

Namun, meskipun keduanya sama-sama manusia, ada hal yang berbeza antara lelaki dan perempuan. Hamil, menyusukan anak, melahirkan anak adalah beberapa hal yang hanya boleh terjadi kepada perempuan, tetapi tidak pada lelaki.

Oleh kerana perbezaan tersebut, Islam memberikan pengaturan yang berbeza yang bersesuaian dengan tabiat kelelakian dan keperempuanannya. Semua itu sama sekali tidak berkaitan dengan siapa yang lebih mampu, siapa yang lebih pintar dan sebagainya. Maka kerana itulah adanya hukum hakam tentang masalah nafkah, pengasuhan anak, pengaturan rumah tangga, perwalian, kepemimpinan dalam rumah tangga dan pengaturan urusan masyarakat, yang pengaturannya dibezakan antara lelaki dan perempuan.

Semua perbezaan tersebut tidak boleh dipandang sebagai diskriminasi atau ketidakadilan Islam. Ketika Islam menetapkan hanya lelaki yang boleh memegang jawatan dalam kepemimpinan pemerintahan dan mengharamkannya untuk perempuan, bukan berarti status perempuan lebih rendah dari lelaki. Ini adalah kerana, sekali lagi, pandangan Islam, pandangan Allah SWT, terhadap manusia yang paling mulia adalah kerana ketaqwaannya. Seorang ketua negara tidak secara automatik menjadi lebih mulia berbanding rakyat. Seorang suami juga tidak menjadi lebih mulia dibandingkan dengan si isteri hanya kerana memimpin rumah tangga. Ketaqwaan, iaitu ketundukannya terhadap aturan Islamlah yang menentukan kemuliaannya.

Dengan pandangan Islam yang khas tersebut, perempuan dan lelaki tidak perlu berebut peranan kerana ia sama sekali tidak ada hubungan dengan penilaian Allah SWT terhadap mereka. Apa yang perlu dilakukan adalah setiap lelaki dan wanita menjalankan peranan masing-masing secara optimum dalam rangka berlumba-lumba meraih pahala dan redha Allah SWT dan bersaing menjadi yang paling mulia di hadapan Allah SWT.

Tambahan pula, jika seluruh nas tentang perempuan dikumpulkan dan dikaji, kemudian dibandingkan dengan perlakuan sistem atau aturan lain selain Islam, jelas kelihatan bahawa Islam sangat memuliakan perempuan, memberi kesempatan paling luas terhadap perempuan untuk maju, serta memberikan perlindungan paling besar bagi perempuan. Subhanallah.

Muslimah Berprestasi Tinggi

Dengan memandang perempuan sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka perempuan yang berprestasi tinggi dalam pandangan Islam adalah perempuan mulia, iaitu perempuan yang bertaqwa. Dia adalah perempuan yang terikat dan tunduk pada aturan Islam dan terus-menerus meningkatkan ketundukannya itu sehingga semakin bertambahlah darjat ketaqwaannya dan dengan itu semakin bertambah pula darjat kemuliaannya.

Apabila dilihat dari aspek pelaksanaannya, dia adalah seorang muslimah yang melaksanakan solat, puasa, menunaikan zakat, menunaikan fardu haji bila mampu, berpakaian dan menutup aurat sebagai muslimah, makan dan minum yang halal dan thayyibah, berakhlaq karimah, terus-menerus mengkaji Islam, berdakwah, memperjuangkan tegaknya penerapan aturan Islam kaaffah, serta, ketika telah berumahtangga, menjalankan peranan keibuannya dengan penuh semangat dan tanggungjawab. Dia akan berusaha menjadi teladan dan memberikan pendidikan Islam kepada buah hatinya. Dia akan melindungi buah hatinya iaitu anak-anaknya daripada pelbagai bahaya, samada bahaya fizikal mahupun bahaya racun pemikiran kufur.

Adapun terhadap suaminya, dia akan menghormati, taat dan selalu menyenangkan pandangan mata suaminya. Dia amanah terhadap harta suami, menjaga kehormatan diri dan kepercayaan suami, serta mengatur rumah tangga dengan susunan dan pengaturan yang membuatkan rumahnya selalu dirindukan, membawa ketenangan, serta membuatkan diri dan suaminya bersaing mencari pahala dan redha Allah SWT secara optimum.

Muslimah berprestasi tinggi tiada kaitan dengan kecantikan fizikal, banyaknya harta-benda yang boleh dikejar, jawatan atau kedudukan yang boleh diraih, status intelektual yang boleh dikejar, atau status sosial yang dapat digenggam.

Muslimah berprestasi tinggi adalah seorang muslimah yang memiliki aqliyah Islam. Dia menilai segala sesuatu dengan ukuran Islam (hukum syarak) serta bercakap dan melontarkan pendapat sesuai dengan Islam. Muslimah berprestasi tinggi juga memiliki nafsiyyah Islam.

Dia melakukan apa jua perbuatan sesuai dengan aturan Islam dan menundukkan perasaannya agar sesuai dengan aturan Islam. Bahkan, dia terus-menerus memajukan dirinya agar tsaqafah Islamnya semakin bertambah dan terus-menerus menguatkan perasaannya untuk semakin cinta dengan aturan Islam dan hanya mendambakan syurga dan redha Allah SWT.

Fikirannya sangat tajam sehingga pendapatnya mampu menghunjam hingga ke hati, sedangkan jiwanya adalah jiwa yang ikhlas dan hanif. Malamnya dilalui dengan tangisan kerendahan diri pada Allah SWT, sedangkan siangnya dia adalah seorang ibu yang cekal serta tabah dan seorang pengembang dakwah.

Berjuang Menjadi Muslimah yang Berprestasi Tinggi

Seorang muslimah yang meyakini kehidupan dunia akan berakhir dengan perhitungan terhadap seluruh aktiviti di dunia hendaklah bertekad dan mengubah diri menjadi perempuan mulia. Jika seorang Muslimah itu inginkan kemenangan, sudah tentu dia akan berjuang bermati-matian agar kualiti yang ideal akan segera tercapai.

Persoalannya, dalam kehidupan di mana aturan Islam belum diterapkan secara kaaffah dan pandangan umum yang berkembang di tengah masyarakat bukan berdasarkan kayu ukur atau standard Islam, mengubah diri bukanlah hal yang mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui, di antaranya adalah propaganda yang membiuskan, yang membuat muslimah berpaling dari tujuan asal. Di antara propaganda dan gagasan yang banyak diusung oleh perjuangan feminis adalah :

1. Lelaki dan Perempuan Sama.

Salah satu idea dasar pemikiran feminisme adalah konsep mengenai kesetaraan gender iaitu bahawa dari segi gender, lelaki dan perempuan adalah sama. Menurut mereka, sekalipun secara biologi lelaki dan perempuan berbeza, perbezaan tersebut tidak boleh membawa implikasi pada perbezaan gender, kerana perbezaan gender hanya akan melahirkan ketidakadilan sistemik ke atas kaum perempuan. Oleh kerana perbezaan itu dianggap merugikan, mereka berobsesi untuk mengubah masyarakat yang patriarki ini menjadi masyarakat berkesetaraan, samada melalui perubahan secara kultural (seperti melalui perubahan pola pendidikan dan pengasuhan anak, perubahan ‘persepsi’ keagamaan yang dianggap berat sebelah terhadap jantina (gender bias) dan lain-lain) mahupun secara struktural (melalui perubahan dasar/polisi). Mereka berharap, ketika suatu masa masyarakat boleh memandang perempuan sebagai manusia (bukan atas dasar kelamin), maka pembahagian peranan sosial (domestik dan umum) akan cair dengan sendirinya. Ertinya, semua orang akan mampu melakukan aktiviti dalam apa jua bidang yang diinginkannya tanpa perlu khuatir ia dianggap menyalahi kudrat.

Jika diperhalusi, secara konseptual mahupun praktis, idea kesetaraan seperti ini sangat tidak masuk akal dan ianya hanyalah khayalan (utopis). Ini kerana mereka seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan mengapa manusia perlu lahir dengan membawa kudrat maskuliniti dan feminitinya, sementara pada masa yang sama, mereka tak mungkin mengabaikan fakta bahawa manusia memang terdiri dari dua jenis yang berbeza. Jadi, apakah logik yang boleh dipakai untuk menjelaskan mengapa di dunia ini perlu ada lelaki dan perempuan dengan ‘bentuk’ dan ‘jenis’ yang berbeza, jika bukan kerana keduanya memang memiliki peranan dan fungsi yang berbeza? Bukankah ketika perempuan memiliki rahim dan payudara, sementara lelaki tidak, bererti hanya perempuan yang boleh hamil, melahirkan, dan menyusui? Bukankah fungsi kehamilan, melahirkan, dan menyusui ini merupakan fungsi yang tidak boleh digantikan oleh kaum lelaki? Bukankah ‘aneh’ jika setelah melahirkan anak, kaum perempuan boleh melepaskan fungsi dan peranan keibuannya dengan alasan perempuan pada dasarnya tidak wajar menjadi ibu sehingga peranan ini boleh ditukarkan kepada lelaki?

2. Ketidaksetaraan Gender Merugikan Perempuan.
Dalam perspektif feminisme, adanya ketidaksetaraan jantina (gender disparity) dianggap sangat merugikan perempuan, kerana ketidaksetaraan inilah yang menyebabkan munculnya pelbagai ketidakadilan sistemik ke atas perempuan, seperti terjadinya amalan meletakkan wanita dalam kedudukan bawahan (subordination) dan membatasi (marginalisation) penglibatan mereka dalam pelbagai bidang (politik, ekonomi, sosial, dan budaya), pelabelan negatif, maraknya kes-kes kezaliman dan penindasan, dan lain-lain.

Secara faktual, dakwaan ini dibantah oleh kenyataan bahawa apa yang disebut-sebut oleh kalangan feminis sebagai ‘persoalan perempuan’ ternyata tidak hanya menjadi ‘milik’ kaum perempuan. Tidak sedikit kaum lelaki yang juga mengalami apa yang dilalui oleh kaum wanita iaitu diletakkan dalam kedudukan bawahan (subordination), dibatasi penglibatan mereka (marginalisation), dizalimi dan ditindas, dan lain-lain. Bahkan di Dunia Ketiga di mana majoriti penduduknya adalah kaum Muslim, persoalan-persoalan seperti kemiskinan, diskriminasi, kekerasan, kebodohan, paksaan, kesihatan yang buruk, kurang zat pemakanan, dan sebagainya kini menjadi persoalan-persoalan kritikal yang dihadapi masyarakat secara keseluruhan.

Islam sendiri memandang bahawa persoalan yang muncul pada sebahagian individu, samada komuniti lelaki mahupun perempuan, samada berkaitan dengan persoalan ekonomi, politik, sosial, dan bahkan persoalan yang memang menyangkut aspek keperempuanan (seperti masalah kehamilan, kelahiran, penyusuan, pengasuhan dan seterusnya), tidak boleh dipandang sebagai persoalan lelaki sahaja atau perempuan sahaja. Tetapi ia perlu dipandang sebagai persoalan manusia/masyarakat secara keseluruhan dengan pandangan yang holistik dan sistemik. Dengan demikian, jalan penyelesaian yang dihasilkannya akan menyelesaikan persoalan secara tuntas dan menyeluruh. Hal ini sesuai dengan realiti bahawa masyarakat bukan hanya sekadar terbentuk dari individu sahaja, tetapi juga dari kesamaan pemikiran, perasaan, dan aturan yang diterapkan disertai dengan adanya interaksi yang terus-menerus di antara anggota-anggotanya yang terdiri daripada lelaki dan perempuan.



Dalam perspektif yang benar inilah syariat Islam datang sebagai jalan penyelesaian ke atas persoalan kehidupan manusia sehingga manusia, yang realitinya terdiri dari jenis lelaki dan perempuan, dapat meraih kebahagiaan hakiki sesuai dengan kemuliaan martabat manusia yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.

3. Liberalisasi Perempuan akan Memajukan Perempuan.

Menurut pengusung idea liberalisasi perempuan, kebebasan merupakan teras untuk mencapai kemajuan. Bagi mereka, tatkala kaum perempuan berjaya meraih kebebasan dan kemerdekaannya, itu bererti mereka telah keluar dari status rendah diri (inferiority) yang mereka miliki selama ini, sekaligus berkesempatan secara ekspresif mengejar apa yang dianggap mereka masih ketinggalan tanpa perlu khuatir dengan pembatasan-pembatasan budaya (cultural) dan struktur (structural) yang dianggap menghambat kehidupan mereka.

Hal ini berbeza dengan pandangan Islam iaitu untuk memajukan kaum wanita bahkan umat secara keseluruhan, kuncinya adalah dengan meningkatkan taraf berfikir mereka dengan ideologi Islam. Dengan cara ini, mereka akan memiliki landasan pemikiran (qâ’idah fikriyah) yang menjadi tolok ukur (miqyas) bagi segala bentuk pemikiran dan menjadi dasar terbentuknya pemikiran-pemikiran yang lain.

Seterusnya ia dapat menyelesaikan seluruh masalah kehidupan, sekaligus merupakan tuntunan berfikir (qiyâdah fikriyah) yang menuntun manusia dalam menghadapi segala masalah kehidupan tersebut setiap masa dengan penyelesaian yang benar. Ini kerana ideologi Islam tertegak di atas keyakinan bahawa seluruh alam ini, termasuk manusia di dalamnya, diciptakan oleh Zat Yang Maha Pencipta dan Maha Mengatur iaitu Allah SWT. Oleh kerana itu, aturan-aturan yang diturunkan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya (syariat Islam) dipastikan akan menjadi penyelesaian terhadap seluruh persoalan manusia secara sempurna dan menyeluruh. Dengan begitu, umat akan mampu bangkit menjadi pelopor peradaban sebagaimana yang telah terbukti pada masa lalu tatkala Islam dijadikan sebagai landasan kehidupan umat dan syariatnya diterapkan.

4. Syariat Islam Merendahkan Kaum Perempuan.

Isu ini timbul dari pemahaman bahawa salah satu faktor yang menyebabkan kekalnya ketidakadilan gender adalah budaya patriarki yang di antaranya disahkan oleh adanya pandangan keagamaan yang dianggap berat sebelah terhadap jantina (gender bias atau sexist) dan misoginis (membenci perempuan). Dalam hal ini, Islam menjadi sasaran utama. Namun sebahagian mereka menyatakan pemahaman masyarakat terhadap Islamlah yang salah, yang terlanjur tersosialisasi oleh kitab-kitab tafsir dan fikih yang tidak mustahil dipengaruhi oleh tradisi dan budaya yang berlaku ketika penafsiran tersebut dilakukan. Oleh kerana itu, mereka pun menggagas kepada perlunya penafsiran-penafsiran baru yang ‘senafas dengan tuntutan zaman’ iaitu dengan melakukan penterjemahan semula (re-interpretation) dan rekonstruksi nas-nas syariat sehingga lebih memihak kepada kaum wanita. Kemudian mereka mendakwa gagasan ini sebagai usaha pembaharuan (tajdid), sekalipun method (cara) dan pendekatan tajdid yang mereka kembangkan ternyata sangat berbeza dengan tradisi tajdid yang selama ini dikenali dalam Islam.

Oleh kerana itu, munculnya isu bahawa syariat Islam merendahkan kaum perempuan hendaklah ditangani dengan benar. Jika dalih yang mereka gunakan adalah fakta bahawa kaum wanita di dunia Islam berada dalam kondisi yang amat buruk, maka harus dilihat bahawa pada kenyataannya saat ini tidak ada satu pun negeri Islam yang menerapkan syariat Islam sebagai aturan kehidupan yang utuh dan menyeluruh (kâffah).

Justeru pelbagai kerosakan dan ketidakadilan yang terjadi ketika ini, termasuk di antaranya yang menimpa perempuan, adalah akibat diterapkannya sistem yang salah dan rosak di tengah-tengah kaum Muslimin iaitu sistem Kapitalisme yang tegak di atas akidah sekularisme, yang telah memberikan bidangkuasa (authority) secara mutlak kepada manusia dengan akalnya yang lemah dan terbatas untuk menggubal berbagai aturan/sistem kehidupan.

Dengan pelbagai cabaran dan propaganda yang ada, adalah diharapkan agar ianya tidak menyurutkan daya juang muslimah, sebaliknya justeru menjadikannya sebagai ladang dakwah yang luas untuk menuai pahala di sisi Allah SWT.

Dalam menghadapi ujian dan cabaran tersebut, seorang muslimah hendaklah mengingati bahawa Allah SWT memang sentiasa memberi ujian pada hamba-Nya, yakin bahawa Allah SWT akan semakin dekat kepada hamba yang berusaha untuk dekat kepada-Nya dan akan memberikan jalan keluar bagi hamba yang bertaqwa. Dengan demikian, seorang muslimah menjadi istiqamah dengan perjuangan yang ditempuhnya.

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk surga, padahal belum datang kepadamu (ujian, cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncang (dengan bermacam-macam cobaan) sampai-sampai berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya, ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” [TMQ al-Baqarah (2):214]

“Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan menjadikan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.” [TMQ ath-Thalaaq (65):2-3]

Penutup

Jika Islam telah menetapkan masa depan generasi terletak di tangan wanita, sudah tentu kita berharap semua wanita menjadi wanita mulia.

Hanya dengan itu, masa depan gemilang generasi Islam berada dalam genggaman. Hanya saja, menjadi wanita mulia iaitu, yang menerapkan Islam secara kaaffah, ketika ini belum dapat diwujudkan kerana kehidupan bermasyarakat dan bernegara kita masih diatur dengan pengaturan selain Islam.

Oleh kerana itu, langkah-langkah perubahan di tengah masyarakat amat diperlukan agar penerapan Islam secara kaaffah dapat terwujud, sehingga seterusnya dapat dihasilkan sosok-sosok mulia yang berprestasi tinggi sesuai dengan pandangan Allah SWT.

Di sinilah para muslimah yang sudah memiliki kesedaran, hendaklah sentiasa mengubah diri menjadi lebih baik dan berdaya juang tinggi, untuk terjun secara aktif dalam membawa perubahan di tengah-tengah masyarakat.

Wallahu muwaafiq ilaa aqwaamith thariiq

Oleh: Ir. Retno Sukmaningrum, M.T
(http://www.syariahpublications.com/)
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment