Saturday, June 18, 2011

SENARIO PENDIDIKAN SEKS DI NEGERI UMAT ISLAM



Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh......



Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya Fikratul Ummah dapat diterbitkan lagi pada bulan ini untuk terus menemui para pembaca sekalian dengan informasi baru dan penjelasan yang bernas insyaAllah.

Tatkala seluruh masyarakat dunia masih membahaskan kesahihan kematian pemimpin Al-Qaeda, Usama bin Laden, yang dikaitkan dengan perancangan kotor Amerika Syarikat (AS), umat manusia di beberapa belahan dunia sedang bertarung nyawa menghadapi bencana alam. Di Jepun, kesan berlakunya gempa bumi dan tsunami masih lagi berlarutan. Di AS pula berlaku angin taufan yang menyebabkan banjir memusnahkan beberapa kawasan ladang di sana. Itulah ujian Allah ke atas umat manusia agar manusia sedar akan kesilapan yang mereka lakukan. Firman Allah SWT, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [TMQ ar-Ruum (30):41] Bagi negara yang selamat dari ujian bencana, itu bukan bererti tiada ujian dari Allah. Firman Allah SWT, “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?” [TMQ al-‘Ankabuut (29):2] Misalnya di negara ini, rakyatnya diuji dengan gaya hidup sekular. Justru, amanah daripada Allah di sini adalah agar hamba-Nya menghapuskan sistem taghut dan menegakkan Deen yang haq.

Menyedari hal tersebut, sidang redaksi Fikratul Ummah akan meneruskan pembahasan mengenai kurikulum Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) yang merupakan salah satu daripada agenda musuh Islam untuk menjauhkan umat Islam dari agama mereka. Fikratul Ummah keluaran bulan lepas telah membentangkan kepada anda tentang realiti pelaksanaan pendidikan seks di negara-negara Barat dan Eropah serta tanggungjawab ibu bapa dalam menyampaikan pendidikan seks kepada anak-anak.

Dalam keluaran kali ini, artikel pertama bertajuk ‘Senario Pendidikan Seks di Negeri Umat Islam’ akan membawa anda meneliti realiti pelaksanaan pendidikan seks di beberapa negara umat Islam serta analisis mengenai keberkesanan pelaksanaannya dalam menyelesaikan masalah sosial di negara masing-masing. Artikel kedua pula iaitu ‘Menyoroti Falsafah Pendidikan Negara’ membentangkan sumber dasar-dasar yang menjadi asas kepada pembentukan falsafah pendidikan negara dan juga pembahasan tentang keberkesanannya dalam membentuk generasi pelajar berkeperibadian mulia.

Tidak ketinggalan artikel terjemahan oleh Ir. Retno Sukmaningrum, M.T. yang bertajuk ‘Muslimah Berprestasi Tinggi’. Segmen doa pilihan kali ini menampilkan doa sebelum dan selepas beribadah. Selain itu, Fikih Wanita membahaskan Hukum Meluruskan Rambut menurut syariat Islam. Khas dalam keluaran ini, dilampirkan seruan dan jemputan kepada muslimah seluruh Malaysia untuk sama-sama hadir ke Konferens Kebangkitan Khilafah 2011.

Dengan terbitnya Fikratul Ummah ini, besarlah harapan kami agar pembaca sekalian terus istiqamah dalam usaha mengkaji isu-isu yang dibentangkan dan semoga ilmu yang diperolehi ini diberkati Allah dan diambil pengajaran untuk diamalkan. Jadi, selamat membaca dan nantikan keluaran bulan hadapan dengan perbincangan yang lagi terperinci, InsyaAllah.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Doa Sebelum dan Selepas Beribadah.

Doa untuk memohon kepada Allah supaya kita memasuki suatu ibadah dan selesai daripadanya dengan niat yang baik dan penuh keikhlasan serta bersih daripada riak dan daripada sesuatu yang merosakkan pahala. Ayat ini juga mengisyaratkan kepada Nabi supaya berhijrah dari Mekah ke Madinah. Dan ada juga yang menafsirkan doa ini untuk memohon memasuki kubur dengan baik dan keluar daripadanya pada waktu hari kebangkitan kelak dengan baik juga.








"Ya Tuhan-ku, masukkanlah aku secara masuk yang benar dan keluarkanlah (pula) aku secara keluar yang benar dan berikanlah kepadaku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.”
[TMQ al-Israa’ (17):80]







~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


























Apabila membicarakan tentang isu pendidikan seks, tidak lengkap jika tidak menyentuh sejarah awal ianya bermula. Siapa lagi yang memulakan kalau bukan negara kapitalis tersohor abad ini, Amerika Syarikat.

Berikut dipaparkan kronologi pendidikan seks yang mula mendapat perhatian dunia sejak ianya dipelopori oleh negara Uncle Sam yang kononnya sangat efektif dalam membendung gejala sosial yang kian membimbangkan ini.

· 1880-an: Pendidikan seks telah mula wujud di Amerika Syarikat.
· 1900-an: Antara aspek pendidikan seks yang diperkenalkan ialah kepentingan kebersihan seksual dan persediaan untuk perkahwinan dan menjadi ibu bapa.
· 1919: Pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks untuk sekolah sebagai suatu keperluan yang mendesak telah dimulakan di sekolah-sekolah.

· 1953: American Medical Association dan American Education Association menerbitkan lima risalah dalam siri pendidikan seks.
· 1970: The Planned Parenthood Federation of America (PPFA) pula telah menggesa pendidikan seks dijalankan. Pada tahun 1986 kenyataan dikeluarkan oleh presiden persatuan tersebut supaya pendidikan seks dijalankan bermula dari peringkat tadika.
· 1980-an: Dunia dikejutkan dengan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) yang menyebabkan keperluan terhadap pendidikan seks semakin meningkat.

Pada ketika ini Amerika Syarikat telah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seks secara formal bermula dari peringkat sekolah rendah. (Haffner, D.W, Sexuality Education in Public schools, The Education Digest, September 1992)

Di Britain pula, forum diadakan di mana hasilnya ibu bapa, guru dan pekerja kesihatan menghendaki murid-murid menerima pendidikan seks yang berkesan di sekolah yang mencakupi aspek nilai moral dan kepercayaan. Pendidikan seks diwajibkan sebagai sebahagian dari Personal and Social Education (PSE) dalam kurikulum kebangsaan Britain. (BBC News, 2006).

Belanda juga telah memperkenalkan pendidikan seks ini kepada anak-anak seawal umur lima tahun. Faktor persekitaran, pengaruh televisyen dan internet telah mewajibkan sekolah-sekolah untuk memberikan gambaran sebenar tentang seks. Pusat Penerangan Seksual Belanda memperkenalkan pakej pendidikan seksual untuk anak-anak di tadika dan sekolah rendah dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Belanda. Bagi mereka, pakej ini diperkenalkan kerana banyak orang tua segan membicarakan masalah ini dan hanya menunggu apabila anak-anak sudah mencapai akil baligh. Selain itu kebanyakan remaja juga tidak mahu membicarakan masalah seks dengan orang tua mereka sehingga mereka mencari di tempat lain.

Sebuah sekolah di Amsterdam iaitu Regenboog Montessori menyambut baik pakej pelajaran yang ditawarkan oleh Pusat Penerangan Seksual Belanda ini. Kanak-kanak tersipu-sipu dan ketawa ketika guru menyuruh mereka mengulangi nama-nama organ kelamin. “Yang penting kita tidak boleh takut-takut. Anak-anak mesti belajar bahawa seksualiti itu sebahagian daripada kehidupan. Sama seperti makan, minum dan tidur,” katanya.

Dari 7000 sekolah rendah di Belanda atau kira-kira satu pertiga telah menerima dan melaksanakan pakej pelajaran ini. (http://www.republika.co.id/berita/breaking-news/nasional/10/06)

Begitulah sebahagian realiti sekitar kurikulum pendidikan seks yang dapat dikutip dari beberapa sumber yang membuktikan bahawa pendidikan seks yang sedang dilaksanakan sekarang telah dimulakan oleh negara-negara kuffar Barat dan terus dicedok oleh negara-negara umat Islam termasuk Malaysia.

Persoalannya di sini, apakah negara-negara Islam yang mencedok pendidikan seks acuan Barat ini yakin bahawa pendidikan seks adalah jalan penyelesaian terbaik dan berupaya mengekang masalah sosial dan penyakit terkait dengan seks dari terus merebak? Atau sekadar melepaskan batuk di tangga dengan erti kata lain, asal buat daripada tak buat apa-apa dan jangan sampai rakyat kehilangan kepercayaan kepada barisan kepimpinan yang memerintah negara sekarang.

Negara Umat Islam: Gunapakai Kaedah Terbaik?

Mengambil contoh terdekat dari negara jiran Malaysia, Indonesia iaitu sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduknya beragama Islam diharap dapat memberi serba sedikit gambaran mengenai sejauh mana keberkesanan kaedah yang digunapakai oleh Barat bagi mengekang gejala sosial di Indonesia sendiri.

Beberapa tahun yang lalu, Pendidikan Kesihatan Reproduksi Remaja (PKRR) telah diperkenalkan di sekolah-sekolah di Indonesia dengan mengintegrasikannya dalam mata pelajaran yang bersesuaian seperti Biologi, Ilmu Pengetahun Alam (Sains), Ilmu Pengetahuan Sosial, Sosiologi, Anthropologi atau Pendidikan Agama. Malah PKRR ini juga telah disampaikan melalui program-program kemasyarakatan iaitu pengajaran kuliah, pendidikan rakan sebaya dan kaunseling, diskusi kelompok dan cara-cara mengatasi masalah kesihatan reproduksi dan seksualiti dengan melibatkan media elektronik seperti internet, televisyen, radio atau gabungan dari pelbagai cara tersebut. (http://www.solex-un.net/repository/id/hlth/Comment%201-ind.pdf)

PKRR ini merangkumi tiga elemen utama iaitu Program Menolak Hubungan Seks, Program Menolak Hubungan Seks Plus dan Pendidikan HIV/AIDS. Program Menolak Hubungan Seks (Abstinence only program-abstinence only until marriage) iaitu program yang mementingkan penolakan hubungan seks secara total sebelum pernikahan. Program Menolak Hubungan Seks Plus (Abstinence Plus Program) iaitu program seperti yang dihuraikan di atas, tetapi dalam program ini silibusnya ditambah dengan pendidikan tentang alat kontrasepsi yang boleh digunakan untuk mencegah kehamilan dan PMS, termasukHIV/AIDS. Pendidikan HIV/AIDS (HIV/AIDS risk education, Act Smart atau Choosing Health) pula lebih memfokuskan kepada cara-cara untuk menghindari PMS/HIV/AIDS, bagaimana menolak bermulanya sentuhan pertama dalam melakukan hubungan seks sebelum nikah dan juga memberi penerangan tentang bagaimana menggunakan kondom bagi remaja.

Ianya boleh dipilih untuk dilaksanakan mengikut kesesuaian atau dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi ketiga-tiga elemen ini. Silibus PKRR ini dapat dikembangkan dan disesuaikan dengan keadaan budaya dan agama setempat Salah satu silibus PKRR yang diperkenalkan diringkaskan kepada tahapan-tahapan berikut:

1. Tahap I: Bentuk-bentuk persahabatan/coupling
· Pergaulan sosial yang sihat/ Healthy social relationships
· Bentuk-bentuk pergaulan/ Different types of relationships
· Batas-batas dalam pergaulan dengan lawan jenis / Self control in relationships
· Kejujuran, rasa hormat dan tanggung jawab dalam pergaulan / Honestly, respect and responsibility in relationship

2. Tahap II. Perundingan tentang seks dan bagaimana menolak hubungan seksual
· Gangguan seksual/Sexual harassment
· Strategi-strategi berunding untuk perilaku seksual dan bagaimana cara menolak hubungan seksual/Negotiating sexuality and how to say no
· Kesetaraan gender/Gender equality
· Keadilan sosial/Social justice

3. Tahap III. Kehidupan berkeluarga
· Tidak melakukan dan menolak hubungan seks/Sexual abstinence
· Pernikahan dan kehidupan keluarga/Marriage and family
· Alat kontrasepsi/Contraception

4. Tahap IV. Hubungan seks yang aman dan penyakit menular seksual
· Hubungan seks yang selamat/Safe sex
· PMS/HIV/AIDS
· Seksualiti yang sihat dan bahagia/Sexual pleasure?
· Nilai-nilai sosial dan keagamaan tentang seksualiti/Social and religious values on sexuality
· Hubungan sesama jenis (homoseksual dan lesbian) dan kesannya.

Begitulah gambaran secara ringkas berkenaan silibus dan elemen yang dimuatkan dalam PKRR yang telah diterapkan di sekolah-sekolah di Indonesia bagi para pelajarnya.

Sekali lagi, persoalannya adalah sejauh manakah keberkesanan penerapan PKRR dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini dalam menangani gejala sosial seperti seks pranikah, pembuangan bayi, pornografi serta gejala sosial lainnya di Indonesia? Hasil kajian di bawah ini akan memberi jawapan kepada persoalan tersebut.

Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Badan Kependudukan dan Keluarga Berencana Nasional (BKKBN) pada tahun 2010, 51% remaja di Jabodetabek telah melakukan seks pranikah. “Ertinya, dari 100 orang remaja, 51 orang sudah tidak perawan,” ujar Pengarah BKKBN Sugiri Syarief setelah selesai merasmikan sambutan acara akhir Pertandingan Rap sempena memperingati Hari AIDS Sedunia di Jakarta. Hasil kajian untuk beberapa wilayah lain di Indonesia menunjukkan bahawa seks pranikah juga dilakukan sejumlah remaja, contohya di Surabaya mencatatkan 54%, di Bandung 34% dan 52% di Medan. “Hasil penelitian di Yogya pula, dari 1160 mahasiswa, kira-kira 37% dari mereka mengalami kehamilan sebelum menikah,” kata Sugiri. (http://www.ilmupsikologi.com/?p=759)

Berdasarkan penelitian, setiap hari 100 remaja melakukan pengguguran bayi. Jika dihitung setiap tahun, 36000 janin dibunuh oleh remaja dari rahimnya. Prof Dr Dadang Hawari, pakar psikiatri, mengatakan, pengaruh gaya hidup barat sebagai penyebab para remaja mengabaikan nilai-nilai moral. Mereka cenderung menganggap seks bebas sebagai sesuatu yang wajar. Padahal agama melarang keras budaya seks bebas. (www.perempuan.com)

Begitulah yang diinginkan oleh kufar Barat iaitu agar negara-negara umat Islam yang ada terus memegang erat sistem pendidikan sekular acuan mereka dengan mengenepikan elemen aqidah Islam yang suci dalam pengaturan hidup umumnya dan dalam mendidik generasi muslim khususnya.

Sedar atau tidak, menjelang hari Aids sedunia yang disambut setiap awal Disember, para kapitalis seringkali mengambil kesempatan untuk memasarkan alat pencegah kehamilan. Penyelesaian segera dengan menggunakan kondom yang selalu digembar-gemburkan ini telah secara terang-terangan dan nyata menggalakkan aktiviti perzinaan bercambah bak cendawan tumbuh selepas hujan.

Termasuk juga, penyelesaian palsu (baca: pendidikan seks) yang disisipkan dalam kurikulum pendidikan melalui Kesihatan Reproduksi Remaja (KRR) yang langsung tidak menyentuh pada permasalahan asasnya. Malah hampir dapat dipastikan bahawa telah meningkatnya perilaku rosak dalam kalangan pelajar setelah diterapkan KRR dibandingkan sebelum penerapannya. Meningkatnya kes perzinaan dalam kalangan remaja ini tentu bukan persoalan remeh-temeh melainkan telah mengancam masa depan negara.

Sayangnya masih ramai dalam kalangan masyarakat terutamanya mereka yang bertanggungjawab merangka polisi sistem pendidikan masih juga tidak peduli apalagi prihatin bahkan ikut serta menjerumuskan generasi muda ini ke jurang kenistaan dan kehancuran.

Buktinya, menurut laporan dari laman sesawang www.perempuan.com, kurikulum pendidikan seks (sex education) di sekolah-sekolah selama ini dinilai kurang efektif dalam mengekang seks bebas dalam kalangan remaja. Pergaulan dan seks bebas dalam kalangan remaja Indonesia ketika ini sangatlah membimbangkan. Oleh kerana itu, peranan orang tua pula dikatakan sangat penting dalam menanamkan nilai-nilai moral, etika hukum dan agama.

Justru tidaklah menghairankan sekitar bulan Jun tahun lalu apabila Menteri Pendidikan Nasional Indonesia, Mohammad Nuh menyatakan pandangannya bahawa beliau tidak bersetuju dengan pandangan beberapa pihak agar pendidikan seks diajarkan di sekolah kepada murid kerana maraknya peredaran filem lucah yang dikatakan telah dilakukan oleh beberapa orang artis. "Saya mungkin orang yang kuno. Tapi saya melihat bahawa pendidikan seks di sekolah tidak perlu," katanya, kepada wartawan di Istana Wapres Jakarta. (http://www.republika.co.id/berita/brea[…])

Sementara itu, negara jiran sebelah selatan Malaysia pula dilaporkan telah menjadikan subjek pendidikan seks untuk diajar secara formal di sekolah sebagai satu subjek berasingan. Bagi murid Islam di Singapura yang mengikuti pendidikan agama di masjid atau pusat swasta, mereka mendapat sebuah buku teks pendidikan seks yang dikategorikan sebagai X-rated, yang mana buku ini digubal sebagai salah satu bahagian dalam kurikulum sekolah agama (http://www.adnki.com,2006). Singapore: Islamic Sex Education Textbook Launched).

Pendidikan Seks di Negara Timur Tengah

Di Mesir, perkembangan yang agak mengejutkan telah disuarakan oleh Kementerian Pendidikannya. Kementerian tersebut telah mengarahkan sekolah-sekolah agar tidak lagi mengajar pendidikan seks. (http://www.guardian.co.uk/commentis[...]).

Guru–guru disarankan agar tidak menyentuh topik berkaitan seks yang selama ini dipelajari dalam buku teks mata pelajaran biologi manakala buku-buku baru yang mengenepikan topik berkaitan pendidikan seks telah pun siap dicetak.

Mesir merupakan satu dari lima negara-negara Arab yang telah memasukkan subjek kesihatan reproduktif dalam kurikulum sekolah sebelum ini. Tunisia, Maghribi, Algeria dan Bahrain telahpun menerapkan pendidikan seks asas kepada pelajar sekolah menengah. Para ulama’ di Mesir telah menolak idea mendidik pelajar berkaitan seks selamat dan bahaya jangkitan penyakit seksual (STD).

Apabila perkara ini diperdebatkan kira-kira lima tahun yang lalu, seorang ulama’ yang berpengaruh mendesak agar pelajar diajar seks dalam keadaan yang tidak mempengaruhi nalurinya atau membahayakan nilai-nilai moral dan akhlak masyarakat. Pendidikan berkaitan kesihatan reproduksi telah pertama kali dimuatkan dalam kurikulum pendidikan di Mesir susulan daripada International Conference on Population and Development (ICPD) yang berlangsung di Kaherah pada tahun 1994.

Hasil dari konferens ini adalah semua lelaki dan wanita berhak untuk menerima maklumat dan penerangan yang menyeluruh berkaitan kesihatan reproduksi dan dicadangkan sebagai bahan yang perlu diajar dan dimuatkan dalam buku teks sekolah. Namun keputusan kementerian untuk menarik balik pendidikan seks dari kurikulum rasmi sekolah tahun lalu merupakan satu tamparan hebat bagi pertubuhan dan badan-badan persatuan yang selama dua dekad ini bertungkus lumus memberi kesedaran dan menyalurkan maklumat tentang kesihatan reproduksi kepada masyarakat Mesir.

Di Arab Saudi pula, kajian terkini menunjukkan adanya permintaan untuk diterapkan pendidikan seks di negara yang terkenal dengan hukuman hudud itu. Dilaporkan sebanyak 80% ibu bapa bersetuju agar pendidikan seks diajar di sekolah-sekolah. Namun sebuah buku berkaitan pendidikan seks yang laris dan mendapat kelulusan dari Mufti Dubai telah diharamkan di Arab Saudi manakala pengarangnya, Wedad Lootah telah menerima ugutan bunuh dari puak konservatif yang membenci tindakannya.

Manakala di Syria, United Nations Population Funds (UNPF) telah berusaha meyakinkan orang ramai melalui laman sesawangnya bahawa pendidikan seks tidaklah menjurus kepada aktiviti seksual. Sementara di Lubnan, negara yang sering digambarkan sebagai negara paling liberal dikalangan negara-negara di Timur Tengah ketika menerapkan pendidikan seks kepada kumpulan pelajar berumur 12 hingga 14 tahun pada tahun 1997, telahpun mengenepikan beberapa topik berkaitan pendidikan seks dari kurikulum sekolah tiga tahun kemudian.

Kempen yang giat dilancarkan di Timur Tengah sempena memperingati Hari Aids Sedunia yang jatuh pada 1 Disember setiap tahun telah secara tidak langsung membuka pekung di dada dengan mengungkap kegagalan pendidikan seks melalui peningkatan kes rakyat mereka dijangkiti HIV/AIDS secara mendadak iaitu sebanyak 300% di antara tahun 2004 hingga 2007. (http://www.guardian.co.uk/commentis[…])

Jadi, tidakkah statistik yang mengerikan ini memberi isyarat kepada kita bahawa penyelesaian sedia ada tidak membawa apa-apa kebaikan malah mengundang seribu satu masalah sosial yang lain?

Bagaimana pula dengan situasi di Malaysia yang kini telah mula melaksanakannya dalam kurikulum tersendiri pada tahun ini di bawah Kurikulum Baru Sekolah Rendah dengan jenama Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial (PKRS)?

Apakah PKRS diharapkan dapat menangani aktiviti perzinaan yang semakin membimbangkan ini? Tidakkah Malaysia mahu mengambil pengajaran dan teladan dari apa yang telah diterapkan oleh negara-negara umat Islam lainnya? Tidak cukupkah angka demi angka yang dipaparkan menggerunkan kita semua betapa gejala sosial kini telah membarah dan memerlukan ubat yang benar-benar sesuai sebagai penawarnya?

Ternyata pendidikan seks yang hendak diterapkan di negara umat Islam ini sekadar mengajar anak-anak kita bagaimana hendak mengelak dari hamil dan jika mengadakan hubungan apakah langkah yang wajar diambil dari terkena padah penyakit jangkitan seksual (STD), HIV/AIDS. Dan jika sudah terlanjur dan termengandung sekalipun, bayi tadi janganlah dihumban merata-rata kerana ada pusat yang akan menjaganya. Sungguh penyelesaian buatan akal yang dangkal dan tidak bertamadun!

Walaupun tidak ada jaminan usaha ini akan membuahkan hasil nampaknya masih ada juga pihak yang masih berharap penyelesaian ala Barat inilah yang terbaik untuk diterapkan dalam usaha menangani gejala sosial. Contohnya, Pengerusi Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Napsiah Omar berpandangan bahawa kajian di negara maju membuktikan pendidikan seks boleh mengurangkan masalah gejala seksual dalam kalangan remaja. Beliau berkata, pendekatan yang digunakan Belanda banyak dicontohi negara lain di mana kurikulum yang mereka bina terfokus kepada penerapan nilai, pembentukan sikap yang positif, kemahiran dalam berkomunikasi dan kemahiran berunding, ilmu dalam aspek biologi reproduktif serta penyertaan ibu bapa.

"Punca utama kehamilan remaja adalah kerana pembabitan remaja dalam melakukan aktiviti seks ketika umur terlalu muda dan kurang pengetahuan dalam perlindungan diri dan pengaruh rakan sebaya adalah faktor yang menggalakkan remaja mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin. Malangnya di Malaysia, pendidikan kesihatan reproduktif baru hendak bertapak apabila keadaan telah menjadi semakin serius," katanya semasa berucap merasmikan majlis penutup bengkel latihan Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) untuk jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 2 di sini, hari ini. (Berita Harian 31/03/2011)

Kerosakan Sistem Pendidikan Punca Sebenar Masalah Gejala Sosial

Pergaulan bebas yang kian berleluasa dikalangan pelajar sekolah terutama remaja telah menunjukkan gagalnya sistem pendidikan sekular yang diterapkan di negara umat Islam. Ini kerana sebahagian besar dari masa remaja-remaja ini dihabiskan di sekolah sementara sistem pendidikan yang sedia ada tidak mampu menyelamatkan mereka malah menjerumuskan mereka ke jurang kehancuran.

Tidaklah menghairankan kerana kurikulum pendidikan di negara-negara umat Islam ini mengambil sekularisme sebagai asasnya iaitu memisahkan agama dari kehidupan. Padahal, sebagai seorang muslim, Islamlah yang wajib dijadikan aturan dalam setiap sistem kehidupannya sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan.. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” [TMQ al-Baqarah (2): 208]

Di sekolah, anak-anak tidak pernah diajarkan bagaimana sistem pergaulan menurut Islam karena memang tidak ada modul yang disediakan berbanding pendidikan seks. Yang diajarkan adalah reproduksi remaja, termasuk diberitahu bagaimana agar tidak terjadi kehamilan bila bercouple.

Mereka seolah-olah terlupa bahawa Allah SWT telah berfirman maksudnya, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk.” [TMQ al-Israa’ (17):32]

Persoalannya, untuk apa modul yang sebenarnya hanya sesuai bagi mereka yang sudah berkeluarga itu diperkenalkan kepada pelajar-pelajar sekolah? Untuk apa sebenarnya? Bukankah ianya diajar untuk menyemarakkan lagi perzinaan? Sungguh satu penyelesaian yang tidak menyelesaikan akar masalah. Ini ditambah dengan pemaksaan konsep-konsep pemikiran yang bertentangan dengan Islam seperti idea-idea kebebasan, hak asasi manusia dan kesetaraan gender yang semuanya bersumberkan idea-idea Barat yang telah mempengaruhi pelajar-pelajar ini untuk bebas berbuat apa sahaja sehingga tidak lagi menjadikan halal dan haram sebagai tolok ukur perbuatannya. Akhirnya, bak bercucuk tanam dan menunggu hasil untuk dituai maka begitu jugalah dengan sistem pendidikan sekular yang menanam benih-benih seks bebas yang hasilnya adalah, sebilangan besar anak-anak umat Islam telah berzina! Naudzubillahi mindzalik.

Khatimah

Pendidikan Seks bukanlah satu-satunya agenda buruk hasil idea Barat yang diusahakan penerapannya oleh negara-negara umat Islam. Lihat sahajalah pada ‘kempen’ penggunaan dan penyebaran alat kontrasepsi (kondom). Penggunaan alat kontrasepsi juga sudah diperkenalkan kepada para remaja, diantaranya melalui kurikulum Kesihatan Reproduksi Remaja (KRR) yang dimasukkan ke sekolah-sekolah di Indonesia dan tidak tidak terkecuali di Malaysia.

Padahal, akar persoalan merebaknya perzinaan dikalangan remaja dan pelajar adalah kerana hilangnya nilai-nilai Islam dalam tingkah laku dan pola fikir mereka. Pada masa yang sama mereka terus menerus dibekalkan dengan idea-idea kebebasan tingkah laku yang rosak melalui pelbagai media yang ada. Penyelesaian sebenar untuk umat Islam sebenarnya BUKAN dengan penerapan sex education hasil telunjuk Barat, tetapi tidak lain dan tidak bukan iaitu penerapan syariah Islam melalui penanaman akidah dan ketaqwaan sebenar dalam sistem pendidikan.

Wallahua’alam bisshawab.

1 comment:

insidewinme said...

Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kita perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu