Pendidikan Seks Dalam Kurikulum Pendidikan Malaysia: Apa Yang Tidak Kena?



Pendidikan adalah unsur penting dalam pembentukan jati diri dan keperibadian seseorang. Sukatan pelajaran perlu dirancang dengan sebaiknya agar tidak perlu dipinda dengan kerap. Pendidikan bersepadu pula akan melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah juga dalam seluruh aspek kehidupan. Kejayaan mereka akan menjadi bukti ketrampilan pihak berkenaan dalam penyediaan silibus pembelajaran.

Perbincangan tentang pendidikan seks dalam kurikulum sekolah telah diterbitkan melalui artikel-artikel Fikratul Ummah (FU) sebelum ini, antaranya artikel FU April bertajuk “Warna-warni Sejarah Silibus Pendidikan Seks di Malaysia” dan artikel FU Jun bertajuk “Senario Pendidikan Seks di Negeri Umat Islam”. Artikel-artikel ini telah memaparkan penelitian dan pengkajian yang mendedahkan pelbagai kedangkalan pada asas pengenalan pendidikan ini dan kepincangan yang bakal berlaku sekiranya pendidikan ini terus dilaksanakan dibuktikan oleh kegagalan usaha-usaha sebelum ini.

Manakala artikel FU Jun bertajuk “Menyoroti Falsafah Pendidikan Negara” memberi pendedahan eksklusif tentang mengapa falsafah pendidikan yang nampaknya seperti bagus itu telah gagal mencapai hasratnya.

Kesinambungan daripada kajian-kajian lepas, artikel kali ini akan mengulas matlamat, objektif dan kandungan beberapa mata pelajaran yang mempunyai topik-topik pendidikan seks, termasuk mata pelajaran yang baru diperkenalkan pada tahun 2011.

Kajian ini akan mencari jawapan kepada persoalan, apakah sebenarnya yang menjadi masalah pada matapelajaran-matapelajaran ini dan sejauh mana kemampuannya untuk menyelesaikan masalah negara ini iaitu masalah seksual di kalangan anak-anak muda.

Pendidikan Seks Sebagai Mata pelajaran Bermandiri

Pendidikan seks telah diajar di sekolah semenjak 1989 sebagai tajuk-tajuk tertentu di dalam beberapa mata pelajaran. Transformasi kurikulum memperkenalkan pendidikan seks sebagai mata pelajaran yang berasingan iaitu dalam Pendidikan Kesihatan KSSR (Kurikulum Standard Sekolah Rendah). KSSR adalah transformasi terhadap KBSR (Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah) dan dilaksanakan secara berperingkat, iaitu bermula pada tahun 2011 kepada pelajar Tahun Satu sekolah rendah (Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran Malaysia: Pendidikan Seks di sekolah. http://web6.bernama.com/bpa/[…]).

Pendidikan seks, atau nama rasminya pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial, dikenali juga dengan nama singkatan PKRS atau PEERS, membentuk 75% dari mata pelajaran Pendidikan Kesihatan, selain pemakanan dan pertolongan cemas. Dari segi perlaksanaan, komponen ini sebenarnya masih dalam peringkat cadangan dan akan diajarkan kepada pelajar tahun satu sekolah rendah bermula November 2011, iaitu selepas peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). (Utusan 17/06/2011: Pendidikan seks mula diajar di sekolah November ini. http://www.utusan.com.my/utusan/info.a[…])

Kandungan Pendidikan Seks dalam Kurikulum Sekolah Malaysia

Jadual di bawah memaparkan komponen pendidikan seks dalam beberapa mata pelajaran teras asas iaitu Pendidikan Kesihatan, Sains dan Pendidikan Islam. Juga turut dipaparkan secara ringkas matlamat kepada setiap mata pelajaran. Melihat kepada sukatan pelajaran semua mata pelajaran di atas, dapat dikatakan bahawa ilmu pendidikan seks sudahpun wujud dalam kurikulum yang dirangka. Oleh itu, amat tidak wajar jika dikatakan kejahilan tentang seksualiti adalah disebabakan ia tidak diajar di sekolah. Justru hal ini bukanlah menjadi isu yang sebenar.













































Yang menjadi isu ialah kesemua kurikulum yang dirangka ini ternyata tidak menjadikan akidah sebagai dasar! Meskipun penerapan nilai-nilai murni ditekankan dalam pendidikan, namun ia hanya menjadi perkara sampingan dan bukannya tunggak dalam pembelajaran. Masalah yang lebih utama di sini ialah kesemua mata pelajaran kurikulum kebangsaan ini berdiri di atas dasar pemisahan akidah dari kehidupan.

Contohnya, pembelajaran tentang seksualiti ini tidakpun menyentuh hakikat bahawa seksualiti adalah anugerah Allah yang bertujuan untuk memperbanyakkan jumlah individu sesuatu spesies kehidupan, akan tetapi ia hanya boleh dipergunakan atas prinsip taqwa, sebagaimana difirmankan oleh Allah dalam ayat pertama Surah An-Nisa’. “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai...” [TMQ An-Nisa’(4):1]

Pendidikan Seks dalam Sistem Pendidikan Islam

Pendidikan seks adalah pelajaran yang perlu diajar atas landasan Islam. Mengajarkan pendidikan seks dalam rangka Islam akan memberi pandangan yang luas dan murni tentang kemuliaan seks dalam pernikahan dan kehinaan seks sebelum pernikahan. Selain itu, ilmu Islam yang berkaitan termasuklah kewajipan menjauhi dan mencegah zina, liwat dan rogol, undang-undang Islam (‘uqubat) yang menanganinya, tanggungjawab individu, masyarakat dan negara dalam menangani isu ini, selain ilmu munakahat dan kekeluargaan.

Meneliti kepada mata pelajaran Pendidikan Islam dalam kurikulum yang sedang dilaksanakan, sebenarnya didapati bahawa sebahagian dari topik pendidikan seks juga turut diajar dalam sebahagian dari tajuk kepada mata pelajaran Pendidikan Islam. Namun mata pelajaran ini dilaksanakan seolah-olah ia satu mata pelajaran yang tidak penting dan tidak berguna dalam bidang profesional. Secara relatif, jam waktu mengajarnya sedikit, dan liputan pelajarannya pula tidak mendasar.

Sepatutnya dalam era serba mencabar ini, pelajar perlu diberi pemahaman yang mendalam dan menyeluruh tentang hakikat sebenar akidah sebagai jawapan kepada persoalan paling utama iaitu dari mana ia datang, ke mana ia akan pergi, dan untuk apa ia hidup. Pemahaman ini, jika menjadi pegangan pelajar, akan menjadi bekalan hidupnya di samping memeliharanya dari tersasar daripada tujuan, sekaligus menyelamatkannya daripada terlibat dengan kesalahan berkaitan seks.

Memandangkan pentingnya pendidikan seks itu diajar dalam kerangka pemikiran Islam, maka sewajarnya ia diajar dalam mata pelajaran pendidikan Islam. Maka, kandungan dan metodologi pendidikan Islam harus ditransformasi supaya pendidikan seks diajar oleh guru agama secara bersepadu dengan pengajaran agama. Manakala mata pelajaran lain pula diajar dengan bertunjangkan akidah Islam yang menekankan tanggungjawab manusia kepada Pencipta, diri sendiri dan manusia lain.

Pengajaran pendidikan seks, baik dengan cara mengadakan satu mata pelajaran tunggal, ataupun dengan memasukkan beberapa tajuk berkenaan ke dalam mata pelajaran lain tapi masih lagi memisahkannya dari agama, memberi isyarat kepada pelajar bahawa seks bebas (baca: zina) adalah norma yang mesti diterima oleh masyarakat demi kemodenan.

Khatimah

Islam sudah menggariskan tentang seks dengan terperinci. Seawal usia kanak-kanak, Islam mewajibkan pembelajaran tentang cara penyucian diri serta kebersihan fizikal dan rohani. Menginjak umur baligh, persediaan untuk berkahwin dan berkeluarga pula dibekalkan.

Lebih penting lagi, pelajar juga perlu diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menggalas dosa dan pahala. Peringatan inilah yang perlu disemai kepada mereka yang baru Apabila pelajar ini matang, dengan berbekalkan akidah yang mantap, sudah pasti mereka tidak mudah terjebak ke lembah hina untuk melakukan zina ataupun lebih dahsyat lagi, menggugurkan atau membunuh anak luar nikah.

Dalam apa juga keadaan, agama sama sekali tidak boleh dipinggirkan. Memperkenalkan sesuatu perkara baru yang begitu asing dari adat dan norma masyarakat perlu dikaji. Sebaliknya agamalah aspek penting yang membentuk jati diri masyarakat Islam.

Wallahu alam.

Rujukan

- Kementerian Pelajaran Malaysia. Dokumen Standard Kurikulum Pend. Kesihatan Tahun 1 (Draf). [http://www.moe.gov.my/bpk/kssr_docs/mula.html]
- Bernama 06/12/2010: Pendidikan Seks Diajar Berasingan Mulai Tahun Depan. [http://web6.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=548064]

- Kementerian Pelajaran Malaysia. [http://www.moe.gov.my/bpk/index.php?option=com_wrapper&Itemid=66]

- Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. [http://www.gemaislam.net/panduan.htm]
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment