PKRS dan ETIKA seorang guru

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh......

Puji-pujian hanya kepada Allah Subhanahu wa Taala, Pencipta alam semesta yang masih memberikan nikmat dan kesejahteraan kepada hamba-hamba-Nya untuk terus menetap di muka bumi ciptaan-Nya. Sungguh, Al-Khaliq telah memerintahkan dengan jelas agar hukum-Nya diterapkan di seluruh muka bumi demi kesejahteraan sejagat. Firman-Nya “....Hukum siapakah yang lebih baik dari (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)?” [TMQ al-Maidah (5):50] Justeru, redaksi Fikratul Ummah mengambil kesempatan ini untuk terus membongkar isu pelaksanaan silibus Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) dalam keluaran Julai ini.

Seperti tidak sabar-sabar lagi, kerajaan Malaysia baru-baru ini telah mengumumkan untuk memperkenalkan PKRS kepada murid tahun satu pada bulan November tahun ini walaupun perancangan awalnya adalah untuk memulakannya pada tahun 2012. Padahal silibusnya masih lagi dikaji dan guru-guru yang bakal mengajar silibus ini masih lagi sedang dilatih. Suara pihak-pihak yang membantah masih lagi kedengaran dan terus menyeru kerajaan untuk mengkaji semula rancangan ini dan memikirkan cara yang lebih baik untuk menyelesaikan masalah gejala sosial yang sedang membarah dalam tubuh masyarakat. Terbukti bahawa prinsip demokrasi yang ditatang bagai minyak yang penuh oleh pemimpin sekular sekarang hanya sekadar omongan kosong apabila pendapat rakyat tidak diberi pertimbangan sewajarnya. Inikah manifestasi slogan “Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan” ?

Jadi, bagi terus mengajak anda memerhatikan penyelesaian dangkal yang dirancang itu, Fikratul Ummah keluaran kali ini membawakan dua artikel utama yang bertajuk ‘PKRS dan Etika Seorang Guru’ dan `Pendidikan Seks dalam Kurikulum Pendidikan Malaysia – Apa yang Tidak Kena?’ Artikel pertama membincangkan tentang kemampuan guru-guru sekarang untuk mengajar pendidikan seks serta penjelasan mengenai kriteria yang sepatutnya dimiliki oleh setiap guru dalam memastikan penyampaian ilmu yang berkesan kepada pelajar. Artikel kedua serba sedikit membuat analisa serta perbandingan antara silibus PKRS dengan subjek-subjek yang sedia ada dalam kurikulum sekolah dan selanjutnya mendedahkan kekurangan dan kelemahan ketara dalam silibus pendidikan sekarang. Selain itu, keluaran kali ini juga memuatkan ‘Doa Memohon Kebaikan Hidup’ dalam segmen doa.Seterusnya Fikih Wanita menampilkan jawapan jitu kepada persoalan bertajuk ‘Hukum Bercinta dengan Lelaki Beristeri’.

Akhir kalam, sesungguhnya kami, warga kerja FU yakin dengan sebenar-benar keyakinan bahawa dengan izin dari Allah Subhanahu wa Ta'ala, artikel-artikel yang disiarkan mampu memberikan pencerahan tentang realiti yang dialami umat Islam sekarang dan peranan Islam dalam setiap permasalahan manusia. Selamat membaca dan teruslah istiqamah menunggu keluaran kami akan datang, insyaAllah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~










~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Muqaddimah

Lumrahnya sesuatu teori baru apabila diperkenalkan, pasti ada pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya, tidak kira sama ada berbentuk polisi, undang-undang mahupun apa saja. Tidak terkecuali dalam hal pengenalan kurikulum baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di mana pihak yang bertanggungjawab dalam pelaksanaannnya antaranya ialah guru-guru sekolah. Tanpa guru sebagai medium pelaksanaannya, maka tidak sampailah pengetahuan PKRS itu kepada pelajar-pelajar.

Guru dipandang sebagai suatu kerjaya yang sangat mulia kerana merekalah yang banyak memainkan peranan dalam memberi pelajaran kepada pelajar-pelajar sekolah memandangkan waktu sehari-harian pelajar ini banyak dihabiskan di sekolah. Jadi, guru sekolah bukan sekadar diharapkan untuk menyampaikan pelajaran seperti yang terkandung dalam silibus matapelajaran untuk membantu pelajar-pelajar lulus dalam peperiksaan malah lebih dari itu. Guru dianggap sebagai individu yang menggantikan tugas ibu bapa dalam mendidik anak-anak di sekolah. Pendidikan yang dimaksudkan adalah dalam konteks membentuk keperibadiaan mulia dalam diri pelajar untuk menyesuaikan diri dalam masyarakat.

Abdul Halim el-Muhammady dalam bukunya Pendidikan Islam: Falsafah, disiplin, dan peranan pendidik mendefinisikan pendidikan sebagai faktor yang asasi dalam hidup manusia dan ia mengambil posisi yang dominan dengan pengaruhnya dalam membentuk peribadi individu, di mana pengaruh-pengaruhnya itu berkekalan sepanjang hidupnya. Justeru kehadiran guru atau pendidik adalah sesuatu yang asas (fundamental) dalam hidup manusia, kerana guru berperanan mempersiapkan anak didiknya berkembang, dari hanya sebagai makhluk hidup berjisim kepada seorang insan yang memiliki keperibadian. Sebagaimana halnya seorang guru membantu anak didik mereka dalam pertumbuhan yang sempurna sebagai manusia.

Kenyataan tentang fungsi dan tugas seorang guru sebagaimana yang diterangkan oleh penulis di atas, rata-rata diterima oleh seluruh manusia yang bertamadun. Persoalannya ialah cukupkah guru berfungsi sebagai medium yang hanya fokus kepada silibus dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melengkapkan silibus yang telah digarap untuk sukatan tahun itu? Bagaimana pula halnya dengan silibus yang digarap itu tadi, adakah ianya mampu membangun keperibadian murid untuk menjadi manusia yang tinggi nilai akhlak dan moralnya?

Usaha Kerajaan Melatih Guru-guru Pendidikan Seks.

Dalam kurikulum Pendidikan Kesihatan bagi Tahun Satu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bahawa pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Kesihatan perlu memberi tumpuan terhadap pemerolehan ilmu pengetahuan dan kemahiran asas kesihatan serta pemupukan dan penghayatan nilai. Daya pemikiran murid perlu dipertingkat untuk membolehkan murid membuat keputusan, meningkatkan literasi kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Semua tugas ini dibebankan kepada guru semasa pengajarannya dalam kelas.Standard Kurikulum Pendidikan Kesihatan juga digubal dengan menetapkan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Pendekatan menggunakan standard tersebut menuntut guru untuk lebih bertanggungjawab ke atas pencapaian murid. Standard yang telah ditetapkan mesti dilaksanakan, dicapai dan ditaksir oleh murid. Inilah tugas guru.

Dalam sebuah kajian di Washington, kurikulum pendidikan seks yang paling komprehensif menetapkan guru mendemonstrasikan penggunaan kondom dengan membuka gulungan kondom di jari atau pisang. Teen Outreach Program (TOP) melatih guru untuk membincangkan dengan remaja tentang bentuk ekspresi seksual lain selain dari hubungan intim kerana mereka mengakui bahawa orang-orang muda, seperti orang dewasa juga, dapat mencari cara-cara lain. [Comprehensive Sex Education vs. Authentic Abstinence A Study of Competing Curricula, http://www.heritage.org]

Malaysia juga tidak terkecuali dari program latihan ke atas guru-guru tetapi masih tidak sampai kepada tahap seperti yang dirangka dalam kurikulum pendidikan seks komprehensif di atas. Kerajaan Malaysia telah merangka strategi-strategi tertentu dalam proses pelaksanaan kurikulum PKRS ini. Antaranya ialah dengan mengurangkan sensitiviti dan salah tanggapan mengenai Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial melalui penyediaan program sokongan khusus kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, anggota kesihatan, pengasuh, masyarakat dan termasuk juga guru-guru.

Terdapat juga strategi yang dirangka untuk membangunkan modal insan yang terlatih dalam bidang pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial. Satu program telah diaturkan untuk menjalankan strategi tersebut dalam jangka masa pendek (2009-2010) iaitu program mewujudkan kumpulan jurulatih utama (master trainers) dalam kalangan pemberi khidmat seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota kesihatan, pekerja sosial, ibu bapa, dan pembimbing rakan sebaya. Guru juga tidak terkecuali dalam program ini. Untuk jangka masa panjang (2010-2012) pula, program Training of Trainers (TOT) kepada jurulatih kepada pemberi khidmat yang sama.

Tidak cukup dengan itu, guru pendidikan seks dibekalkan dengan latihan khas supaya mereka menjadi profesional dalam bidang berkenaan. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Sumber dan Latihan), Datin Fatimah Abdullah mengatakan bahawa bukan semua orang dapat menjelaskan perkara tersebut kepada para pelajar dan ia memerlukan latihan serta sikap guru sendiri yang dapat menerima pelajar tanpa prasangka. “Bagaimanapun, menyampaikan pendidikan seks bukan satu perkara yang senang, maka ia memerlukan para guru khas dan profesional kerana ia menuntut emosi dan perasaan,” katanya. [Utusan Online, 6/3/2010]

Jadi, memang tidak dapat dinafikan kerajaan berusaha sedaya upaya dalam memastikan guru-guru sekolah yang akan mengajarkan silibus PKRS menjadi guru-guru yang berkualiti dan sentiasa bersedia dalam menjalankan tugasnya. Persoalannya, adakah guru-guru yang sedia ada ini tidak cukup berkualiti untuk mengajarkan pendidikan seks sehingga perlu kepada program-program dan latihan baru?

Benarkah Guru Terlibat dengan Jenayah Seks?

Kenyataan yang sukar diterima tetapi benar apabila ada sebilangan guru yang terlibat dengan jenayah seks. Dulu, apabila ada sahaja kes-kes disiplin atau jenayah berat yang berlaku melibatkan pelajar sekolah, pihak sekolah akan cuba untuk menutup perkara itu demi menjaga aib mereka dari diketahui umum. Namun, sejak akhir-akhir ini ia bukan lagi menjadi rahsia sekolah apabila pelakunya adalah dari kalangan guru sendiri dan ini melibatkan kredibiliti sekolah dan kerajaan yang sebenarnya bertanggungjawab menyiapkan guru-guru ini menjadi tenaga pengajar yang cemerlang.

Guru-guru tersebut terlebih dahulu melakukan ‘latihan amali’ hasil daripada ilmu yang dilatih ke atas mereka sebelum diajar kepada pelajar-pelajar dan ini terbukti dalam banyak kes yang telah berlaku. Contohnya, tahun lalu di Kuala Lumpur, seorang ustazah ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya padahal ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Mekah untuk menunaikan umrah. Selepas ditangkap, duda itu mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi ustazah terbabit tetap ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya. [Harian Metro, 3/3/2010]

Seorang ustazah juga ditangkap berkhalwat dengan pasangannya dan mereka tidak mempunyai sebarang hubungan suami isteri atau muhrim. Kes ini berikutan hasil pemeriksaan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) di rumahnya yang membawa kepada penemuan dua kondom yang dipercayai baru digunakan dan juga kesan merah yang terdapat pada lehernya. [Berita Harian Online, 13/3/2010]

Di Alor Setar pula, sepasang kekasih yang kedua-duanya guru di sekolah rendah dicekup anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) atas kesalahan berkhalwat di sebuah rumah sewa. Difahamkan pasangan itu sudah menjalin hubungan terlarang sejak tiga tahun lalu dan telah tinggal bersama sejak beberapa bulan lalu walaupun wanita itu masih bergelar isteri orang dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun.[Harian Metro, 29/4/2011]

Selain kesalahan khalwat yang telah terlalu biasa disiarkan, masyarakat negara ini dikejutkan dengan kes-kes guru lelaki mencabul, merogol malah meliwat pelajar-pelajar mereka sendiri. Contohnya, pada tahun 2009, seorang guru sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu ditahan selepas mengaku bersalah meliwat tujuh pelajarnya. Guru tersebut merupakan penduduk tempatan dan kesemua mangsanya berumur 15 tahun yang merupakan pelajarnya dari kelas yang sama. Polis pula masih menyiasat kemungkinan terdapat mangsa lain yang tidak membuat laporan polis kerana perbuatan itu dikatakan sudah lama berlaku. [Utusan Online, 31/10/2009]

Di Bungan, Dalat pula seorang guru lelaki didakwa mencabul lima murid perempuan berusia antara 11 hingga 12 tahun di sebuah sekolah rendah ketika isterinya sedang menunggu waktu melahirkan anak sulung mereka. Difahamkan, kegiatan guru berusia 32 tahun itu bermula selama dua bulan sebelum kejadian terbaru dilaporkan berlaku di kediamannya pada minggu lalu membabitkan seorang murid tahun enam yang juga adik iparnya. Mangsa mendakwa dia diajak menonton filem lucah sebelum dirogol dan empat lagi mangsa mendakwa dicabul gurunya itu selepas dipanggil menemuinya di makmal sekolah siap dengan amaran agar tidak memaklumkan kejadian berkenaan kepada guru lain. [Berita Harian Online, 21/5/2010]

Seorang guru muzik, Abdul Wahid Mohd Haneepa, 43, pula dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan dua sebatan rotan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan kerana kesalahan melakukan seks luar tabii dan mencabul pelajarnya pada tahun 2007. Guru ini juga didapati bersalah kerana dua kesalahan mencabul mangsa sama. [Berita Harian Online, 16/9/2010]

Manusia yang bergelar guru ini juga bukan setakat merogol, tapi nafsu serakahnya membuatkannya sanggup pula meliwat pelajar sekolah.

Satu lagi kes yang berlaku di Kota Kinabalu, Adrian Simon, 31, yang merupakan seorang bekas guru lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas lima pertuduhan iaitu merogol dan meliwat seorang pelajar perempuan warga Singapura berusia 11 tahun di sebuah sekolah rendah swasta. Adrian didakwa merogol bekas pelajar itu sebanyak tiga kali dalam makmal sains di sekolah berkenaan antara 10 Februari dan 7 April selain memaksa pelajar perempuan itu melakukan seks oral terhadapnya serta meliwat mangsa. [Berita Harian Online, 22/10/2010]

Seterusnya di Kelantan, negeri yang suatu ketika dahulu dikenali dengan jolokan Serambi Mekah, namun ia tidak membawa makna pada salah seorang guru di situ. Mohd Saidi Che Tengah, 45, dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas didapati bersalah atas dua tuduhan merogol muridnya pada 2006. Mangsa yang berusia 12 tahun dua bulan disahkan dirogol di rumah ibu tertuduh dan di sebuah resort di Bachok. [Berita Harian Online, 24/1/2011]

Tidak cukup dengan merogol pelajar, seorang guru yoga yang juga bapa kepada enam anak dengan dua bekas isteri telah melarikan dan mengurung dua remaja perempuan bawah umur yang juga saksi kes rogol membabitkannya. Abdul Malik Abdullah, 55, didakwa merogol seorang dari remaja terbabit dan sebelum itu turut dihadapkan ke mahkamah berasingan atas tuduhan memiliki syabu. [Berita Harian Online, 30/4/2011]

Guru mana lagi yang boleh diharapkan untuk membentuk syakhsiyah pelajar kalau guru disiplin sendiri berakhlak buruk? Sungguh menghampakan apabila seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan. Guru lelaki terbabit didakwa memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan kononnya untuk memeriksa tahap kesihatan pelajar berkenaan sebelum dirotan. Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi. [Mymetro, 31/5/2011]

Terbaru, seorang guru agama merupakan suspek dalam satu kes rogol terhadap seorang remaja yang juga merupakan anak saudaranya [Harian Metro, 3/6/2011]. Seorang penganalisis jenayah, Akhbar Satar, pernah dipetik sebagai berkata bahawa penjenayah kes rogol, termasuk yang berselindung disebalik agama, adalah mereka yang menghadapi masalah jiwa dan mempunyai keinginan seksual melampau. [Berita Harian Online, 25/9/2010]

Apakah ertinya semua ini? Guru sanggup melakukan perbuatan terkutuk pada pelajar sendiri! Di mana sifat mulia yang selalu dicanangkan ada pada setiap guru? Memang bilangan kes sebegini tidak banyak berbanding bilangan guru yang ramai. Tetapi dalam kerjaya mulia guru ini, angka kes bukannya ukuran. Tambahan pula, bagaimana seorang guru itu mampu mengajar pelajarnya untuk mengelakkan segala jenis maksiat padahal dia sendiri melakukannya.

Firman Allah Subhanahu wa Taala: “Mengapa kamu suruh orang lain (mengerjakan) kebaikan, sedang kamu melupakan diri (kewajipan) mu sendiri, padahal kamu membaca Al- Kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?” [TMQ al-Baqarah (2):44]

Apa yang dapat disimpulkan di sini, selain kegagalan dalam proses membentuk keperibadiaan mulia pada pelajar-pelajar sebagai seorang manusia, sistem pendidikan negara Malaysia saat ini juga gagal melatih dan menyediakan guru-guru yang berkualiti untuk memenuhi kerjaya pendidikan ini. Tidak hairanlah mengapa kerajaan terlalu bersungguh-sungguh melatih guru-guru pendidikan seks supaya menjadi guru yang mampu menyampaikan pelajaran secara positif kerana guru-guru yang sedia ada sudah tidak mampu menampilkan etika sebagaimana layaknya ada pada seorang guru.

Ciri-ciri Guru Berkualiti

Sebagai memberi respon terhadap wabak yang sedang merebak dalam kalangan guru ini, ada sesetengah pihak yang memberikan cadangan supaya konsep ‘payung Polis Di-Raja Malaysia (PDRM)’ yang diguna pakai oleh pihak PDRM wajar diwujudkan di sekitar kawasan sekolah yang mempunyai masalah disiplin pelajar serta kes jenayah dalam kalangan guru. Cadangan sebegini sekali lagi hanya berkonsep menghukum dan bukannya mencegah. Padahal, pencegahan daripada peringkat awal itu lebih baik. Sepatutnya guru-guru itu sendiri dibina menjadi seorang guru yang kuat akidahnya dan mulia akhlaknya.

Di sekolah, arahan yang datang dari guru masih dianggap sebagai arahan yang mesti dipatuhi (Psikologi Anak dan Pendidikan, Zainul Muttaqin). Tidak kurang juga pelajar yang menjadikan guru mereka sebagai idola. Lihat sahajalah ketika musim sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun. Kad-kad ucapan penghargaan memenuhi meja setiap guru. ‘Guru, kau idolaku’, ‘Guru, kau lilin hidupku’, ‘Cikgu, kaulah guru, kaulah ibu’ dan berbagai ucapan lagi ditulis menggambarkan guru-guru ini masih merupakan seseorang yang dihormati dan dipandang tinggi oleh pelajar. Namun, generasi baru guru hari ini telah gagal memberikan gambaran seperti itu lagi. Buktinya, pelajar sendiri sudah berani memukul, mengugut dan merosakkan harta benda guru. Faktanya terlalu banyak sehingga tidak dapat dibentangkan dalam ruangan yang terhad ini. Persoalannya di sini, apakah sebenarnya model guru yang terbaik dan berkualiti yang akan menjamin mutu pengajaran yang berkesan sekaligus menjadi ‘role model’ bagi pelajar sendiri?

Seorang guru yang cemerlang sepatutnya mempunyai kemampuan atau kebolehan sebagai pendidik, pengarah, pembina dan teladan bagi pelajar. Untuk itu, guru mesti menguasai pendidikan Islam dan seterusnya memotivasi pelajar untuk berlumba-lumba dalam mengerjakan amal soleh.

Imam Ghazali telah menyatakan tujuh ciri pendidik yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas pendidik yang cemerlang iaitu mengikut tingkahlaku dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi wa Sallam, menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut atau kasih sayang, bukan memarahi mereka atau mengejek, dan juga menyesuaikan pembelajaran dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.

Guru-guru sebegini hanya boleh dilahirkan dalam sistem yang terbaik iaitu sistem pendidikan Islam kerana Islam meletakkan guru sebagai seorang yang mulia.

Terdapat banyak hadis yang menunjukkan betapa Islam memandang tinggi pada guru-guru. Antaranya, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda yang bermaksud, “Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” [HR Bukhari dan Muslim].

Islam juga menjanjikan ganjaran yang besar kepada guru sebagai orang yang mengajarkan ilmunya kepada orang lain. Hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud, “Daripada Abu Umamah al-Bahili, Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda, ‘Sesungguhnya Allah, Malaikat dan Ahli (penduduk) langit dan bumi; hingga semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia’”. [HR al-Tarmizi]. Ada juga hadis lain yang menjanjikan kebaikan kepada golongan guru iaitu hadis yang bermaksud, “Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakan untuknya.” [HR. Muslim]

Jadi, seorang guru yang ingin melahirkan pelajar yang cemerlang syakhsiyahnya mestilah mempunyai ilmu yang luas mengenai Islam dan sentiasa mengaitkan setiap ilmu akademik yang diajarkannya dengan Islam. Jika tidak, pelajar itu sendiri yang akan goyah akidahnya jika kurang pendedahan mengenai Islam dalam proses pembelajarannya di sekolah. Guru yang gagal memberikan contoh teladan yang baik apatah lagi ‘berjaya’ menunjukkan contoh yang buruk bakal berdepan dengan azab atas dosanya itu.

Firman Allah Subhanahu wa Taala maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” [TMQ ash-Shaff (61):3] Selain itu hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam yang memberi maksud yang sama dengan ayat Allah di atas, “Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. dan sesiapa yang mengasaskan jalan yang tidak baik dalam Islam lalu diamalkan orang, maka dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukanya dengan tidak dikurangkan sedikitpun dosanya" [HR Muslim]

Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab pendidik di hadapan Allah Subhanahu wa Taala terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat. Jika kesedaran sebegini wujud dalam diri setiap pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang dan melaksanakan kurikulum pengajarannya. Ini kerana usaha mereka bukan berakhir di situ sahaja, tetapi akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu wa Taala pada hari dihisab-Nya amalan manusia nanti. Cara untuk membentuk guru yang berkualiti ini ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, Khulafa’ ar-Rasyidin dan para khalifah selepas itu melalui penerapan sistem Islam secara keseluruhan dalam setiap aspek pemerintahan mereka. Dalam sistem pendidikan yang percuma di bawah pemerintahan Islam, guru-guru dibekalkan dengan latihan yang secukupnya bagi memastikan mereka mampu menjadi contoh teladan yang baik pada pelajar-pelajar. Jika kurikulum pembelajaran dalam Islam menjadikan akidah Islam sebagai asas, begitu juga dengan proses latihan pada guru-guru. Mereka juga dibentuk dengan akidah Islam yang sempurna sebelum mereka sendiri akan membentuk pelajar-pelajar mereka dengan akidah yang sama.

Khatimah

Sistem kehidupan manusia dewasa ini bukan sekadar gagal menyediakan asas yang kukuh dalam proses pembentukan guru yang baik tetapi juga gagal dalam mengawal sumber-sumber negatif dari meracuni pemikiran dan akhlak masyarakat. Hakikatnya, peranan guru dalam menyampaikan PKRS sebenarnya telah diambil alih oleh satu entiti. Alat reproduksi remaja secara fisiologinya sudah berkembang secara optimal yang kemudiannya menyebabkan dorongan dan ghairah seksual semakin kuat bersumber daripada internet, televisyen, industri muzik, majalah, filem, novel dan bentuk-bentuk media lain. Perkara-perkara inilah yang dimaksudkan dengan entiti itu yang menjadi `guru seks’ bagi remaja terlebih dahulu daripada guru-guru di sekolah. Jadi, tidak hairanlah guru-guru juga menjadi mangsa rakusan entiti tersebut kerana guru juga merupakan sebahagian daripada masyarakat yang tetap terdedah kepada kesan negatifnya. Ia ditambah lagi dengan goyahnya sistem yang melatih dan membentuk guru untuk memenuhi keperluan pasaran pendidikan seperti yang ada pada hari ini. Itulah akibatnya apabila sistem dari Pencipta Alam ini tidak diamalkan dalam sistem pendidikan dan sistem-sistem lain.

Firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka...” [TMQ al-Maa’idah(5): 49].

Wallahu’alam.

SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment