Tuesday, August 23, 2011

ANTARA MORAL, ETIKA DAN AKHLAK MULIA

Pengenalan

Fenomena pergaulan bebas, seks bebas dan jenayah berkaitan seks dewasa ini telah menjadi suatu fenomena bejat yang saban hari mengganggu kesejahteraan masyarakat. Laporan di media massa sering memaparkan kisah yang amat mengerikan dan menyayat hati, malah mencarik-carik perasaan manusia biasa. Dalam keadaan yang amat mendesak ini, pelbagai bentuk penyelesaian cuba dicari dan dilaksanakan. Banyak cadangan dan pendapat diutarakan oleh pelbagai pihak yang prihatin tentang isu ini baik secara individu, komuniti, perwakilan, pemimpin rakyat mahupun kerajaan. Semua pihak ini berusaha mencari formula paling mujarab dalam mencari titik penyelesaian kepada permasalahan sejagat ini.

Penyelesaian yang dipilih oleh barisan pemerintah yang turut menjadi kupasan khusus Fikratul Ummah (FU) dalam keluaran bulanan mulai April yang lalu, tidak lain dan tidak bukan ialah penyelesaian melalui pelaksanaan pendidikan seks.Pendidikan seks merupakan langkah alternatif yang dilaksanakan di sekolah-sekolah dan akan mula menjadi mata pelajaran teras kepada pelajar-pelajar tahun satu mulai November nanti. Salah satu aspek yang bakal diberi penekanan dalam pengajaran pendidikan seks ini ialah nilai moral dan etika para pelajar. Tujuannya adalah untuk memupuk nilai moral dan etika yang tinggi dalam kalangan pelajar. Pelaksanan Pendidikan Kesihatan dan Reproduktif Sosial (PKRS) dianggap sebagai alternatif untuk menjauhkan mereka daripada terjebak ke kancah pergaulan bebas yang menjadi pintu utama kepada seks bebas.

Realiti Kes

Sebelum tajuk ini dikupas lebih panjang, adalah wajar untuk memperhatikan realiti yang sedang dihadapi oleh masyarakat berkaitan kemelut gejala sosial ini. Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menjalankan kajian media pada tahun 1998 mendapati seramai 27.2 peratus responden mengaku pernah melakukan hubungan seks. Menurut kajian itu, umur paling muda melakukan hubungan seks pertama ialah pada usia 16 tahun. LPPKN juga menjalankan kajian yang sama pada 2004 dan mendapati sekitar 130,000 remaja dipercayai telah melakukan hubungan seks luar nikah. Manakala kajian yang dibuat oleh Majlis Aids Malaysia iaitu sekitar tahun 1999 dan 2000 mendapati umur melakukan hubungan seks pertama paling muda di negara ini ialah sembilan tahun! [http://www.bernama.com]

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan 1,456 kes rogol berlaku dalam setahun. Perangkaan itu bagaimanapun dianggarkan hanya 10 peratus daripada kejadian yang sebenarnya berlaku. Lebih daripada separuh mangsa rogol adalah di bawah 18 tahun dan 84 peratus pemangsa adalah orang yang dikenali oleh mangsa. 20 peratus daripada pemangsa mempunyai pertalian saudara dengan mangsa, iaitu terdiri daripada bapa, bapa tiri, datuk, abang termasuk teman lelaki yang baru dikenali. Tambahnya, 67 peratus lokasi rogol adalah di rumah dan bangunan, iaitu tempat yang dianggap selamat oleh pemangsa. [http://www.bernama.com]

Selain itu, sekurang-kurangnya satu kes pembuangan bayi dilaporkan berlaku dalam tempoh lima hari. Lebih menyedihkan apabila ada yang tergamak membunuh bayi tidak sah taraf ini semata-mata mahu menutup aib sendiri dan keluarga.

Punca Masalah Sebenar

Apabila diteliti daripada realiti yang telah dipaparkan, salah satu persoalan yang mungkin menjengah di minda ialah apakah punca sebenar kepincangan ini? Menurut beberapa kajian yang telah dijalankan, jenayah seks yang berlaku pada hari ini terus berleluasa adalah berpunca daripada rendahnya nilai moral dalam kalangan remaja sekarang. Justeru, kerajaan tanpa berlengah telah mengambil inisiatif dengan memperkenalkan pendidikan seks ke dalam kurikulum pendidikan di Malaysia.

Walaupun ada pihak yang mengatakan tindakan ini adalah tindakan yang terburu-buru, namun, barisan pemerintah memberi justifikasi bahawa tindakan ini kononnya sejajar dengan keadaan semasa. Namun, masih timbul beberapa persoalan. Sejauh manakah subjek Pendidikan Seks akan menyelesaikan masalah seks bebas dalam kalangan muda mudi? Apakah pendidikan seks merupakan jalan terbaik kepada segala isu keruntuhan akhlak remaja yang berkaitan dengan jenayah seks?

Jika diperhatikan dengan teliti, jenayah seks atau salah laku seks berlaku disebabkan oleh gejolak naluri yang tidak terkawal lalu mengatasi kewarasan akal, seterusnya membawa impak yang lebih dahsyat, iaitu terjadinya pembunuhan bayi. Persoalan seterusnya ialah adakah gejolak naluri seks ini dapat diselesaikan dengan adanya pengajaran pendidikan seks di sekolah, atau hanya akan membawa kepada gejolak naluri yang lebih besar lagi?

Sebagaimana yang telah dikupas dalam FU yang lalu, di negara Barat, penekanan kepada pendidikan seks yang diajar di sekolah-sekolah adalah lebih kepada aspek teknikal seperti bagaimana mengelakkan kehamilan dalam kalangan wanita melalui penggunaan kondom ketika melakukan hubungan seks.

Statistik di Barat juga telah membuktikan (melalui keluaran FU yang lalu) bahawa langsung tidak menunjukkan adanya penurunan kadar remaja yang melakukan seks bebas, malah lebih tinggi setelah pendidikan seks diperkenalkan. Jadi, apakah jaminan yang ada untuk mengatakan bahawa hal yang sama tidak akan berlaku di negara ini? Jika acuan penyelesaian daripada Barat yang diguna pakai, mustahil hasilnya nanti sesuatu yang berbeza daripada acuannya. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sebenarnya pendidikan seks diperkenalkan bagi menggalakkan remaja melakukan seks tetapi dengan cara yang selamat!

Justifikasi yang menyelamatkan?

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di awal tadi bahawa salah satu punca kepada masalah sosial ini ialah kurangnya nilai moral dan etika dalam kalangan remaja. Justeru, secara teorinya subjek PKRS yang telah digarapkan, dilihat sebagai satu cara konstruktif yang akan membantu serta mendidik moral dan etika, seterusnya membentuk generasi pewaris bangsa dan negara. PKRS dianggap dapat membantu pelajar memahami konsep, seterusnya membentuk kekuatan dalaman yang sangat konstruktif agar para pelajar akan lebih bijak memilih dan membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya.

Inilah satu konsep yang terlahir daripada idea kebebasan bertindak dan bertingkah laku yang merupakan slogan utama dalam mana-mana negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi. Sedangkan pada hakikatnya, moral dan etika hanyalah pegangan dan peraturan yang sangat rapuh. Moral dan etika seseorang juga cenderung untuk berubah mengikut masa dan persekitaran. Sebelum membuat apa-apa kesimpulan, kita fahami terlebih dahulu apa yang dimaksudkan dengan moral dan etika tersebut.


Mengikut definisi daripada Wikipedia Bahasa Melayu, ‘prinsip moral atau moral’ (daripada bahasa Latin: moralitas) membawa pengertian ajaran atau pegangan berkenaan dengan buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, kewajipan, dll). Dengan kata lain, moral merupakan sikap atau cara berkelakuan yang diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak.

Moral merujuk kepada konsep etika kemanusiaan yang digunakan dalam beberapa konteks, iaitu: hati nurani individu - sistem prinsip dan pertimbangan - adakalanya dipanggil nilai moral - yang dikongsi dalam sesuatu komuniti kebudayaan, keagamaan, kesekularan atau kefalsafahan atau prinsip moral tingkah laku. Moral peribadi mentakrifkan dan membezakan niat, motivasi, atau tindakan yang betul dan yang salah, sebagaimana yang diajarkan, dilahirkan, atau dikembangkan dalam diri setiap individu. [http://ms.wikipedia.org/wiki/Moral]

Manakala ‘etika’ pula berasal daripada bahasa Greek kuno, iaitu ‘falsafah moral’ yang merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Konsep etika adalah lebih luas daripada sekadar menganalisis apa yang betul dan salah seperti yang sering difahami. Antara aspek utama etika ialah ‘kehidupan baik’, iaitu kehidupan yang bernilai atau memuaskan yang dianggap lebih penting daripada tingkah laku moral oleh banyak ahli falsafah. Antara isu utama dalam etika ialah pencarian summum bonum, iaitu ‘kebaikan yang terbaik’. Tindakan yang betul dikatakan mengakibatkan kebaikan terbaik, manakala tindakan tidak bermoral dikatakan menghalangnya menemui kebaikan terbaik.

Kamus Oxford mendefinisikan etika (ethic) sebagai akhlak, tatasusila atau kesusilaan [Kamus Dwibahasa Oxford Fajar, 2004]. Etika dan konsep-konsep moral saling berkaitan seperti kebaikan, kejahatan, benar, salah, kewajipan, tanggungjawab, keadilan; iaitu analisis konsep-konsep seperti ini dan justifikasi pertimbangan (pernyataan, dakwaan) yang melibatkan konsep-konsep tersebut. Etika adalah teori tentang tingkah laku yang betul dalam kehidupan yang baik bukannya amalan. Etika mengkaji fakta, menganalisisnya dan merumuskan apakah tingkah laku yang sebetulnya. Etika tidak berpegang pada apa yang dinamakan ‘tanzil Tuhan’ atau ‘wahyu Tuhan’ terhadap jawapan akhir atau menyelesaikan isu-isu moral tertentu. Etika juga amat berbeza dengan agama.

Apa yang dapat disimpulkan daripada definisi yang diberikan? Bukankah sudah terang lagi bersuluh bahawa definisi-definisi yang diberikan langsung tidak berteraskan kepada ajaran Islam yang syumul. Islam memandang akhlak dan budi pekerti manusia mestilah berlandaskan ajaran Islam. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam adalah contoh peribadi yang mempunyai akhlak yang paling tinggi sehingga ketika Saidatina 'Aisyah Radhiyallahu 'Anha ditanya tentang akhlak dan sifat Baginda Sallallahu Alaihi wa Sallam, maka beliau menjawab, "Akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam itu adalah Al-Qur'an"
[HR Muslim].

Oleh itu, jika kita fikirkan secara rasional, apakah benar PKRS yang dicanang dapat membentuk moral dan etika yang mampu memberi kesejahteraan kepada anak-anak sebagai pewaris generasi umat yang mulia? Apakah moral dan etika yang digarap melalui silibus PKRS itu mampu membunuh penularan virus dan wabak penyakit sosial ini secara tuntas atau cuma penyelesaian yang bersifat sesaat?

Yang pastinya, moral dan etika itu berbeza mengikut masyarakat atau ideologi sesebuah masyarakat. Perkara yang paling nyata sekali ialah pelanggaran terhadap prinsip moral dan etika tidak akan membawa kepada apa-apa bentuk hukuman, lalu bagaimana prinsip ini mampu menjamin kesalahan yang sama tidak akan berulang? Perlanggaran prinsip moral dan etika hanya akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap prinsip moral dan etika semata-mata dan bukan suatu pelanggaran terhadap satu pegangan, anutan ataupun ideologi yang sepatutnya menjadi pasak kepada setiap tatacara kehidupan individu. Jadi, bagaimana etika dan moral dikatakan dapat membantu membendung gejala yang semakin parah ini?

Islam pasti menyelesaikan!

Aqidah Islam merupakan satu konsep ‘pegangan’ yang sangat kukuh. Islam merupakan jawapan terhadap segala masalah yang mengatur kehidupan manusia. Doktor Samih Athif Az- Zein dalam kitabnya Al Islam Wa Idiyolojiyyah Al insan mendefinasikan Islam itu sebagai satu agama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi wa Sallam yang mengatur hubungan manusia dengan Allah, dirinya dan sesama manusia.

Definasi ini amat mendasar dan sangat bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku ke atasmu dan Aku reda Islam itu sebagai agamamu.” [TMQ al-Maidah (5):3]

Jelaslah betapa Islam itu memiliki segala penyelesaian kepada segala aspek manusiawi. Aqidah Islam juga dapat mendidik manusia memahami dan mencegah daripada melakukan sesuatu yang menjadi larangan Allah Subhanahu wa Ta’ala, malah kita sering diperingatkan bahawa setiap perbuatan yang dilakukan itu pasti akan diminta pertanggungjawaban dan pasti akan dihukum atas tanggungjawab melanggar perintah Allah. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, maksudnya, “…kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya.” [TMQ ali-‘Imran (3):161].

Aqidah Islam merupakan suatu aqidah yang sangat agung kerana ia merupakan satu pemikiran menyeluruh berkaitan dengan alam, manusia dan kehidupan, serta hubungan semuanya dengan sebelum kehidupan (Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan selepas kehidupan (hari Kiamat), serta tentang hubungan kesemuanya dengan sebelum dan setelah kehidupan (hukum syara’ dan hisab)….” (Islam, politik dan Spiritual- Hafidz Abdurrahman [edisi Bahasa Malaysia]-1998).

Khatimah

Konsep Islam yang sangat cantik dan praktikal, iaitu mengaitkan diri manusia itu dengan alam sebelum kehidupan, semasa kehidupan dan alam selepas kehidupan serta kewujudan Pencipta (Allah Subhanahu wa Ta’ala) dan bagaimana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menetapkan peraturan dan penyelesaian terhadap segala persoalan akan membentuk suatu pemikiran unggul yang membina jati diri hebat yang sangat didambakan pada masa sekarang. Ini kerana ia akan dapat membentuk manusia yang tegar pada aturan daripada Penciptanya kerana tanpa Pencipta tiadalah dia di dunia. Manusia yang memahami konsep aqidah Islam juga akan merasa takut untuk melakukan kesalahan dan pelanggaran terhadap perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Oleh yang demikian konsep pendidikan seks dalam Islam memang berkait rapat dengan aqidahnya. Pendidikan seks yang berkonsepkan Islam mesti berteraskan pada kepercayaan kita kepada Allah dan rukun iman lain. Memberi kesedaran tentang masalah dan menghimpunkan kekuatan mencegah jenayah juga menutup peluang berlakunya jenayah. Seterusnya bakal melahirkan bentuk pendidikan yang sangat berkesan dan praktikal bersesuaian dengan kehendak Pencipta.

Masyarakat yang dapat mendidik anggotanya menjalani kehidupan seksual yang harmoni akan mampu mewujudkan kehidupan sejahtera. Pendidikan seksual dalam Islam adalah satu proses memberi pengajaran, kesedaran serta penerangan mengenai masalah seksual kepada anak daripada kecil hingga dewasa. Jadi sebenarnya konsep pendidikan seks perlu dilakukan secara sistematik menurut Islam secara sempurna dan merangkumi segala aspek ketuhanan secara total.

Umat Islam seharusnya sedar hakikat bahawa Islam adalah the way of life (cara hidup) iaitu agama yang mengatur dan menyelesai segala masalah kehidupan manusia. Virus serta racun Kapitalisme yang telah menyerap masuk dalam segenap saraf umat Islam itulah yang menyebabkan umat Islam hilang daya tahan penyakit wahn!

“Manusia akan suatu masa nanti menyeru sesama mereka untuk menyerang kalian seperti orang-orang yang mengelilingi hidangan”. Ada yang bertanya, “Adakah ini berlaku kerana bilangan kami yang kecil ketika itu?”. Rasulullah SAW menjawab, “ Tidak, bahkan jumlah kalian banyak namun kalian adalah seperti buih-buih yang dibawa air. Allah mengangkat kegerunan musuh terhadap kalian dari dada-dada mereka dan mencampakkan penyakit wahn ke dalam jiwa-jiwa kalian”. Ada yang bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah penyakit wahn itu?”. Rasulullah SAW menjawab, “Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian.” [HR Abu Daud dan Ahmad]

Wallahua’lam.

No comments: