Wednesday, August 24, 2011

BAGAIMANA SISTEM PENDIDIKAN ISLAM MENJAMIN KESTABILAN SOSIAL MASYARAKAT

Assalamua’laikum warahmatullahi wa barakatuh......

Alhamdulillah, salam Ramadhan al-mubarak kepada semua pembaca yang budiman. Kesyukuran yang tidak terhingga dipanjatkan kepada Zat Yang Maha Menghidupkan kerana kita diberi peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang dirindui. Kesempatan bulan yang mulia ini terus direbut oleh sidang redaksi Fikratul Ummah untuk meneruskan kewajipan kami dalam mendakwahkan Islam kepada umat manusia. Firman-Nya, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” [TMQ adz-Dzaariyaat (51):56]. Umat Islam hari ini di kelilingi oleh pelbagai masalah akibat tiadanya penerapan sistem Islam dalam kehidupan. Kehidupan dalam sistem kapitalis yang beraqidahkan sekularisme telah membawa umat ini jauh dari kehidupan berkah yang dirahmati Allah. Dalam sistem yang rosak ini, para penguasa sering membuat keputusan berdasarkan aqal semata-mata tanpa merujuk kepada hukum Allah, lebih dasyat lagi apabila para penguasa menzalimi rakyatnya sendiri. Oleh kerana itu, sidang redaksi FU tidak jemu-jemu mengungkapkan realiti semasa yang sedang berlaku dalam rangka menyedarkan umat akan peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam mengembalikan kehidupan Islam yang syumul.

Sesungguhnya proses memuhasabah penguasa itu adalah satu proses yang wajib dijalankan selama mana hukum Allah masih belum ditegakkan dalam kehidupan seharian. FU kini memasuki tahap kedua dalam proses kajian mengenai isu pelaksanaan silibus baru Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS). Tahap kedua ini merupakan usaha untuk memberi kefahaman mengenai pandangan Islam secara menyeluruh terhadap kewajaran pelaksanaan PKRS dan juga penyelesaian sebenar yang dianjurkan oleh Islam. Artikel pertama bertajuk ‘Bagaimana Sistem Pendidikan Islam Menjamin Kestabilan Sosial Masyarakat?’ merungkaikan dasar dan strategi pelaksanaan sistem pendidikan yang berlandaskan ajaran Islam dan sejarah kegemilangan pemerintahan Islam yang berjaya melahirkan insan yang bertaqwa sekaligus generasi ilmuan yang paling agung dan gemilang dalam sejarah peradaban manusia. Manakala artikel kedua, ‘Antara Moral, Etika dan Akhlak Mulia’ menjelaskan kelemahan nilai-nilai moral dan etika berbanding akhlak mulia yang dibangunkan atas asas aqidah dalam proses pembentukan syakhsiyyah individu dan masyarakat. FU kali ini turut menyajikan artikel terjemahan bertajuk ‘Cara Berdakwah di Alam Maya’ oleh Felix Siauw dan Fikih Wanita bertajuk ‘Menghukum Orang Berzina dan Isteri Berzina’. Sempena Ramadhan ini, kami turut memuatkan bacaan Qunut Nazilah dan tatacara bacaannya. Qunut Nazilah amat dituntut untuk dibaca ketika saudara seIslam dilanda musibah. Ikuti kisah yang kami kongsikan mengenai penderitaan saudara kita di Uzbekistan. Semoga paparan ini memberi keinsafan dan menaikkan semangat untuk meneruskan perjuangan menegakkan Deen Allah di muka bumi ini.

Kami dengan berbesar hati mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pembaca yang setia menunggu keluaran FU setiap bulan dan istiqamah dalam pengkajian setiap isu yang dipaparkan. Selamat membaca dan selamat menjalani ibadah puasa, nantikan keluaran kami seterusnya, InsyaAllah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Doa pilihan

DOA MEMOHON KETEGUHAN IMAN





Maksudnya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad s.a.w. di syurga yang paling tinggi selama-lamanya.” [Riwayat ibnu Hibban no. 2436]

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~



Muqaddimah

Pendidikan atau proses menuntut ilmu pengetahuan merupakan teras kepada pembangunan sesebuah masyarakat dan Negara. Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkan setiap Muslim untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pelbagai ilmu yang diperlukannya dalam menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.

Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan dalam al-Quran, firman-Nya yang bermaksud, “Hai orang-orang beriman apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [TMQ al-Mujaadilah (58):11].

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam pula bersabda, “Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim” [HR Ibnu Adi dan Baihaqi] dan “Ada tiga golongan yang akan memberi syafaat (pertolongan) di hari kiamat: (1) para nabi, (2) para ulama (orang yang berilmu), (3) syuhada.” [HR. Ibnu Majah dari Usman bin Affan]

Tanpa ilmu pengetahuan, masyarakat akan hidup dalam kemunduran dan keruntuhan moral secara berleluasa. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda: “Di antara tanda-tanda kiamat adalah menghilangnya ilmu dan menyebarnya kebodohan…” [HR. al-Bukhari, Muslim, dan Ahmad]

Lihat sahajalah fakta dan realiti yang bertebaran di sekeliling masyarakat Malaysia hari ini khususnya dan seluruh dunia umumnya. Pergaulan bebas, seks bebas, buang bayi, dadah dan HIV/AIDS tidak pernah surut. Jika kejadian runtuhnya sebuah rumah anak yatim di Hulu Langat baru-baru ini cukup membimbangkan, tragedi keruntuhan ahklak dan moral dalam masyarakat juga sepatutnya menjadi perhatian setiap individu kerana setiap individu itu merupakan ahli dalam masyarakat. Sebenarnya, pelbagai cara telah dilaksanakan dalam usaha membendung gejala sosial ini seperti memperkenalkan silibus pendidikan seks dalam sistem pendidikan di sekolah. Namun persoalannya adalah adakah kerangka atau sistem yang sedia ada ini mampu memastikan pendidikan seks itu berjaya mencapai targetnya iaitu menyelesaikan masalah sosial dalam masyarakat? Adakah kurikulum pendidikan yang ‘diselia’ oleh kuffar Barat ini mampu memastikan pelajar-pelajar kita menjadikan Islam sebagai cara hidupnya?

Asas Pendidikan

Bayangkan sepohon pokok. Tanpa akar yang kuat, begitu mudah pokok itu akan rebah dilanda badai. Begitu juga bagi setiap manusia. Tanpa pegangan hidup yang kuat, mudahlah dia kalah dengan arus kehidupan yang merosakkan. Sesungguhnya pegangan hidup yang paling kuat bagi manusia adalah aqidah Islam kerana Islam merupakan agama daripada Allah untuk manusia. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud, “…Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada Thaghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus...” [TMQ al-Baqarah (2):256]

Maka, sudah semestinya asas kepada sistem pendidikan merupakan aqidah Islam. Aqidah Islam adalah asas ketaatan umat Islam kepada syariat Islam. Dalam Islam, pendidikan dianggap tidak berhasil apabila pendidikan tersebut gagal menghasilkan pelajar yang terikat dengan syariat Islam, walaupun mungkin pelajar tersebut berjaya menguasai ilmu pengetahuan atau dengan kata lain cemerlang dalam akademik. Maka, aqidah Islam wajib menjadi dasar kurikulum (mata pelajaran dan cara pengajaran) yang dilaksanakan oleh negara.

Apabila aqidah Islam dikatakan menjadi asas kepada ilmu pengetahuan, ini tidak membawa maksud bahawa semua ilmu pengetahuan yang dikembangkan mesti bersumberkan pada aqidah Islam. Tidak semua ilmu pengetahuan lahir daripada aqidah Islam. Apa yang dimaksudkan di sini ialah, aqidah Islam mesti dijadikan ukuran penilaian. Ilmu pengetahuan yang bertentangan dengan aqidah Islam tidak boleh dikembangkan dan diajarkan, kecuali untuk dijelaskan kesalahannya.

Tujuan Pendidikan

Aqidah Islam yang menjadi asas atau dasar pendidikan itu tadi akan disalurkan atau dilaksanakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Kedua-dua proses ini sepatutnya membawa kepada pemenuhan tujuan pendidikan (learning outcome) itu sendiri. Tujuan pendidikan adalah suatu keadaan yang menjadi target daripada proses-proses pendidikan termasuk penyampaian ilmu pengetahuan yang dilakukan. Tujuan pendidikan inilah yang menjadi panduan bagi seluruh kegiatan dalam sistem pendidikan. Islam ada menggariskan tujuan pendidikan untuk membentuk manusia yang berkarakter iaitu; (1) membentuk keperibadian Islam; (2) menguasai tsaqafah Islam; dan (3) menguasai ilmu kehidupan (sains, teknologi dan keahlian) yang memadai.

Membentuk Keperibadian Islam (Syakhshiyyah Islamiyyah)

Tujuan yang pertama ini hakikatnya untuk membentuk keimanan seseorang muslim, iaitu pelajar dididik sehingga terzahir identiti keislamannya yang nampak pada cara berfikir (aqliyyah) dan cara sikapnya (nafsiyyah) yang sentiasa dilandaskan pada ajaran Islam.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala, “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal soleh dan berkata ‘sesungguhnya aku termasuk kaum muslimin’.” [TMQ. Fushshilat (41) : 33]

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, “Tidak beriman salah seorang di antara kalian, sehingga dia menjadikan hawa nafsunya mengikut apa-apa (dinul Islam) yang kubawa.” [HR Arba’in An Nawawiyyah]


Tujuan ini perlu dilaksanakan melalui tiga cara. Pertama, menanamkan aqidah Islam dengan cara yang merangsang akal, menggetarkan jiwa dan menyentuh perasaan. Kedua, mendorong supaya sentiasa berfikir dan berkelakuan mengikut aqidah dan syariah Islam. Ketiga, mengembangkan keperibadian dengan cara bersungguh-sungguh dan mengisi pemikiran dengan Tsaqafah Islamiyyah serta mengamalkannya dalam seluruh aspek kehidupannya dalam rangka melaksanakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Menguasai Tsaqafah Islam

Tujuan kedua ini merupakan satu proses selepas proses membentuk keimanan seseorang. Islam mendorong setiap muslim menjadi seorang yang berilmu dengan mewajibkan menuntut ilmu. Imam Al Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, dalam bab Ilmu, menjelaskan bahawa berdasarkan takaran kewajipannya, ilmu dibahagikan kepada dua kategori.

Pertama, ilmu fardhu ain yang wajib dipelajari oleh setiap Muslim. Ilmu fardhu ain termasuklah ilmu-ilmu tsaqafah Islam, seperti pemikiran, idea dan hukum-hukum Islam (fekah), bahasa arab, sirah nabawiyah, al-Quran, al-Hadis dan sebagainya. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam telah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar untuk pendidikan dan urusan penting lainnya seperti bahasa diplomatik dan pergaulan antarabangsa. Oleh sebab itu, setiap muslim yang selain orang arab sekalipun, wajib mempelajari bahasa Arab.

Kedua, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah, iaitu ilmu yang wajib dipelajari oleh sebahagian sahaja daripada umat Islam. Ilmu fardhu kifayah termasuklah ilmu-ilmu kehidupan yang mencakup ilmu pengetahuan dan teknologi serta keahlian. Contohnya, ilmu kimia, biologi, fizik, kedoktoran, pertanian, teknikal dan sebagainya.

Menguasai ilmu kehidupan (sains teknologi dan keahlian)

Penguasaan dalam ilmu kehidupan diperlukan agar umat Islam mampu mencapai kemajuan material sehingga dapat menjalankan misi hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi ini dan kewajipan ini merupakan fardhu kifayah.

Manusia yang mempunyai keperibadian Islam serta menguasai Tsaqafah Islam dan ilmu kehidupan inilah yang akan memenuhi keperluan masyarakat dalam perkhidmatan profesional untuk memudahkan kehidupan masyarakat. Negara sepatutnya melaksanakan polisi-polisi tertentu yang akan menjamin kelangsungan perkhidmatan doktor, pensyarah, jurutera, ahli kimia, mujtahid dan kerjaya-kerjaya lain dalam jumlah yang diperlukan masyarakat.

Untuk memenuhi bidang perkhidmatan perubatan seperti doktor dan paramedik, serta bidang keamanan seperti polis dan tentera, negara boleh melatih mereka sebagai pegawai negeri sejak di bangku sekolah lagi, atau negara boleh membuka sekolah khusus untuk memenuhi keperluan-keperluan perkhidmatan tersebut.

Kejayaan pencapaian tujuan pendidikan di atas tidak hanya bergantung pada proses pendidikan yang dilakukan di sekolah. Sekolah, keluarga dan masyarakat seharusnya bekerjasama dengan baik dalam mengupayakan tercapainya tujuan pendidikan. Keluarga berperanan dalam membentuk dan mengembangkan keperibadian Islam dalam kehidupan sehari-hari di rumah. Manakala, masyarakat menguatkan nilai-nilai yang ditanam oleh keluarga dan sekolah.

Negara pula akan mendorong keluarga untuk meningkatkan peranan dan kemampuannya dalam mendidik anak serta menyediakan kemudahan-kemudahan yang diperlukan keluarga yang ingin meningkatkan kemampuannya dalam mendidik anak. Sekiranya seorang ayah atau ibu sangat lemah dalam mendidik anaknya, negara boleh menarik sementara hak pendidikan anak daripada mereka dan menyerahkannya kepada keluarga atau kerabat lain yang mampu mendidik anak itu, sehingga mereka mampu mendidik anaknya.

Selain itu, negara turut berperanan dalam mengawasi media massa dan perilaku individu-individu dalam kehidupan umum. Media massa tidak boleh menyebarkan nilai, pemikiran atau contoh perilaku yang membahayakan para pelajar. Tindakan-tindakan yang melanggar hukum syarak pula mesti diberi tindakan yang tegas agar tidak berleluasa di tengah-tengah masyarakat. Peranan negara ini seiring dengan kewajipannya sebagai penjaga aqidah umat Islam dan memastikan supaya aturan kehidupan rakyatnya berjalan berlandaskan aturan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sekilas Fakta Sistem Pendidikan bawah Pemerintahan Islam

Memahami betapa pentingnya pendidikan dalam Islam, maka hal pendidikan mestilah menjadi agenda penting bagi negara. Negaralah yang berperanan dalam merencanakan, mengatur, dan menerapkan sistem pendidikan berasaskan hukum-hukum Islam. Ini adalah kerana negara merupakan institusi pemerintahan yang bertanggung jawab mengurus keperluan dan hak rakyatnya. Rasulullah Subhanahu wa Ta’ala bersabda, “Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya...” [HR Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Daud dari Ibnu Umar].

Hadis ini dengan jelas meletakkan tanggungjawab pemeliharaan atau penjagaan rakyat ke atas bahu para pemimpin. Justeru, dalam bidang pendidikan, memberi pendidikan dan menyediakan segala kemudahan yang berkaitan dengannya adalah wajib ke atas pemimpin dan semuanya mesti disediakan secara percuma kepada rakyat. Negara wajib bersungguh-sungguh dalam memperolehi pendapatan agar dapat memenuhi keperluan asas bagi warga negaranya, termasuk keperluan pendidikan.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam pernah mengarahkan tawanan Perang Badar untuk mengajar membaca dan menulis sepuluh anak kaum Muslimin sebagai syarat penebusan mereka. Dengan tindakan ini, iaitu membebaskan para tawanan dengan cara menyuruh mereka mengajar anak-anak kaum Muslimin, bererti Rasulullah telah menjadikan biaya pendidikan setara dengan nilai barang tebusan. Maksudnya, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam (seperti) telah memberi upah kepada para pengajar itu dengan harta benda yang seharusnya menjadi milik Baitul Mal.

Di samping itu, para khalifah sepanjang zaman pemerintahan Daulah Khilafah Islamiyyah juga memberikan pendidikan percuma kepada warga negaranya. Sejak abad ke-4H, banyak sekolah telah ditubuhkan. Sebelum wujudnya sekolah formal, ketika itu pendidikan biasanya dilakukan di masjid-masjid, majlis-majlis ta’lim dan beberapa tempat pendidikan yang tidak formal lainnya.

Muhammad Athiyah al-Abrasi, di dalam buku Dasar-Dasar Pendidikan Islam memaparkan usaha-usaha para khalifah untuk membangunkan sekolah-sekolah tersebut. Setiap Khalifah berlumba-lumba membina sekolah tinggi Islam dan berusaha memperlengkapkannya dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan. Setiap sekolah tinggi dilengkapi dengan auditorium, dewan mesyuarat, asrama mahasiswa, perumahan pensyarah dan ‘ulama, bilik mandi, dapur dan dewan makan, malah taman rekreasi.

Di antara sekolah-sekolah tinggi yang penting dan terkenal sepanjang pemerintahan Daulah Khilafah Islamiyyah ialah Madrasah Nizhamiyah dan Madrasah al-Mustanshiriyah di Baghdad, Madrasah al-Nuriyah di Damsyik serta Madrasah an-Nashiyah di Kaherah. Di antara madrasah-madrasah ini, yang terbaik ialah Madrasah Nizhamiyah di mana ia dijadikan asas ukuran bagi madrasah di daerah lain di Iraq, Khurasan (Iran) dan tempat-tempat lain.

Madrasah al-Mustanshiriyah di Baghdad yang didirikan oleh Khalifah al-Mustanshir pada abad ke-6H mempunyai sebuah auditorium dan perpustakaan yang dipenuhi pelbagai jenis kitab yang cukup untuk keperluan proses pembelajaran. Selain itu, madrasah ini juga dilengkapi dengan kamar mandi dan klinik yang doktornya sentiasa tersedia. Setiap mahasiswa pula menerima biasiswa berupa wang emas dari negara. Kehidupan seharian mereka juga ditanggung. Makanan berupa roti dan daging disediakan tanpa bayaran sedikit pun.

Madrasah lain yang juga cukup terkenal adalah Madrasah Darul Hikmah di Kaherah yang didirikan oleh Khalifah al-Hakim bi-amrillah pada tahun 395H. Madrasah ini adalah sebuah institut pendidikan yang dilengkapi dengan perpustakaan yang dipenuhi dengan ruang ulangkaji dan pelbagai kemudahan pendidikan lainnya. Perpustakaannya turut dibuka untuk orang ramai. Semua orang juga dibenarkan mendengar kuliah, ceramah ilmiah, simposium, aktiviti kesusasteraan dan pengajaran agama.

Begitu juga dengan Madrasah an-Nuriah di Damsyik yang didirikan pada abad ke-6H oleh Nuruddin Muhammad Zangi. Di sekolah ini terdapat kemudahan seperti asrama, perumahan staf pengajar, tempat istirehat serta dewan ceramah yang luas.

Daripada sistem pendidikan begini, maka lahirlah tokoh-tokoh yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan malah bersyakhsiyah Islam. Al-Razi (850-925M) seorang ahli perubatan, kimia dan falsafah; Ibn Sina (980-1037M) seorang tokoh perubatan; Al-Farabi (874-950M), Al-Biruni (973-1037M) dan Ibn Rusyd (1126-1198) merupakan ahli falsafah; Abul Kamil (850-930M) dan Al-Khawarizmi (780 - 850 M) merupakan ahli Matematik; Al-Masudi (1895-1915M) seorang ahli geografi (Ilmu Bumi) dan ensklopedia; Al-Tabari (838-923) seorang ahli sejarah; Ibn Khaldun (1332-1406M) seorang ahli ekonomi, dan ramai lagi contoh-contoh muslim yang cemerlang akademik dan syakhsiyyahnya hasil daripada sistem pendidikan Islam.

Demikianlah sedikit paparan tentang sistem pendidikan yang dijalankan di bawah pemerintah Daulah Islam yang menyediakan pendidikan berasaskan aqidah Islam serta proses pembelajaran dan pengajaran mengikut aqidah Islam. Para Khalifah sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin yang wajib menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat, sama ada yang fakir miskin mahupun kaya. Sekali lagi dinyatakan, ini adalah kerana menuntut ilmu merupakan satu perintah wajib, maka ia termasuk dalam keperluan serta hak asas setiap individu manusia.

Setiap pemimpin wajib bersungguh-sungguh berusaha meningkatkan perolehan pendapatan negara, seperti yang telah dicontohkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dalam mengelola perekonomian negara, agar boleh memenuhi keperluan asas bagi setiap warganegaranya, bukan sahaja dalam sektor pendidikan, malah sektor kesihatan, keselamatan, insfrastruktur dan semua yang lain. Negara tidak hanya sekadar berkewajipan menyediakan pendidikan percuma, tetapi juga berkewajiban bertindak sebagai penyelenggara sistem pendidikan yang berkualiti, dengan asas pendidikan dan tujuan pendidikan sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Rakyat dibolehkan menyumbang untuk menyediakan kemudahan-kemudahan tersebut sebagai bentuk amal jariah, tetapi bukan dibebankan sebagai tanggungjawab.

Maka, tinjaulah kembali dasar, visi dan matlamat pendidikan negara Malaysia ini. Adakah ia bertepatan dengan asas dan tujuan pendidikan dalam Islam? Adakah jari-jari hanya boleh dituding kepada pelajar-pelajar sahaja jika berlaku kesalahan pergaulan bebas? Bukankah akhlak dan moral pelajar ini menjadi rosak kerana kehidupan mereka ‘dimasak’ dalam acuan yang tidak betul?

Khatimah

Jelaslah bahawasanya sistem pendidikan Islam akan melahirkan generasi yang soleh dan solehah, yang baik dan mendatangkan kebaikan untuk masyarakat. Generasi ini hanya dapat dilahirkan jika mereka dididik dengan ilmu yang benar dan dengan cara yang benar iaitu yang bersumberkan wahyu daripada Allah, Pencipta manusia, dan daripada contoh tauladan terbaik bagi umat manusia, Muhammad Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam. Allah Subhanahu wa Ta`ala berfirman yang bermaksud, “Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya...” [TMQ al-A’raaf (7):3].

Ketahuilah, tugas memelihara urusan umat terbeban pada bahu pemimpin. Pemimpinlah yang akan bertanggungjawab di hadapan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Walaupun begitu, jika terdapat pelajar-pelajar ini gagal dalam menghayati Islam dalam kehidupannya, maka hukum-hukum lain tetap akan dikenakan ke atasnya.

Wallahua’lam.

No comments: