Tuesday, August 23, 2011

FIKIH WANITA:MENGHUKUM ORANG BERZINA & ISTERI BERZINA



SOALAN 1:


MENGHUKUM ORANG BERZINA

Di daerah tempat saya tinggal, ada seorang (Mukhson) yang pernah melakukan zina. Ketika dia dihadapkan ke muka pengadilan, dia telah mengaku bersalah dan ingin bertaubat, malah sekarang dia sangat rajin beribadah di masjid. Namun ternyata dia masih mengulangi perbuatan terkutuk itu dan tidak mengakui perbuatannya. Sebelum ini, dia pernah berjanji untuk tidak mengulanginya. Tetapi, pasangan zinanya (keluarganya sendiri yang sejak kecil dinafkahi si pelaku) bersaksi dan mendedahkan buktinya iaitu laporan daripada doktor. Saat ini, pelaku zina tersebut telah membuatkan masyarakat bimbang walaupun dia aktif di masjid. Walau bagaimanapun, dia telah dipulaukan oleh masyarakat bahkan hampir diusir. Antara persoalan yang timbul ialah:

1) Bagaimana penyelesaian Islam terhadap kes seperti ini?
2) Bagaimana menghukum seorang penzina di zaman sekarang yang tidak ada Khalifah (Daulah Islam yang berkuasa)?
3) Bagaimana kaifiyat menghakimi penzina dalam pengadilan Islam?
4) Bagaimana jika saksi tidak ada atau kurang daripada 4 orang, tetapi ada pengakuan mangsa?
5) Bagaimana menurut Syariah, sekiranya masyarakat memberikan hukuman terhadap pelaku zina tersebut, iaitu dengan memulaukannya (atau mengusirnya)?
6) Apakah hukumnya kalau pelaku zina kemudian dinikahkan?

JAWAPAN:

1) Dalam pandangan Islam, zina merupakan perbuatan jenayah (jarimah) yang dikategorikan sebagai hukuman hudud. Hudud merupakan hukuman di atas perbuatan maksiat yang menjadi hak Allah Subhanahu wa Ta’ala, sehingga tidak ada seorang pun yang berhak memaafkan kemaksiatan tersebut, baik oleh penguasa atau pihak berkaitan dengannya. Berdasarkan Surah an-Nuur, ayat 2, “...pelaku zina, baik lelaki mahupun perempuan wajib disebat sebanyak 100 kali. Namun, jika pelaku zina itu sudah mukhson (pernah menikah) sebagaimana ketentuan hadits Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam, maka pelaku zina tersebut akan dikenakan hukuman rejam.

2) Yang memiliki hak untuk menerapkan hukuman tersebut hanya khalifah (ketua Negara Khilafah Islamiyah) atau orang-orang yang ditugaskan olehnya. Jika sekarang tidak ada khalifah, apa yang harus dilakukan bukanlah menghukum pelaku zina tersebut, tetapi kita sepatutnya berjuang menegakkan Daulah Khilafah terlebih dahulu. Dengan tertegaknya Daulah Khilafah, maka segala hukum Allah yang selama ini dipinggirkan akan dapat dilaksanakan. Pastinya para pelaku zina juga tidak terlepas daripada hukuman Allah.

3) Orang yang berhak memutuskan perkara-perkara pelanggaran hukum adalah qadhi (hakim) dalam mahkamah (pengadilan). Sudah tentu qadhi itu wajib merujuk dan membuat keputusan berdasarkan ketetapan syara’dalam perkara tersebut. Pertama sekali yang mesti dilakukan oleh qadhi adalah membuktikan sama ada benarkah pelanggaran hukum itu benar-benar telah terjadi atau tidak.

Dalam Islam, ada empat perkara yang dapat dijadikan sebagai bukti, iaitu: (1) saksi, (2) sumpah, (3) pengakuan, dan (4) dokumen atau bukti tulisan. Dalam kes zina, pembuktian zina ada dua, iaitu empat orang saksi dan pengakuan pelaku. Dalil kesaksian empat orang, didasarkan pada Surah an-Nuur, ayat 4.

Manakala, pengakuan pelaku, didasarkan beberapa hadis Nabi Sallalhu ‘Alaihi wa Sallam. Ma’iz bin al-Aslami, sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dan seorang wanita dari al-Ghamidiyyah dijatuhkan hukuman rejam ketika keduanya mengaku telah berzina.

Selain kedua-dua bukti tersebut, berdasarkan Surah an-Nuur, ayat 6-10, terdapat hukum khusus bagi suami yang menuduh isterinya berzina.

Menurut ketetapan ayat tersebut, seorang suami yang menuduh isterinya berzina tetapi gagal mendatangkan empat orang saksi, dia boleh menggunakan sumpah sebagai buktinya. Jika dia berani bersumpah sebanyak empat kali dengan menyatakan bahawa dia termasuk orang-orang yang benar, dan pada sumpah kelima dia menyatakan bahawa laknat Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas dirinya jika ia termasuk orang-orang yang berdusta, maka ucapan sumpah itu mewajibkan isterinya dijatuhi hukuman rejam.

Namun demikian, jika isterinya juga berani bersumpah sebanyak empat kali dengan mengatakan bahawa suaminya termasuk orang-orang yang berdusta, dan pada sumpah kelima dia menyatakan bahawa laknat Allah Subhanahu wa Ta’ala ke atas dirinya jika suaminya termasuk orang-orang yang benar, maka sumpah tersebut dapat melepaskan dirinya daripada hukuman rejam. Jika ini terjadi, pasangan suami isteri yang terlibat akan dipisahkan daripada ikatan suami isteri, dan tidak boleh menikah selamanya. Inilah yang disebut sebagai li’an.

4) Oleh kerana syaratnya wajib ada empat orang saksi, jadi jika hanya ada seorang saksi atau kurang seorang saksi, pesalah atau tertuduh tidak boleh dijatuhi hukuman. Pengakuan daripada salah satu pihak tidak dapat menyeret pihak lainnya untuk dihukum.

Dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah diceritakan bahawa ada seorang budak lelaki yang masih bujang mengaku telah berzina dengan tuannya, Rasulullah telah menetapkan hukuman seratus kali sebat dan diasingkan selama satu tahun.

Namun demikian, Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam tidak secara automatik menghukum wanita tersebut. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam memerintahkan Unais (salah seorang sahabat) untuk menemui wanita tersebut. Jika wanita tersebut mengaku, barulah hukuman rejam dilaksanakan. (rujuk Bulugh al-Maram bab Hudud).

Hasil laporan doktor juga tidak dapat dijadikan sebagai bukti perbuatan zina. Hasil laporan itu hanya dapat dijadikan sebagai petunjuk sahaja.

5) Tuduhan zina mestilah dapat dibuktikan dengan bukti-bukti di atas. Sesiapa pun tidak boleh menuduh seseorang melakukan zina, tanpa dapat mendatangkan empat orang saksi.

6) Berzina termasuk perbuatan jenayah yang wajib dihukum. Jenis hukumannya hanya ada dua, iaitu sebat atau rejam. Penzina ghaoiru muhson (belum pernah berkahwin) boleh dinikahkan selepas dilaksanakan hukuman sebat.

Al-Qur’an dalam surah an-Nuur, ayat 3, memberikan kebolehan bagi penzina untuk menikah sesama penzina. Walau bagaimanapun, bagi penzina muhson yang dijatuhi hukuman rejam sehingga mati, adalah hampir mustahil bagi mereka untuk menikah.



SOALAN 2 : ISTERI BERZINA

Jika seorang suami melakukan li’an, maka status pernikahannya boleh dinyatakan batal. Lalu bagaimana dengan status isteri yang mengaku telah berzina, adakah dengan sendirinya pernikahannya juga terbatal?

JAWAPAN :

Mengenai status pernikahan pasangan suami isteri yang melakukan li’an, iaitu ketika suami menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain, sementara tidak ada saksi lain, selain dirinya, maka dia wajib menyatakan kesaksian atas nama Allah sebanyak empat kali di hadapan hakim. Lalu hakim mengingatkannya untuk bertakwa kepada Allah dan mengingatkan bahwa hukuman dunia lebih ringan dibandingkan dengan azab Allah di akhirat. Setelah itu baru menyatakan, “Semoga Allah melaknat diri saya, jika saya berdusta”.

Ketika itu jatuhlah li’an tersebut. Akibat dari li’an ini, bagi pihak suami, dia tidak akan terkena had qadzaf (hukuman tuduhan berzina), iaitu disebat 80 kali, kerana tidak boleh menghadirkan 4 saksi. Pada saat yang sama, pernikahannya pun dinyatakan batal (fasakh) untuk selama-lamanya dengan kata lain dia sama sekali tidak boleh rujuk kembali kepada isterinya.

Sementara itu, bagi pihak isteri, jika dia tidak mahu melakukan proses yang sama, sebagaimana yang telah dilakukan suaminya, iaitu menyatakan kesaksian atas nama Allah sebanyak empat kali di hadapan hakim, lalu hakim mengingatkannya untuk bertakwa kepada Allah dan mengingatkan bahawa hukuman dunia lebih ringan dibandingkan dengan azab Allah di akhirat. Setelah itu baru menyatakan, “Semoga Allah melaknat dirinya jika dia berdusta,” sehingga li’an tersebut jatuh. Jika isteri tersebut tidak mahu melakukan proses di atas, dia dianggap telah melakukan zina, dan berhak dijatuhi hukuman zina muhshan, iaitu direjam sehingga mati. Sebaliknya, jika pihak isteri tersebut melakukan proses yang sama, maka dia boleh terlepas dari had zina. Setelah itu, status pernikahan mereka dinyatakan batal, dan mesti/wajib dipisahkan oleh hakim dengan status fasakh, dan kesannya mereka tidak boleh rujuk selama-lamanya. Inilah status pernikahan suami isteri yang melakukan li’an.

Lalu bagaimana jika mereka tidak melakukan li’an, tetapi isterinya mengaku sendiri bahawa dia telah berzina, adakah pernikahan mereka juga batal?

Keadaan ini berbeza dengan keadaan yang pertama. Dalam konteks ini, ada dua pendapat.

Pertama: Pendapat Mujahid, ‘Atha’, an-Nakha’i, at-Tsauri, asy-Syafi’i, Ishaq dan para fuqaha’ Ahlu ar-Ra’yi dan kebanyak Ahli Ilmu, bahawa sekiranya isteri berzina, atau suami berzina, maka pernikahan mereka tidak secara automatik terbatal, baik sebelum mahupun setelah mereka bersetubuh.

Kedua: Pendapat Jabir bin Abdillah bahawa kalau isteri tersebut telah berzina, maka suami isteri ini wajib dipisahkan, dan si isteri tidak berhak mendapatkan apa-apa pun. Juga pendapat daripada al-Hasan dan Ali bin Abi Thalib, bahawa suami isteri tersebut wajib dipisahkan jika suaminya berzina sebelum berhubungan dengannya. Mereka berhujah, bahawa jika suami tersebut menuduh isterinya berzina, dan me-li’an-nya sahaja, maka statusnya menjadi tertalak bai’n daripada suaminya, kerana status zina yang dinyatakan kepada isterinya. Dengan begitu zina tersebut jelas boleh menyebabkan isterinya tertalak ba’in.

Namun, perbahasan/pendapat ini disanggah oleh Ibnu Qudamah daripada Mazhab Hanbali, bahawa tuduhan zina kepada isteri tersebut tidak secara automatik membuatnya tertalak ba’in. Jika dengan tuduhan zina tersebut pernikahannya secara automatik batal, maka pernikahan tersebut juga secara automatik batal semata-mata kerana adanya pengakuan, seperti saudara susuan.

Di samping itu, zina merupakan kemaksiatan yang tidak sampai mengeluarkannya daripada Islam. Sekiranya salah satu daripada suami isteri tersebut murtad, maka pernikahan mereka akan secara automatik batal. Keadaan ini juga berbeza dengan li’an, kerana li’an menyebabkan batalnya pernikahan dengan status fasakh, meskipun si isteri tidak berzina. Buktinya, jika isteri tersebut juga melakukan proses li’an, maka proses tersebut boleh diterima, dan dia tidak dikatakan berzina. Nabi juga tetap mewajibkan dijatuhkannya had qadzaf kepada orang yang menuduh perempuan tersebut berzina, termasuk suaminya, jika tidak bersedia melakukan proses li’an, sementara status fasakhnya tetap jatuh.

Meski demikian, menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad lebih suka agar suami menceraikan isterinya, jika isterinya telah berzina. Saya tidak berpendapat, bahawa dia wajib mempertahankan keadaan seperti ini kerana anak yang bakal dilahirkan akan diragui nasabnya, jika bukan anaknya maka haram dinasabkan kepadanya.

Oleh yang demikian, walaupun Imam Ahmad berpendapat bahawa status suami isteri tersebut tidak secara automatik tertalak atau terfasakh, sebagaimana dalam kes li’an, tetapi jika isteri telah mengaku zina, maka sebaiknya suaminya menceraikannya agar dia terhindar daripada penisbatan anak yang berkemungkinan besar bukan anaknya. Ibn Mundzir berkomentar, “Barangkali orang yang tidak menyukai wanita seperti ini—maksudnya yang telah berzina—tidak lebih dari makruh, tidak sampai haram, sebagaimana pendapat Imam Ahmad ini.”

Memang ada hadis yang menjelaskan:
“Tidaklah halal bagi seorang Mukmin yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir untuk menumpahkan air (mani)-nya kepada tanaman (buah hasil hubungan) orang lain.” [HR Ibn Qudamah dalam Al-Mughni]. Hadis ini bermaksud menyetubuhi isteri yang hamil daripada hasil hubungan dengan lelaki lain. Namun, hadis ini tidak boleh dijadikan dalil, bahawa status pernikahan suami isteri tersebut secara automatik menjadi batal kerana isterinya telah berzina. Ini kerana hadis ini hanya menjelaskan keharaman menyetubuhi isteri dalam keadaan hamil daripada hasil hubungan dengan lelaki lain.

Dengan kata lain, hadis ini hanya memerintahkan istibra’ (pembersihan kandungan) sehingga status nasabnya tidak bercampur aduk antara suami wanita ini dengan lelaki lain. Oleh sebab itu, suami wanita ini boleh menceraikannya hingga bayi daripada kandungan isterinya tersebut lahir. Namun, jika isteri yang berzina itu tidak hamil, isteri tersebut boleh diceraikan selepas suci daripada haid sekali atau tiga kali, kemudian dibolehkan pula untuk rujuk kembali.

Namun, untuk rujuk kembali, para fuqaha’ juga mensyaratkan agar perempuan yang sebelumnya telah berzina ini bertaubat terlebih dulu, setelah itu, barulah dia boleh dinikahi kembali. Jika tidak, maka dia tidak layak untuk dinikahi.

Wallahu a’lam.

Catatan kaki:
1 Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, An-Nidzam al-Ijtima’i fi al-Islam, Dar al-Ummah, Beirut, cet. IV, edisi Muktamadah, 1424 H/2003 M, hlm. 166-167.
2 Ibid, hlm. 167-168.
3 Ibn Qudamah al-Maqdisi, Al-Mughni, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Yordania, t.t., II/1653.
4 Ibid. Mengenai status talaknya, apakah berstatus talak bai’n bainunah kubra, ataukah fasakh memang ada ikhtilaf. Menurut Imam Abu Hanifah, suami-isteri yang melakukan li’an, statusnya tertalak bai’n bainuna kubra, kerana itu masih boleh dinikahi kembali setelah terlebih dulu dinikahi lelaki lain dan disetubuhi, lalu diceraikan. Berbeza dengan Imam Ahmad, juga Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, menurut beliau status talak suami-isteri tersebut adalah fasakh, sehingga selamanya mereka tidak boleh menikah kembali.
5 Ibid.
6 Ibid.
7 Ibid.

Sumber :
· Majalah Al Waie edisi Ogos 2010
· Kumpulan Konsultan Ahli Hayatul Islam (TKAHI) [konsultasi.wordpress.com]

No comments: