RAMADHAN MENGEMBALIKAN JATI DIRI PENGHAMBAAN KEPADA ALLAH


“Telah datang kepada kalian Ramadhan, bulan keberkahan. Allah telah mewajibkan kalian (puasa) di dalamnya. Di bulan itu pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu. Di bulan itu pula terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan.” [HR an-Nasa’i dan al-Baihaqi].

Ramadhan Mubarak! Rasulullah SAW dan generasi para sahabat sangat bersemangat menyambut kedatangan bulan yang penuh berkah ini. Mereka bersungguh-sungguh menyiapkan diri agar dapat menjalani dan melakukan pelbagai amalan dengan penuh keimanan, keikhlasan, semangat dan tidak merasakannya sebagai beban. Seorang muslimah yang bijak sudah tentu terdorong untuk mencontohi Rasulullah SAW dengan melakukan persiapan-persiapan terbaik dengan bekalan iman, ilmu dan amal soleh demi menyambut kedatangan Ramadhan nan mulia ini. Sewajarnya setiap dari kita menanam kesungguhan yang tinggi dan berlumba-lumba mengisi hari-hari Ramadhan dalam rangka untuk mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Antara yang perlu dipersiapkan dapat diringkaskan seperti berikut:

Persiapan Nafsiyah (pola sikap).

Persiapan yang dimaksudkan adalah mempersiapkan ruhiyah serta membangkitkan suasana keimanan dalam diri kita. Semestinya kita semua berharap dapat menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan penuh kesedaran melaksanakan perintah Allah; penuh dengan kesungguhan untuk menggapai keredhaan serta berharap mendapatkan keampunanNya. Rasulullah SAW bersabda: “Siapa saja yang berpuasa Ramadhan dengan dilandasi iman dan bersungguh-sungguh mencari redha Allah, maka akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu” [HR. al-Bukhari, an-Nasai, Ahmad, Ibn Majah dan Ibn Hibban].FirmanNya: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa” [TMQ al-Baqarah (2): 183]. Keberhasilan amal sepanjang Ramadhan itu memang bergantung pada landasan iman dan niat semata-mata untuk mencari redha Allah. Allah sendiri menyerukan kewajiban berpuasa itu kepada orang-orang yang beriman. Ertinya, hanya mereka yang menjalani ibadah puasa dengan landasan iman serta melaksanakan amal-amal di dalamnya dengan suasana keimanan sahajalah yang akan berhasil meraih gelaran sebagai insan yang bertaqwa.

Persiapan Tsaqafiyah (pemahaman).

Walaupun saban tahun kita menjalani ibadah puasa, kita perlu berusaha untuk sentiasa mengkaji hukum-hukum, ketentuan puasa serta semua amal ibadah yang berkaitan. Pemahaman fiqh puasa adalah penting agar seseorang muslimah itu dapat memahami serta menilai samada perbuatannya dapat meningkatkan nilai dan kualiti puasanya atau malah merosakkan ibadah puasanya.
Melalui pengkajian fiqh yang mendalam diharap dapat mencipta kesedaran baru atau memperbaharui kesedaran kita untuk menjalani ibadah puasa. Dengan begitu, puasa Ramadhan dan seluruh amal yang ada di dalamnya tidak akan dilaksanakan sekadar rutin sepanjang tahun atau sekadar menahan lapar dan dahaga sepanjang hari. Ini adalah kerana hakikat sebenar puasa adalah penghambaan dan pengorbanan kepada Allah SWT. Malah dengan bekal ilmu itu kita akan lebih berhati-hati menjalani ibadah puasa dan semua amalan lainnya serta senantiasa merasa berhubungan dengan Allah SWT (idrak sillah billah) tatkala melaksanakannya.

Ketahuilah muslimah, jambatan menuju kebenaran adalah ilmu, dan siapa yang menempuh perjalanan hidupnya dalam rangka menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan menuju syurga. Dari Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang berjalan untuk menuntut ilmu, niscaya Allah akan (memudahkan) dengannya jalan dari jalan-jalan ke syurga.” [HR. Muslim]

Namun apa yang penting untuk difahami adalah, intipati dari amalan-amalan sepanjang Ramadhan itu adalah taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Ramai di kalangan Muslimah khususnya dan kaum Muslimin umumnya yang memahami taqarrub itu hanya berkaitan dengan amal ibadah ritual sahaja atau penambahan ibadah-ibadah sunnah sahaja. Hakikatnya bertaqarrub kepada Allah adalah dengan melaksanakan semua amalan yang difardhukan oleh Allah dan menambahnya dengan sentiasa berusaha melaksanakan amalan-amalan sunnah. Kita tidak boleh keliru dengan lebih mengutamakan amal-amal sunnah dan menganggapnya sebagai taqarrub yang mesti diutamakan lantas mengabaikan amal-amal yang wajib. Dakwah menyeru kepada al-khair (Islam), menyeru manusia ke arah perkara yang ma’ruf dan mencegah manusia dari kemungkaran merupakan antara kefardhuan yang mesti diusahakan oleh setiap Muslimah dalam rangka untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Dalam sebuah Hadis Qudsi dari Nabi SAW. bahawasanya Allah SWT berfirman: “Tiadalah seorang hamba bertaqarrub kepadaKu dengan sesuatu yang lebih Aku cintai daripada apa yang Aku fardhukan atasnya. Tiadalah hambaKu terus-menerus bertaqarrub kepadaKu dengan amal-amal sunnah hingga Aku mencintainya. Jika Aku mencintainya, Aku menjadi pendengarannya yang dia gunakan untuk mendengar, menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, menjadi tangannya yang dia gunakan untuk memegang dengan kuat, dan menjadi kakinya yang dia gunakan untuk melangkah. Jika ia meminta kepadaKu, nescaya dia Aku beri, jika ia meminta perlindunganKu, nescaya dia Aku lindungi ” [HR al-Bukhari].

Jelaslah bahawa aktiviti taqarrub yang paling dicintai oleh Allah adalah semua aktiviti yang difardhukan kepada kita, yang tentunya tidak terbatas kepada aktiviti-aktiviti bersifat ibadah khusus sahaja. Pemahaman dan kesedaran yang benar sebeginilah sepatutnya dilaksanakan di sepanjang Ramadhan dan perlu terus menerus dihidupkan sesudahnya sebagai bukti ketundukan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Muslimah seharusnya menjadi individu-individu yang taat kepada Allah SWT secara kaffah (keseluruhan), tidak hanya di bulan Ramadhan dan tidak sebatas taat dalam urusan individu semata-mata. Lebih tepat lagi dikatakan bahawa ketaqwaan itu seharusnya diperlihatkan bukan sahaja di bulan Ramadhan malah sepanjang tahun dan dalam seluruh aspek kehidupan mereka. Sayangnya realiti yang berlaku adalah sebaliknya.

Sesudah Ramadhan, ada segelintir muslimah yang sebelumnya berusaha bersungguh-sungguh bertaqarrub ilallah untuk meraih darjah taqwa dengan ibadah puasa dan seluruh amal soleh yang mereka lakukan, telah kembali jauh dari Allah SWT dengan kembali melakukan kemaksiatan kepadaNya. Surau dan masjid yang selama sebulan dikunjungi oleh kebanyakan muslimah untuk menghadiri majlis ilmu, usrah, tadarrus al-
Quran serta solat berjemaah kembali sepi. Begitu juga fenomena segelintir muslimah yang mempamerkan kembali auratnya setelah sebulan menutupnya. Pihak media juga tidak ketinggalan dalam rangka mengaut keuntungan berlumba-lumba menyiarkan program-program hiburan yang berunsur pornografi (lucah) dan aksi melampau sedangkan sepanjang Ramadhan begitu peka memilih rancangan yang berunsur keagamaan sahaja untuk disiarkan. Fenomena ‘muslim Ramadhan’ sebegini sepatutnya tiada dalam diri kita kerana bagi kelompok seperti ini, ibadah puasa mereka tidak membawa erti apa-apa. Inilah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam sabda baginda: “Betapa banyak orang berpuasa tidak mendapatkan apapun selain daripada rasa laparnya saja” [HR Ahmad].

Lebih menyedihkan, setelah berlalunya Ramadhan, ideologi sekularisme (mengabai dan memisahkan agama dari kehidupan) masih tetap mewarnai kehidupan kaum muslimin. Masih ramai dalam kalangan kaum muslimin, khususnya para pemimpin masih tidak berusaha untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT dalam segala aspek kehidupan melalui institusi negara. Rata-rata dalam kalangan mereka masih tenggelam dalam kesesatan dan tetap tegar mempertahankan undang-undang kufur sebagai undang-undang negara yang mesti ditaati oleh rakyatnya. Malah sedikitpun tiada kekesalan di hati para pemimpin ini yang akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah di akhirat kelak. Padahal dari Abu Abdillah Jabir bin Abdillah al-Anshari ra telah menuturkan riwayat sebagai berikut, “Seseorang pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bagaimana pendapat engkau jika saya telah menunaikan solat-solat wajib, melakukan shaum Ramadhan, menghalalkan yang halal dan meninggalkan yang haram, sementara saya tidak menambah selain itu, apakah saya masuk syurga? ”Rasul SAW menjawab, “Benar.” [HR Muslim]. Berdasarkan hadis ini, meninggalkan keharaman adalah syarat untuk memasuki syurga. Di antara keharaman yang wajib ditinggalkan tentulah berhukum dengan hukum-hukum kufur. Apatah lagi Allah SWT secara tegas telah menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang berhukum dengan selain hukum Allah SWT, dia akan jatuh kepada status kafir, zalim ataupun fasiq [TMQ Al-Maidah (5): 44, 45, 47].

Muslimah sekalian! Marilah kita segera melaksanakan perintahNya dengan bersungguh-sungguh dan berusaha sekuat jiwa, tenaga, masa dan harta untuk mengembalikan semula kemuliaan Islam. Sesungguhnya kemuliaan Islam itu hanya akan terwujud dengan ditegakkan semula seluruh hukum-hukum Allah SWT melalui institusi negara agar kita tidak tergolong dalam golongan kafir, zalim atau fasiq sepertimana yang dinyatakan dalam firman Allah di atas. Dengan adanya institusi negara, seluruh hukum-hukum Islam mencakupi aspek ekonomi, politik, sosial, pemerintahan, pendidikan, peradilan, keamanan, hubungan luar negeri dan lain-lainnya akan dapat ditegakkan. Maka hendaklah seluruh kaum muslim berusaha menjadikan Ramadhan kali ini sebagai momentum untuk segera menguburkan sedalam-dalamnya sekularisme dan kemudian menggantikannya dengan penerapan syariah Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam seluruh aspek kehidupan melalui institusi negara, iaitu Daulah Khilafah ar-Rasyidah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Itulah makna keimanan sejati dan ketaqwaan hakiki. Itulah pula yang menunjukkan bahawa kita benar-benar berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan.
Wallahu’alam bissawab.



SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment