Tuesday, September 6, 2011

Mencegah dan Menghukum Kesalahan Seks Bebas dan Buang Bayi Secara Hakiki



Mukaddimah

Permasalahan gejala sosial, seks bebas dan pembuangan bayi adalah wabak yang semakin membarah dewasa ini. Hampir setiap hari ada sahaja kes-kes yang melibatkan pembuangan bayi yang berpunca daripada salah laku seks atau lebih tepat penzinaan. Melihat kepada statistik yang menyeramkan, seseorang mungkin akan berfikir, tidak berkesankah undang-undang negara menangani gejala ini? Justeru, Fikratul Ummah kali ini yang juga merupakan kesinambungan daripada topik-topik yang diperbincangkan dalam keluaran sebelum ini akan mengupas berkenaan penyelesaian yang manakah yang dapat menuntaskan permasalahan ini.

Mampukah Peruntukan Undang-undang Menanganinya?

Di Malaysia, perbuatan zina ditangani melalui undang-undang syariah kerana zina berbentuk suka sama suka antara dua orang yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan dengan orang lain dianggap haram dilakukan oleh orang Islam sahaja, manakala perbuatan membuang bayi ditangani oleh undang-undang sivil.

Perundangan syariah di Malaysia memperuntukkan undang-undang yang melibatkan denda dan penjara sahaja dengan kadar yang sangat minimum. Kebanyakan pesalah pula mampu membayar denda dengan mudah tanpa perlu ke penjara. Menurut Enakmen 11 Tahun 1965, Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam 1965, Seksyen 155 memperuntukkan tentang zina dan hukuman kepada pelakunya, antara lain seperti berikut:

(1) Barang siapa yang bersetubuh dengan seorang yang diketahuinya atau ia pada masa itu isteri kepada orang lain atau ada sebab-sebab yang boleh dipercaya bahawa orang itu ialah isteri orang lain dan persetubuhan itu bukan menjadikan satu kesalahan rogol, adalah melakukan kesalahan zina dan bolehlah dihukum penjara tidak lebih daripada satu tahun dan bolehlah juga di kenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit.

(2) Barang siapa bersetubuh dengan seorang perempuan yang bukan isteri kepada orang lain, jika persetubuhan itu bukan membangkitkan satu tuduhan rogol, adalah melakukan kesalahan zina, dan apabila didapati salah oleh Mahkamah yang berkuasa boleh lah dihukum penjara tiada lebih daripada satu tahun atau denda tiada lebih daripada satu ribu ringgit atau kedua-duanya sekali iaitu penjara dan denda.

(3) Mana-mana perempuan yang bersubahat melakukan kesalahan tersebut dalam pecahan-pecahan (1) dan (2) dalam fasal ini boleh dihukum penjara tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih daripada lima ratus ringgit.

Justeru, hukuman yang sangat ringan ini menyebabkan pelaku-pelaku zina ini langsung tidak merasa gentar untuk melakukan perbuatan terkutuk tersebut. Ini kerana hukuman-hukuman yang dikenakan tidak mampu menginsafkan si pelaku zina itu sendiri, sementelah ia langsung tidak menunjukkan unsur-unsur pencegah kepada orang lain dari melakukannya. Ini belum lagi mengambil kira hukuman bagi perbuatan ‘mukaddimah zina’ dan perbuatan yang belum sampai tahap berzina misalnya khalwat, yang mana hukumannya jauh lebih ringan.

Hukuman yang terlalu ringan dan minimum ini telah diakui sendiri oleh Pensyarah Jabatan Undang-undang Islam Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Paizah Ismail yang menggesa agar undang-undang syariah di negara ini dikaji semula agar sistem kehakiman itu mempunyai kuasa menyeluruh sebagai pencegah gejala zina dan pembuangan bayi yang terus meningkat. Jelasnya, undang-undang jenayah Syariah yang diamalkan bukan undang-undang bertujuan untuk merealisasikan syariat Islam sepenuhnya, sebaliknya merupakan undang-undang yang berperanan untuk menampung kekurangan yang ada pada undang-undang konvensional dalam hal keagamaan.

“Kerana itulah peruntukan-peruntukan di dalamnya lebih bersifat untuk menjaga kepentingan keagamaan bagi umat Islam di negara ini dan bukan melaksanakan undang-undang jenayah Islam sepenuhnya,” beliau seterusnya berkata, “Peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalamnya tidak mampu memberi kejutan kepada remaja dan penuntut terlibat supaya lebih berhati-hati agar tidak akan berhadapan dengan hukuman berat yang sukar dipikul”. Beliau berkata demikian pada Muzakarah Fatwa “Menangani Zina serta Pembuangan Bayi dalam kalangan Remaja dan Pelajar Sekolah” yang diadakan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). [http://www.selangorkini.com.my/my/berita/23421].

Terkini di Malaysia, kesalahan membuang bayi sedang dicadangkan untuk dikenakan hukuman yang lebih berat dan setimpal dengan perlakuannya iaitu termasuk kepada kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun yang sama akan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun. Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak yang boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kabinet memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat. Bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan manakala 60 kes direkodkan sehingga pertengahan 2010. Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sekian lama kerajaan menangani masalah kes pembuangan bayi menerusi pendekatan kebajikan termasuk kempen dan pelbagai program, malangnya masih ada manusia sanggup membunuh bayi. Menurut beliau lagi, langkah itu wajar untuk membawa pihak yang bertanggungjawab membunuh bayi dihadapkan ke mahkamah, sekali gus diberikan hukuman setimpal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan itu. [http://www.bharian.com.my/bharian/articles/%20Hukumanmatikesbuangbayi/Article/]

Begitulah hakikatnya undang-undang ciptaan manusia yang diubah dengan mudah oleh mereka yang mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang baru atau pun meminda undang-undang yang sedia ada sekiranya dirasakan sudah tidak sesuai dan tidak boleh diterima pakai lagi. Apabila berlaku sesuatu masalah yang lebih buruk, mereka akan meminda undang-undang dengan menggantikannya berdasarkan akal manusia yang kemampuannya terbatas ini.

Oleh yang demikian, perlu disedari bahawa sehebat mana pun undang-undang itu digubal atau dipinda, permasalahan tetap tidak dapat diselesaikan sehingga ke akar umbi sebaliknya ia hanya bersifat sementara. Walaupun menyedari undang-undang ini acapkali menemui kegagalan tetapi mereka dengan angkuhnya tetap setia dan teguh dengan hasil ciptaannya. Sampai bila mereka mahu menerima hakikat bahawa kemampuan akal manusia itu sangat terbatas dan kerana itulah apa sahaja yang diciptakan manusia pasti tidak menemui kesempurnaan?

Islam Ada Penyelesaiannya!

Telah termaktub dalam al-Quran bahawa perbuatan seperti berzina dan membunuh bayi diadili dalam Islam dengan hukum hudud dan qisas. Namun, hukuman ini bukanlah suatu yang dilaksanakan secara melulu tanpa terlebih dahulu melaksanakan apa yang wajib dijalankan oleh pemerintah dalam rangka memenuhi tanggungjawab terhadap rakyatnya. Dengan kata lain Negara Islam hendaklah terlebih dahulu melaksanakan Islam secara kaffah (menyeluruh) yang bererti salah laku sosial sejak dari awal lagi dicegah melalui perlaksanaan sistem pergaulan Islami serta pemahaman tentang hukum syarak dan penanaman ketakwaan melalui sistem pendidikan Islami dan dakwah Islam.

Hudud Sebahagian daripada ‘Uqubat Dalam Islam

Negara Islam (Daulah Islam) merealisasikan sistem pergaulan Islam dengan menyediakan suasana kehidupan umum di mana ikhtilat (perkumpulan lelaki dan perempuan dalam satu masa dan tempat) dikawal terhad kepada keperluan sahaja seperti dalam perdagangan dan pelajaran, itu pun dalam batas kebenaran syarak. Sudah tentu premis-premis dan program-program yang membawa kepada pergaulan bebas diharamkan sama sekali contohnya pusat hiburan, arak dan dadah, dan acara hiburan yang bersumber dari hadharah (budaya hidup berasaskan pandangan hidup) asing. Dalam kehidupan khusus pula dilaksanakan hukum syarak berkaitan tatacara pergaulan bagi menjaga setiap insan agar tidak terangsang untuk memenuhi nalurinya dengan melanggar hukum syarak.

Selain pelaksanaan sistem sosial Islam oleh Daulah, masyarakat dan individu dibina melalui dakwah dan pendidikan yang berterusan dari usia kecil hingga ke liang lahad. Pembinaan ini bertujuan mewujudkan masyarakat yang mengawal anggotanya (bahkan memuhasabah pemerintah jika melakukan kesalahan) dan individu yang bertakwa. Gabungan pelaksanaan sistem oleh negara, kawalan masyarakat dan takwa individu akan menghasilkan suasana kehidupan yang amat baik hingga sukar sekali untuk melanggar hukum syarak.

Namun, disebabkan sifat manusia yang diberi potensi untuk melakukan kebaikan ataupun keburukan, tetap akan ada segelintir yang melanggar hukum syarak. Maka di sinilah uqubat iaitu hukuman wajib dilaksanakan kerana individu ini tetap melakukan dosa walaupun telah dicegah oleh negara dan dikawal oleh masyarakat. Pun begitu, uqubat dalam Islam dilaksanakan dengan berhati-hati agar mencapai tujuannya iaitu sebagai zawajir (pencegah) dan jawabir (penebus).

Sistem ‘Uqubat yang Diwahyukan Allah

Sistem ‘uqubat Islam dilaksanakan sama ada sebagai hudud, ta’zir, qisas dan diyat serta mukhalafah. Hukuman hudud dilaksanakan terhadap lapan kesalahan yang dikhususkan dalam al-Quran, antaranya zina. Hukuman ta’zir dilaksanakan terhadap sebarang perbuatan dosa selain daripada yang dikenakan hudud. Hukuman qisas dilaksanakan terhadap pembunuhan dan diyat terhadap perlakuan yang mencederakan. Manakala hukuman mukhalafah dijatuhkan kepada pesalah yang melanggar peraturan negara meskipun perbuatan itu asalnya bukanlah haram.

Maka, apabila berlaku satu perzinaan, haruslah difahami bahawa zina itu berlaku hanya selepas dilakukan beberapa perbuatan lain yang dikatakan sebagai mendekati zina sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk”. [TMQ al-Isra(17):32]. Maka perbuatan-perbuatan ini, sama ada berpacaran, berkhalwat, membuka aurat, tidak menundukkan pandangan dan sebagainya adalah dosa-dosa yang wajar dihukum oleh negara dengan hukuman ta’zir. Hukuman yang akan dikenakan sebagai ta’zir terhadap dosa-dosa ini boleh ditentukan oleh qadhi yang mengadili kes tersebut, contohnya denda, penahanan, termasuklah nasihat; asalkan mencapai tujuannya iaitu untuk memberi pengajaran.

Tetapi jika zina tetap berlaku, maka di sinilah hukuman hudud yang dinyatakan Allah dalam Al-Quran wajib dilaksanakan, berdasarkan ayat al-Quran dan hadith berikut:

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina hendaklah disebat tiap-tiap seorang dari mereka seratus kali sebatan”. [TMQ An-Nur[24]:2]

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam yang bermaksud, "Ketika Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berada di masjid, datanglah seorang pemuda menghadap beliau dan melaporkan, "Ya Rasulullah, aku telah berbuat zina." Mendengar pengakuan itu Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam berpaling daripadanya, sehingga pemuda itu mengulangi pengakuannya sampai 4 kali. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya, "Apakah engkau gila?" Pemuda itu menjawab "Tidak". Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bertanya lagi, "Apakah engkau orang muhsan?" Pemuda itu menjawab, "Ya". Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam memerintahkan kepada para sahabat, "Bawalah dia pergi dan rejamlah." [HR Bukhari]

Oleh itu, hukuman bagi kesalahan zina bagi penzina bukan muhsan (belum menikmati hubungan seks daripada perkahwinan yang sah) adalah sebat 100 kali dan bagi yang muhsan maka hukumannya adalah rejam sampai mati. Hukuman ini dijatuhkan di khalayak ramai supaya menjadi penebus dosa kepada pelakunya dan pencegahan kepada yang menyaksikan hukuman itu, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Taala yang bermaksud, “...dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.” [TMQ Surah an-Nisaa’ (24): 2]

Perlu diingatkan bahawa hukuman hudud ini hanya dilaksanakan setelah sabitnya kesalahan dan memenuhi syaratnya seperti pendakwaan berdasarkan persaksian empat lelaki yang adil terhadap kejadian zina yang jelas (seperti pedang memasuki sarungnya) ataupun pengakuan pelakunya bahawa dia benar-benar telah berzina. Jika telah berlaku dosa menghampiri perbuatan zina tetapi tidak memenuhi syarat-syarat di atas, maka hukuman ta’zir yang akan dilaksanakan.

Maka jelas di sini bahawa Islam telah menggariskan metodologi yang amat wajar dalam menangani salah laku seperti zina. Bermula dari perlaksanaan sistem Islam yang lengkap, pembinaan umat melalui pendidikan, mekanisme sinergi antara perlaksanaan negara, kawalan masyarakat dan takwa individu, hinggalah perlaksanaan uqubat dalam pelbagai bentuknya. Oleh itu wajarkah manusia mengambil hukuman ciptaan sendiri yang jelas-jelas palsu untuk menghukumi pesalah zina. Sedangkan hukuman yang sepatutnya diterapkan jika seseorang itu berzina telah jelas terkandung dalam hukum syarak. Hukum-hakam yang Allah Subhanahu wa Taala turunkan dalam semua bidang tidak pernah berubah dan bertukar mengikut masa dan tempat tetapi hukuman ciptaan manusia sentiasa menerima perubahan mengikut keadaan, masa dan tempat serta kemahuan orang yang membuat hukum.

Sebuah Renungan

Sudah terang lagi bersuluh bahawa negara tidak melaksanakan sistem Islam termasuk sistem pergaulannya. Peradaban dan budaya barat dijadikan sebagai pedoman hidup umat manusia termasuklah umat Islam sendiri. Dosa dan neraka sudah tidak nampak ngeri dan menakutkan kepada mereka ini, apa yang lebih penting adalah keinginan untuk berseronok yang perlu dipenuhi walaupun harus mengorbankan maruah diri. Segala perbuatan mereka hanya menurut kemahuan hawa nafsu semata-mata tanpa menilai perbuatan mereka dengan ukuran halal dan haram. Beginilah umat Islam dewasa ini yang mengambil peradaban barat sepenuhnya. Padahal umat Islam seharusnya mengambil Islam secara kaffah. Namun sebaliknya yang terjadi ialah umat Islam hanya mengambil Islam sesuai dengan manfaat yang ingin diraih persis si kafir Barat; bukannya mengambil Islam mengikut perintah Yang Maha Esa.

Dari segi pendidikan, hakikat yang harus ditempuh oleh umat Islam kini adalah anak-anak hanya ditekankan dengan pencapaian akademik dan diperkukuhkan dengan jiwa nasionalisme dan patriotisme sahaja tetapi shakhsiyah /keperibadian anak-anak tidak diutamakan. Padahal aqidah dan shakhsiyah Islamlah yang akan membentuk jati diri anak-anak pada masa yang akan datang. Inilah sebenarnya cetakan (Blue Print) peradaban Barat yang telah dicetak semula ke atas anak-anak umat Islam. Anak-anak berjaya dan hebat dalam bidang akademik dan kerjaya yang akan memberi sumbangan yang besar kepada kemajuan material negara tetapi mereka mempunyai keperibadian dan perilaku yang sangat buruk. Justeru terbayangkah apa yang berlaku kepada generasi akan datang yang mempunyai peribadi dan perilaku yang buruk ini semasa membangun dan menerajui kemajuan negara? Sudah pasti akan porak porandalah negara dan akan tersasarlah cita-cita negara untuk mencapai kemajuan kerana mempunyai peneraju-peneraju yang rendah jati dirinya.

Dari segi undang-undang pula, sesungguhnya undang-undang yang digunapakai di Malaysia dan negeri-negeri umat Islam yang lain hanya bersandarkan akal dan hawa nafsu semata-mata. Undang-undang ini membelakangkan hukum syarak dari Allah Subhanahu wa Taala yang serba lengkap dan relevan hingga hari kiamat itu sebagai hukuman para penzina. Maka tidak hairanlah hukuman ini tidak mampu memberi keinsafan kepada pelaku zina dan pengajaran kepada masyarakat.

Wahai kaum muslimin dan muslimah, sedarlah bahawa syariat Islam itu adalah untuk diterapkan sepenuhnya. Ingatlah Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman kepada orang Yahudi yang mengamalkan sebahagian kitab dan kufur sebahagian yang lain dengan ungkapan yang jelas.

“Adakah kamu beriman dengan sebahagian Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain”. [TMQ Al-Baqarah[2]: 85]

Allah Subhanahu wa Taala telah berulang-ulang kali mengingatkan umat Islam supaya mengikut hukum Allah Subhanahu wa Taala dalam memutuskan suatu perkara, seperti dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Dan Kami (Allah) telah turunkan kepada kamu kitab al-Quran dengan membawa kebenaran, maka hukumlah perkara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka dengan membelakangkan kebenaran yang telah datang kepada kamu". [TMQ al-Maidah(5): 48]



Khatimah

Sesungguhnya ketahuilah bahawa punca dari segala permasalahan gejala seks bebas sehingga melahirkan anak luar nikah dan akhirnya berlaku pembuangan bayi adalah pengabaian hukum Allah yang merupakan pokok segala permasalahan. Oleh yang demikian, menanganinya ialah dengan menyelesaikan pokok permasalahan tersebut dan bukannya menyelesaikan simptom atau hasil dari permasalahan pokok tersebut.

Perbuatan zina seharusnya diselesaikan menurut apa yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Taala yang pastinya akan dapat memberi penyelesaian yang tuntas. Ini kerana Allah Subhanahu wa Taala telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik penciptaan dan Allah Subhanahu wa Taala dengan kasih sayangNya juga telah membekalkan manusia dengan pengaturan dan hukum-hakam yang serba lengkap, tiada cacat cela, dan tiada kekurangan walau sedikit pun. Begitulah kesenangan dan kemudahan yang Allah Subhanahu wa Taala kurniakan kepada manusia untuk membolehkan manusia menjalani kehidupannya dengan aman dan tenteram.


Namun amat menyedihkan, hakikatnya makhluk yang bernama manusia (yang ingkar) itu, mereka tidak pernah mensyukuri kurnia Yang Maha Esa. Justeru manusia mahu pula mencabar kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu wa Taala dengan menciptakan undang-undang palsu yang serba serbi penuh dengan kekurangan. Ironinya, undang-undang palsu itu tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut malah menimbulkan masalah lain pula yang jauh lebih parah. Amat pelik apabila mereka masih mahu membela undang-undang ciptaan manusia yang penuh kepalsuan. Ayuhlah kembali kepada Islam yang syumul, Islam yang haq yang pasti akan menjamin kehidupan yang tenteram dan diredhai-Nya.

No comments: