MENYELESAIKAN MASALAH GEJALA SOSIAL SECARA TAGHYIR




Muqaddimah

Sudah enam bulan lamanya Fikratul Ummah mengangkat isu pelaksanaan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS). Seiring dengan itu, pelbagai perbahasan telah diutarakan bertujuan untuk menjawab persoalan wajarkah PKRS dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah gejala sosial dalam masyarakat sekarang. Analisis yang dibentangkan jelas membuktikan PKRS bukanlah penyelesaian yang tepat kepada masalah tersebut. Ia hanyalah tindakan sementara atau penyelesaian cabang yang diambil untuk menyelesaikan masalah semasa dan tidak menjamin kesejahteraan masyarakat daripada gejala sosial yang berterusan.

Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala menyuruh manusia untuk mengubah keadaan kehidupan mereka daripada yang buruk kepada yang baik dan mengubah masyarakat yang rosak kepada masyarakat yang sejahtera. Allah melarang manusia untuk duduk berdiam diri sahaja. Ini berdasarkan firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” [TMQ ar-Ra’d (13):11]. Cuma, persoalannya di sini adalah cara perubahan yang bagaimana yang akan menyelesaikan masalah gejala sosial? Adakah reformasi/pembaharuan (ishlah) atau perubahan mendasar (taghyir)?

Reformasi Hanya Sia-sia

Reformasi atau pembaharuan (ishlah) adalah perubahan yang bersifat sebahagian-sebahagian. Ishlah hanya boleh dilakukan apabila hanya cabang-cabang kehidupan sahaja yang bermasalah sementara asas kehidupan (akidah) itu tetap benar. Akidah adalah dasar/asas yang melahirkan pelbagai sistem kehidupan manusia. Perubahan mendasar (taghyir) pula adalah perubahan total iaitu mengubah asas kehidupan. Bagi individu Muslim dan masyarakat Islam, dasar/asasnya ialah akidah Islamiyyah. Taghyir ialah usaha mengubah akidah seseorang atau sesuatu masyarakat yang seterusnya akan mengubah pelbagai sistem kehidupan.

Contohnya, dalam masalah Muslimah yang tidak mahu menutup aurat, perubahan yang diperlukan adalah ishlah dan bukannya taghyir. Ini adalah kerana akidah Muslimah itu masih benar iaitu Islam. Masalahnya hanya pelanggaran pada aspek akhlak (penutupan aurat). Untuk mengubah orang yang tidak taat pada Islam hanyalah dengan berusaha menyuburkan kembali ketakwaannya, iaitu dengan mengingatkannya tentang akidah Islam yang diyakininya dan sentiasa menasihatinya, agar dapat membuatkannya mahu menutup aurat. Jadi, taghyir (mengubah akidahnya) bukanlah langkah yang tepat dalam masalah ini kerana akidah Muslimah adalah benar dan yang hanya perlu diubah adalah akhlaknya.

Sebaliknya, dalam masalah wanita non-Muslim yang tidak menutup aurat, perubahan yang diperlukan adalah taghyir, bukan ishlah. Ini adalah kerana akidah orang kafir bukannya akidah Islam. Orang kafir mesti diajak untuk memeluk akidah Islam dahulu sehingga dia sendiri mahu mengucapkan dua kalimah syahadah. Setelah akidahnya ditukar, barulah diajak untuk menutup aurat. Jadi, ishlah (mengajak menutup aurat) bukanlah langkah yang tepat dalam masalah ini tanpa mengubah akidahnya terlebih dahulu (taghyir). Usaha seperti itulah yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alahihi Wasallam. Rasulullah pernah bersabda kepada Muadz bin Jabal yang diutus ke Yaman, yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahli Kitab. Maka ajaklah mereka bersaksi, bahawa tidak ada Tuhan selain Allah. Kalau mereka memenuhi seruan itu, maka beritahukanlah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka melakukan solat lima kali sehari semalam. Kalau mereka memenuhi seruan itu, beritahukanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan zakat pada harta mereka, yang diambil dari orang-orang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang-orang fakir di antara mereka…” [HR. Bukhari, hadits no. 686 dan no. 721. HR. Muslim, hadits no. 501].

Cara perubahan individu seperti yang dijelaskan di atas juga merupakan cara yang sama untuk mengubah sesuatu masyarakat atau negara. Ini adalah kerana, masyarakat dan negara juga mempunyai asasnya. Masyarakat hidup berdasarkan peraturan negara. Peraturan negara adalah asas kehidupan masyarakat. Sedangkan asas peraturan negara adalah perlembagaannya. Perlembagaan sesebuah negara itu ada sumber-sumbernya (mashadir al-ahkam) dan sumber-sumber hukum ini mestilah berasal daripada sebuah asas (akidah).

Oleh itu, jika ingin mengubah masyarakat yang rosak sistem sosialnya, persoalan pertama yang perlu dijawab adalah apakah asas (akidah) negara di mana masyarakat itu hidup? Adakah asasnya akidah Islamiyah atau bukan? Jika asasnya adalah akidah Islamiyah, maka negara itu hanya boleh diubah dengan cara ishlah, bukan taghyir. Sebaliknya, jika asas sesebuah negara itu bukanlah akidah Islam, maka negara itu hanya boleh diubah dengan cara taghyir, dan bukan ishlah.

Dalam isu pelaksanaan PKRS, jika dapat dikenalpasti bahawa punca merebaknya gejala buang bayi adalah kurangnya pengetahuan tentang seks dalam kalangan remaja, maka tidak cukup hanya dengan mereformasi sistem pendidikan dengan memperkenalkan satu subjek baru berkenaan seks. Jika punca gejala buang bayi adalah ringannya hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah buang bayi, maka tidak cukup hanya dengan mereformasi sistem perundangan dengan mencadangkan hukuman bunuh ke atas mereka.

Malah, jika punca gejala buang bayi adalah malunya remaja-remaja yang terlanjur melakukan seks luar nikah untuk menghadapi masyarakat, tidak cukup hanya dengan mereformasi sistem sosial dengan menubuhkan pusat-pusat perlindungan, sekolah harapan dan baby hatch. Semua ini tidak ubah seperti mengajak wanita kafir menutup aurat. Semua ini adalah penyelesaian kepada masalah cabang dan bukannya masalah pokok. Persoalannya, adakah sistem pemerintahan yang berpaksikan sekular-kapitalis dan berpalangkan demokrasi yang digunakan untuk mengurusi kehidupan manusia saat ini pernah diubah?

Apa yang wajib dilakukan adalah taghyir iaitu mengubah secara menyeluruh dasar negara itu sendiri daripada dasar sekular-kapitalis kepada akidah Islam. Akidah Islam yang menjadi dasar negara ini juga akan menjadi asas kepada sistem pemerintahan, ekonomi, perundangan, pendidikan, sosial dan sebagainya. Inilah caranya seumpama mengajak wanita kafir memeluk akidah Islam terlebih dahulu sebelum mengajaknya menutup aurat.

Analoginya mudah. Bayangkan sepohon pokok yang mempunyai akar, batang, cabang dan daunnya contohnya pokok getah. Penyakit akar disebabkan oleh kulat yang pada mulanya menyerang kulit akar, kemudian menembusi kayu. Daun-daun akan bertukar warna menjadi kekuningan, keras dan melengkung ke bawah dan akhirnya gugur. Pada mulanya, tanda-tanda ini hanya melibatkan satu atau dua dahan sahaja, tetapi akhirnya akan melibatkan seluruh pokok. Pokok mungkin berbunga dan berbuah di luar musim. Akhirnya akar pokok getah menjadi lapuk dan mati. Spora kulat akan diterbangkan oleh angin dan hinggap di mana-mana bahagian kayu pokok getah lain yang terdedah iaitu tidak ditutupi kulitnya. Apabila akar telah diserang (penyakit akar), batang, cabang dan daun yang tumbuh tidak sihat atau terbantut. Lalu, daun yang kekuningan digunting, cabang yang rapuh dicantas. Selepas itu, daun dan cabang yang sama sifatnya terus tumbuh lagi, lalu terus dibuang dan dicantas lagi. Sedangkan untuk mendapat pokok yang sihat, akarnya juga mestilah sihat. Jadi, pokok yang rosak akarnya itu mesti dicabut dan pokok baru yang bagus akarnya ditanam.

Pokok itulah sebuah kehidupan. Akarnya adalah akidah yang menjadi asas kehidupan. Batangnya adalah pemimpin dan cabangnya adalah bahagian-bahagian kehidupan manusia. Jika ada masalah dalam sistem pendidikan, bukan hanya sistem pendidikan itu yang diubah. Jika ada masalah dalam sistem sosial, bukan hanya sistem sosial itu dibetulkan. Tapi akidah atau dasar rosak yang mengatur kehidupan atau negara itulah yang sepatutnya ditukar.

Perubahan Menyeluruh (taghyir) Adalah Suruhan Allah.

Perlunya kepada perubahan menyeluruh (taghyir) dalam sistem kehidupan manusia adalah kerana dua faktor. Pertama, dasar (asas/akidah) negara adalah sistem sekular-kapitalis yang secara asasnya terpesong daripada akidah islam. Kedua, kegagalan sistem itu telah terbukti dengan rosaknya masyarakat dunia saat ini. Jelasnya, kedua-dua faktor ini ada dalilnya daripada sumber hukum utama bagi umat Islam. Untuk faktor pertama, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah jelas-jelas menyuruh hamba-Nya untuk berhukum dengan hukum yang diwahyukan-Nya iaitu Islam. Firman-Nya yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” [TMQ al-Maa’idah (5): 49]

Ibnu Kathir dalam Tafsir Al Quran al-‘Azhim menyatakan ia merupakan penegasan (ta’kid) terhadap perintah dalam ayat sebelumnya, iaitu ayat 48, agar Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berhukum dengan apa yang diturunkan Allah Subhanahu wa Ta’ala dan larangan melanggarnya. Pengulangan itu untuk menjadikan perintah tersebut menempati ghayat at-ta’kid (matlamat penegasan). Dalam ayat 48 Allah berfirman yang bermaksud, “Dan kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran”. Jadi menurut Ibnu Kathir, ayat 49 ini menegaskan sekali lagi dengan membawa matlamat penegasan terhadap kewajipan berhukum dengan hukum Allah.

Manakala ayat “menurut apa yang diturunkan Allah” adalah merujuk kepada ayat sebelumnya (ayat 48),bahawa Allah telah menurunkan kepada Nabi Muhammad al-Kitab (al-Quran) setelah Allah memberitahu dalam ayat 44 dan 45 kepada Nabi Musa telah diturunkan Kitab Taurat dan dalam ayat 46 dan 47 dinyatakan pula kepada Nabi Isa telah diturunkan Kitab Injil. Al-Quran telah membenarkan dan memansuhkan kitab-kitab terdahulu tersebut. Sejak saat itu, hukum yang wajib diterapkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan umatnya dalam memutuskan perkara adalah yang bersumber daripada al-Quran. Firman Allah yang bermaksud, “Tidaklah mungkin al-Quran ini dibuat oleh selain Allah; akan tetapi (al-Quran itu) membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya dan menjelaskan hukum-hukum yang telah ditetapkannya, tidak ada keraguan di dalamnya, (diturunkan) dari Tuhan semesta alam.” [TMQ Yunus (10):33]

Berhukum atau tidak seseorang muslim itu dengan apa yang diwahyukan Allah melalui Rasul-Nya menandakan keimanannya seperti yang dijelaskan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dalam firman-Nya yang bermaksud, “Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) sebagai hakim/pemutus terhadap perkara yang mereka perselisihkan...” [TMQ an-Nisa’ (4): 65].

Bagi faktor kedua pula, Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi amaran apabila manusia tidak menjadikan agama-Nya, Islam, sebagai panduan untuk mengurus kehidupan. Allah telah berfirman yang bermaksud, “Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta." [TMQ Thaaha (20):124].

“Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah menghendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa-dosa mereka.” [TMQ al-Maa’idah (5):49]

Sesungguhnya segala masalah gejala sosial dalam masyarakat seluruh dunia terutamanya Muslim saat ini adalah kerana dasar (asas/akidah) setiap negara itu adalah sistem sekular-kapitalis dan bukannya akidah Islam. Sistem kehidupan sekular-kapitalislah yang telah membentuk generasi masyarakat yang rosak. Sistem sekular menyuruh manusia untuk menolak hukum-hukum agama daripada menjadi tolok ukur perbuatan mereka.

Manusia tidak memikirkan sama ada sesuatu perbuatan itu diperbolehkan agamanya atau tidak. Apa yang penting adalah manfaat. Itulah sistem kapitalisme. Selagi sesuatu perbuatan itu dapat memberi manfaat kepadanya, perbuatan itu boleh dilakukan tanpa mengira samada ia baik atau buruk. Prinsip demokrasi, yang lahir dari rahim sekular, pula menyemarakkan api kerosakan itu. Demokrasi mengajar manusia untuk bebas bertingkah laku dan bebas berpendapat. Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, yang pernah mengetuai satu kajian salah laku seks dalam kalangan remaja Melayu berkata, “Lebih menyedihkan apabila yang menjadi keutamaan remaja terbabit dengan seks bebas itu ialah ‘buat selagi tidak mengandung’. Mereka langsung tidak mementingkan soal dosa seolah-olah agenda ketuhanan tiada dalam hidup. Ada responden yang menjawab mereka tahu perbuatan itu berdosa tetapi berkata ‘enjoy dulu, nanti taubatlah’. Ini bermakna remaja berkenaan ada pengetahuan dan kesedaran agama, tetapi ia tidak menyentuh jiwa mereka.” [Sumber: http://www.pkk.upm.edu.my/]

Inilah bukti bahawasanya hukum agama bukanlah penghalang kepada pemenuhan setiap kehendak manusia kerana demokrasi menjanjikan ‘hak asasi’ manusia itu terbela. Seperti kata pepatah, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana sistem yang mengurusi kehidupan manusia itu bukannya hukum daripada Pencipta manusia itu sendiri, maka seluruh kehidupan manusia kacau bilau. Inilah akar masalah yang sebenar-benarnya yang menjadi punca kepada berleluasanya gejala sosial. Akar inilah yang sewajarnya dicabut daripada kehidupan manusia.

Agen Perubahan Menyeluruh.

Apabila bercakap mengenai perubahan, jadi mesti ada agennya yang akan melaksanakan perubahan itu. Dalam konteks mengubah masyarakat yang rosak menjadi masyarakat yang sejahtera secara taghyir, terdapat beberapa langkah pelaksanaan. Secara umumnya, setiap individu dan masyarakat itu sendiri berperanan sebagai agen. Ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam semasa baginda berjaya mengubah masyarakat jahiliyyah ketika itu menjadi masyarakat yang bertamadun.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah melaksanakan tiga tahap dalam proses perubahan tersebut. Pertama, pembinaan individu yang matang melalui pembinaan intensif ataupun pembinaan umum. Kedua, melakukan aktiviti perang pemikiran (ash-shira‘ al-fikri ) dan perjuangan politik (al-kifah as-siyasi). Ketiga, melakukan aktiviti mencari pertolongan (thalab an-nushrah) daripada orang-orang atau kelompok yang mempunyai kekuatan untuk dakwah Islam. Dalam ketiga-tiga tahap ini, setiap individu Muslim wajib mengambil bahagian. Dalam tahap pertama, setiap Muslim wajib membina dirinya sebagai individu Muslim dengan cara memahami setiap hukum hakam Islam. Kesan daripada proses pembinaan ini adalah Islam akan dijadikan sebagai pedoman hidup, kepemimpinan pemikiran dan sekaligus ideologinya. Inilah yang disebut sebagai individu yang mempunyai keperibadian Islam. Seterusnya individu-individu ini akan bergerak menyampaikan Islam (dakwah) kepada masyarakat umum.

Dalam tahap kedua, aktiviti perang pemikiran dan perjuangan politik dilakukan dengan cara berinteraksi dengan masyarakat secara langsung dan berterusan. Tahap kedua ini bertujuan untuk membentuk pendapat umum dalam kalangan masyarakat supaya memahami dan mengamalkan idea-idea dan hukum-hukum Islam dalam kehidupan mereka. Usaha ini termasuk aktiviti memuhasabah pemimpin yang tidak menerapkan Islam ke atas rakyatnya dan menyerunya supaya bertaubat dan kembali memerintah berdasarkan hukum Islam.

Tahap ketiga pula merupakan usaha untuk mendapatkan sokongan daripada orang-orang atau kelompok-kelompok yang mempunyai kekuasaan atau kekuatan yang sebenar. Sokongan kekuasaan dan kekuatan bagi dakwah menegakkan Islam amat penting kerana dakwah sentiasa mendapat halangan dan cabaran daripada individu, kelompok bahkan negara-negara tertentu. Sokongan ini diperlukan untuk memastikan dakwah sentiasa berterusan.

Inilah yang dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu apabila baginda berusaha meminta sokongan daripada kabilah-kabilah yang datang ke Mekah sehinggalah datangnya Bani ‘Aus dan Khazraj menyatakan ketaatan kepada baginda dan menjemput baginda menjadi pemimpin dan pemerintah mereka di Yathrib. (Nota: Penjelasan tentang tahap kedua dan ketiga dalam proses perubahan ini akan terus diterangkan dalam artikel kedua keluaran kali ini.)

Khatimah.

Perubahan mendasar (taghyir) adalah kewajipan yang paling utama saat ini. Ini kerana apabila dasar (asas/akidah) negara itu sudah Islam, maka seluruh sistemnya adalah sistem Islam dan rakyatnya akan dapat hidup dalam suasana Islam secara keseluruhan. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang bermaksud, “Hai orang - orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan,..” [TMQ al-Baqarah (2): 208]

Wahai hamba Allah yang dimuliakan!

Allah dan Rasul-Nya bukan semata mengajar umat Islam beribadah dan berakhlak mengikut ajaran Islam. Islam yang ada hari ini adalah Islam yang syumul (lengkap). Jadi, ingatlah firman Allah yang bermaksud, “Apakah kamu beriman kepada sebahagian al-Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain?” [TMQ al-Baqarah (2): 85]. “Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maa’idah (5):50]

Allah telah mewahyukan setiap hukum yang terkait dengan pengurusan kehidupan manusia bermula daripada hukum menunaikan solat sehinggalah ke hukum bernegara. Rasulullah pula menunjukkan cara pelaksanaannya. Apakah model negara yang dicontohkan Rasulullah?

Ikuti huraiannya dalam kupasan terakhir tentang isu pelaksanaan PKRS dalam artikel seterusnya.

Wallahu a’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment