SERUAN MUSLIMAH: AYUH DIRIKAN SISTEM PENDIDIKAN ISLAM KAFFAH DENGAN KHILAFAH!



Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, bersyukur kita kerana masih hidup dan dapat mengecapi nikmat Allah yang tidak terhingga, terutamanya nikmat terbesar iaitu berpeluang untuk memenangi tiket ke syurga-Nya kerana penyertaan kita dalam satu kumpulan VVIP yang dinamakan sebagai “Muslim”. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa sallam dan para sahabat Radhiyallahu ‘Anhum yang mewariskan Islam kepada kita selepas bermati-matian memperjuangkannya.

Syukur kepada Allah, kempen kesedaran pendidikan seks yang dilaksanakan oleh Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia (MHTM) semenjak Februari 2011 kini hampir melabuhkan tirainya. Dalam kempen ini, MHTM berusaha membangkitkan kesedaran umat Islam di Malaysia khususnya tentang langkah pemerintah negara ini memperkenalkan subjek pendidikan seks sebagai penyelesaian sesaat untuk masalah salah laku seks dalam kalangan remaja yang kian parah di Malaysia. Subjek tersebut diumumkan akan diperkenalkan secara rasminya sebagai komponen Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial (ringkasannya PKRS atau PEERS) yang meliputi 75 peratus inti mata pelajaran Pendidikan Kesihatan bagi pelajar sekolah rendah bermula dari tahun 2012. Pada bulan Jun baru-baru ini, pihak pemerintah telah mengumumkan untuk memulakan pengenalan subjek ini lebih awal lagi iaitu pada bulan November 2011, selepas peperiksaan UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) berikutan penerimaan baik yang diterima dari peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Sepanjang tempoh kempen, MHTM telah membuat kaji selidik tentang pandangan masyarakat khususnya umat Islam berkenaan perlaksanaan subjek ini. Isu ini juga diangkat setiap bulan dalam Fikratul Ummah, dan dikupas dalam Seminar Siri Jelajah Malaysia yang dianjurkan. Laporan penuh tentang seminar yang telah dan akan dilaksanakan boleh diperoleh dihttp://www.mykhilafah.com/aksi-muslimah.

Alhamdulillah syukur kerana daripada program-program yang dilaksanakan, MHTM berjaya mendapatkan respon positif masyarakat terutamanya umat Islam yang sependapat bahawa penyelesaian isu sosial tidak dapat dijayakan sepenuhnya hanya dengan pengenalan subjek pendidikan seks di sekolah.

Sempena bulan terakhir kempen kesedaran pendidikan seks ini, MHTM ingin mengajak sekalian muslimah agar menyertai aktiviti kempen yang masih berlangsung. Antaranya ialah seminar-seminar yang akan diadakan di Kedah pada 15 Oktober, Muar 16 Oktober dan Bangi 23 Oktober. Di samping itu, MHTM juga mengalu-alukan maklum balas pembaca sekalian berkenaan kempen ini dengan menulis komen di blog FU iaitu fikratulummah.blogspot.com. Dengan menyertai blog FU dan menghadiri seminar MHTM, masyarakat bukan sahaja memperoleh ilmu dan perbincangan intelektual, bahkan turut menyumbang dalam usaha dakwah. Semoga kebersamaan kita dalam kempen ini akan membolehkan kita memperoleh keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana mencontohi sunnah Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memperjuangkan risalah-Nya.

Amin.


-SEKIAN, TAMAT F.U. OKTOBER 2011-
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment