Isu semasa: Memilih Jodoh

       
Muqaddimah

Cuti persekolahan pertengahan tahun bakal tiba tidak lama lagi. Dalam masyarakat  Malaysia, musim cuti sekolah selalunya dimanfaatkan untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Pada musim inilah, ahli keluarga yang    tinggal berjauhan dapat berkumpul di kampung halaman untuk meraikan hari bahagia bersama kaum keluarga dan pada saat inilah tererat semula ikatan silaturahim.

Bagi bakal pengantin pula, jantung semakin berdebar-debar menantikan detik indah untuk bergelar isteri atau suami. Ada juga yang diselubungi kebimbangan kerana memikirkan  bahawa pernikahan merupakan       permulaan satu komitmen baru dalam hidup. Tidak ketinggalan juga ada yang masih tertanya-tanya adakah pilihannya ini tepat, adakah dia ‘Mr.’, atau ‘Mrs. Right’ untuk dirinya, `adakah dia mampu membimbing aku?’ dan sebagainya. Edisi Fikratul Ummah kali ini bersama-sama menyelami perasaan raja sehari dengan berkongsi panduan dalam memilih jodoh yang diredai Allah SWT.

Rumah Tangga: Perjuangan Menunggu Syurga

Rumah tangga menuju ke syurga adalah sebuah rumah tangga yang ideologis, iaitu hanya menjadikan  Islam dan syariatnya sebagai asas dan panduan dalam seluruh masalah kehidupan berkeluarganya.           Pembentukan rumah tangga ideologis bagi seorang Muslimah bermula dengan proses pemilihan calon suami. Muslimah yang memilih calon suami dengan bimbingan ideologi Islam akan memahami bahawa pemimpin rumah tangga bukanlah sebatas seorang Muslim sedangkan akhlaknya bercelaru. Seorang pemimpin rumah tangga juga bukan dalam kalangan mereka yang sentiasa mementingkan aspek kecantikan atau kebendaan semata-mata. Kepimpinan rumah tangga yang dipegang oleh lelaki seperti ini tentu tidak akan pernah membawa rumah tangganya menuju ketaatan kepada Allah SWT.

Seorang Muslimah yang memilih calon suami berdasarkan tuntutan Islam tidak akan terpedaya oleh ketampanan atau ciri-ciri fizikal mahupun kekayaan bakal suaminya. Calon pemimpin dalam rumah tangga ideologis mestilah bersedia untuk memimpin rumah tangganya dengan landasan ideologi Islam dan meletakkan setiap keputusannya  dengan pertimbangan ideologi Islam semata-mata.

Suami sebagai seorang pemimpin tidak sepatutnya menjadikan rumahnya hanya sebagai tempat  istirahat setelah seharian beraktiviti di luar rumah. Keteladanan diperlukan untuk membantu proses pembinaan isteri dan anak-anaknya. Suami yang memiliki kesedaran ideologi Islam selalu berfikir secara serius agar setiap keputusan yang diambil bukan dari pertimbangan hawa nafsu semata-mata. Suami seperti ini akan selalu menimbang dan mengukur perbuatannya dengan ukuran ideologi Islam, tidak terjebak menukar yang wajib dengan yang mubah apatah lagi dengan yang haram.

 Asas memilih calon suami atau isteri dalam rumah tangga ideologis bukanlah seperti memilih boneka yang mesti memenuhi cita rasa     seseorang, tetapi memilih sesuatu yang jauh lebih besar daripada itu. Calon itu mestilah dilihat sebagai pencetak generasi Muslim yang  mengutamakan kesediaan seorang isteri berjuang bersama si suami dalam rangka isti’naf al-hayah al-Islamiyyah (mengembalikan         kehidupan Islam).

Islam memerintahkan memilih pasangan dengan pertimbangan agama (deen), seperti yang           disabdakan oleh Rasulullah SAW, “Wanita itu dinikahi kerana empat aspek iaitu kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya, nescaya engkau akan beruntung[HR Bukhari & Muslim]. Tidak sewajarnya bangunan rumah tangga ideologi dimulai dengan memilih isteri atas dasar tertarik kepada keayuan wajahnya, kelangsingan badannya atau melimpah ruah hartanya.

Isteri dalam rumah tangga ideologis adalah model Muslimah berwawasan, bersedia mengasuh anak-anak dan menguruskan rumah tangganya sesuai dengan syariat Islam. Kewibawaan yang terpancar daripada kesedaran ini memudahkan seorang isteri dan ibu untuk membina anak-anaknya agar membesar sebagai    seorang pejuang. Seorang ibu yang memiliki kesedaran ideologis akan membina anak-anaknya sepanjang waktu dan tidak terikat dengan kurikulum atau jadual waktu tertentu yang memperuntukkan waktu       tertentu sahaja. Kesedaran ini mendorongnya untuk mengendalikan setiap ucapan dan perbuatannya   terutama di hadapan anak-anak kerana setiap pola langkah ibu adalah bahan pembinaan secara langsung mahupun tidak langsung terhadap anak-anaknya.

Muslimah sebagai isteri dalam rumah tangga ideologis pula selalu menenteramkan suami dalam ketaatannya kepada Allah. Tidak  dapat dinafikan bahawa suasana rumah berpengaruh terhadap suami dalam menjalankan setiap kewajipannya. Pada saat suami   menjalankan amal dakwah misalnya, ia tidak akan berjalan lancar ketika si isteri membebaninya dengan  permasalahan di rumah seperti perabot  pecah lantaran kenakalan anak-anak yang melepaskan kemarahannya dengan membaling barang atau duit simpanan habis   sebelum waktunya tanpa dijelaskan untuk apa dibelanjakan lantaran sikap si isteri yang boros.

Pernikahan: Permulaan Kehidupan Persahabatan

Satu-satunya cara memulakan pembentukan rumah tangga ideologis yang didasarkan kepada syariat Islam adalah dengan pernikahan, yang   didahulukan dengan khitbah (meminang). Anjuran untuk bernikah adalah sebahagian daripada peraturan Islam untuk pemenuhan naluri seks/melestarikan keturunan. Penciptaan naluri ini adalah bertujuan untuk  melestarikan generasi manusia sesuai dengan izin Penciptanya. Sering kali naluri ini dilampiaskan dengan cara yang salah, khususnya oleh  muda-mudi pada era sistem kapitalis saat ini seperti dengan ber`coupling’ yang jelas bertentangan dengan syariat Islam. Tidak dapat dinafikanbahawa aktiviti coupling yang paling minimum sahaja sudah pasti mengundang murka Allah kerana jelas melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT berhubung interaksi antara  lelaki dan perempuan. Apalagi dengan  pergaulan bebas dewasa ini dan    berleluasanya propaganda seks bebas, menunjukkan seakan-akan coupling menjadi perkara biasa.  Walhal Allah telah melarang untuk mendekati zina yang termasuk apa sahaja perbuatan yang boleh menjurus ke arah itu.

Islam telah mengatur perbuatan manusia dengan sumber-sumber yang pasti iaitu al-Quran, hadis, ijma’ sahabat dan qiyas. Pernikahan merupakan sebahagian dari amal manusia, yang mana tatacaranya  telah pun tersedia dalam Islam sejak dulu lagi. Bermula dari proses awalnya dengan khitbah sehingga ke akad nikah, hubungan suami-isteri, penjagaan anak-anak dan segala   kehidupan berumah tangga yang  lainnya, semuanya telah diterangkan oleh Islam dengan terperinci.

Anjuran bernikah tercantum dalam al-Quran dan juga hadis.  Antaranya adalah dalam firman Allah SWT: “Nikahilah oleh kalian wanita-wanita yang kalian senangi dua, tiga atau  empat[TMQ an-Nisa’(4):3]. Adapun hadis yang menganjurkan untuk bernikah yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud r.a. bahawa   Rasulullah bersabda: “Wahai para pemuda, siapa sahaja di antara kalian yang telah mampu memikul beban, hendaklah ia segera bernikah,  kerana hal itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga               kehormatan. Sebaliknya siapa sahaja yang belum mampu, hendaklah ia berpuasa kerana hal itu dapat     menjadi perisai baginya”.

Dalam kehidupan Islam, pernikahan merupakan sebahagian daripada ibadah, bukan pemuasan seksual  semata-mata. Ini bermakna,   pembentukan rumah tangga ideologis akan diawali dengan niat yang tulus ikhlas semenjak memilih pasangan sehinggalah menginjak kepada proses pernikahan, iaitu niat untuk menyempurnakan ketaatan kepada Allah SWT. Pemeliharaan niat sangat penting agar rumah tangga ideologis tidak tersasar daripada tujuan yang dikehendaki iaitu untuk meraih reda dan syurga Allah. Acap kali hala tuju rumah tangga tersasar daripada tujuan ini. Maka, tidak hairanlah kesinambungan perjuangan suami isteri untuk menyumbang dalam memperjuangkan ideologi Islam yang sepatutnya meningkat dengan adanya persahabatan dalam rumah tangga, menjadi semakin menurun bahkan menghilang.

Dalam perjalanan melayari bahtera rumah tangga, kedua-duanya mesti saling bermuhasabah sekiranya    terjadi pengabaian kewajipan atau ketidaksempurnaan dalam perjuangan di jalan Allah. Persahabatan suami isteri dalam rumah tangga ideologis melahirkan kesinambungan dalam perjuangan mengembang ideologi Islam. Itulah bukti kasih sayang pasangan ideologis iaitu kasih sayang sejati berdasarkan Islam. Masing-masing tidak akan membiarkan pasangannya tersentuh api neraka walau sehelai hujung  rambut sekalipun.
  
Khatimah

Pemilihan pasangan yang tepat  sebelum bernikah akan memudahkan penyesuaian dan pengaturan hala tuju rumah tangga sesuai dengan tuntutan Islam. Islam mengingatkan umatnya bahawasanya setiap perjuangan menuntut pengorbanan. Jika suami atau isteri mempunyai kesedaran ini, hal ini pasti akan memudahkan pasangannya dalam menyempurnakan kewajipan.

Tuntutan pengorbanan yang dimaksudkan adalah berupa harta, tenaga, buah fikiran bahkan jiwa/nyawa sekalipun. Inilah kelaziman perjuangan di manapun atau pada bila-bila masa sekalipun. Oleh kerana itu untuk mewujudkan rumah tangga ideologis bukanlah mustahil. Apa yang penting, mesti ada keinginan untuk meningkatkan potensi diri, menggunakan kelebihan masing-masing dan menghilangkan segala halangan demi kesempurnaan perjuangan mengembang ideologi Islam yang telah diwajibkan oleh Allah SWT.

Wallahua’lam.
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment