[UPDATED] Fikih Ganti Puasa Bagi Wanita Hamil Dan Menyusu


Soalan:
Assalamu’alaikum, ustazah. Ketika bulan Ramadhan baru-baru ini, saya mengandungkan anak saya yang kelima. Pada hari-hari tertentu saya merasakan diri terlalu letih dan bimbangkan kesihatan anak dalam kandungan jika saya terus berpuasa. Jadi, saya berbuka puasa kerana saya mengetahui ada rukhsah bagi ibu yang hamil. Cuma, saya tidak tahu adakah saya perlu mengganti hari-hari puasa yang telah saya tinggalkan atau cukup dengan membayar fidyah? Harap ustazah boleh jelaskan.

Jawapan:
Itulah indahnya Islam apabila seseorang wanita hamil atau menyusukan anak diberi keringanan (rukhsah) daripada kewajipan berpuasa jika dibimbangi akan memudaratkan dirinya dan anaknya. Hukum ini bersumber daripada satu hadis Rasulullah SAW.

Dalam satu riwayat dari Anas bin Malik al-Ka’bi, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Tabaraka wa Ta’ala menggugurkan (meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir, menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan anak akan kewajipan berpuasa” [HR at-Tirmidzi, an-Nasa’i, Abu Dawud, Ibnu Majah. Sanadnya hassan sebagaimana pernyataan at-Tirmidzi].

Dalam hal rukhsah ini, tidak ada perbezaan pendapat di antara para ulama’. Ulama’ cuma berbeza pendapat pada persoalan adakah cukup dengan membayar fidyah sahaja atau wajib juga mengganti (qadha’) setiap hari yang ditinggalkan. Umum mengetahui pendapat empat Mazhab termasuk para ulama’ yang muktabar adalah seperti berikut:

Madzhab Hanafi

Wanita hamil dan menyusui jika berbuka, kelak wajib mengqadha’nya. Tidak perlu berturut-turut ketika mengqadha’nya.

Madzhab Ahmad, Syafi’i dan Maliki

Menurut pendapat Ahmad dan Syafi’i, wanita hamil dan menyusui yang berbuka puasa, kelak wajib mengqadha’nya tanpa membayar fidyah. Tetapi jika kekhuatirannya itu tertuju kepada diri anaknya sahaja, maka selain qadha’ juga wajib fidyah.

Manakala menurut Maliki, wanita hamil jika berbuka wajib baginya untuk mengqadha’nya, namun bagi wanita yang menyusui wajib baginya untuk mengqadha’ dan membayar fidyah.

Ishaq

Wanita yang hamil dan menyusui jika berbuka mempunyai pilihan sama ada untuk mengqadha’ atau membayar fidyah. Jika keduanya berkeinginan untuk mengqadha’ maka tidak wajib baginya untuk bayar fidyah. Namun jika keduanya berkeinginan untuk membayar fidyah, maka tidak wajib baginya untuk mengqadha’ puasa yang ditinggalkan.

Jumhur Ulama’

Wanita yang hamil jika khuatir akan dirinya, dan wanita yang menyusui jika khuatir akan anak yang disusuinya, jika keduanya berbuka maka tidak perlu membayar fidyah. Keadaannya sama seperti orang yang sakit yang berbuka puasa dan wajib mengqadha’nya. Pendapat ini dikeluarkan oleh Abu Ubaid, Abu Tsaur, Ibnu al-Mundzir, Hasan al-Bashri, ‘Atha, ad-Dhahak dan sebahagian ulama’ yang lain.

Ibnu Abbas dan Ibnu Umar

Wanita hamil dan menyusui anak hanya wajib membayar fidyah tetapi tidak wajib mengqadha’ puasa. Sebagaimana yang disebutkan oleh Said bin Jubair:

“Bahawa Ibnu Abbas berkata kepada ibu dari seorang anak, dia itu sedang hamil atau sedang menyusui: Engkau termasuk orang yang tidak mampu berpuasa, maka engkau harus membayar fidyah, dan engkau tidak wajib mengqadha.” [HR Daruquthni (2/206)].

Begitu juga menurut Ibnu Umar sebagaimana yang diriwayatkan dari Nafi’ dari Ibnu Umar, bahawa sesungguhnya isterinya bertanya kepadanya (tentang puasa Ramadhan), sedang ia dalam keadaan hamil. Maka ia menjawab, “Berbukalah dan berilah makan sehari seorang miskin dan tidak usah mengqadha’ puasa” [HR Baihaqi].

Wajib Qadha’ Puasa Atau Tidak?

Bagi menjawab persoalan sama ada wajib qadha’ puasa atau tidak, maka pendapat yang rajih adalah pendapat dari jumhur ulama’ iaitu wajib mengqadha’ puasa sahaja. Hal ini kerana yang seharusnya dijadikan dalil syara’ berkenaan wajib qadha’ puasa atau sebaliknya adalah hadis dari Anas bin Malik. Rasulullah SAW bersabda,

“Duduklah, aku akan memberitahukan kepadamu tentang solat dan puasa. Sesungguhnya Allah SWT mengangkat kewajipan setengah solat dan puasa dari musafir (orang yang melakukan perjalanan), dari wanita menyusui, atau yang sedang hamil” [HR Abu Dawud No. 2408, an-Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad].

Begitu juga dengan hadis yang di riwayatkan an-Nasai No. 2274.

“Sesungguhnya Allah SWT mengangkat kewajipan setengah solat dan puasa dari musafir (orang yang melakukan perjalanan), dari wanita hamil, dan wanita yang menyusui”

Kedua hadis ini menjelaskan hanya satu hukum untuk setiap orang yang musafir, wanita hamil mahupun bagi wanita yang menyusui iaitu Allah SWT telah mengangkat kewajipan berpuasa dari mereka dan tidak membezakan atau mengkhususkan satu sama lain di antara tiga kelompok di atas. Sebagaimana seorang musafir wajib mengqadha’ puasanya, begitu juga halnya bagi wanita yang hamil dan wanita yang menyusui.

Walaubagaimanapun, bagi orang-orang yang tidak mampu melakukan qadha’ puasa maka wajib bagi mereka untuk membayar fidyah kepada orang-orang yang miskin sebagaimana firman Allah SWT,

“…Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu) memberi makan seorang miskin” [TMQ al-Baqarah (2):184].

Berapa Jumlah Yang Wajib Dibayar?

Membayar fidyah adalah dengan takaran sebanyak 1 mud berdasarkan sebuah riwayat dari Ibn Abbas,

“Barangsiapa telah sangat tua yang tidak sanggup berpuasa Ramadhan, maka ia memberi fidyah sehari sebanyak 1 mud gandum” [HR Bukhari].

Riwayat yang senada dikeluarkan juga oleh Imam al-Baihaqi dari sahabat Ibnu Umar.

Mud adalah ukuran takaran (bukan berat) yang setara dengan berat 544 gram gandum (al-qamhu). [Abdul Qadim Zallum, al-Amwal fi Daulah al-Khilafah, hal. 62]. Oleh yang demikian, jikameninggalkan puasa selama sehari, wajib membayar fidyah sebanyak 1 mud, jika 2 hari wajib 2 mud dan seterusnya.

Menurut jumhur ulama’, fidyah dibayarkan dalam bentuk makanan ruji pada suatu negeri (ghaalibu quut a-balad) [Wahbah az-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, II/687]. Memandangkan makanan ruji rakyat Malaysia adalah beras, jadi fidyah dibayarkan dalam bentuk beras, yang takarannya 1 mud. Namun, adalah lebih baik jika beratnya dilebihkan berdasarkan firman Allah SWT,

“…Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui” [TMQ al-Baqarah (2):184].

Khatimah


Bagi wanita hamil dan menyusukan termasuk juga golongan-golongan lain seperti orang tua, musafir dan lain-lain, Allah telah memberi rukhsah dalam berpuasa. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah suka dilaksanakan rukhsah (keringanan) yang diberikan olehNya seperti Allah membenci dilakukan maksiat kepadaNya” [HR Ahmad].

Walau bagaimanapun, keringanan yang diberikan bukanlah alasan untuk meninggalkan kewajipan yang dibebankan akibat daripada puasa yang ditinggalkan tersebut.

Rujukan:
1. Fiqih Wanita, Syaikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah
2. Fikh Puasa Praktis, Muhammad Ramadhan al-Muhtasib
3. Tuntunan Puasa berdasarkan Qur’an dan Hadis, Muhammad Abdul Lathif Uwaidhah
4. http://syariahpublications.com/2007/10/03/ibu-menyusui-membayar-fidyah/, di akses pada 30 September 2012. [F.U. Bil: 49 Nov 2012]
SHARE THIS

1 comments:

  1. Terima kasih atas perkongsian. Moga Allah redha. :)

    ReplyDelete