NILAI HIJRAH WANITA: DARI RUMAH KE PEJABAT

                                                                   

Muqaddimah

Ketibaan Muharam begitu  sinonim dengan hijrahnya Rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah. Peng-hijrahan ini merupakan titik tolak ke arah tertegaknya Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh baginda. Ia juga mengingatkan kita tentang liku-liku perjuangan umat Islam terawal dalam usaha mengembangkan Islam pada fasa Mekah yang akhirnya berjaya membuka jalan kepada pelaksanaan seluruh ideologi Islam. Sungguh, potret kegigihan ini terserlah begitu nyata dalam peristiwa hijrah.

Ironinya hari ini, potret kemuliaan tersebut bertukar menjadi suram dan kelam apabila kehidupan umat Islam telah didominasi oleh ideology sekular-kapitalis. Ideologi ini juga telah berjaya meng‘hijrah’kan sebahagian besar muslimah dari tugas hakikinya sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga) kepada seorang yang mementingkan kerjaya semata-mata. Pemikiran mereka telah diracuni dengan fahaman yang menganggap nilai segala sesuatu diukur dengan material dan kehidupannya mesti dilimpahi dengan material dan kebebasan dalam        melakukan apa sahaja.

Dengan itu, peranan ibu dianggap  remeh serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan negara. Justeru tidak hairanlah apabila seseorang wanita yang berjaya menggenggam segulung ijazah dan berkahwin serta memiliki anak dilihat janggal jika  tidak bekerja. Masyarakat secara umum cenderung berpandangan bahawa pergi ke sekolah dan masuk universiti adalah untuk mendapatkan pekerjaan, bukan untuk menuntut ilmu.

“Pelbagai usaha akan terus dilaksana untuk membolehkan lebih ramai golongan wanita kembali ke pasaran kerja di negara ini”, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau seterusnya dipetik sebagai    berkata, walaupun lebih 60 peratus penuntut universiti di negara ini adalah wanita, jumlah itu tidak dicerminkan dalam pasaran kerja dan itu merupakan satu kerugian kepada negara (Berita Harian 02/10/2012).

Begitu juga jika ada wanita yang memutuskan untuk menjadi suri rumah dikatakan sebagai orang yang tidak mengikuti peredaran zaman dan dikongkong suami. Akibatnya sebahagian daripada mereka nekad keluar bekerja hanya untuk mendapatkan gaya hidup mewah yang kononnya boleh dikecapi sekiranya mempunyai pendapatan sendiri. Lebih teruk lagi, wanita juga menolak untuk menjadi ibu atau mahu melahirkan anak, malah tidak “sempat” untuk mendidik anaknya dengan baik.

Peranan Muslimah

Selain mengejar kemewahan material, mengejar kebebasan individu juga   merupakan antara alasan wanita mengabaikan peranannya sebagai ummun wa rabbatul bait. Muslimah mungkin terlupa bahawa keberadaaan mereka di dunia adalah untuk beribadah kepada Allah iaitu tunduk pada aturan Allah. Allah telah menjelaskan hal ini melalui firmanNya yang mulia:

“Tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk beribadah kepadaKu” [TMQ adz-Dzaariyaat (51): 56].

Ini bermakna seseorang itu tidak bebas memilih apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu. Ia hanya boleh memilih ketika Allah dan RasulNya memang memberikan pilihan dalam keredhaanNya, bukan dalam keadaan sama ada mahu memilih redhaNya atau murkaNya. Allah S.W.T berfirman:

“Tidaklah patut bagi lelaki mukmin dan tidak pula bagi wanita mukmin, jika Allah dan rasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, ada pilihan yang lain tentang urusan mereka. Barangsiapa yang men-durhakai Allah dan RasulNya, sesungguhnya dia telah benar-benar tersesat” [TMQ al-Ahzab (33): 36].

Persoalannya, boleh atau tidak wanita itu bekerja? 




Jawapannya mudah. Wanita dibolehkan bekerja secara syari’i. Bekerja untuk mengamalkan ilmu yang telah dipelajari tidaklah dilarang. Bahkan mengaplikasi ilmu yang telah dipelajari dengan bekerja sebagai guru, pensyarah, doktor, jururawat dan lain-lain adalah termasuk dalam kategori fardhu kifayah. Memiliki jawatan penting dalam sesebuah syarikat juga dibolehkan. Apatah lagi jika keadaan kewangan keluarga bagi memenuhi keperluan asas tidak mencukupi. Namun, perlu dipastikan kewajipan utama sebagai ibu dan pengatur rumah tangga tidak diabaikan. Malah adalah sangat mengelirukan jika ada yang berpandangan bahawa kaum wanita mesti bekerja untuk menafkahi keluarga bersama-sama suami. Ini kerana kewajipan memberi nafkah terbeban di bahu suami dan bukan si isteri sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah,

“...dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf” [TMQ al-Baqarah (2): 233].


Peranan Ibu Yang Berdimensi Politik

Apabila memilih untuk meng-utamakan peranannya sebagai ummun wa rabbatul bait tidak bermaksud wanita tidak perlu memainkan peranan di tengah-tengah masyarakat. Hakikatnya, al-Quran dan as-Sunnah meng-ajarkan kita memahami politik (siyasah) sebagai pengurusan seluruh urusan umat, baik di dalam maupun di luar negeri. Pengurusan ini meliputi pemenuhan keperluan hidup umat, menunaikan hak-hak umat sehingga umat mendapatkan seluruh kemaslahatannya termasuk usaha penjagaan terhadap agama agar kita semua terhindar dari azab Allah di akhirat nanti.

Selain menjalankan peranan utamanya sebagai ibu dan pengurus di dalam rumah, Islam juga mewajibkan kaum perempuan secara individu untuk tidak berdiam diri terhadap segala bentuk kemaksiatan, termasuk kemaksiatan yang dilakukan oleh penguasa. Islam juga membolehkan perempuan menjadi anggota majlis umat dan memilih penguasanya. Islam juga menetapkan kewajipan secara kolektif (fardu kifayah) untuk terlibat dalam parti politik yang berjuang di atas dasar aqidah Islam.

Kriteria inilah yang telah dibuktikan oleh para ibu teladan sepanjang zaman seperti Asma’ binti Abu Bakar r.a. - ibu kepada Abdullah bin Zubair r.a. yang rela syahid dalam melawan  kemungkaran; al-Khansa - ibu kepada empat mujahid muda yang menyambut berita syahid putera-puteranya dengan ucapan syukur dan ibu-ibu yang tak pernah tercatat namanya dalam sejarah namun telah mengukir nama puteranya dengan tinta emas dalam perjuangan umat seperti ibunda Khalifah Umar bin Abdul Aziz, ibunda panglima Shalahudin al-Ayyubi, ibunda Imam Syafi’i, ibunda Imam al-Bukhari dan ibunda para pejuang Islam yang lainnya.

Jika ibu dalam sistem sekular kapitalis begitu sibuk bekerja di luar rumah, masihkah ada masa untuk mendidik generasi pejuang muslim seperti yang digambarkan di atas? Sungguh para ibu teladan sepanjang zaman ini telah membuktikan tugas ummun wa rabbatul bait yang digalas mereka telah berjaya melahirkan pejuang-pejuang Islam dalam rangka menegakkan DeenNya. Pastinya ummun wa rabbatul bait yang dimaksudkan memiliki beberapa kriteria yang perlu dicontohi oleh setiap muslimah di luar sana. Antaranya:

·    Memiliki aqidah Islamiyah. Ibu yang memiliki aqidah Islam yang kuat berkeyakinan bahawa anak adalah amanah Allah yang akan diminta pertanggung-jawaban padanya kelak di hari akhirat. Ibu seperti ini akan mengasuh dan mendidik anaknya dengan keimanan yang kukuh dari kecil, memperkenalkan kepada anak siapa Penciptanya, menghindarkan anak dari segala bentuk                kesyirikan, mengajarkan kepada anak untuk tunduk patuh hanya kepada aturan Penciptanya dan mampu menanamkan hakikat dan tujuan kehidupan dunia.

       Allah S.W.T berfirman,

     “Ketahuilah, bahawa sesungguh-nya kehidupan itu adalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah di antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan menumbuhkan tanam-tanaman yang mengagumkan para petani, kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan ampunan dari Allah dan keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain dari kesenangan yang menipu” [TMQ al-Hadid (57): 20] .

·   Memiliki syakhsiah (keperibadian) Islamiyah yang unggul. Ini bererti menjadikan aqidah Islam sebagai piawai baik dalam berfikir mahupun bertingkahlaku. Dengan itu, seseorang ibu akan menerima dan mengembangkan pemikiran-pemikiran yang tidak bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan menjadikan anaknya menguasai pemikiran-pemikiran tersebut. Dengan memiliki keperibadian   Islam yang unggul, ibu telah layak dijadikan sebagai contoh teladan yang baik untuk anak-anaknya.

·   Memiliki kesedaran untuk mendidik anak sebagai aset politik dalam perjuangan Islam. Saat ini umat begitu memerlukan pemimpin-pemimpin yang bertaqwa dalam perjuangan untuk mengembalikan umat Islam kepada status asalnya sebagai khairu ummah (umat terbaik) sebagaimana firmanNya:

     “Kalian adalah umat terbaik yang pernah dilahirkan bagi manusia, menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, serta beriman kepada Allah” [TMQ Ali `Imran (3): 110].

Pemimpin yang bertaqwa hanya lahir dan terbentuk dari seorang ibu yang sedar sepenuhnya posisi anak sebagai aset perjuangan umat. Ibu yang memiliki kesadaran semacam ini akan berusaha untuk       menumbuhkan jiwa kepemimpinan pada anak-anaknya dan membekali mereka dengan sifat-sifat terpuji bagi seorang pemimpin. Dia akan senantiasa memotivasikan anak-anaknya dengan kisah-kisah   kepahlawanan, melatih sifat berani, rela berkorban dan bertanggungjawab. Dia tidak akan membiarkan anaknya dikuasai sifat malas, degil, manja, terlalu bergantung pada orang lain, mahupun sifat-sifat individualistik dan tidak mem-pedulikan keadaan umat.

Peranan Negara untuk Melahirkan Generasi Ibu yang Berkualiti

Untuk melahirkan generasi ibu yang berkualiti perlu ada pembinaan secara rutin dan berkesinambungan. Pembinaan ini dilakukan untuk memantapkan pemahaman ibu terhadap aqidah dan syariat Islam sehingga ia menyatu dalam jiwa mereka dan seterusnya menjadi piawai dalam aktiviti berfikir dan bertingkah laku. Selain itu mereka juga perlu dibekalkan dengan pemahaman yang benar tentang bagaimana cara mengasuh dan mendidik anak sesuai dengan perkembangan fizikal dan mentalnya.

Pembinaan bagi para ibu ini akan mudah terealisasi dengan adanya sebuah negara Islam (Daulah Khilafah Islamiyah). Negara akan memastikan program pembinaan berkualiti ini diserap dalam kurikulum sekolah bagi mereka yang bakal menjadi ibu. Malah bagi ibu yang dikesan mempunyai kelemahan dalam mendidik, Daulah boleh mewajibkan mereka mengikuti pembinaan yang diselenggarakan dengan menugaskan kaunselor-kaunselor yang digaji bagi membimbing dan membantu menangani kelemahan mereka. Tanggungjawab mendidik para ibu ditujukan kepada keluarga si ibu iaitu kepada suami, ayah dan ibu, juga para wali.  Namun pada saat keluarga si ibu lemah dalam tugas itu, penguasalah yang akan diminta pertanggung-jawabannya oleh Allah untuk meng-galas tugas itu. Dalam Daulah Khilafah Islamiyah, bukan hanya negara yang memainkan peranan malah turut ada organisasi atau parti politik yang bersama mendidik para ibu.

Sayang sekali saat ini kita tidak hidup dalam Daulah Islamiyah. Kita hidup dalam sebuah negara yang tegak atas dasar sekularisme. Negara sekular  tidak akan peduli dengan peranan ibu bagi melahirkan pejuang-pejuang Islam. Negara semacam ini malah akan terus memanjakan dan melenakan para ibu dengan pelbagai suasana sekularistik dan materialistik. Jadi amat sukar untuk mengharapkan negara seperti ini. Justeru, peranan parti politik Islam dalam pembinaan para ibu sangatlah diperlukan untuk menjadi agen perubahan. Organisasi dan parti politik Islam harus mengerahkan segenap kemampuan yang ada untuk membina para ibu bagi melahirkan pejuang-pejuang politik yang melakukan perubahan sosial masyarakat menuju tegaknya Daulah Khilafah Islamiyah.

Penutup

Wahai para muslimah, apakah anda masih setia menerima seruan sekular yang mengajak anda berperanan secara maksima di luar? Apakah anda akan memilih pemimpin yang menyeru dan mengarahkan anda kepada nilai–nilai materialistik, kesetaraan gender, kebebasan individu dan mengabaikan ketaatan kepada  Allah, Tuhan Yang Maha Mencipta? 

Sudah tiba masanya muslimah seluruhnya menghijrahkan dirinya dari menghambakan diri kepada sistem sekular-kapitalis kepada sistem Islam yang mensejahterakan para ibu sekaligus memposisikan muslimah sebagai ummun wa rabbatul bait yang terbaik bagi keluarganya, sebagai ahli politik yang terbaik bagi umatnya dan sebagai hambaNya yang terbaik dalam usaha menerapkan syariat Islam di bawah naungan Khilafah Islamiyah. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh disertai tawakal dan doa yang tinggi kepada Allah Ta`ala, semoga Allah membantu kita dalam peng-hijrahan ini.

Wallahu a’lam. [F.U. Bil: 49 Nov 2012]
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment