Lubabah al-Kubra: Wanita Kedua Masuk Islam

SERIKANDI TAULADAN:



LUBABAH AL-KUBRA: WANITA KEDUA MASUK ISLAM

  

J
ika kita tidak membaca sirah Nabi Muhammad S.A.W, kita mungkin tidak akan mengenalinya. Meskipun tidak terkenal seperti para sahabat yang  termasuk dalam kutlatul Uulaa (kumpulan sahabat terawal Islam), beliau merupakan serikandi yang mampu menginspirasi semua orang yang beriman, baik lelaki mahupun perempuan.

Beliau adalah Lubabah binti al-Harith atau nama lengkapnya Lubabah binti al-Harith bin Huzn bin Bajir bin Hilaliyah. Diberi gelaran Lubabah al-Kubra ataupun Ummu Fadhl, isteri kepada al-Abbas bin Abdul Mutalib, bapa saudara Nabi Muhammad. Beliau adalah salah seorang sahabat Nabi pada masa awal penyebaran Islam di Mekah. Ummu Fadhl adalah salah seorang daripada empat wanita yang telah disaksikan keimanan mereka oleh Rasulullah S.A.W selain Maimunah, Asma’ dan Salma. Adapun Maimunah Ummul Mukminin r.a. adalah saudara kandung Ummu Fadhl. Sedangkan Asma’ dan Salma adalah saudara dari sebelah bapanya, ibu mereka ialah ‘Umais.

Meskipun beliau tertindas akibat keislamannya sebagaimana dinyatakan oleh puteranya, Abdullah bin al-Abbas r.a. “Aku dan ibuku adalah termasuk orang-orang yang tertindas dari kalangan wanita dan anak-anak”, beliau berjaya menempa kedudukan yang tinggi dalam sirah sebagai wanita yang berilmu, bijak, berani, dan sebagai ibu dan pengasuh yang berjaya.

Menurut Abdullah bin Yazid. “Tiada seorangpun yang telah melahirkan ramai orang yang terkemuka sebagaimana aku lihat enam putera Ummu Fadhl!”. Enam putera Ummu Fadhl yang dimaksudkan ialah al-Fadhl, Abdullah al-Faqih, Ubaidillah al-Faqih, Ma’bad, Qutsam, dan Abdur­Rahman.

Penindasan yang ditanggungnya di Mekah tidak menghalang beliau untuk bersikap gagah dan berani, meskipun sebagai wanita. Ini terbukti melalui peristiwa beliau membunuh Abu Lahab sebagaimana yang telah diceritakankan oleh Ibnu Ishak dari Ikrimah:


Abu Rafi’ bercerita: “Aku adalah seorang lelaki yang lemah, aku bekerja membuat gelas, aku juga memahat di batu-batuan sekitar telaga zam-zam. Demi Allah pada suatu ketika aku sedang duduk berhampiran dengan Ummu Fadhl yang mana sebelumnya kami berjalan  namun tidak ada kebaikan yang sampai kepada kami. Kemudian datanglah Abu Lahab berlari-lari bertanyakan khabar Perang Badar,lalu jawab seseorang (yang terlibat dalam perang Badar, “Demi Allah tatkala kami menjumpai mereka, tiba-tiba mereka tidak henti-hentinya menyerang pasukan kami, mereka memerangi kami sesuka hati mereka dan menawan kami sesuka hati mereka. Demi Allah sekalipun demikian tatkala aku menghimpun pasukan, kami melihat ada sekelompok lelaki yang berkuda hitam putih berada di tengah-tengah manusia, demi Allah mereka tidak menjejakkan kaki di tanah!”Abu Rafi’ berkata lagi: “Aku mengangkat batu yang berada di tanganku, kemudian berkata: Demi Allah itu adalah malaikat!”

“Tiba-tiba Abu Lahab mengepalkan tangannya dan memukul aku dengan pukulan yang sangat kuat kerana penyataanku membuatnya marah, kemudian dia menarikku dan menghentakku ke tanah, selanjutnya dia dudukkan aku dan terus memukulku sedangkan aku adalah seorang lelaki yang lemah.”

“Lalu berdirilah Ummu Fadhl r.a. mengambil sebuah tiang batu, beliau memukulkannya dengan kuat kepada kepala Abu Lahab sehingga menyebabkannya cedera parah. Ummu Fadhl r.a. berkata;“Saya telah mencederakannya sehingga parah fizikal dan kredibilitinya!”Kemudian bangunlah Abu Lahab dalam keadaan terhina. Demi Allah ia tidak hidup setelah itu melainkan hanya tujuh malam lalu Allah S.W.T menimpakan kepadanya penyakit bisul yang menyebabkan kematiannya.”

Demikianlah kesan pembinaan Islam, hinggakan seorang wanita mukminah berjaya menjatuhkan bukan sahaja kesombongan Abu Lahab, malah riwayat hidupnya.

Sebagai wanita yang mulia, Ummu Fadhl telah diberi penghormatan untuk mengasuh dan menyusukan cucu Rasulullah S.A.W, Al-Hassan bin Ali. Ummu Fadhl r.a berkata,“Suatu ketika aku mendatangi Rasulullah S.A.W dengan membawa bayi tersebut maka Rasulullah S.A.W segera mengendong dan mencium bayi tersebut, namun tiba-tiba bayi tersebut mengencingi Rasulullah S.A.W, lalu baginda bersabda, “Wahai Ummu Fadhl, peganglah anak ini kerana dia telah mengencingiku.”Ummu Fadhl r.a. berkata, “Maka aku ambil bayi tersebut dan aku cubit sehingga dia menangis, aku berkata,“Engkau telah menyusahkan Rasulullah kerana engkau telah mengencinginya.” Tatkala melihat bayi tersebut menangis Rasulullah S.A.W bersabda, “Wahai Ummu Fadhl, justeru engkau yang menyusahkanku kerana telah membuat anakku menangis.” Kemudian Rasulullah S.A.W meminta air lalu baginda percikkan ke tempat yang terkena air kencing kemudian bersabda,“Jika bayi lelaki, maka percikilah dengan air, akan tetapi jika bayi perempuan maka cucilah.” Ummu Fadhl inilah yang menjadi asbabul wurud (sebab keluarnya hadis) mengenai tatacara penyucian najis dari air kencing bayi ini.

Kebijaksanaan Lubabah binti al-Haris r.a.terserlah tatkala orang ramai bertanya kepada beliau ketika hari Arafah apakah Rasulullah S.A.W berpuasa ataukah tidak. Untuk memperoleh jawapannya, beliau menyuruh salah seorang anaknya agar menghantar segelas susu kepada Rasulullah S.A.W yang berada di Arafah.Dengan dilihat oleh semua orang, Rasulullah S.A.W menerima susu tersebut lantas meminumnya.

Di sisi yang lain, Ummu Fadhl r.a. mempelajari Hadis asy-Syarif dari Rasulullah S.A.W dan beliau meriwayatkan tiga puluh hadis. Antara yang meriwayatkan daripada beliau adalah putera beliau Abdullah bin al-Abbas r.a. Tamam (hambanya) dan Anas bin Malik.

Ummu Fadhl r.a. meninggal dunia semasa pemerintahan khalifah Uthman bin Affan r.a. Beliau adalah contoh tauladan sebagai ibu solehah yang melahirkan tokoh hebat seperti Abdullah bin al-Abbas r.a. iaitu tokoh yang sangat arif dikalangan para sahabat dan Turjuman-ul-Qur’an (yang ahli dalam hal tafsir al-Qur’an). Lubabah al-Kubra ini juga telah memberikan contoh terbaik buat kita dalam banyak perkara, sebagaimana hebatnya jiwa kepahlawanan yang memancar dari sinar akidah yang benar yang mampu menjatuhkan musuh Allah S.W.T yang paling keras permusuhannya.


Sumber:
Kitab Nisaa’ Haular Rasuul, karya Mahmud Mahdi al-Istanbuli dan Musthafa Abu an-Nashr                    asy-Syalabi.

[F.U./ BIL:50/ DISEMBER 2012]
SHARE THIS

0 comments:

Post a Comment